Sunday, September 28, 2008

Demam Raya...

Saya demam lagi sejak Jumaat lepas. Panas betul badan saya. Suhu badan cecah sampai 40. Doktor terpaksa masukkan drip, kena cucuk kat punggung dan buat ujian darah dan urine. Apa yang Doktor jumpa? Bakteria dalam darah...darah dalam urine. Emmm...agak mendebarkan.

Pontenglah puasa dua hari sebab kena ambik antibiotik. Malangnya sampai kini demam saya masih ada. Diburukkan dengan batuk yang melampau hingga langsung tak boleh tidur... Saya gagahkan diri berpuasa hari ini, dan saya juga masuk ke pejabat kerana ada yang perlukan saya di sini...

Semalam saya bawa anak2 ke KLCC membeli belah pakaian dan kasut mereka. Terpaksa. Lagi dua hari nak Raya. Saya lebih banyak duduk dan menghulur duit kepada mereka. Kepala saya berpusing2, nak jalan banyak tak larat... Melayan kerenah 3 remaja dan seorang anak kecil agak mencabar kesabaran saya. Seawal pukul 2 kami telah berada di sana. Sampai pukul 6 masih belum habis memilih apa yang mereka suka.

Akhirnya... saya tersenyum juga melihat pilihan mereka. Kasut2 yang mereka pilih? Serupa macam kasut arwah Bapak saya nak ke kebun dulu!!! Tanya kat orang tua cam saya ni memang tak cantik langsung kasut anak2. Tapi, bagi mereka, itulah trend... Entahlah... cam kasut Fung Keong zaman saya kecik2 dulu je....!

Seluar jeans lagi satu yang buat saya ketawa. Macam kendong t**k... Dah le labuh meleret2, warna buruk cam dah 5 tahun tak cuci, pinggangnya kat punggung... Kelakar betul fesyen masa kini... Ikutkan aje lah...

Sampai kat rumah saya ketawa lagi besar melihat gelagat anak2 yang cukup excited dengan baju2 dan kasut2 mereka. Jimie, Abey, Abo bahkan Lala pun dok memperagakan baju2 mereka di hadapan saya. Dari baju Melayu, t-shirt, seluar, kasut, stokin, songkok.... ALangkah gembiranya hati anak2 kerana dapat merasa baju baru...! Suami saya yang cukup sibuk di kedai agak kerugian kerana tidak dapat menyaksikan situasi yang 'comel' ini...

Syukur ke hadrat Illahi kerana saya dan suami masih diberi kesihatan yang baik untuk terus bekerja keras mencari rezeki buat anak2. Syukur kerana Tuhan tidak pernah menolak permohonan kami supaya diberi rezeki yang banyak. Syukur kerana kami sekeluarga dilimpahi dengan kasih sayang yang tidak pernah surut sejak mula dan mudah2an hingga ke akhirnya... Alhamdulillah, walaupun demam, saya masih boleh luangkan masa untuk bersama anak2... (bukan badan je sakit, dompet pun sakit gak!!!!)

Thursday, September 25, 2008

Dara Pujaan Mak balik raya...

Alhamdulillah, anak2 saya semua telah berada di rumah menanti tibanya Syawal. Sebagai ibu, tentunya saya gembira melihat anak2 saya bergurau sesama sendiri biarpun badan masing2 dah mengalahkan mak dan ayah...

Semalam saya bersembang kosong dengan rakan2 sepejabat tentang kisah lalu. Kisah saya: Dek kerana teringin sangat merasa nikmatnya pulang ke kampung, (Nota: Saya belajar di UiTM SHAH ALAM selama 5 tahun. Kampung halaman saya di KELANG)saya ikut kawan2 yang nak balik kampung naik bas dari Shah Alam. Mereka bawa beg besar, saya pun bawa juga. Tapi beg saya KOSONG! Seronoknya merasa pengalaman naik bas ramai2, pas tu jalan dari Bus Stand Klang ke Puduraya. Saya ikut Shida yang nak balik Mersing. Tunggu kat platform bas ke sana. Riuh, bising, bau asap, bingit, busuk dan macam2 yang saya rasa... Bila bas Shida sampai, dia naik atas bas dan saya lambai dia.... Apa saya buat lepas tu? Jalan kaki ke Bus Stand Klang dengan beg besar kosong dan ambik bas ke Kelang...untuk menyambut hari raya di Meru. Tambang bas waktu tu - Shah Alam Kelang RM0.50, Kelang Meru RM0.55...Jumlah RM1.05.

