Saturday, March 16, 2013

Bila sendirian.....

Minggu ke3 bulan Februari saya ditinggal bersama Abey, Abo dan Rahman, sambil ditemani Dee dan Bibik. Boss menerima jemputan menjadi tetamuNya dan beliau membawa Lala bersama.

13 hari yang menyeksakan. Di usia begini, Boss adalah teman paling rapat. Sarapan bersama selepas menghantar Abo ke sekolah sebelum ke pejabat merupakan suatu yang rutin. 13 hari bersarapan sendirian selalunya tidak bersarapan....

Hati meronta menunggu hari yang dijanjikan. Segala yang berlaku seolah kosong tiada makna. Kadangkala saya rasa macam tidak kena. Masakan sebegitu sekali saya kehilangan?

Kepulangannya menerbitkan bunga yang berkembang indah dalam diri. Syukur kepada Dia kerana saya tidak lagi sendirian....

Seminggu selepas pulang, sekali lagi saya sendirian. Johor Bahru tidaklah jauh mana...namun saya tidak bersamanya. Jika Abey dimasukkan ke hospital di hari kepulangan Boss dari Mekah, kali ini saya sendiri yang menjadi penghuni hospital. Ia sesuatu yang tidak saya sukai.

Kesunyian begitu mencengkam bila sendirian. Perasaan takut amat menebal hingga sukar untuk melelapkan mata. Yang terpandang di mata hanyalah wajahnya. Yang terdengar di telinga hanyalah suaranya. Bila mata terpejam, hanya senyumannya menjadi latar belakang...

Begitu hebat rasa orang bercinta. Ia cinta yang dibelai, dibaja dan dipupuk selama hampir 25 tahun ..... Bukan cinta biasa antara lelaki perempuan, tetapi cinta yang bersandarkan "saya menyintainya hanya kerana Allah".

Biarlah hanya dia yang mengisi segenap ruang di hati saya hingga ke kehidupan hakiki. Saya sentiasa berdoa agar kami kekal bercinta bersama-sama di syurga, ditemani dengan riuh rendah suara dan jerit pekik anak-anak kami. Mereka adalah pemula segala senyuman, keceriaan dan kebahagiaan...

Saya perlu nyatakan di sini yang saya tidak suka ditinggal bersendirian. Saya mahu bersamanya - setiap masa....

Friday, March 1, 2013

Berjalan di Myanmar

Bulan Januari lalu, saya ke Yangon, Myanmar. Tujuan asal saya dan Boss ke sana adalah untuk melihat-lihat apa yang ada di sana. Sementalahan dapat pula tambang Air Asia murah.

Bila saya beritahu MD saya di pejabat yang saya mahu ke Myanmar, beliau kata:

"You pergi sana dan jumpa counter-part kita di sana. Ini kad-kad mereka. Teruskan apa yang I dah bincang dengan mereka."

Disambung pula oleh beberapa orang lain di pejabat:

"Puan Suria tolong dapatkan maklumat-maklumat berkenaan .......dari A sampai Z."

Saya terkedu. Boleh ke saya dapatkan kesemua maklumat ini dalam masa dua hari? Tambahan pula saya pergi di hujung minggu....

Lalu saya mabil keputusan: tambah lagi dua hari di sana, dan syarikat akan membiayai pemergian saya.

Alhamdulillah....percutian yang kami rancang ditaja sepenuhnya oleh pihak syarikat. (perbelanjaan saya tapi Boss tumpang....)

Kami ikut beberapa tips seperti yang tertulis di dalam blog-blog, wikipedia mahupun TripAdvisor. Antaranya, hanya Dollar Amerika bernilai $100 yang baru - tidak komot, tidak berconteng, tidak koyak, tidak usang - sahaja yang diterima.

Tukaran ke Myanmar kyat (bunyinya chat) boleh dibuat di Airport. Begitu juga dengan sim kad yang boleh dibeli di sana.

Kami kemudiannya mengambil teksi ke bandar Yangon dan check-in di hotel yang telah kami tempah melalui internet - Sunflower Hotel namanya. Hotel terletak di tengah bandar, dekat dengan masjid, restoran dan pasar batu permata.

Saya dan Boss teruja melihat pelbagai makanan yang kelihatan seperti di tempat kita. Namun keterujaan kami merosot dari hari ke hari....hingga kami langsung tidak mampu menelannya lagi.... Makanan di Myanmar berminyak, dan mereka gunakan minyak kacang. Ia memberi hasil yang meloyakan tekak orang kampung seperti kami berdua. Briyani ke, Chinese food ke.....kami makan hanya kerana lapar....

