Wednesday, April 25, 2012

...because I love you....

Semalam kami jemput Ustaz Ghazali Ibrahim menyampaikan tazkirah suku tahunan di pejabat. Alhamdulillah, seperti biasa, sambutan dari kakitangan amat menggalakkan. Antara isi kandungan tazkirah adalah tentang kasih sayang.... Ustaz tayangkan video iklan raya Petronas arahan Allahyarham Yasmin Ahmad beberapa tahun lalu....kisah seorang anak yang merajuk dengan ayahnya kerana disuruh ke kedai ketika dia sedang bermain. Si anak kemudian menghantar list harga yang dikenakan ke atas ayahnya kerana ke kedai tadi. Si anak juga merajuk hingga tidak mahu menjamah makan malam. Si ayah kemudiannya meninggalkan sekeping kertas di atas katil anaknya....lalu dibaca dinpagi hari. Rupanya senarai panjang perbelanjaan yang dikeluarkan sejak si anak lahir....bila dijumlahkan kesemuanya, tertulis perkataan Free of Charge. Ianya kerana kasih sayang. Subhanallah.... Terus ingatan saya melayang kepada Mak dan Bapak. Berapa banyak airmata mereka tumpah sepanjang hidup mereka kerana kerenah 10 anak mereka? Apa agaknya yang mereka ada untuk diri mereka? Pernahkah mereka merasai nikmat kehidupan tanpa gangguan kami? Bergaduh, bertekak,dengki, khianat, masam muka.... Pernahkah kami halusi perasaan mereka? Hanya doa dari kami buat mereka di sana. Semoga bahagia di dunia yang kekal abadi....bersama hamba-hambaNya yang soleh....

Tuesday, April 17, 2012

Mrs Superbike



Tengahari tadi saya dan Boss didatangi dua orang teman, Pak Zabs dan Riz. Cerita punya cerita, keluar kisah 20 tahun lalu....

Waktu tu Boss ada superbike. Kami gunakannya sebagai kenderaan untuk ke tempat kerja. Maklum saja waktu tu kami tinggal di Gombak, saya bekerja di Petaling Jaya dan Boss di Jalan TAR. Zaman tu bas mini adalah raja di jalanraya. LRT dan Komuter belum ujud. Jalan jem menggila di sana sini boleh membuat sesiapa juga naik gila.

Kebetulan Boss memang peminat motor besar. Walaupun sudah beranak dua, kami masih ranggi....Setiap pagi mat-mat kilang di tempat saya bekerja akan menjengukkan kepala keluar dari tingkap mahupun berdiri di muka pintu untuk melihat motor kami memasuki kawasan pejabat. (Saya bekerja di pejabat sebuah kilang perusahaan kabel waktu tu. Pekerja kilang pula semuanya lelaki....). Tidak disangka kami ada ramai peminat....motor yang diminati, bukan orang....

Dalam diam, rupanya pekerja-pekerja kilang memberi gelaran kepada saya. Apa gelarannya? Mrs Superbike.... Cewah! Cam best je....

Selain dari menjadikannya tunggangan ke tempat kerja, kami juga rajin mengikut konvoi. Aduhai....penat melambai di sepanjang perjalanan.... Banyak juga tempat yang kami jelajahi berdua, bersama rakan-rakan superbikers yang lain. (Waktu tu zaman Erra Fazira, Awie, Azhar Sulaiman....dan anak-anak serta suami Allahyarham Datin Rafeah Buang). Wah.....glamour sungguh kami. Masuk Majalah 3, MHI dan macam-macamlah lagi. Mana taknya, helmet, jaket, but, sarung tangan, baju hujan....semuanya ada style. Tak mainlah kapcai punya standard!

Senyum sendiri dibuatnya...

Kini, anak-anak lelaki kami mewarisi minat permotoran Boss. Setelah berbelas tahun Boss menjual motor besarnya, Jimie dan Abey mula menyimpan angan-angan untuk menjadi superbiker pula. Lala pastinya teruja nak ambil gelaran Mrs Superbike saya....

