Wednesday, February 12, 2014

Aman

Setiap kali saya sampai di rumah, saya akan panggil dia. Berlari-lari si comel ini mengejar saya. Bercerita itu ini dalam bahasanya sendiri. Siapapun tidak faham kadangkala apa yang dia katakan.

Minggu lepas, Bibik menjerit dari dapur. Kami terkejut lantas semua ke dapur. Rambutnya sudah ditobek-tobek. Dia gunakan ketam rambut yang ada dalam bilik kami.

Sehari kemudian, kepalanya botak licin. Aman tersenyum lebar. Puas hati agaknya.

Semalam Cikgu beri buku laporan. Banyak yang sudah dipelajarinya di sekolah. Antaranya dia sudah kenal "family members".

Bila ditanya pada dia...ini siapa? Dengan malu dia jawab...walaupun terbalik... Paling comel bila dia kata "Mother" dan tunjuk Papa..

Semoga Allah jadikan dia anak yang bijaksana, soleh dan beriman. Berjaya di dunia dan di akhirat....

Tuesday, January 28, 2014

Uniform baru

Perjalanan kami ke tanah suci bulan lalu agak berbeza dengan perjalanan haji mahupun umrah yang terdahulu. Di Mekah, kami dapat bertemu ramai rakan2, samada yang menetap di Jeddah/Riyadh mahupun yang datang dari Malaysia. Saya juga berasa dihargai bilamana saya dilayan bak puteri oleh kakitangan Mr Jeelani di Giordano Mekah. Tambahan pula, jemaah kami kebanyakannya adalah pengurusan syarikat tempat saya bekerja dan keluarga masing-masing. Dengan suhu yang rendah(18-24C), Mekah begitu cantik di pandangan mata saya. Terlalu cantik.

Lima hari di Mekah, kami ke Madinah yang cukup indah. Suhu di sekitar 8-15C. Madinah yang bersih, kemas, tenang dan damai mendamaikan jiwa yang resah. Prof MKI sudi membawa kami berjalan. Ia satu penghargaan dari seorang sahabat lama yang saya hormati.

Saya juga bertuah dipertemukan dengan Aniza, bekas anak murid saya. Subhanallah... Bertuah beliau dapat menetap di sini. Pertemuan yang paling bermakna ialah bila Mr Jeelani sudi mencari saya di hotel untuk bertemu... Bukan sekali, tetapi tiga kali. Beliau membawa hasrat besar. Mudah-mudahan Allah perkenankan.

Di rumah Prof Kamil, Jimie diasak dengan soalan demi soalan. Adoi... Malu saya. Jimie hanya tersengih memandang saya tatkala Prof mengingatkan beliau untuk sentiasa memastikan:

1. Saya menutup aurat sepenuhnya.
2. Saya berstokin walaupun di rumah tika ada tetamu
3. Pakaian saya perlu lah "ready solat"
4. Umrah kami umrah yang mabrur...

Bukan kerana segan atau malu dengan Prof MKI, malu sebenarnya dengan diri sendiri yang terlalu leka dengan keindahan dunia yang nyata hanya sementara.

Pulang ke rumah, saya belek pakaian-pakaian yang begitu banyak bersusun di dalam almari. Kain sutera, kain chiffon, korean silk, italian silk, english cotton... Subhanallah! Mahal-mahal kainnya, upahnya, designnya....

Saya tarik satu persatu, saya masukkan ke dalam beg.... Dan yang tinggal di dalam almari adalah pakaian "ready solat" saya yang cuma ada kurang dari enam pasang.

Kasut bertumit tinggi berpasang-pasang juga saya masukkan ke dalam kotak. Ish ish... Sayangnya...

Tudung? Bawal.... Ada yang mencecah harga rm400 sehelai. Segala warna ada. Tudung Ariani liplap dengan swaroski di kepala.... Aaah.....lupakan itu semua.

Kini, hampir setiap hari, saya pakai uniform. Ulang ulang uniform yang sama.

Tanya Tini, bibik saya... nggak sayang Bu.?

Jawab saya... Tak pe lah Tini... Boleh saya beli baju baru nanti...

Kasut ada dua pasang sahaja kini. Sepasang kulit hitam untuk ke pejabat dan sepasang coklat leper untuk hari Sabtu Ahad....

Saya siapkan stokin di banyak tempat... Dalam kereta, dalam beg komputer, di laci pejabat, di atas almari... Supaya tidak lupa.

Oh Tuhan... Kuatkan hati saya untuk istiqamah dalam uniform ini.






