Tuesday, June 28, 2011

Apa yang ada hanyalah kehidupan....

Saya dipertemukan dengan seseorang. Kami bersembang tentang banyak perkara…dan tanpa sedar airmata saya menitis. Saya sebak mengenang apa yang sedang berlaku… Apapun, biarlah ia berlalu pergi begitu saja. Saya pasrah jika itu ketentuanNya. Sudah ditakdirkan begini ia harus terjadi….

Saya sibukkan diri dengan tugasan di pejabat yang tiada akhirnya. Berat sungguh tanggungjawab yang terbeban di atas bahu saya. Bukan sedikit kepercayaan yang diberikan oleh mereka yang berkuasa ke atas saya dan pasukan saya. Mudah-mudahan Allah mudahkan usaha kami.

Saya gembira dapat bersama-sama beberapa rakan memajukan usaha mereka. Saya berdoa Allah memberi kemudahan kepada mereka. Jangan sangsi …. “Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki.” Saya berdoa mereka yang berkenaan dapat menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan jayanya. Terbayang betapa gembira agaknya HY yang telah berpuluh tahun tidak saya temui….tetapi atas usaha beliau menghubungi saya, dan bersembang kisah dulu dan kini….saya tidak mampu melupakan beliau tatkala saya memilih mereka yang layak. Allah mudahkan…. Buat A2W dan AA, semoga kolaborasi ini memberi kesan dalam kehidupan kalian. Kepada MRS, walaupun yang diperuntukkan hanya sedikit, mudah-mudahan ia akan memberi ruang dan peluang yang lebih besar di depan.

Saya juga berdebar menanti beberapa hari yang mendatang. Saya akan bertemu dengan peneraju bidang pemborongan di negara ini bagi membekalkan satu produk yang datang dari Dubai. Saya berdoa siang dan malam agar usaha saya mendatangkan hasil lumayan. Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Saya mengharapkan keredhaanNya

Alhamdulillah. Kesibukan saya kini menghilangkan terlalu banyak kedukaan di hati. Saya mengharapkan Dia untuk membantu saya dalam apa jua yang saya usahakan. Saya pasti kejayaan menanti saya di dunia dan akhirat. Biarlah hati saya yang terluka ini terubat dengan sendiri. Mungkin ia lebih baik begini…….
**********************************************************************

Bukan Kerna Nama - Ramli Sarip

Jangan kau pandang bibir yang manis
Kerana dia bisa menghancurkan
Jangan kau pandang wajah yang indah
Kerana dia bisa meracunmu

(chorus)
Dengarlah hai teman
Dengarkan bersama
Aku menulis bukan kerna nama
Kerna sifat kasih
Pada sesama insan
Dan menyatakan kasih sayangmu
Kita sama semuanya sama
Apa yang ada hanyalah kehidupan

Jangan kau dengar puisi dusta
Kerana dia bisa merosakkan jiwamu
Dengarkanlah puisi di pusaka
Yang telah turun temurun hari ini

Jangan kau alas hatimu itu
Dengan secebis warna kehitaman
Dialah seperti anai-anai
Lambat laun hancurlah dirimu

Wednesday, June 22, 2011

Berkat doa...

Saya berdepan dengan situasi yang agak mengelirukan pagi tadi. Jantung saya berdebar-debar tidak keruan.

Sampai di pejabat, PA saya memaklumkan beberapa perkara yang menambahkan gusar di hati ini. Saya masuk ke dalam bilik dan berdoa. Tanpa henti. Apa yang saya pinta? Kekuatan hati. Saya pinta semoga ALlah berikan kekuatan kepada saya dalam menghadapi apa jua gangguan dari syaitan dan manusia dan ALlah mudahkan urusan saya.

Tanpa malu dan segan, saya pinta beberapa kakaitangan yang berada di dalam pejabat untuk mendirikan sunat 2 rakaat sambil bermohon agar Allah memberi kemudahan kepada saya dalam menghadapi situasi ini.

Tepat pada masa yang ditetapkan, sesorang melangkah masuk ke dalam pejabat saya. Saya serahkan segalanya hanya kepada Dia. Tidak sampai lima minit, urusan selesai dan saya tersenyum lebar....ALhamdulillah. Allah perkenankan doa saya dan semua yang terlibat.

Kami berjabat tangan dan saling mengucapkan selamat maju jaya.

