Monday, August 30, 2010

Hari Raya datang lagi....

Alhamdulillah hari ini telah 20 hari umat Islam di Malaysia berpuasa. Ada 10 hari lagi yang tinggal.

Di 'masa-masa kecederaan' ini, semua yang memahami akan berkejar-kejar mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Semua mahu mendapat 'Lailatul Qadar'. Ganjarannya? Subhanallah... 1000 bulan yang bersamaan dengan 80 tahun kehidupan....Kalau setiap tahun kita dapat Lailatul Qadar, sudah tentu tidak terkira timbangan ganjaran yang Allah beri... Mudah-mudahan kita semua dapat bertemu Lailatul Qadar tahun ini.

Kemeriahan hariraya mula terasa bila Abo sibuk bermain bunga api di luar rumah. Lagu Raya berkumandang di sana sini. Semua orang sibuk membeli belah dan jalan penuh sesak. Namun, di rumah kami, ianya adalah 'business as usual'. Kami tidak pernah peduli untuk mengganti langsir, sofa, karpet ataupun lampu lip lap.

Kami akan sibuk di kedai membantu Boss hingga tengah malam Raya. Selalunya saya akan masak lontong, rendang dan sebagainya pada petang sebelum Raya dan kami akan berbuka di kedai bersama-sama. Di pagi Raya, kami akan bersembahyang Raya di Masjid Negeri bersama ribuan pendatang asing dari Indonesia, India, Myanmar, Bangladesh, China, Vietnam....bagaikan di United Nation. Di sinilah kampung anak-anak saya....

Kemudian, kami akan bergumbira di rumah, ambik gambar pelbagai pose...sebelum kami menziarah sanak saudara yang masih tinggal di kampung yang hanya 20 minit perjalanan dari rumah kami. Sejak ketiadaan Mak, hari raya terasa suram. Makanan sedap dan istimewa tiada lagi...Rumah cantik berhias hanya tinggal kenangan....

Andai Mak masih ada, pastinya waktu ini dia sudah sibuk dengan persiapan kuih muihnya. Habis semua cucu-cucunya dikerah membantu menurunkan langsir, mengganti itu dan ini, membersihkan segala benda....

Itu semua hanya memori indah. Saya akan menulis lagi tentang persiapan hariraya ketika zaman Mak dan Bapak saya masih ada....suatu waktu dahulu....

Suatu hari di hari raya....aku melihat wajah sepi ibuku...aku melihat wajah kasih ayahku...ku gembira.

Friday, August 27, 2010

Dua hambaNya....

"Mana pegi kereta ko?"

"Workshop"

"La...dua-dua rosak? Abis tu, ni kereta siapa?"

"Sewa".

"Kenapa tak cakap? Kereta buruk kat rumah tu dok diam je...Bawak je lah, tak payah sewa."

Saya senyum. Terharu dan hampir menitis airmata. Mulia sungguh hatinya. Dia memang begitu. Saya doakan Allah terus merahmati kehidupannya. Bak kata anaknya, "Kami tidak mewah, tetapi hidup kami senang."

******************************************************

Minggu lalu:

"Boleh pinjam kereta tak? Urgent sangat ni. Nak hantar budak-budak pegi sekolah. Kereta masuk workshop."

"Aaaaa.....kereta kancil tu problem la. Hari tu accident masih tak sempurna lagi mekanik tu baiki. Satu kereta lagi tayar dah gondol. Kereta yang satu lagi nak guna."

"Tak pe lah....bagi pinjam kancil tu je..."

"Tak boleh kut...nanti apa-apa jadi, susah."

Saya senyum. Pahit. Dia ada segala-galanya, material. Namun, Tuhan masih belum bukakan hatinya untuk membantu oranglain yang dalam kesusahan. Saya doakan Tuhan memberi yang terbaik buatnya. Saya pinjam kata-kata anaknya, "Ala....rosak karang beli lain..." RM500 bagaikan RM5 buat mereka.

