Sunday, October 9, 2011

Sabar dan solat

Pagi-pagi lagi telinga saya parah mendengar bebelan. Kalau memang salah saya, okay jugak. Bolehlah saya terima dengan senyuman. Saya dan team saya berhempas pulas menyiapkan lapuran yang perlu dihantar ke pihak kerajaan, malangnya saya dihambur dengan seribu satu komen yang menggelorakan perasaan. Subhanallah....tidak putus-putus saya menyebut nama Dia memohon agar saya diberikan kekuatan. Saya garu kepala yang tidak gatal. Fenin. Sakit sungguh kepala saya dibuatnya.

Saya lakukan apa yang saya lakukan kerana ini tanggungjawab saya. Langsung tiada agenda duniawi yang lain. Atas alasan tersebut saya jalankan tugasan ini kerana Allah. Akan tetapi selepas 'bernanah' telinga saya mendengar leteran dan komen yang tidak masuk akal, saya harus serahkan kepadaNya. Saya masuk ke dalam bilik air dan mengambil wudhuk. Lalu saya dirikan solat sunat 2 rakaat. Saya pohon agar saya mendapat kemudahan.

Selesai solat, saya rasa cukup tenang. Saya mampu tersenyum dan bersedia menerima apa pun jua yang akan dilontarkan. Ya Allah....begitu besar kuasaMu. Tatkala saya kembali mengadap si dia, saya mendengar suara lembut yang memuji saya dengan pujian tinggi melangit dan macam-macam lagi. Selepas keseluruhan dibaca, dia tahu kami berusaha melaksanakan tugasan dengan cukup baik. Saya beristighfar dan terus beristighfar.....

Saturday, October 8, 2011

Tasawwur Islam

ia adalah satu subjek dalam SPM. Anak-anak saya berhenpas pulas berusaha untuk mendapat A dalam subjek ini.

Malam tadi saya berpeluang berada di dalam kuliah YBhg Prof Datuk Dr Harun Din yang bercerita tentang subjek Tasawur Islam yang bermaksud 'gambaran dalam Islam'. YBhg Datuk membawa kami menggambarkan keadaan kiamat, kebangkitan semula, soalan-soalan yang dihadapkan sewaktu hari perhitungan dan ke mana ia akan membawa kita.

Allah hu akbar. Takutnya saya. Antara analisa YBhg Datuk adalah soalan ringkas dari Allah seperti berapa usia hidup kita di dunia? Berapa lamakah kita gunakan usia kita itu untuk beribadat kepada Allah? Dari situ Datuk mengajak jemaah mengira. Tidur 8 jam sehari bermaksud sepertiga dari hari kita. Jika kita hidup 60 tahun, maksudnya 20 tahun dari hidup kita adalah untuk tidur! Jika kita tidur dalam wudhu', membaca Quran sebelm tidur, berdoa dan berzikir....Alhamdulillah. Jika tidak....

Kemudian, makan. Berapa lama kita habiskan usia kita untuk makan?

Yang paling saya tidak tahan, ialah tentang solat. Jika kita ambil 5 minit satu waktu sehari, dalam 60 tahun, kita hanya solat selamat 8 bulan 10 hari untuk lelaki. Untuk wanita, tolak satu perempat kerana uzur! Dan erti solat di sini adalah solat yang khusyuk....Alamak....

Kita juga akan ditanya setiap sen yang kita perolehi. Bagaimana kita mendapatkannya? Dan bagaimana kita membelanjakannya?

Aduh...saya tidak boleh tidur semalaman. Bagaimana akan saya jawab soalan- soalan itu jika saya tidak mengikut apa yang dituntut? Ampunkan hambaMu ini Ya Allah. Ampunkan hambaMu yang seringkali lalai dan leka. Kebahagiaan dan kekayaan abadi adalah di sana. Di akhirat.

Pagi tadi, selesai waktu subuh, saya masuk kelas Ustaz Yusri Karim pula. Ia tentang Rahsia 7. Satu saja topik yang Ustaz sentuh, iaitu bagaimana Rasulullah(saw) beramal. Begitu mudah. Namun hakikatnya ia sukar untuk dilakukan....apatah lagi untuk beristiqomah.

