Showing posts with label ChiangMai. Show all posts
Showing posts with label ChiangMai. Show all posts

Thursday, May 28, 2015

ChiangRai - ChiangMai Hari Terakhir

Hari terakhir di bumi Thailand yang kaya dengan hasil bumi. Kami sama-sama setuju bahawa tanah Thailand memang subur dan teknologi pertanian mereka memang jauh di hadapan.

Selepas bersarapan, kami singgah sebentar di Silver Temple. Sebuah kuil yang dibina berwarna putih disalut dengan kristal. Bila matahari memancar terkena di atas kristal, pantulan cahayanya amat menarik perhatian.

(nota: Saya tidak mahu ulas pandangan saya tentang apa yang saya lihat dan alami ketika berada di sini. Saya hormati kepercayaan mereka yang percaya dengannya)



Kami berlepas kembali ke ChiangMai melalui kawasan kampung yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan. Paling menarik perhatian kami ialah buah laici. Bergayut-gayut berwarna merah dan pink... Sempat kami berhenti di satu kawasan dan memborong buah laici. Seikat RM2.00. Mana nak jumpa harga tu di tanahair yang tercinta!

Kami kemudiannya dibawa oleh Mr Whab ke kilang madu. Lebah-lebah yang menghasilkan madu yang dijual di sini (mengikut kata salesman kedai madu ini yang berasal dari Johor...), makan bunga pokok popi yang terdapat di kawasan Golden Triangle. Buah pokok popi diambil dan diproses menjadi adah jenis heroine. Hehehe.

Selepas itu kami dibawa ke kilang membuat payung pula. Macam-macam jenis payung kecik besar semua ada. Payung kertas ... Sekali ditimpa hujan, lencun!


Akhirnya, kami singgah untuk makan tengahari di sebuah kedai milik muslim ChiangRai. Kami makan laksa... Rasanya? Boleh lah. Kami juga merasai satay... Bila di Thailand, makan saja lah makanan Thailand... Ouch!


Dari situ, kami terus ke lapanganterbang ChiangMai untuk menaiki pesawat AK 587 pada jam 455 petang waktu Thailand. Selepas daftar masuk, kami mencari tempat solat. Alhamdulillah. Ada tempat untuk Muslim solat dan ada tempat untuk Buddhist sembahyang di situ.

Sementara menunggu ketibaan pesawat, kami diberitahu oleh Pengelola rombongan, saudara Hafiz bahawa kos makanan kami untuk 3hari dan 2 malam hanyalah RM90 seorang! MasyaaAllah! Macam tu punya sedap siang dan malam... Nikmat makanan yang hebat Allah beri kepada kami!

Perjalanan ChiangMai - KLIA mengambil masa 2jam setengah. Kami tiba di KLIA2 jam 840 malam dan tiba di rumah pada jam 1030 malam.

Kami bawa bersama kenangan indah bersama teman-teman di sana.

Buat Ceo Samad Kinto, terimakasih yang tidak terhingga.

Juga MohdNorHafiz, Ruffey, Shaifulizan. Anda AJK pelaksana yang hebat! Oh ya! Saya juga salah seorang AJK - Bahagian Makan....

Kepada semua ahli rombongan - Tuan Alim & isteri, Tuan Zubayri aka John & isteri, Tuan Azrul & isteri, Tuan Nazif & isteri, Dean, Ayie Oh Yeay, Irwan, Mem Besar Nur Impian dan semestinya terimakasih Boss Hj Naha yang sudi membawa saya bersama. Team ni memang ohsem dan hebat bergaya!

Jumpa lagi di lain masa, inshaaAllah.

www.bestmenserum.com


ChiangRai pula... Episod 2

Hari kedua di ChiangMai, kami beredar meninggalkan resort yang begitu mengasyikkan seawal jam 730 pagi. Kami mencari restoran halal untuk bersarapan. Alhamdulillah, dapat merasa makanan melayu...nasi goreng, mee hoon goreng dan nasi kerabu dihidangkan. Di tepi-tepi jalan ada dijual cakoi, satay dan beberapa jenis kuih. Jenuh mengunyah makanan demi makanan... Sempat juga Boss ajak solat sunat di masjid berhampiran.


