Showing posts with label kedaibatuco. Show all posts
Showing posts with label kedaibatuco. Show all posts

Thursday, August 20, 2015

Hanya Jauhari Mengenal Manikam

Boss besar saya, Haji Naharuddin Mohd Zain amat meminati keindahan batu permata. Pada tahun 1995, beliau memulakan perniagaan barangan kemas di Klang. Melalui perniagaan itu, beliau tekun mendalami ilmu gemologi sehingga ke HongKong dan melalui pembacaannya dari buku-buku yang tidak terhitung bilangannya.

Apabila perniagaan yang dijalankan berkecai di tengah jalan akibat kemelesetan ekonomi pada tahun 1997, Boss kehilangan punca. Stok yang banyak terpaksa digadai/dilebur bagi mendapatkan tunai untuk meneruskan kehidupan kami sekeluarga.

Sejak itu, Boss menjalankan pelbagai jenis perniagaan lain. Jual mainan, kraftangan, bunga, baju, tudung, kosmetik dan macam-macam lagi. Namun, minat dan kesungguhan dalam batu permata tidak pernah diketepikan, bertepatan dengan minatnya mengembara ke serata pelusuk dunia.
Andai berjalan ke mana pun, lampu suluh kecil, teropong dan tweezer sentiasa berada dalam poket beliau. Pantang nampak batu, beliau akan berhenti dan meneliti batu yang menarik perhatiannya hingga berjam-jam lamanya. Selalunya, beliau pasti membeli untuk dibawa balik. Matanya yang sensitif dengan warna, kualiti dan corak batu juga membolehkan beliau mengumpul baru bercorak unik yang jarang didapati.

Sejak tahun 2006, Boss membuka kedai yang diberi nama KrafDuniaDesign di Kompleks PKNS Shah Alam. Batu-batu permata adalah sebahagian dari produk yang dijualnya. Selain mengambil tempahan barangan kemas seperti cincin, gelang dan rantai mengikut desain kesukaan pelanggan, Boss juga menjadikan batu permata sebagai satu hasil seni. Ukiran di setiap barang kemas yang terhasil sentiasa berasaskan senihalus Melayu yang cukup halus dan berseni. Boss rajin (sekali sekala) menulis di blog nya yang sudah bersawang, www.towkeyemas.blogspot.com tentang batu-batu permata ini yang menjadi rujukan penggemar batu.

Alhamdulillah. Minat Boss sekian lama mendapat perhatian media massa bilamana beliau diintai oleh wartawan Harian Metro dan disiarkan hari ini 21/8/15 edisi nasional.

Semoga usaha Boss yang berterusan tanpa jemu mendapat keredhaan Allah.

---------
Permata untuk semua.

www.kedaibatuco.com


Saturday, June 6, 2015

KedaiBatu&Co

Boss berniaga batu permata sejak tahun 1995 di sebuah kedai emas yang besar dan gah milik kami berdua. Perniagaan itu bagaimanapun hancur berkecai akibat dilanda badai ketika kegawatan ekonomi pada tahun 1998 (semua kata Soros punya kerja... Entah ia entah tidak).

Boss tidak pernah putus asa untuk meneruskan minatnya. Dari perniagaan berskala besar, beliau memulakan kembali usahanya dalam skala lebih kecil. Selepas hampir 20 tahun, saya andaikan  beliau adalah jauhari yang bijak menilai permata melalui kepekatan warna, berat, pecahan cahaya, cara potongan dan entah apa lagi.

Boss sering berharap akan ada pelapis bagi perniagaannya untuk diwarisi kerana beliau sudah semakin keletihan. Malangnya anak-anak begitu asyik dengan bidang yang mereka minati. Yang pertama dan kedua memilih kejuruteraan. Yang ketiga, walaupun kami lorongkan untuk mengambil ilmu perniagaan di universiti namun minatnya lebih kepada Naruto, Dragon Ball dan EPL.

Saya? Jangan harap. Saya buta seni. Apapun kelihatan cantik di mata saya. Apatah lagi emas berlian!

Menjelang bulan-bulan terakhir Imran hensem di Unisel, beliau mengajukan soalan cepumas kepada saya. 

"Patutkah Abey sambung ke peringkat ijazah atau bekerja?"
Saya tanya beliau, "Untuk apa bekerja?" 
"Untuk cari duit," katanya.
Jawapan saya, "jika mahu cari duit, habiskan belajar hingga dapat ijazah."

Beliau akur.

Satu hari, si hensem mencuba nasib,

"Ma, Abey nak berniaga."

Saya terkedu. Ia keputusan yang amat baik. Saya sokong 100%. Saya syorkan beliau berkuli dengan Boss. Nanti boleh sambung belajar secara pjj ataupun part-time. Open U banyak dah sekarang ni. Mahu atau tidak sahaja. Atau kalau memang dah ada duit, terbang saja ke mana dunia untuk merasa belajar di negara orang.

"Walaupun ini kedai Papa, dan Abey tau Abey akan mewarisinya, Abey tetap kena mula dari bawah. Jom ikut Papa." 

Senyum Boss meleret hingga ke telinga tatkala melihat si hensem bersiap di awal pagi untuk mengikutnya mengenal pembekal dan mencari bahan.

Itu kisah sebulan lalu.

Kini si hensem sudah punya brandnya sendiri. KedaiBatu&Co adalah miliknya. Bermodalkan barangan yang ada di kedai Papanya, beliau memulakan sesuatu yang digemari. Beliau mula mengkaji ilmu batu permata. Mula berjinak dengan desain terbaru dan mula rajin membuat kajian tentang minat pelanggan di laman web.

Subhanallah! Melihat kesungguhannya yang amat luar biasa menyedarkan kakak dan abang yang lebih meminati fizik, kimia dan matematik bahawa sebenarnya mereka juga meminati apa yang si hensem lakukan. 

Lalu, mereka kini berganding bahu mencari rentak dalam usaha meningkatkan hasil. Online dan offline. Setiap hari mereka berbincang cara untuk maju ke hadapan.

Saya panjatkan doa kesyukuran atas nikmat yang tidak terhingga. Saya hargai usaha kecil mereka dan gembira dengan kesungguhan mereka yang mahu berjaya dengan cemerlang.

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum hingga mereka mengubah diri mereka sendiri.

       Terjemahan Surah Ar-Ra'd ayat 11


Di hadapan gerai promosi Raya PKNS Shah Alam. Kami memperagakan t-shirt crew KedaiBatu&Co yang dicetak oleh SneakPeek Production, milik si Abang yang hensem juga. 


Si comel Naufal juga bersungguh-sungguh mahu berniaga... Allah hu akbar!

Katanya, Rasulullah (selawat ke atasnya) juga usahawan berjaya. Dari mengambil upah, bekerja sendiri, menjadi trader kepada pemodal dan akhirnya kaya raya sebagai pedagang di usia muda. Dengan kekayaan itu, baginda memperjuangkan agama Allah bersama sahabat-sahabat yang rata-ratanya saudagar kaya seperti Abu Bakar, Omar, Othman dan Abdul Rahman Auf hingga mampu berkembang ke segenap penjuru dunia. 

Naufal mahu mengikut jejak langkah mereka yang berjaya sebagai ulama dan pedagang. 

Mama doakan anak-anak Mama berjaya mencapai cita-cita murni tersebut dan berjiran dengan Rasulullah dan para sahabatnya di syurga firdaus. Amin.