Sunday, August 30, 2015

Chennai

Saya akui saya merindu hari-hari yang saya lalui di sana. Saya rindukan suasana hingar bingar kota yang tidak pernah sunyi dari segala macam bunyi terutamanya hon kereta.

Saya juga rindukan makanan di sana. Briyani kambing, rassam, idli, tosey, capati, idiyapom. Saya rindu juga mango lassi dan air markisa.

Saya rindukan kawan-kawan semasa di sana. Dr Shan, Mr Anba, Thiaga, Zuliana, Farkhan, Uma. Belum lagi Iyappan, Burkhan, Musthafa, Harris dan Mansoor. Juga ramai kawan-kawan lain.

Saya rindukan bilik pejabat saya di Ali Tower, Mount Road. Kedai makan arab di depan pejabat, outlet Amway di bangunan sebelah, Spencer Plaza di hujung jalan. Saya rindu mahu habiskan masa membaca buku di Landmark, bershopping di kedai si Muskan.

Berjalan mencari produk Himalaya yang cukup murah di kawasan T.Nagar, sambil mencuci mata dengan sari yang cantik-cantik di gedung-gedung besar di situ, lalu singgah makan nasi lemak ayam telor mata dengan sirap limau di Pelita.

Paling saya rindukan, rumah yang kami diami di Chetpet. Rumah banglo 3 bilik itu penuh kenangan. Ada KaKa, Krishna di dalamnya. Laluan ke rumah itu redup dan nyaman, seolah bukan berada di Chennai.

Saya rindukan Pak Hassan, Madam Zarina dan rumah agam mereka. Juga Sujith sahabat baik saya di Bangalore yang begitu memahami.

Saya keseorangan di sini. Merindu masa yang telah jauh meninggalkan saya. Waktu sendirian di sana, saya merindu Malaysia yang tercinta dan segala yang ada di dalamnya.

Kenapa ia bukan lagi satu nama yang membanggakan? Oh...


Thursday, August 27, 2015

Haji 2010 KT 24

Haji 2010 KT 24

Tiap kali musim Haji tiba, tergambar jelas di ruang mata kisah Haji kami di tahun 2010.

Gambar ini diambil pada pukul 3 pagi. Kami baru sampai di Mekah selepas lebih 8 jam dari Madinah dengan bas. Masih jelas terbayang perjalanan yang kami lalui. Berhenti makan Nasi Arab di R&R dan mendapat pelbagai bekalan berupa makanan, minuman dan kitab dari pihak kerajaan Saudi dan syarikat korporat yang berebut mahu mendapat kebaikan dengan bersedekah kepada jemaah haji. Seingat saya, tarikhnya 24/10/10 dan hawa sejuk terasa menusuk hingga ke tulang.

Sampai di Hotel Abeer yang berdiri megah di belakang jam besar yang sedang dibina, (kini sudah tiada), kami letakkan bag dan terus menuju ke MasjidilHaram untuk menunaikan umrah. Agak sukar mulanya maklum pertama kali menolak Abang Nasir di atas kerusi roda. 

Kami diarahkan tawaf di tingkat atas. (Mataf belum dibina waktu tu). Dalam sendu, esak dan tangis, kami cukupkan 7 pusingan tawaf. Elok pula Kak We terlupa samada dah cukup 7 pusingan atau baru 6. Maka berpusing lah lagi sekali. Satu kali pusingan lebih kurang 800 meter x 7 = 5.6 kilometer. Pergh!!! 

Kami sambung dengan saie sebaik selesai mengerjakan solat sunat 2 rakaat selepas tawaf. Biarpun tumit terasa bagai mahu tanggal, semangat untuk menyiapkan secepat mungkin amat tinggi. Usai kami bertahallul, azan suboh berkumandang.

Haji adalah perjalanan paling bermakna dalam hidup seorang insan yang mengakui Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. 

Masih jelas terbayang di kelopak mata setiap langkah yang diambil dan tempat-tempat yang dijejaki di sepanjang kembara menyucikan jiwa selama 46 hari itu.

Tidak banyak yang dapat dirakam dalam bentuk visual. Saya pasti Allah mahu saya kenang momen itu sendiri tanpa perlu dikongsi dengan orang lain.

Semoga ada kesempatan dan jemputan untuk kami ke sana lagi, dan lagi. 
Amin.


Saturday, August 22, 2015

Kucing jadi saksi

Kami sekeluarga sayang kucing. Bukan la gila sangat dengan kucing. Sayang saja kerana ia binatang kesayangan Rasulullah (selawat ke atasnya), matanya redup minta dikasihani, manja dan keletah.

Lebih 5 tahun lalu, Lala dihadiahkan seekor anak kucing kacukan oleh kawannya. Sebelum itu kami banyak bela kucing terbiar. Lepas dah habis satu persatu, saya katakan, "tiada lagi kucing!"