Nasir pulak bercerita kisahnya sewaktu bergelar pelajar di UTM KL. Ada satu tahun tu, dia ke Pudu Raya untuk pulang ke Kuala Pilah. Terkejut dia melihat manusia beratur sampai berbelit2 hingga ke luar Pudu Raya. Apa yang dia buat? Dia cari pondok talipon dan beritahu emaknya yang dia tak dapat balik kerana tiada tiket! Sebenarnya, dia malas nak beratur panjang... Kami pakat takutkan Nasir... Kami kata "nanti anak bujang you akan buat exactly apa yang you pernah buat...x balik raya! Masa tu baru you kata "Padan muka aku!""

Anak dara saya balik dari Sarawak semalam dengan penuh riang gembira. Macam2 yang dibelinya di Bazar Ramadan. Hampir semua kuih nak dibelinya... Bila berbuka dah tak tau apa yang nak dimakan.... Lepas tu, terdiam je lah kuih tu atas meja.... Papa dia kata, 'kemaruk makanan budak ni...maklum je lah, baru keluar dari hutan!'

Hari Raya...semangat untuk berkumpul dan bersama yang tersayang, tidak akan pudar dari kehidupan kita hingga bila2...

Sunday, September 21, 2008

Kasih Berubah?

Saya menerima sms dari teman rapat, D. Soalan yang cukup sadis darinya..."C, kalo laki ko yang tak pernah2 suka layan pompuan tetiba suka chatting pas tu main2 sms... pe'el pun da sepesen... apa action ko?"

Terkedu saya. Saya amat mengenali D. Kami bersama sejak tingkatan satu di MGS Klang. Hubungan kami tidak pernah terputus. Kami sering menangis bersama... dan tentunya terbahak2 ketawa bersama.

Apabila menerima sms sebegini, saya jadi risau. Tuhan, janganlah Kau uji kawanku ini dengan bebanan yang dia tidak mampu pikul... Ye, D bekerja berhempas pulas, dengan gaji yang amat kecil, untuk membiayai keluarga kerana 'kekasih' hatinya seringnya bekerja secara 'sukarela' - yakni tidak bergaji atau mungkinkah tidak bekerja?

Saya ambil masa untuk membalas sms dengan balasan ini...

"Alamak... itu agak bahaya! Laki aku x pernah, tapi ada satu pompuan dok angau kat dia ari tu dan dah dihamputnya pompuan tu. Aku steady je... Tapi, kalu laki ko layan, ko taruk la sekali! Sikit-sikit ko kasi dia sedar makan pakai dia pun kao yang suap, apatah lagi anak-anak! Jangan kasar tapi lembut nan berbisa! Kalu nak sangat kat pompuan lain, ko tunjuk kat dia jalan keluar dari rumah yang ko bina dengan hasil titik peluh ko! Itu yang aku pasti akan ku buat...walaupun aku sedih dan menangis...huhuhu..."

Dia balas: Tq.

Sekarang ni saya tertanya2...kejamkah aku kerana terlalu emotional???

Wednesday, September 17, 2008

Majlis berbuka puasa di rumah Cik Kiah..


All guys at home bersama Along sedang bersembang2.


Abey dengan Mok Su kesayangannya


Jimie, Kak Kiah, Ayon dan Abey


Anak2 Kiah, anak2 saya, Kak Kiah dan saya serta cucu2 saudara Kak Kiah


Jimie, Abey dan Abo bersama abang2 mereka - Along, Angah dan Ayon

Semalam, sempena cuti Nuzul Quran di Selangor, kami sekeluarga meluangkan masa menghadiri majlis berbuka puasa di rumah Puan Rokiah Ibrahim @ Acik @ Kak Kiah di Gombak. Kak Kiah sekeluarga amat berjasa kepada kami kerana beliau dan adiknya, Mok Su Imah lah yang menjaga anak2 saya sejak kesemua mereka bayi hingga mereka bersekolah rendah sebelum kami pindah ke Shah Alam.

