Monday, April 28, 2008

Lifelong Learning

Semalam saya dijemput menghadiri majlis pelancaran Corporate Graduate School oleh IMCA dengan kerjasama Global University of Lifelong Learning USA di Sheraton Subang. Majlis disempurnakan oleh Datuk Dr S. Subramaniam, Menteri Sumber Manusia diiringi oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Wee.

Saya rasa berbesar hati kerana saya adalah sebahagian dari tenaga pengajar golongan yang sentiasa inginkan pendidikan sepanjang hayat mereka. (Saya sedang mengajar MBA program anjuran IMCA yang bekerjasama dengan Royal Roads University Canada). Mereka yang tidak ada kelayakan tetapi ada skil dan pengalaman akan dibimbing supaya mereka akhirnya menjadi seorang pekerja yang mampu berfikir. Lebih kurang gitulah objektifnya. Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memiliki modal insan yang berkualiti bagi mencapai taraf negara maju. Antara industri yang telah pun mengamalkan kaedah ini adalah industri perhotelan, automatif dan salon2 rambut dan kecantikan.

Saya berpeluang berkenalan dengan ramai tuanpunya2 perniagaan yang berjaya dalam majlis itu. Besar sungguh hati saya bila saya dihargai oleh mereka yang lebih berjaya dari saya...macamlah saya ni hebat sangat...Sebenarnya, saya ni apa pun tak ada...

Saya juga salah seorang dari mereka yang sentiasa belajar di sepanjang kehidupan ini. Seboleh mungkin saya akan kongsi apa yang saya pelajari dengan orang lain supaya mereka turut sama belajar. Biarpun tidak lagi berada dalam dunia akademik, saya masih suka mengajar dan akan terus mengajar dan belajar...

Sunday, April 27, 2008

Hujung minggu

Sabtu dan Ahad yang panjang...

Kami sekeluarga agak gementar masa ini kerana keadaan Abang Nasir tidak memberangsangkan. Dia dipindahkan ke wad biasa Jumaat lepas. Kami lega kerana dia telah melepasi masa kritikal. Hari Sabtu, rumah saya jadi hos solat hajat dan bacaan Yasin. Lepas Isya', kami mendapat panggilan talipon yang Abang Nasir dipindahkan balik ke ICU kerana dia bleeding lagi..

Kecut perut dibuatnya. Kami hanya mampu berdoa dan mengharap keajaiban dari Tuhan yang Maha Penyayang.

Ahad, saya habiskan masa di dua buah hospital - HTAR bersama2 emak yang makin lemah dan langsung tidak boleh menjamah makanan. Tekanan darahnya terlalu rendah. Dalam pada dia sakit, emak pula cerewet tentang kebersihan dan macam2 benda yang tidak memuaskan hatinya...Itu membuat dia makin sakit..

Setengah hari di HTAR, kami ke SMC pula. Doktor tidak membenarkan ramai pelawat melawat Abang Nasir. Tapi, sebab semalam hari minggu, ramai sedara mara yang datang. Tugas kami melayan sedara-mara. Cik Nah, adik arwah emak, lembik lutut tengok keadaan Abang Nasir. Tak pasal-pasal dia jadi berdebar dan pening...Alahai...

Lepas SMC, kami ke rumah Epah pula yang menjadi penganjur Solat Hajat dan bacaan Yasin. Alhamdulillah, dalam keadaan yang tegang ini, kami adik beradik diberi kekuatan yang luar biasa. Keakraban kami diindahkan lagi dengan kerjasama ipar-duai dan anak2 saudara yang biarpun sibuk dengan segala urusan, masih lagi bersama di sini. Kak Ani sekeluarga datang dari JB berkampung di rumah saya, Abang Yem yang bekerja di Pasir Gudang juga meluangkan masa di samping 'anak buah menantu' - Najmi, yang bekerja di Temerloh, sanggup bersama kami, dan yang paling indah, solat2 kami diimami oleh Azizul, anak saudara saya, seorang tahfiz dari Al-Azhar sewaktu di rumah saya. Yazid, adik ipar saya, Ustaz lulusan UIA dan Najmi, Majistrate di Mahkamah Temerloh juga lulusan UIA - pula mengimami solat di rumah Epah..

Bagi saya, yang paling beruntung adalah arwah emak dengan bapak kerana mereka hasilkan keturunan yang baik-baik...Alhamdulillah.