Sunday, January 26, 2014

Menangani Stress

Kehidupan sebagai wanita amat stressful. Begitu kata mereka yang arif. Saya kira begitu juga.

Di mana-mana kita boleh baca betapa besarnya pahala yang boleh dikumpul oleh seorang wanita - sebagai isteri, ibu, ketua organisasi, pelajar, kakitangan, adik, kakak, ipar dan pelbagai lagi. Saya akur.

Baru-baru ini saya merasa tekanan yang melampau. Entah bagaimana ia boleh jadi begitu. Tiap hari jururawat akan berkata ; "tinggi tekanan darah Puan ni." Aaah... saya sudah ada darah tinggi. Kata hati saya. Walhalnya tiada apa-apa.

Lalu, setiap ketika saya akan terbayang arwah emak yang menderita darah tinggi di sepanjang kehidupan saya. Asyik pening kepala. Asyik naik darah. Asyik berdebar-debar. Lalu akhirnya emak tewas bila darah tingginya mengamuk dan menyebabkan darah beku di tengah-tengah otak beliau.

Saya juga terbayang arwah Abang Aris.... sama seperti emak. Terbujur di atas katil di wad ICU kerana koma disebabkan darah yang membeku di kepala....akhirnya beliau juga tewas.

Terbayang abang Nasir yang kini jalannya berdengkut-dengkut. Separuh badannya lumpuh sejak 6 tahun lalu. Juga tewas disebabkan darah tinggi.

Kak Non juga seringkali kesakitan disebabkan darah tinggi. Begitu juga Kak Wie... adoii...

Saya tidak mahu mengalami apa yang mereka alami. Saya mahu sihat. Saya mahu bekerja dengan gembira. Menghabiskan masa bersama suami dan anak-anak. Bergelak ketawa bersama mereka. Bukan asyik kata "Mama sakit kepala. Mama tak dapat join you all...".

Lalu, saya selami diri. Apa yang boleh saya lakukan untuk menangani tekanan yang tidak perlu ini?

Membaca? Kadangkala ia menambah sakit yang ada. Bersosial? Di saat ini ia memualkan. Bersendirian? Aaahhh... saya sepi. Kesepian membuat saya ketakutan...

Lalu....Nabilla sarankan saya kembali menulis. Tulisan saya bukan sekadar luahan hati saya; tulisan saya juga memberi inspirasi kepada pembaca. Begitu andaian Nabilla.

Namun, adakalanya saya takut dengan bayangan. Ada manusia yang mengambil peluang mengasak kita dengan pelbagai isu selepas mereka membaca tulisan kita. Mungkin ia akan menjadi sebab kepada tekanan yang tidak perlu....?

Hanya Allah yang tahu. Mudah-mudahan semua menjadi mudah buat saya. Darah tinggi... jangan dekati saya. Saya tidak mahu hidup dalam bayangan kesengsaraan ahli keluarga saya yang telah didekati. Bukan saya harapkan harta menggunung dalam hidup ini - saya cuma mengharap kesihatan yang baik dan kebahagiaan menghadapi baki usia di dunia yang fana ini... Bahagia bersama keluarga; bahagia menjadi umat Muhammad dan bahagia menjadi hambaNya yang beriman... semoga segalanya diperkenankan. Aamiin.

Monday, December 9, 2013

Penyakit malas melanda

Aidulfitri baru-baru ini Tini balik kampung. Mahu menikah, katanya. Kami sekeluarga juga teruja kerana kami kenal mambangnya Tini... Seorang yang rajin melayan kerenah anak-anak kecil saya.

Sebulan kemudian Tini pulang dengan wajah baru. Rambut re-bonding, mekap bukan main, emas bergayut di leher... Baju dan seluar jadi ketat selalu. Tudung pun terbang....

Sehari di rumah, Tini mohon kebenaran untuk ke rumah suaminya. Di Kelang. Err... Kenapa jauh? Kerjanya di sana Bu....

Hati tertanya-tanya... Bukankah si dia kerja di Shah Alam? Biar je lah.

Selepas seminggu, Tini mohon kebenaran untuk bercuti lagi. Okaylah.... Hari Ahad sepatutnya pulang, tetapi saya jadi penunggu pintu. Hari Isnin pukul 10 baru tiba tersengih-sengih. Sabar lah wahai hati....

Hari Rabu dia pamit untuk ke tempat si suami. Suami Tini demam Bu....

Sudah! Gerenti esok tak balik.... Maka saya pun ambil cuti kecemasan....