Bagi saya, Kak Kiah adalah kakak yang amat saya hargai dan sayangi. Bagi anak2, Acik adalah emak mereka. Saya kenal Kak Kiah sewaktu beliau tidak punya apa2, hanya 3 orang anak, tanpa suami, emak (Mek) dan adik (Mok Su) yang punya masalah pendengaran dan rumah kecil mereka. Kak Kiah bekerja keras mencari nafkah, di samping punya hati yang tulus dan semangat juang yang cukup tinggi.

Anak2 saya amat manja dengan arwah Mek. Saya sering kagum dengan kecekalan Mek dalam menghadapi hidup. Mek pergi beberapa tahun lalu, dan Abey amat menangisi pemergiannya.

Setiap kali cuti sekolah, anak2 saya akan 'balik kampung' ke rumah Acik. Di sana, mereka punya 3 abang - Along, Angah dan Abang Ayon. Anak2 saya dan abang2 mereka punya ikatan yang rapat hingga kini biarpun semuanya sudah besar2 belaka. Along sudah punya keluarga, ANgah baru menamatkan pengajian di Scotland dan Ayon masih di UIA.

Kak Kiah mencapai kejayaan pertama dalam hidupnya bila 'proposal' beliau diterima oleh Kerajaan Selangor pada tahun 2003. Sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang, satu demi satu projek pembangunan diusahakannya hingga beliau menjadi seorang jutawan kini. Jika dulu rumah beliau sempit dengan anak2, adik, emak dan anak2 saya, kini banglo beliau mampu menempatkan lima enam keluarga.

Kak Kiah amat pemurah. Saya kenal Kak Kiah sejak tahun 1992. Seingat saya, jika ada sesiapa pun jua yang berasal dari kampungnya di Kota Bharu datang ke KL dan tidak punya tempat tinggal, rumah beliau pasti menjadi sasaran. Anak2 saudara beliau juga menjadikan rumah Kak Kiah rumah pertama mereka sewaktu mula2 mendapat kerja di KL.

Saya percaya, apa yang beliau nikmati kini adalah balasan dari kemurahan hati dan keikhlasan beliau membantu sesiapa juga. Kak Kiah kini bukan saja mampu mengadakan majlis berbuka puasa yang 'grand' di rumahnya, beliau juga mampu menggembirakan anak2 yatim dan jemaah surau dengan jamuan dan hadiah yang banyak setiap tahun.

Moga Tuhan terus memberi rezeki yang banyak buat beliau sekeluarga. Apa yang saya pasti, sepanjang enambelas tahun menjadi adiknya, saya tidak pernah merasa beliau berubah sikap... Amat mengagumkan..

Thursday, September 11, 2008

Kenangan Ramadhan

Lebih kurang dua minggu lagi Raya....kejapnya lah masa berlalu. Tak terasa cam nak Raya lah pulak...persiapan langsung tak de. Pakaian anak2, pakaian mak bapak...semua tak beli lagi. Selalu memang gitu...last minute shopper! Mujur cuma mak je yang oversized, anak2 dan bapak boleh ambik je baju yang digantung di railing kedai2...

Kuih muih? Selalunya tak buat dan tak beli. Pasalnya? Siapa pun tak datang rumah saya pada hari2 awal Raya ni. Jiran, adik beradik, kawan2 semuanya balik kampung... Di sepanjang deretan rumah kami, hanya rumah kami yang berpenghuni pada setiap Raya. Mana je lah orang Kelang ni nak pegi kan? Dahlah yatim piatu!!! Sebab tu kuih Raya selalunya saya beli lepas Raya...

Pagi tadi sewaktu memandu ke pejabat, saya teringat zaman dolu2...waktu kami kecik2. ALahai...senyum sendiri dibuatnya. Waktu2 macam ni, mak dah bebel2 setiap hari suruh kami tolong...seronok memang seronok, bila dikenang...tapi waktu melakukannya??? Muncung sedepa..