Kami amat teruja dengan batu permata yang dijual macam pisang goreng di sana. Kami sempat ke GEMs Museum. Subhanallah....kaya sungguh bumi Myanmar.......hampir keseluruhan muka bumi Myanmar terdapat ruby, sapphire, jade, agate, gold, diamond.....bahkan uranium pun ada!

Boss sempat membeli banyak batu-batu permata ini untuk dijual balik di kedainya. Ada permintaan spesifik dari rumah - maka blue sapphire untuk Lala, garnet untuk Jimie, ruby untuk Abey, peridot untuk Dee dan pink sapphire untuk Aziey. Insyaallah mereka akan melukis sendiri design yang mereka mahukan....

Dalam pada sibuk bermesyuarat dengan pelbagai pihak di sana, termasuk pihak Kedutaan Malaysia, Myanmar Chamber of Commerce dan beberapa orang perseorangan, kami juga sempat menjalinkan persahabatan - dengan Sharif yang pernah bekerja di Malaysia dan fasih berbahasa Melayu.

Rupanya - di Myanmar ramai orang kaya - gila-gila punya kaya. Tiada commercial banking di sana kerana bank dipunyai oleh individu. Makanya tiada car loan, housing loan apatah lagi personal loan. Walaupun keadaan pembangunan Yangon kini serupa macam Klang di tahun 70an, namun kebanyakan dari mereka hidup tanpa hutang. Sekecil manapun rumah mereka - ia dibeli secara tunai. Aduhai.....miskinnya orang Malaysia. Belajar di universiti pun sudah berhutang, apatah lagi beli rumah dan kereta.

Myanmar ada 60 juta penduduk; 30% jutawan, 60% golongan marhaen dan 10% golongan pertengahan. Benchmark jutawan mereka adalah bernilai lebih US$30 juta dalam bentuk aset tetap, emas dan simpanan di bank luar - Singapura terutamanya - dalam bentuk US$. Terkenang kami pada Sharif, waktu di Malaysia dulu beliau seorang buruh kasar. Lima tahun di Malaysia, Sharif pulang ke Myanmar dan membuka kedai menjual baju permata di Pasar Bojok. Lima tahun selepas itu, Sharif mampu membeli sebuah rumah pangsa secara tunai yang kemudiannya dijual selepas tiga tahun dan tahun lalu beliau beli sebuah penthouse di tengah Yangon yang berharga hampir US$100,000 tunaaaiiiii.................!

Masya Allah.......!

Jika berani mengambil risiko dalam perniagaan, pergilah ke Myanmar....cuma mungkin bukan makanannya..........!



Sunday, February 24, 2013

Rindu

Aku berdiri kaku
Bersama rintihan pilu
Kehilangan kasih
Yang pergi cuma sementara

Aku dicekik duka
Dihimpit luka
Yang nyata
Aku rindu....

Sajak di atas saya tulis pada tahun 1982. Tersiar di majalah Mastika dan majalah sekolah 'The Technician'. Saya tulis kerana saya amat rindukan mak dan keluarga saya di kampung. Berada di bandar dan tinggal di asrama menyiksa perasaan saya.  Rasanya itulah kali pertama saya tau apa ertinya rindu....

Saya sentiasa ingat sajak itu walaupun banyak lagi tulisan saya yang keluar di majalah. Ia mengenalkan saya kepada seorang peminat. Entah siapa namanya saya sudah lupa.....kami kemudian menjadi pen-pal...dia belajar di luar negara dan sering mengutus berita kepada saya menggunakan aerogram....

Persahabatan kami terputus kerana saya tidak tahu menghargai rasa tanpa melihat wajah....hahaha. saya perlukan sesuatu yang dapat dilihat, bukan hanya 'rasa'. Bagi saya ia tidak pasti...

Hari ini, saya tulis kembali sajak ini kerana saya amat terasa pedih dan sakitnya merindu. Kekasih saya terbang jauh setelah menerima jemputan untuk bertamu di rumah kekasihNya dan di rumahNya... saya tidak dapat bersamanya kerana tuntutan keluarga dan tugasan di sini.

Saya rindukan kehadirannya, senyum manisnya, renungan matanya yang sentiasa cantik, gurauannya, usikannya dan segalanya tentang dia....

Perpisahan sementara ini menyakitkan....namun saya pasti dia amat bahagia di sana....bersama tuan puteri kami satu-satunya....semoga mereka berdua dikurniakan umrah yang mabrur....