Thursday, April 24, 2008

Belanja Makan

Tengahari tadi saya berkesempatan belanja Asma Rina dan Aznita makan tengahari di sebuah restoran di TTDI Jaya. Maklumlah, hari ni kan hari gaji....Seronok rasanya dapat bersama mereka semula.

Macam-macam cerita yang kami ceritakan. Ketawa besar As dan Eita mendengar cerita2bodoh saya...Sedih mendengar kisah mereka yang saya tinggalkan. Harap-harapnya mereka berjaya dalam mengejar impian mereka.

Saya juga terserempak dengan Prof Dr Ibrahim Kamal, Dekan Fakulti Perakaunan UiTM. Beliau mengajar saya management Accounting sewaktu Masters dulu. Beria-ia beliau memujuk saya untuk mendaftar sebagai pelajar PhD di UiTM. Tak taulah Prof...saya merajuk....Kot ada sesiapa yang boleh memujuk saya, mungkin saya akan kembali semula ke UiTM...

Prof Ibrahim cukup gembira bila melihat kad nama saya. Katanya, "I am very happy that you are doing very good now." Begitulah besarnya hati seorang guru bila dapat tahu muridnya berjaya.. Saya pun begitu juga.

Saya rindukan suasana ceria bersama kawan-kawan. Saya keseorangan di bilik yang besar ini...tapi, hati saya tenang dan saya fokus dengan matlamat saya.

Wednesday, April 23, 2008

Stress

Saya datang dari keluarga yang agak 'perfectionist'. Mungkin kerana arwah emak dan arwah bapak yang begitu mementingkan kesempurnaan. Rasanya dari sepuluh beradik, saya antara dua atau tiga orang yang separa-perfectionist. Maksudnya, saya ni lebih pada so-so dari perfection.

Menjalani hidup sebagai perfectionist ada banyak keburukan dari kebaikan: pendapat peribadi saya. Mungkin kerana saya bukan seorang yang sebegitu makanya itu yang saya fikirkan. Tapi, hari ini, saya rasa saya betul...

Kerana inginkan kesempurnaan, kita mudah stress. Tertekan dengan segala benda yang tidak berjalan seperti yang dirancang. Akibatnya, kita akan dibebani dengan satu penyakit yang Maha menakutkan - tekanan darah tinggi.

1995, arwah bapak dimasukkan ke HKL kerana stroke. Bapak yang mengusahakan mini-ladang nenas dan kelapa sawit tidak puashati dengan mutu kerja pekerja-pekerja yang diupahnya. Dalam keadaan dia yang tidak sihat, dia masih ke kebun. Dia terjatuh dari motor dan langsung tidak boleh bercakap. Ada darah beku yang mengganggu urat peti suaranya. Lama juga baru bapak sembuh, sebelum dia meninggal dunia pada Disember 1996.

Emak memang mengidap darah tinggi. Agak pemarah emak ni. Semuanya nak kena cantik dan bersih. Saya memang tukang buat sepah...selalunya bebelan emak jadi macam nyanyian di telinga saya. Emak koma selepas darah tingginya melambung naik dan menyebabkan pembuluh darahnya pecah di tengah-tengah otak beliau. June 1997, emak menghembuskan nafas terakhir tanpa regain her conciousness.

Abang Aris, abang saya yang kedua, koma pada tahun 2006. Juga kerana darah tinggi. Kes beliau sama macam emak. Kalau emak ambil masa sebulan setengah, abang Aris hanya seminggu. Kami ditinggalkan pada Mac 2006.

Dua hari lepas, abang Nasir pula dimasukkan ke ICU. Juga kerana darah tinggi yang mengakibatkan stroke. Kini beliau lumpuh separuh badan. Saya umpama melihat wayang ulang tayang...Doktor pakar tunjukkan gambar CT scan dan terangkan segala kemungkinan...Berkampung sekali lagi kami di bilik rehat ICU...Tuhan..selamatkan abang saya ini. Saya tidak mahu kehilangan seorang lagi abang...tolonglah...Dia masih terlalu muda...

