Saturday, December 31, 2011

Terperangkap

Patricia, teman rapat says menjemput saya dan Boss ke majlis jamuan makan malam yang mereka anjurkan. Kami telah berkawan rapat hampir 20 tahun. Mereka baru kembali ke tanahair selepas berbelas tahun menjadi expartriate di sebuah negara maju.

Dato' A seorang lelaki yang 'very caring'. Kemesraan yang ditunjukkan oleh Pat dan Dato' boleh membuat sesiapa yang melihat cukup cemburu. Ditambah dengan kehadiran tiga orang anak2 mereka yang kacak dan jelita. Maklum saja darah kacukan yang mereka miliki - Irish, India dan Pakistan - dengan ketinggian, kuli putih melepak, raut wajah yang 'sharp', mereka menarik perhatian.

Hanya saya tahu gelora kehidupan mereka - di kalangan mereka-mereka yang rich and famous pada malam itu. Pandai sungguh mereka menutup kepincangan hidup mereka di hadapan teman-teman. Hati saya bagai ditusuk sembilu mendengar suara Dato memanggil Pat 'Darling', seraya memeluk bahu Pat dengan penuh kasih sayang. Hebat lakunan mereka. Amat hebat.

Boss resah di sepanjang majlis berlangsung. Sekejap-sekejap dia menoleh ke arah saya, memberi isyarat mahu segera keluar dari zon tidak selesanya. Masakan tidak, botol arak di meja-meja di sekeliling kami meloyakan tekak. Wajah-wajah palsu di kiri kanan kami melemaskan. Bukan saya suka berada di situ. Tidak sama sekali. Saya hanya mahu menemani Pat. Biarpun seketika, cukup untuk memberitahu dia kami berdua berada di sampingnya..

Jauh sungguh mereka anak beranak dari peribadi muslim. Pat berbangga menjadi umat Muhammad dan meninggalkan keluarga demi Islam 26 tahun lalu, namun dunia telah melekakan mereka. Sambil menikmati kelazatan makanan, saya keluarkan juga sedikit sedikit kehebatan puasa, solat dan iman. Sejuk telinga saya tatkala sesekali saya dengar ungkapan 'Alhamdulillah' dan 'Subhanallah' keluar dari mulutnya... Hati saya berdoa semoga Allah memberinya hidayah.

Saya terperangkap dalam kemelut kehidupan mereka. Sesekali bersama saya, saya dapat merasakan yang Pat akan berfikir sebagai seorang yang beriman. Tetapi cara hidup yang ditontonkan semalam adalah sebaliknya. Bagaimana harus saya bantu sahabat baik saya ini? Tuhan... Berikan saya ilham dan petunjuk agar dapat saya tarik kembali dia ke jalan yang benar. Sudah pasti saya tidak mahu dipersalahkan oleh Pat di hari pembalasan nanti kerana tidak menjalankan tanggungjawab saya sebagai sahabat. Menurut Pat, sayalah satu-satunya orang luar yang tahu kisah benar di sebalik drama kebahagiaan dan keromantisan mereka. Kami bersembang hampir setiap minggu. Mendengar luahan rasa dan keluhannya, menangis bersama di hujung talian....namun saya masih tidak berupaya menghulurkan tangan padanya dan memimpinnya...

Ya Allah. Aku amat menyayangi sahabatku ini, anak-anaknya dan suaminya. Tunjukkanlah kepada mereka jalan yang lurus Ya Allah. Jauhkan mereka dari kemurkaanMu Ya Allah...

Thursday, December 29, 2011

Cita-cita saya

Saya bukan pelajar terbaik di sekolah dulu. Adalah sekali dua naik pentas menerima anugerah cemerlang, tetapi keputusan SPM saya menunjukkan saya bukan pelajar terbaik.

Sewaktu saya menanti keputusan peperiksaan SPM, arwah mak suruh saya ambil kelas trengkas dan menaip di bandar Klang. Hampir semua kawan-kawan kampung saya melakukan perkara yang sama.

Saya jawab pada Mak, "Orang bukan nak jadi kerani...".

Mak mencebik mendengar jawapan saya. Lalu dia bertanya, "3 bulan ni ko nak buat apa?"

Saya jawab, "Motong getah".

Saya menoreh getah, di usia 17 tahun...! Satu perkara yang tidak sukar buat saya kerana saya dibesarkan sebagai anak penoreh. Biarpun saya benci dan amat takut dengan ulat bulu dan ulat daun yang melenting-lenting, jua bau getah beku yang busuk, namun saya amat menghargai hasil yang boleh diperolehi bila getah beku yang busuk itu dijual kepada Apek si pembeli getah.

Setiap pagi saya berbasikal menuju ke kebun getah arwah Bapak. Tanah getah seluas 3 ekar itu menjadi medan saya berangan-angan. Pakaian saya lengkap; dengan jaket, topi dan kasut. Untuk mengelakkan nyamuk bermaharajalela di telinga saya, saya patah-patahkan lingkaran ubat nyamuk sepanjang 2 inci dan saya simpan di dalam poket jaket saya berserta dengan mancis. Saya selitkan ubat nyamuk tadi di celah tudung saya; dan saya letakkan di atas kedua-dua telinga saya. Bila pipi saya mula terasa panas, saya akan keluarkan ubat nyamuk yang telah pendek dan gantikan dengan yang baru.

Saya ditemani oleh Wak Siwar yang menoreh di kebunnya di sebelah kiri kebun saya dan Cik Sapinah yang mengambil upah menoreh di kebun sebelah kanan kebun saya. Saya akan menyanyi terlalak-lalak sambil menoreh....bukan kerana saya suka menyanyi, tetapi kerana saya takut bersendiri. Sesekali saya akan memanggil-manggil Wak Siwar dan Cik Pinah untuk memastikan saya tidak keseorangan.

Setiap hari saya mampu mengumpulkan dua baldi getah beku, dan setiap hari juga Mak akan beri saya upah RM8 sahaja. Boleh tahan untuk kerja selama 3 jam sehari! Selepas zohor, saya akan tidur, membaca dan tidur. Mak agak keberatan untuk membenarkan saya bergaul dengan gadis-gadis kampung yang sebaya dengan saya. Setelah dewasa baru saya tahu sebabnya. Alhamdulillah.

Setiap hari, sambil saya bercakap dengan pokok-pokok getah yang bisu dan kaku, dan sambil saya memerhati susu getah yang laju meluncur di sepanjang laluan yang telah saya toreh, atau tatkala saya tarik kepingan getah yang melekat di potongan laluan semalamnya, atau ketika saya mengeluarkan getah beku semalam dari dalam cawan yang menadah yang baunya teramat busuk - saya berangan-angan. Saya mahu jadi orang pandai. Saya mahu jadi orang yang punya jawatan tinggi. Saya mahu keluar dari kehidupan di bawah pokok getah. Saya benci dengan nyamuk yang memaksa saya menampar pipi saya sendiri. Saya benci bila ulat bulu melekat di kulit saya dan menyebabkan bengkak-bengkak dan kegatalan hingga saya sukar tidur. Saya geli melihat ulat daun melompat-lompat dari satu tempat ke satu tempat. Saya takut berdepan dengan ular sawa dan ular senduk yang sedang melingkari pokok getah yang hendak saya toreh....

Empat bulan saya menjadi penoreh sepenuh masa. Hari Ahad merupakan hari yang paling menyeksakan saya. Saya perlu melepasi simpang jalan untuk pulang ke rumah. Di kepala simpang ini, pemuda-pemuda kampung akan berkumpul pada setiap pagi Ahad. Kebanyakan mereka bekerja di kilang-kilang samada di Pelabuhan Klang, di Shah Alam ataupun di kawasan perindustrian berhampiran kampung kami.

Setiap kali saya melintasi mereka, akan terdengar gelak dan tawa sinis dari mereka. Bayangkan.... saya pelajar sekolah berasrama yang sedari kecil adalah antara yang terpandai di kalangan anak kampung. Di usia 17 tahun, sudah sewajarnya saya menjadi buah mulut bujang-bujang kampung ini. Tidak mustahil ada yang cuba menarik perhatian saya. Kenyataannya, saya adalah seorang penoreh getah! Bila saya melalui kumpulan ini dengan basikal saya dan dua buah baldi penuh dengan getah beku yang busuk tergantung di handle basikal saya....apa kata mereka!

Sesekali terfikir, di situlah saya bina keyakinan diri saya. Peduli apa saya dengan kata-kata orang atau ejekan orang kepada saya. Saya fokus dengan usaha saya. Saya mahukan upah RM8 sehari yang Mak beri. Saya mahukan masa rehat saya selepas makan tengahari; dan saya gembira jika saya dapat membeli buku cerita terbaru di Muhammad Stor atau KK Dawood di bandar Klang dengan duit saya sendiri. Sebulan sekali saya akan berkumpul dengan kawan-kawan baik saya - Chipan yang bekerja kilang di Power Cables, Dading yang mengambil upah mengutip siput sedut di sepanjang Sungai Kelang, Adim yang menjadi guru tadika di Kg Jalan Kebun serta Janie yang menolong makciknya di kedai jahit. Kawan-kawan saya juga seperti saya - tidak bercampur dengan gadis kampung lain yang pergi belajar trengkas atau menaip - kerana kami tidak mahu jadi kerani.

Saya masih simpan dan pegang erat cita-cita saya - mahu jadi orang pandai. Insyaallah saya akan mulakan kembali perjalanan saya sebagai pelajar PhD tidak lama lagi. Di setiap hari Ahad, saya ikuti kelas Sijil Usuludin di Masjid Negeri; bersama Boss, di bawah kelolaan UM dan JAIS.

Chipan yang dulunya minah kilang di Power Cables kemudiannya ke US dan kini menjadi pendidik. Dading yang dulunya mengutip siput sedut kini seorang Pengurus yang sedang berusaha menghabiskan Mastersnya, Adim seorang pakar matematik di sebuah universiti tempatan manakala Janie adalah seorang hotelier yang mendapat didikan formal dari universiti...

Angan-angan, cita-cita, visi.... apapun jua ia dinamakan, jika disertai dengan usaha, pasti membuahkan hasil lumayan. Kalau dulu saya berangan menjadi orang kaya, menjadi isteri jutawan, atau isteri Perdana Menteri....mungkin di situlah tempat saya berada kini! Hehehehe.....

Tanpa rahmat dariNya, tanpa petunjuk dariNya, sudah pasti saya tidak akan dapat sampai ke sini......Syukur alhamdulillah.

Tuesday, December 27, 2011

Sejuta kenangan

Terimakasih kerana membawa warna-warna indah dalam kehidupan ini. Semoga ukhwah ini berterusan hingga akhir nanti, dan semoga kita kekal berkasih sayang kerana Dia....







Sama-sama kita berdoa agar Allah beri kita peluang untuk kita terus sama-sama menikmati momen-momen indah ini di masa-masa mendatang. Dalam kesusahan ada kesenangan. Dalam kesepian, ada keindahan. Dalam keseorangan, ada teman-teman tempat menumpang kasih sayang.... Alhamdulillah. Hanya padaMu kami panjatkan kesyukuran, Ya Allah....

Thursday, December 22, 2011

Mereka istimnewa

Awal 2011, saya berdepan dengan kemelut: disisih dan dipinggir.

Saya juga berdepan dengan beberapa kesukaran yang membuatkan saya menghilangkan diri dari radar. Saya menjauhkan diri dari banyak keraian dan perjumpaan. Bukan kerana takut atau malu, saya hanya mahu mencari ruang buat diri saya sendiri.

Rupanya bukan hanya saya berada dalam keadaan 'hibernate' itu. Beberapa rakan lain yang menghadapi pelbagai kesukaran berlainan juga menjauh. Satu hari saya terbaca di wall seorang rakan tentang rancangannya untuk bercuti di atas bot di Tasik Kenyir.

Pancing saya mengena. Salah seorang rakan yang cuba lari sejauh mungkin dari rakan-rakan lain menyambut huluran kail saya. Makanya kami bertiga berserta keluarga bercuti dan bersantai di atas bot di Tasik Kenyir selama 3 malam. Subhanallah.... kesukaran saya hanya di hujung jari dibandingkan dengan orang lain...

Pulang dari Kenyir, saya atur rancangan lain. Kami pelawa dua lagi kawan untuk menyertai kami di Bukit Fraser. Kedua-dua mereka lagi jauh melarikan diri. Kesakitan yang mereka alami ternyata lebih hebat dari apa yang saya alami. Mulanya mereka ragu-ragu, namun akhirnya kami berlima menempuh pengalaman paling indah di Bukit Fraser. Anak-anak menjadi akrab, mak ayah menjadi mesra. Kami menjalinkan kasih sayang sesama kami tanpa ada sempadan. "Unconditional love' kata orang.