Ada satu perasaan yang akan timbul tiap kali saya berkesempatan luangkan masa bersolat di dalam masjid tempat orang. Rasa syukur yang hadir dalam hati bersama deraian airmata. Pastinya doa dipanjatkan kepada Emak & Bapak kerana tanpa didikan dan asuhan mereka, saya tidak akan mampu mengembara ke negara orang...

Perjalanan dijangkakan memakan masa 4 jam. Belum sampai setengah jam, kesemua penumpang van kami lena diulit mimpi. Puas pulak saya tangkap gambar mereka. Perjalanan berliku-liku, kata orang, ada 1000 corners. Tajam-tajam pula selekohnya.


Saya terpegun melihat landscape yang menjadi latar belakang perjalanan kami. Ada gunung, lembah dan warna hijau menyelimuti keseluruhan muka bumi. Sawah padi terbentang luas, bagaikan emas kelihatannya. Padi sedang menguning, meliuk lintuk ditiup angin segar di pagi hari.

Kami berhenti berehat di HotSpring. Ada kolam-kolam air panas dan tempat shopping juga. Teruja melihat nenas kecil-kecil dan mangga yang berwarna indah. Allah! Murah sungguh mangga yang dijual. Sekilo RM3.50. Masalahnya kami membeli hanya berpandukan bau dan warna. Gadis Siam yang menjual berkeras tidak mahu memotongkan untuk kami. Suka hati lah labu...


Dari HotSpring, kami meredah lagi bumi ChiangRai menuju ke kawasan sanctuari gajah. Tu diaaaa... Besar-besarnya gajah! Bau tak payah cerita. Maklumlah, kan gajah. Mana lah mereka tahu untuk ke tandas!

Rupanya pakej kami termasuk menaiki gajah. Kami berdua adalah pasangan paling otai. Lalu diberi penghormatan memulakan perjalanan. Kami memanjat tangga untuk ke tingkat atas bangunan dan menunggu lah si gajah di pintu yang disediakan. Boss naik dulu. Saya memang seram. Tinggi sungguh gajah ni! Mau patah riuk andai jatuh dari atas gajah!


Saya duduk atas gajah dan si gajah mula membetulkan kedudukan badannya. Oh! Senget sebelah.. Hehehe. Belah saya senget sebab berat la... Apa lagi!

Lembut je bunyi tapak kaki gajah berjalan. Bergoyang goyang terhangguk hangguk kita yang duduk di atasnya. Eh! Dia menuju ke sungai... Alamak! Seram. Terasa mau jatuh ketika dia menuruni tebing sungai. Takut eh!

Kata si pemandu, gajah kami berusia 25 tahun. Saya minta dia ubah haluan...kerana saya mahu tahu cara arahannya kepada si gajah. Oh la la! Kaki pemandu gosok-gosok belakang telinga kanan gajah, maka gajah berpaling ke kanan... Hehehe


Gajah berjalan di dalam sungai... Hampir terendam keseluruhan badan gajah... Makin teruja bila melihat gajah menyemburkan air melalui belalainya yang umpama serombong... Hujung belalai saja yang kelihatan di atas air... Aduhai! Dia tinggalkan jejak pulak! Besar gedabak! Hahaha...


Jauh juga perjalanan meranduk sungai...kemudiannya kami naik ke atas tanah. Pandai gajah ni. Berjalan beriringan di tepi-tepi saja. Langsung tiada adegan potong memotong dan tidak sabar. Ada seekor gajah yang merajuk kerana mahukan pisang tetapi tidak dilayan oleh pemandunya! Comel melihat gelagatnya..

Selesai dengan gajah, kami ke tempat makan. Allah hu akbar! Laparnya rasa! Tomyam lagi... Bersekali dengan telor dadar, ayam goreng dan ulam sayur yang segar. Batang kailan pun manis di sini! Bawang besar terasa macam buah epal la pulak!


Kami singgah di kawasan penempatan kaum Karen Long Neck, dan cuba memahami mengapa mereka sanggup memakai perhiasan yang dikatakan cantik itu... Mmmm... Kesian melihat mereka yang kelihatan tersiksa sebenarnya!