Aku amat bersyukur kepadaMu Ya Allah kerana kekuatan yang Kau beri kepadaku. Aku bersyukur kerana aku ada Engkau untuk ku serahkan diriku yang serba kekurangan ini..... AKu tidak akan mampu mengharungi kesukaran ini tanpa petunjukMu Ya ALlah....Ampunkanlah aku kerana aku manusia yang sering leka dan lena dalam keindahan dunia.... Berkatilah kehidupanku dunia dan akhirat. Amin....

Friday, June 17, 2011

Satu pagi di hari Sabtu....

Abo merengek-rengek minta kami membawanya ke Library.

Bila ditanya nak buat apa di Library....dia jawab:

"I want to read books!".

Maka kami pun mencari-cari Library Awam Selangor yang baru.... Subhanallah cantiknya. State-of-the-art. Semuanya cantik....Di tepi tasik, dikelilingi padang golf.

Rupanya bukan Abo yang over excited. Mama dan Papa cukup teruja dengan infrastruktur dan kemudahan yang disediakan. Pilihlah ceruk manapun di setiap tingkat (ada 4 tingkat), disediakan berpuluh-puluh Apple desktops yang terbaru....

Harapnya kemudahan ini tidak dibiarkan tanpa penjagaan!

Abo mula membelek buku Sains - mencari fakta tentang 'animals that eat other animals, animals that eat plants, and animals that eat other animals and plants."

Mama dan Papa sibuk melayan perasaan di hadapan skrin masing-masing...

Selepas beberapa ketika.....

"Abo! Where are you?"

Oh...dia sedang mengurat seorang Princess comel.... Sah! Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi!

Sorry my dear Boss! He reminds me of you....Hehehe.

Thursday, June 16, 2011

Bersantai...di Bukit Fraser










Kami beramai-ramai merancang. Mengumpul mana-mana yang perlu. Memujuk, merayu dan meminta agar kesemuanya setuju.

Alhamdulillah...kami dapat bersama-sama merealisasikan sesuatu. Kami daki bukit yang tinggi, menikmati pemandangan indah, hawa yang dingin dan makanan yang enak bersama-sama mereka yang menghargai.

Terimakasih kawan-kawan kerana sudi bersama kami dalam percutian murah namun begitu meninggalkan kesan di hati....

Sunday, June 12, 2011

Sekali lagi....

Bulan September tahun lepas, beberapa minggu sebelum kami pergi menunaikan haji, kami diuji dengan kehilangan kereta NazaRia kami yang kami letakkan di halaman rumah. Ianya amat menyakitkan. Biarpun kereta itu telah dijumpai, ia masih berada di dalam bengkel kerana kami perlu mengganti enjinnya dan pihak insuran tidak menanggung sebahagian dari kos pembaikan yang amat tinggi.

Saya menyertai organisasi ini pada bulan Februari lalu. Saya 'dipinjamkan' dengan sebuah kereta Perdana. Bukan kereta baru, tetapi amat membantu untuk saya menjalankan tugas-tugas seharian yang memerlukan pergerakan saya ke serata tempat.

Pagi tadi, sewaktu saya keluar untuk ke tempat kerja, kami dikejutkan dengan satu kenyataan pedih. Kereta Perdana itu tiada di tempatnya sedangkan kunci ada di dalam beg tangan saya!

Sekali lagi saya diduga dengan kehilangan. Perut saya terasa kecut, dada saya berdebar-debat dan kepala saya berdenyut. Oh Tuhan....kenapa ini terjadi lagi? Dan, ia bukan kereta saya....

ED saya amat memahami. Dia pesan saya untuk terus bersabar dan memohon agar ALlah mudahkan urusan saya. Kawan-kawan yang tahu mengirimkan teks dan kata-kata nasihat.

Namun, hati terus bertanya..Mengapa ia harus terjadi lagi?

Tuhan....tolonglah. AKu tidak berdaya.

Kawan Lama dan Saudara Mara

Saya mendapat mesej berbunyi begini....

Girl from the Past
Are U from MGS Klang; an active Red Crescent member sometime in the late 80's. I am Hisham from Klang High School; also an active member of Red Crescent and was the Klang Youth Chairman then.
If U are, nice to find U in the FB.
If not, thank you for you time.