Sunday, February 17, 2013

Kembali ke sekolah

Sejak September lalu, saya kembali ke sekolah. Saya ingin belajar tentang sesuatu yang saya tidak tahu.

Perjalanan tidak mudah. Ada yang berkata:

"Dah tua-tua buat apa nak susahkan diri belajar lagi?"

Ada juga yang kata:

"Nak kejar apa lagi di usia ni? Pangkat? Harta? Dah tua-tua ni duduk je pencen kat masjid......"

Saya tiada jawapan kepada kata-kata tersebut. Sungguh. Ia memang soalan yang tiada jawapan.

Kenapa saya kembali ke sekolah sekarang? Bukan sepuluh tahun dulu? Atau lima tahum dulu? Atau kenapa perlu saya ke sekolah?

Pangkat sekarang: Bolehlah

Harta sekarang: Sifar

Gaji sekarang: Cukup makan.

Masa: Sibuk dengan kerja dan anak-anak.

Namun, sesungguhnya, ada yang indah di dunia persekolahan. Pencarian ilmu. Di peringkat pengajian tinggi, saya belajar mengikut sistem sekular. Pengetahuan agama Islam hanya satu dari subjek yang saya ikuti di peringkat sarjana muda. Habis. Di peringkat sarjana, tiada lagi. Saya jumpa di masjid dalam majlis ilmu.

Persekolahan saya sekarang memerlukan saya mengkaji lebih mendalam tentang sistem kewangan Islam. Ia sesuatu yang amat dekat dengan hati saya. Saya suka subjek yang berkisar tentang pegangan korporat, tentang penggabungan dan pengambil-alihan, tentang pasaran modal, tentang macam-macam lagi. Dalam dunia masa kini, kewangan Islam adalah yang paling berkesan untuk mengelakkan dari tertindas oleh sistem kapitalis yang kejam.

Lalu, masa saya amat singkat jadinya. Di masa terluang, minda saya akan menyuruh saya mencari article untuk saya baca. Minda saya akan mengarahkan tangan saya untuk membuka laptop dan mula mengetuk keyboard.

Apakah jika saya miliki satu lagi ijazah saya akan diberi pangkat, gaji mahupun harta menimbun? Sudah tentu tidak.

Adakah jika saya mengkaji tentang bidang yang saya minati saya akan abaikan Abo dan Rahman yang perlukan perhatian saya atau melupakan tugas dan tanggungjawab saya di pejabat? Tidak pernah walau sekelumit pun saya berfikir ke arah itu.

Adakah bila saya sibuk membaca dan menulis maka saya lupa untuk menguruskan Boss saya? Tidak pernah pula saya dengar rungutan beliau terhadap saya.....

Bila masanya saya mentelaah sebenarnya?

Di waktu rehat. Selepas waktu kerja. Sewaktu menunggu untuk bermesyuarat.

Cukupkah? Mudah-mudahan Allah mudahkan. Dia Maha Mengetahui apa yang saya usahakan. Insyaallah cukup.

Kalau gagal?

Sudah ketentuanNya. Saya mencuba dengan cara terbaik. Sesungguh hati. Hanya kerana Allah. Dia yang membuka hati saya untuk melakukan apa yang saya lakukan ini. Dengan izinNya semua ini berlaku.

Semoga saya tidak patah hati dan semangat dengan kata-kata manusia yang tidak ada apa-apa......

Tuesday, January 8, 2013

Stalker

Boss beritahu yang dia bertemu dengan Kak XYZ di sebuah gerai makan baru-baru ini. Kak XYZ ini adalah biras kepada seorang ahli keluarga saya.

Soalan pertama yang keluar dari mulut Kak XYZ adalah:

"Su kerja kat mana sekarang ni? Akak tengok dia asyik gi overseas je."

Boss terkedu dengan soalan cepumas itu.

Bertalu-talu soalan keluar di kepalanya.

Tanpa suara, Boss hanya tersenyum. Memberi jawapan sinis akhirnya kepada Kak XYZ.

"Dia kerja dekat-dekat sini je. Adalah syarikat dia tu hantar dia pergi kursus."

Bila Boss beritahu saya apa yang berlaku, saya senaraikan soalan-soalan saya pula:

  • Bila agaknya kali terakhir saya bertemu dengan Kak XYZ? Rasanya dah lama sungguh saya tak jumpa beliau.
  • Bagaimana Kak XYZ tahu tentang saya? Dia bukan kawan facebook saya.
  • Antara saya dan Kak XYZ, memang langsung tiada perhubungan, samada bersemuka atau melalui talian.
Ada beberapa soalan lagi yang saya pendam di dalam hati. Kenyataannya, ada orang yang memerhatikan saya dari jauh. Mengandaikan itu dan ini. Musykil dengan keupayaan saya mungkin. Maklum saja, si bodoh ini mana mungkin boleh terbang jauh.

