Wednesday, December 23, 2015

Simpanan di tahun 2016

Menyimpan duit bukan sesuatu yang mudah untuk si pemboros macam saya. Terus terang, saya tidak ada wang simpanan seperti kebanyakan rakan lain.

Banyak sebab mengapa saya tidak mampu menyimpan. Sebab paling ketara ialah kerana sering berbelanja tanpa berfikir - inpromtu - kata orang putih.

Menjelang 2016 yang dikatakan tahun gelap bagi kemewahan kepada negara khususnya dan dunia amnya, orang macam saya pastinya resah gelisah. Tambahan pula tidak lagi punya pendapatan tetap namun masih ada komitmen bulanan yang tetap.

Hasil dari perniagaan semakin berkurangan hari demi hari. Lebih ramai yang "Touch&Go" dari membeli. Kerisauan kadangkala dapat dilupakan dengan tidor dan makan. Tapi hasilnya badan semakin berat dan pipi semakin bulat...

Antara langkah yang telah dan sedang saya ambil ialah ikat perut. Tiada lagi makan di luar, samada "fast food" atau "fine dining". Sambutan harijadi ahli keluarga di restoran mahupun di hotel ditiadakan sama sekali. Sebiji kek dengan lilin penuh di atasnya sambil berdoa beramai-ramai amat memadai. Setiap pagi saya akan ke pasar membeli bahan mentah untuk dimasak dan dimakan oleh semua penghuni rumah. Bajet sehari hanya RM30. Bahagi dengan 6 dewasa, kos makan tengahari dan malam hanya RM5. Minuman hanya air masak. Tiada lagi air oren atau sarsi. Paling mewah air sirap yang dibuat sendiri.

Saya mula simpan semua duit siling dan duit kertas seringgit yang kelihatan banyak di dalam beg duit. Di mana? Bukan di bank. Saya praktikkan cara lama. Tanyalah kepada mak, ayah mahupun datuk nenek cara mana mereka simpan duit. 😘

Main kutu ialah satu lagi cara simpanan yang sedang saya praktikkan. Anak saya bakal melanjutkan pelajaran pertengahan tahun 2016. Banyak wang yang akan digunakan. Saya minta giliran pada bulan tersebut.

Saya berhasrat untuk membeli emas  bila ada wang lebih. Anganannya mahu beli 20 gram setiap kali. Lebih kurang RM3500. Jika dapat beli 10 kali pada tahun 2016, andaikata saya perlukan wang di akhir tahun, dapat bawa 200 gram emas ke Ar Rahnu dan ambil tunai dalam RM22,000. Fuh!!!! Ia pasti melegakan.

Begitulah. 

Kembali ke cara lama. Kurangkan penggunaan ATM kerana kita perlu bayar 6% gst bila kita keluarkan wang darinya. Bawa buku Tabung Haji dan buku ASB. Kurangkan bayaran kepada TNB dengan mengambil langkah drastik pengurangan elektrik. Jika sekarang ini RM300 adalah biasa, rasanya bila tinggal Rm150, kita akan ada lebihan yang lebih besar. Tidak perlu ada wifi di rumah kerana semua penghuni rumah sudah ada kemudahan data dalam talipon bimbit. Jika perlu, gunakan wifi percuma seperti perpustakaan awam.

Oh ya! Saya juga sudah mula rajin mengunjungi klinik kesihatan kerajaan walaupun jumlah pengunjungnya, subhanallah. Melimpah-limpah. Ia okay untuk surirumah seperti saya.... Tiada masalah masa kerana tidak perlu bergegas menghadiri mesyuarat.

Saya juga sudah memohon BRIM! Apa salahnya kan sebab rakyat Malaysia walaupun saya cukup tidak setuju dengan kaedah ini. Saya akan pohon apa saja dana yang boleh dipohon kerana berhak mendapatkannya. Hmmm.... Apa lagi?

Saya berdoa Allah rahmati negara kita dan seluruh rakyatnya. Kembalikan keharmonian dan kekayaan rakyat marhaen yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Kami hanya mampu melihat gambar-gambar orang kaya sana sini bercuti di Eropah atau Amerika. Bagi kami, Pantai Morib pun sudah cukup indah. Main belon sambil berlari-lari, main layang-layang dan berselfie di tepi pantai sudah cukup menggembirakan. 

Apakan daya, kami tidak dilahirkan di atas dulang emas dan mewarisi harta kekayaan menggunung dari datuk nenek kami...

Tuesday, December 22, 2015

Ingin kembali

Saya baca berita tentang Chennai dilanda banjir. Jika ikut Google maps, kawasan ChetPet juga terlibat. 

Saya amat merindui suasana di sana. Bulan Disember adalah masa yang indah di Chennai. Sejuk berangin. Jarang sangat dapat dinikmati cuaca seperti itu.

Walaupun telah lama saya tinggalkan India, hati saya masih terpaut padanya. Kadang meronta untuk kembali ke sana.
Apatah lagi bila kehidupan di tanahair sendiri amat menyesakkan. Namun, di mana bumi dipijak, di situ langit ku junjung. Betapa indahnya negeri orang, indah lagi bumi sendiri. Begitulah sepatutnya.