Salam, Hisham


Alhamdulillah. Saya memiliki nama yang senang diingati. Saya tidak pernah pelik. Ada satu ketika di mana saya terserempak dengan seorang rakan sekolah saya sewaktu di darjah dua yang memadankan nama saya dengan senyuman saya. Hebat.

Saya kemudiannya berkomunikasi dengan Hisham. Berkongsi cerita tentang siapa diri kami kini. Saya ingat Hisham, yang dua tahun lebih senior dari saya, sebagai seorang yang bijak dan amat terkenal. Bersama beliau ialah Kak Fazi dari sekolah saya dan TSB dari sekolah lain. Kami begitu aktif dalam PBSM.

Saya adalah antara ahli penakut darah yang bersungguh-sungguh ingin membantu orang ramai. Seingat saya, HQ kami di stesen keretapi Klang dan setiap hujung minggu kami akan ke sana untuk belajar pertolongan cemas. Bersama saya adalah Liza, Adim dan Janie. Kami amat rapat. Macam-macam idea dan kenakalan kami ada.....

Dalam perbualan dengan Hisham, saya juga mendapat tahu bahawa Tengku Saiful Bahri (TSB)telah meninggal dunia akibat kanser usus. Terkedu sebentar saya. Cepatnya dia pergi. Kali terakhir saya bertemu TSB di sekitar akhir 80an. Moga beliau aman di sisiNya.

*************************

Anak-anak saya selalu pening untuk mengingat nama atok-atok sedara dan bapak/mak sedara mereka bila ada kenduri kendara di pihak Boss. Kebanyakan saudara mara Boss berada di Muar, makanya kami amat jarang bertemu.

Kami menghadiri majlis kenduri kawin Agoi di Dewan Kompleks Tabung Haji. Meriahnya. Kesemua anak-anak saya heret untuk bersalaman dengan begitu ramai Tok, Pak Long, Pak Ngah, Pak ANdak, Pak Cik...Mereka tersengih-sengih, pening untuk cuba mengingat nama panggilan setiap dari mereka. Kebetulan arwah Abah dan arwah Mak bersaudara - kedua-dua pihak hadir di majlis tadi. Di kampung, hampir kesemua dipanggil dengan 'pangkat' mereka - Along, ANgah, Uda, Andak, Acik, Ateh, Ucu .... dan yang saya pun tak tahu.

Jimie dan Lala cuba mengajuk alunan dan rentak percakapan orang 'Muor'. Lembut dan berlengguk-lengguk. Sewaktu pulang, mereka asyik bercerita .... dan saya tahu mereka amat merindui Mak Tok dan Tok Bah mereka. Semoga mereka aman di sisiNya....Amin.

Wednesday, June 8, 2011

Teringat-ingat

Saya ditanya oleh seorang kakitangan saya tentang pengalaman saya di India. Apa yang paling tidak boleh saya lupakan.

Saya termenung sejenak kerana India memberi saya terlalu banyak kenangan. Kehidupan yang mencabar minda dan tubuh badan di sana adalah satu kehidupan yang jauh bezanya dengan apa yang saya lalui di sini.

Banyak yang saya kenangkan. Akan tetapi, disebabkan soalan ini diajukan oleh kakitangan saya, makanya saya kisahkan bagaimana saya melaksanakan acara "MOU signing" di sana.

Antara perbezaan ketara di India dan Malaysia adalah koordinasi. Mereka di India kebanyakannya menerima arahan. Di sini kita mengamalkan kerjasama.

Saya dan beberapa rakan menggariskan kesemua keperluan (checklist) untuk menganjurkan satu acara besar yang bakal dihadiri oleh mereka-mereka yang kaya dan berkuasa di sana. Mesyauarat demi mesyuarat diadakan bagi mencapai matlamat ini.

Saya terbang ke India dua minggu sebelum hari yang dinanti. Kad-kad jemputan telah siap dicetak. Tempahan hotel, 'guest list', ucapan para pengarah, 'press release', skrip, menu makanan, aturcara dan seribu satu pekerjaan lagi perlu dibereskan.

Satu hal yang menarik di India ialah kad jemputan harus disampaikan dengan tangan. Jauh bezanya dengan keadaan di sini. Makanya, saya dan beberapa kakitangan senior kami menghabiskan berjam-jam sehari menziarahi para tetamu jemputan ini samada di pejabat mereka mahupun di rumah mereka.