Kami? Masih meminati, tetapi mungkin yang seperti di bawah ini.....

Friday, April 13, 2012

Si Comel: Janji manisku

Gelagatnya melucukan. Ada saja aksinya yang membuat kami ketawa. Selalu juga kami naik darah. Apatah lagi jika dia asyik menangis.

Dia sudah pandai melakukan pelbagai perkara. Faham dengan arahan dan tahu apa yang dimaksudkan. Namun biji butir yang keluar dari mulutnya hanya 'oing oing oing' ataupun 'mama, nyio nyio nyio...hehehe'. Entah apa yang cuba disuarakannya....

Dia menghiburkan kami semua. Wajahnya comel. Gelagatnya comel. Senyuman manisnya cukup comel.

Saya mahu selalu bersamanya. Mendidik dan menjaganya sepenuh masa. Mampukah?

Entahlah. Kalaulah boleh saya bersara dari menerima tekanan, itu lebih baik. Tubuh dan jiwa saya tidak mampu menerima tekanan lebih dari ini. Mengenang kesakitan yang arwah Mak, arwah Bapak, arwah Abang Aris, arwah Abang, serta kesulitan Abang Nasir mengharungi hari-harinya sebagai seorang yang lumpuh sejak 4 tahun lalu, serta kakak-kakak dan abang yang berdepan dengan segala macam masalah penglihatan, pendengaran, acute migrane, serta pelbagai lagi membuat saya takut. Berdayakah saya mengharungi kesulitan sepertimana ahli keluarga saya yang lain? Darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung....hampir kesemua mereka yang saya sebut di atas memilikinya. Dan,mereka adalah ibubapa saya, kakak-kakak dan abang-abang saya.... Namun, pandangan sang doktor menggusarkan saya. Mencuit ketenangan saya. Mengganggu emosi saya.

Si Comel membuat hidup saya riang sentiasa. Namun beban berat yang bertambah setiap hari di kepala saya membuat saya terdedah kepada risiko mengidapi penyakit merbahaya yang telah sebati dengan keluarga saya.

Saya mahu terus bersamanya dan tentu sekali Abo dalam keadaan sihat dan gembira, bukan sakit dan bersedih. Saya mahu membawa mereka terbang ke awan, menikmati udara segar di pergunungan, memerhati burung terbang mencari ikan di perairan, menghayati keindahan sawahladang yang melatari perkampungan. Saya mahu menemaninya ke sekolah, ke perpustakaan, bersama membuat carian di google tentang ayat-ayat yang mengisahkan haiwan. Saya mahu bersorak di tepi padang tatkala dia berlari laju untuk membuat 'touch down' di padang ragbi, membuat terjunan dari papan anjal di kolam renang, menemaninya ke sekolah memandu untuk mendapatkan lesen B dan D, melihat reaksi wajahnya tatkala menerima kejutan dengan menyerahkan kunci kereta comelnya dan motor kapcai idamannya....

Ya Allah...berikan kesihatan yang baik buatku. Si Comel memerlukan aku untuk menghadapi hari-harinya. Andainya aku perlu merehatkan diriku dari segala kegilaan ini, Engkau berikan yang terbaik buatku. Jauhi diriku dari segala kesakitan dan kesengsaraan.

Abo, Rahman. Mama janji Mama akan terus sihat dan gembira. Mama dan Papa akan sentiasa meluangkan masa untuk bersama makan aiskrim, makan pizza, kejar burung di padang, tonton Spongebob, Upin Ipin, To & Jerry, dan tentu sekali bawa Abo dan Rahman solat jemaah di Masjid Negeri setiap hari... Semoga Allah mudahkan urusan Mama dan Papa, dan semoga Allah perkenankan janji manis Mama pada si Comel Mama....

Monday, April 9, 2012

Maaf

Memberi kemaafan adalah satu perkara yang amat tinggi tingkatannya. Seorang hamba Allah yang mampu memaafkan kesalahan orang lain akan mendapat ganjaran yang amat tinggi dari Allah.