Tiada apa yang menghubungkan kami berdua. Namun dia mengikuti perkembangan saya. Menanam persoalan yang tiada kena mengena.

Maafkan saya Kak XYZ. Saya banyak kesilapan dalam hidup saya. Saya sedang cuba baiki sedikit demi sedikit. Saya sentiasa berdoa agar Allah izinkan saya melunaskan segala yang mengikat jalan saya ke syurga sebelum saya tinggalkan dunia ini. Saya tahu Allah sedang mendengar.

Janganlah jadi stalker. Janganlah mengandaikan yang bukan-bukan. Biarkan saya menjalani hidup saya sendiri, mengikut apa yang saya rancangkan. Berterus-terang lebih baik dari bersangka itu dan ini.

Senang cerita, tak perlu jadi "stalker". Ia meletihkan. Kerana saya berazam untuk terbang lebih jauh dan lebih tinggi lagi....

Sunday, December 23, 2012

Dia sudah pergi...

Selasa, 18 Disember 2012. Saya sedang memesan makanan di Jalan Yap Kwan Seng. Talipon saya berdering. Suara Boss di hujung talian.

"Su kat mana?"

"KL. Kenapa Bang?"

"Aaaa.....Nora dah meninggal...."

Saya terkedu. Terdiam tanpa kata. Lemah longlai seluruh badan.

Selepas menghabiskan seke ping roti yang seumpama batu kerasnya (perasaan saya sahaja....), saya bergegas ke stesen LRT untuk pulang segera. Perjalanan KL - Shah Alam seumpama gerak perlahan... Airmata saya menjadi deras...Dada saya terasa sakit. Sebak. Sedih. Pilu....

Sampai di masjid, saya peluk anaknya. Tersedu2 dia dalam pelukan saya.

Selepas mengambil wudhuk, saya melangkah ke dalam ruang masjid. Terlihat sekujur tubuh yang siap dikafan bertutup dengan kain batik lepas....ooohhhh....airmata menjadi semakin deras.... Mata saya bertemu dengan mata Man, suami yang ditinggalkan.... Tiba2 terasa badan saya terhenjut2 menangis.... Lalu saya masuk ke ruang solat dan solat dua rakaat....

Saya tatap wajahnya yang ayu.... Cengkung sungguh dia. Hanya tulang dan kulit. Ada garis2 kesakitan yang tergambar.... Allah hu akbar... Dia tidak sakit lagi kini.....

Norly tiba dengan airmata berkaca.... Tidak tergamak dia untuk menatap tubuh kaku di hadapan kami. Akhirnya, tembok kekuatan Norly pecah berderai.... Gugur airmatanya dengan deras sekali....

Selepas Asar, kami solatkan dia. Kemudian saya bersembang dengan Wanli.... Satu demi satu rakan2 sekelas kami tumbang.... Yang tinggal hanya kenangan...

Akhirnya, perjalanannya di dunia berhenti di tanah perkuburan Islam seksyen 21 Shah Alam. Wajah sayu anak2, dan suaminya yang tercinta...menambah sesak di dada...

Nora...semoga bahagia hidupmu di sana. Allah lebih menyayangimu.

Tiada yang tidak baik tentang Nora. Dia sahabat. Dia teman. Dia kawan. Yang rapat. Akan ku semadikan ketulusan persahabatan kita hingga akhir hayatku. Doaku bersamamu....setiap masa. Moga kita bersama lagi di jannah..... 

Friday, December 14, 2012

Kembali menulis...

Diam bukan bererti mati....

Alhamdulillah saya masih diberi peluang menikmati kehidupan yang penuh warna-warni di dunia milik Allah ini.

Ruangan kehidupan yang Allah beri saya cuba penuhi dengan bersungguh-sungguh. Pelbagai aktiviti yang kadang kala menyesakkan dada membuat saya merasa yang masa berlalu begitu pantas....anak2 juga terlalu sibuk dengan kegiatan mereka. Boss tidak ketinggalan sibuk....

Apa yg kami sibukkan? Hahaha.... Sebenarnya kami sibuk menyibuk....  Hidup seperti biasa... Tiada yg lebih dari apa yang berlaku sebelum ini. Sudah semestinya kehidupan di Malaysia lebih baik dari di Gaza...atau Syria...alhamdulillah...