Saya bayangkan di usia senja ini dengan pelbagai jenis penyakit menguasai diri, tidak murah dan mudah untuk saya dapatkan rawatan di sana. Biarpun klinik kesihatan dan hospital kerajaan di Malaysia begitu padat, namun ia masih boleh menempatkan susuk tubuh nan satu ini. Duduk diapit dua orang berbadan besar tidak membebankan saya. Sekurang-kurangnya tiada bau kari atau masala yang menusuk hidung.

Ekonomi India semakin berkembang pesat. Alangkah bertuahnya saya jika dapat bersama menikmati kepesatan itu. Tiada sesuatu pun milik mutlak seseorang atau sesebuah negara. Semua milik Yang Maha Esa.

Di pagi ini, saya panjatkan doa dan harapan untuk kembali ke India, mahu mendalami ilmu akhirat di samping mengaut kekayaan dunia. Moga Allah perkenankan. 

Monday, December 21, 2015

Selamat Datang 2016

Setahun lagi berlalu meninggalkan kita. Banyak kenangan di setiap ruang kehidupan. Pahit hari ini mungkin manis di hari esok. Siksa hari ini mungkin bahagia di hari esok. Begitulah kitarannya.

2016 akan hadir dengan seribu satu persoalan di minda. Apakah ia lebih membahagiakan dari tahun-tahun sebelum ini? Doanya begitu.

Impian anak kampung ini masih sama seperti impian Cinderella. Mahukan kebahagiaan hingga ke akhir biarpun di usia senja ini pengalaman membuktikan sebaliknya. 

Solat dan doa.

Selain itu, teruskan memberi kepada sesiapa sahaja. Siapa kita untuk tahu siapa yang mendoakan kita dan siapa kita untuk tahu doa siapa yang Allah mahu perkenankan.

Doa kudus di ambang 2016 -

Ampuni dosa-dosaku. Terimalah taubatku. Ampuni dosa kedua orangtuaku, suami dan anak-anakku, kedua mertuaku, kakak-kakak, abang-abang dan adik-adikku, biras-biras dan ipar-iparku, sahabat-sahabatku, guru-guru, pensyarah-pensyarah dan ustaz ustazahku, datuk-datuk dan nenek-nenekku, ibu bapa saudaraku, sepupu-sepupuku, jiran-jiranku, mereka yang memusuhiku dan sekelian umat Muhammad Ya Allah.

Limpahi kami dengan rahmatMu, kasih dan sayangMu, rezekiMu, kesihatan yang baik dan rezeki halal yang melimpah ruah.

Makmurkan kehidupan kami, lepaskan kami dari bebanan hutang dan semua tunggakan bayaran. Mudahkan segala urusan kami dan sinarilah hidup kami dengan cahaya kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Selamat tinggal 2015. Airmata ini ku tinggalkan bersamamu.... 


Thursday, September 17, 2015

Matlamat Hidup

Saya tergamam tika ditanya oleh seorang rakan tadi, "Apa matlamat hidup you, Suria?"

Saya tiada jawapan. 

Sekejap itu saya ketawa berdekah-dekah. Hahahaha.

Apa sebenarnya yang saya mahu capai di akhir kehidupan saya yang bakinya tinggal sedikit ini?

Lalu perlahan-lahan saya jelaskan padanya:

Saya mahu jadi ibu kepada 5 orang jutawan terbilang di dunia dan akhirat. 

Saya jelaskan kepada rakan tadi yang saya mahu anak-anak saya menjadi sehebat sahabat-sahabat Rasulullah seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Abdul Rahman Auf dan Khadijah. Mereka semua hartawan terbilang yang dikenali dunia. Mereka korbankan harta demi memperjuangkan agama Islam. Iman mereka di tahap paling tinggi dan tidak pernah goyah biar apa pun ujian yang perlu mereka hadapi. Mereka ini dijanjikan syurga oleh Allah swt. 

MasyaAllah.

Bagi saya sendiri, saya mahu bersama keluarga saya di syurga firdaus yang kami masuki tanpa dihisab. 

Subhanallah.

Lalu saya ceritakan kepada rakan tadi janji saya di hari Arafah pada tahun 2010, iaitu mahu membantu empat golongan tanpa henti:-
1. Mereka yang berhutang;
2. Mereka yang mahu mengerjakan haji;
3. Mereka yang mahu memulakan perniagaan; dan
4. Mereka yang mahu melanjutkan pelajaran.

Sehingga kini matlamat saya masih jauh untuk dicapai. Saya masih belum punya simpanan yang tidak terusik jika saya gunakan wang untuk keperluan. Saya masih ada komitmen untuk yuran persekolahan, bayaran rumah, bil-bil bulanan dan ansuran kenderaan. Saya masih perlu semak baki selepas setiap pembayaran.

Saya berdoa Allah makbulkan hajat saya untuk tidak perlu menyemak baki wang di akaun bank kerana tahu ada sejumlah wang yang tidak akan tercuit biar berapa pun jumlah yang telah digunakan.

Ia tidak perlu berjuta atau berbillion. Ia memadai dengan gaya hidup sederhana yang saya jalani.