Kak Non juga seorang perfectionsit. Kini sedang sakit, tekanan darah yang dok naik turun. Asal stress sikit dia passed out. Kak Wi juga begitu. Apa saja yang menekan dia akan menyebabkan darahnya naik. Adik saya, Epah, yang baru 32 tahun sudah mula menjalani hidup sebagai 'bakal hypertension'. Puncanya, dia seorang perfectionist. Epah mahu anak2nya jadi lebih pandai dari dia yang sentiasa dapat straight As...Epah, Kak Non, Kak Wi, Abang Nasir dan Abang Aris punya persamaan. Jarang nak relax. Sentiasa nak kerja cepat dan sentiasa nak benda jadi perfect.

Tinggal Ulong, Kak Ani, saya dan Anis yang agak relax. Memang rumah kami yang paling comot dan paling tidak cantik. Anak-anak kami tidak ke tuition atau bukan straight As holders. Kerjaya kami juga tidak sehebat yang lain. Duit kami juga yang paling sedikit...Namun, satu yang pasti, kami tidak ada sakit darah tinggi. Kami tidak pernah lagi diserang hypertension. Saya masih boleh seimbangkan kehidupan peribadi dan kerjaya. Yang paling nyata, saya jarang stress...

Dalam keadaan Abang Nasir yang terlantar di ICU ini, orang seperti saya yang masih boleh bertahan menunggunya di bilik rehat, menemankan isterinya, kak We yang setia menemani suami tercinta. Saya juga masih boleh berlari ke Hospital Klang di sebelah malam untuk menemani emak mertua yang kini terlantar di sana kerana leukimia...Kalau saya ni macam Kakak2, abang2 dan adik saya...dah flat...

Berikan aku kekuatan Ya Allah untuk terus memberi semangat kepada mereka yang memerlukan....Amin.

Monday, April 21, 2008

Life is about choice

Dari pagi tadi saya teruja... Ada mesyuarat di antara 'pembesar-pembesar' Cahyamata Sarawak dengan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhari di pejabat saya. Saya teruja kerana saya berpeluang melihat dengan mata saya wajah tampan Tan Sri....hehehe..

Saya memang peminat setia beliau. Saya banyak membaca tentang perjalanan hidup beliau yang cukup mempersonakan saya. Beliau membuat banyak pilihan, dan selalunya pilihan beliau tepat.

Kehadiran Tan Sri amat dirasai. Ada aura, kata orang sekarang. Biarpun beliau cukup humble - tiba dengan Proton Perdana dan bukan Mercedez S550 atau Jaguar, berjalan menundukkan kepala sambil tersenyum - tapi kita tau ada 'vibration' bersama beliau.

Alangkah indahnya jika saya dapat mengambil sedikit aura beliau. Disenangi, dihargai, dihormati... bukan kerana harta atau paras rupa, tapi kerana keluhuran budi bahasa dan tingkah yang mulia...

Saya baca blog Pak Adib tentang The Choice. Saya suka pandangan Pak Adib berkenaan pilihan. Pak Adib cukup wise kerana membicarakan satu perkara yang selalunya mengelirukan kita manusia.

Sebenarnya, kerana pilihan kita berada di tempat kita sekarang. Kerana pilihan juga Tan Sri Mokhtar Albukhary berjaya berada di tempatnya sekarang...Hidup ini ialah tentang pilihan..Jangan sekali kata kita 'tiada pilihan'. Itu bohong semata-mata!!

Sunday, April 20, 2008

Sayang Sarawak....


Abo gumbira dapat naik plane dan 'pegang' sky...


Anak-anak di patung Kuching. 10 tahun dulu mereka pernah bergambar di posisi yang sama, tapi tanpa Abo..


Jamil, Ros, saya dan Ain, si comel kesayangan mereka.

Seminggu di Sarawak...alhamdulillah. Tuhan memberi kesempatan untuk saya berada di bumi bertuah itu. Saya dah rancang lama nak ke sana, kebetulan tiket Air Asia yang cukup murah (Sehala RM2.90 + cukai = RM73.75). Dah dua bulan saya tempah tiket, kebetulan suami kena bagi kursus di Kuching. Tempat tinggal dah free. Kebetulan pula anak saya Nabilla sedang study leave untuk final examnya yang bermula esok...

