Sunday, February 24, 2013

Rindu

Aku berdiri kaku
Bersama rintihan pilu
Kehilangan kasih
Yang pergi cuma sementara

Aku dicekik duka
Dihimpit luka
Yang nyata
Aku rindu....

Sajak di atas saya tulis pada tahun 1982. Tersiar di majalah Mastika dan majalah sekolah 'The Technician'. Saya tulis kerana saya amat rindukan mak dan keluarga saya di kampung. Berada di bandar dan tinggal di asrama menyiksa perasaan saya.  Rasanya itulah kali pertama saya tau apa ertinya rindu....

Saya sentiasa ingat sajak itu walaupun banyak lagi tulisan saya yang keluar di majalah. Ia mengenalkan saya kepada seorang peminat. Entah siapa namanya saya sudah lupa.....kami kemudian menjadi pen-pal...dia belajar di luar negara dan sering mengutus berita kepada saya menggunakan aerogram....

Persahabatan kami terputus kerana saya tidak tahu menghargai rasa tanpa melihat wajah....hahaha. saya perlukan sesuatu yang dapat dilihat, bukan hanya 'rasa'. Bagi saya ia tidak pasti...

Hari ini, saya tulis kembali sajak ini kerana saya amat terasa pedih dan sakitnya merindu. Kekasih saya terbang jauh setelah menerima jemputan untuk bertamu di rumah kekasihNya dan di rumahNya... saya tidak dapat bersamanya kerana tuntutan keluarga dan tugasan di sini.

Saya rindukan kehadirannya, senyum manisnya, renungan matanya yang sentiasa cantik, gurauannya, usikannya dan segalanya tentang dia....

Perpisahan sementara ini menyakitkan....namun saya pasti dia amat bahagia di sana....bersama tuan puteri kami satu-satunya....semoga mereka berdua dikurniakan umrah yang mabrur....

Sunday, February 17, 2013

Kembali ke sekolah

Sejak September lalu, saya kembali ke sekolah. Saya ingin belajar tentang sesuatu yang saya tidak tahu.

Perjalanan tidak mudah. Ada yang berkata:

"Dah tua-tua buat apa nak susahkan diri belajar lagi?"

Ada juga yang kata:

"Nak kejar apa lagi di usia ni? Pangkat? Harta? Dah tua-tua ni duduk je pencen kat masjid......"

Saya tiada jawapan kepada kata-kata tersebut. Sungguh. Ia memang soalan yang tiada jawapan.

Kenapa saya kembali ke sekolah sekarang? Bukan sepuluh tahun dulu? Atau lima tahum dulu? Atau kenapa perlu saya ke sekolah?

Pangkat sekarang: Bolehlah

Harta sekarang: Sifar

Gaji sekarang: Cukup makan.

Masa: Sibuk dengan kerja dan anak-anak.

Namun, sesungguhnya, ada yang indah di dunia persekolahan. Pencarian ilmu. Di peringkat pengajian tinggi, saya belajar mengikut sistem sekular. Pengetahuan agama Islam hanya satu dari subjek yang saya ikuti di peringkat sarjana muda. Habis. Di peringkat sarjana, tiada lagi. Saya jumpa di masjid dalam majlis ilmu.

Persekolahan saya sekarang memerlukan saya mengkaji lebih mendalam tentang sistem kewangan Islam. Ia sesuatu yang amat dekat dengan hati saya. Saya suka subjek yang berkisar tentang pegangan korporat, tentang penggabungan dan pengambil-alihan, tentang pasaran modal, tentang macam-macam lagi. Dalam dunia masa kini, kewangan Islam adalah yang paling berkesan untuk mengelakkan dari tertindas oleh sistem kapitalis yang kejam.

Lalu, masa saya amat singkat jadinya. Di masa terluang, minda saya akan menyuruh saya mencari article untuk saya baca. Minda saya akan mengarahkan tangan saya untuk membuka laptop dan mula mengetuk keyboard.

Apakah jika saya miliki satu lagi ijazah saya akan diberi pangkat, gaji mahupun harta menimbun? Sudah tentu tidak.