Selepas Bukit Fraser, kami merancang ke Port Dickson pula beberapa hari sebelum bulan puasa. Jelas tergambar kerinduan anak-anak kepada sahabat-sahabat baru mereka, dan hari-hari kami dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang cukup meriah.

Di hari raya, kami saling kunjung mengunjung sesama kami. Satu demi satu rumah kami selusuri, dan bagaikan satu kekurangan jika ada yang tertinggal.

Di kesempatan yang ada, kami sering juga makan tengahari bersama. Berkunjung ke rumah antara satu sama lain merapatkan ukhwah yang sedia terjalin indah.

Lusa, kami akan bercuti bersama lagi. Kali ini kami akan berkongsi kegembiraan di pantai Batu Feringghi. Sejak seminggu lalu kami tidak henti-henti berhubung antara satu sama lain. Siapa nak masak apa. SIapa nak bawa apa. Pukul berapa nak bertolak. Dan macam-macam lagi.

Yang pasti, kami akan bersantai di pasiran pantai, berbual hingga ke pagi sambil makan kuaci, bergurau sambil memasak, anak-anak berebut makanan, menyanyi dan ketawa bersama. Satu lagi yang pasti, kaum ayah akan duduk di satu penjuru, bersembang tentang kail, tentang masjid, tentang bot, tentang bulan.... kadang-kalanya cerita yang sama diulang-ulang tanpa henti....

Kepada sahabat-sahabat ini, terimakasih kerana memberi kegembiraan kepada saya di kala saya dirundung duka. Terimakasih kerana sudi bersama saya mewarnai kehidupan yang suram di tahun 2011 ini. Terimakasih kerana saling menyayangi biarpun kita tiada ikatan. Semoga ukhwah yang kita bina ini berterusan hingga akhir nanti.....

Monday, December 19, 2011

Akan berlabuh tirai 2011

Tahun yang penuh dengan awan mendung...

Dua belas bulan kami harungi dengan rasa yang sarat. Rasa gundah, rasa sedih, rasa sunyi, pelbagai rasa.

Ada ketika kami ketawa ria. Kuat kadangkala. Tetapi tawa kami dihimpit duka. Aaahhhh.....begitu mencabar sekali.

Bila dikenang kembali, jantung terus berdebar kencang. Subhanallah....Dia sentiasa permudahkan urusan kami. Andai saja kami lupa padaNya atau tidak yakin dengan pertolonganNya, pasti kami sudah kehilangan banyak. Tuhan...jangan Kau bebani aku dengan beban yang tidak mampu ku pikul....

Tahun yang suram ini akan kami akhiri dengan penuh warna warni. Harapan kami agar mentari 2012 bersinar indah bersama warna pelangi mewarnai kehidupan kami sekeluarga. Dikurniakan kami kesihatan yang baik, rezeki yang melimpah ruah, kasih sayang yang membuak-buak, kedudukan yang tinggi dan mulia di sisiNya dan masyarakat, dan tentu sekali, kami mengharap keredhaanNya dalam segala usaha kami....

Amin.

Wednesday, December 14, 2011

Allah itu Maha Mendengar

Lebih setahun saya memendam rasa. Banyak yang berlaku dalam tempoh setahun ini. Hanya doa dan airmata menjadi peneman saya. Namun begitu, saya bersyukur yang amat sangat kerana dalam kesusahan, Dia beri kesenangan.

Beberapa hari lalu, di antara azan Maghrib dan iqamat, saya angkat tangan memohon kepada Dia apa yang amat saya harapkan. Usai solat Maghrib, saya pindah ke belakang kerana saf saya tadi agak sempit. Dalam kesamaran (cermin mata dalam beg), saya dipeluk oleh seorang remaja ayu.

Selepas solat Isyak, saya sujud syukur. Terungkai sudah persoalan yang membebani kehidupan saya dalam tempoh setahun ini. Tanpa bertegang urat, tanpa soal menyoal, tanpa konfrontasi, tanpa ungkit mengungkit, tanpa kata mengata, cela mencela.... Ternyata, saya di pihak yang benar.

Saya tiada upaya untuk bersemuka dengan mereka yang melukakan saya, mahupun berkonfrontasi. Saya hanya mampu mengangkat tangan berdoa dan meminta dariNya di setiap ketika. Saya amat yakin Dia akan membantu saya. Namun, kerana kasihNya kepada saya, Dia uji saya dengan masa. Kesabaran saya kadangkalanya hilang entah di mana, tetapi, saya kembali ke garis mula dan saya perbaharui kesabaran saya.

Setahun bukan tempoh yang singkat. Tersisih dan tersingkir boleh membuat seorang manusia hilang keyakinan. Apatah lagi manusia lemah seperti saya.

Alhamdulillah. Ia kini sudah menjadi sejarah. Ia kenangan pahit yang manis.

Sunday, December 11, 2011

Kawan-kawan : Gembira dan duka

Azhari

Kawan sekolah saya mengadakan kenduri perkahwinan anak sulungnya dengan gilang gemilang di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara Sabtu lalu. Kami tiba dari Langkawi pukul 715 malam. Baju dan kasut telah siap diatur oleh Lala dan Tini di rumah. Boss bersiap di atas dan saya bersiap di bawah. Bersama Suliman, kawan sekolah yang juga jiran, kami terus memandu ke Bukit Kiara. Sampai di luar dewan, kelihatan Azhari dan pengantn sedang menanti perarakan masuk ke dewan. Melihat kami, Azhari segera meninggalkan barisan dan memeluk erat Boss dan Suliman.

Kami masuk ke dalam dewan serentak dengan penganyin dan dif-dif kehormat. Tanpa menghiraukan protokol, tangan saya sibuk melambai kearah kawan- kawan yang kegirangan menyambut kedatangan kami.

Lebih kurang 35 orang kawan sekolah berserta pasangan masing-masing hadir pada malam itu. Hilang entah ke mana segala atur-cara. Hampir kesemua kami berjalan ke meja kawan-kawan, bertanya khabar, bergurau, bermesra dan bergelak ketawa. Indah sungguh malam itu. Kesemua tetamu samada berbaju batik atau berbaju melayu. Kaum wanita mengerlip-ngerlip kelihatannya.

Tidak terasa kepenatan biarpun seharian dalam perjalanan. Kami tiba di rumah hampir pukul 1 pagi. Bersama senyuman berpanjangan. Disambung pula dengan post-post di dalam facebook dan YahooGroup.

Alhamdulillah. Tahun depan giliran siapa lah agaknya terima menantu? Lala kata, "ma...akak lambat lagi tau!". Errrmmmm... Bukan giliran saya gamaknya tahun depan. Tetapi, jodoh pertemuan kan aturan Allah?

2. Nora Azmah

Beberapa hari lalu saya ada menulis tentang kawan rapat saya, Nora, yang baru dibedah kerana ketlumbuhan.

Tengahari tadi saya hububgi Nora. Suaranya girang bila berbual di talipon biarpun saya tahu dia tidak sihat. Kami berbual, dan Nora sampaikan berita duka buat saya...

"Su, doktor dah confirmkan yang Nora ada kanser, Su....! Kepala saya terus berdenyut kesakitan. Saya ke dapur dan mencapaipinggan nasi, lalu saya ambil kesemua lauk di atas meja dan makan, tambah lagi dan makan lagi... Saya menangis mendengar kisah Nora....sedangkan dia ketawa...

Lepas solat zuhur, saya talipon Norly memberitahu keadaan terbaru Nora. Kami sama-sama menangis.... Norly sempat bertanya "adakah engkau memang seorang yang kuat menangis, Su?"

Saya jawab, "tidaklah sangat. Tapi, lepas balij haji ni hati aku amat mudah tersentuh, terutamanya bila aku dapat tahu ada orang lain yang dalam kesusahan...dan aku tidak berupaya untuk membantu..."

Tuhan.....ampuni Nora dan berkati segala urusannya.....

Thursday, December 8, 2011

Minggu yang padat

Sepanjang minggu ini kami di luar kota. Saya bertugas di Pulau Pinang dan Langkawi. Boss terpaksa menjadi pemandu. Abey dan Abo menjadi pengikut setia. Perjalanan Shah Alam - Permatang Pauh - Batu Feringghi - Permatang Pauh - Kuala Perlis - Batu Feringghi - Kuala Kedah - Batu Feringghi - Permatang Pauh -Batu Feringghi - Kuala Perlis - Shah Alam, berjumlah hampir 2000 km. Belum ditambah feri Kuala Perlis - Pulau Langkawi - Kuala Perlis. Jumlah hari, 8 hari. Penat badan tidak terkira. Biarpun menginap di hotel yang nyaman, tetap terasa penatnya.

Saya terpegun dengan satu fakta menarik yang berlaku di sepanjang perjalanan kami. Jimie ditawarkan menjadi jurugambar untuk pelancaran oleh PM sebuah syarikat di LIMA Langkawi pada pagi Selasa. Dia berada dalam satu pasukan yang pro, tetapi Jimie baru sangat belajar mengambil gambar. Hri Isnin dia ada kelas sampai pukul 7. Event hari Selasa pukul 9. MAkanya Boss menjadi pemandu F1, mengambil Jimie dari kolej dan tidur di hotel kami. Keesokan paginya menghantar Jimie seawal pukul 4 pagi ke Kuala Perlis untuk menaiki feri pukul 7. Malamnya Boss memandu ke Kuala Kedah untuk menjemput Jimie yang mengambil feri pukul 7 malam, membawanya pulang ke hotel dan keesokan paginya menghantar semula Jimie pada pukul 6 pagi kerana dia ada kelas jam 8. Allah hu akbar.... Andaikata saya tidak punya tugasan di Pulau Pinang pada tarikh itu, siapa agaknya yang akan menghantar dan menjemput Jimie? Andaikata Boss tidak punya kelapangan, biarpun saya ada mesyuarat, sudah pasti saya akan ke Pulau Pinang menaiki kapalterbang.... Juga tiada siapa yang akan menghantar dan menjemput Jimie.

Perencanaan Allah amat tepat. Jawapannya lengkap.

Boss juga ada 'opportunity cost'. Berada jauh dari kedainya bermaksud kehilangan pendapatan. Nampak dari sudut matanya keresahan meninggalkan kedai untuk tempoh masa yang lama. Kenyataannya Allah telah mengatur sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh akal kita manusia tentang rezeki. Ditemukan Boss dengan sahabat2 lama di Pulau Pinang....dan terbuka peluang untuk diterokai. Subhanallah! Begitu sekali Dia menjawab permohonan kita hambaNya yang sentiasa memohon, mengangkat tangan mengadu keresahan dan kegundahan hati.... Merintih dan merayu agar dilmbutkan hati-hati yang membeku dan dimudahkan urusan yang sedang dilakukan.

Malam ini malam terakhir kami di pulau lagenda ini. Melihat begitu banyak coklat yang dijual di kedai2 amat mengujakan. Debaran jantung saya begitu kuat bila Abo jalan senget-senget dalam kedai Hj Ismail.... Andai tersinggung pinggan mangkuk Vantage, Corelle, Pyrex....fuuuhhh... Masak kami nanti.... Semuanya cantik, hanya duit saja yang tidak cantik.....

Berkati usaha kami Ya Allah. Hanya redhaMu yang kami harapkan.

Thursday, December 1, 2011

Ada sebabnya.

Selepas solat Subuh pagi tadi, di bawah pimpinan Ustaz Firdaus Subhi, kami membaca semuka lagi surah Ad-Dukhan bermula dari ayat 38 yang terjemahannya berbunyi begini:

"Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara main-main."

Saya amat mensyukuri nikmat dan rahmat yang Allah kurniakan kerana dapat memahami dengan jelas maksud ayat di atas dengan mengaitkan apa yang saya alami semalam.

Pembantu saya membuat tempahan bilik hotel untuk saya di Pulau Pinang. Disrbabkan masa yang singkat dan terhad, ditambah dengan cuti sekolah dan kebtulan tempahan adalah untuk hujung minggu, makanya saya perlu membayar wang deposit. Saya tidak punya kad kredit. Pilihan lain adalah membuat bayaran melalui e-banking atau di mesin CDM.

Saya cukup malas untuk keluar dan memasukkan duit ke dalam bank A yang jauh. Saya tidak punya sebarang baki di dalam akaun bank tersebut. Wang gaji saya ada di bank B. Sehingga pukul 330 semalam, saya masih memberi pelbagai alasan kepada Ina kerana malas untuk keluar. Kebetulan saya menjalani minggu yang amat sibuk sejak Selasa lalu.

Ina tarik muka masam kerana jika saya lambat, dia juga yang akan bertanggngjawab. Selepas pukul 6, jika pihak Hotel tidak menerima pengesahan deposit saya, tempahan akan dibatalkan. Jenuh pula Ina kena cari hotel lain...

