Wednesday, September 4, 2019

Matematik

Dalam Kuliah Maghrib di Masjid Negeri beberapa hari lalu, Ustaz mengingatkan jemaah dua perkara di bawah.

Terjemahan surah Al An'am ayat 160

"Barangsiapa membawa amal yang baik maka baginya (pahala) sepuluh kali lipat amalnya; dan barangsiapa yang membawa perbuatan yang jahat maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka tidak sedikit pun dianiaya (dirugikan)."

Begitu tinggi sekali penghargaan dari Allah, Pemilik segala yang ada di langit dan bumi.

Bandingkan dengan manusia. Seratus kebaikan kita buat, terselit pula satu kesilapan. Subhanallah. Yang satu tu saja yang disebut sampai berkurun lamanya.

Cuba kaitkan pula dengan ayat satu lagi iaitu ayat 261 surah AlBaqarah; terjemahannya:

"Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya ke jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir @ tangkai, pada setiap bulir ada seratus biji. Allah melipat gandakan ganjaran bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui."

Punyalah senang nak dapat ganjaran. Sedekah satu dibalas 700. Malangnya ramai dari kita takut nak beri banyak. Sebab? Keyakinan cuma di mulut. Hati berbolak-balik.

Sehari dua ni, saya dok asyik dengar berulangkali dua ayat ni dari beberapa orang, adakah hati masih berayun-ayun?

Bak kata Ustaz Yusuf Mansur, Push yourself to the limit! Apa yang kita punyai, lihat sekeliling. Ambil apa yang kita punyai dan sedekah! Bagi pada anak yatim, orang miskin, fi sabilillah. Dan yakinlah bahawa Allah akan gantikan dengan yang lebih baik, beratus kali lipat! Pokoknya Yakin! Bukan bolak balik. Tidak pernah salah untuk kita minta dunia sama Allah, asal jalannya betul. Orang miskin yang sabar adalah lebih baik dari orang kaya yang sabar, tetapi, menjadi orang miskin BUKAN sesuatu yang indah. Saya tidak kuat untuk terus berada di kedudukan ini. Saya mahu keluar dari keadaan yang membelenggu ini.

Saya berhajat mahu miliki itu ini, dan berusaha untuk mendapatkannya, lalu saya nyatakan kepada Allah dengan sepenuh jiwa dan raga di kala orang lain lena beradu. Saya serahkan kepada kebijaksanaan Allah selaku pemilik segala apa yang ada di langit dan bumi, untuk Dia penuhi hajat saya. Hanya pada Dia. Kerana di ayat 26&27 Surah AlImrah, Allah telah menyatakan bahawa (terjemahan):

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. 

Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya".

Allah hu Akbar.
Tiada sangsi di hati kami dengan janjiMu Ya Allah.

Come on Suria! Prove that you are not dreaming. You are praying. InsyaaAllah. 💪💪💪💪

No comments: