Thursday, July 31, 2008

Happy Birthday...

Setahun berlalu lagi...usia saya bertambah lagi hari ini. Alhamdulillah. Sepanjang kehidupan ini saya dikurniakan dengan kesihatan yang cukup baik, kerjaya yang memberangsangkan, anak-anak dan suami yang amat memahami, adik beradik dan sahabat handai yang menyayangi saya sepenuh hati tanpa mengharap balasan.

Di usia yang menginjak 'amat' dewasa ini, saya amat mensyukuri nikmatNya. Saya berdoa dan akan terus berdoa modah-mudahan segala pintu kemudahan dibuka untuk saya dan mereka yang menyayangi saya. Amin.

Tahun lepas saya menyambut hari lahir saya bersama pelajar-pelajar saya - BIA 8 2007; geng Rodzaidi, Anna, Syed, Amirul, Liana dan ramai lagi...tahun ini kedatangan saya disambut dengan tepukan gemuruh dan ucapan tanpa henti oleh rakan2 sepejabat. Kebetulan harijadi saya sama dengan seorang fresh Developer - Tan Chee Heng - yang muda 20 tahun dari saya!!! Terasa benar tuanya saya... Satu pejabat riuh rendah menyanyi untuk kami berdua. Jambangan bunga, kek, kuih dan hadiah demi hadiah dihulurkan. Apa lagi yang kurang dalam hidup ini??? Alangkah hinanya saya jika saya lupa bahawa Tuhan memberi yang paling baik buat saya - hidup saya dilimpahi dengan kasih sayang. Betapa ramai di luar sana mendambakan kasih sayang? Duit berjuta tanpa kasih sayang tidak bermakna....Tuhan bagi saya secukupnya untuk saya.

Berpuluh kali saya ucapkan Alhamdulillah. Bahkan setiap minit dan saat akan saya syukuri kurniaan ini.

Kad harijadi dari CEO berbunyi begini...

"You are my sunshine, my precious sunshine...U make me happy, lalalala..." Saya tersentuh. Ingatan darinya amat besar maknanya.

Tepat pukul 12 malam tadi, Boss di rumah bisikkan ucapan di telinga. Saya amat bertuah kerana dia tidak pernah lupa untuk mengingati saya sejak dua puluh tiga tahun dahulu!!! Janji kami tetap terikat kukuh, Insyaallah sampai bila-bila.

Nabilla nun jauh di Sarawak menalipon seawal pagi, Jimie memberi ciuman sebelum ke sekolah, Abo berjoget2 sambil menyanyi...Abey belom bangun tidur tadi....! Kak Ani, Epah, Anis, Kak Wi...awal pagi dah berderet sms dan panggilan. Ita Gonang, kawan sejak kecil, tak pernah lupa, termasuk hari ini. Salvinia, ex-student mengirim sms pukul 5 pagi dari Sabah, dan ramai lagi yang memberi ucapan di pagi hari. Sekali lagi, Alhamdulillah. Inilah kebahagiaan buat saya. Diingati, dikasihi, dihargai....dengan sepenuh hati.

Monday, July 28, 2008

Pulau Perhentian


Ikan-ikan dan karang-karang yang cantik-cantik di dasar laut...malangnya bukan saya yang ambil gambar ini...hehehe...saya hanya bersantai di atas bot....


CEO kami, Tuan Syed, kena tanam dalam pasir...Jarang sungguh jumpa CEO yang seperti beliau. Thanks Boss. Di bawah adalah main entrance resort cantik yang kami tinggal, Arwana Perhentian.


Saya bersama Nacer dari Washington DC. Kami bertemu di atas jeti (gambar bawah) di pagi hari yang indah...Nacer ingin menjadi menantu saya!!! Amacam Kak???



Saya, Jang, Mr Mano dan isteri dari Sri Lanka serta Nacer dari USA. Kami gembira berkenalan dan menghabiskan masa bersembang bersama-sama. Moga bertemu kembali.

Keseluruhan rombongan kami. Di Perhentian, tiada boss atau kuli. Kami rakan sepejabat...Pakai t-shirt kuning semuanya...cukup sepakat!

Gambar2 di atas dirakamkan sewaktu saya dan teman-teman sepejabat (45 orang kesemuanya) menghabiskan masa kami selama tiga hari tiga malam di Pulau Perhentian, Terengganu pada 24-27 Julai lalu. Ini adalah aktiviti tahunan dan ditaja sepenuhnya oleh pihak syarikat sebagai menghargai sumbangan kakitangan.

Indahnya pemandangan, seronoknya berada bersama teman2 yang memahami, gembira kerana dapat merealisasikan impian untuk menjejaki tempat yang penuh dengan keindahan alam kurniaan Illahi dan yang paling saya syukuri, CMSI Company Trip 2008 menjadi success story saya sebagai seorang event organiser yang berjaya! Saya berfungsi sebagai Organising Chairman dan saya dibantu oleh beberapa orang Managers serta diberi kepercayaan membelanjakan sejumlah wang yang cukup banyak untuk menjayakan hari-hari yang bersejarah ini...Alhamdulillah...

