Tuesday, July 17, 2012

Patah semangat

Saya dipertemukan dengan seorang wanita hebat dua hari lalu. Beliau sudah menjelajah ke serata dunia, dibawa oleh pekerjaan dan perniagaan....

Dalam kami bersembang dan bercerita tentang pengalaman yang kami masing2 kutip di dalam kehidupan, saya sedar beberapa perkara tentang diri saya:

Nama yang saya bawa sepanjang hidup saya 'besar'. Bukan semua orang mampu membawa nama sebesar ini. Arwah mak dan arwah bapak telah berjaya menjadikan saya manusia yang berjaya membawa nama yang sukar ini.

Pengalaman saya hidup di sebuah tempat yang cukup 'hebat' iaitu India, cukup mahal harganya. Saya perlu dan patut menyimpannya dalam bentuk yang boleh saya kongsikan dengan orang lain.

Segala apa yang Allah beri, adalah untuk kita syukuri dan hayati hikmahnya.

Semua di atas telah lama saya sedari, namun saya manusia lemah yang sering didorong oleh emosi dab perasaan. Tulisan saya di ruangan ini mencatatkan apa yang saya lalui hari demi hari, menceritakan perasaan saya yang sarat dengan kegembiraan, kesedihan, kekecewaan dan apa saja yang juga dialami oleh manusia biasa yang lan.

Malangnya, sekali saya disanggah, patah langsung semangat saya. Membawa nama sebesar nama saya umpama beban yang menyakitkan keaeluruhan hidup saya. Penulisan saya tentang hati, perasaan, pengalaman, malah ketawa ria saya dianggap mendabik dada dan mendongak langit. Lalu, saya tidak mahu lagi berkongsi rasa dengan tulisan. Saya menjauh. Membawa hati untuk saya rawat bersendiri....

Allah hu akbar. Mudah benar rupanya saya hilang kekuatan. Bagaimana untuk berjaya dalam perjuangan jika kata-kata nista yang dituturkan seorang manusia yang jauh lemah dari saya boleh mematahkan semangat saya?

Hari ini....saya nekad. Apa yang Allah beri adalah untuk saya syukuri dan hayati hikmahnya. Seorang membenci bukan bermakna seluruh dunia memalingkan wajah dari saya. Ramai yang mengharap senyuman manis saya untuk mencerahkan hari-hari meka yang suram. Ramai yang menunggu untuk melihat kejayaan saya biarpun ada yang berdoa untuk melihat kejatuhan saya.

Saya mengharapkan Ramadhan kali ini lebih bermakna. Ia permulaan kepada banyak perkara baik yang saya rancangkan. Saya mahukan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Ya Allah! Jangan Kau bolak balikkan hatiku setelah Kau beri petunjuk kepadaKu Ya Allah... Aku tahu, Kata-kata nista yang dihamburkan kepada kita tidak akan pernah berhenti selagi syaitan dibiarkan berleluasa di dalam diri.... Memang saya perlu mendongak langit....kerana saya tahu langut itu tinggi...saya juga tahu saya perlu sentiasa menunduk ke bumi... kerana saya berdiri di atas rumput yang nyata..... Biarlah...biarlah...