Adakah jika saya mengkaji tentang bidang yang saya minati saya akan abaikan Abo dan Rahman yang perlukan perhatian saya atau melupakan tugas dan tanggungjawab saya di pejabat? Tidak pernah walau sekelumit pun saya berfikir ke arah itu.

Adakah bila saya sibuk membaca dan menulis maka saya lupa untuk menguruskan Boss saya? Tidak pernah pula saya dengar rungutan beliau terhadap saya.....

Bila masanya saya mentelaah sebenarnya?

Di waktu rehat. Selepas waktu kerja. Sewaktu menunggu untuk bermesyuarat.

Cukupkah? Mudah-mudahan Allah mudahkan. Dia Maha Mengetahui apa yang saya usahakan. Insyaallah cukup.

Kalau gagal?

Sudah ketentuanNya. Saya mencuba dengan cara terbaik. Sesungguh hati. Hanya kerana Allah. Dia yang membuka hati saya untuk melakukan apa yang saya lakukan ini. Dengan izinNya semua ini berlaku.

Semoga saya tidak patah hati dan semangat dengan kata-kata manusia yang tidak ada apa-apa......

Tuesday, January 8, 2013

Stalker

Boss beritahu yang dia bertemu dengan Kak XYZ di sebuah gerai makan baru-baru ini. Kak XYZ ini adalah biras kepada seorang ahli keluarga saya.

Soalan pertama yang keluar dari mulut Kak XYZ adalah:

"Su kerja kat mana sekarang ni? Akak tengok dia asyik gi overseas je."

Boss terkedu dengan soalan cepumas itu.

Bertalu-talu soalan keluar di kepalanya.

Tanpa suara, Boss hanya tersenyum. Memberi jawapan sinis akhirnya kepada Kak XYZ.

"Dia kerja dekat-dekat sini je. Adalah syarikat dia tu hantar dia pergi kursus."

Bila Boss beritahu saya apa yang berlaku, saya senaraikan soalan-soalan saya pula:

  • Bila agaknya kali terakhir saya bertemu dengan Kak XYZ? Rasanya dah lama sungguh saya tak jumpa beliau.
  • Bagaimana Kak XYZ tahu tentang saya? Dia bukan kawan facebook saya.
  • Antara saya dan Kak XYZ, memang langsung tiada perhubungan, samada bersemuka atau melalui talian.
Ada beberapa soalan lagi yang saya pendam di dalam hati. Kenyataannya, ada orang yang memerhatikan saya dari jauh. Mengandaikan itu dan ini. Musykil dengan keupayaan saya mungkin. Maklum saja, si bodoh ini mana mungkin boleh terbang jauh.

Tiada apa yang menghubungkan kami berdua. Namun dia mengikuti perkembangan saya. Menanam persoalan yang tiada kena mengena.

Maafkan saya Kak XYZ. Saya banyak kesilapan dalam hidup saya. Saya sedang cuba baiki sedikit demi sedikit. Saya sentiasa berdoa agar Allah izinkan saya melunaskan segala yang mengikat jalan saya ke syurga sebelum saya tinggalkan dunia ini. Saya tahu Allah sedang mendengar.

Janganlah jadi stalker. Janganlah mengandaikan yang bukan-bukan. Biarkan saya menjalani hidup saya sendiri, mengikut apa yang saya rancangkan. Berterus-terang lebih baik dari bersangka itu dan ini.

Senang cerita, tak perlu jadi "stalker". Ia meletihkan. Kerana saya berazam untuk terbang lebih jauh dan lebih tinggi lagi....

Sunday, December 23, 2012

Dia sudah pergi...

Selasa, 18 Disember 2012. Saya sedang memesan makanan di Jalan Yap Kwan Seng. Talipon saya berdering. Suara Boss di hujung talian.

"Su kat mana?"

"KL. Kenapa Bang?"

"Aaaa.....Nora dah meninggal...."

Saya terkedu. Terdiam tanpa kata. Lemah longlai seluruh badan.