Sedang saya memasukkan kepingan wang RM50 ke dalam mesin, saya ditegur oleh seorang lelaki di mesin sebelah saya. Rupanya Osman, suami kawan baik saya, Nora, telah menerhatikan saya sejak mula.... Sengaja dia tidak mahu menegur saya dari awal kerana ingin melihat reaksi saya.

Kami pun bertanya khabar. Tatkala saya tanya khabar Nora, Osman kata, "i tunggu you kat luar pintu, Su. Ramai orang ni ha..."

Sebaik saya keluar, Osman mengajak saya berjalan menuju ke keretanya. Saya ternampak wajah lesu Nora sedang bersandar di kerusi penumpang. Sebaik pintu dibuka, saya peluk Nora dan terus airmata saya mengalir laju.... Nora kelihatan terlalu lesu dan langsung tidak bermaya. Tubuhnya yang sedia kurus hanya tinggal tulang dan kulit. Warna kulit Nora yang putih kuning hanya putih pucat. Pelukannya langsung tidak terasa walaupun kelihatan dia memeluk saya erat....

Sambil menyangkung, saya mendengar kisah Nora. Sebulan yang lalu beliau menjalani pembedahan major disebabkan ketumbuhan di pankreas dan hempedunya. Nora tidak pernah sakit atau menghadapi sebarang simtom kesakitan. Seminggu lepas Aidilfitri, Nora perasan yang air kencingnya berwarna seperti teh O. Namun dia tidak mengendahkan keadaan itu kerana beranggapan dia kurang minum air di bulan puasa. Seminggu kemudian, Nora perasan yang seluruh tubuhnya berwarna kuning, termasuk mata putihnya. Nora lants ke hospital. Diagnosis awal doktor mengatakan ada batu di hempedu. Selepas menjalani endoskopi yang menyakitkan, Nora diberitahu ia adalah ketumbuhan yang semakin membesar. Lalu Nora dipindahkan ke hospital Selayang. Pembedahan mengambil masa 8 jam. Sewaktu dalam pemerhatian, Nora mengalami pendarahan dalaman pula. Selepas 10 jam kemudian barulah keadaan Nora stabil. Rupanya ketumbuhan bukn hanya di hempedu. Doktor membuang kedua-dua organ penting Nora...

Selepas pulang ke rumah, luka pembedahan Nora bernanah dan cantumannya beretas. Nora dimasukkan kembali ke hospital dan terpaksa menjalani dressing demi dressing sehingga semua nanah dikeluarkan dan luka tadi dijahit semula. Menurut Nora, dia berada dalm kesakitan yang tidk terhingga tatkala menjalani proses tersebut.

Nora bertinggian 5' 4", dan berat biasanya sekitar 48 -52 kg. Kini berat Nora hanya 36kg! Waktu tangan saya memegang tangn Nora, Osman berkata,

"Su, transfer sikit daging you kat Nora!"

Dalam ketawa, saya pasti kami semua sedang menangis....!

Nora juga tidak mampu berjalan tanpa bantuan. Dia perlu dipimpin, jika tidak dia akan terjatuh....

Subhanallah.... Allah gerakkan hati saya untuk ke Bank pada ketika itu dan ditemukan saya dengan Osman. Dia tidak gerakkan saya untuk pergi 5minit awal atau 5 minit lewat....

Nora ternyata amat menghargai pertemuan kami. Dia telah lama merindui saya. Disebabkan Nora seorang yang agak memencilkan diri, dia tidak menyimpan nombor kami kawan-kawan lamanya, malah dia juga tidak pernah melayari Fb biarpun saya perasan dia memegang BB!

Saya berdoa agar Allah mudahkan kehidupan Nora. Mudah-mudahan Allah ringankan bebn kesakitannya dan diberi kesembuhan segera. Saya berdoa dengan penuh khusyuk tadi dan akan terus berdoa memohon agar keputusan ujian tisu Nora yang kn diketahui Isnin ini tidak menunjukkan sebarang tanda kanser....

Nora dan saya berkongsi kehidupan di universiti bersama-sama selama 5 tahun! Kami sekelas, sebilik dan serumah.... Begitu eratnya persahabatan kami.... Cuma Nora terlalu reserved orangnya dan agak pasif dalam pergaulan....amat bertentangan dengan sifat saya....

Allah hu akbar!

Saturday, November 26, 2011

Maal Hijrah dan Ukhwah

Petang semalam saya berpeluang bersama dengan ratusan jemaah mengaminkan doa akhir tahun yang dibacakan oleh Imam Firdaus beberapa minit sebelum azan Maghrib. Usai azan Maghrib, kami mengaminkan pula doa awal tahun yang dibaca dengan suara sendu dan esakan kecil yang meruntun kalbu.

Solat Maghrib yang juga dihadiri oleh pembesar negeri termasuk Tengku Panglima Selangor menjadi bertambah syahdu dengan suara lantang Imam Karim. Antara ayat-ayat yang dibacanya ialah tentang taubat nasuha. Subahanallah. Sekeras mana pun hati yang mendengar, akan tercubit juga dengan suasana yang memilukan itu.

Amiruzzaman, sahabat Boss yang berasal dari Bangladesh kebetulan berada di Shah Alam sejak tengahari semalam. Kami bertemu dengannya sekitar jam 345 petang. Wajahnya kusut masai dan begitu lelah kelihatan. Amir mengeluh dengan kekalutannya menghadapi hari-harinya. Si isteri yang sedang menyiapkan PhD seringkali stress dengan pembelajarannya. Amir sebagai partner kepada sebuah firma akitek di Australia bekerja di sebelah malam kerana perbezaan waktu. Tugasnya menuntut fokus yang tidak sedikit. Setiap siang, Amir perlu menjaga anak-anaknya yang masih kecil. Masa untuk Amir tidur terlalu singkat. Itu membuat beliau tidak keruan dan keliru.

Boss akhirnya mengajak Amir untuk bersama kami ke Masjid Negeri. Dalam ketidakpastian, Amir mengikut langkah kami. Rupanya beliau belum bersolat Zohor. Eloklah juga kami dapat menariknya sedikit. Selepas Asar, Amir memohon supaya dia dibenarkan untuk berada terus di dalam Masjid sehingga Maghrib. Alhamdulillah, nampak sedikit kelonggaran di wajahnya yang begitu tegang sebelum itu.

Sambil mendengar Forum yang bertajuk 'muhasabah diri sempena hijrah', saya terima teks dari anak saudara saya. Saya terpikat dengan garapan ayat-ayatnya, tentang ukhwah. Lalu saya ubah suai sedikit di sana sini dan saya forwardkan kepada rakan-rakan saya. Tanpa diduga, banyak sungguh balasan sms yang saya terima. Keadaan itu amat mendamaikan. Kita berdoa untuk saudara kita, dan kita tahu mereka juga berdoa untuk kesejahteraan kita. Semoga doa-doa kita semua diterima.

Ukhwah itu bukan terletak pada pertemuan, bukan pada manisnya ucapan di bibir, tetapi ingatan seseorang pada saudaranya dalam doanya.

Itulah antara bait-bait perkataan yang berrita tentang ukhwah. Semoga rakan-rakan yang membaca entri ini dirahmati Allah sentiasa. Hnya redha Allah yang kita harapkan dalam menempuh perjalanan hidup di dunia dan akhirat.

Hijrah bukan sesuatu yang mudah. Sejarah membuktikannya. Dan dugaan yang paling besar adakalanya datang dari orang yang paling dekat dengan kita.... Allah hu akbar!

Wednesday, November 23, 2011

Fokus yang berbeza

Hati meruntun hiba mengikuti bacaan Al Waqiah oleh Imam Besar Ahmad Mustafa waktu Subuh tadi. Sesekali suara beliau serak dan tersekat-sekat. Beliau sebak dan menangis, pastinya ramai jemaah yang merasainya.

Sampai di rumah, di TV9 bersiaran pula rancangan Tanyalah Ustaz bersamaUstaz Roslan yang membicrakan tentang 'Membina Hidup Berkualiti'. Beliau bicara tentang merindui Allah. Tentang caramana untuk kita membina hidup yang lebih kualiti. Akal cerdik yang Allah beri bersama ilmu akan dapat membezakan benar dan salah, putih dan hitam....

Selepas beberapa ketika, saya menyedari bahawa fokus saya kini mula beralih sedkit demi sedikit. Apa yang saya kejar kini tidak sama dengan apa yang pernah saya kejar dulu. Apa yang saya minati kini amat berbeza dengan apa yang saya minati sebelum ini.

Mungkin saya telah menyakiti hati segelintir mereka yang rapat dengan saya sebelum ini kerana perubahan yang mereka anggap 'abrupt' dan 'drastik'. Seribu kemaafan yang saya pohonkan. Tiada niat di hati saya untuk menyisihkan sesiapa.

Allah amat menyayangi saya. Diujinya saya dengan ujian-ujian hbat, satu demi satu, seolah tnpa heniti, untuk saya kembali kepadaNya. Untuk saya serahkan seluruh jiwa dan raga saya padaNya, tanpa sangsi, tanpa ragu. Alhamdulillah, kekuatan hati saya perolehi bila saya alihkan fokus saya. Bukan lagi yang biasa saya fokuskan.

Patutkah saya alihkan kembali fokus kehidupan saya semata-mata untuk menjadikan saya manusia yang biasa dikenali oleh orang lain? Saya sudah mendapat jawapannya. Fokus saya kini memberi saya ketenangan dan kekuatan yang tiada tolok bandingnya. Saya tidak mahu hidup dengan membiarkan hati saya terumbang-ambing. Makanya, biarlah saya disisih jika itu dapat menggembirakan orang lain. Saya tahu apa yang saya mahu. Biar fokus saya di situ. Saya hanya mengharap keredhaanNya.

Sunday, November 20, 2011

Jawapan kepada Soal Hati

Beberapa hari lalu hati saya diusik dengan beberapa keadaan yang meninggalkan kesan. Gundah gulana hati ini mengenang beratnya ujian Allah di kala sinar kegembiraan baru mula menampakkan wajah.

Kadang-kala terfikir mahu meraung kerana merasa terlalu disakiti. Mujur saja masih waras dan masih mampu tersenyum. Biarlah. Biarkan si luncai terjun dengan labu- labunya.

Sesi persekolahan Abo untuk tahun ini diakhiri dengan konsert. Untuk pertama kalinya, Abo dan sahabat-sahabatnya mempersembahkan dikir barat dalam bahasa Inggeris. Masya Allah comel-comel anak- anak ini, melagukan 'Islam is a way of life' dengan rentak Kelantan, sambil membuat gerak tari Dikir Barat.... Saya salute pada guru-guru yang penuh dedikasi ini.

Konsert dimulakan dengan bacaan Quran surah Al-Hujurat ayat 1 - 13. Tidak saya sangka airmata saya turun selaju- lajunya mendengar suara merdu seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang hafaz ayat-ayat ini. Terutama sekali ketika ayat 11 - 13 dibacakan, saya membaca terjemahannya yang menjawab soalan di hati saya:

Ayat 11: O you who believe! Let not a group scoff at another group, it may be that the latter are bettere than the former. Not let (some) women scoff at other women, it may be that the latter are better than the former. Nor defame one another, nor insult one another by nicknames. How bad is it to insult one's brother after having Faith (i.e. To call your Muslim brother ( a faithful believer) as: "o sinner", or "o wicked). and whosoever does not repent, then such are indeed wrongdoers.

Ayat 12: O you who believe! Avoid much suspicion; indeed some suspicions are sins. And spy not, neither backbite one another. Would one of you like to eat the flesh of his dead brother? You would hate it (so hate backbiting). And fear Allah,. Verily, Allah is the One Who forgives and accepts repentance, Most Merciful.

Ayat 13: O mankind! We have created you from a male and female, and made you into nations and tribes, that you may know one another. Verily, the most honorable of you with Allah is that (believer) who has At-Taqwa. Verily, Allah is All-Knowing, All Aware.

Saya sebak mendengar ayat-ayat Allah yang begitu syahdu. Hati yang gundah gulana menjadi tenang setenang tenangnya. Ayat Allah tidak menipu. Seorang yang dihina mungkin jauh lebih baik dari yang menghina. Andai semua kesalahan adalah dari pihak saya, hanya kepada Allah saya pohon keampunan. Katalah saya sepuasnya, mengikut rumusan sendiri. Saya tidak akan melawan mahupun membuka mulut. Saya akan terus berdoa agar Allah membuka pintu hati kita semua untuk bertaubat dan kembali padaNya.

Tiada apa yang perlu dirisaukan tentang diri saya. Saya ada Allah bersama saya. Dia tidak akan sia-siakan saya.

Allah hu akbar!

Wednesday, November 16, 2011

Menghadapi Ujian

Saya pernah mendapat mesej seperti ini dari seorang insan yang istimewa:

Allah menguji hambaNya kerana Dia sayang padanya....

Saya sedang menerapkan kenyataan itu di dalam hati saya. Dengan sepenuh jiwa dan raga saya. Dia sayangkan saya.

