Thursday, March 31, 2011

Maafkan saya....

....susah payah kita
semai benih cinta
menempuh dugaan
akhirnya kau tinggalkan

sia-sialah ku bina istana cinta
ada insan lain
di hatimu...
bertakhta..........

* Sebuah lagu indah nyanyian kumpulan Umbrella yang saya dan Dading nikmati sewaktu kami makan tengahari di tepi tasik Shah Alam semalam.....

***********************************************************************

Kalaulah saya ditanya tentang impian, saya akan katakan yang saya mahu terbang tinggi ke awan. Membina istana berlampukan bintang-bintang berkerlipan. Bersuluhkan cahaya bulan di malam pekat dan bermandikan terik sinar mentari di waktu siang....

Kalaulah saya disoal tentang keinginan, saya akan katakan yang saya mahu berumah di tebing tinggi mengadap lautan luas. Belayar ke serata dunia melihat dan menikmati keindahan alam cipataan Tuhan yang Satu. Menghirup udara segar di musim bunga, menikmati kesejukan salji di musin dingin, mengutip daun-daun maple yang gugur di musim luruh dan bersantai di tepian pantai di musim panas di Mediterranean.....

Namun kehidupan ini adalah semata-mata atas kehendakNya. Telah ditetapkan di luh mahfuz segala yang bakal berlaku dalam hidup ini.

Kita melakukan banyak kesilapan di sepanjang kehidupan kita. Kita terlalai dan terlupa dengan indahnya dunia. Kita dikuasai nafsu yang mengikut bisikan iblis dan syaitan iaitu nafsu amarah. Selalunya kita ujub dan angkuh dengan keupayaan kita....Tetapi Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Dia izinkan hambaNya memohon keampunanNya dan akan terlepaslah hambaNya yang terpilih itu dari azab siksa dan hukuman Allah di hari akhirat nanti selepas diterima taubatnya. Subhanallah....

Di sepanjang perjalanan ini, pelbagai petunjuk telah Allah beri kepada kita kerana kasih dan sayangNya Dia kepada kita. Diri saya, terutamanya, amat sering terlalai dan terlupa dengan tanggungjawab saya sebagai seorang hamba.

Alhamdulillah, kasih sayangNya melimpah ruah. Dibukakan pintu hati saya untuk kembali melihat ke dalam diri dan menginsafi segala kesalahan lalu. Tanpa bantuan mereka yang berada di sekeliling saya, tidak mungkin saya berjaya melaksanakan tugasan yang amat berat ini.

Maafkan saya atas segala apa yang telah saya lakukan. Saya akui apa saja yang diperkatakan tentang diri saya. Saya terima dengan lapang dada dan saya redha dengan hukuman dunia yang sedang saya jalani.

Cukuplah penghinaan yang tidak putus-putus ditujukan kepada saya. Ianya amat menyakitkan. Saya perlukan ruang untuk saya menampal kembali apa-apa yang telah koyak dan bocor dalam kanvas kehidupan saya ini. Janganlah diruntuhkan istana kasih dan sayang yang telah disemai sekian lama....Saya tidak malu untuk merayu....

Saya yakin dengan janji Allah. Saya yakin akan berjaya mengharungi segala kesulitan dan kepayahan dengan jayanya dalam masa terdekat ini. Tuhan akan terus memberi saya kekuatan kerana itu permohonan saya. Sokongan dan bimbingan saja yang saya perlukan untuk terus ke depan; namun jika hanya hinaan dan cacian yang saya terima atas kesilapan yang telah saya perakui; saya tidak mungkin akan berjaya. Bahkan saya akan lebih mengecewakan ramai orang yang menyayangi saya....

Sekali lagi, maafkan saya....dengan sepenuh jiwa dan raga saya pohonkan. Allah akan memberi ganjaran yang amat besar kepada sesiapa jua yang memaafkan hambaNya yang lain.....Astaghfirullahil azim....

Tuesday, March 29, 2011

Doa...Subahanallah.