Rumah kami rumah papan yang tinggi tu...Dalam panas (dolu2 mana ada kipas angin??), kami kena 'berus lantai'. Ye...berus lantai guna 'berus dawai'. Lepas dibilas, lantai akan kelihatan putih berseri!!!! Air terus jatuh ke tanah...

Aktiviti lain yang buat muncung kami (4 adik beradik pompuan - Kak Ani, Kak Non, Kak Wi dan saya...) lagi panjang ialah bila kena pukul telor untuk buat bahulu. Ya Allah!!! Setiap kali Raya mak akan kumpul sekurang2nya 100 biji telor ayam kampung, dipukul menggunakan spring yang macam spiral tu, dalam pasu besar....kerja pukul memukul ni bermula sebaik sahur dan hanya akan berakhir bila pasu yang besar itu penuh!!! Maknanya, telor dah betul2 naik dan kembang...(Telor dipukul dengan gula pasir...gula kena larut sepenuhnya).

Lepas satu 'azab', bab bakar bahulu lagilah amat menyiksakan kami...huhu... Bakar guna kayu api dan sabut kelapa... Dengan asap, dengan bahang....ingat lagi pondok kecik mak...angin pun tak de!!! Bahulu yang menjadi kesukaan mak ialah bahulu gulung (yes...kena sapu jem nenas yang mak buat sendiri, then gulung semasa ia masih panas!!!) Awww....panasnya!!! Mak juga suka buat bahulu lapis, bahulu pecah lapan, bahulu kecik2 bentuk ikan, bahulu pelangi- saya ingat lagi camne nak buat semua2 ni...cuma adunannya saja yang saya dah lupa...dan saya rasa, kalau bakar bahulu guna dapur gas, entah apa lah pulak rasanya...

Emak juga tak pernah lupa nak buat kuih bangkit...Sampai melecur2 tangan kami dok masuk dan keluarkan dulang2 adunan ke dalam oven...yang warnanya hitam, ada kaca kat depan dia. La ni tak ujud dah kot oven rupa tu. Emak kena buat sebanyak2nya kerana kami je dah sepuluh beradik, adik beradik emak lapan, adik beradik bapak pun lapan. Belum masuk jiran2 dan sedara mara...Saya pun tak tau ngapa mak dan bapak cukup fofular di kampung dulu. Tetamu yang datang masa Raya punyanya ramai...

OK...tak nak cite pasal raya lagi..cite pasal Ramadhan. Mak pakar buat jeruk. Jeruk cermai, jeruk betik, jeruk kedondong, jeruk jambu air...isy...banyak lah lagi. Berbalang2 jeruk mak buat. "Esen" dia mak beli dari sorang ni, saya ingat lagi namanya, Wak Jamil Cencem...hehehe...

Halwa mak lagi sedap. Segala buah yang ada kat keliling rumah mak jadikan halwa atau jeruk. Mangga, nenas, jambu, tembikai, betik...Kegemaran saya buah kabung, yang melekat kat gigi jika digigit. Saya panggil "kolang-kaling". Tak tau kenapa.

Lagi satu yang mak tak pernah miss walaupun sekali...tempeyek! Sekali buat, 5 atau 6 tin biskut yang empat segi besar tu. Paling saya tak boleh lupa bila kami saja2 je tuang adunan tepung dalam sinki...mak tengok tak cukup banyak tempeyek yang dah jadi, dia akan buka peket tepung beras dan tambah ke dalam adunan yang ada!!! Aduiii...

Setiap malam di malam2 Ramadhan, saya akan tersenyum sendiri menatap baju baru yang akan kami pakai di hariraya nanti. Selalunya mak beli kain satu kayu...semua pakai baju sama...Mak jahit sendiri. Kadang2 tak de kasut, kami pakai kasut sekolah...!

Saya juga jarang tinggal sembahyang terawikh...ikut mak. Tapi saya selalunya dok barisan paling belakang. Orang sembahyang, saya tidor...Mak tak nampak...sebab Mak suka dok depan sekali!!! Masuk witir je, saya pun bangun...Lepas habis je, berebut2 orang nak pukul kayu yang tergantung kat kepala tangga surau. Meriahnya....lepas moreh (yang paling saya suka!), kami pun balik ramai2...