Selepas menghabiskan seke ping roti yang seumpama batu kerasnya (perasaan saya sahaja....), saya bergegas ke stesen LRT untuk pulang segera. Perjalanan KL - Shah Alam seumpama gerak perlahan... Airmata saya menjadi deras...Dada saya terasa sakit. Sebak. Sedih. Pilu....

Sampai di masjid, saya peluk anaknya. Tersedu2 dia dalam pelukan saya.

Selepas mengambil wudhuk, saya melangkah ke dalam ruang masjid. Terlihat sekujur tubuh yang siap dikafan bertutup dengan kain batik lepas....ooohhhh....airmata menjadi semakin deras.... Mata saya bertemu dengan mata Man, suami yang ditinggalkan.... Tiba2 terasa badan saya terhenjut2 menangis.... Lalu saya masuk ke ruang solat dan solat dua rakaat....

Saya tatap wajahnya yang ayu.... Cengkung sungguh dia. Hanya tulang dan kulit. Ada garis2 kesakitan yang tergambar.... Allah hu akbar... Dia tidak sakit lagi kini.....

Norly tiba dengan airmata berkaca.... Tidak tergamak dia untuk menatap tubuh kaku di hadapan kami. Akhirnya, tembok kekuatan Norly pecah berderai.... Gugur airmatanya dengan deras sekali....

Selepas Asar, kami solatkan dia. Kemudian saya bersembang dengan Wanli.... Satu demi satu rakan2 sekelas kami tumbang.... Yang tinggal hanya kenangan...

Akhirnya, perjalanannya di dunia berhenti di tanah perkuburan Islam seksyen 21 Shah Alam. Wajah sayu anak2, dan suaminya yang tercinta...menambah sesak di dada...

Nora...semoga bahagia hidupmu di sana. Allah lebih menyayangimu.

Tiada yang tidak baik tentang Nora. Dia sahabat. Dia teman. Dia kawan. Yang rapat. Akan ku semadikan ketulusan persahabatan kita hingga akhir hayatku. Doaku bersamamu....setiap masa. Moga kita bersama lagi di jannah..... 

Friday, December 14, 2012

Kembali menulis...

Diam bukan bererti mati....

Alhamdulillah saya masih diberi peluang menikmati kehidupan yang penuh warna-warni di dunia milik Allah ini.

Ruangan kehidupan yang Allah beri saya cuba penuhi dengan bersungguh-sungguh. Pelbagai aktiviti yang kadang kala menyesakkan dada membuat saya merasa yang masa berlalu begitu pantas....anak2 juga terlalu sibuk dengan kegiatan mereka. Boss tidak ketinggalan sibuk....

Apa yg kami sibukkan? Hahaha.... Sebenarnya kami sibuk menyibuk....  Hidup seperti biasa... Tiada yg lebih dari apa yang berlaku sebelum ini. Sudah semestinya kehidupan di Malaysia lebih baik dari di Gaza...atau Syria...alhamdulillah...

Friday, October 12, 2012

Mengejar masa

Sudah lama saya tinggalkan dunia blog. Masa tidak mengizinkan. Kesibukan di pejabat, di rumah dan di tempat-tempat lain membuat nafas saya semput...

Namun begitu, saya amat bersyukur diberi peluang menikmati keindahan alam dalam pada saya teramat sibuk.

Antaranya...

Saya dijemput menjadi penceramah kepada sekumpulan jurutera di sebuah syarikat minyak. Dua hari bersama mereka, saya pasti mereka akan menjadi kebanggaan negara....

Saya berada di Miri selama 3 hari dan menghadiri mesyuarat demi mesyuarat sepanjang tiga hari tersebut. Adakalanya mesyuarat berakhir pada pukul 1130 malam....Namun, dalam kesukaran ada kemudahan. Saya berpeluang menyeberang ke Brunei menziarah keluarga Pengiran Haji Mohamad Ahmad dan Hajjah Hanipah Jenan, yang merupakan adik kepada abang ipar saya... Habis satu Brunei saya dan Boss lawati... Puas.