Kata orang tua-tua, benih yang baik, walau dicampak ke mana pun, akan menjadi pokok yang menghasilkan buah yang banyak....Ehem...

Wednesday, July 23, 2008

Kalut

Kalut betul saya hari ni. Lepas Subuh tadi, Boss mengadu pening kepala. Hujan pulak pagi-pagi, kenalah anta bujang saya ke sekolah. Balik dari sekolah, saya terkejut tengok muka Boss 'putih'. Kalau toreh sure tak keluar darah!

Berdebar saya melihat keadaan itu. Perlahan2 saya gerakkan dia dan suruh dia mandi. Meraba2 lah kawan ni nak ke bilik air. Katanya semua benda terbalik. Sebaik dia selesai membersihkan diri, saya bawa dia ke Darul Ehsan Medical Centre. Sepanjang perjalanan dia muntah...Aduh...saya pun rasa nak turut sama muntah...

Sampai di DEMC, Kak Liyan mengarahkan Boss baring di katil. Doktor terus datang merawat dan selepas melakukan pemeriksaan mata, telinga, tekak, perut dan entah apa lagi, Doktor mengesahkan Boss ada masalah 'in-balance'. Ada sesuatu di telinganya yang mengganggu keseimbangannya. Doktor pun cucuk dia dengan ubat, masukkan melalui drip satu lagi jenis ubat dan masukkan air pulak...perlahan2 saya lihat wajahnya semakin merah.

Saya tinggalkan Boss di DEMC seketika untuk ke pejabat. Ada workshop pagi ni, ada beberapa surat penting yang perlukan tandatangan saya dan ada satu masalah yang perlukan penyelesaian segera. Sampai di pejabat, kecoh lah pulak kisah saya jadinya...Tapi alhamdulillah, mereka memahami.

Saya berkejar semula ke DEMC, dan dalam perjalanan, Boss called kata yang dia dah discharge diri dia dan dah pun ada kat Bus Stop tunggu saya. Apalah mamat ni??? Sabarlah dulu....

Sampai di rumah, Boss tido dan tido..Hanya bangun bila saya gerakkan suruh solat dan makan. Pastu tido balik hinggalah lepas saya balik ambik Abey dari sekolah. Masih pucat, tapi jauh lebih baik dari pagi tadi.

Esok, saya akan ke Pulau Perhentian. Ini hal kerja, di samping mengambil peluang berehat dan lari sebentar dari kesibukan dan kekalutan. Namun, hati saya bersimpang siur...excitement lenyap melihatkan keadaan Boss yang tidak menggembirakan dan melihat wajah bujang2 di rumah yang redup semacam je....

Oh Perhentian!!! Akan ku jejaki bumi bertuah itu dan akan ku rakamkan kenangan indah di sana: bersama hati yang gundah gulana!!!

Monday, July 21, 2008

Hobi: Baca Buku

Pagi tadi saya sembang2 dengan Boss tentang kisah waktu kecik2 dulu. Macam2 kisah keluar, dari bab main teng-teng, main batu seremban, main galah panjang, main pondok-pondok, main konda-kondi hinggalah ke main kawin-kawin....hahaha..seronoknya!

Namun, sebenarnya, waktu main-main saya kebanyakannya di sekolah. Di rumah, saya tidak dibenarkan bermain bersama rakan-rakan sekampung. Arwah emak begitu memilih siapa kawan2 saya. Apa sebabnya, tak pernah pulak saya tanya. Mungkin pengalaman yang emak lalui menyebabkan beliau amat menghalang kami rapat dengan anak-anak kampung lainnya. Namun, mereka tetap kawan saya mengaji, kawan main kompang dan kawan main silat...

Lepas tu, Boss pun tanya saya..."Kalau mak tak bagi main dengan kawan2, Su buat apa lepas balik sekolah?". Jawab saya, "Baca buku". Ye...saya baca buku; buku cerita sebenarnya. Antara buku yang menjadi kegemaran saya adalah SALINA, LANGIT PETANG, dan sebuah buku karya Adibah Amin - tak ingat tajuknya; mungkinkah Pelangi Pagi? Saya mula membaca buku-buku ini sewaktu saya darjah dua lagi! Dari mana saya dapat buku-buku itu? Dari simpanan Abang sulong saya yang ketika itu bekerja sebangai guru di sebuah sekolah rendah.

Boss berpaling dan terlopong dengar penjelasan saya. Kata dia,"ee..boringnya. Baca buku? Komik baca tak?". "Tak. Mak tak bagi".

