Thursday, August 30, 2012

Hari Merdeka 1982

Kami berlatih setiap petang bermula pada pukul 4 hingga pukul 6, selama 3 bulan sebelum 31 Ogos 1982. Semua penghuni asrama putri dan penghuni asrama putra dari tingkatan empat diwajibkan mengambil bahagian.

Pelbagai perasaan bersarang di hati kami. Homework tak dapat disiapkan, tiada masa untuk bersukan, mahupun untuk berehat merebahkan badan selepas penat di sekolah dan di kelas prep petang... Malamnya ramai di antara kami yang tertidur di kelas prep malam.....

Akibatnya: homework tak siap.

Begitulah.....Seminggu sebelum 31 Ogos, kami menyertai raptai penuh di Dataran Merdeka. Setiap pagi rasanya, kami keluar seawal pukul 5 pagi untuk sampai ke Dataran sebelum trafik. Ada yang solat di tengah padang, ada yang mencari kaki lima kedai...ada yang lepas macam tu saja....

Kami mengambil bahagian acara "Tarian Berirama menggunakan belantan". Kami dilatih oleh beberapa orang polis yang amat garang-garang belaka. Silap sikit kami akan ditengking dan didenda....

Saya ingat-ingat lupa apa yang berlaku di Dataran Merdeka. Saya terbayang saya menari mengikut irama. Saya pakai t-shirt putih, seluar putih, kasut sekolah putih dan topi merah...serta tudung putih. Belantan kami ada reben-reben...

Dan saya juga teringat yang kami juga menari di Stadium Merdeka malam itu....Terbayang-bayang flashes camera di sepanjang persembahan kami....Kalau tak silap saya, Allahyarham Sudirman menyanyi lagu "Tanggal 31" di majlis yang sama....

Nostalgia...kenangan terindah....memori yang kadangkalanya tragis, gembira, sedih, kecewa...dan pelbagai perasaan lain lagi.........Semuanya kami lakukan dengan sukarela. Tanpa bayaran. Demi negara yang tercinta.

Selamat Hari Merdeka!

Monday, August 6, 2012

Biarkan bulan bicara sendiri...

Nak kata pun katalah.... Saya tahu saya berupaya melakukannya. Sukar tetapi ia memberi hasil yang amat mengasyikkan. Apalagi yang perlu diucapkan, selain dari kesyukuran yang teramat dan berulangkali menyebut Alhamdulillah, namun masih belum memadai....














Iftar di kediaman kami yang sebesar kangkang anak kera, keluarga besar Idris-Mohd Zain begitu meriah dan penuh dengan excitement! Subhanallah....kami begitu berbesar hati menyambut kedatangan kesemua mereka. Makanan yang kami sediakan berganda-ganda jumlahnya....pelbagai jenis datang entah dari mana dan dari siapa....Yang pasti, kesemua ahli keluarga kami gembira.

Kami - Hj Naha, saya, Lala, Jimie, Abey, Abo, Rahman dan Tini - amat berpuas hati. Sekali lagi, syukur alhamdulillah. Kepada dia yang seringkali mencari jalan menjatuhkan maruah dan semangat saya, ingin saya katakan - Alhamdulillah. Tuan telah menjadikan saya manusia yang lebih tabah....

Thursday, August 2, 2012

Mimpi yang tak sudah

Saya terpanggil untuk menulis tentang kisah di dalam lagu lama ini. Lagu yang bertajuk "Mimpi yang tak sudah". 

Liriknya yang saya salin dari www.liriklagu.com

"Apa makna impian
Datang dan pergi
Membawa hati
Menyusuri kembali
Jalan-jalan sepi

Kau kah di situ

Yang menantiku
Atau jelmaan
Dalam kenangan
Yang bernama pengalaman

Siapakah di antara kita

Dengan rela menjadi pendusta
Siapakah dulu membina harapan
Dan siapa yang memusnahkan impian
Tanpa sebab dan alasan
Kau lahirkan perasaan
Bagai taufan tiba-tiba datang
Dan menghilang

Kau bayang-bayang

Masa nan silam
Ada ketika terbawa-bawa
Oleh resah mimpi yang tak sudah"

Saya bukan peminat lagu. Satu petang di waktu saya sedang memerhatikan jari jemari Lala laju menaip di atas media padnya, saya terdengar lagu ini berkumandang. Lala anak remaja yang amat menggemari lagu lama. Koleksi lagu beliau sering membuat kawan-kawannya ketawa. Antara penyanyi yang diminatinya (selain dari kumpulan-kumpulan Rock Kapak seperti Search, Lefthanded, Ekamatra dan yang sewaktu dengannya), Lala juga minat dengan lagu Datuk Ahmad Jais! 