Hari-hari kita diuji. Dengan kesenangan dan kesusahan. Sebagai makhluk hina yang lemah, kita akan bergembira ketika mendapat kesenangan dan berduka ketika mendapat kesusahan. Sesekali berkata sang hati yang sedang berduka....Bilalah agaknya aku akan dapat hidup senang?

Tatkala mendapat kesenangan, hati berkata....Jangan Kau duga aku dengan dugaan yang tidak mampu ku tanggung Ya Allah....

Sesungguhnya ujian itu datang setiap hari. Selagi masih ada nafas yang mampu kita hela, selagi itu Allah menguji hambaNya. Hamba yang menyedari dan menghadapi ujian dengan redha, tentu sekali hamba yang tahu bahawa Allah amat mengasihinya.

Semoga ujian yang setiap hari saya tempuh menjadikan saya hamba yang sangat mengasihiNya. Hanya Dia di hati ini. Buatlah apapun pada saya. Katalah apapun. Ujilah kesabaran saya dengan segala perancangan paling hebat dan tersusun. Saya tahu kuasa Allah tiada siapa yang boleh melawan. Jika Dia berkehendakkan sebaliknya, terlucutlah segala mahkota yang sedang dijunjung. Kita semua hanya hamba. Bukan sesiapa pun di sisiNya.

Saya sedang menghadapi ujian yang memerlukan kesabaran tingkat tertinggi. Mudah-mudahan Dia permudahkan. Mudah-mudahan Dia dengar rintihan hati saya di setiap ketika. Mudah-mudahan saya mendapat kekuatan yang luar biasa dariNya. Tiada sedetik lebih pun yang akan seorang hamba itu nikmati andai Dia tidak menginginkannya.

Sabarlah. Masa gemilang pasti akan tiba. Ia lebih hakiki. Lebih kekal abadi.

Monday, November 14, 2011

Hamba Yang Maha Pemurah

Abdul Rahman didaftarkan tanpa 'bin'. Ia jadi begitu kerana Jabatan Pendaftaran Negara tidak mahu menerima surat nikah ibu bapanya kerana ia tidak mendapat pengesahan Kedutaan Indonesia di Malaysia. Untuk mendapat pengesahan itu, ayah Rahman perlu hadir di Kuala Lumpur sedangkan beliau berada di kampungnya di Medan, Indonesia.

Maka kami biarkan saja nama Itu 'Abdul Rahman'. Insyaallah lepas dia 2 tahun nanti Pendaftaran akan membenarkan kami menukar/menambah nama si comel ini.

Sudah hampir seminggu Rahman demam. Asal malam suhu badannya naik. Puas sudah kami mandikan dia, tuam, sapu minyak, namun masih gagal. Berbotol-botol ubat dibekalkan oleh doktor selepas 2 kali kunjungan, masih tidak berhasil. Akhirnya pagi semalam Doktor ketiga yang merawatnya memasukkan dia ke dalam wad.

Pertanyaan klise doktor kepada saya, 'under insurance ke?'.

Saya jawab, 'ye.'

'Bilik single semua penuh. Ada Executive Ward dan Suite saja. Boleh saya tahu eligibility Puan?'

'Maaf Doktor. Saya tak pasti. Maybe hospital boleh check dengan insuran. Andai kata saya kena tambah, saya tambahlah. Anak saya ni demam dah lama. Saya tak sanggup tengok dia sakit macam ni.'

Selepas beberapa ketika, saya dipanggil oleh jururawat yang bertugas. 'Kita masuk wad 609 ye Puan?'

'Ada pulak bilik, Dik?' tanya saya selamba.

'Ada Puan. Ikut entitlement Puan, adik Rahman boleh duduk di wad Executive.' rajin si nurse muda ini memberi penjelasan.

Saya hanya mengangguk. Apa-apalah. Asal dia sembuh seperti sdiakala sudah memadai.

'Puan, rasanya nama Abdul Rahman ni tak lengkap. Apa 'bin' dia ye?'.

'Tak ada. Itu saja nama dia.'

'Maaf tanya, dia bukan anak Puan?'

Dengan berat hati saya menjawab, 'Dia anak angkat saya yang sah. Itu saja nama dia dalam surat beranak dia.'

Sambil tersenyum, jururawat itu membelai kepala Rahman seraya berkata, 'Bertuah dia Puan dapat keluarga macam keluarga Puan.'

Jawapan saya, harapnya tidak menyakitkan hati sesiapa, 'Allah yang beri ini semua kepada kita. Saya sebenarnya yang menumpang tuah dan rezeki dia. Nama dia pun hamba Yang Maha Pemurah. Doakan saya berjaya membesarkannya menjadi anak soleh.'

'Insyaallah Puan. Saya doakan.'

Rahman dijangkiti sejenis bakteria yang mengganggu sistem badannya. Dia cirit birit, muntah muntah dan demam panas yang berlanjutan. Sejak semalam air dimasukkan de dalam badannya. Suhunya melambung tinggi malam tadi. Malam tadi, kami (saya, Boss dan Abo) berkampung di bilik hospital yang mahal ini (lebih mahal harganya dengan semalam di Hilton KL). Bezanya, Boss tidur atas kerusi panjang dan Abo tidur atas toto...). Selang beberapa jam jururawat akan masuk dan mengejutkan kami....Dah nama pun hospital, bayarlah mahal manapun, ia bukan sesuatu yang menyeronokkan....

Semoga Rahman sembuh segera dan semoga kami terus diberi kesihatan yang baik, rezeki yang melimpah dan hati yang kuat untuk terus berupaya menjaga Rahman sebaik mungkin. Amin.

Thursday, November 10, 2011

Menelusuri India (3): Drama Filem Tamil

Saya diundang oleh Dr Shan dan isterinya untuk makan tengahari di rumah mereka. Kami menaiki kereta yang disewa oleh Dr Shan berserta pemandu sekali. Moorthi namanya. Anak muda ini memandu dengan laju biarpun jalan menghala ke Tambaram, kawasan tempat tinggal Dr Shan agak sesak. Perjalanan mengambil masa hampir sejam dan cuaca di luar amat terasa bahangnya.

Sampai di kawasan perumahan Dr Shan, saya terpegun melihat kawasan yang tersusun dan bersih dibandingkan dengan kawasan Tambaram yang agak kotor, berserabut dan tidak indah dipandang mata.

Saya diberitahu oleh Dr Shan bahawa hampir kesemua penduduk taman tersebut terdiri dari pegawai tinggi kerajaan, pensyarah university berhampiran dan pegawai tinggi bank. Patutlah pun kawasannya cantik.

Rumah Dr Shan agak moden dan besar. Suasana di persekitarannya sama seperti di tempat kita. Selepas menurunkan kami berdua, Moorthi berlalu pergi untuk makan tengahari di kedai berhampiran.

Selepas beberapa ketika di rumah Dr Shan dan bersembang dengan isteri dan anak lelakinya, Dr Shan kemudian mengajak kami makan di luar. Katanya ada restoran yang menghidangkan makanan lazat tidak jauh dari rumahnya. Cuaca di luar panas terik namun untuk tidak menghampakan Dr Shan dan keluarga yang beria-ia mengajak, maka saya pun bersetuju.

Saya melihat Dr Shan bercakap di talian dengan Moorthi. Kemudian Dr Shan memberitahu kami bahawa Moorthi akan tiba agak lewat kerana dia pulang ke rumahnya. Maka kami meneruskan sembang kami semula.

Kami semua terkejut tatkala melihat kereta Moorthi telahpun berada di luar pagar rumah Dr Shan tidak sampai 10 minit selepas itu. Dr Shan sendiri bingung kelihatannya kerana jarak antara rumah Moorthi dan rumah Dr Shan memerlukan paling kurang 30 minit untuk sampai.

Moorthi tersengih-sengih bangga bila dipuji tentang betapa hebatnya dia kerana berupaya tiba dengan begitu cepat biarpun kami agak musykil dengan kehebatannya itu.

Sedang kami asyik bersembang di dalam kereta, Moorthi menekan brek secara mengejut. Hampir saja saya dan isteri Dr Shan yang duduk di tempat duduk belakang jatuh tersembam. Berderau darah saya dan berdegup laju jantung saya.

Saya lihat lebih 10 lelaki perkasa datang dan mengerumuni kereta kami. Wajah-wajah mereka sungguh bengis sekali. Seorang mula mengetuk tingkap pemandu dengan kasar dan beberapa yang lain menjerit-jerit di belakangnya. Mulut saya benar-benar terlopong melihat insiden yang amat menarik perhatian ini. Namun bila menyedari bahawa keadaan sebenarnya agak merbahaya, tiba-tiba saya tersedar yang saya sedang membaca segala macam doa yang saya tahu.

Dr Shan gusar sebaik melihat salah seorang dari lelaki tadi mencekak leher Moorthi sebaik sahaja tingkap dibuka. Kepala Moorthi hampir terkeluar dari tingkap dan badannya sudah mula terangkat dari tempat duduk. Saya gerun melihat Moorthi dalam kesusahan untuk bernafas. Isteri Dr Shan di sebelah saya sudah mula menangis.

Dengan lagak hero, Dr Shan keluar dari kereta dan mendekati lelaki-lelaki tadi. Moorthi masih dalam genggaman lelaki yang berbadan paling sasa. Pening kepala saya cuba memahami apa yang sebenarnya berlaku. Sekejap saya menoleh ke kanan, sekejap ke kiri….mengikut layangan tangan kesemua mereka yang mahu bercakap serentak. Kuat pula tu…. Kata orang Johor, “berdempih-dempih” suara mereka.

Hampir 10 minit juga drama ini berlangsung. Akhirnya saya lihat kesemua mereka bersalaman dengan Dr Shan dan beredar. Lelaki sasa yang mencekak leher Moorthi sempat lagi menampar kepala Moorthi sebelum meninggalkan kereta kami, dan sempat juga meludah ke tanah sambil tangannya menunjukkan signal marah yang amat sangat.

Sebaik Dr Shan masuk semula ke dalam kereta, dia mengarahkan Moorthi untuk terus beredar dari situ. Saya nampak Dr Shan melambaikan tangannya ke arah kumpulan lelaki tadi sambil tersenyum. Tidak sabar rasanya untuk tahu apa yang sebenarnya terjadi, saya kemukakan soalan cepumas kepada Dr Shan. Namun Dr Shan meminta saya bersabar dan sebaliknya dia bertanya Moorthi bertalu-talu.

Selepas berpuas hati dengan jawapan Moorthi, Dr Shan berpaling ke arah saya dan menjelaskan hal sebenar. Rupanya, kumpulan lelaki tadi amat marah kepada Moorthi kerana memandu terlalu laju sewaktu dia melalui jalan tersebut untuk menjemput kami dari rumah Dr Shan.

Saya tanya Dr Shan samada Moorthi ada melanggar sesiapa; samada manusia atau binatang peliharaan mereka.

Sambil ketawa Dr Shan menjelaskan bahawa Moorthi tidak mengakibatkan kecederaan kepada seekor lalat pun, apatah lagi seorang manusia atau seekor ayam. Mereka marah kerana sebagai seorang ‘pemandu’, Moorthi tidak tahu menghormati mereka, penghuni taman tersebut yang merupakan golongan kelas atasan.

Saya tepuk dahi dan sandarkan badan saya….. Begitu sekali pandangan mereka kepada orang bahawan.

Dr Shan menyambung cerita bahawa kumpulan itu menjadi lembut selepas Dr Shan menjelaskan bahawa Moorthi telah diarahkan olehnya untuk datang secepat mungkin untuk menjemput kami, dan saya adalah wakil kerajaan Malaysia yang datang membuat lawatan ke India. Dr Shan juga telah memperkenalkan dirinya sebagai seorang Profesor di Universiti Madras dan telah menghuni di situ sejak 20 tahun lepas.

Kata Dr Shan lagi…di India, bagi golongan bawahan seperti Moorthi yang bekerja sebagai pemandu, nyawa mereka bukan sesuatu yang bernilai. Orang seperti Moorthi ada beratus juta di India. Kehilangan separuh dari mereka pun tidak akan memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Subhanallah…. Di India, wang ringgit, kedudukan, pangkat, kasta dan keturunan amat dipandang tinggi… Apa yang dipaparkan dalam filem-filem Hindi dan Tamil sebahagiannya adalah berdasarkan kisah benar dalam hidup masyarakat India…..

Thursday, November 3, 2011

Menjaga anak kecil

Alkisah....bermulalah episod baru dalam hidup kami. Tini, pembantu rumah yang juga ibu kandung Rahman, pulang ke kampungnya pagi Isnin lalu. Kalut satu rumah dibuatnya....