***************************************************

Ya Allah, jadikanlah aku manusia yang sentiasa merendah diri dan tidak berburuk sangka kepada manusia lain. Jadikan aku dan keluargaku manusia yang sentiasa membantu mereka yang memerlukan. Sentiasa mendahulukan orang lain dari diri kami sendiri....Ya Allah, aku pohon hanya dariMu agar Kau keluarkan keluargaku dari segala kesulitan yang membelenggu kehidupan kami dan Kau permudahkan segala urusan kami Ya Allah.. Perkenankanlah doa hambaMu yang kerdil dan lemah ini, Ya Rabbi...

Wednesday, August 25, 2010

Muhammad vs Abo

Saya sedang asyik menaip sementara menunggu kedatangan Limah dan Akma. Datang seorang ibu muda yang menyorong kereta sorong anaknya, membelek butang baju Melayu. Sewaktu melayan wanita ini tadi, saya terpandang anaknya yang berada dalam kereta sorong.

Oohhhh...anak istimewa rupanya.

Saya dekati anak tadi, yang bernama Muhammad. Dia tersenyum manis memandang saya. Kedua-dua tangannya yang kurus tergenggam rapat. Kakinya kurus dan tulang dadanya tinggi. Subhanallah....

Senyuman Muhammad mengundang airmata saya.

"Berapa umur dia?"

"Enam tahun Kak".

"Oh...sebaya dengan anak saya. Dia memang lahir macam ni atau kerana dia sakit?". Mulut saya sibuk bertanya sambil saya hulurkan mainan ke arah Muhammad yang semakin lebar senyumannya.

"Dia lahir tak cukup bulan. Doktor paksa dia lahir, untuk selamatkan nyawa saya. Saya pengsan disebabkan tekanan darah terlalu tinggi. Waktu itu oksigen tidak cukup untuk bekalan dia..." Ibu muda tadi menjelaskan dengan terperinci.

Muhammad hanya terbaring menelentang. Dia punya keinginan, namun tiada upaya.

Ibu muda tadi bertanya tentang anak saya pula...

"Anak akak dah tadika lah ye?"

"Ye. Dia masuk tadika Islam".

"Dah pandai membaca, solat, mengaji agaknya ye?"

"Alhamdulillah. Dia diajar dan dilatih dengan baik sekali oleh guru-guru di sekolahnya. Bolehlah, untuk dia...."

"Itu pun dah syukur sangat Kak..."

Saya rasa tercekik. Nak telan air liur pun tak lepas...

Betapa bertuahnya saya... Abo bukan setakat boleh membaca, menulis dan mengira, dia juga sudah hafaz beberapa surah pendek dan boleh membaca Quran. Dia sudah tahu solat tanpa dibantu, sudah hafal bacaan-bacaan dalam solat dan boleh berzikir, dan berpuasa hampir penuh!....Dia juga sering menegur sesiapa yang minum sambil berdiri, memegang cawan dengan tangan kiri, makan sambil bercakap dan menolak bakul makanan dengan kaki! Saya yang kadang-kadang termalu dengan 'mulut lasernya'....

Kebetulan di kedai kaset sebelah, kedengaran surah Rahman sedang didendangkan....

"Maka nikmat Tuhan manakah yang Engkau dustakan?"

Aku berjanji tidak akan mendustakan nikmatMu...Aku akan sentiasa mensyukurinya, Ya Allah....

Orang Kampung...datang ke kedai...


Tiap kali tibanya Ramadhan, Boss akan sibuk dengan jualan promosinya. Setiap tahun beliau akan pulun kerja gila-gila menjual apa saja....khas untuk hariraya. Sejak beberapa tahun lalu, Boss tumpukan jualannya di ruang legar Kompleks PKNS Shah Alam. Beliau menjual kerongsang, butang baju melayu dan selendang, dan sambutan memang menggalakkan. Walaupun peniaga lain pulun baju kurung dan baju melayu, Boss tetap berminat dengan barang perhiasannya. Modal tidak terlalu besar, dan tidak banyak saingan.