Saya berpeluang menghantarkan kad jemputan kepada dua orang VVIP ke rumah mereka. Selain dari kagum dengan betapa besar dan cantiknya rumah mereka, saya juga berbesar hati kerana mendapat layanan seperti seorang VVIP dari mereka dan ahli keluarga serta kakitangan mereka.

Saya juga belajar cara untuk mendapat pas masuk ke dalam balai ketibaan dan mengiringi VVIP dari Malaysia tanpa perlu melalui pemeriksaan Imigresen dan kastam India. Itu satu pengalaman amat berharga buat saya.

Di hari kejadian, saya amat berbangga melihat hampir kesemua jemputan hadir, termasuk pegawai-pegawai dari Kedutaan Malaysia. Di India, sekiranya mereka yang menerima jemputan mengesahkan kehadiran mereka, 90% kemungkinan mereka akan hadir biarpun lewat.

Saya juga diuji dengan pemilihan menu makanan. Namun, di hotel mewah tersebut, semua makanan adalah enak belaka. Hampir kesemua yang hadir memuji pilihan saya - saya hanya tersengih kerana saya sebenarnya telah melantik AJK Makanan untuk membantu saya....

Selepas acara gilang gemilang tersebut, saya bergegas untuk memastikan persiapan bagi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah. Selepas itu, saya berlari ke rumah seorang Pengarah yang berbesar hati untuk menjamu tetamu dari Malaysia dengan High Tea. Sambil mengagumi keindahan rumah lima tingkat milik pengarah tersebut, saya juga berpeluang menikmati makanan lazat yang tidak terhingga - antaranya Mango Puree....Itulah sekali saya merasainya. Cukup lazat.

Pada malam harinya, seorang lagi Pengarah berbesar hati untuk menjamu tetamu dari Malaysia makan malam. Saya ingat-ingat lupa menunya - tetapi saya masih terasa lazatnya briyani kambing dan kebab yang dihidangkan.....

Itulah sehari yang penuh dengan warna-warni, yang pernah saya lalui, dan menjadi satu antara banyak kenangan indah kehidupan saya. Ianya mencabar diri saya hingga ke tahap maksima, namun kini ia adalah satu pengalaman berharga buat saya.

Kakitangan saya akhirnya berkata, "Kalau Puan boleh buat semua tu....saya tau apa yang saya buat sekarang ni sebenarnya kacang je...."

ALhamdulillah. Beliau mengambil kisah saya sebagai satu motivasi. Semoga beliau berjaya.

Monday, June 6, 2011

Rindu jadi benci?

Kenapa sampai jadi begini? Apa agaknya yang bersarang di fikiran hingga segalanya salah belaka.

Jika benar kita berkasih sayang, sentiasalah berdoa agar Tuhan memberi yang terbaik buat kita. Jika benar kita mengambil berat, tanyalah khabar dan kajilah kebenaran.

Hidup bukan hanya dunia semata-mata. Ibadat bukan hanya solat dan zikir semata-mata. Kasih sayang bukan hanya mengambil tahu semata-mata.

Kemiskinan bukan penghalang kebahagiaan. Tidak membantu, tidak mengambil tahu, tidak mengata dan tidak menyampai-nyampai adalah lebih baik dari beribu kali menyatakan kasih,sayang dan rindu.

Ampunkan hambaMu ini Ya ALlah. Ampunkan aku. Aku tidak mahu membenci. Namun aku hambaMu yang hina. Aku perlukan petunjukMu agar ku temui jalan yang lurus Ya Allah....Amin.

Thursday, June 2, 2011

Di tepi pantai yang indah...Batu Feringgi

Jimie perlu mendaftar kolej pada Sabtu 28 Mei 2011. Kami semua teruja untuk sama-sama menghantarnya. Kebetulan cuti sekolah baru bermula.

Seawal pukul 8 pagi kami bertolak dari Shah ALam. Singgah sebentar mengisi perut dan mengisi tangki minyak, dan meluncur laju kenderaan kami menghala ke utara.

Sesak di sepanjang perjalanan. Banyak sungguh kenderaan di pagi hari yang mulia ini.
Kami sampai di Permatang Pauh hampir pukul 2 petang. Selepas mendaftarkan dirinya, Jimie mengajak kami ke pulau. Jalan teruk sesak di sana sini. Anak-anak di belakang o-zom untuk mencapai keputusan di mana kami harus bermalam hari itu - pantai atau bandar.