Saya dan Boss berdepan dengan situasi yang amat menekan baru-baru ini. Tidak terkira kesedihan dan kegundahan hati kami dalam menghadapinya. Tuhan saja yang tahu, kerana sesungguhnya kami tidak bersedia untuk berkongsi dengan sesiapa pun apa yang sedang kami lalui.

Setiap malam kami bangun menghadapkan wajah kami kepadaNya sambil menangis dan meratap mengharap belas kasihanNya agar Dia memperkenankan permintaan kami. Kami juga berpuasa sunat sambil tidak putus-putus berdoa dalam segala keadaan.

Saya mengusung 'counter' zikir ke mana-mana saya pergi untuk menghabiskan 4,444 kali selawat tafrijiyah/nariyah (seperti yang diajarkan oleh Ustaz Ali sewaktu di Mina), memohon agar dilepaskan kami dari kesusahan yang sedang kami alami.

Terus terang, otak kami yang dangkal tidak menjangka kami akan berjaya dalam usaha kami. Namun kami begitu pasti Allah akan memperkenankan doa kami. Kami begitu yakin bahawasanya Dia mendengar luahan hati kami. Segala yang berlaku adalah aturanNya, dan Dia sedang menguji kami.

Berapa banyak airmata yang gugur tidak mampu kami ceritakan. Ada ketikanya Boss akan memegang dada kirinya yang terasa menyucuk-nyucuk. Saya sendiri terasa tidak mampu menghadapi migrane dan urat tengkuk tegang bila terlalu tertekan.

Alhamdulillah....hari ini kami menerima berita gembira. Terungkai sudah simpulan keresahan kami. Tuhan itu Maha Pengasih dan Penyayang. Tiada yang mustahil bagiNya. Seandainya Dia kata Jadi, maka jadilah ia. Doa yang kami panjatkan dengan sepenuh hati kami diperkenankanNya.

"Mintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat...."

Friday, March 25, 2011

Koir Amal bahasa Isyarat di UiTM Shah Alam

Malam tadi saya dan Boss bawa Abo menyaksikan Koir Amal Bahasa Isyarat di UiTM Shah Alam. Penganjurnya adalah kelab pelajar Fakulti Sains Matermatik dan Komputer, yang mana Azie, kawan baik Denna (anak angkat saya), adalah salah seorang AJKnya.

Majlis dianjurkan untuk mengutip dana bagi membantu kanak-kanak bisu dan pekak dari Sek. Keb. Pendidikan Khas Selangor yang berusia antara 7-12 tahun. Alhamdulillah sambutan yang diberi amat menggalakkan.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku. Sekumpulan pelajar-pelajar UiTM menyanyikan lagu ini dalam bahasa isyarat di atas pentas, dan penonton berdiri dan menyanyikan bersama. Sebaknya saya hingga tidak sedar airmata mengalir di pipi. Terasa sungguh bertuah diri ini kerana diberikan nikmat mendengar dan bercakap; sambil dapat menikmati keindahan alunan muzik...sedangkan anak-anak yang bisu dan pekak ini langsung tidak dapat menikmatinya.

Persembahan selama dua jam itu memberi kesan kepada sekelian yang datang menonton. Abo belajar dari Azie bagaimana untuk mengatakan mama, papa, sayang, mimpi, tunggu, terimakasih, hai dan beberapa isyarat lain; dan tidak sudah-sudah menunjukkan kebolehannya kepada kami.

Sekalung tahniah buat anak-anak muda yang prihatin ini. Mudah-mudahan mereka diberi kemudahan dalam menjayakan misi mereka; dan berjaya dalam pelajaran mereka.

Saya pasti Abo juga merasa bersyukur kerana dia berupaya mendengar dan bercakap. Suram di wajahnya tatkala melihat mereka yang sebaya dengannya tapi 'very quiet' seperti yang dikomennya, akan membuat dia sentiasa mensyukuri nikmat yang Allah berikan padanya.

"Maka nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan?"

Tuesday, March 22, 2011

Bell's Palsy

Saya mendapat berita yang Prof MKI sedang mengalami penyakit Bell's Palsy. Sama seperti yang dialami oleh anak lelaki saya, Jimie, baru-baru ini.