Tetapi si kecik HoHo amat manja dan menarik hati kami. Darinya, berpuluh ekor anak dilahirkan dan ada yang hidup, hilang, mati dan dijadikan "anak angkat". Jumlah yang tinggal di rumah sekarang ada 9 - HoHo, Baby, Neymar, Capok, Tompok, Kuning, Alex, Logan dan Lofa - hanya Baby dan Alex bukan keturunan HoHo. Mereka kami jumpa di jalanan. Kesian punya hal, kami bela hingga kini.

Baru-baru ni kami kehilangan seekor, Milo, yang mati dilanggar kereta. Habis serumah menangis. Begitu lah kami. 

Makanan kucing tidak murah. Begitu juga pasir untuk najisnya. Tugas membersihkan najis setiap pagi amat menyulitkan untuk saya. Namun, saya lakukan juga demi kebersihan dan pesekitaran yang nyaman.

Pagi tadi, sedang saya asyik membersihkan rumah-rumah banglo si bulu-bulu ini, jiran saya, Makcik A, keluar ke laman. Makcik A ni jarang bergaul dengan kami. Atau lebih mudah kalau saya katakan Makcik A ni tidak suka apa pun yang "meriah". Kehidupannya hanya berdua dengan suaminya. Tiada anak, cucu mahupun si bulu-bulu yang mendiami rumah mereka yang indah tersergam. Ia pastinya berlawanan dengan rumah kami yang sentiasa riuh dengan anak-anak, anak saudara, adik beradik dan pastinya si bulu-bulu.

Agaknya Makcik A marah kerana saya bersihkan banglo bulu-bulu, sebelum dia tutup pintu, sempat dia menjerit dengan ayat menyumpah ke arah saya tetapi tidak berapa jelas bunyinya. Saya tergamam. Saya toleh ke kiri dan ke kanan, tiada siapa berada di laman rumah atau jalan, hanya saya. Maknanya memang benar jeritan itu khas buat saya. 

Di saat itu saya berdoa semoga Allah terima kebaikan yang saya lakukan terhadap kucing-kucing itu sebagai satu asbab untuk saya masuk ke syurga firdaus, dan kucing-kucing itu menjadi saksi kepada ayat-ayat kasar yang dilemparkan kepada saya oleh Makcik A. Saya tetap hormat dia sebagai orang yang lebih tua biarpun ada saja jalan yang dia ambil untuk memusuhi kami. Allah saja yang tahu kenapa ia berlaku.

Kepada Allah tempat saya mengadu dan meminta pertolongan.

Thursday, August 20, 2015

Hanya Jauhari Mengenal Manikam

Boss besar saya, Haji Naharuddin Mohd Zain amat meminati keindahan batu permata. Pada tahun 1995, beliau memulakan perniagaan barangan kemas di Klang. Melalui perniagaan itu, beliau tekun mendalami ilmu gemologi sehingga ke HongKong dan melalui pembacaannya dari buku-buku yang tidak terhitung bilangannya.

Apabila perniagaan yang dijalankan berkecai di tengah jalan akibat kemelesetan ekonomi pada tahun 1997, Boss kehilangan punca. Stok yang banyak terpaksa digadai/dilebur bagi mendapatkan tunai untuk meneruskan kehidupan kami sekeluarga.

Sejak itu, Boss menjalankan pelbagai jenis perniagaan lain. Jual mainan, kraftangan, bunga, baju, tudung, kosmetik dan macam-macam lagi. Namun, minat dan kesungguhan dalam batu permata tidak pernah diketepikan, bertepatan dengan minatnya mengembara ke serata pelusuk dunia.
Andai berjalan ke mana pun, lampu suluh kecil, teropong dan tweezer sentiasa berada dalam poket beliau. Pantang nampak batu, beliau akan berhenti dan meneliti batu yang menarik perhatiannya hingga berjam-jam lamanya. Selalunya, beliau pasti membeli untuk dibawa balik. Matanya yang sensitif dengan warna, kualiti dan corak batu juga membolehkan beliau mengumpul baru bercorak unik yang jarang didapati.

Sejak tahun 2006, Boss membuka kedai yang diberi nama KrafDuniaDesign di Kompleks PKNS Shah Alam. Batu-batu permata adalah sebahagian dari produk yang dijualnya. Selain mengambil tempahan barangan kemas seperti cincin, gelang dan rantai mengikut desain kesukaan pelanggan, Boss juga menjadikan batu permata sebagai satu hasil seni. Ukiran di setiap barang kemas yang terhasil sentiasa berasaskan senihalus Melayu yang cukup halus dan berseni. Boss rajin (sekali sekala) menulis di blog nya yang sudah bersawang, www.towkeyemas.blogspot.com tentang batu-batu permata ini yang menjadi rujukan penggemar batu.

Alhamdulillah. Minat Boss sekian lama mendapat perhatian media massa bilamana beliau diintai oleh wartawan Harian Metro dan disiarkan hari ini 21/8/15 edisi nasional.

Semoga usaha Boss yang berterusan tanpa jemu mendapat keredhaan Allah.

---------
Permata untuk semua.

www.kedaibatuco.com


Monday, August 17, 2015

New Venture

Selain dari menulis dan mengusahakan KedaiBatu&Co, saya telah mulakan satu lagi usaha iaitu bidang kecantikan dan kesihatan. Bersama 4 wanita hebat yang telah berjaya dalam bidang masing-masing, kami beranikan diri menceburi bidang yang kami gemari ini.