Hari pertama, badan rasa macam nak demam dibuatnya. Manakan tidak, semua nak dibuat. Kena pula kami sedang berusaha menghabiskan puasa Zulhijjah. Rahman pula tidak mahu menurut kata... Aduhhhai.... Malam ituseawal pukul 845 saya sudahpun berdengkur di sebelah Rahman. Kepenatan yang melampau...Setela bertahun tidak bangun malam membancuh susu, Boss pastinya pening-pening bangun 3 kali satu malam. Elok pulak si kenit ni terjaga seawal pukul 430 pagi.... Aduh...penat melayan mulutnya yang tidak berhenti dan pergerakan tubuhnya yang cukup lasak.

Hari kedua, keadaan agak stabil. Kerja rumah sudah dibahagikan sama rata. Thermos dan botol susu lain juga sudah dibeli. Boss tidak perlu turun ke dapur untuk membancuh susu. Mata juga sudah terjegil seawal pukul 4 pagi. Bila dia terjaga, kami sudah boleh menangani keletahnya.

Di usia setahun sebulan, Rahman seorang yang cukup lasak. Degil pun banyak juga. Namun kami semua amat menghargai kehadirannya. Tercuit hati tatkala meninggalkan dia saban pagi di Taska Mama Noni...dia pasti menangis sekuat hati sambil menjerit "Mamaaaa...". Setiap petang sebaik dia nampak wajah kami di pintu Taska, dia akan menangis teresak-esak dan memeluk erat kita yan mendukungnya.

Dalam hidup Rahman, dia hanya ada kami berenam sebagai saudara yang dikenalinya. Mak ayahnya jauh di seberang. Adik beradiknya, Datuk nenek, mak saudara dan bapa saudara tidak pernah mengenalinya.

Terimakasih Ya Allah kerana menghadiahkan dia kepada kami. Insyaallah kami akan pelihara dan didik dia menjadi hambaMu yang solih...

Sunday, October 30, 2011

Menjengah ke Seberang


Pemandangan dari atas Tugu MONAS - Jakarta yang pesat


Sesekali berdua



Anak-anak pasti cemburu


MONAS - Puncak menara ini disaluti dengan emas tulin.


Di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta


Kawah gunung berapi di Tangkuban Perahu


Bukti dah sampai ke Tangkuban Perahu


Tangkuban Perahu - sebuah kawah yang begitu besar


Ana mengadap pinggan kosong - kekenyangan makan Nasi Padang

Satu hari di bulan puasa yang lalu, saya terima panggilan dari seorang rakan:"Suria, hang dah pernah ke Bandung? Aku nak ajak hang gi shopping la..."

Saya memang belum pernah menjejakkan kaki ke tanah seberang, walaupun banyak negara lain telah saya jelajahi. Bershopping hingga ke Bandung? Agak kelakar untuk saya yang bukan seorang 'shopaholic".

Ana, rakan saya ini, rajin mem'browse' internet. Akhirnya dia berjaya mendapatkan tambang murah - terimakasihlah pada Air Asia. Setelah lebih 3 bulan menunggu, minggu lepas kami berpeluang menjelajah Jakarta-Bandung-Jakarta. Kami pergi berempat - kata budak-budak sekarang, double date. Iyalah tu.

Selain dari pertama kali ke Indonesia, itulah pertama kali kami tidur di lapanganterbang - Di Bandara Soekarno-Hatta. Penerbangan kami terlewat lebih dua jam. Kami tiba awal pagi. Tidak mahu membuang duit, kami putuskan untuk menunggu hari siang di atas pangkin yang tersedia di dalam lapanganterbang. Mulanya rasa pelik, tapi bila lihat bukan hanya kami yang mengambil tempat di situ, kami pun melabuhkan badan...dan apa lagi, zzzzzz lah kami. Terasa baru sebentar kami tidur, terdengar bunyi pengumuman penerbangan...terperanjat kami. Jam baru pukul 4....kami membersihkan diri mana yang patut dan mencari musolla berhampiran. Oh...sudah subuh rupanya!

Kami menaiki bas ekspres ke Bandung seawal pukul 8 pagi. Jalan yang macet dan cuaca redup tidak mengganggu tidur kami yang lena.... Sedar sedar kami sudahpun memasuki kota Bandung. Selepas merehatkan badan (Boss dan Che Li sempat bersolat Jumaat di Masjid Al-Ukhwah, di tengah kota), kami mengisi perut dengan makanan sunda - Nasi Liwet. Sedap juga makanannya, cuma ia agak asing dengan tekak kami.

Kemudian, bermulalah episod bershopping. Suhana dan Rosli memang pasangan sehati sejiwa. Cara mereka membelek barangan yang mahu dibeli amat mengagumkan. Di mana mahu bershopping di sini? Carilah branded jeans di Toko 3, dan pakaian-pakaian berjenama di Factory Outlets yang mewah-mewah di Jalan Dago. Sepanjang jalan dipenuhi dengan butik-butik yang cantik-cantik. Saya dan Boss berpisah dengan Ana dan Rosli. Kami keluar dan masuk ke hampir kesemua butik yang ada, dan berjalan kaki pulang ke hotel sekitar jam 730 malam tanpa membeli apa-apa....manakala mereka berdua mengetuk pintu bilik kami pada pukul 1030 malam, mengajak kami makan malam dan melayan kuaci! Indah sungguh situasi itu bila diingat...

Keesokan paginya, kami sempat berjemaah Subuh di masjid Al-Ukhwah sebelum dibawa Pak Supir ke Tangkuban Perahu. SUbhanallah, indahnya pemandangan. Saya dan Boss sempat mendapatkan taklimat di pejabat pelancungan yang ada di situ. Angin sejuk yang mengiringi kami di puncak gunung terasa amat nyaman. Sambil menunggu Ana dan Rosli, kami mengisi perut dengan tahu goreng, tempe goreng dan jemput-jemput jagung. Makan panas-panas, sedap sungguh. (Sebelum membeli, saya tanya Boss "Ana pesan jangan makan makanan atas ni. Takut sakit perut, Ok tak kalau kita makan ni?" Boss jawab, "Baca Bismillah. Insyaallah tak ada apa-apa.". Alhamdulillah,
kami tidak sakit perut...)

Kami kemudian menjelajah Pasar Baru Bandung. Baru saya tahu di mana pekedai-pekedai membeli barang jualan hariraya tempohari.... Sekali lagi, kami hanya membelek - Touch and Go. Seawal jam 5 petang, kami bertolak ke Jakarta.

Perjalanan panjang nan membosankan (hanya gelap gelita yang kelihatan) mendorong Boss untuk meneruskan tidurnya. Rosli setia menemani Pak Supir bersembang. Saya dan Ana sekejap tertidur, sekejap terjaga. Kami tiba di hotel hampir pukul 10 malam. Sedar tak sedar, handphone berbunyi pukul 300 pagi. Kami menaiki bajaj pada pukul 345 pagi untuk bersolat subuh di Masjid Istiqlal, antara 5 masjid terbesar di dunia.

Subhanallah, memang besar dan tersergam masjid ini. Suara merdu Pak Imam meruntun jiwa. Ramai jemaah yang datang dari luar Jakarta. Anak-anak muda di sana sini. Bangga melihat begitu ramai umat Muhammad membanjiri masjid biarpun ianya hari Ahad. Berdepan dengan

Masjid ini ialah Gereja yang lebih kurang sama besarnya dengan masjid. Allah hu akbar! Kuatkanlah semangat juang dan hati umat Islam di Jakarta ini. Jauhi mereka dari tipu daya syaitan dan manusia yang amat memusuhi Islam.

Kami teruskan jelajah Jakarta kami dengan menaiki Angkutan Kota ke Tanah Abang. Shoppers' Paradise la kata orang putih tu. Kemudian kami ke Pasar Pagi Mangga Dua pula. Shopping jugak! Saya mengalah akhirnya kepada kepenatan. Lebih sejam kami biarkan Suhana menyudahkan shoppingnya. Selepas pulang ke bilik dan menikmati makan malam, Ana dan Rosli menyambung shopping mereka di Pasar Malam pula....sedang kami berdua lena diulit mimpi...

Keesokan paginya, selepas berkesempatan menunaikan solat subuh sekali lagi di Masjid Istiqlal (kali ini Ana dan Rosli turut serta - kami berempat menaiki satu bajaj), kami ditemani Mas Erwan, anak muda yang peramah dan kelakar, mengunjungi Monumen Nasional (MONAS). Indahnya pemandangan kotaraya Jakarta yang padat dan pesat. Dari MONAS, kami menuju ke Jakarta Timur. Perjalanan lancar sambil dipenuhi gelak ketawa kami mendengar dongeng Mas Erwan seolah-olah melupakan kesesakan lalulintas. Kami sudahi lawatan bersejarah kami dengan menikmati makan tengahari di Wong Solo yang cukup enak makanannya, terutama sekali Ayam Penyet.... (Lain rasanya dengan yang banyak dijual di Malaysia...). Makanan yang enak di sini menyingkirkan rasa jemu dengan Nasi Padang - selepas berkali-kali kami menjamah juadah tersebut. Ana yang pada awalnya amat teruja dengan gulai kikil, akhirnya berkata "Setahun lagi baru aku makan Nasi Padang....!

Kami pulang ke tanahair membawa bersama kenangan manis yang akan segar terpahat dalam ingatan. Sesungguhnya ia adalah satu percutian romantik buat pasangan-pasangan veteran ini. Ia mengeratkan silaturrahim antara kami berempat dan pastinya ia menambah baja kepada kasih sayang yang tersemai antara kami berdua. Alhamdulillah....

Thursday, October 27, 2011

Penyucian jiwa di tanah suci

Musim haji sedang berada di kemuncak. Masjidil Haram mulai padat dengan jemaah yang datang dari segenap pelusuk dunia. Penerbangan dari Malaysia juga sudah hampir ke minit-minit terakhir.

Dua hari lalu saya diberi kesempatan menghantar Liza dan Khairi, teman rapat saya sejak kami masih kecil lagi, ke Kompleks Haji Kelana Jaya. Sebelum itu, kami sempat menghabiskan masa seharian di rumah mereka.

Terkenang kisah setahun lalu sebelum kami ke tanah suci. Liza berkata begini:

Su, aku nak sangat pegi haji....kau doakan aku dapat pegi ye tahun depan?

Sepanjang berada di tanah suci - Madinah, Mekah, Arafah, Muzdalifah, Mina - saya memohon agar Allah menjemput Liza dan Khairi menjadi tetamuNya tahun ini. Seingat saya, wajah Liza sentiasa bermain di mata sepanjang saya berada di sana. Rupanya, di tanahair, Liza cukup rajin menziarah anak-anak saya sepeninggalan kami. Setiap hujung minggu Abo akan diambilnya dan akan tinggal di rumahnya selama beberapa hari. Jasa dan perhatian Liza dan Khairi kepada kami sekeluarga hanya Allah yang mampu membalas.

Sepulangnya kami dari tanah suci, mereka berdua datang menziarah. Kami sarankan mereka untuk menghantar surat rayuan ke tabung haji dan mendaftar dengan agensi. Terngiang-ngiang di telinga saya ayat Khairi - duit dalam tabung haji pun entah dapat penuhkan ke tidak, inikan
pula nak pergi dengan ejen....

Boss jawab begini pada Khairi - Sapa kita untuk tahu apa yang Allah nak beri? Kalau kau memang betul-betul berhajat, kau kena minta betul-betul dari Dia. Soal duit, bukan urusan kau.

Alhamdulillah.....segalanya adalah sejarah. Hari ini tentunya Liza dan Khairi sedang mempersiapkan diri untuk berjihad. Kekuatan jiwa mereka berdua terserlah.

Saya pesan pada Liza - doa dan pohonlah apa saja padaNya di sana, terutama pada hari wukuf. Bertaubat dengan sesungguh taubat agar dosa dan aib kita tidak diperlihatkan di hari kebangkitan nanti. Mudah-mudahan kita akan kembali kepadaNya dalam keadaan suci bersih
dari segala noda.

Berjuraian airmata Liza bila saya juga berpesan begini:

Waktu kau melontar di hari 10 - iaitu di Jamratul Qubra, kau pastikan bahawa yang kau lontar itu adalah hatimu yang kotor, yang penuh dengan debu dan kekotoran yang kita kutip sepanjang 46 tahun hidup kita. Setelah itu, kau pohon agar hati yang ada dalam dirimu adalah hati baru yang putih bersih. Berjanjilah bahawa hati yang baru itu tidak akan kau cemari dengan sebarang kekotoran lagi hingga saat kau mengadap Dia..... Itulah haji. Aku harap kau bukan sekadar menunaikan rukun Islam yang kelima.

Emak Liza yang juga berada bersama menitiskan airmata. Dipeluknya saya erat. Di saat itu saya berdoa bahawa hati saya masih lagi putih bersih....sama seperti hati yang saya bawa balik dari tanah suci setahun yang lalu....