Pagi Jumaat baru tiba. Hari Sabtu dah sibuk nak ke rumah suami lagi..... Selepas itu, hari-hari Tini berulang ke rumah kongsi suaminya..... Setiap pagi saya bersedia untuk masuk lewat, ambil EL atau bawa si kenit-kenit ke pejabat. Sesekali Boss ambil alih....

Begitulah seterusnya...hingga saya hilang sabar...

Oh ya! Lupa nak beritahu.... Lepas dua minggu Tini beritahu saya yang dia bukan kahwin dengan si Mambang.... Dia kahwin dengan lelaki yang dikenalinya di bandara...sewaktu mahu pulang ke  Medan.... Ha???? Ya Bu.... Kenal tidak sampai seminggu....

Selepas beberapa bulan saya bersilat dengan Abo dan Aman sepulangnya dari pejabat, dan berdebar setiap pagi, Tini mula bersungut tentang si suami. Setiap hari bergaduh. Tampar menampar perkara biasa. Si suami kuat cemburu. Kami sendiri bosan kerana hampir setiap hari dia datang ke rumah menunggu Tini. Kadang-kadang Tini dengar bunyi kereta saya, dia terus keluar.... Saya pulak yang jadi Bibik. Keadaan rumah tak payah nak cerita....

Akhirnya Tini sedar dia dipergunakan. Si suami malas bekerja. Sering menuduh Tini curang dan banyak lagi. Tidak benarkan Tini bertudung atau pakai baju kurung. Mahunya Tini pakai seketat-ketatnya. Tini pula teruk kami marah kerana tidak bertudung dan berbaju ketat. Maka di depan kami dia begini, di depan suami dia begitu.....

Kesian pun banyak saya melihat Tini. Malam-malam 2 jam naik bas. Esok paginya bangun seawal pukul 4 pagi untuk memasakkan makanan buat suami dan kawan-kawannya, pukul 630 ambil bas pulang ke rumah saya....

Kemudian Tini makin kerap mengadu kepada saya tentang si suami. Saya buat tak tahu. Namun keadaan jadi parah bila satu pagi si suami mengejar Tini dengan hanya berkain pelikat. Tini ketakutan. Menangis bagaikan histeria.

Si suami mula tunjuk belang. Konon mahu bersemuka dengan kami untuk beritahu betapa buruknya Tini. Jika boleh, dia mahu kami matikan permit Tini masa tu juga. Pelbagai tuduhan ditujukan pada Tini. Mengaku pernah belajar di pesantren, baginya Tini bukan isteri yang baik.

Boss jawab mudah.... "Ya kalau dia bukan isteri yang baik, mengapa mahu disimpan? Lepaskan saja"

Oh tidak! Katanya dia mampu mengajar Tini... Kalau bukan dengan kata-kata, mungkin juga kena guna fizikal. Aik? Di pesantren mana kamu belajar ini? Ada bukti yang dia curang?

Ada Pak... Dia simpan 2 henpon. Ada nama lelaki di dalam henponnya...

Nama siapa?

Ya anak Bapak, nama Bapak....

Eh Dogol ni....memang nak kena....hati saya dah nak meletup dah....

Akhirnya kami kata pada dia.... Sekarang terpulang pada Tini. Jika dia mahu sama kamu, dia akan pulang ke rumah kamu. Jika tidak, ya terserah...

Tini kata...nggak mahu aku sama kamu. Kamu tuduh aku macam-macam...

Adoi..... Pening kepalaku!

Seminggu berlalu, dua hari lepas, sedang kami anak beranak makan malam sambil bergurau-gurau, disertai Tini, pintu rumah diketuk. Bertempiaran kami berrlari bila ada 3 lelaki masuk memberi salam. Rupanya suami Tini datang bersama kawan-kawan. Ada yang berwajah bagaikan pendekar wali songo....hahahaha...

Datangnya mereka untuk menjadi saksi kepada perceraian. Maka....bercerailah mereka....tanpa pengesahan dari jabatan agama pun....errr...nikahnya dulu di mana? Ha? Di Kongsi? Ooohhhh....

What? Kata Lala.... Bibik macam Hollywood actress Ma... Kawin 3 bulan je....kami gelak bagaikan mahu pecah perut....

Dengan senang hatinya Tini menerima perceraian itu... Ohhh...mudahnya...