Saya sempat berbual dengan beliau yang sedang 'sepatutnya berehat' di rumah. Kenyataannya beliau masih sibuk menyiapkan itu dan ini, dan jadual beliau masih padat. Kami sama-sama ketawa bila beliau katakan yang beliau tidak boleh berehat kerana saya menalipon beliau...

Saya doakan Prof MKI tabah menghadapi ujian Allah ini. Ianya kelihatan kecil di mata kita yang memandang, namun dari apa yang anak saya alami, ianya amat meresahkan.

Insyaallah Prof akan sembuh sepenuhnya tidak lama lagi dan terimakasih atas nasihat-nasihat yang diberikan kepada saya dalam perbualan singkat kami tadi.

Kata orang bijak pandai, bila kita menyayangi seseorang hanya kerana Allah, kita akan sentiasa menghargai orang yang kita sayang itu biar dalam keadaan apa pun. Alhamdulillah.

Sunday, March 20, 2011

Janganlah begitu...

Kenapa dia dihina sebegitu sekali? Hanya kerana dia susah, maka dia menyusahkan? Kenapa Allah jadikan dia susah sedangkan dia sepatutnya tidak susah?

Apakah tidak boleh manusia ini menghadapi kesusahan? Apakah hidup ini sentiasa perlu cerah, terang benderang tanpa mendung atau cahaya yang suram?

Adik beradik adalah orang yang terdekat dengan dia. Darah dan daging dikongsi bersama. Datang dari orang yang sama. Bila dia susah, dia kongsi kesusahannya sepertimana dia kongsi kesenangannya. Namun dia dihina sebegitu sekali.

Sudahlah tidak dibantu, dihina dan dicaci sebegitu sekali. Dijaja dan diusung cerita ke sana ke mari hinggakan si dia hilang harga diri. Sebegitu sekali dia ditelanjangi.

Oleh siapa? Adik beradik

Kerana apa? Dia susah. Dia miskin. Dia papa kedana.

Macammana boleh jadi begitu? Dia bodoh. Dia degil. Dia mengada-ngada.

Habis tu? Rasakan. Biar dia duduk tepi jalan mintak sedekah.

Siapa dia tu? Adik kami tu lah.

Sampai hati tengok dia macam tu? Dia memalukan. Dia miskin. Dia papa kedana. Dia tak de duit.

Kalau dia betul-betul duduk tepi jalan? Padan muka dia. Degil.

Tak malu pada orang keliling? Dia kan adik awak? Kami memang dah malu sangat dibuatnya..

Kenapa tak tolong dia? Awak dan awak dan awak kan kaya? Eh, kami usaha tau untuk dapat apa yang kami dapat ni.... Bukan senang-senang je mintak tolong orang. Dia kenalah usaha.

Tolonglah dia. Dia tengah susah. Waktu dia senang dia tak pernah tolong awak ke? Sebab tu lah kami malu dengan orang. Dia tu pandai. Tapi degil. Ikut kepala dia. Dahle menyusahkan orang sekarang ni.

Oh...tidaklah dia ni menyusahkan awak sejak dulu? Tak...sejak-sejak ni je dia memalukan kami. Miskin. Rumah pun nak kena lelong. Bawak kereta buruk ke sana ke mari. Macam peminta sedekah. Malu kami dibuatnya.

Bagilah pinjam kereta awak yang banyak tu? Tolong sikit.... usahalah sendiri. Jangan senang-senang nak ambik orang punya.

Dah tu....kata tadi awak malu sebab dia bawak kereta buruk? Awak malu sebab dia tak ada duit. Awak malu sebab dia macam peminta sedekah. Kenapa awak tak tanya dia kenapa sekarang ni dia susah? Kenapa awak tak bagi dia pinjam satu kereta awak yang dok parking bawah garaj tu? Kenapa awak tak bagi dia duit supaya dia boleh selesaikan mana-mana yang patut?

Eleh....dia yang cari susah! Nak menyusahkan orang pulak lagi.