Ya Allah. Kurniakan kepada Liza dan Khairi serta semua saudara mara dan sahabat handai kami haji yang mabrur. Dan, kekalkanlah kemabruran haji kami Ya Allah.

Wednesday, October 19, 2011

Menelusuri India (2) : Hebatnya Majlis Kahwin

Saya pernah beberapa kali dijemput ke majlis kenduri kawin di sini. Ada orang biasa, ada juga golongan bangsawan.

Biar saya ceritakan kisah kenduri kawin golongan bangsawan.

BSA adalah seorang yang begitu berjaya dalam perniagaan. Empayar perniagaannya melimpahi hingga ke benua Arab melalui kumpulan perniagaan mereka, ETA STAR. Di India, mereka menguasai begitu banyak industri. Mereka juga ada di Malaysia, di UAE, di Kuwait, di Saudi, tidak ketinggalan di Hong Kong dan Eropah.

BSA ada 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan. Kekayaan mereka tidak terhitung. Anak perempuan sulung BSA mempunyai dua orang anak – sepasang. Cucu sulung BSA adalah pengantin lelaki di majlis kahwin yang saya dan Lala hadiri.

Lala tidak membawa sebarang baju kurung ke Chennai. Lalu dia menerima cadangan Fathimah untuk memakai “churidar” kepunyaan Fathimah. Punyalah cantik "churidar” atau di Malaysia ia dikenali sebagai “Punjabi Suit”. Bersulam Kristal swaroski, ianya diperbuat dari sutera. Dilengkapi dengan “duppata” atau kita panggil selendang. Cara memakai “dupatta” ini agak berbeza dengan selendang yang dijadikan tudung oleh rakyat Malaysia. Ianya lebar dan menutupi hampir keseluruhan badan.

Kami tiba di dewan yang besar tersergam. Rupanya malam itu adalah malam berinai. Hanya kaum wanita yang hadir. Ramainya jemputan. Saya kira ia melebihi dua ribu orang. Kami terus dibawa ke dewan makan. Hebatnya makanan di sini ialah ia disediakan panas-panas. Tetamu duduk di meja, lalu diberikan daun pisang yang telah dipotong dan dibersihkan. Pelayan-pelayan kemudian datang dan meletakkan berjenis-jenis makanan di atas daun pisang tadi. Ada tosey, chapatti, bubur nasi, puree, dal, manisan dan macam-macam makanan yang saya tidak tahu namanya.

Riuh rendah dan bunyi bising menjadi irama malam itu. Wanita-wanita yang hadir kebanyakannya berkelubung. Kebanyakannya memakai sari yang beranika warna. Hampir kesemua sari yang dipakai malam itu bersulam benang emas. Mata saya dan Lala terpaku melihat perhiasan yang mereka pakai, samada di leher, di telinga, di tangan, di jari tidak lupa di kaki. Subhanallah. Keluarga besar ini memang betul-betul kaya. Emas, berlian dan batu permata mengerlip-ngerlip menyaluti tubuh mereka. Kulit mereka putih melepak, halus dan “flawless”. Hampir kesemua mereka bersaudara antara satu sama lain (ada dikisahkan dalam bab Jodoh). Ketika bersembang, saya dapati 70% dari keluarga ini tinggal di luar India. Mereka menguasai dunia; dengan perniagaan. Sementelah ketua kumpulan ini, BSA, merupakan salah seorang lelaki terkaya di India.

Selesai jamuan makan, kami dijemput untuk duduk di atas pentas. Saya mewakili pihak lelaki. Maka saya duduk di kalangan sanak saudara terdekat BSA. (Saya menjadi perhatian ramai kerana hanya saya berbaju kurung dan bertudung lain dari mereka).

Di atas pentas telah sedia menunggu seorang wanita cantik yang merupakan pengantin perempuan. Lala tidak menunggu lama untuk mula memetik kameranya. Saya terpandang tiga buah dulang yang berada di hadapan pengantin perempuan. Mulut gatal saya akhirnya bersuara, “Are all that jewelries?” Sudah gaharu bertanya pula.

Madam Hassan menjawab soalan saya. “Yes. They are all gold”.

Wow! Terkedu saya mendengar jawapan tersebut.

“Who gives who?” tanya saya lagi.

“Here, the bride gives gold to the groom as dowry. We parents buy jewelries for our daughters since they were small. In this ceremony, the jewelries are to be given away to the groom’s family. Then, the groom’s family will bejewel the bride."

“Oh….meaning to say, the jewelries are actually meant for the girl?”

“Yes. They will be used as their security. Anything happen to the girl, they already have their properties.”

“Why must give to the boy? Why don’t just give to the girl?”

“In our custom, when a man marries a woman, he will enter the woman’s house. It is the girl’s side’s duty to give the boy with a fully furnished house, jewelry and car as dowry, but to be used by the girl. And the amount of dowry depends on the boy’s position. After marriage, husband has to work hard to bring back food and pocket-money to the wife. Wife only knows how to spend. We Indian women are not taught to earn. We don’t do that.” (Rasanya frasa ini hanya 'applicable' kepada keluarga kaya).

“Why give all those things to the man? They will be the head of the family? Isn’t it their duty to look for all those?”

“Again, the properties are for the girl’s security. Anything happens to the marriage, the man cannot claim anything. He can walk out with just what he wears. He cannot take the properties with him”.

Aduh….pening kepala saya. Ia mengingatkan saya kepada Adat Perpatih....

“Suria, you have three boys, right? Get them marry Indian girls. You will surely become millionaire!” Madam Hassan berseloroh.

Tatkala tiba waktu untuk memakaikan barang kemas kepada pengantin perempuan, saya kembali teruja. Saya minta kebenaran untuk memegang barang kemas yang terbesar. Ianya serupa dengan talipinggang besi yang emak saya selalu pakai sewaktu saya kecil, bezanya, ia emas tulin dan ia adalah rantai leher! Boleh melengkung leher dibuatnya!

Berat sungguh rantai tersebut. Lebih membuat saya teruja bila cincin-cincin, gelang-gelang dan kesemua emas tersebut diagihkan kepada sauadara-mara yang hadir untuk dipakaikan kepada pengantin. Tidakkah akan ada yang menyimpan di kocek? Bisik hati saya.

Saya tanya satu soalan lagi kepada Madam Hasan. “What is the total weight of all these 3 trays of jewelries?”

Madam Hasan berpaling dan bertanya kepada emak pengantin yang kebetulan berada di sebelahnya.

“10 kg.”

Hampir saja saya pengsan. Cepat saja kepala saya mengira. Jika di Malaysia (ketika itu), emas 916 berharga RM120 segram. Sekilogram bererti 1000 gram, bersamaan dengan RM120,000. Kalau 10 kilogram? Ia bererti nilai pasaran emas tadi ialah RM1.5 juta! Ya Allah! Banyaknya!

Saya juga diberitahu bahawa pengantin perempuan menghadiahkan pengantin lelaki sebuah rumah banglo bernilai hampir RM5 juta. Majlis pernikahan mereka diadakan di sebuah masjid berhampiran dan majlis resepsi mereka diadakan di Stadium Kriket di Chennai, yang dihadiri oleh lebih 20,000 orang tetamu. Antara yang hadir ialah keluarga Ketua Menteri Tamil Nadu, beberapa menteri kabinet India, pemain kriket kebangsaan, artis dan taikun-taikun perniagaan India.

Begitulah hebatnya majlis perkahwinan di India. Satu antara yang banyak yang saya pernah hadiri. Kebanyakannya berskala lebih kecil, tetapi lebih kurang sama mewahnya.

Monday, October 17, 2011

Menelusuri India : Pengalaman Abey

Saya sedang menulis sedikit pengalaman saya sewaktu ditugaskan mengetuai sebuah syarikat IT di India dari tahun 2008 - 2010. Semoga saya diberi kekuatan untuk mengabadikan perjalanan saya, seorang wanita Melayu, isteri dan ibu, yang hidup bersendirian di rantau orang selama hampir dua tahun.
********************************************************************
Pengalaman Abey

Sehabis peperiksaan SPM Jimie tamat pada awal Disember 2009, Boss dan anak-anak menyertai saya di Chennai. Kami menaiki Air India (tambang paling murah) yang bertolak dari KLIA seawal pukul 830 pagi. Itu kali pertama saya menaiki pesawat ini. Anak-anak saya kata, “Bau kari la Mama kapalterbang ni.”

Pengalaman agak melucukan kami perolehi, antaranya, berlaku pertengkaran antara pramugara dan pramugari. Ia bermula dengan usikan dan gurauan, namun nada suara mereka makin meninggi dan akhirnya mereka benar-benar bertengkar. Pening kepala penumpang dibuatnya. Masing-masing menggelengkan kepala. Anak-anak saya memandang satu sama lain dengan kerutan di dahi. Saya katakan pada mereka; “Welcome to India”.

Di Lapangan Terbang ANtarabangsa Chennai, Lala, Jimie dan Abey ketawa terbahak-bahak sewaktu kami melepasi kaunter kastam. Saya pelik mendengar tawa mereka. Boss juga kehairanan.

Ketiga-tiga mereka memuncungkan bibir sambil menunjuk-nunjuk ke pintu keluar dari balai ketibaan. Saya makin pelik. Siapa yang mereka ketawakan?

“Ma…betul-betul macam dalam filem Hindustan.”

Saya masih kehairanan. Budak bertiga ini ketawa sampai menangis. Apa yang menggelikan hati mereka agaknya? Macam dalam filem Hindustan?

“Diaorang ni semua tunggu siapa Ma?” Jimie merujuk kepada ratusan manusia yang berbaris panjang di sepanjang lorong keluar dari balai ketibaan.

“Oh….Mama ingatkan apa. Diaorang tunggu orang yang diaorang nak ambik la.” Pelik sungguh anak-anak saya melihat begitu ramai manusia bersesak sambil memegang placard, dan ada yang menjerit-jerit memanggil nama orang yang mereka tunggu.

Boss dan Abo yang pernah melihat suasana ini hanya tersenyum. Ia pengalaman baru buat mereka bertiga. Banyak lagi yang akan mereka lihat…

Di celah-celah ratusan manusia, saya terlihat senyuman manis Iyappan, pemandu syarikat kami yang kelihatan begitu segak berdiri menyambut kami. Rambut tersisir rapi, dengan side burn yang kelihatan seperti baru di ‘trim’.

“Iyappan! How are you? Wah…so handsome?”

“Good morning, Madam. Good morning, Sir. Welcome back Abo…”

“Iyappan, these are my children. Lala, Jimie and Abey. Guys, this is Iyappan; my best driver ever.” Saya kenalkan Iyappan kepada anak-anak saya. Jimie dan Abey bersalaman dengan Iyappan yang kelihatan malu-malu.

Iyappan terus mencapai beg-beg kami dan meminta kami menunggu di situ. Saya katakan pada Iyappan tidak perlu kerana keadaan cukup sesak. Kami berjalan mengekori Iyappan ke tempat letak kereta.

“MD asked me to bring you in this car, Madam. So many of you.” Wah, besar kereta yang menanti kami. Alhamdulillah.

Saya teruja melihat gelagat anak-anak saya. Mata mereka meliar memerhati keadaan sekeliling.

“Ma…kenapa bising sangat?” Lala memecah suasana sunyi.

“Apa yang bising Kak?” Boss tanya Lala kembali.

“Kenapa Akak rasa bising sangat? Telinga AKak ke yang tak betul?” Lala masih keliru.

“Selamat datang ke India, wahai anak-anak Mama. Bising adalah India. India adalah bising. Bunyi hon, suara orang, bunyi kenderaan. Ini baru satu langkah.” Jawab saya.

Kereta menyusur keluar perlahan. Sewaktu melepasi pintu masuk utama, Abey bertanya soalan cepumas.

“Ma, apasal diaorang tu semua beratur mengadap tembok tu?” Kami semua menoleh ke sekumpulan lelaki yang sedang berdiri mengadap tembok (tiang jejantas) yang terletak bertentangan dengan pintu masuk utama lapangan terbang.

Saya dan Boss serentak ketawa. Iyappan juga ketawa, macamlah dia faham soalan Abey.

“Itulah tandas awam.” Boss menjawab pendek.

“Ha? Ishhh. Buruknya.” Abey kelihatan terganggu dengan pemandangan itu.

“Abey jangan tengoklah…. Nanti Abey asyik la nampak pemandangan tu merata-rata. Tulah kata orang tua.” Saya memberi nasihat yang tidak bererti kepada Abey.

Jalan yang berdebu, bunyi bising hon dan kereta yang bersimpang siur di sepanjang perjalanan selama hampir 40 minit mengujakan anak-anak saya.

“Kak, tengok kat belakang van tu. Dia tulis “SOUND HORN”. Maknanya orang sini memang asyik hon kereta mereka.” Jimie membuat analisa.