Mulai minggu ini, saya tidak lagi lewat ke pejabat atau menghadiri mesyuarat. Tiada lagi EL atau si kenit-kenit memekak di pejabat....Tini juga mula fokus kepada tugasnya... Buktinya, tiada lagi habuk berkepuk di bawah TV.....!!!

Ehh....saya ada banyak masa lah! Tidak perlu tidurkan Aman maknanya saya akan naik ke atas paling awal pukul 11. Jika tidak, seawal pukul 9 saya dah belayar sebab tidurkan dia.... Tengahmalam saya tidak perlu bangun tukarkan pampers atau buatkan susu.... Dapat saya ikut Boss menjadi makmum di Masjid...Dapat berlama-lama berdating dengan Boss sambil sarapan.... Dapat juga melayan teman-teman yang menghubungi.... Jika tidak....suara saya sentiasa di pitch yang tinggi...Amannnnnn!!!!

Alhamdulillah....




Thursday, June 6, 2013

Beratnya dugaan Pak Puji

Kami berkenalan dengan Pak Pujiono. Seorang yang cukup berhemah. Lembut tutur kata dan sopan susunan ayat-ayatnya...

Pak Puji seorang pemandu teksi bagi syarikat Silver Bird di Jakarta Pusat. Setiap trip, Pak Puji dibayar komisen sebanyak Rp9,800. Seharian, Pak Puji mampu mendapat tiga trip. Mengapa begitu sedikit? Kerana Jakarta macet. Saban waktu macet...

Pak Puji berasal dari Jogja. Orang jawa yang penuh dengan keazaman yang kental dan harga diri yang tinggi. Bukan hanya memuji, itu ciri orang jawa yang saya kagumi. Maklum saja...saya sendiri anak jawa...

Pak Puji memulakan bicara santai. Tentang apa yang beliau lakukan dan mengapa beliau bersungguh-sungguh melakukan tugasan yang diberikan padanya. Selepas beberapa ketika, Pak Puji kemudian bercerita sambil tersenyum tentang kehilangan dua anak lelaki beliau dalam kejadian gunung merapi yang meletus pada 26 Oktober 2010. Kampung halaman Pak Puji berada dalam sekitaran letusan gunung yang besar itu.

Ketika kejadian, Pak Puji berada di Jakarta. Sejurus mendapat berita bencana tersebut, beliau segera pulang ke Jogja. Pak Puji tiba selepas beberapa hari. Anak-anak beliau tidak ditemui. Beliau cuba untuk masuk ke kawasan bencana, namun keadaan masih mengganas. Batu-batu sebesar lori treler masih berterbangan. Pihak berkuasa tidak membenarkan Pak Puji masuk ke dalam kawasan bencana.

Tanpa putus asa, Pak Puji mencari kenalan beliau, seorang Ustaz, yang kemudian membantu Pak Puji masuk ke kawasan larangan. Dengan bantuan Allah, mayat kedua-dua anak lelaki (kembar) Pak Puji ditemui dalam keadaan tertiarap, menyerupai orang sedang berenang.... Dengan sedih pilu, Pak Puji mengangkat tubuh-tubuh tidak bernyawa itu dan diletakkan di atas batu besar lalu ditutupi dengan batang-batang bambu....

Pak Puji masih belum berputus asa. Seorang lagi anak beliau masih hilang. Siti Sundari, berusia 6 tahun.... Bersama Ustaz Shukri, Pak Puji berjalan ke satu kawasan lembah... Sayup-sayup kedengaran rengekan kesakitan yang amat lemah.... Terlihat oleh Pak Puji dua tubuh anak kecil yang merupakan sahabat karib Siti Sundari, yang tidak bernyawa. Diangkat kedua tubuh kecil itu dan Pak Puji temui anak gadisnya yang sedang kesakitan. Selepas seminggu! Allah hu akbar....

Pak Puji kemudian membawa anaknya pulang. Siti Sundari luka di tangan kirinya akibat tertusuk batang bambu. Rawatan perubatan cuba diperolehi...Pak Puji beratur hampir dua minggu untuk mendapatkan nombor....pihak kerajaan membekalkan piring dan tisu serta kole. Setiap kali waktu makan, piring akan digunakan untuk meletak makanan. Usai makan, piring tadi akan dijadikan topi...

