Sunday, July 31, 2011

Selamat Menyambut Ramadhan dan Selamat Harijadi

Alhamdulillah. Hari ini, 1 Ogos 2011 bersamaan dengan 1 Ramadhan 1432H. Genap usia saya 46 tahun....Dah tua tentunya, namun syukur kepada Allah kerana mengurniakan usia ini kepada saya.

Saya menerima banyak sms dan panggilan dari kawan, saudara dan kenalan jauh dan dekat. Terasa bertuahnya diri kerana diingati dan disayangi. Pertamanya, saya amat bersyukur mendapat nikmat menyambut harijadi di hari pertama Ramadhan tahun ini. Tiada yang lebih menggembirakan selain dari hadiah dari Allah ini.

Saya mulakan hari yang indah ini dengan menyiapkan juadah sahur buat keluarga di rumah. Abo masih bersuap di atas katil. Harapnya tahun ini dia dapat memenuhkan sebulan puasa. Abey makan dengan penuh selera manakala Boss dan Lala hanya minum HB Mix (food supplement). Saya talipon Jimie dari jauh...alhamdulillah, dia telahpun bangun dan bersahur, juga dengan HB Mix sahaja.

Saya kemudiannya ke Masjid Negeri bersama Boss. Subhanallah...bacaan Imam Karim yang mengimamkan solat subuh benar-benar menusuk kalbu. Airmata berjuraian mendengar ayat-ayat indah Allah yang dibacakan beliau. Tuhan...di hari yang membahagiakan ini, aku serahkan segalanya hanya padaMu....Itu janji saya.

Kami juga berpeluang berada di dewan seminar Masjid untuk rancangan secara langsung Tanyalah Ustaz yang disiarkan di TV9. Sekali lagi, saya merasa amat bertuah. Nikmat Allah begitu banyak kepada saya hari ini....

Saya menerima panggilan yang saya rindukan. Mendengar suara seseorang di hujung talian membuat hati saya pilu.... Alhamdulillah, doa saya sejak sekian lama dimakbulkan. Tuhan lembutkan hatinya....Allah hu akbar....

Kepada mereka yang mengucapkan selamat, saya doakan agar Allah memberikan rahmat dan nikmatNya kepada anda. Bersyukurlah dengan segala yang diberikan olehNya. Semoga kita berbahagia di dunia dan di akhirat.

Wednesday, July 27, 2011

Nama saya...........

Tahun 1972, saya berada di darjah 1 di SRJK (P) Bukit Kuda Klang. Saya adalah antara pelajar darjah satu yang tidak pernah memasuki Tadika. Saya cukup teruja dapat kenal A,B,C dan dapat membaca sepertimana abang dan kakak saya.

Keterujaan saya akhirnya membuahkan hasil. Dalam peperiksaan akhir tahun tersebut, saya menjadi pelajar terbaik seluruh darjah satu. Saya mendapat hadiah buku teks dan buku tulis untuk darjah dua. Saya diberi peluang mengambil bahagaian dalam konsert sekolah dengan memakai jubah graduan, siap dengan topi dan scroll... Betapa bangganya saya berdiri di atas pentas sambil mengucapkan skrip ini:

"Nama saya Mahasuria. Saya seorang Mahasiswa. Saya hendak jadi Doktor...".

Rasanya saya berlatih di depan cermin setiap saat berminggu-minggu sebelum konsert tersebut...sampaikan ianya lekat dalam ingatan saya. Terbalik-terbalik saya nak sebut Mahasuria dan Mahasiswa.....

Saya membawa nama yang tidak serupa dengan nama orang lain. Setiap kali saya diejek kerana nama saya agak serupa dengan "Mahaletchumy" mungkin juga "Mahalingan".... Puas saya menangis bila tiap kali juga kawan-kawan sekampung saya mengejek saya sebagai "anak Mahalingam yang dipungut oleh Wak Deris dari ladang Colacanda di Kapar."

Saya menjadi terlalu sensitif untuk memperkenalkan diri saya sebagai "Mahasuria", sebaliknya saya senang untuk memberitahu bahawa nama saya adalah "Suria". Sewaktu saya berada di tingkatan dua di MGS Klang, seorang guru pelatih berbangsa India bertanya kepada saya tatkala beliau membaca nama saya:

"Are all your siblings have beautiful names like yours?"

Saya geleng.

"What are their names then?"

Saya jawab: "They have Malay names".

Sambil tersenyum beliau berkata:

"You must be very special to your parents. They know that one day you will be someone whom they will be proud of. If I were you, I will be very proud because I am carrying a big name. Be proud of it."

Saya hanya terangguk-angguk. Teman-teman sekelas saya ada yang tersipu-sipu. Saya bukan faham pun apa maksud Cikgu tersebut.