Itulah hobi saya sejak kecil: baca buku. Saya baca semua buku. Saya selalu habiskan masa di Kinokuniya ataupun MPH ,hanya untuk membaca buku. Jarang beli pun. Duit tak de...hehe. (Saya tahu kawan2 yang sewaktu dengan saya habiskan masa di SPA atau saloon). Kesian saya...

Minat saya ini turun ke anak saya, Nabilla. Waktu kecil, dia akan cari spot-spot yang tersendiri, seperti di bawah kerusi atau di balik almari untuk membaca buku, supaya jauh dari adik-adiknya. Sampai sekarang Nabilla dan buku tidak dapat dipisahkan. Bahkan kami pernah sampai ke KLCC seawal pukul 6 pagi untuk menjadi pembeli pertama buku Harry Potter...gara2 Nabilla...

Kenangan indah di awal kehidupan mengembalikan suasana indah dalam diri saya sekarang. Buat kawan2 sekampung saya - Amit, Fizah, Hawa, Ace, Wan, A'ang, Nong, Ajis, Anah - saya juga rindukan kalian. Namun jarak masa telah memisahkan kita. Kehidupan kita amat berbeza kini....Camana sekalipun, saya masih lagi Chokyah,anak Meru yang dulunya amat 'pemalu'....hahahaha!!!!

Sunday, July 20, 2008

Mee Jawa Kelang

Semalam kami sekeluarga bersama keluarga Abang Sahar dan Rozi bergotong royong membersihkan rumah arwah mak. Lepas makan, tidur, lepas tidur, makan aiskrim, dan kemudiannya kami pun mula menggondolkan pokok-pokok mak yang dah out of shape.

Riuhnya suasana. Seronok sungguh melihat budak2 berkejar2, menjerit2 dan menyanyi2 sambil memotong rumput2 dan semak samun di 'kebun' kecil kesayangan mak. Sedang asyik masing2 membersihkan tempat itu, tiba2 terdengar Abang menjerit...hahaha...dia dah tercantas habis pokok bunga kertas yang paling tinggi...kelakar sungguh lihat wajah Abang...pucat lesi. Macamlah mak akan nampak apa yang dia buat dan marahkan dia!!!

Lepas solat Asar, kami berarak ke Emporium Makan di Kelang untuk menikmati makan malam...yes! Mee Jawa dan Satay...Mee Jawa di Emporium Makan Kelang tiada tandingannya. Di situ lah tempat persinggahan kebanyakan orang Kelang...Nostalgia. Berebut2 kami bercerita pada anak2 apa yang boleh didiapati di sana selain dari Mee Jawa dan Satay, ada bubur cha-cha, air buah yang masam2 manis, Rojak mamak, lontong Kelang, Nasi Lemak Lido, Soto Ayam, mee hoon sup...dan banyak lagi yang semuanya sedap2.

Kelang...cinta yang tak pernah padam dari hati anak2 jati tempat bertuah ini...Ianya cukup istimewa.

Thursday, July 17, 2008

Penghargaan

Anak kecil saya, Abo, yang baru berusia 4 tahun cukup gila dengan rancangan katun. Sepanjang hari dia tengok katun. Yang menariknya, dia jadi pandai dan fasih berbahasa Inggeris hanya dengan menonton katun!

Satu yang paling obvious bila ber-bahasa Inggeris ialah kemampuan meng'ekspres'kan perasaan. Setiap pagi Abo akan memulakan harinya dengan memeluk dan mencium saya sambil mengucapkan, "I love you, Mommy...I love you soooo much!". Dengan si Bibik pun dia akan mulakan hari dengan perkara sama.

Jika dia melihat sesuatu yang cantik, tanpa segan dia akan kata, "Oh...it's soo beautiful!". Jika dia merasa makanan yang dia makan sedap, Abo tidak lokek untuk kata, "Mmmm...this is delicious! I love it". Ayat-ayat seperti "I miss you, Thank You very much, You are great, I am sorry, How are you doing, Can you please..., Can you help me..., Give me your big hug" dan macam2 lagi sentiasa diucapkannya dengan penuh perasaan.

Terfikir saya betapa 'cold'nya bahasa Melayu kita. Tidak...betapa 'sejuk'nya orang Melayu sebenarnya. Jarang sekali kita luahkan perasaan kita terhadap sesuatu yang berlaku. Sering terjadi perkara ini...Berhempas pulas emak masak untuk kita, bila dapat makan, bukannya kita expresskan sepenuh hati yang 'sedapnya...sayang mak...!", tapi, "nape mak tak masak lauk....bla bla bla". Atau mungkin "yang ni tak berapa masin la mak...". Peluk mak? Jarang sekali rasanya kita peluk mak dan kata ,"Sayang mak...". Agaknya kalau kita buat mak pun terkezut..."Dah buang tebiat agaknya?". Tapi, andainya kita selalu buat sepertimana Abo buat pada saya, sebagai emak, saya sentiasa rasa terharu bila dia peluk cium dan katakan yang dia sayang saya...Bila mak dah pergi, baru sibuk nak kata, "Rindunya nak peluk mak...Rindunya nak rasa mak masak" Masa mak ada, mak bebel sikit kita dah herot-herotkan mulut...hehehe...saya tengah mengata diri saya sendiri!