Rahsia pertama ialah bangun sebelum waktu subuh, solat sunat kemudian solat fardhu berjemaah.... Jika saya hitung, subuh saya di sepanjang usia saya puratanya ialah pukul 630.... Habis! Rahsia kedua ialah Rasulullah (saw) menjaga kebersihan. Zahir dan batin. Aduh... penyucian hati.... Zikir, membaca Quran, bersedekah dan mendalami ilmu Allah....dan pelbagai lagi. Ini kelihatan amat mudah, tetapi ia terlalu sukar untuk dilksanakan. Bak sajak Ahmad Fansuri... 'aku adalah aku, mencari diriku di dalam terang'. Astaghfirullah... Takutnya jika Allah berpaling dari memandang kita. Bagaimana nantinya nasib kita. Aku pohon keampunnMu Ya Allah. Aku pohon kasih sayangMu Ya Allah...

Semoga hari ini dan hari-hari mendatang adalah lebih baik dari semalam dan hari-hari yang telah kita tinggalkan. Wallahualam.

Tuesday, October 4, 2011

Kita sedang diuji


Hampir setahun yang lalu, tatkala saya berada di Padang Arafah, di celah-celah sendu dan tangis mengenang segala dosa yang telah saya himpun di sepanjang kehidupan saya, saya berjanji kepadaNya bahawa saya sudah meletakkan dunia ke sisi. Saya pegang janjiNya bahawa sesiapa yang mengejar dunia, dunia akan lari, tetapi sesiapa yang mengejar akhirat, dunia akan datang kepadaNya.

Sekembalinya dari sana, dalam keadaan saya tidak ada sebarang pekerjaan (satu bulan setengah sebagai penganggur), saya pohon kepadaNya agar saya diberi satu pekerjaan yang selayaknya buat saya. Sesuai dengan kelayakan akademik dan pengalaman saya. Tidak lebih dan tidak kurang.

Selepas hampir setahun memegang janji, saya diuji. Jawatan tinggi menjadi tunjang kepada kemuliaan di sisi manusia. Saya hampir terpedaya dengan dorongan syaitan yang saya biarkan bermaharajalela dalam hidup saya.

Saya menangis sendirian mengenang momen-momen indah 9 Zulhijjah 1431. Apa yang sudah saya lakukan? Di mana janji saya pada diri saya sebagai hambaNya? Hati yang telah saya sucikan di sana kembali saya cemari demi cita-cita dan wang ringgit, sedangkan ALlah lebih mengetahui keperluan saya.

Saya sedang diuji dengan janji yang saya ikat sendiri. Subhanallah. Astaghfirullah. "Janganlah Kau palingkan hatiku selepas Kau beri petunjuk kepadaku Ya Allah..."

Semoga hari ini dan hari-hari seterusnya lebih indah dari semalam.....

Wednesday, September 28, 2011

Motivasi

Saya sedang dilambung angan-angan tinggi melangit. Dalam kekalutan menjalankan sesuatu yang tidak menggembirakan, saya mendapat satu kesempatan. Subhanallah....betapa bersyukurnya saya....Tiada kata dapat menggambarkan betapa saya amat mendambakan kegembiraan ini.

Tadi saya dapat peluang duduk bersama mereka yang memahami gelora di hati saya. Kami bercakap dalam rentak dan alunan yang sama - seperti beberapa tahun lalu, terutamanya ketika kami berada di beranda rumah yang kami diami di Chetpet, Chennai, India sambil menghirup udara pagi dan menikmati chai buatan Kaka....

Terharu bila kami diberi peluang lagi untuk sama-sama merealisasikan impian yang tidak kesampaian. Kali ini impian kami akan membawa kami ke sebuah lagi tempat yang lebih kurang 'hebat'nya dengan India.... Kami tersenyum di dalam hati sambil menggaru kepala yang tidak gatal tatkala diajukan soalan samada kami mampu melaksanakan tugasan yang dipinta....

Saya serahkan kepada Yang Maha Esa urusan kami ini. Dia lebih tahu apa yang terbaik buat saya. Bukan kerana wang ringgit atau kedudukan atau jawatan yang saya cari...kerana pekerjaan saya sekarang memberi kesemua itu. (Nota: Gaji saya cukup untuk membiayai diri saya dan keluarga. Itu makna wang bagi saya - ia mencukupi, tiada lebihan dan tiada kekurangan). Saya teruja untuk melaksanakan apa yang menjadi minat saya selama ini. Membina sebuah sistem yang akan digunapakai dan memberi manafaat kepada manusia sejagat. Lebih mengujakan jika sistem itu tidak pernah ada di mana-mana....Cita-cita saya sejak dulu adalah untuk menjadi 'trend setter, bukan trend follower....

