Tuesday, January 12, 2016

Rindu

Sesekali hati tertanya-tanya, benarkah apa yang kami lakukan? Dia masih terlalu kecil untuk dipisahkan sedang kami berdua sudah berusia, dia tidak akan punya banyak masa dengan kami. Dia suka makan, sah-sah di tempat yang dia tinggal payah nak dapat makanan sebanyak yang dia suka. 

Ya Allah! Ampunkan aku.

Sabarlah wahai hati. Ibu mana yang suka melihat anaknya menangis kesedihan, yang rela melihat anaknya tidak makan dan tidak merindu keletah si anak. Lagi-lagi anak manja yang ditatang.

Saya pujuk hati. Teringat perkongsian sahabat @ abang yang dikasihi, blogger bernama Pak Pin. Beliau kehilangan ayah di usia 10 tahun, kemudian ke sekolah berasrama penuh jauh dari kampungnya sejak usia 13 lalu ke luar negara menyambung pengajian. Membawa harapan ibunda yang sabar menanti di rumah.

Beliau berjaya memiliki hati yang cukup kuat. Ketabahannya menghadapi pelbagai situasi kesulitan menjadikannya manusia yang cukup berjaya. Kesederhanaannya dalam kehidupan membuat beliau istimewa di hati saya biarpun dia mampu hidup diulit kemewahan.

Allah hu Rabbi.

Aku relakan rindu ini bertampuk
Biar airmata panas di kelopak
Asal ku sebut namanya
wajah comel manjanya
Menyerbu dalam kotak ingatan.
Mulut mongelnya petah berbicara, 
mata keciknya senyum bercerita, tangannya meredakan lenguh orang tua.

Naufal Arif sedang berlatih untuk berjuang mempertahankan agamaMu Ya Allah. Lindungi dan sayangi dia. Mudahkan urusannya. 

Mama berdoa setiap ketika agar anak Mama terus berjaya. Di dunia dan akhirat.

Thursday, January 7, 2016

Sekolah dan Naufal

Sewaktu saya mengandungkan Naufal di usia 38 tahun, pihak hospital mengkategorikan kandungan saya sebagai "unplanned & unwanted".

Bagi kami, ia tidak benar kerana kami mahukan anak itu cuma ia tidak dirancang. Pelbagai kerisauan datang dari pihak hospital kerana usia saya dan jarak dengan kandungan terdahulu selama sepuluh tahun!

Allah hu akbar. 

Bagi kami berdua, kandungan itu adalah anugerah yang amat besar. Tempoh sembilan bulan sepuluh hari itu amat mudah dan menggembirakan.

Bayi yang lahir teramat comel. Putih melepak dan gebu kulitnya. Matanya, hidungnya, mulutnya... Tidak puas-puas kami menatap.

Naufal membesar sebagai anak manja yang lembut dan amat sopan tutur kata. Sentiasa menggembirakan sesiapa yang ada di keliling. Amat suka bila didampingi wanita cantik. 

Sejak mengandungkannya saya berhajat Allah izinkan anak ini menjadi seorang penghafaz Quran dan hadith, dapat bermukim di tanah haram dan mendapat penghormatan tinggi dari masyarakat dan tentu sekali di sisi Allah sebagai ilmuan terbilang. Doa yang sama saya ulang-ulang saban ketika hingga kini. Tidak pernah bertukar.

Awalnya, Naufal dididik secara one-to-one oleh Teacher Sharifah yang menerapkan pendidikan awal kanak-kanak menggunakan kaedah dari Britain. Di usia 6 tahun, Naufal diterima masuk ke tahun 1 di Integrated Islamic School Shah Alam. Dan alhamdulillah berjaya tamat tahun 6 di usia 11 tahun dengan keputusan UPSR yang memuaskan hati.

Pada bulan Disember 2013, Allah jemput Naufal menjadi tetamuNya. Subhanallah. Dia seolah menjadi superstar di sana. Jemaah di kedua-dua masjid amat menyukainya dan dihadiahkan dengan begitu banyak duit, makanan dan hadiah lain. 

Naufal juga menampakkan kemahuan untuk menjadi pelajar diMasjidil Haram. Bersungguh-sungguh dia berdoa agar diberi peluang menghabiskan pengajiannya di sana.

Tahun lalu menyaksikan episod sedih dalam hidup kami bilamana kami berdepan dengan hakikat tidak mampu untuk meneruskan persekolahan Naufal di IISSA. Yuran bulanan terlalu tinggi buat pesara tidak berpencen seperti kami. Sekali imbas, kami bercadang masukkan Naufal ke sekolah menengah biasa. Namun seperti ada yang menyesak dalam dada bila memikirkan Naufal di sekolah menengah biasa.