“Memang betul. Masa Mama mula-mula kat sini, Mama rasa bingit dengan bunyi hon ni. Lepas dua tiga kali kunjungan Mama, Mama rasa okay je. Sekarang ni memang Mama tak rasa janggal pun.”

Serentak itu anak-anak saya ketawa. “Telinga Mama pun dah kebabal macam telinga orang India!” Boss membuat kesimpulan.

Akhirnya kami sampai ke rumah saya. Berlari KaKa mendapatkan kami semua. Sekali lagi anak-anak saya terkejut apabila KaKa seakan-akan menyembah mereka (meletakkan kedua tangan yang dirapatkan antara satu sama lain ke dadanya. Tanda hormat kaum India kepada tetamu).

KaKa juga menundukkan badannya seraya menyentuh kaki Boss. Cepat-cepat Boss tarik badan KaKa dan memeluknya erat. Terlopong mulut Lala, Jimie dan Abey melihat adegan ini.

“Kenapa dia buat macam tu Pa? Dia macam nak sujud kat Papa je?” Jimie memecah suasana.

“Itu tanda hormat kat Tuan.” Saya bisik perlahan.

Sewaktu Jimie dan Abey hendak mengangkat beg-beg naik ke atas rumah, sekali lagi mereka terperanjat melihat Iyappan, dibantu oleh Krishnan, pembantu rumah, telah mengangkut kesemua beg: ada yang dijunjung di atas kepala dan ada yang tersangkut di leher.

“Selamat datang ke World of the Riches. Beginilah penerimaan orang sini kepada Mama. So, keluarga Mama adalah bangsawan di sini. Rasalah nikmat ini. Kat Malaysia langsung takkan merasa.” Sambil ketawa saya katakan pada mereka.

Baru saja kami labuhkan punggung ke atas sofa di ruang tamu, KaKa mendekati kami sambil tersenyum.

“Chai, madam? Chai, Sir?”

“KaKa. This is Lala. This one is Jimie and this one is Abey. You remember Abo?”

“Yes Madam. Thank you Madam. Drinks for you Little Sir?” KaKa tujukan soalan kepada Abo.

Abo tersenyum girang mendengar panggilan istimewa KaKa kepadanya. Little Sir?

“KaKa, chai. Une.” Ewah….Abo pandai pula nak berbahasa Tamil.

“Young Madam. Any chai? Young Sir, chai? Handsome Sir, chai?” KaKa tujukan pertanyaan kepada Lala, Jimie dan Abey.

Serentak kami ketawa. Pandai pula KaKa memberi nama. Little Sir untuk Abo, Young Madam untuk Lala, Young Sir untuk Jimie dan Handsome Sir untuk Abey.

Anak-anak saya mula menyukai suasana yang berbeza ini.

Dua minggu di India memberi pengalaman yang tidak ternilai buat anak-anak saya, terutama sekali Abey. Asal keluar saja dari rumah, Abey akan terlihat adegan “beratur mengadap tembok” dan adegan “melepaskan hajat walau di mana sahaja”. Menambah harga kepada pengalaman ini ialah, hanya Abey yang terpandang!

Saya masih ingat satu kejadian ini. Keluarga saya menjemput saya di pejabat. Bulan Disember merupakan musim dingin dan musim hujan di Chennai. Sebelum sampai ke pejabat saya, mereka singgah ke beberapa tempat yang menjadi tumpuan ramai, sambil ditemani oleh Iyappan. Salah satu jalan yang dilalui merupakan jalan yang sesak dengan pejalan kaki, auto dan kenderaan lain.

Tatkala sampai ke pejabat saya, hujan turun dengan lebatnya. Sistem perparitan memang hampir tiada di India, khasnya di Chennai. Sekali fikir, banyak kebenarannya kenapa system parit tidak perlu ada. Purata hujan yang turun di Chennai hanyalah 25 hari dalam 365 hari.

Pukul 6 petang di musim dingin sudah gelap gelita. Sekelip mata juga jalan-jalan dibanjiri air yang serta-merta naik hingga ke paras paha. Abey yang duduk di tempat duduk belakang tiba-tiba menjerit, “aduh!!! Uwekkkk!”. Kami terkejut. Semua kepala berpusing ke arahnya.

Waktu itu kereta kami sedang melalui jalan yang sentiasa sesak dengan pejalan kaki. Abey benar-benar kelihatan seperti mahu muntah.

Selepas beberapa ketika, Abey bersuara, “Tadi masa nak datang ambik Mama, kitaorang lalu kat jalan ni. Abey ada nampak ehem-ehem warna kuning kat tepi penjuru tu. Dua tiga tempat. Baru kejap ni Abey nampak makcik tu jalan kat situ selamba je dalam banjir gelap-gelap ni. Kalau dia terpijak macammana?”

Berderai kami semua ketawa. Ada benarnya persoalan Abey. Namun, ia di luar kawalan sesiapa pun juga. Alahai India…. Tandas awam memang tiada pengunjung…..

Thursday, October 13, 2011

Hati Seorang Tua (2)

Sewaktu arwah mak seusia saya kini, saya masih di Tingkatan 5. Tinggal di asrama dan balik hanya sebulan sekali membuatkan saya sentiasa merindui emak. Emak tegas orangnya, jarang memanjakan saya dengan makanan atau material (beliau tidak mampu untuk mengadakannya), namun emak sentiasa tahu apa yang saya perlukan.

Sesekali bila saya mengadu pada emak tentang kawan atau masalah yang saya alami, emak akan kata, "Jangan tengok salah orang kat kita je. Cuba tengok balik salah kita kat orang...". Saya pegang kata-kata mak hingga kini, dan harapnya hingga akhir nanti.

Di antara kami sepuluh beradik, rasanya saya adalah anak yang selalu jadi 'bodyguard' mak. Masa kecil saya ikut mak ke surau menghadiri kelas-kelas agama, juga ke kelas WI belajar masak, ke kelas KEMAS belajar menjahit dan menggubah, menziarahi sesiapa sahaja yang sakit, kenduri dan segala macam kunjungan. Bila saya sudah boleh menunggang motosikal, mak akan membonceng Kapcai Bapak yang saya bawa ke serata kampung, melakukan aktiviti yang menjadi prioriti dalam hidupnya - menziarah orang sakit.

Saya pasti saya pernah menyakiti hati mak. Kata-kata saya dan tingkah laku saya pastinya sering membuat emak menjeruk rasa. Sesekali emak akan lemparkan kata-kata sindiran yang sinis kepada saya. Berdesing telinga selalunya....

Namun saya anak yang sentiasa memohon maaf kepada emak. Bila saya lihat wajah mak kelat semacam dan berubah selepas berlaku sesuatu, saya akan terus cium tangan mak minta maaf.

Selepas berumahtangga dan sibuk dengan kerjaya, saya semakin jarang bersama mak. Namun sesekali bila saya balik ke kampung, saya dapat rasakan kerinduan yang sarat di dada saya kepada emak.

Jika dapat diputar kembali masa, ingin sekali saya minta ampun pada mak andai saya pernah membuat emak menangis kerana saya, samada saya sedar ataupun tidak.

Kepada sesiapa yang masih punya emak, jangan tunggu untuk meminta maaf dari emak. Hati emak terlalu mudah tersinggung, apatah lagi jika emak adalah seorang tua.

Mak, anak mak ni dah tua rupanya!

Wednesday, October 12, 2011

Aib

Jangan dibuka aib orang lain. Bayangkan jika Allah buka aib kita, pastinya tidak mampu kita menanggung rasa.

Pelbagai kisah terjadi di sepanjang kehidupan ini. Adakalanya indah, banyak juga yang samar-samar. Tidak kurang yang tidak ingin langsung kita bayangkan.

Pengalaman mengajar kita menjadi dewasa. Kita matang dalam membuat penilaian dan keputusan. Namun adakalanya kita terlalai lantaran kita asyik dibuai irama lagu dunia yang penuh dengan kepalsuan.

Andai kita tersasar dan terperangkap, kembalilah kepada Dia. Pesan Ustaz Firdaus Subhi, salah seorang Imam Masjid Negeri:

Kita manusia memang sentiasa diuji. Antaranya ialah rasa takut akan kehilangan. Ketidakcukupan juga satu ujian; selain harta dan pangkat. Ujian itu sebenarnya adalah untuk meningkatkan darjat kita jika kita mampu mengharunginya. Cara untuk kita mendepani ujian ialah dengan sabar, solat, zikir, mengaji Quran, bangun malam, berpuasa, bergaul dengan alim ulamak dan bersedekah. Setelah jiwa kita kembali tenang, berlapang dadalah dengan ketentuanNya dan redha dengan apa jua yang Allah beri pada kita....

Semoga ALlah pelihara kita dari dibuka aib kita di hadapan makhlukNya yang lain.... Jagalah kehormatan saudara-saudara kita, kalau benar seperti yang kita kata bahawa kita sayangkan mereka....

Sunday, October 9, 2011

Sabar dan solat

Pagi-pagi lagi telinga saya parah mendengar bebelan. Kalau memang salah saya, okay jugak. Bolehlah saya terima dengan senyuman. Saya dan team saya berhempas pulas menyiapkan lapuran yang perlu dihantar ke pihak kerajaan, malangnya saya dihambur dengan seribu satu komen yang menggelorakan perasaan. Subhanallah....tidak putus-putus saya menyebut nama Dia memohon agar saya diberikan kekuatan. Saya garu kepala yang tidak gatal. Fenin. Sakit sungguh kepala saya dibuatnya.

Saya lakukan apa yang saya lakukan kerana ini tanggungjawab saya. Langsung tiada agenda duniawi yang lain. Atas alasan tersebut saya jalankan tugasan ini kerana Allah. Akan tetapi selepas 'bernanah' telinga saya mendengar leteran dan komen yang tidak masuk akal, saya harus serahkan kepadaNya. Saya masuk ke dalam bilik air dan mengambil wudhuk. Lalu saya dirikan solat sunat 2 rakaat. Saya pohon agar saya mendapat kemudahan.

Selesai solat, saya rasa cukup tenang. Saya mampu tersenyum dan bersedia menerima apa pun jua yang akan dilontarkan. Ya Allah....begitu besar kuasaMu. Tatkala saya kembali mengadap si dia, saya mendengar suara lembut yang memuji saya dengan pujian tinggi melangit dan macam-macam lagi. Selepas keseluruhan dibaca, dia tahu kami berusaha melaksanakan tugasan dengan cukup baik. Saya beristighfar dan terus beristighfar.....

Saturday, October 8, 2011

Tasawwur Islam

ia adalah satu subjek dalam SPM. Anak-anak saya berhenpas pulas berusaha untuk mendapat A dalam subjek ini.

Malam tadi saya berpeluang berada di dalam kuliah YBhg Prof Datuk Dr Harun Din yang bercerita tentang subjek Tasawur Islam yang bermaksud 'gambaran dalam Islam'. YBhg Datuk membawa kami menggambarkan keadaan kiamat, kebangkitan semula, soalan-soalan yang dihadapkan sewaktu hari perhitungan dan ke mana ia akan membawa kita.

Allah hu akbar. Takutnya saya. Antara analisa YBhg Datuk adalah soalan ringkas dari Allah seperti berapa usia hidup kita di dunia? Berapa lamakah kita gunakan usia kita itu untuk beribadat kepada Allah? Dari situ Datuk mengajak jemaah mengira. Tidur 8 jam sehari bermaksud sepertiga dari hari kita. Jika kita hidup 60 tahun, maksudnya 20 tahun dari hidup kita adalah untuk tidur! Jika kita tidur dalam wudhu', membaca Quran sebelm tidur, berdoa dan berzikir....Alhamdulillah. Jika tidak....

Kemudian, makan. Berapa lama kita habiskan usia kita untuk makan?

Yang paling saya tidak tahan, ialah tentang solat. Jika kita ambil 5 minit satu waktu sehari, dalam 60 tahun, kita hanya solat selamat 8 bulan 10 hari untuk lelaki. Untuk wanita, tolak satu perempat kerana uzur! Dan erti solat di sini adalah solat yang khusyuk....Alamak....

Kita juga akan ditanya setiap sen yang kita perolehi. Bagaimana kita mendapatkannya? Dan bagaimana kita membelanjakannya?

Aduh...saya tidak boleh tidur semalaman. Bagaimana akan saya jawab soalan- soalan itu jika saya tidak mengikut apa yang dituntut? Ampunkan hambaMu ini Ya Allah. Ampunkan hambaMu yang seringkali lalai dan leka. Kebahagiaan dan kekayaan abadi adalah di sana. Di akhirat.

Pagi tadi, selesai waktu subuh, saya masuk kelas Ustaz Yusri Karim pula. Ia tentang Rahsia 7. Satu saja topik yang Ustaz sentuh, iaitu bagaimana Rasulullah(saw) beramal. Begitu mudah. Namun hakikatnya ia sukar untuk dilakukan....apatah lagi untuk beristiqomah.