Janganlah begitu. Awak kata tadi dia adik awak. Awak dan awak dan awak kan kaya raya. Duit menimbun. Bantulah dia.....

Tak kuasa.....


***********************

Apakah kisah di atas pernah terjadi? Tuhan uji manusia mengikut kemampuan. Apakah ujian hanya datang dalam bentuk kesusahan? Bukankah kekayaan juga satu ujian? Puaskah hati melihat darah daging sendiri dipandang hina hasil dari kisah yang kita sendiri jaja? Astaghfirullahilazim....Tika kaya, manusia disanjung. Tika miskin, hatta darah daging sendiri menghina sebegitu sekali. Apatah lagi orang lain..... Nauzubillah...

*Saya terdengar perbualan antara si polan dan si polan. Tiada kena mengena dengan diri saya atau ahli keluarga saya.....

Thursday, March 17, 2011

Merindu

Saya bersembang dengan Lan sambil makan tengahari. Bercerita tentang anak-anak dan diri kami sendiri.

Saya beritahu Lan betapa sesekali datang rasa rindu yang teramat pada anak-anak. Biarpun dekat, terasa kami berjauhan. Kami sama-sama ketawa besar ketika saya katakan, "Hai....camni rasanya bila jadi orang tua ye?"

Teringat kisah waktu saya masih muda. Anak kecil-kecil dan teramat sibuk dengan urusan pejabat. Boss pula sering 'out-station'. Namun, kami pastikan kami pulang ke Kelang setiap hari Jumaat, tidur di rumah mak Boss semalam, menghabiskan masa bersama mereka sepanjang Sabtu dan kemudiannyaa tidur di rumah mak saya dan menghabiskan hari Ahad bersama mereka sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur pada malam Isnin.

Rutin tersebut memang memenatkan. Namun, kami gembira bila melihat mak-mak ketawa besar menyambut kepulangan kami. Macam-macam makanan yang akan terhidang di atas meja. Kalau boleh, mak-mak kami akan masak segala yang ada dalam peti sejuk.

Selalunya juga, saya akan terima panggilan talipon dari Mak pada hari Selasa atau Rabu. Bertanyakan samada kami akan pulang atau tidak hujung minggu yang bakal menjelang. Menyatakan rindu seolah-olah sudah bertahun kami hilang dari pandangan...Selalu juga Mak bertanya begini, "Eh...nombor talipon rumah Mak ni dah tukar ke? Lama sungguh dah ko tak talipon...." Membuat saya terpinga-pinga kebingungan kerana saya memang selalunya menalipon Mak hampir setiap hari...

Bila Mak tiada lagi, saya kehilangan. Saya merindu suara di hujung talian yang menyatakan kerinduan kepada saya. Lama kelamaan saya terbiasa dengan keadaan itu.

Kini, Lala dan Jimie akan menerima 'statement' yang sama dari saya setiap kali saya menalipon mereka. Selalunya saya akan terasa cukup lama saya tidak bercakap dengan mereka, walhal baru semalamnya saya menalipon mereka.

Tersenyum sendiri saya ketika Lala bercerita begini:

"Akak tengah buat assignment masa Mama call akak semalam. Lepas cakap dengan Mama, akak tergelak. Kawan akak tanya kenapa akak gelak. Akak kata "Mama aku tanya aku balik ke tak sebab American Idol dah nak start..."

Begitulah hati seorang Mak. Mungkin kerana malu untuk meluahkan perasaan rindu, Mak akan mengalihkan tajuk perbualan kepada perkara lain.

Jika dulu saya dirindui Mak, bila Mak pergi, saya merinduinya. Kini saya merindu anak-anak saya....dan bila saya juga pergi nanti, harapnya mereka akan merindu saya....

Sunday, March 13, 2011

Saudara mara

Dua hari berturut-turut kami menghadiri kenduri kahwin. Biasalah, bila tiba musim cuti sekolah, kad jemputan kawin memenuhi kotak undangan.