Selepas dua minggu, Pak Puji berjaya mendapat nombor giliran. Ya Tuhan! Giliran yang ke 18,000++. Di waktu itu ada lebih 15,000 lagi di hadapan Pak Puji.... Ada tawaran dari pihak kerajaan. Sesiapa yang mahu keluar dari Jogja, kerajaan akan menanggung kosnya. Pak Puji lalu nekad membawa isteri dan Siti ke Jakarta. Kawan-kawan pemandu teksi beliau membantu dengan memberikan tempat tinggal, makanan dan bantuan seadanya. Malangnya, rawatan perubatan tidak dapat diperolehi kerana Siti tiada kartu pengenalan diri....

Untuk mendapatkan KTP, dua bulan diperlukan. Siti tidak mampu bertahan. Lantas Pak Puji menerima nasihat sahabat beliau untuk membawa Siti ke Banten, 100 km dari Jakarta. Sebuah daerah yang agak mundur dibanding Jakarta, tetapi tidak padat. Di sana, Siti berjaya dirawat. Namun tangannya sudah membengkak hitam. Doktor hanya menyedut darah hitam dan ia mengurangkan kesakitan Siti. Masih ada sisa buluh yang tertinggal di lengan Siti (Pak Puji menarik batang buluh yang menusuk lengan Siti sewaktu Siti pengsan lepas ditemui).

Doktor kemudian menyarankan agar Siti dioperasi. Ongkosnya Rp1,800,000. Cukup besar untuk seorang pemandu teksi yang hanya mendapat paling banyak Rp30,000 sehari. Atau tangan Siti diamputasi untuk menghilangkan kesakitan....Pak Puji tidak mampu melakukan pilihan tersebut.

Lalu setiap tiga hari, Pak Puji akan pulang ke Banten untuk menyedut keluar darah bisa dari lengan Siti sambil memberi wang biaya. Di Jakarta, Pak Puji akan mencari jarum yang telah digunakan oleh pihak hospital, direndam di dalam air panas (strile) dan digunakan untuk mengeluarkan darah bisa.

Oh Tuhan.... Saya, Lala, Boss, Rozi dan Abo hampir sesak nafas... Sudah lebih sejam kami menahan sedu.... Begitu berat sekali dugaan Pak Puji...

Mulut saya ringan bertanya, "Isteri Bapak bagaimana?"

Mata Pak Puji mula berair.

Isteri Pak Puji amat tertekan dengan segala yang berlaku. Akhirnya beliau hilang akal. Ada ketikanya beliau sihat, adakalanya akibat terlalu stress, beliau tidak tahu apa yang dilakukannya. Pernah Pak Puji disiram dengan air panas, wang yang Pak Puji beri disiat-siat dan keadaan Siti sendiri tidak selamat kerana isteri Pak Puji ada potensi menyerang dengan parang....

Bila Pak Puji mula mengesat matanya, hati kami jadi lagi tidak keruan.....

Ya Allah...berikan kami kekuatan untuk menghadapi ujian di muka bumiMu ini Ya Alah. berikan kami rezeki yang melimpah ruah. Murahkan rezeki Pak Puji dan keluarganya agar Siti dan isterinya dapat dirawat. Jadikan Siti Sundari manusia yang berjaya di dunia dan akhirat...

Pak Puji juga beritahu...beliau bernazar untuk menyiapkan masjid yang didirikannya di Banten untuk kegunaan penduduk setempat, secepat mungkin, sebaik sahaja Siti dapat diubati....

Bertuahnya kami sekeluarga dilimpahi rezeki yang tidak putus-putus dari Allah. Pasti ada sebab yang penting mengapa kami ditemukan dengan Pak Pujiono.... Doa kami untuk beliau dan keluarga....


Friday, March 29, 2013

Nama panggilan

Masyarakat melayu amat prihatin dengan nama panggilan dalam keluarga. Dalam setiap keluarga akan ada Long, Ngah dan seterusnya.

Saya datang dari keluarga yang tidak menggunakan panggilan ini sebagai ikutan. Hanya abang sulung saya kami panggil Ulong. Yang lain kami panggil dengan panggilan 'Abang xyz' dan 'Kakak xyz'.

Bila kami menginjak dewasa dan mula mendapat anak-anak saudara, di kalangan orang Jawa, jika makcik atau pakcik kita lebih tua dari mak ayah kita, gelaran mereka adalah 'Wak'. Ia gelaran yang menakutkan kami semua kerana 'Wak' adalah gambaran seorang yang sudah tua. Sekiranya makcik dan pakcik kita lebih muda dari mak ayah kita, mereka dipanggil 'Cik'.