Itu antara anak dan emak. Antara suami dan isteri...ah...lagi haru. Penatla si isteri habiskan masa bersolek untuk suami, toleh pun tidak. Sering terdengar suami kata.."kenapa awak ni?". Padahalnya dalam hati kata "cantik bini aku", tapi langsung tak nak luahkan. Masaklah apa pun, suami tau suap je masuk mulut. Dah le pinggan pun tak nak ambik, lepas makan, bangkit je basuh tangan. Basuh pinggan? Haram... Nak kata 'it's delicious!', jauhhh...Nak kata 'thank you Darling...' mungkin pada 3 bulan pertama perkahwinan. Masaklah si isteri sampai berbau masam berpeluh, yang diingat bau masam, yang disebut, 'tak cukup garam'. Atau yang lebih menyakitkan, diam langsung...Makan, pastu sambung baca suratkhabar...Typical lelaki Melayu? Gamaknya. Tak caya, tengokla drama Melayu.

Entah kenapa kita ni selalunya jadi 'picky'. Atau 'finding fault'. Yang kita ingat dan nampak sangat ialah apa yang tidak dibuat atau apa yang tiada. Susah sangat ke nak beri penghargaan? Mahal sangat ke modal untuk kata, "Mmmmm...I love you' atau 'I'm sorry'...(To say Sorry is always the hardest thing to do....especially to Malay man!)

Agaknya, bila dah tiada emak atau isteri atau kakak atau adik atau sesiapa saja yang jadi 'assistant' kita, barulah kita kata, "How I wish she is still here with me...". Mulalah menyesal kerana tidak pernah cuba memberi penghargaan kepada apa yang setiap hari dilakukan. Tak mahal mana pun sebenarnya...sesen duit pun tak yah keluar... untuk memberi kata-kata penghargaan dan 'a big big hug...'. .

Try it! Express your feeling. You'll feel relieve...and I bet, You'll love it...

Sunday, July 13, 2008

Hati Berubah...

Hujung minggu berlalu dengan beberapa ‘kerja-kerja berfaedah’ yang telah saya lakukan. ANtaranya, saya dapat sediakan untuk makan tengahari ‘masak lemak cili api ikan kembung masin campur belimbing buluh’. Ini adalah antara resipi arwah Mak Mertua saya yang paling saya gemari…Mak ooiii…sehingga menjilat jari! (ehem…sendiri puji!).

Saya juga memenuhi undangan menjadi trainer bagi kursus ‘Managing Accounts Payable’ bagi sekumpulan peserta dari Sudan dan Oman. Alhamdulillah. Ianya berjaya saya laksanakan biarpun perjalanan ke Crown Princess begitu memualkan akibat dari ‘road-block’ yang berada di sepanjang Federal Highway…

Satu lagi ‘kerja berfaedah’ yang saya lakukan (selain dari ke pasar dan marahkan anak2 kerana buat sepah…), ialah membaca manuskrip karya terbaru penulis pujaan hati saya…hehehe…Dr MKI. Bertuahnya saya kerana mendapat lamaran beliau di antara seramai-ramai sahabat dan peminat setia penulis hebat ini untuk menjadi antara orang pertama membaca hasil terbarunya.

Dalam sendu dan tangisan sambil membaca bait-bait perkataan yang meruntun hati, saya terpukul sebenarnya dengan 'jiwa' karya ini. Saya adalah seorang yang jarang meminta. Namun, bebanan tanggungjawab di pejabat membuatkan saya rasa agak relevan untuk saya meminta sesuatu dari Boss. Saya sudah berkira-kira untuk berjumpa beliau esok dan akan saya luahkan apa yang saya rancangkan sejak dua minggu lalu…

Selepas membaca karya Dr MKI, saya malu yang teramat sangat dengan niat saya. Subhanallah….Astaghfirullah…Malunya saya kerana menyimpan hasrat tersebut. Saya terasa seolah-olah satu dunia mentertawakan saya!!! Ampunkan aku Ya Allah…..

Sepatutnya saya minta dari Allah. Sepatutnya saya tidak simpan niat untuk meminta dari Boss saya… Aduuhhhh...

Kepada Dr MKI, saudara telah membuat saya ‘berpaling’ dari ketaksuban dunia. Bayangkan betapa mudahnya perasaan seorang manusia berubah. Sebelum ini, saya menerima gaji yang seciput untuk satu tanggungjawab besar. Saya sentiasa bersyukur dan berpuas hati dengan ganjaran yang saya terima sebelum ini. Baru tiga bulan saya menerima ganjaran yang jauh lebih besar, tapi saya sudah mula impikan yang lebih banyak….Terimakasih Dr MKI…terimakasih….