Hari Sabtu, saya usung anak-anak saya ke majlis pernikahan anak saudara saya, Muaz, dengan Nisa di Gombak. Menyaksikan sendiri bagaimana sebaknya ayah Nisa ketika melafazkan akad "aku nikahkan akan dikau dengan............". Suaranya yang tenang bertukar menjadi sebak dan airmata seorang ayah gugur akhirnya.... Anak gadis kesayangan yang ditatang sejak dalam kandungan kini telah menjadi milik Muaz. Di belakang, saya saksikan pula Nisa memeluk erat ibunya sambil si ibu teresak-esak menangis. Saya bayangkan saya berada dalam situasi itu....ahhhh....! Lagi dramatik agaknya...

Semalam kami balik kampung. Anak-anak asyik ketawa mendengar Boss tiba-tiba berubah menjadi 'orang kampung' tatkala melihat durian yang dijual di tepi-tepi jalan sebaik kami memasuki Jalan Muar... "Eh, derian! Nanti kita singgah makan nak?". "Dah sampai Bukit Kangko"....Durian menjadi derian, Kangkar menjadi kangko....dan banyaklah lagi slang kampung yang jarang didengar tiba-tiba menjadi irama kepada tatabahasa Boss...

Majlis perkahwinan antara Nazri, sepupu Boss dengan isterinya (saya lupa nama si cantik itu) menjadi medan pertemuan saudara-mara yang berada di seluruh pelusuk tanahair.

Mendengar cerita kejadian yang berlaku pada malam sebelumnya mengundang pelbagai persoalan di kepala. Bagaimana nasi yang baru ditanak basi serta-merta, kelibat manusia berlari-lari di sekeliling khemah, si anu dan si anu bersilat dan berguling di atas tanah berlawan tanpa sesiapa, burung besar terbang rendah mengelilingi khemah memasak sambil mengeluarkan suara yang menggerunkan dan pelbagai lagi....

Itulah secubit kisah masyarakat kampung yang masih berpegang kepada pegangan lama yang bertentangan dengan ajaran Islam. Kenapa perlu berdengki khianat sedangkan tukang masak kesemuanya adalah anak-beranak yang mahu mencuba kepakaran setelah bertahun-tahun menimba ilmu memasak di perantauan.

Alhamdulillah. Berkat doa dan zikir yang tidak putus, hasilnya amat memuaskan hati. Tiada masalah masakan basi atau tetamu sakit perut selepas memakan lauk pauk yang dimasak... Sesekali terfikir, amat tidak masuk akal. Namun, hakikatnya, ramai lagi yang masih hidup berkawan dengan syaitan.....hanya untuk menunjukkan kekuasaan dan kebesaran sendiri....hingga lupa bahawasanya hanya Allah yang Maha berkuasa dan Maha Besar....

Astaghfirullahil azim...

Sunday, March 6, 2011

Jejak Kasih

Selesai pembentangan kertas kerja di sebuah kementerian di Putrajaya, saya bergegas untuk bertemu dan makan tengahari dengan rakan sekelas dan sebilik sewaktu di universiti dulu. Namanya Norly.

Saya menanti Norly di depan Masjid Putra yang tersergam indah. Norly bertugas di Jabatan Perdana Menteri. Kami amat gembira dapat peluang bertemu kembali selepas sekian lama terpisah.

Norly masih lagi seorang yang sentiasa merendah diri, biarpun kedudukannya dalam kerajaan amatlah tinggi. Saya teruja mendengar ceritanya....sebulan sekali bermesyuarat dengan PM...dan macam-macamlah lagi.

Norly teruja mendengar kisah perjalanan haji saya. Beliau terlalu ingin untuk cepat ke sana, namun ada beberapa sebab yang membuatkan beliau terpaksa menunggu setahun dua lagi. Saya tersenyum ketika Norly berkata, "Su, isteri kawan kita, Prof Kamil hari-hari doakan supaya Allah bukakan hati suami dia untuk pergi haji kan?" Mudah-mudahan Allah mudahkan urusan Norly untuk menunaikan haji secepat mungkin.