Saya tiba di Kuching pukul 1.30 tengahari Ahad. Lepas check-in hotel, Encik Jamil Jamaludin, senior saya di universiti yang juga sahabat sejati menalipon... tepat pukul 5, dia dah sampai lobi. Kami ke rumahnya di Petra Jaya. Cantiknya rumah... besar dan cukup indah. Macam-macam yang dihidang, umai dan kuih muih yang dibuat sendiri oleh Ros, isteri Jamil yang jelita, yang baru memulakan kerjaya sebagai pensioner... Nabilla yang memang dah biasa di rumah Jamil dengan muka tak malu terus ke dapur mencari makanan yang memang sedap2..

Kami makan malam di Buntal. Seafood. Mak ooiii..mengah dibuatnya. Perkampungan nelayan yang cantik panoramanya. Jamil hantar kami pulang ke hotel dan terus saja mata terpejam..

Keesokan paginya, Jamil hantar sms. Dia suruh saya pilih antara kereta Toyota Ipsum yang masih berkilat dan Kancil... Oh..ada Kancil pun dah cukup kaya buat saya. Petang tu Jamil dan anak bujangnya yang handsome menghantar kereta ke hotel saya. Apa lagi....hari-hari berikutnya saya pun menjelajah keliling Kuching ditemani Abo yang setia. Berulang alik ke Kota Samarahan menghantar dan mengambil Nabilla. Sekejap je dah pandai bawa kereta.

Malam-malam di Kuching, kenyang perut makan. Berebut pula kawan-kawan nak belanja. Mee kolok, laksa sarawak, satay... Tak terlarat nak makan. Betul-betul saya bersyukur dengan rezeki yang Allah beri...undangan makan tak putus-putus.

Malam Jumaat anak-anak bujang saya datang menyusul. Riuh rendah bilik hotel dengan kesemua mereka berkumpul. Maklum saja dah lama tak bersama kakak. Abo paling happy. Asyik cakap orang putih di Kuching ni...entah mana dia belajar. Siang Jumaat saya bawa mereka menyeberang Sungai Sarawak menaiki sampan, tambangnya 30 sen. Pucat lesi muka si macho2 tu...Gerun gak bila teringat buaya yang mungkin ada kat dalam sungai tu...hehehe.

Hari Sabtu kami dibawa oleh 'pemandu pelancung'- Maziah, dua pupu Jamil, ke Kg Serikin. Murah-murah barangan Indonesia di sana, tapi tak le membeli. Ongkosnya bukan ada...Serikin, sejam perjalanan dari Kuching, umpama Petaling Street. Telekung cantik di KL yang dijual dengan harga RM100, boleh dapat RM30 saja di sana. Terliur gak nak membeli... tapi nantilah. Ada rezeki boleh datang lagi...Balik dari Serikin singgah di Pasar Dayak...jenuh ambik video ulat yang menjadi makanan Sarawakian...gemuk2 ulat tu. Melompat2 saya dibuatnya...

Malam Ahad, makan lagi. Jamil belanja lagi... naik segan dibuatnya. Kata Jimie, "Mama ni...bila dah dapat rezeki camni segan la pulak... Kan Mama yang kata, kalau Tuhan nak bagi, Dia bagi je...". Ye lah tu, Mie...esok besar awak tau le...

Semalam, lepas hantar Nabilla pulang semula ke kampus, (cantik UiTM Sarawak...very refreshing. Hijau je... Kabus banyak) saya sms Ros nak pulang kereta. Sampai saja di hotel (kami dah siap2 check-out), Ros talipon. Rupanya dia datang dengan anaknya untuk ambil kereta. Jamil dah terbang ke KL. Bukan setakat ambil kereta, kami dihantar ke airport dengan segala barang2 kami... Alhamdulillah...Rezeki lagi...

Akhirnya, percutian indah di Sarawak ditamatkan di Airport Kuching. Abo cukup suka makan Mee Kolok. Jimi beli tabung buluh sepuluh batang nak bagi kat kawan-kawan sekelas, Abey beli key-chain sedozen...

Sayang Sarawak...pemandangan indah, orangnya ramah2, perjalanannya... lambat-lambat... Percutian murah lagi menarik buat saya sekeluarga....Mudah2an ada rezeki untuk ke sana lagi...

NB: Jamil Jamaludin is an Executive Director of Zecon Berhad, a public listed company based in Sarawak.