Saya berani katakan - buku ini juga akan memenuhi carta buku terlaris di pasaran - sebaik ianya diterbitkan. Bravo my friend!

Tuesday, July 8, 2008

Kena Kapur...

Hahaha..sudah terkena!!!

'Boss' di rumah kena kapur semalam. Mujur...dalam pada dok bincang2 tu, dia terhidu sesuatu yang agak 'stinky'. Walaupun dia dah keluarkan duit yang 'penyamun' tu nak, dia hanya beri seciput buat testing. Ciput-ciput pun banyak gak...lepas duit minyak nak gi kerja seminggu!!!

Tunggu punya tunggu, 'penyamun' tadi sudah pergi dengan senang hati bersama duit yang diberi. Termangu lah kawan kita tunggu...habuk pun tarak... Bayangkan..apa agaknya anak saya Jimie akan buat kat anak dia??? Kalau betullah budak tu anak dia...ntah kot sama 'penyamun'...

Suami saya cukup menyesal dengan apa yang telah dia lakukan. Sampai pagi tadi dahi dia berkerut dan muncung je. Saya kata, 'lupakan je. Janganlah dok ingat lagi'. Dia jawab,'nape lah bodoh sangat...'. Dah nak kena...camana?

Itulah kita. Senang sangat percaya...Tak salah, tapi mungkin keadaan ekonomi yang semakin parah mendesak segelintir manusia untuk jadi 'penyamun'. Bila ada penyamun, adalah yang kena samun....Ada yang akan ketawa, dan pastinya ada yang akan menangis. Macammana sekalipun, Allah tahu setakat mana kita mampu tanggung bebanan...Itu janji Dia.

Ask, and you will be given...

Joli Sakan...

Gembiranya rasa hati...bukan saya, tapi 'Boss' saya. Kepala dia tengah pening fikirkan mana nak cari duit untuk beberapa perkara...antaranya, beli laptop untuk Nabilla, beli but baru untuk Jimie yang ada tournament hujung minggu ni, bayar sewa tapak promosi dan entah apa2 lagi yang semuanya due pada minggu ini...Abis masak semua orang dengar dia membebel...Nape lah ko rosakkan but tu? dan macam2 lagi.... Saya nak tolong banyak pun tak boleh sebab orang makan gaji ni manalah boleh harap dapat extra selain gaji sebulan???

Tengahari tadi dia mengamuk sebab Jimie keluar lambat dari sekolah. Dekat setengah jam 'Boss' saya ni tunggu. Tapi, tak sampai 5 minit lepas dia kol dan marah2 sebab Jimie tak keluar, dia kol saya balik dan tanya dengan nada cukup lembut, "eh...ada extra cash tak?". Lalu dia bercerita tentang pertemuannya dengan seseorang...teman lamanya; semasa dia tunggu Jimie tadi....

Hilang kisah marah sebab tunggu Jimie lama, 'Boss' jadi cukup teruja bila dapat tahu apa yang dia dapat beli, dengan jumlah duit yang dia dah put aside untuk Nabilla beli laptop, 3 biji laptop Dell pentium 4, 2 buah handphone N95 dan sebuah TV LCD 32".... Bohong!!! Tapi betolll....!!! Nanti saya cerita yang selebihnya bila barang2 tu dah ada kat umah....ehem..

Thursday, July 3, 2008

Merisik dan Meminang (2)

Di bawah ini adalah hasil kajian anak saya, Najmie, bagi matapelajaran Sejarah Tingkatan 3 tentang Adat Perkahwinan Melayu. Kajian ini saya kira cukup lengkap dan amat berguna untuk renungan kita bersama...Thanks Mie.
________________________________________________

1. Menilik atau Merisik

Menilik atau merisik pada hakikatnya adalah adat yang memang baik dan berguna jika ia dijalankan bersesuaian dengan tujuannya, iaitu untuk memilih dan mengetahui latar belakang bakal menantu perempuan dalam sesebuah keluarga Melayu. Ini adalah untuk memastikan para ibu bapa tidak tersilap pilih dan dapat mencari yang terbaik untuk anak lelaki mereka.