AKhirnya pantai menjadi pilihan. Boss memandu terus ke Batu Feringgi. Deretan hotel di sepanjang jalan. Saya talipon mana-mana hotel yang memaparkan no talipon mereka. AKhirnya kami tiba ke sebuah hotel besar di Batu Feringgi. Saya masuk bertanya, "RM480 for tonight, Maam." Terkedu saya. Masuk satu hotel lain, pun terkedu. Kami berdua tersenyum tawar; anak-anak menanti dengan penuh keterujaan.

Boss kata "Apa-apa hal kita solat dulu." Kami masuk ke masjid dan dapat juga melepaskan lelah. Tok Siak masjid tersenyum ramah kepada saya. Saya tanya, "Kat mana tempat buleh kami tidoq malam ni, Ji? Kot la ada chalet ka, rumah tumpangan ka...yang murah-murah?". Tok Siak dengan ramahnya menjawab, "Adik pi lalu ikut belakang ni, Adik nampak mai banyak chalet kecik-kecik tepi pantai. Murah saja Dik.."

Selepas mengucapkan terimakasih, kami tuju ke tempat yang diarahkan. Sungguh....banyak chalet-chalet persendirian yang kecil-kecil di sepanjang pantai di belakang masjid tersebut. Kami turun dan bertanya satu persatu...akhirnya kami berkenan dengan chalet Ismail, yang mengenakan kadar RM160 semalam untuk sebuah 'family room' yang mampu memuatkan kami berenam! Tiada rungutan kedengaran kerana bilik tersebut betul-betul di gigi air. Abo melompat-lompat keriangan.

Kami terpaksa melakukan sedikit shopping kerana tiada antara kami yang membawa baju atau seluar yang boleh dibawa ke dalam laut. Kami nikmati keseronokan berada di dalam air laut, sambil menikmati pemandangan petang nan indah.

Selepas puas menikmati pemandangan indah di pantai, kami ke Gurney Drive lepas Maghrib. Konon nak cari pasembor dan laksa, namun kesesakan jalanraya memaksa kami singgah di Nasi Kandar Subaidah... Puas hati saya dapat makan telur sotong!Terkenang sewaktu saya ditugaskan di kilang syarikat di Perai selama sebulan pada 1999 dulu, berat badan saya naik 5 kg! Mana tidaknya, setiap kali habis waktu kerja, saya akan bungkus nasi kandar dan char kuey tiow dan makan sambil mengadap TV di bilik hotel...keseorangan. Saya suka semua makanan di Pulau Pinang....

Kami habiskan masa malam itu di dalam kereta untuk mencari jalan pulang. Jalan cukup sesak. Abo pun tertidur. Sampai di depan Rasa Sayang hotel, anak-anak minta kebenaran untuk menyusur 'pasar malam' yang menjual pelbagai barangan.

Kami terus pulang...alamak! Blackout pulak. Boss keluar menanti anak-anak di simpang jalan. Saya cuba melelapkan mata...tapi nyamuk mengganggu keharmonian malam. Bunyi ombak menghempas pantai begitu dominan. Saya sukakannya.

Hampir pukul 2 pagi baru bekalan elektrik kembali seperti biasa. Kami terus hanyut dibuai mimpi. Saya tersedar di awal pagi...dan saya mengucap kesyukuran yang amat sangat kerana diberi kesempatan untuk mendengar alunan ombak sewaktu tersedar dari tidur yang lena....

Kami bersarapan roti canai di pantai, bermain bola, menanam badan dan bergolek-golek di pantai sebelum bersiap untuk kembali ke Permatang Pauh tepat pada pukul 12. Kami singgah di Padang Kota, dan makan lagi...Kali ini kami nikmati sotong bakar, sotong kangkung, laksa penang, ABC, lai chee kang, nasi ayam dan char kuey tiow yang dipenuhi dengan udang besar....Saya teringat beberapa kawan yang amat menyintai jeruk buah-buahan....Mak aiii...sedapnya.

Jimie tinggalkan kami di Pusat Islam UiTM sementara dia menyelesaikan tugas-tugasnya. Kami sempat lelapkan mata selepas solat, dan pukul 4 petang itu, kami tinggalkan Pulau Pinang bersama kenangan indah. Ini kali ketiga saya datang sejak Jimie berada di situ. Ingin rasanya untuk datang lagi dan lagi....dan makan enak-enak lagi!