Saya anak ke lapan. Maknanya anak-anak saya perlu memanggil kesemua yang lebih tua dari saya dengan panggilan Wak. Namun ia tidak berlaku. Mereka dipanggil Pak Long & Mak Long, Pak Ngah (arwah) &Mk Ngah, Pak We & Mak We, Pak An & Mak Ani, Pak Man & Mak Enon, Cik Em & Cik Wie serta Cik Burn (arwah) & Cik Ta. Sepatutnya tiada antara mereka yang dipanggil Cik....namun tiada siapa mahu panggilan mereka bunyinya 'tua'!

Saya sendiri tidak mahu dipanggil Wak. Anak-anak adik-adik saya memanggil saya 'Mama Su'... Dan Boss dipanggil 'Cik Naha'. Bunyinya lebih muda dan lebih komersial....

Di sebelah Boss pula, panggilan lebih unik. Atok dan Nenek ialah Tok Bah dan Mak Tok. Abang sulong Boss dipanggil Abah oleh kesemua anak-anak saudaranya, sementara Mak adalah panggilan kepada arwah isteri Abang. Kakak ipar saya dipanggil Mama dan arwah suaminya dipanggil Ayah. Kakak ipar saya yang satu lagi dipanggil Uda (tiada Mak di depan kerana tidak mahu terasa tua) sementara suaminya Ayah Uda. Boss dipanggil Bak Ai dan saya Mak Su....

Bila kami mula dapat cucu, ia jadi lebih haru. Uda merasa dia masih muda...orang Johor biasanya akan panggil Tok De...tetapi Uda menjadi Wan Da....

Saya cuba menjadi realistik....memang sudah selayaknya saya jadi orang tua...

Di sebelah saya, cucu memanggil saya 'Nenek Yah' dan di sebelah Boss, saya adalah 'Tok Su'....

Anak sulung kami mahu kembalikan nama panggilan orang lama...lalu dia menggelar dirinya 'Mak Long' kepada anak- anak buah yang lain... Kami tersenyum jika ada cucu-cucu kami yang memanggil Jimie dengan panggilan 'Pak Ngah'.... Abey pula mahu dipanggil Uncle Bey dan Abo ialah Uncle Bo....

Bagaimana agaknya reaksi saya jika orang panggil saya "Wak"! Saya rasa saya akan pura-pura tidak dengar!


Saturday, March 16, 2013

Bila sendirian.....

Minggu ke3 bulan Februari saya ditinggal bersama Abey, Abo dan Rahman, sambil ditemani Dee dan Bibik. Boss menerima jemputan menjadi tetamuNya dan beliau membawa Lala bersama.

13 hari yang menyeksakan. Di usia begini, Boss adalah teman paling rapat. Sarapan bersama selepas menghantar Abo ke sekolah sebelum ke pejabat merupakan suatu yang rutin. 13 hari bersarapan sendirian selalunya tidak bersarapan....

Hati meronta menunggu hari yang dijanjikan. Segala yang berlaku seolah kosong tiada makna. Kadangkala saya rasa macam tidak kena. Masakan sebegitu sekali saya kehilangan?

Kepulangannya menerbitkan bunga yang berkembang indah dalam diri. Syukur kepada Dia kerana saya tidak lagi sendirian....

Seminggu selepas pulang, sekali lagi saya sendirian. Johor Bahru tidaklah jauh mana...namun saya tidak bersamanya. Jika Abey dimasukkan ke hospital di hari kepulangan Boss dari Mekah, kali ini saya sendiri yang menjadi penghuni hospital. Ia sesuatu yang tidak saya sukai.

Kesunyian begitu mencengkam bila sendirian. Perasaan takut amat menebal hingga sukar untuk melelapkan mata. Yang terpandang di mata hanyalah wajahnya. Yang terdengar di telinga hanyalah suaranya. Bila mata terpejam, hanya senyumannya menjadi latar belakang...

Begitu hebat rasa orang bercinta. Ia cinta yang dibelai, dibaja dan dipupuk selama hampir 25 tahun ..... Bukan cinta biasa antara lelaki perempuan, tetapi cinta yang bersandarkan "saya menyintainya hanya kerana Allah".

Biarlah hanya dia yang mengisi segenap ruang di hati saya hingga ke kehidupan hakiki. Saya sentiasa berdoa agar kami kekal bercinta bersama-sama di syurga, ditemani dengan riuh rendah suara dan jerit pekik anak-anak kami. Mereka adalah pemula segala senyuman, keceriaan dan kebahagiaan...

Saya perlu nyatakan di sini yang saya tidak suka ditinggal bersendirian. Saya mahu bersamanya - setiap masa....