Apabila ibu bapa seorang lelaki telah menetapkan fikiran mereka yang anak mereka itu sudah sampai masanya untuk berumahtangga dan patut dikahwinkan, mereka akan mencari dan memerhatikan beberapa orang daripada anak-anak dara yang mereka kenali, dan kemudian mereka memilih salah seorang di antara mereka yang dirasakan sesuai dan padan untuk dijadikan menantu. Mereka akan mula menyelidik tentang latar belakang anak dara tersebut melalui saudara-mara dan sahabat handai. Latar belakang bukan hanya bermaksud melibatkan hal keluarga anak dara tersebut, tetapi juga tingkah laku keperibadian dan kesucian anak dara itu. Ini kerana, faktor dara atau kesucian seseorang gadis amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu. Istilah sudah ditebuk tupai bukan sahaja akan memalukan seluruh keluarga lelaki, malah di kalangan masyarakat Melayu, pihak lelaki dianggap dayus sekiranya mereka mengahwini anak dara yang sudah tidak mempunyai dara lagi. Sekiranya pihak perempuan merahsiakan hal ini dari pengetahuan pihak lelaki, pihak lelaki berhak menceraikan isterinya jika dia menyedari yang dia telah ditipu setelah melalui malam pertama. Ini kerana, sudah menjadi adat masyarakat Melayu menetapkan nilai mas kahwin dan hantaran yang berbeza bagi seorang anak dara dan seorang janda. Nilai bagi seorang janda adalah separuh daripada nilai seorang anak dara.

Selain itu, pilihan yang tepat adalah difikirkan perlu bukan sahaja terhadap diri anak dara terbabit, tetapi juga ibu bapanya. Ini adalah kerana orang-orang Melayu dahulu berpegang kuat kepada perbidalan Melayu "Kalau hendak meminang anak, 'pinang' ibu bapanya dahulu”.Anak dara yang biasanya menjadi rebutan dan pilihan utama adalah anak dara yang sudah khatam Al-Quran, fasih dalam bacaan dan mahir membaca Al-Quran dalam lagunya serta mempunyai sedikit sebanyak tentang pengetahuan dan hukum-hukum dalam agama Islam. Begitu juga mereka akan dinilai dari segi rupa paras yang elok dan beberapa kemahiran asas yang lain seperti menjahit, menekat dan memasak.

Dalam adat menilik atau merisik, selepas anak dara yang sesuai dipilih, biasanya wakil dari pihak lelaki akan datang ke rumah anak dara tersebut. Biasanya rombongan ini akan hanya disertai oleh ahli keluarga perempuan bagi pihak lelaki. Kedatangan ini bertujuan untuk berkenal-kenalan dengan keluarga pihak perempuan di samping melihat sendiri wajah dan tubuh badan anak dara tersebut. Kedatangan ini juga bertujuan untuk memastikan sama ada anak dara tersebut sudah dimiliki orang ataupun belum. Ada sesetengah rombongan yang hanya datang untuk melihat anak dara tersebut dan bersuai kenal dengan ahli keluarganya tanpa mengikat sebarang perjanjian atau memberi kata putus, namun ada juga yang terus mengikat janji persetujuan untuk menetapkan tarikh peminangan. Ini semua bergantung kepada pihak keluarga lelaki terbabit.

Ada rombongan yang datang tanpa diberitahu dan ada juga yang datang setelah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak perempuan. Pada fahaman dan kepercayaan orang tua-tua, apabila kedatangan menilik atau merisik itu dilakukan dengan tiba-tiba sahaja dan secara kebetulan pada waktu itu didapati anak dara tersebut sedang mandi atau mencuci pakaian, maka ia membawa suatu petanda yang baik, iaitu menunjukkan jodoh pertemuan yang sejuk. Ini kononnya membawa maksud bahawa jika kedua-duanya jadi diikat sebagai suami isteri, kehidupan mereka akan menjadi senang-lenang dan keadaan rumahtangga mereka akan sentiasa aman muafakat. Akan tetapi, sekiranya sewaktu rombongan datang, anak dara tersebut sedang memasak, maka ia membawa alamat kurang baik kerana dengan yang demikian, kononnya, membawa petanda panas, iaitu tidak begitu baik. Begitu juga dipercayai oleh orang tua-tua Melayu dahulu bahawa jika sewaktu di dalam perjalanan rombongan hendak pergi merisik anak dara berlaku sesuatu bencana seperti terdapat kayu di tengah-tengah jalan, iaitu sesuatu yang dianggap menggendalakan, maka ia juga dikatakan membawa petanda yang kurang baik terhadap jodoh tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu moden kini, kepercayaan-kepercayaan sedemikian tidak lagi diamalkan dan dititikberatkan. Malah, tidak mustahil dikatakan sebilangan besar masyarakat Melayu kini kurang memahami alamat-alamat dan petanda yang datang kepada mereka.