Sejak itu, saya pertahankan nama saya. Tiada lagi rasa rendah diri atau marah kerana bernama pelik. Saya juga pandai menjawab begini:

"Mujur gak ada nama. Kalau tak bernama, macammana orang nak panggil?"

Sesekali saya menjawab begini:

"Kalau korang hina nama aku, maknanya korang hina mak bapak aku. Bukannya aku lahir-lahir terus kata aku nak nama ni....Nama aku ni mak bapak aku yang bagi...."

Saya dewasa dengan membawa nama yang menjadi ejekan orang lain. Saya tepis apa pun yang orang ejek atau katakan. Saya bangga dengan nama saya. Saya tahu emak dan bapak punya sebab menamakan saya dengan nama ini.

Sewaktu bekerja di India, nama saya menjadi sebutan. Begitu mudah masyarakat di sana mengenali saya. Saya sering tersenyum bila terkenang kata-kata Cikgu pelatih saya dulu. Kalau saya bernama Melayu, mungkin sukar untuk orang India menyebut nama saya.

Dua minggu lalu, saya diberi penghormatan untuk melancarkan satu program. Tanpa disangka, ramai pula media TV dan wartawan akhbar yang membuat liputan. Maka, keluarlah wajah saya di kaca TV, dan di akhbar-akhbar tempatan.

Saya cukup terharu kerana saya menerima panggilan yang bukan sedikit dari kawan-kawan lama....ada juga kawan sekolah rendah yang hampir 40 tahun tidak saya temui, bahkan nama mereka juga langsung tiada dalam kotak memori saya.

Rata-rata berkata begini:

"Nama you tu special. Tak pernah I jumpa orang lain bernama Mahasuria Idris. I tau youlah orangnya...."

Subhanallah. Begitu sekali keistimewaan yang saya perolehi kerana nama saya.....

Tuesday, July 19, 2011

Boss & Borong

Boss amat berhajat untuk menjadi pemborong. Selalu benar beliau berangan-angan yang beliau mampu menjana modal yang besar untuk menjual barangan keperluan secara pukal kepada peniaga-peniaga runcit sepertinya. Kedai beliau diapit oleh dua kedai borong (satu barangan Indonesia dan satu lagi barangan China). Boss kata "bila agaknya kedai kita orang masuk dan beli barang berbondong-bondong?"

Perniagaan yang Boss usahakan tidak bermodal besar. Hasil yang diperolehi akan dimasukkan kembali sebagai stok. Dari sebuah kedai kosong, alhamdulillah selepas hampir lima tahun, Boss mampu tersenyum melihat isi kedai beliau yang biarpun jauh ketinggalan dibandingkan dengan dua kedai bersebelahan, tetapi jauh lebih baik dibandingkan dengan waktu kedai itu dimulakan.

Sejak beberapa bulan lalu, saya berurusan dengan sebuah kumpulan peniaga dari Timur Tengah yang meminta bantuan saya untuk memasarkan keluaran mereka di Malaysia. Salah seorang dari peniaga ini, Mr Shaikh, adalah anak murid kepada seseorang yang saya kenali sewaktu di India.

Boss mula menjelejah ke beberapa tempat untuk memasarkan produk tersebut sejak sebulan lalu. Semalam, saya dihubungi oleh Shaikh yang memberitahu bahawa kontena dari Timur Tengah akan tiba.

Subhanallah. Sesungguhnya kami diberi kenikmatan yang amat hebat dariNya.Allah memberi rezeki dengan pelbagai cara. Ini adalah satu permulaan bagi satu perjalanan yang panjang buat kami sekeluarga. Mudah-mudahan kami mendapat keredhaanNya dalam melaksanakan usaha dan tanggungjawab kami. Dalam kesusahan, ada kemudahan. Bertahun kehidupan kami dihempas badai yang tidak pernah menyusut, dalam kepedihan, kami bersabar dan berdoa tanpa henti, hari ini, kami mula menyulam mimpi indah.

Kami akur dengan kenyataan bahawa kami telah melukakan hati beberapa individu disebabkan oleh kesilapan dan kealpaan kami sendiri. Sememangnya otak kami yang dangkal tidak mampu berfikir cara mana kami boleh menyelesaikan kesulitan yang kami hadapi. Kami serahkan dengan sepenuh jiwa dan raga kami kepada Dia. Kami pohon petunjuk dariNya dan kami teruskan usaha tanpa kenal jemu. Begitu banyak halangan, apatah lagi tohmahan dan hinaan, namun kami amat bersyukur yang semua itu menambah kekuatan di hati kami. Berikan kami sedikit ruang dan kesempatan, kami pasti kejayaan bersama kami, kerana itulah permintaan kami kepadaNya di setiap hela nafas kami....