Norly juga teruja mendengar kisah anak-anak saya. "Tak lama lagi ko mesti dapat menantu kan Su?" Hahahaha...kalaulah anak saya dengar, pasti mereka juga ketawa besar....

Bagi Norly, saya sentiasa mendahului kawan-kawan...kawin awal, dapat anak awal...dan dalam pada anak kawan-kawan masih di sekolah menengah, anak saya sudah mendapat diploma dari universiti.

Insyaallah jika ada rezeki dan jodoh anak saya sampai cepat, saya akan terima menantu pula tidak lama lagi...hihihi...Saya rasa kelakar sambil tersenyum sendirian tatkala memandu pulang ke pejabat....bermenantu dan bercucu? Alamak....

Saya doakan Norly berjaya dalam kerjayanya. Rasanya setahun dua lagi beliau akan mendapat anugerah Datuk dan mengepalai sebuah kementerian.

Bila terkenang masa lalu....saya terharu. Norly murah dengan ketawa. Ayat skema Norly...."Ala....aku langsung tak tau macammana nak buat soalan ni...Aku tiru ko punya boleh?"

Antara saya, Norly, Ruziah dan Nora...rasanya Norly paling berjaya dari segi kerjaya kini. Tahniah Norly...aku tabik spring kat ko....

Yang paling menarik...Norly masih lagi keluarkan ayat skema sewaktu kami makan tadi...."ala...aku ni bukan pandai Su...Nasib aku je baik....". Saya tersenyum.

Friday, March 4, 2011

Janganlah marah...

Keadaan yang sempit membuat kita tersepit. Bila tersepit, kita rasa sesak nafas dan payah nak bernafas. Bila payah nak bernafas, kita rasa lemas dan tak keruan. Akhirnya, kepala jadi panas dan hilang pertimbangan.

Makanya, kita jadi marah dan marah. Kita benci dengan semua yang ada di sekeliling kita. Mungkin juga kita benci dengan diri kita.

Kadang-kadang kita tak faham apa yang orang sampaikan. Kadang-kadang orang tak faham apa yang kita katakan. Jadi kita hilang arah bila kita tau kebenaran, dan selalunya kebenaran itu kita ketahui selepas hari kejadian...

Lalu, marahlah kita dengan apa yang terjadi. Kita tarik muka masam, kita jeling siapapun yang lalu atau berada di sebelah. Kita diamkan diri dengan muncung sedepa dan macam-macamlah lagi...

Apa agaknya perasaan si dia di sebelah? Adakah dia juga marah seperti kita, atau takut, atau benci, atau meluat????

Janganlah marah..... Kesian pada dia. Bertungkus lumus dia berusaha menggembirakan kita. Dia hanya fikirkan kesenangan kita saja. Dia langsung tidak pernah pedulikan diri dia. Bagi dia, kita adalah segala-galanya...

Cuba nilai balik siapa dia dan siapa kita. Tenung wajah dia dalam-dalam waktu dia sedang merenung jauh ke depan, sambil menahan sebak di dada dan airmata yang bertakung di mata... Dia diam bukan bererti dia setuju. Dia diam kerana dia mahu menjauhi sengketa. Dia sayangkan kita....terlalu sayang hingga dia telan bulat-bulat segala apa yang kita tabur kat dia.....

Jangan marah ye Yang? Kesian dia....

Wednesday, March 2, 2011

Bertuah badan...

Dia nak balik. Asalnya nak naik keretapi.

Lepas tu saya diberitahu yang dia akan balik awal seminggu. Naik kapalterbang.

Aii???? Mana dapat duit?

Rupanya ada Uncle belikan.

Saya cerita kat Boss. Boss bagi kenyataan, "Hai...bertuah badan. Ada orang sayang."

Saya sedihlah. "Ada orang nakkan dia..."

Jawab Boss, "rezeki jangan ditolak. Alhamdulillah. Tuhan bagi rezeki dalam pelbagai bentuk..."

Hehehehe....Kami sama-sama tertawa.

Kami redha dengan apa jua pun kehendakNya.