Allah ya Allah. 

Itulah matlamat saya. 

Semoga Allah perkenankan.

Tuesday, September 1, 2015

Smashed

Semalam saya kena smashed. Shuttle badminton melayang laju landing tepat ke pipi kanan saya sampai berbungi "pap!". Padahalnya dari awal saya telah bersedia untuk mengelak dengan penuh gaya. 

Allah! Tidak cukup sekali! Tidak lama selepas itu, pipi kiri pula kena smash. Merah menyala dibuatnya. Terasa asap keluar dari ubun-ubun!!!

Sampai kini, sakit kena smash masih terasa. Bukan di pipi, eh, tapi di hati? 

Astahgfirullah hil azim.
Ku pohon keampunanMu Ya Allah.

Notakaki: Hati orang tua.

Sunday, August 30, 2015

Chennai

Saya akui saya merindu hari-hari yang saya lalui di sana. Saya rindukan suasana hingar bingar kota yang tidak pernah sunyi dari segala macam bunyi terutamanya hon kereta.

Saya juga rindukan makanan di sana. Briyani kambing, rassam, idli, tosey, capati, idiyapom. Saya rindu juga mango lassi dan air markisa.

Saya rindukan kawan-kawan semasa di sana. Dr Shan, Mr Anba, Thiaga, Zuliana, Farkhan, Uma. Belum lagi Iyappan, Burkhan, Musthafa, Harris dan Mansoor. Juga ramai kawan-kawan lain.

Saya rindukan bilik pejabat saya di Ali Tower, Mount Road. Kedai makan arab di depan pejabat, outlet Amway di bangunan sebelah, Spencer Plaza di hujung jalan. Saya rindu mahu habiskan masa membaca buku di Landmark, bershopping di kedai si Muskan.

Berjalan mencari produk Himalaya yang cukup murah di kawasan T.Nagar, sambil mencuci mata dengan sari yang cantik-cantik di gedung-gedung besar di situ, lalu singgah makan nasi lemak ayam telor mata dengan sirap limau di Pelita.

Paling saya rindukan, rumah yang kami diami di Chetpet. Rumah banglo 3 bilik itu penuh kenangan. Ada KaKa, Krishna di dalamnya. Laluan ke rumah itu redup dan nyaman, seolah bukan berada di Chennai.

Saya rindukan Pak Hassan, Madam Zarina dan rumah agam mereka. Juga Sujith sahabat baik saya di Bangalore yang begitu memahami.

Saya keseorangan di sini. Merindu masa yang telah jauh meninggalkan saya. Waktu sendirian di sana, saya merindu Malaysia yang tercinta dan segala yang ada di dalamnya.

Kenapa ia bukan lagi satu nama yang membanggakan? Oh...


Thursday, August 27, 2015

Haji 2010 KT 24

Haji 2010 KT 24

Tiap kali musim Haji tiba, tergambar jelas di ruang mata kisah Haji kami di tahun 2010.

Gambar ini diambil pada pukul 3 pagi. Kami baru sampai di Mekah selepas lebih 8 jam dari Madinah dengan bas. Masih jelas terbayang perjalanan yang kami lalui. Berhenti makan Nasi Arab di R&R dan mendapat pelbagai bekalan berupa makanan, minuman dan kitab dari pihak kerajaan Saudi dan syarikat korporat yang berebut mahu mendapat kebaikan dengan bersedekah kepada jemaah haji. Seingat saya, tarikhnya 24/10/10 dan hawa sejuk terasa menusuk hingga ke tulang.

Sampai di Hotel Abeer yang berdiri megah di belakang jam besar yang sedang dibina, (kini sudah tiada), kami letakkan bag dan terus menuju ke MasjidilHaram untuk menunaikan umrah. Agak sukar mulanya maklum pertama kali menolak Abang Nasir di atas kerusi roda. 

Kami diarahkan tawaf di tingkat atas. (Mataf belum dibina waktu tu). Dalam sendu, esak dan tangis, kami cukupkan 7 pusingan tawaf. Elok pula Kak We terlupa samada dah cukup 7 pusingan atau baru 6. Maka berpusing lah lagi sekali. Satu kali pusingan lebih kurang 800 meter x 7 = 5.6 kilometer. Pergh!!! 

Kami sambung dengan saie sebaik selesai mengerjakan solat sunat 2 rakaat selepas tawaf. Biarpun tumit terasa bagai mahu tanggal, semangat untuk menyiapkan secepat mungkin amat tinggi. Usai kami bertahallul, azan suboh berkumandang.

Haji adalah perjalanan paling bermakna dalam hidup seorang insan yang mengakui Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. 

Masih jelas terbayang di kelopak mata setiap langkah yang diambil dan tempat-tempat yang dijejaki di sepanjang kembara menyucikan jiwa selama 46 hari itu.

Tidak banyak yang dapat dirakam dalam bentuk visual. Saya pasti Allah mahu saya kenang momen itu sendiri tanpa perlu dikongsi dengan orang lain.

Semoga ada kesempatan dan jemputan untuk kami ke sana lagi, dan lagi. 
Amin.