Kini...malam2 Ramadhan seolah2 tiada makna. Tiada pesta, tiada kemeriahan. Anak2 saya tahu, seminggu sebelum Raya saya pasti akan membawa mereka ke KLCC atau Mid Valley untuk membeli baju, kasut dan yang sewaktu dengannya. Baju Melayu dan baju kurung melambak2 ada kat PKNS...Pakaian selalunya sedondon warnanya, bukan sekayu! Kalau dulu mak sibuk bersih dan hias rumah, kini Mama hanya sibuk di pejabat dengan segala macam projek lah, bajet lah, meeting lah...Papa sibuk berniaga di PKNS kumpul duit Raya sebanyak2nya..itu pun kalau ada!

Saya rindukan kemeriahan dulu. Saya rindukan kuih2 mak, jeruk dan halwa mak, bebel mak, gaduh adik beradik...Yang paling saya rindukan ialah... mak....

Tuesday, September 9, 2008

Demam..

Puasa puasa ni demam lah pulak... Sakit tekak, batuk, selsema, seram sejuk dan seluruh badan sakit... Asal malam menggigil2. Doktor bagi mc dua hari...so, ada kat umah la ni melayan ngantuk sebab makan ubat selsema masa sahur tadi...

Sambil menonton katun bersama Abo, dan memandang wajahnya yang comel dan manja, saya teringat apa yang Dr Suzet nasihatkan saya semalam... Saya kena berjanji yang saya akan sentiasa sihat untuk memelihara Abo hingga dewasa. Di waktu dia berusia 16 tahun nanti, saya sendiri sudah berusia 55 tahun. Sebagai remaja, Abo perlukan bimbingan dari parents, dan remaja selalunya memberontak bila melihat ibubapa mereka sakit. Dr Suzet kata, mereka akan ingat yang ibubapa hanya buat2 sakit kerana tidak mahu menjaga mereka... Saya kena berjanji yang saya tidak akan menghabiskan masa saya di hospital atau saya 'bed-ridden' di waktu Abo menginjak usia remaja...

Hari ini, saya melihat wajah comel yang sentiasa segar ini. Dia kata, "Mommy, don't lie down...come and jump with me!" Sambil dia dok melompat2. Saya jawab,"Mama demam la Bo...I can't jump like u.." Jawab dia? "You can! You don't want to!"

Budak kecik yang belum faham erti sakit dan sihat...

Saya harap, saya doa dan saya pinta, diberi kesihatan yang baik di sepanjang kehidupan ini biarpun emak, bapak, abang2 dan kakak2 saya kaya dengan segala penyakit... Janganlah disinggahkan penyakit itu kepada saya, Ya Allah... Teringat kat Ayang yang kehilangan ayahnya sewaktu dia darjah 5, Arina yang masih kecil asyik merajuk sejak Abahnya kena strok dan lumpuh dan Ala yang jarang tersenyum sejak Mamanya sakit... Belum lagi tengok mata Mia, Amal dan Afiq yang tidak pernah tersenyum kerana kehilangan ayah sejak Afiq dalam perut lagi...Mereka semua adalah anak2 saudara saya yang masih kecil dan menghadapi emak atau ayah yang sakit...

Ahhh....demam demam ni mula lah merapu....

Sunday, September 7, 2008

So which of the miracles from your Lord will you renounce?...ar-Rahman


Si comel Ismail Naquib(7 tahun) yang berpuasa penuh sejak dua tahun lalu


Anak bujang saya sedang qamat - sejuk perut Mama...


Makanan yang bersusun di atas meja...


Makan di luar rumah dalam remang2 cahaya...


Jemaah wanita sedang menunggu Imam...ayu-ayu gitu...


Anak-anak saudaraku yang comel2 sedang beratur menunggu giliran mengambil juadah


Cepat-cepat! Nanti habis!


Abang Nasir sudah berupaya menyuap sendiri makanan. Badan sebelah kiri masih lumpuh.