Kami teruskan perjalanan ke kawasan Golden Triangle, sempadan 3 negara - Laos, Thailand dan Myanmar. Kami menaiki bot yang membawa kami menyusuri Sungai Mekong. Subhanallah... Di bawah sinaran mentari senja, kami nikmati angin yang menghembus lembut wajah kami... Kami mula mengimbau pelajaran sejarah dan guru-guru kami....Di kawasan ini lah, opium diedarkan ke negara-negara Asia dan menjatuhkan moral rakyat negara China di zaman Foong Sa Yuk... Kami juga terkenang guru geografi yang mengajar mukabumi negara Laos, Thailand, Cambodia, Vietnam dan Myanmar...  Berjalan laju menuju ke bot yang membawa kami mengingatkan kami kepada guru pendidikan jasmani!


Kami tidak dapat menjejakkan kaki ke tanah Myanmar atau Laos kerana pintu sempada ditutup seawal jam 6 petang. Bagaimanapun hati terasa puas kerana dapat merasai nikmat perjalanan itu.

Mr Whab kemudian membawa kami ke tempat makan. Restoran yang sama kerana hanya itu restoran halal yang okay di ChiangRai. Tomyam lagi, ikan 3 rasa, udang salut tepung, telor dadar dan sayur goreng. Sah! Lepas ni sebulan saya puasa makan tomyam!

Dari situ kami ke pasar malam. Berjalan membeli cenderahati buat mereka yang ditinggalkan di rumah....

Dan kami daftar masuk Hotel De Hug yang comel tepat pukul 12 malam waktu Thai... Bersamaan dengan pukul 1 pagi waktu Malaysia... Masa tu berdesup-desup mesej masuk... Kerana baru dapat wifi... 😁😁😁



Ikuti sambungannya....

www.bestmenserum.com

Wednesday, May 27, 2015

Percutian Indah di ChiangMai dan ChiangRai

Ahad hingga Selasa lepas Allah izinkan saya dan Boss untuk bersama 16 sahabat lain menikmati percutian indah di ChiangMai dan ChiangRai, Thailand. Percutian ini menjadi begitu indah kerana ia ditaja sepenuhnya oleh TrueTech Cosmetics, pengeluar produk yang sedang Boss pasarkan. Alhamdulillah. Boss berjaya mencapai jualan ke 5 tertinggi di bulan April. Rezeki hanya dari Allah.

Seawal pukul 3 pagi mata sudah tidak mahu pejam. Saya bangun dan bersiap. Begitu juga Boss, Abey dan Lala yang akan menghantar kami ke KLiA2. Kami tiba jam 445 pagi dan terus mengalas perut dengan secawan kopi.

Selepas kesemua 18 ahli rombongan tiba, kami ke kaunter check-in dan berbondong-bondong berjalan ke balai berlepas. Elok pula waktu subuh baru masuk. Kami singgah solat di surau yang disediakan dan menanti pelepasan pesawat dengan penuh keterujaan. Puas bergambar pelbagai aksi, dari selfie, wefie, gaya Pak Maon, gaya korporat.. Semua ada.


Penerbangan selama 2jam setengah melenakan kami semua. Hanyut tenggelam dalam mimpi indah. Setibanya kami di lapangan terbang ChiangMai, kami mendapat kalungan bunga melor dari gadis Thai yang comel. Kemudian kami diiringi ke kenderaan di luar bangunan. Eh! Tersilap kumpulan sebenarnya! Kami bukan dari kumpulan agensi pelancungan yang ditunggu! Hahaha. Rezeki di pagi hari...mendapat sambutan meriah tanpa dipinta.


Kami dibawa oleh airport shuttle ke hotel yang telah ditempah. Prat RajaPruek Resorts & Spa namanya. Sebuah boutique resort yang comel dan amat romantik hiasannya. Disebabkan masih awal, kami tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik. Lalu kami ke tengah bandar mahu mencari motosikal. Lama berbincang, kami putuskan untuk tidak menaiki motosikal... Alasan? Tiada siapa tahu jalan di bandar ChiangMai! Andaikata sesat, pengsanlah keseluruhan 18 orang nanti!

Akhirnya kami tahan dua buah tut-tut dan saya minta dibawa ke kawasan Night Bazaar atau Anusarn Market untuk mencari makanan. Tidak mudah mencari makanan halal terutama sekali bagi first timer seperti kami.

Allah hu akbar. Kawasan itu rupanya hidup di sebelah malam. Walaupun jam sudah masuk waktu tengahari (Thailand lewat sejam. Pukul 1 tenghari ialah pukul 2 di Malaysia), kedai masih belum dibuka. Kami ke AlHussin Restoran, satu-satunya kedai halal yang sudah dibuka. Itupun pekerja-pekerjanya nampak masih mamai.

