Thursday, May 10, 2012

Anak membawa rezeki...

Pagi tadi, Abo sempat baca suratkhabar dalam kereta. Nak tergelak pun ada, nak memuji pun ada, rasa nak mencubit pun ada.... Katanya, "Ma, Pa.... paper ni tulis "Anak membawa rezeki". Saya dan Boss tergelak. Teringat lepas Maghrib semalam Abo kena marah cukup-cukup sebab dia habiskan color water, satu kotak, dengan mewarna lantai dan almari dalam bilik saya. "Memang anak membawa rezeki. Tapi janganlah dah dapat rezeki tu pegi buang-buang pulak. Dengan izin Allah kita dapat rezeki, pegi kedai Maria beli water colour RM5, baru sekali guna, Abo dah habiskan warna-warna lantai bilik Mama. Kalau Allah tak nak bagi rezeki lagi, pada siapa lagi kita nak mintak? Nak buang-buang lagi tak rezeki yang Allah bagi?" Senyap. Langsung tiada jawapan. Abo kehilangan suara. Di saat ini saya terkenang keadaan sewaktu saya mengandungkan Abo. Di usia 39 tahun, bila Doktor mengesahkan saya mengandung, terasa dunia berputar. Pelbagai rasa menyelubungi saya. Gembira, takut, segan, bangga, sedih.... semua ada. Allah takdirkan saya melalui tempoh 9 bulan yang cukup mudah. Tiada alah, tiada sakit, tiada mengidam. Saya jadi orang yang sangat gembira tatkala mengandung. Ada juga ketikanya kami ketawa tatkala ditanya oleh jururawat, "Ini anak dari suami yang sama ke?" Bak kata Boss, rasa macam nak cepuk je.... Maklum saja, tahun terakhir bersalin adalah sepuluh tahun sebelum itu.... Ditakdirkan saya juga melahirkan Abo dengan cukup mudah. Cuma saya ada masalah ketika itu... Saya lupa rasa kontraksi! Sedikit kekejangan di perut pun saya ingatkan sudah tiba waktu bersalin.... Akhirnya doktor menahan saya semalaman hanya untuk memastikan yang waktu bersalin sebenar sudah tiba... Rasa sakit mahu bersalin tidak sampai sejam.... Pukul 600 petang saya dimasukkan ke bilik bersalin, setengah jam kemudian Abo lahir dengan wajahnya yang cukup comel. Putih bersih.... hingga kini.
Abo tidak selasak abang-abangnya. Juga tidak senakal mereka berdua. Tidak seceloteh kakaknya. Namun perkataan yang keluar dari mulutnya banyak meniru orang dewasa. Mungkin kerana persekitaran di rumah dan di sekolah. Berani, manja, tutur katanya bersopan dan degilnya tidak seberapa. Lahirnya Abo membawa rezeki yang tidak terkira buat kami. Bukan dari materi semata-mata. Saya lebih merasakan dari segi kembali ke jalan Allah. Naufal Arif namanya yang bermaksud dermawan yang bijak. Abo jarang pentingkan diri. Penampilannya sering membuat abang-abangnya naik angin.... baju yang dipilihnya asal boleh dipakai. Dia tidak pernah kisah tentang baju cantik atau warna kesukaan. Asal muat.... Kadang tu baju biru dipadankan dengan seluar merah. Selagi seliparnya tidak putus, itulah yang dilanyak....tidak dia peduli selipar angry bird ke, tom and jerry ke....asalkan boleh pakai... Jiwanya sensitif, cepat tersentuh bila melihat peminta sedekah atau sesiapa jua yang meminta... Sanggup dia berlapar sampai menangis, hanya kerana kawannya mahukan makanan yang dibawanya....
Kami sama-sama menumpang rezekinya.......Syukur Ya Allah.... Semoga dia membesar sebagai insan yang bertaqwa dan ditempatkan bersama hamba2Nya yang soleh......