Saya tersenyum tatkala mendengar lagu ini. Ia memberitahu saya bagaimana ada manusia yang bermain dengan bayang-bayang. Paling menyedihkan, ia datang dari masa yang silam. Aduh...sedih tentunya.

Buat mereka yang masih berada di sana; pulanglah ke tempat kita berdiri kini. Mimpi masa lampau biar saja ia terhapus. Ia tidak akan habis jika masih asyik dikenang. Pengalaman mendewasakan kita. Apa yang kita miliki hari ini adalah yang terbaik buat kita. Takdirnya begitu......

 

Tuesday, July 17, 2012

Patah semangat

Saya dipertemukan dengan seorang wanita hebat dua hari lalu. Beliau sudah menjelajah ke serata dunia, dibawa oleh pekerjaan dan perniagaan....

Dalam kami bersembang dan bercerita tentang pengalaman yang kami masing2 kutip di dalam kehidupan, saya sedar beberapa perkara tentang diri saya:

Nama yang saya bawa sepanjang hidup saya 'besar'. Bukan semua orang mampu membawa nama sebesar ini. Arwah mak dan arwah bapak telah berjaya menjadikan saya manusia yang berjaya membawa nama yang sukar ini.

Pengalaman saya hidup di sebuah tempat yang cukup 'hebat' iaitu India, cukup mahal harganya. Saya perlu dan patut menyimpannya dalam bentuk yang boleh saya kongsikan dengan orang lain.

Segala apa yang Allah beri, adalah untuk kita syukuri dan hayati hikmahnya.

Semua di atas telah lama saya sedari, namun saya manusia lemah yang sering didorong oleh emosi dab perasaan. Tulisan saya di ruangan ini mencatatkan apa yang saya lalui hari demi hari, menceritakan perasaan saya yang sarat dengan kegembiraan, kesedihan, kekecewaan dan apa saja yang juga dialami oleh manusia biasa yang lan.

Malangnya, sekali saya disanggah, patah langsung semangat saya. Membawa nama sebesar nama saya umpama beban yang menyakitkan keaeluruhan hidup saya. Penulisan saya tentang hati, perasaan, pengalaman, malah ketawa ria saya dianggap mendabik dada dan mendongak langit. Lalu, saya tidak mahu lagi berkongsi rasa dengan tulisan. Saya menjauh. Membawa hati untuk saya rawat bersendiri....

Allah hu akbar. Mudah benar rupanya saya hilang kekuatan. Bagaimana untuk berjaya dalam perjuangan jika kata-kata nista yang dituturkan seorang manusia yang jauh lemah dari saya boleh mematahkan semangat saya?

Hari ini....saya nekad. Apa yang Allah beri adalah untuk saya syukuri dan hayati hikmahnya. Seorang membenci bukan bermakna seluruh dunia memalingkan wajah dari saya. Ramai yang mengharap senyuman manis saya untuk mencerahkan hari-hari meka yang suram. Ramai yang menunggu untuk melihat kejayaan saya biarpun ada yang berdoa untuk melihat kejatuhan saya.

Saya mengharapkan Ramadhan kali ini lebih bermakna. Ia permulaan kepada banyak perkara baik yang saya rancangkan. Saya mahukan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Ya Allah! Jangan Kau bolak balikkan hatiku setelah Kau beri petunjuk kepadaKu Ya Allah... Aku tahu, Kata-kata nista yang dihamburkan kepada kita tidak akan pernah berhenti selagi syaitan dibiarkan berleluasa di dalam diri.... Memang saya perlu mendongak langit....kerana saya tahu langut itu tinggi...saya juga tahu saya perlu sentiasa menunduk ke bumi... kerana saya berdiri di atas rumput yang nyata..... Biarlah...biarlah...

Sunday, June 24, 2012

Musang King

 Musang King yang datang dari Bentong....Memang benchmark sudah jadi tinggi!
 Tuan dan Puan yang membawa musang king...... Hebat mereka ini.
 Gembira kawan-kawan dapat bersama dan menikmati Musang King.....Bukan selalu dapat jumpa
 Tuan Wasis dari Jeddah sempat juga merasa Musang King....
Meraikan Puan Siti yang baru pulang dari menjadi Tetamu Allah....

Dua minggu lepas, saya kumpulkan beberapa rakan sekolah menengah di Taman Tasik Shah Alam untuk bersama-sama menikmati kesedapan durian Musang King, selain dari meraikan Tuan Wasis yang bercuti (beliau bertugas di Jeddah) dan juga kepulangan Puan Siti dari menjadi tetamu Allah beberapa hari sebelum itu.

Kami lebih banyak bersenda dan bergelak ketawa.... durian hanya medium untuk mengeratkan suasana. Suhana dan suaminya Rosli membawa jauh durian Musang King yang hebat itu dari Bentong, Pahang dan kami semua amat menghargainya.........