Bulan puasa ini, selain dari menikmati pengertian puasa, ia juga membawa kita ke satu lagi cabang kehidupan...berkumpul dan makan bersama. Indah sungguh situasi bersama mereka yang tersayang, yang sentiasa berada di sekeliling kita dalam suka dan duka, dalam senang dan susah...

Sabtu lalu, bertempat di rumah kami yang serba daif ini, keluarga saya berkumpul - jumlah keseluruhan termasuk anak kecil - 30 orang. Alhamdulillah, kami diberi kemudahan olehNya untuk menyediakan juadah yang tidak sepertinya. Nasi Ayam kegemaran ramai, ditambah dengan kuih muih pelbagai jenis, buah-buahan, bubur kacang dan minuman pelbagai perisa bersusun di atas meja. Makanan ini ada kaki yang membawanya ke rumah kami. Murahnya rezeki yang dikurniakan kepada kami. Tuhan...kami memohon kepadaMu supaya kami tidak termasuk dalam golongan mereka yang mendustakan nikmatMu...

Seperti biasa, kami bersolat jemaah Maghrib selepas berbuka dan kemudiannya kami menghabiskan segala makanan yang ada! Abang Nasir yang lumpuh separuh badannya akibat strok pada April lalu juga bersama. Nampak airmata bergenang di kelopak matanya... Apa agaknya perasaan yang bersarang di hatinya, Tuhan saja yang tahu... Bagaimanapun, saya tahu beliau juga seperti saya, merasa amat bertuah kerana hidup dikelilingi adik beradik yang saling menyayangi dan melindungi...

Selepas kenyang makan, kami solat Isya' diimami oleh Abang Husin (Pak Man) yang mendayu2 suaranya...Kemudiannya Yazid (Pak Uteh) mengambil alih solat tarawikh kerana.... Pak Man baca lambat! Pak Uteh baca laju...cepat siap!!!

Sepulangnya kesemua mereka dari rumah kami, saya dan keluarga merasa lega yang amat sangat. Tertunai sudah apa yang setiap tahun kami lakukan...dengan jayanya. Syukur alhamdulillah, Tuhan memberi kami kemudahan dan rezeki untuk sama2 menghargai mereka yang berpuasa dengan makanan yang lazat2... Doa kami mudah2an kami akan berpeluang melakukannya lagi di tahun2 mendatang....Amin.

Thursday, September 4, 2008

Ikhlas

Setiap hari kita dengar orang berkata, "Ikhlas ni...". Bagaimana agaknya keikhlasan itu dihitung oleh Yang Maha Esa? Saya amat ingin untuk mengetahuinya...

Bila diperhatikan di sekeliling kita, apa yang dikatakan ikhlas biasanya tidak ikhlas atau mungkin tidak terlalu ikhlas. Tidak percaya?

Ambil contoh yang simple ini. Kawan sepejabat kita, Mr A, dimasukkan ke hospital. Kita pun ajak beberapa orang untuk melawat A, naik kereta kita. A amat gembira melihat kita datang berbondong2...dan mungkin dia akan tanya, "Siapa bawak ni?". Ramai2 akan jawab, "Mamat ni la...." Sambil senyum kita kata, "That's the most that I can do...".

Balik dari hospital, kita hantar claim untuk Boss kita sign dengan description, "Visit Mr A in hospital, 30km@RM0.60 per km = RM18.00". Biasa buat? Bagi saya, langsung tak ikhlas!!!

Atau, mungkin senario ini...Kita diarahkan melaksanakan satu projek. Malasnya nak buat sebab banyak kerja... Makanya kita kata kat kawan2, "I am not good in doing this. I am not the expert. Maybe we need someone with MBA or PhD to do lah...coz they know statistics, bla bla bla". Pulunlah orang lain yang bukan pun the expert untuk siapkan. Dah siap, sampai kat Roll-out Plan, kita masukkan nama kita and kata "I am doing this for company's sake". Jawapan saya: Bull Shit!