Setelah selesai adat menilik, rombongan tersebut akan pulang. Satu rundingan akan diadakan di antara ahli keluarga pihak lelaki yang melibatkan adik-beradik dan waris terdekat untuk mencari kata putus tentang hal tersebut. Mereka kemudiannya akan berbincang untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk menjalankan adat meminang dan pertunangan


2. Meminang dan Bertunang

Setelah kata persetujuan dicapai oleh keluarga di pihak lelaki, wakil dari pihak lelaki yang biasanya dipilih dari kalangan orang tua-tua akan diutuskan oleh ibu bapa lelaki tersebut untuk mewakili mereka meminang anak dara yang telah dipilih. Biasanya, ibu bapa kepada anak dara tersebut tidak akan memberi jawapan yang muktamad kepada pihak yang datang meminang kerana mengikut adat, mereka sepatutnya diberi tempoh untuk memberi jawapan atau dipanggil bertangguh. Ini kononnya kerana hendak berpakat dengan ahli-ahli keluarga dan waris yang rapat, walaupun sebenarnya mereka memang sudah bersedia untuk menerima pinangan itu. Sebenarnya, adat bertangguh ini mencerminkan budaya Melayu yang amat berhati-hati dalam menentukan jodoh dan menunjukkan kesopanan dalam setiap tingkahlaku. Sudah menjadi rutin dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu untuk tidak tergopoh-gapah dalam mengendalikan apa sahaja dan adalah menjadi pegangan bahawa setiap hal yang dilaksanakan perlu dijalankan dengan rapi dan tersusun mengikut adat yang ditetapkan.

Setelah tamat tempoh yang diberikan, biasanya 2 hari, namun ada juga yang sampai seminggu, pihak perempuan akan menghantar rombongan yang dihadiri oleh orang tua-tua yang mewakili pihak mereka untuk memberikan jawapan. Sekiranya pinangan diterima, pada pertemuan itu mereka akan berbincang tentang segala syarat berkenaan mas kahwin dan hantaran perbelanjaan majlis perkahwinan. Tarikh yang sesuai juga akan dipilih untuk melangsungkan perkahwinan. Sekiranya perkahwinan itu agak lambat dijalankan, pihak lelaki biasanya akan Menghantar Tanda terlebih dahulu kepada pihak perempuan.

Konsep Menghantar Tanda adalah diertikan sebagai “putus cakap”. Ini bermaksud pinangan dari pihak lelaki sudah pun diterima oleh pihak perempuan. Oleh yang demikian, maka penghantaran tanda daripada lelaki kepada anak dara yang bakal dikahwininya akan dilakukan melalui upacara bertunang. Upacara ini membawa pengertian bahawa anak dara tersebut sudah pun dimiliki dan kini dipanggil tunangan orang. Tanda yang dihantar oleh lelaki tersebut mengikut adat lazimnya adalah sebentuk cincin sahaja, iaitu cincin berbatu intan atau berlian, besarnya mengikut citarasa dan kemampuan ibu bapa lelaki tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu, selain cincin, beberapa barangan lain turut diberikan seperti sepasang kain dan selendang, selipar atau sepatu, kuih-muih, manisan, dan yang paling utama dan dianggap sakral, sirih junjung. Semua hantaran akan dihias dengan cantik dan menarik serta akan dibalas oleh pihak perempuan sebagai tanda setuju menerima pinangan. Jumlah hantaran yang dihantar oleh pihak lelaki akan dibuat dalam angka ganjil dan dibalas lebih oleh pihak perempuan, selalunya sebanyak dua dulang. Contohnya, jika pihak lelaki memberikan 7 hantaran dulang, biasanya pihak perempuan akan membalas 9 dulang. Hantaran dari pihak perempuan biasanya berupa sirih junjung, sepersalinan baju melayu, capal dan kuih-muih.
Sekiranya dalam tempoh menunggu diijabkabulkan, ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak lelaki, maka cincin dan segala barang hantaran tidak boleh diminta semula dari pihak perempuan. Berbeza pula halnya jika ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak perempuan. Jika ia diputuskan tanpa sebarang sebab yang dapat diterima umum, maka pihak perempuan hendaklah mengembalikan semula segala hantaran yang telah diberikan oleh pihak lelaki itu dalam nilai sekali ganda banyaknya atau harganya. Selain dari adat pertunangan yang disebutkan di atas, terdapat 2 lagi cara pertunangan yang juga wujud dalam adat resam Melayu, iaitu :
•  Pertunangan yang dilakukan oleh ibu bapa kedua-dua pihak sewaktu anak mereka masih kecil lagi, dan ini tidak memerlukan penghantaran tanda. Hal ini berlaku mungkin kerana ikatan persahabatan yang erat dan mesra di antara ibu bapa kedua belah pihak dan ikatan itu diharapkan dapat merapatkan lagi ikatan silaturrahim antara mereka. Pertunangan yang demikian biasanya dihormati dan dilangsungkan sehingga kedua-dua anak itu berkahwin.
•  Pertunangan mengikut wasiat salah seorang daripada ibu bapa yang telah meninggal dunia di antara dua buah keluarga. Ini juga tidak memerlukan penghantaran tanda dan biasanya diakhiri dengan ikatan perkahwinan.