Monday, July 18, 2011

Kerja. Kerja, Kerja






Gambar-gambar ini bercerita tentang beberapa acara yang melibatkan diri saya - semuanya berkaitan dengan kerja. ALhamdulillah. Permulaan yang amat baik.

Tuesday, July 12, 2011

Mencari masa

Saya sedang mencari masa. Mengharap dapat menyelesaikan hal-hal peribadi yang tertunggak.

Masalahnya, saya terlalu sibuk dengan hal-hal peribadi juga. Sepanjang hari di pejabat, saya sibuk berbincang dan bermesyuarat. Selalu juga tertidur sambil mengadap komputer bahkan kadangkala sewaktu memandu kenderaan.

Sampai saja di rumah, kedua-dua buah hati kecil saya akan datang dengan seribu satu ragam. Minta itu ini. masing-masing cuba menarik perhatian. Belum dikira buah hati yang besar-besar. Ada saja cerita dan kisah kasih mereka yang perlu saya perhatikan.

Hujung minggu saya sibuk bersama seorang anak gadis dan lima jejaka tampan berusia antara 1o bulan hingga 48 tahun....melakukan pelbagai aktiviti bersama.

Saya juga sibuk mencari ruang untuk mengisi dada saya dengan ilmu akhirat. Terlalu sedikit sebenarnya yang telah saya kumpulkan. Itupun banyak yang telah berkarat dan hampir terpadam. Selalunya saya rasa saya budak tadika. Yang baru cuba mengenal A,B,C.

Saya teringin untuk menyambung pelajaran dunia yang tinggal satu mata saja lagi. Saya sudah daftarkan diri dengan sebuah universiti. Malangnya, saya perlukan masa untuk mencari sijil-sijil yang diperlukan bagi tujuan pendaftaran.

Saya ketawa besar ketika mendapati lesen memandu saya telah lama tidak saya perbaharui! Bila agaknya saya dapat mencari masa untuk ke JPJ? Rasanya cuti tahunan saya masih belum luak walau sehari pun!

Namun saya bersyukur kerana berpeluang dan mengharap agar saya terus berpeluang mengisi hari-hari saya di sebelah malam di rumahNya. Ia amat melegakan dan menggembirakan. Mudah-mudahan masa saya yang sudah di penghujung usia ini sentiasa terisi dengan penambahan ilmu-ilmuNya sehingga ke akhirnya.

Friday, July 1, 2011

Enjoy Your frustation

Berbelas tahun yang lalu saya sering bersama beliau, menjadikan beliau mentor saya dan mengagumi apa yang beliau ada.

Antara falsafah beliau yang masih saya genggam erat hingga kini adalah:
"Enjoy your frustation".

Pemahaman saya agak kabur ketika itu untuk memahaminya. Namun saya cuba memahamkan dengan hati terbuka.

Selepas bertahun-tahun, saya dipertemukan dengan seseorang yang menasihatkan saya untuk sentiasa ingat ayat ini:

Ingatlah! Sesungguhnya wali wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Surah Yunus 62-63.

Saya ikut nasihat itu dengan sepenuh hati. Dalam menghadapi apa jua keadaan, saya akan ulang-ulang ayat-ayat Allah itu. Ianya memberi kesan yang amat ketara. Ketenangan itu meresap hingga terasa di segenap sudut diri. Percaya dan yakinlah.... Ia ubat penyakit hati yang paling mujarab.

Sewaktu mengerjakan Haji, saya menerima satu ilmu dari seorang jemaah. Pertanyaannya kepada saya "Kenapa tujuh?". Saya fikirkan, saya kaji serba sedikit, saya analisakan dan saya bentangkan kepada beberapa rakan yang sama-sama mahu mencari ilmu.

Saya temui sesuatu yang amat berkait rapat dengan falsafah "Just Enjoy Your Frustation" dan "Auliya tidak pernah berasa kecewa". Ianya adalah 7 tingkatan nafsu - dan ayat-ayat indah di atas berkait dengan nafsu tingkat keempat:

Naffsul Muthmainnah, tingkat nafsu yang kempat adalah nafsul Muthmainnah, keberadaan nafsu ini disebutkan dalam Surah Al fajr 27-31.

27- Hai jiwa yang tenang.
28- Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya.
29- Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku,
30- dan masuklah ke dalam surga-Ku.

Orang yang telah mencapai tingkat ini jiwanya jadi tenang , penuh rasa tawakkal, ridho dengan semua ketetapan Allah , tidak disentuh rasa duka , sedih dan cemas.

Untuk mencapai tingkat nafsu yang keempat ini nampak mudah kenyataannya teramat sukar....saya sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendaki....Bantulah saya. Semoga dapat saya kembali kepada Dia dengan hati yang puas lagi diredhaiNya.......Amin.