Moga kita semua dipertemukan lagi dalam suasana yang lebih indah, akrab dan santai.....Terimakasih padaMu Ya Allah.

Sunday, June 10, 2012

Mengembara ke Guangzhou, China

Pada 23 Mei 2012 hingga 26 Mei 2012, saya dan beberapa rakan mendapat peluang keemasan dari pihak syarikat untuk 'berjalan-jalan' ke Guangzhou, China. 

Saya bergambar dengan Dr Sun Yat Sen - pemimpin Revolusi China. Berguna juga suka tengok
cerita Kung Fu....

Pemandangan bandar Guangzhou di pagi hari. Di musim bunga menghala panas, pukul 6 pagi bererti matahari sudah terpacak di atas kepala....


Di hadapan Memorial Dr Sun Yat Sen



 Shopping amat menarik di Guangzhou! Hanya wang yang menentukan kadarnya! 

Alhamdulillah. Rezeki Allah ada di hadapan hambaNya yang memohon hanya dariNya.

Thursday, May 10, 2012

Anak membawa rezeki...

Pagi tadi, Abo sempat baca suratkhabar dalam kereta. Nak tergelak pun ada, nak memuji pun ada, rasa nak mencubit pun ada.... Katanya, "Ma, Pa.... paper ni tulis "Anak membawa rezeki". Saya dan Boss tergelak. Teringat lepas Maghrib semalam Abo kena marah cukup-cukup sebab dia habiskan color water, satu kotak, dengan mewarna lantai dan almari dalam bilik saya. "Memang anak membawa rezeki. Tapi janganlah dah dapat rezeki tu pegi buang-buang pulak. Dengan izin Allah kita dapat rezeki, pegi kedai Maria beli water colour RM5, baru sekali guna, Abo dah habiskan warna-warna lantai bilik Mama. Kalau Allah tak nak bagi rezeki lagi, pada siapa lagi kita nak mintak? Nak buang-buang lagi tak rezeki yang Allah bagi?" Senyap. Langsung tiada jawapan. Abo kehilangan suara. Di saat ini saya terkenang keadaan sewaktu saya mengandungkan Abo. Di usia 39 tahun, bila Doktor mengesahkan saya mengandung, terasa dunia berputar. Pelbagai rasa menyelubungi saya. Gembira, takut, segan, bangga, sedih.... semua ada. Allah takdirkan saya melalui tempoh 9 bulan yang cukup mudah. Tiada alah, tiada sakit, tiada mengidam. Saya jadi orang yang sangat gembira tatkala mengandung. Ada juga ketikanya kami ketawa tatkala ditanya oleh jururawat, "Ini anak dari suami yang sama ke?" Bak kata Boss, rasa macam nak cepuk je.... Maklum saja, tahun terakhir bersalin adalah sepuluh tahun sebelum itu.... Ditakdirkan saya juga melahirkan Abo dengan cukup mudah. Cuma saya ada masalah ketika itu... Saya lupa rasa kontraksi! Sedikit kekejangan di perut pun saya ingatkan sudah tiba waktu bersalin.... Akhirnya doktor menahan saya semalaman hanya untuk memastikan yang waktu bersalin sebenar sudah tiba... Rasa sakit mahu bersalin tidak sampai sejam.... Pukul 600 petang saya dimasukkan ke bilik bersalin, setengah jam kemudian Abo lahir dengan wajahnya yang cukup comel. Putih bersih.... hingga kini.
Abo tidak selasak abang-abangnya. Juga tidak senakal mereka berdua. Tidak seceloteh kakaknya. Namun perkataan yang keluar dari mulutnya banyak meniru orang dewasa. Mungkin kerana persekitaran di rumah dan di sekolah. Berani, manja, tutur katanya bersopan dan degilnya tidak seberapa. Lahirnya Abo membawa rezeki yang tidak terkira buat kami. Bukan dari materi semata-mata. Saya lebih merasakan dari segi kembali ke jalan Allah. Naufal Arif namanya yang bermaksud dermawan yang bijak. Abo jarang pentingkan diri. Penampilannya sering membuat abang-abangnya naik angin.... baju yang dipilihnya asal boleh dipakai. Dia tidak pernah kisah tentang baju cantik atau warna kesukaan. Asal muat.... Kadang tu baju biru dipadankan dengan seluar merah. Selagi seliparnya tidak putus, itulah yang dilanyak....tidak dia peduli selipar angry bird ke, tom and jerry ke....asalkan boleh pakai... Jiwanya sensitif, cepat tersentuh bila melihat peminta sedekah atau sesiapa jua yang meminta... Sanggup dia berlapar sampai menangis, hanya kerana kawannya mahukan makanan yang dibawanya....
Kami sama-sama menumpang rezekinya.......Syukur Ya Allah.... Semoga dia membesar sebagai insan yang bertaqwa dan ditempatkan bersama hamba2Nya yang soleh......