Thursday, April 10, 2008

Secebis Ingatan

Surah Al Anfal ayat 70:

Jika Allah mengetahui ada kebaikan dalam hatimu, nescaya DIA akan memberikan yang lebih baik dari apa yang diambil darimu dan DIA akan mengampuni kamu.

:) thanks to zlaa. I managed to smile sfter I read the ayat in your blog.

Only Winners make a move when they no longer 'feel' for the job. Losers hang-on in there no matter what.

:) thanks a lot to pakpayne for the beautiful thoughts. Kembang hati saya lepas membacanya.

Buat kawan-kawan yang sedang berjuang mencari diri, kedua2 ayat di atas harapnya dapat memberi inspirasi.

Tuesday, April 8, 2008

Achievement

Semalam saya dihujani panggilan talipon dan sms dari bekas-bekas pelajar dan mentee-mentee saya yang mula mendaftar semula untuk semester pendek. Ada juga antara mereka yang telah pun tamat pengajian. Mereka kembali ke universiti untuk mengambil keputusan peperiksaan semester lepas. Tahniah kerana achievement anda semua yang pastinya membanggakan diri dan keluarga. Saya rasa terharu kerana ramai yang masih ingat nak hubungi saya. Ada juga yang minta saya datang ke kolej dan lepak bersama mereka. Saya tersenyum sendiri di pejabat mengenang saat manis bersama mereka..

Semalam juga anak saya, Abey, pulang dari UPM. Dia berada di sana selama 3 hari kerana mewakili Daerah Petaling dalam Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-sekolah Selangor bawah 15 tahun. Abey, seorang remaja yang kuat makan tapi badannya kurus macam papan...Kalau dia buka baju, banyak tali gitar kita boleh nampak...Tapi, dia telah mencapai satu tahap yang amat membanggakan saya sebagai orangtuanya. Dia berjaya memecahkan 'iceberg' yang mengelilingi hidupnya selama ini. Syukur alhamdulillah dia balik 'in one piece'. (Abey ni dah 3 kali patah tangan sebab main ragbi!!!).

Hari ini, si Abang, Jimie pula memulakan cabarannya. Jimie juga mewakili Daerah Petaling Ragbi bawah 18 tahun, juga di UPM. Ini tahun kedua Jimie mewakili daerah. Tahun lepas dia berjaya ke peringkat kebangsaan. Pencapaian yang saya harapkan dari Jimie...yang terbaik. Dia mampu melakukannya. Kesungguhan dan komitmen Jimie terhadap apa yang dia lakukan selalunya mengagumkan.

Setiap dari kita mengharapkan great achievement dalam kehidupan. Saya petik hadis Nabi ~THOSE WHOSE TWO DAYS ARE THE SAME IS A GREAT LOSER ~ Terimakasih kepada sahabat saya - Datuk Md Hassan Said - yang memberikan petikan ini kepada saya beberapa tahun lalu. Saya pasti achievement beliau pada masa ini adalah kerana kesungguhannya mengubah persepsi tentang kehidupan yang biasa- biasa.

NB: Datuk Md Hassan Said adalah salah seorang founder dan owner e-pay, yang kini telah meluaskan operasinya hingga ke Australia, Indonesia, Thailand dan Pakistan. Walau di mana beliau berada, saya sentiasa menghargai jasanya kepada saya.

Monday, April 7, 2008

Sense of Belonging

Berapa ramai antara kita yang ada sikap ini? Bertanggungjawab dengan apa yang dipinjamkan kepada kita kerana jawatan yang kita pegang?

Rasanya, ramai antara kita rasa jika kita diberi sesuatu kerana pekerjaan kita, kita rasa semua tu kita yang punya. Belasah je...

Tapi, renung balik senario ini. Kalaulah kita yang punya semua benda yang ada depan mata kita, adakah kita akan belasah aje? Tentu berat untuk kita keluarkan hatta duit 5 sen sekalipun...

Sepatutnya, bila kita rasa hak syarikat atau jabatan itu adalah hak kita, kita akan lebih berhati-hati dalam membelasahnya, kerana kita tidak mahu kehilangan harta kita...

Sense of belonging jarang sekali ada dalam diri kita sekarang ini.

Thursday, April 3, 2008

Pemeriksaan kesihatan

Satu dari syarat untuk diambil bekerja di syarikat saya ini adalah 'healthy and fit'. Berdebar jantung saya bila saya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara terperinci di sebuah makmal di Subang Jaya.