Kami berdua berbincang dari hati ke hati dengan mengimbas kenangan dan harapan terhadap si comel yang satu ini. SMK Seksyen 7 Shah Alam telah membuktikan ia sebuah sekolah yang berjaya melahirkan anak-anak hebat. Nabilla, Najmie dan Nabil adalah contoh terdekat. Lalu, apa lagi yang kami mahukan?

Saya kongsikan doa dan harapan terhadap Naufal sejak dalam kandungan. Boss mengangguk bersetuju kerana tidak mungkin hajat itu tercapai bila Naufal dikeluarkan dari "sistem" yang telah diikutinya sejak kecil.

Lalu kami mula membuat pelbagai kajian tentang sekolah-sekolah tahfiz di seluruh negara. Siapa empunyanya, siapa Ustaznya, siapa pengurusannya. 

Kami hanya mahukan yang terbaik buat Naufal. Dia wajib memperjuangkan agama Islam sebagai teras nombor satu dalam kehidupannya di samping memiliki kerjaya atau perniagaan sebagai pengukuh ekonomi.

Berat hati mahu melepaskan si comel buah hati pengarang jantung saya ini melangkah pergi meninggalkan kami buat seketika. 

Namun inilah pengorbanan yang tiada tandingnya. Naufal Arif, si dermawan yang bijak pandai ini akan memulakan pengajiannya di Maahad Tahfiz di Salak Tinggi mulai minggu depan. Doakan dia berjaya dan bahagia sebagai anak soleh di dunia dan akhirat.



Saturday, January 2, 2016

Azimat

Kala berdepan dengan kesulitan, kita sentiasa kalah dengan emosi. Terasa keseluruhan otak dipenuhi dengan masalah. Tidak tergambar betapa sukarnya mahu menyelesaikan segala yang berlaku.

Biar sekuat mana pun hati, manusia memang dilahirkan dengan penuh perasaan. Bimbang, khuatir, resah, kecewa dan pelbagai lagi. Hamburkanlah seribu satu kata-kata semangat, hati tetap menangis.

"Bethi, whenever you feel down, lonely and sorrow, remember that He is there with you. He listens to whatever you have in your heart. Perhaps you can also call my name. InshaaAllah, I will be there, spiritually, and pray for you."

Kata-kata ini masih terngiang di telinga. Ucapan tulus seorang insan yang dianugerahkan dengan sifat ihsan dan penuh dengan kerendahan hati.

"No doubt! Verily, the Auliya' of Allah, no fear shall come upon  
them nor shall they grieve."  

Quraan:Sura Younus Ch 10 Ayat 62 

"Everytime you feel sad, grieve or fear, remember. Auliya has no fear nor grieve. He puts Allah above everything in his life. Don't worry my daughter. You are always in my prayers."

Saya bersyukur kerana dipertemukan dengannya. Biarpun kami terpisah beribu batu secara fizikal, kata-katanya sentiasa bersama saya. 

Pagi ini, saya terkenangkan beliau bukan kerana saya sedang bersedih atau kecewa. Saya berdoa beliau sihat dan dapat terus berbakti kepada dunia dan Allah izinkan saya bertemunya kembali di satu hari yang indah nanti.

Saya berazam mahu menjadikan pesanannya sebagai azimat dalam meneruskan kehidupan di dunia yang sementara ini, dengan penuh harapan saya mendapat kebahagiaan hakiki di syurga.

Maulana Hazrat Bahaudin
Hyderabad, India

Friday, January 1, 2016

KedaiBatu&Co

Boss mulakan perniagaan batu permata sejak tahun 1995. Syarikat kami membeli lesen francais sebuah brand hebat dalam bidang barangan kemas, HJ di Klang Parade.

Kegawatan ekonomi di tahun 1998 memaksa kami menutup operasi lantaran tidak mampu menanggung kerugian demi kerugian.

Biarpun dihimpit beban kewangan dan pelbagai kesulitan lain, alhamdulillah, kami berjaya mengharungi semua itu berbekalkan keyakinan kepada rancangan dan takdir Allah. Kesedihan dan kesusahan telah lama kami lupakan.

Tahun 2006, Boss memulakan perniagaan kecilnya di Kompleks PKNS Shah Alam. Kecintaannya kepada batu permata mengatasi segala. Pengalaman dan pengetahuan yang dikutip sepanjang mengusahakan outlet HJ tidak disia-siakan. Sedikit demi sedikit beliau mula mengumpul batu-batu permata dalam pelbagai bentuk - loose, cincin, loket, gelang dan pelbagai lagi.