Produk yang kami tawarkan amat bernilai. Diformulasikan di India, ia diperbuat dari mineral asli dan campuran herba terpilih. Aspirasi pemilik syarikat adalah untuk melahirkan ramai jutawan wanita dalam masa terdekat melalui Multi Level Marketing.

Kami berempat berada di kumpulan pertama. Ia perlukan usaha keras dan kesabaran yang tinggi serta kekuatan hati yang tiada bandingan untuk kami berjaya.

Doakan kejayaan kami.

Andai ada yang mahu tahu lebih lanjut, sila hubungi saya.


Sunday, August 16, 2015

7 Rahsia Kekal Bercinta

Ramai rakan bertanya bagaimana kami kekalkan percintaan kami hingga ke usia emas. 

Kami bercinta sejak di kampus. Namun kami bukan pasangan sejoli yang asyik ke hulu ke hilir bersama. Selalunya kami akan keluar beramai-ramai "seplatun", walaupun selepas kami diikat dengan tali pertunangan.

Berbalik kepada tajuk artikel ini, kenapa hanya 7 sahaja?

Kata Guru saya, ikut suka lah kan?

Okaylah. Mari kita senaraikan. Jika ada yang mahu tahu selebihnya, kita bincang di lain waktu. 😊😊

1. Hormati privasi si dia
- Kita dan dia adalah dua makhluk berbeza. Kita bukan satu. Ada yang dia tidak mahu kongsi dengan kita, begitu juga sebaliknya. Biarkan dia dengan handphonenya. Kita pun tak suka chatting gila kita dengan kawan sekolah dibaca oleh orang lain kan?

2. Hargai dirinya dan mereka yang dia sayang
- Pasangan kita adalah anugerah terindah dalam kehidupan kita. Hargai dia setiap masa. Sebaris kata simbolik cinta di status facebook juga sebuah penghargaan, apatah lagi bila menerima sejambak bunga atau "surprise birthday bash" di hotel ternama. Sayangi dan hormati mereka yang menjadi kesayangannya.

3. Hide-out berdua
- Kami berdua punya sebuah tempat yang kami jadikan annual hide-out. Just the two of us. Selalunya kami nikmati "candle light dinner", mendaki gunung, menjelajah gua, merenung wajah masing-masing sambil throwback insiden-insiden indah yang pernah berlaku dalam hidup. Hmmm.... Terasa seperti mahu bergondola di Venice dan berbasikal di Pulau Nami.

4. Terus bercinta
- Pasangan bercinta sentiasa mahu bersama. Tidak mampu berpisah biar sesaat. Saling merindu, dapat dengar suara pun jadi lah. Pasangan kita bukan mak ayah, anak, Bos mahupun kakitangan kita. Siapapun tidak mahu diarah dan dipersoal.  

5. Letakkan dia di kedudukan pertama
- Kita di kedudukan kedua. Beri laluan kepadanya dalam apa jua keadaan. Dia lah hero dalam filem kehidupan arahan dan lakonan kita berdua. Tidak mengapa, kerana kita adalah heroinnya.

6. Makan bersama
- Sukar? Cari jalan untuk menjadikan ianya satu rutin. Mungkin bukan makan tengahari kerana pejabat tidak sama. Juga bukan makan malam kerana masing-masing diet. Kenapa tidak sarapan pagi. Kita akan terasa amat kehilangan jika kita sarapan sendiri. Percayalah!

7. Yakinlah pada kesetiaannya
- Ini yang paling sukar. Ramai dari kita suka bermain dengan emosi. Apatah lagi jika ada kisah silam. Payah sebenarnya mahu menyintainya sepenuh hati andai ada sangsi.

Cukup dulu. Andai mahu tahu lebih lanjut, saya tulis lagi naaa.. 

Life is too short. Make it nice and simple. Don't complicate things.

------
Permata untuk semua.

www.kedaibatuco.com

Fb pages: 
- KedaiBatu&Co
- Amani Health & Beauty
- HANA Food Products
- KrafDunia Design


Saturday, August 15, 2015

Melompat lebih tinggi

Pengalaman berniaga di gerai promosi Ramadhan yang baru berlalu memberi kekuatan hati yang tidak ternilai. Pelbagai ragam manusia saya temui. Subhanallah. Dalam pada orang lain rasa tertekan dengan suasana ekonomi yang suram dan malap, saya cukup yakin dengan kemampuan kami untuk berkembang.

Kita hanya perlu jaga gelanggang sendiri. Usah pedulikan gelanggang orang lain, kerana rentak tari dan tinggi rendah tanah kita berbeza. Malah lenggok tangan dan lebar senyuman kita juga tidak sama. Hati tenang, fikiran tenteram. 

Fokus. 

Fokus. 

Fokus.

Apabila hati sudah tetap, kejarlah impian yang telah dilukis.  

Terus berlari dan melompat lebih tinggi.

------

Permata untuk semua.