Selain dari ujian darah, saya juga perlu menjalani ultra-sound untuk memastikan organ dalaman saya sihat dan sempurna. Hati, limpa, buah pinggang, pankreas dan hempedu diperiksa dengan teliti. Huh...lega. Semuanya sempurna dan sihat. Saya juga menjalani ECG test...debaran jantung makin kencang. Alhamdulillah, jantung saya sihat. Tapi saya ada sedikit masalah dengan pernafasan...sebabnya, tiada exercise. Ketahanan tulang juga diuji...

Pagi ini, saya ke makmal berkenaan untuk mengambil lapuran saya dan mendengar penerangan Dr. Saya ada 3 masalah sahaja - uric acid melebihi bacaan (ini boleh menyebabkan ghout), cholesterol border line dan calcium kurang yang menyebabkan saya ada masalah tulang. Saya disahkan bebas dari segala penyakit yang menakutkan seperti jantung, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, hepatitis mahupun kanser.

Saya kemudiannya dirujuk kepada pakar pemakanan yang menggariskan jenis makanan yang perlu saya ambil atau perlu saya elakkan. Alamak...boringnya. Semua tak boleh makan. Dahlah tu, asyik-asyik exercise yang disebutnya...

Saya keluar dengan list apa yang perlu dimakan dan apa yang tidak boleh dimakan. Saya juga perlu mula exercise dengan berjalan di pagi hari yang mulia di bawah sinaran matahari pagi untuk mendapatkan vitamin D secara percuma...

Saya katakan pada diri: Hari ini saya perlu berubah. Saya mahukan kehidupan sihat. Saya tidak mahu habiskan duit dengan beli macam-macam ubat pelangsing atau melalui rejim diet yang menyiksakan.

Esok pagi...start berjalan ye? Harapnya tak singgah kedai mamak minum Nescafe tarik dan roti canai kegemaran saya....tapi kena balik rumah minum Nescafe o dengan roti kosong dua keping. Selain sihat, jimat.....!!! Boleh kaya cepat ni...

"health screening" amat penting untuk semua orang di dunia moden yang mencabar ini. Untuk mereka yang sewaktu dengan saya, kena buat setiap tahun. Untuk yang muda, buat 2 tahun sekali. Mencegah lebih baik dari mengubat...buatlah. Bukan mahal mana pun...Kalau dah sakit nanti, bil hospital, bil ubat, airmata...lagi mahal!!!

Wednesday, April 2, 2008

Debt Diet

Saya suka menonton rancangan Oprah dan satu dari rancangannya yang paling saya suka adalah Debt Diet.

Pagi ini saya bersembang dengan Thiaga, seorang teman baru di pejabat. Entah macammana perbualan kami akhirnya berkisar tentang 'Money Matters'.

Saya akui saya seorang pemboros. Gaji saya banyak saya habiskan untuk membeli entah apa2. Sebelum saya menjadi pensyarah, saya banyak membeli menggunakan kad kredit. Saya beli apa yang saya mahu, bukan apa yang saya perlu.

Sejak menjadi pensyarah, saya tidak mampu menanggung beban bayaran bulanan kad kredit (kalau tak silap, saya ada 4 'gold card'!)kerana gaji saya hanya separuh dari gaji saya sebelumnya. Akibatnya, kad kredit saya ditahan dan saya dikejar pengutip hutang setiap hari. Sakit betul kehidupan waktu itu...

Entah macammana, saya terbaca artikel tentang Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebuah unit di bawah Bank Negara. Saya ke Bank Negara untuk mengambil lapuran kredit saya dan terus ke AKPK untuk meminta bantuan mereka. Dipendekkan cerita, dari jumlah lebih RM2000 sebulan yang saya perlu bayar untuk menyelesaikan masalah kad kredit saya, saya hanya perlu membayar sebanyak RM690 sebulan untuk tempoh lima tahun. Syaratnya, saya tidak boleh memohon pinjaman baru termasuk kad kredit sepanjang tempoh itu.

Saya menjalani hidup yang agak melarat mulanya kerana tidak biasa dengan keadaan itu, tapi lama kelamaan saya cukup senang hidup sederhana. Kini, saya hanya membeli bila saya perlukan sesuatu dan saya juga pastikan saya ada duit yang cukup sebelum membeli, tak kira apa pun.