Kami juga sempat mengembara ke Gua Mulu, satu dari World Heritage. Subhanallah betapa hebatnya kekuasaan Allah...cantiknya pemandangan di sana. Kami seolah-olah berada di dunia asing.... Royal Mlu Resort menyimpan seribu satu kenangan buat kami....mendaki beratus-ratus anak tangga, berjalan berbelas kilometer, menaiki sampan menyusuri sungai yang jernih berjam-jam....ia pengalaman indah yang tiada tandingan.... Saya anat bersyukur....

Saya juga sempat 'lari' ke utara semenanjung. Memlakan langkah baru sebagai seorang pelajar....mudah-mudahan saya tabah mengharungi dunia baru saya ini..... Sempat menyinggah ke beberapa tempat menarik di sana...Abo berpeluang meneroka Gua Kelam, mendaki Wang Kelian dan menikmati keindahan sawah yang terbentang luas....

Seminggu yang lalu, saya ke utara lagi. Ke Yan. Bayu lembut yang berhembus di kaki Gunung Jerai membuat hati saya sayu dan pilu....Nikmatnya....tiada tolok bandingnya... Boss dan Jimie berpeluang mendaki Gunung Keriang, menyaksikan sendiri khazanah kristal yang memenuhi ruang gua....

Kami kemudiannya ke Hatyai....Allah hu akbar! Dekat tapi jauh..... Berpuluh tahun hidup, inilah pertama kali saya merentas sempadan Malaysia-Thai.... Banyak yang indah di Hatyai tetapi saya ragu samada perempuan cantik yang saya temui di sana sini adalah perempuan! Floating market menggami kehadiran semula kami ke sana....

Semalam saya membelah lebuhraya ke selatan... Bermesyuarat sambil menikmati briyani gam kambing di restoran selaseh, persada... Dan kemudiannya bertemu dengan seorang insan yang mengagumkan saya..... Semoga Allah beri petunjuk kepada saya....yang terbaik hanya Dia yang tahu....


Thursday, August 30, 2012

Hari Merdeka 1982

Kami berlatih setiap petang bermula pada pukul 4 hingga pukul 6, selama 3 bulan sebelum 31 Ogos 1982. Semua penghuni asrama putri dan penghuni asrama putra dari tingkatan empat diwajibkan mengambil bahagian.

Pelbagai perasaan bersarang di hati kami. Homework tak dapat disiapkan, tiada masa untuk bersukan, mahupun untuk berehat merebahkan badan selepas penat di sekolah dan di kelas prep petang... Malamnya ramai di antara kami yang tertidur di kelas prep malam.....

Akibatnya: homework tak siap.

Begitulah.....Seminggu sebelum 31 Ogos, kami menyertai raptai penuh di Dataran Merdeka. Setiap pagi rasanya, kami keluar seawal pukul 5 pagi untuk sampai ke Dataran sebelum trafik. Ada yang solat di tengah padang, ada yang mencari kaki lima kedai...ada yang lepas macam tu saja....

Kami mengambil bahagian acara "Tarian Berirama menggunakan belantan". Kami dilatih oleh beberapa orang polis yang amat garang-garang belaka. Silap sikit kami akan ditengking dan didenda....

Saya ingat-ingat lupa apa yang berlaku di Dataran Merdeka. Saya terbayang saya menari mengikut irama. Saya pakai t-shirt putih, seluar putih, kasut sekolah putih dan topi merah...serta tudung putih. Belantan kami ada reben-reben...

Dan saya juga teringat yang kami juga menari di Stadium Merdeka malam itu....Terbayang-bayang flashes camera di sepanjang persembahan kami....Kalau tak silap saya, Allahyarham Sudirman menyanyi lagu "Tanggal 31" di majlis yang sama....

Nostalgia...kenangan terindah....memori yang kadangkalanya tragis, gembira, sedih, kecewa...dan pelbagai perasaan lain lagi.........Semuanya kami lakukan dengan sukarela. Tanpa bayaran. Demi negara yang tercinta.

Selamat Hari Merdeka!