Semoga apa yang dipaparkan akan menjadi pedoman buat kita, mak ayah yang nak pinang anak dara orang untuk anak atau menerima pinangan bagi pihak anak, dan buat adik2 yang masih trang tang tang tu, bolehlah guna masa nak dipinang atau nak meminang....
Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan...betul ke peribahasa ni???

Wednesday, July 2, 2008

Adat Melayu - Merisik dan Meminang

Saya mendapat panggilan talipon dari kakak saya, Kak Ani, yang berada di JB. Dalam hati kata, "mesti ada hal"....Selalunya begitu. Bagi Kak Ani, "no news means good news"...

Betul seperti yang dijangka. Kak ANi buntu dan keliru sekarang. Puncanya: anak teruna beliau hendak meminang anak dara orang.... Kak Ani agak 'tersendiri' dalam pergaulannya. Beliau tidak berapa gemar bergaul dengan ramai orang; for some reasons. Jadi, bila tiba bab2 seperti ini, saya yang muda hampir 10 tahun dari beliau menjadi bahan rujukan! Bukanlah sebab saya ni ada pengalaman, tapi mungkin saya ni selalu buka mata dan telinga kut...

Saya pun terangkan secara detail kepada Kak Ani adat Melayu kita. Mula-mula sekali merisik. Kalau dulu hantar wakil, kini mak ayah bolehlah gi rumah pompuan, risik2lah samada si dia dah berpunya ke belum. Kalau salam kita bersambut, maknanya kedua belah tangan bertepuk...berbunyi lah ia. Serahkanlah sebentuk cincin, yang dinamakan 'cincin tanya'. Selalunya cincin ni yang comel2 je....

Pas tu, kita pegi next step, meminang. Yang ni selalunya besar sikit majlisnya. Kalaulah anak dara saya yang dipinang, dah tentu rumah saya penuh. Tak payah orang lain, adik beradik je dah penuh serumah! Kali ni rombongan lelaki datang dan 'cincin tunang' akan disarung ke jari manis si dara, tanda pasti dia telah diikat. Majlis diadakan untuk memberitahu orang si dara kini akan menjadi milik si teruna tidak lama lagi. Dalam Islam sendiri ada menyatakan 'tidak boleh dipinang seseorang yang telah menjadi tunangan orang'.

Selain dari cincin, selalunya kita akan bawa bersama tepak sirih dan sepersalinan. Tepak sirih ni menurut kata arwah mak dulu, sebelum bicara dibuka, orang tua2 akan memulakan dengan makan sirih.... Sapa lah yang nak makan sirih la ni..tapi, adat tetap adat!

Dalam majlis ini, beberapa perjanjian akan dibuat. Contohnya, bilakah masa untuk akad nikah, berapa jumlah hantaran, berapa dulang yang perlu disediakan dan entah apa2lah lagi.

Kak ANi betul2 gabra mendengar penerangan saya. Katanya, urusan merisik telah dibuat, tapi tak ada bagi apa2 pun! Maknanya, minggu depan, Azizul, anak sedara saya akan meminang lah pulak! Kak ANi bercadang nak ke rumah perempuan berdua je dengan abang ipar saya!!! "Hey...mana boleh!" kata saya. "Kak Ni gi berdua dengan ABang An, alih2 rumah Minah tu penuh dengan sedara mara dia! Apa Kak ANi nak buat nanti? Sengih je?""Betul jugak", jawab Kak Ani.

Saya kata, "gi lah dengan dua tiga pasangan lain....kawan2 or sedara mara. Bawa sekali 'cincin tanya', 'cincin tunang', tepak sirih dan sepersalinan". Lagi gabra Kakakku ini..."Sempat ke nak ke Euro Moda?". "Buat pe?", tanya saya. "Nak beli kain?". "Eh, tak yahlah Euro Moda. Jekel pun dah ok untuk tunang munang ni. Euro Moda reserve untuk hantaran kawin nanti"....Oooooo....

Saya jelaskan pada Kak ANi, walaupun kita ni simple orangnya, tidak semua orang seperti kita. Siapa kita untuk mengandaikan yang orang lain pun semudah kita. Ada orang yang berpegang kuat kepada adat dan budaya Melayu. Bagi kita, mungkin sesuatu perkara itu kecil dan remeh, tapi bagi orang lain, ianya besar dan bermakna. Selagi kita berada dalam kelompok orang Melayu, kita kenalah juga beradat dan berbudaya Melayu. Mungkin Kak Ani dan Abang An agak ke arah moden dan simple; mengikut kaedah Islam-Amerika kerana di sana mereka dididik, namun hakikatnya, kita di Malaysia. Adat Melayu menjadi tunjang kehidupan kita sehari-hari!!!

Alahai....entah macammanalah agaknya saya nak menempuh situasi2 ini nanti....Anak dara ada sorang je, anak teruna pulak ada tiga! Kenalah banyak menimba ilmu lagi...