Saya benci betul dengan manusia hipokrit. Saya berdoa mudah2an saya bukan seorang daripada manusia itu. Ikhlas tidak perlu disebut. Ia antara kita, diri kita dengan Pencipta kita.

Mulakan setiap hari dengan doa ini. Ia ada dalam Al-Ma'thurat dan ia pastinya akan mengangkat kita menjadi manusia yang penuh dengan keikhlasan, sentiasa redha dengan ketentuan Tuhan dan amat yakin bahawasanya hanya Dia yang mampu memberi kita apa yang kita kehendaki....

Ya Allah kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut (nama)Mu, hati yang penuh segar mensyukuri (nikmat)Mu, serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada (perintah)Mu. Ya Allah, kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap. (Ya ALlah) kurniakanlah kami (din) cara hidup yang jitu dan unggul, selamat dari segala mara bahaya dan petaka. Kami mohon (Ya Allah) kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain, Berikanlah kami (Ya Allah) iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain dari Engkau sendiri. Kembangkanlah lembayung rahmatMu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami. Jangan (Ya Allah) Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri; walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih mudah dan cepat memperkenankan pinta (perkenankanlah).

Selawat dan restu Allah untuk junjungan kami Muhammad, Nabi yang mulia, kepada keluarga Baginda dan para sahabat Baginda amnya.

Monday, September 1, 2008

Alhamdulillah...Ramadhan memangnya membawa berkat




Semalam adalah hari pertama semua umat Islam berpuasa di Malaysia dan kawasan yang sewaktu dengannya. Saya berazam untuk....ceh! tak habis2 berazam....

Sepanjang hayat saya, hari pertama berpuasa, (selain dari sewaktu tinggal di asrama), saya akan berbuka dengan emak atau mak mertua. Sejak emak saya pergi 11 tahun lalu, rumah emak mertua adalah tumpuan saya, Boss dan anak2. Rasa bangga dapat membuat emak senyum melihat kedatangan kami menyemak dan menyibuk...

Ramadhan ini kali pertama berbuka tanpa beliau. Lalu, saya sarankan pada Boss, apa kata kita jemput Abang, Ngah dan Rozi serta budak2 untuk buka kat umah kita first day puasa? Abang pun belum sibuk sangat kat kedai, kebetulan public holiday...

Boss agak skeptical. Nak ke ABang dengan Ngah bertemu? (Ada insiden yang kurang enak berlaku di antara mereka berdua bulan lalu). Jawab saya, inilah masanya kita tautkan balik perhubungan mereka. Bulan mulia ni kan...

Makanya, semalam, sejarah indah terukir. Seawal pukul 6 rumah kami telah dipenuhi. Berbagai makanan terhidang. Mulanya kecut perut saya takut makanan tak mencukupi, tapi masing2 datang menjenjet sesuatu... Dari sikit sampai melambak2 atas meja.

Pukul 7 malam, Ngah tiba dengan anak2 dan cucu2nya. Kami berdebar.... Sebaik dia melangkah masuk, Abang yang sedari mula asyik menatap tv, mula mengangkat kepala.... Dan, saya lihat kedua mereka bersalaman dan berpelukan....ALhamdulillah!!!

Selepas menjamah tamar dan minuman, kami berjemaah Maghrib, lepas tu....zuppp... licin apa yang ada atas meja.... Selepas berlengkar2 dan bersembang, kami kemudiannya solat Isya dan tarawikh bersama....

Saya gembira melihat semua orang gembira. Ujian hari pertama berlalu dengan kejayaan. Anak2 sedara yang sedang menginjak usia remaja dan dewasa amat gembira kerana kini mereka punya sebuah tempat untuk menyambut first day buka puasa...

Sampai pukul 1130 mereka menghabiskan masa di rumah saya. Dilla dan keluarga yang berbuka di Bentong juga singgah dalam perjalanan pulang ke Klang. Abo gembira sungguh. Berlari dan melompat bersama 'anak-anak saudaranya'.... Ye, Abo sebaya dengan 'cucu2 saudara' saya... Dek kerana penat, asyik melalak dia dalam tidur...

Alhamdulillah. Ramadhan sememangnya bulan yang membawa berkat....