Saya dan dia ada dua bulan untuk mempersembahkan Proof of Concept kami kepada pihak berkuasa di sebuah negara dunia ketiga. Kami juga akan mencari jalan bagi peluang lain. Doakan kejayaan kami.....Peluang yang saya perolehi hari ini akan menjadi motivasi kepada saya untuk terus berlari dan melompat lebih tinggi....

Monday, September 26, 2011

Hutan Lipur Bukit Hijau Kulim




Hujung minggu yang baru lalu saya ke Hutan Lipur Bukit Hijau, Kulim. Kakitangan syarikat menganjurkan Kem Jati Diri bagi sekumpulan jurutera muda dari beberapa buah perusahaan yang berada di sekitar Kulim, Pulau Pinang dan Perak.

Saya diundang untuk memeriahkan majlis. Saya bawa Abo bersama. Bukan apa, saya ni cukup takut tidur sendiri..... Lebih-lebih lagi bila tempat itu berada di dalam hutan...

Resort yang kami diami cukup selesa. Air sungai mengalir di depan chalets kami. Bunyi deruan air mengalir seakan "soundtrack muzik" di situ. Tenangnya suasana.....

Abo ketawa besar melihat anak-anak ikan berenang-renang di dalam air sungai yang cetek, crystal clear dan sejuk... Bila berendam di dalam sungai, terasa tidak mahu bangkit keluar....

Saya tidak mengikuti keseluruhan aktiviti di dalam hutan tersebut. Banyak masa saya habiskan dengan berendam di dalam sungai bersama Abo. Saya agak fobia sebenarnya dengan hutan/kebun/pokok-pokok/semak/nyamuk....... Ia mungkin berkait rapat dengan pengalaman membesar di celah-celah pokok getah, bertemankan nyamuk, ulat bulu, cacing dan semak samun. Berada di dalam hutan membuat saya terkenang kisah silam. Ia agak merimaskan. Bukan membenci, tapi jika boleh saya elakkan, ia lebih baik begitu.

Macammanapun, saya tumpang gembira dan bangga dengan kejayaan anak-anak buah saya; juga tatkala melihat senyuman dan gelak tawa Abo sewaktu menangguk ikan di sungai! (Ikan-ikan tersebut mati dalam perjalanan pulang ke rumah....Abo menangis...namun sempat dia tunjukkan kepada semua di rumah dia berjaya....!)

Sunday, September 18, 2011

Apa yang dicari?

Saya disoal dengan soalan di atas. "Apa lagi yang dia cari?"

Entahlah. Saya sendiri tidak punya jawapan kepada soalan tersebut.

Saya hanya mengukur baju di badan saya. Bagi orang yang segemuk saya, sudah tentu koyak baju bersaiz S mahupun M. Mungkin selesa jika saya pakai saiz L, atau XL. XXL akan jadi terlalu besar. Jika ingin memilih beg tangan, saya akan cari beg yang boleh memuat kesemua barang-barang yang wajib saya bawa bersama. Ertinya, ia perlu besar. Dan mampu saya bayar. Sudah pasti saya tidak mampu memilih Gucci atau LV atau Dior. Paling hebat pun beg tanpa jenama. Itulah dia kemampuan saya. Itu saja. Yang lain saya tidak mampu.

Saya cuba memahami keadaan. Namun kenyataannya saya gagal. Saya sendiri tertanya-tanya... Apa yang dicari?

Jika ia berkait dengan wang ringgit, banyak dah. Jika berkait dengan pangkat dan kedudukan, tinggi melangit. Jika berkait dengan populariti, semua dah kenal.

Mari kita tanya Ustaz bagaimana sahabat Nabi menentukan akhir kehidupannya.