Tahun 2015 menyaksikan satu lagi perubahan dalam episod perniagaan batu permata kami. Nabil Imran yang baru menamatkan pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan menyatakan hasrat untuk membuat rebranding. Menjadikan perniagaan batu permata Papanya lebih hipster.

Lalu muncullah KedaiBatu&Co. Banyak yang berubah. Namun masih mengekalkan ciri aura dan kesihatan sebagai Unique Selling Proposition (USP) kami. Pengetahuan tentang khasiat batu permata dan kemampuan melakar desain serta menjadikan barang kemas secara ekslusif menjadikan KedaiBatu unik dan tersendiri.

Nabil mula bertapak di kalangan usahawan GenY dengan mengambil bahagian secara aktif dalam festival seperti TempatanFest dan StreetMansion juga di media sosial seperti Instagram (IG: kedaibatuco), facebook page (KedaiBatu&Co), Lazada dan inshaAllah di Zalora. Juga online store www.kedaibatuco.com.

2016 menampakkan diri. Banyak yang perlu dilakukan dan diperhalusi demi memantapkan lagi perniagaan keluarga ini. Kami berazam untuk menjadikan KedaiBatu sebagai brand yang lebih dikenali dan membawanya jauh ke persada dunia.

Doa kami KedaiBatu dapat menjana pendapatan lumayan dengan target jualan sebanyak US$100,000 sehingga akhir 2016. Perkenankan Ya Allah. Hanya padaMu kami memohon pertolongan.


Wednesday, December 23, 2015

Simpanan di tahun 2016

Menyimpan duit bukan sesuatu yang mudah untuk si pemboros macam saya. Terus terang, saya tidak ada wang simpanan seperti kebanyakan rakan lain.

Banyak sebab mengapa saya tidak mampu menyimpan. Sebab paling ketara ialah kerana sering berbelanja tanpa berfikir - inpromtu - kata orang putih.

Menjelang 2016 yang dikatakan tahun gelap bagi kemewahan kepada negara khususnya dan dunia amnya, orang macam saya pastinya resah gelisah. Tambahan pula tidak lagi punya pendapatan tetap namun masih ada komitmen bulanan yang tetap.

Hasil dari perniagaan semakin berkurangan hari demi hari. Lebih ramai yang "Touch&Go" dari membeli. Kerisauan kadangkala dapat dilupakan dengan tidor dan makan. Tapi hasilnya badan semakin berat dan pipi semakin bulat...

Antara langkah yang telah dan sedang saya ambil ialah ikat perut. Tiada lagi makan di luar, samada "fast food" atau "fine dining". Sambutan harijadi ahli keluarga di restoran mahupun di hotel ditiadakan sama sekali. Sebiji kek dengan lilin penuh di atasnya sambil berdoa beramai-ramai amat memadai. Setiap pagi saya akan ke pasar membeli bahan mentah untuk dimasak dan dimakan oleh semua penghuni rumah. Bajet sehari hanya RM30. Bahagi dengan 6 dewasa, kos makan tengahari dan malam hanya RM5. Minuman hanya air masak. Tiada lagi air oren atau sarsi. Paling mewah air sirap yang dibuat sendiri.

Saya mula simpan semua duit siling dan duit kertas seringgit yang kelihatan banyak di dalam beg duit. Di mana? Bukan di bank. Saya praktikkan cara lama. Tanyalah kepada mak, ayah mahupun datuk nenek cara mana mereka simpan duit. 😘

Main kutu ialah satu lagi cara simpanan yang sedang saya praktikkan. Anak saya bakal melanjutkan pelajaran pertengahan tahun 2016. Banyak wang yang akan digunakan. Saya minta giliran pada bulan tersebut.

Saya berhasrat untuk membeli emas  bila ada wang lebih. Anganannya mahu beli 20 gram setiap kali. Lebih kurang RM3500. Jika dapat beli 10 kali pada tahun 2016, andaikata saya perlukan wang di akhir tahun, dapat bawa 200 gram emas ke Ar Rahnu dan ambil tunai dalam RM22,000. Fuh!!!! Ia pasti melegakan.

Begitulah. 

Kembali ke cara lama. Kurangkan penggunaan ATM kerana kita perlu bayar 6% gst bila kita keluarkan wang darinya. Bawa buku Tabung Haji dan buku ASB. Kurangkan bayaran kepada TNB dengan mengambil langkah drastik pengurangan elektrik. Jika sekarang ini RM300 adalah biasa, rasanya bila tinggal Rm150, kita akan ada lebihan yang lebih besar. Tidak perlu ada wifi di rumah kerana semua penghuni rumah sudah ada kemudahan data dalam talipon bimbit. Jika perlu, gunakan wifi percuma seperti perpustakaan awam.