Meminta maaf adalah satu perkara yang amat tinggi juga tingkatannya. Menyesali akan apa yang telah dilakukan, seorang manusia akan memohon agar dirinya dimaafkan oleh manusia lain.

Selepas menyakiti, kita akan insaf dengan apa yang kita lakukan, lalu kita mengambil keputusan memohon kemaafan. Manusia yang kita sakiti akan memberi kemaafan itu kepada kita dengan mengatakan "sudah lama saya maafkan". Lalu kita berlalu pergi dengan dada yang lapang. Alhamdulillah, kata hati kita. Kini kita tiada lagi kesalahan kepada si polan.

Apa yang tersirat di hati si polan tidak pernah kita peduli atau selami. Mungkin sakit di hatinya tiada lagi lantaran keikhlasannya memaafkan kita. Tetapi pernahkah terfikir kemungkinan bahawa kesalahan kita telah membuat si polan tadi hilang maruah dan harga diri? Orang lain memandang serong kepadanya, keyakinannya hilang dibawa bersama tohmahan yang kita lemparkan sebelum ini. Bukan itu saja, banyak lagi tentunya kesan buruk yang terpaksa si polan hadapi untuk membersihkan dirinya.

Astagfirullah. Ampunkan diri ini Ya Allah. Memohon maaf memang mudah. Namun implikasi dari perbuatan kita sebelum ini meninggalkan kesan besar dalam hidup orang lain. Si polan pula yang terpaksa mengekalkan keikhlasannya memberi kemaafan kepada kita dalam pada dia perlu berdepan dengan masyarakat untuk membersihkan namanya.

Semoga kita berfikir berkali kali sebelum menyakiti hati insan lain....Kesan dan akibatnya terlalu besar. Meminta kemaafan saja tidak memadai.... selagi ada yang berprasangka buruk terhadap si polan selepas percaya dengan cerita yang kita sampaikan, selagi itulah kita akan menanggung bebannya....

Monday, April 2, 2012

Fadhil

Anak saudara Boss yang baru berada di Tingkatan 5 disahkan mengidap kanser. Kami menerima berita yang menyayat hati ini dengan rasa sedih yang teramat. Seawal usia itu, Fadhil terpaksa berdepan dengan keadaan yang amat sukar, bukan saja buat dirinya, bahkan ibu dan ahli keluarganya yang lain.

Ayah Fadhil pergi sepuluh tahun lalu, juga kerana kanser. Abang Syed kelakar orangnya. Dialah teman saya bergurau jika kami berkumpul ramai-ramai di rumah mak mertua saya. Bahasa Terengganunya yang pekat - saya cukup suka dengar dia kata "do'oh". Tuhan lebih menyayanginya apabila dia pergi di usia 46 tahun, selepas hanya kurang 6 bulan berjuang melawan kanser.

Kini, Fadhil yang baru berusia 7 tahun ketika ditinggalkan ayahnya pula menghadapi keadaan yang amat memilukan.

Kami sekeluarga hanya mampu berdoa semoga Fadhil segera sembuh dan kuat menghadapi dugaan berat ini. Kami doakan juga agar Ngah Uji sentiasa tabah menjaga Fadhil, kuat semangat dan terus diberikan kecekalan. Beliau yang baru pulang dari mengerjakan haji beberapa bulan lalu kini berdepan dengan ujian yang cukup berat. Mudah-mudahan Allah berikan kemudahan buatnya.

Apa yang mampu kami beri kepada Fadhil adalah sokongan yang tidak berbelah bagi. Melihatnya tersenyum melegakan kami sekeluarga. Terimakasih Lala yang sanggup berpisah dengan tablet kesayangannya dan men'download' bacaan Quran, filem-filem komedi dan game yang best-best untuk Fadhil pehuhkan masa lapangnya di atas katil hospital.

Ya Allah. Engkau saja yang tahu rahsia di sebalik segala perancanganMu. Kami yang lemah hanya mampu berserah kepadaMu. Ampunilah kami Ya Allah. Mudahkanlah urusan kami kerana sesungguhnya tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikan mudah; dan Engkau akan jadikan kepayahan menjadi mudah apabila Engkau kehendaki mudah.