Saya ditugaskan untuk memilih menu. Semua mata tertumpu kepada kami. Azrul, pemilik Restoran Sambal Hijau membantu dengan bijak. Tomyam campur, sayur goreng, daging goreng dan telur dadar. Cukup sudah.

Kami yang kelaparan menanti dengan sabar. Mula-mula si pelayan kacak umpama wajah Amir Khan membawa pinggan dan sudu garpu. Yang istimewa tentang cara dia membawa ialah dia bawa satu demi satu. Kemudian dia keluar membawa cawan dan mangkuk sup pula. Lemah gemalai lenggoknya. Semua mata mengekori pergerakannya. Selang beberapa ketika, dia keluar membawa mangkuk berisi nasi pula.

Hmmm.... Selang masa yang agak beberapa ketika menambah kesabaran kami. Tomyam pula dibawa. Masing-masing menerkam nasi dan tomyam. Dengan lafaz Bismillah... Ngap! Macam piranha. Subhanallah! Sedapnya tomyam poktek yang dihidangkan! Sejurus kemudian telur dadar pula keluar... Hampir siap kami makan, baru lah sayur goreng sampai. Siap dah makan, daging goreng baru tiba... Berderai kami ketawa.

Ada juga yang order minuman. Terbahak-bahak kami gelak kerana si Amir Khan membawa cawan satu persatu. Saiko betol budak ni!


Kami beredar dari restoran itu dengan hari girang. Sambil berjalan beriringan ke tepi jalanraya, puas kami berposing dengan pelbagai gaya sementara menanti tut-tut tiba. Ada apek penarik beca yang dijadikan model kepada produk kumpulan ini.


Kami kemudiannya ke tempat membuat kain sutera. Allah hu akbar. Cantiknya kain-kain yang dijual di sini. Secantik harganya. Melihat ulat sutera yang sedang memakan daun-daun, kami teringat subjek sejarah di mana ulat sutera diseludup dari negeri China dan dibawa ke Thailand untuk dibiakkan.


Abam-abam sado ramai yang mengambil kesempatan melelapkan mata, termasuk Boss. Punah harapan untuk saya membeli sepasang kain sutera. Lena sungguh tidurnya... Jenuh saya gerak. Buat bodo saja... Pandai!!!


Dari situ kami ke kilang kulit. Mahal! Kemudian kami ke Gems showroom. Mata saya terus menangkap sebentuk cincin nilam sebesar 3 carat. Harganya, Thai Bhat 510,000. Waduh! Sakan kawan-kawan lain mengerumuni saya...subhanallah! Ia memang cukup cantik!

Berjalan lagi dan saya terpandang sebentuk cincin delima potongan princess, diikat dengan berlian potongan bugget. Harganya Thai Bhat 2,300,000. Oh! Terasa-rasa lagi "kehilangan" di jari manis.

"Kak, Ain pun rasa macam missing something la kat jari ni. Cincin tu ada aura", kata Ain isteri Azrul.

Habis pakat gelak para suami yang mendengar. Bukan aura, kata mereka. Tapi auta!

Terbayang wajah Azrul dengan mulut muncung dan jelingan tajamnya sewaktu Ain memujuk untuk membelikannya cincin...."Bukan kita tak de duit! Kita tak nak beli!" Comel je...

Kami pulang ke hotel untuk berehat. Bilik cantik yang nyaman itu membuat tidur kami terlalu lena... Sedar-sedar sudah jam 7 malam. Rasanya baru saja lelapkan mata pada jam 5 tadi!


Pukul 8, kami keluar semula ke bandar untuk makan malam. Seperti yang saya tulis di atas, makanan halal tidak senang diperolehi....

Kami berjalan di Night Bazaar sambi menikmati Roti Pisang, pulut mangga dan air buah... Selepas sekali lagi makan tomyam, ikan siakap kukus, kangkung goreng, ayam goreng kunyit dan telor
dadar..seterusnya berjalan-jalan menikmati keindahan Night Bazaar di situ...


Pukul 12 malam, kami rebahkan badan di katil empuk dan hanyut dibuai mimpi... Alhamdulillah. Perjalanan panjang di hari pertama. Tiada yang membuat hati gundah. Hanya kesyukuran atas kegembiraan dan kasih sayang yang terjalin....

Bersambung....

www.bestmenserum.com