Oh ya! Saya juga sudah mula rajin mengunjungi klinik kesihatan kerajaan walaupun jumlah pengunjungnya, subhanallah. Melimpah-limpah. Ia okay untuk surirumah seperti saya.... Tiada masalah masa kerana tidak perlu bergegas menghadiri mesyuarat.

Saya juga sudah memohon BRIM! Apa salahnya kan sebab rakyat Malaysia walaupun saya cukup tidak setuju dengan kaedah ini. Saya akan pohon apa saja dana yang boleh dipohon kerana berhak mendapatkannya. Hmmm.... Apa lagi?

Saya berdoa Allah rahmati negara kita dan seluruh rakyatnya. Kembalikan keharmonian dan kekayaan rakyat marhaen yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Kami hanya mampu melihat gambar-gambar orang kaya sana sini bercuti di Eropah atau Amerika. Bagi kami, Pantai Morib pun sudah cukup indah. Main belon sambil berlari-lari, main layang-layang dan berselfie di tepi pantai sudah cukup menggembirakan. 

Apakan daya, kami tidak dilahirkan di atas dulang emas dan mewarisi harta kekayaan menggunung dari datuk nenek kami...

Tuesday, December 22, 2015

Ingin kembali

Saya baca berita tentang Chennai dilanda banjir. Jika ikut Google maps, kawasan ChetPet juga terlibat. 

Saya amat merindui suasana di sana. Bulan Disember adalah masa yang indah di Chennai. Sejuk berangin. Jarang sangat dapat dinikmati cuaca seperti itu.

Walaupun telah lama saya tinggalkan India, hati saya masih terpaut padanya. Kadang meronta untuk kembali ke sana.
Apatah lagi bila kehidupan di tanahair sendiri amat menyesakkan. Namun, di mana bumi dipijak, di situ langit ku junjung. Betapa indahnya negeri orang, indah lagi bumi sendiri. Begitulah sepatutnya.

Saya bayangkan di usia senja ini dengan pelbagai jenis penyakit menguasai diri, tidak murah dan mudah untuk saya dapatkan rawatan di sana. Biarpun klinik kesihatan dan hospital kerajaan di Malaysia begitu padat, namun ia masih boleh menempatkan susuk tubuh nan satu ini. Duduk diapit dua orang berbadan besar tidak membebankan saya. Sekurang-kurangnya tiada bau kari atau masala yang menusuk hidung.

Ekonomi India semakin berkembang pesat. Alangkah bertuahnya saya jika dapat bersama menikmati kepesatan itu. Tiada sesuatu pun milik mutlak seseorang atau sesebuah negara. Semua milik Yang Maha Esa.

Di pagi ini, saya panjatkan doa dan harapan untuk kembali ke India, mahu mendalami ilmu akhirat di samping mengaut kekayaan dunia. Moga Allah perkenankan. 

Monday, December 21, 2015

Selamat Datang 2016

Setahun lagi berlalu meninggalkan kita. Banyak kenangan di setiap ruang kehidupan. Pahit hari ini mungkin manis di hari esok. Siksa hari ini mungkin bahagia di hari esok. Begitulah kitarannya.

2016 akan hadir dengan seribu satu persoalan di minda. Apakah ia lebih membahagiakan dari tahun-tahun sebelum ini? Doanya begitu.

Impian anak kampung ini masih sama seperti impian Cinderella. Mahukan kebahagiaan hingga ke akhir biarpun di usia senja ini pengalaman membuktikan sebaliknya. 

Solat dan doa.

Selain itu, teruskan memberi kepada sesiapa sahaja. Siapa kita untuk tahu siapa yang mendoakan kita dan siapa kita untuk tahu doa siapa yang Allah mahu perkenankan.

Doa kudus di ambang 2016 -

Ampuni dosa-dosaku. Terimalah taubatku. Ampuni dosa kedua orangtuaku, suami dan anak-anakku, kedua mertuaku, kakak-kakak, abang-abang dan adik-adikku, biras-biras dan ipar-iparku, sahabat-sahabatku, guru-guru, pensyarah-pensyarah dan ustaz ustazahku, datuk-datuk dan nenek-nenekku, ibu bapa saudaraku, sepupu-sepupuku, jiran-jiranku, mereka yang memusuhiku dan sekelian umat Muhammad Ya Allah.

Limpahi kami dengan rahmatMu, kasih dan sayangMu, rezekiMu, kesihatan yang baik dan rezeki halal yang melimpah ruah.

Makmurkan kehidupan kami, lepaskan kami dari bebanan hutang dan semua tunggakan bayaran. Mudahkan segala urusan kami dan sinarilah hidup kami dengan cahaya kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Selamat tinggal 2015. Airmata ini ku tinggalkan bersamamu....