Monday, May 7, 2012

Kisah benar

Sudah lama berdiam membuat saya hilang idea untuk menulis. Kesibukan di pejabat dengan mesyuarat demi mensyuarat mengambil sebahagian besar dari masa yang Allah beri kepada saya selama 24 jam sehari. Saya juga menghabiskan banyak masa memandu ke sana ke mari untuk bertemu dengan pelbagai golongan manusia atas nama kerja. Sampai di rumah di setiap penghujung hari, saya umpama pohon yang layu...terkulai tidak bermaya di sofa. Baru ingin melelapkan mata kadangkala, jari-jari halus milik si kecil Abdul Rahman dan Abo menggamit rasa ingin bermain dengan mereka. Siapkan homework, main games, bawa berjalan, makan burger, minta dimandikan, minta disuap..... Ditambah pula dengan cerita Abey yang baru memulakan kehidupan sebagai pelajar universiti, kisahnya di kolam renang sebagai jurulatih baru, pengalamannya di kedai burger.... Sesekali Lala akan sama naik dengan adik-adiknya berkisah tentang renangnya, tentang kelasnya, tentang kawan-kawannya.... Jika Jimie ada, saya persembahkan pula telinga saya mendengar cerita tentang motor dan fotografinya.... Lima anak, berbeza hobi dan kesukaan. Berbeza tingkah laku, berbeza pendekatan.... Alhamdulillah, Tuhan masih mengurniakan kudrat untuk saya bersama mereka meniti kematangan usia.... Semoga ia terus begini... Dua hari lepas, sedang asyik mengaminkan doa Imam selepas Maghrib, saya didatangi seorang wanita muda yang masih terserlah kejelitaannya. Saya amati wajah yang pernah saya kenali.... Oh rupanya si polan tu..... Bersamanya dua gadis kecil yang seiras wajah ayah mereka. Saya tahu apa yang berlaku dalam kehidupan wanita tadi. Namun cerita yang saya dengar hanya melalui 'bekas'nya sahaja. Saya tidak berapa mengenalinya, namun saya seolah tidak percaya biar sezarahpun apa yang diwar-warkan tentang wanita ini. Sewaktu kami bersalaman, hati saya berkata "Ada sebab kenapa Allah temukan aku dengan dia di rumahNya hari ini." Masakan tidak, dia tidak tinggal di Shah ALam, namun dia bersolat Maghrib di Masjid Negeri bersama dua anak kecil.... Kami bertanya khabar, dan tidak sampai sepuluh minit kemudian, saya berkongsi dukanya. Astaghfirullah.... dua tahum lamanya kami hidup dengan cerita bahawa dia seorang isteri curang, ibu kejam dan macam-macam. Rupanya, ia dusta dan fitnah semata-mata. Saya halusi sms-sms yang saya baca di dalam taliponnya; antara dia dan 'bekas'nya.... Mudahnya manusia membuat dosa.... Dia wanita teraniaya. Namun kini dia berhati waja. Wajahnya cekal menunjukkan dia hanya berserah kepada Yang Maha Kuasa. Hatinya hancur dan kepercayaannya kepada seorang yang bernama suami lebur ditelan tingkah suami yang nampaknya beragama, berpendidikan tinggi dan berkerjaya hebat... Saban hari si isteri disogok dengan kata-kata yang dia bodoh, kepalanya di lutut, keturunan si isteri yakni jawa, amat hina dan buruk di pandangan keluarganya....bahkan kepala si isteri sentiasa ditunjal-tunjal setiap kali sang suami naik darah.... Allah hu Akbar... sabarnya dia sebagai manusia. Katanya lagi, dia sendiri hairan dari mana datangnya kekuatan dirinya untuk keluar dari rumahtangga yang dibina berbelas tahun. Selama ini dia sendiri menganggap dirinya bodoh dan hina. Baginya apa yang dikatakan oleh suaminya tentang dirinya benar belaka... Namun saya sendiri menangis tatkala diberitahu setahun lamanya dia dipisahkan langsung dari anak-anaknya.... Saban malam dia bangun bermunajat memohon Allah bukakan hati 'bekas'nya untuk membenarkan dia bersama anak-anaknya lagi... Syukurlah katanya, sejak beberapa bulan lalu, dia dapat bersama anak-anaknya di hujung minggu dan cuti sekolah. Terngiang-ngiang di telinga saya bila anaknya yang kecil merengek dan merayu sambil menangis supaya dibenarkan bermalam lagi di rumah Ibu....katanya "nak tidur dengan Ibu lagi...". Luluh hati saya.... Kenapalah? Jika dihalusi kisah benar ini, saya pasti ia adalah sesuatu yang biasa berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Habis manis sepah dibuang.... Wajah ayu yang dulu dipuja kini umpama pontianak yang dihina-hina. Bayangkan berapa ramai yang percaya fitnah yang dibawanya? Hingga hampir kesemua yang mendengar menuduh seorang perempuan suci itu dan ini.... Saya percaya, tulisan ini akan memberi serba sedikit gambaran kepada pembaca....jika ada yang terkena di sana sini, harapnya kita melihat kembali ke dalam diri dan buangkan kenyataan yang diperkatakan jika kita tidak mendengar dari kedua belah pihak... sebuah drama tidak dilakunkan hanya oleh satu watak... ada hero, tenti ada heroinnya. Dan tentu ada orang jahatnya.... Semoga kehidupan kita sentiasa dalam peliharaan Allah selalu.