Ustaz bercerita tentang Abu Darda', seorang yang cukup terkenal sebagai sahabat Nabi. Beliau seorang ahli perniagaan yang kaya raya. Namun beliau memilih untuk mendapatkan kekayaan yang kekal abadi dan beliau tahu kehidupan itu adalah di akhirat. Lalu beliau tinggalkan dunia dan kekayaan yang sementara, dan fokus kepada akhirat. Namun sebagai ahli perniagaan, beliau teruskan berniaga. Beliau pastikan yang tempat perniagaan beliau ialah yang berhampiran dengan masjid, agar beliau dapat solaat berjemaah 5 kali sehari tanpa ketinggalan Takbiratul Ihram. Dan beliau juga pastikan yang beliau memperolehi keuntungan 40 dinar sehari, untuk beliau infakkan kesemuanya ke jalan Islam.

Apa yang Abu Darda' cari? Kebahagiaan dan kekayaan yang kekal abadi.

Okay....saya juga mahu mencari kebahagiaan dan kekayaan yang sebegitu lah.... Biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya...biarkan...biarkan..... Saya akan jalankan tugas saya dengan sepenuh hati demi mencari kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat nanti..... Mari sama-sama kita cari kebahagiaan dan kekayaan itu... Kehidupan di syurga amat indah sekali... Itu janji Allah pada hambaNya. Janji itu tidak mungkin dimungkiri.

Saturday, September 17, 2011

Kursus Haji Perdana

Hari ini saya berpeluang bersama bakal-bakal jemaah haji 2011 yang akan memulakan perjalanan seawal 29 September ini. Saya perhatikan riak wajah mereka yang kelihatan penat, teruja dan ada yang terpinga-pinga. dapat juga berbual dengan seorang dua bakal hajjah sewaktu menanti waktu solat. Saya gembira tatkala mendapat tahu rakan karib saya, Liza dan suaminya Khairi, telahpun mendapat pengesahan tentang pemergian mereka. Saya teruja bila mendapat tahu anak saudara saya yang masih muda belia, Nuyun dan suaminya Najmi, juga teman sekolah, Markom dan Maliah, juga telah mendapat tarikh penerbangan. Mudah-mudahan urusan mereka dipermudahkan dan mereka mendapat haji yang mabrur.

Haji adalah Rukun Islam yan kelima. Ia wajib. Haji bagi saya, adalah permulaan kepada sebuah kehidupan baru. Kehidupan yang dipenuhi dengan keindahan Ketenangan yang dicari di sepanjang kehidupan muncul sewaktu sibuk menyiapkan diri untuk melangkahkan kaki ke tanah suci. Namun ujiannya getir dan besar sekali. Berjuraian airmata tatkala menghadapi ujian demi ujian yang Allah turunkan.

Puncak ujian ialah pada hari sampai ke tanahair selepas mengerjakan haji. Kemabruran haji ialah samada kita masih sama seperti sebelum kita pergi haji atau kita menjadi manusia yang lebih baik atau sebaliknya. Kita mahu istiqomah, namun prasangka, andaian dan pelbagai rintangan perlu dihadapi dalam usaha untuk beristiqomah. Kita cuba untuk menegakkan yang haq, namun suara-suara yang membisik membuat kita takut dengan kemungkinan kita ini riyak, ujub dan takbur.

Pagi esok, bakal-bakal jemaah haji akan berqiamullail di Masjid Negeri selepas merasai nikmat tidur semalam di dalam masjid. Di kala mendengar alunan suara imam yang mendayu, pastinya hati kecil merintih dan menangis mengenang segala kesilapan lalu. Kealpaan dan
kelekaan mengejar keindahan dunia sesungguhnya menjadi titik tolak kepada kemusnahan hidup. Segalanya berkisar tentang apa yang
diingini, bukan apa yang diperlukan. Keinsafan datang dari ilham Yang Maha Kuasa. Ia diturunkan khusus kepada mereka yang mencarinya. Bagi saya secara peribadi, diselubungi rasa bersalah kerana seringkali terlupa denganNya dan hidup dalam keresahan menimbulkan
perasaan mahu berhijrah kepada kehidupan yang lebih baik di sisiNya.

Kursus Haji Perdana 2010 meruoakan detik di mana saya letakkan 'gear' kenderaan yang membawa saya menuju ke garisan penamat
kepada D, selepas saya tarik brek tangan dan gear ke P. Saya mulakan langkah menjadi manusia baru bermula dari detik itu.

Mudah-mudahan kesemua jemaah haji 2011 diberi kemudahan, dikurniakan nikmat dan rahmat dari Allah dan mendapat haji mabrur. Saya juga berdoa agar kehidupan saya dan keluarga sentiasa mendapat keredhaan Allah. Amin.