Rahsia pertama ialah bangun sebelum waktu subuh, solat sunat kemudian solat fardhu berjemaah.... Jika saya hitung, subuh saya di sepanjang usia saya puratanya ialah pukul 630.... Habis! Rahsia kedua ialah Rasulullah (saw) menjaga kebersihan. Zahir dan batin. Aduh... penyucian hati.... Zikir, membaca Quran, bersedekah dan mendalami ilmu Allah....dan pelbagai lagi. Ini kelihatan amat mudah, tetapi ia terlalu sukar untuk dilksanakan. Bak sajak Ahmad Fansuri... 'aku adalah aku, mencari diriku di dalam terang'. Astaghfirullah... Takutnya jika Allah berpaling dari memandang kita. Bagaimana nantinya nasib kita. Aku pohon keampunnMu Ya Allah. Aku pohon kasih sayangMu Ya Allah...

Semoga hari ini dan hari-hari mendatang adalah lebih baik dari semalam dan hari-hari yang telah kita tinggalkan. Wallahualam.

Tuesday, October 4, 2011

Kita sedang diuji


Hampir setahun yang lalu, tatkala saya berada di Padang Arafah, di celah-celah sendu dan tangis mengenang segala dosa yang telah saya himpun di sepanjang kehidupan saya, saya berjanji kepadaNya bahawa saya sudah meletakkan dunia ke sisi. Saya pegang janjiNya bahawa sesiapa yang mengejar dunia, dunia akan lari, tetapi sesiapa yang mengejar akhirat, dunia akan datang kepadaNya.

Sekembalinya dari sana, dalam keadaan saya tidak ada sebarang pekerjaan (satu bulan setengah sebagai penganggur), saya pohon kepadaNya agar saya diberi satu pekerjaan yang selayaknya buat saya. Sesuai dengan kelayakan akademik dan pengalaman saya. Tidak lebih dan tidak kurang.

Selepas hampir setahun memegang janji, saya diuji. Jawatan tinggi menjadi tunjang kepada kemuliaan di sisi manusia. Saya hampir terpedaya dengan dorongan syaitan yang saya biarkan bermaharajalela dalam hidup saya.

Saya menangis sendirian mengenang momen-momen indah 9 Zulhijjah 1431. Apa yang sudah saya lakukan? Di mana janji saya pada diri saya sebagai hambaNya? Hati yang telah saya sucikan di sana kembali saya cemari demi cita-cita dan wang ringgit, sedangkan ALlah lebih mengetahui keperluan saya.

Saya sedang diuji dengan janji yang saya ikat sendiri. Subhanallah. Astaghfirullah. "Janganlah Kau palingkan hatiku selepas Kau beri petunjuk kepadaku Ya Allah..."

Semoga hari ini dan hari-hari seterusnya lebih indah dari semalam.....

Wednesday, September 28, 2011

Motivasi

Saya sedang dilambung angan-angan tinggi melangit. Dalam kekalutan menjalankan sesuatu yang tidak menggembirakan, saya mendapat satu kesempatan. Subhanallah....betapa bersyukurnya saya....Tiada kata dapat menggambarkan betapa saya amat mendambakan kegembiraan ini.

Tadi saya dapat peluang duduk bersama mereka yang memahami gelora di hati saya. Kami bercakap dalam rentak dan alunan yang sama - seperti beberapa tahun lalu, terutamanya ketika kami berada di beranda rumah yang kami diami di Chetpet, Chennai, India sambil menghirup udara pagi dan menikmati chai buatan Kaka....

Terharu bila kami diberi peluang lagi untuk sama-sama merealisasikan impian yang tidak kesampaian. Kali ini impian kami akan membawa kami ke sebuah lagi tempat yang lebih kurang 'hebat'nya dengan India.... Kami tersenyum di dalam hati sambil menggaru kepala yang tidak gatal tatkala diajukan soalan samada kami mampu melaksanakan tugasan yang dipinta....

Saya serahkan kepada Yang Maha Esa urusan kami ini. Dia lebih tahu apa yang terbaik buat saya. Bukan kerana wang ringgit atau kedudukan atau jawatan yang saya cari...kerana pekerjaan saya sekarang memberi kesemua itu. (Nota: Gaji saya cukup untuk membiayai diri saya dan keluarga. Itu makna wang bagi saya - ia mencukupi, tiada lebihan dan tiada kekurangan). Saya teruja untuk melaksanakan apa yang menjadi minat saya selama ini. Membina sebuah sistem yang akan digunapakai dan memberi manafaat kepada manusia sejagat. Lebih mengujakan jika sistem itu tidak pernah ada di mana-mana....Cita-cita saya sejak dulu adalah untuk menjadi 'trend setter, bukan trend follower....

Saya dan dia ada dua bulan untuk mempersembahkan Proof of Concept kami kepada pihak berkuasa di sebuah negara dunia ketiga. Kami juga akan mencari jalan bagi peluang lain. Doakan kejayaan kami.....Peluang yang saya perolehi hari ini akan menjadi motivasi kepada saya untuk terus berlari dan melompat lebih tinggi....

Monday, September 26, 2011

Hutan Lipur Bukit Hijau Kulim




Hujung minggu yang baru lalu saya ke Hutan Lipur Bukit Hijau, Kulim. Kakitangan syarikat menganjurkan Kem Jati Diri bagi sekumpulan jurutera muda dari beberapa buah perusahaan yang berada di sekitar Kulim, Pulau Pinang dan Perak.

Saya diundang untuk memeriahkan majlis. Saya bawa Abo bersama. Bukan apa, saya ni cukup takut tidur sendiri..... Lebih-lebih lagi bila tempat itu berada di dalam hutan...

Resort yang kami diami cukup selesa. Air sungai mengalir di depan chalets kami. Bunyi deruan air mengalir seakan "soundtrack muzik" di situ. Tenangnya suasana.....

Abo ketawa besar melihat anak-anak ikan berenang-renang di dalam air sungai yang cetek, crystal clear dan sejuk... Bila berendam di dalam sungai, terasa tidak mahu bangkit keluar....

Saya tidak mengikuti keseluruhan aktiviti di dalam hutan tersebut. Banyak masa saya habiskan dengan berendam di dalam sungai bersama Abo. Saya agak fobia sebenarnya dengan hutan/kebun/pokok-pokok/semak/nyamuk....... Ia mungkin berkait rapat dengan pengalaman membesar di celah-celah pokok getah, bertemankan nyamuk, ulat bulu, cacing dan semak samun. Berada di dalam hutan membuat saya terkenang kisah silam. Ia agak merimaskan. Bukan membenci, tapi jika boleh saya elakkan, ia lebih baik begitu.

Macammanapun, saya tumpang gembira dan bangga dengan kejayaan anak-anak buah saya; juga tatkala melihat senyuman dan gelak tawa Abo sewaktu menangguk ikan di sungai! (Ikan-ikan tersebut mati dalam perjalanan pulang ke rumah....Abo menangis...namun sempat dia tunjukkan kepada semua di rumah dia berjaya....!)

Sunday, September 18, 2011

Apa yang dicari?

Saya disoal dengan soalan di atas. "Apa lagi yang dia cari?"

Entahlah. Saya sendiri tidak punya jawapan kepada soalan tersebut.

Saya hanya mengukur baju di badan saya. Bagi orang yang segemuk saya, sudah tentu koyak baju bersaiz S mahupun M. Mungkin selesa jika saya pakai saiz L, atau XL. XXL akan jadi terlalu besar. Jika ingin memilih beg tangan, saya akan cari beg yang boleh memuat kesemua barang-barang yang wajib saya bawa bersama. Ertinya, ia perlu besar. Dan mampu saya bayar. Sudah pasti saya tidak mampu memilih Gucci atau LV atau Dior. Paling hebat pun beg tanpa jenama. Itulah dia kemampuan saya. Itu saja. Yang lain saya tidak mampu.

Saya cuba memahami keadaan. Namun kenyataannya saya gagal. Saya sendiri tertanya-tanya... Apa yang dicari?

Jika ia berkait dengan wang ringgit, banyak dah. Jika berkait dengan pangkat dan kedudukan, tinggi melangit. Jika berkait dengan populariti, semua dah kenal.

Mari kita tanya Ustaz bagaimana sahabat Nabi menentukan akhir kehidupannya.

Ustaz bercerita tentang Abu Darda', seorang yang cukup terkenal sebagai sahabat Nabi. Beliau seorang ahli perniagaan yang kaya raya. Namun beliau memilih untuk mendapatkan kekayaan yang kekal abadi dan beliau tahu kehidupan itu adalah di akhirat. Lalu beliau tinggalkan dunia dan kekayaan yang sementara, dan fokus kepada akhirat. Namun sebagai ahli perniagaan, beliau teruskan berniaga. Beliau pastikan yang tempat perniagaan beliau ialah yang berhampiran dengan masjid, agar beliau dapat solaat berjemaah 5 kali sehari tanpa ketinggalan Takbiratul Ihram. Dan beliau juga pastikan yang beliau memperolehi keuntungan 40 dinar sehari, untuk beliau infakkan kesemuanya ke jalan Islam.

Apa yang Abu Darda' cari? Kebahagiaan dan kekayaan yang kekal abadi.

Okay....saya juga mahu mencari kebahagiaan dan kekayaan yang sebegitu lah.... Biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya...biarkan...biarkan..... Saya akan jalankan tugas saya dengan sepenuh hati demi mencari kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat nanti..... Mari sama-sama kita cari kebahagiaan dan kekayaan itu... Kehidupan di syurga amat indah sekali... Itu janji Allah pada hambaNya. Janji itu tidak mungkin dimungkiri.

Saturday, September 17, 2011

Kursus Haji Perdana

Hari ini saya berpeluang bersama bakal-bakal jemaah haji 2011 yang akan memulakan perjalanan seawal 29 September ini. Saya perhatikan riak wajah mereka yang kelihatan penat, teruja dan ada yang terpinga-pinga. dapat juga berbual dengan seorang dua bakal hajjah sewaktu menanti waktu solat. Saya gembira tatkala mendapat tahu rakan karib saya, Liza dan suaminya Khairi, telahpun mendapat pengesahan tentang pemergian mereka. Saya teruja bila mendapat tahu anak saudara saya yang masih muda belia, Nuyun dan suaminya Najmi, juga teman sekolah, Markom dan Maliah, juga telah mendapat tarikh penerbangan. Mudah-mudahan urusan mereka dipermudahkan dan mereka mendapat haji yang mabrur.

Haji adalah Rukun Islam yan kelima. Ia wajib. Haji bagi saya, adalah permulaan kepada sebuah kehidupan baru. Kehidupan yang dipenuhi dengan keindahan Ketenangan yang dicari di sepanjang kehidupan muncul sewaktu sibuk menyiapkan diri untuk melangkahkan kaki ke tanah suci. Namun ujiannya getir dan besar sekali. Berjuraian airmata tatkala menghadapi ujian demi ujian yang Allah turunkan.

Puncak ujian ialah pada hari sampai ke tanahair selepas mengerjakan haji. Kemabruran haji ialah samada kita masih sama seperti sebelum kita pergi haji atau kita menjadi manusia yang lebih baik atau sebaliknya. Kita mahu istiqomah, namun prasangka, andaian dan pelbagai rintangan perlu dihadapi dalam usaha untuk beristiqomah. Kita cuba untuk menegakkan yang haq, namun suara-suara yang membisik membuat kita takut dengan kemungkinan kita ini riyak, ujub dan takbur.

Pagi esok, bakal-bakal jemaah haji akan berqiamullail di Masjid Negeri selepas merasai nikmat tidur semalam di dalam masjid. Di kala mendengar alunan suara imam yang mendayu, pastinya hati kecil merintih dan menangis mengenang segala kesilapan lalu. Kealpaan dan
kelekaan mengejar keindahan dunia sesungguhnya menjadi titik tolak kepada kemusnahan hidup. Segalanya berkisar tentang apa yang
diingini, bukan apa yang diperlukan. Keinsafan datang dari ilham Yang Maha Kuasa. Ia diturunkan khusus kepada mereka yang mencarinya. Bagi saya secara peribadi, diselubungi rasa bersalah kerana seringkali terlupa denganNya dan hidup dalam keresahan menimbulkan
perasaan mahu berhijrah kepada kehidupan yang lebih baik di sisiNya.

Kursus Haji Perdana 2010 meruoakan detik di mana saya letakkan 'gear' kenderaan yang membawa saya menuju ke garisan penamat
kepada D, selepas saya tarik brek tangan dan gear ke P. Saya mulakan langkah menjadi manusia baru bermula dari detik itu.

Mudah-mudahan kesemua jemaah haji 2011 diberi kemudahan, dikurniakan nikmat dan rahmat dari Allah dan mendapat haji mabrur. Saya juga berdoa agar kehidupan saya dan keluarga sentiasa mendapat keredhaan Allah. Amin.