Thiaga amat berterimakasih kepada saya kerana memberi pandangan yang cukup berkesan buat beliau di pagi hari yang mulia ini. Dia berazam untuk membuang segala kad kredit yang dipunyainya dan memulakan hidup sederhana.

Saya sendiri berazam untuk melangsaikan mana-mana hutang yang saya ada di samping menyimpan wang sebanyak-banyaknya dengan gaji baru saya yang jauh lebih banyak dari gaji pensyarah...Insyaallah.

Tuesday, April 1, 2008

Mengejar Impian




Gambar atas: Ali Azanullah. Bekas pelajar yang mengaturkan majlis makan tengahari bersama semua yang lain untuk meraikan saya, Dr Shan dan Dalila yang turut dihadiri oleh teman setia kami yang paling istimewa - Asma Rina. - Gambar bawah.

Sekalung tahniah buat pelajar-pelajar saya yang diraikan di hari konvokesyen mereka di PWTC hari Isnin lalu. Saya pasti mereka bangga dan gembira. Saya amat bangga dengan kejayaan kalian.

Mulanya saya juga ingin bersama meraikan anak-anak ini, namun saya perlu menyelesaikan beberapa perkara yang perlu sebelum saya mulakan kerja di tempat baru.

Alhamdulillah, permohonan saya diterima. Hari ini, 2 April 2008, saya kembali ke dunia korporat. Saya dilantik sebagai Naib Presiden, Strategi Korporat, di sebuah syarikat multinasional milik Cahayamata Sarawak.

Perasaan saya, gementar dan teruja. Setelah tiga tahun mengabdikan diri sebagai pensyarah, saya kembali ke dunia nyata. Bukan saya membenci bidang akademi, saya amat menyintainya, namun jiwa saya tiada di situ. Saya telah dilatih untuk ‘berlari’, tetapi sebagai ahli akademik saya kena ‘berjalan’. Bila saya ‘berjalan’, saya ‘berlenggang-lenggang’. Itu buatkan saya jadi ‘benyek’ dan ‘lembab’. Akhirnya, saya ‘bengap’.

Larian saya telah bermula. Seawal pagi Mr CEO telah menghantar beberapa assignment yang perlu saya buat. Tugas besar yang menanti saya adalah untuk menyenaraikan syarikat ini di Bursa Malaysia pada 2010, di samping menggariskan beberapa isu seperti pemegangan saham, stock option scheme, dan pengambilalihan sebuah syarikat besar. Itu baru first task....Esok entah apa yang menanti.

Kepada bekas-bekas pelajar saya, kasih sayang yang kalian beri amat saya hargai. Di mana pun saya berada, saya tetap saya. Saya doakan kalian berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

Terimakasih kerana menghargai pemberian saya yang tidak seberapa. Semoga ilmu yang saya curahkan dengan sepenuh hati saya selama ini menjadi panduan untuk menghadapi hari esok yang pastinya lebih mencabar.

Buat Mohd Rizal Suratman, bekas supervisee saya yang boleh saya katakan seorang lelaki hebat, teruskan sikap mulia anda. Saya pasti anda akan berjaya menjadi pemimpin yang disegani satu hari nanti. Kesungguhan dan komitmen padu yang anda berikan jarang ditemui dalam diri anak-anak muda masa kini. Saya abadikan sms anda di sini…

A’kum Puan. Good luck in your new career life. I believe it’s impartial that we work for people that respect our opinion and contribution. You are a very strong, energetic and wisdom person, you inspired a lot of people. Really hope you can continue being an inspiration to people, in the new turf. Some people are born with greatness. But for me, what is greatness if you have yet to face defeat. You did it once, you rose from ashes, and you will do it again. Thank you Puan. You are truly an amazing person.

Teks di atas adalah teks asal yang saya salin. Saya ‘speechless’. Begitu sekali penghormatan yang saya dapat. Insyaallah saya akan bekerja keras untuk mencapai kejayaan.

Buat seseorang yang jauh di selatan tanahair, yang telah saya berikan harapan untuk bersama berjuang di sana mendidik anak bangsa, maafkan saya. Saya tidak mampu berfikir yang saya perlu hidup tanpa anak-anak saya di sana. Itu saja sebab kenapa saya terus di sini….