Kali ini, saya dapat bantu Boss hampir sepenuh masa. Biarpun sibuk dengan kerja saya sendiri, tetapi saya tidak perlu gam punggung saya di kerusi pejabat lagi. Saya bebas tentukan masa saya sendiri dan saya akan keluar bermesyuarat atau bertemu pelanggan di masa yang saya fikirkan sesuai- selepas pukul sepuluh pagi dan sebelum pukul empat petang - selalunya begitu. Selainnya, saya sentiasa 'online'. Bagus sebenarnya konsep 'work from home' ni.

Pagi tadi, saya bantu Boss di gerainya kerana banyak stok baru yang perlu dimasukkan - tagging, pricing dsb -. Dalam ramai-ramai pelanggan yang datang, Boss beria-ia melayan seorang kakak yang datang dengan anak dan maknya.

Dari cara mereka bercakap, saya rasa saya tau mereka orang Muar. Maka saya pun menyampuk...."Makcik raya balik mana?"

"Muor..."

Boss apa lagi lah... "La...saya orang Muor jugak. Saya Sungai Mati. Makcik?"

"Jalan......(lupa)."

"Oh bandar...."

"Ko Sungai Mati anak sape?"

"Saya anak Mad Zen...rumah kami di Bukit Kangkor...(Kangkar)"

"Mad Zen? Ada sesiapa lagi sedara mara ko, cuba sebut? Makcik memang asal Sungai Mati..."

"Sedara mara saya.... Uda Amid, Tok Mat Merah, Cikgu Zaaba... bla bla bla..." (Saya lupa nama-nama mereka ni....sebab saya jarang dibawa balik ke Muor....hehehe.

"Mmmmm...kalau Cikgu Zaaba tu...sedara Makcik. Dah tentu kita ni sedara. Ko bagi Makcik nombol talipon ko. Nanti Makcik datang lagi....."

"Nama saya xxxx bin Mohd Zain. Bapak saya, Mohd Zain bin Yusuf". kata Boss sambil menulis nombor talipon beliau.

Tiba-tiba Makcik tadi menepuk lengan Boss sekuat-kuatnya.

"Lailahaillallah....anak Mad Zain? Mak ko nama Mazenah (Maznah)? Atok ko belah Mad Zain nama Peah...belah Mazenah nama Suteh...?"

"Iye Makcik..."

"Makcik dengan Bapak ko tu dua pupu! Mazenah tu pangkat anak sedara Makcik. Dulu Makcik satu kelas dengan Mazenah!" Saya lihat dipeluknya kepala Boss...Terharu!

"Apa kabo Mad Zain dengan Mazenah sekarang? Mana duduknya? Dulu Makcik pernah pegi makan kat umah ko....kat Kelang kan? Sihat Mak Abah ko?"

"Abah dah lama meninggal Makcik. Dah sepuluh tahun. Mak ninggal dua tahun lepas...."

Makcik tadi terus terduduk atas kerusi yang terletak berhampiran. Dia tunduk sambil ditariknya perlahan hujung tudungnya dan dikesatnya airmata yang mengalir tiba-tiba....

"Lama aku tak dengar berita....dah tak ada kawan-kawan aku tu ye? Sapah tak bagitau aku.....Yelah...aku pun dah lama tak jengah kampung.....".

Boss peluk bahu Makcik tu erat. Saya juga nampak matanya bergenang....

Saya pasti, tigapuluh tahun akan datang, samada saya akan jadi 'yang dah tak ada' atau 'yang masih ada, dan dilupa....'

Terus saya dendangkan lagu Alleycats di kepala...

'....di sini...ku rindu...kampung halaman yang lama ku tinggalkan.....'

Bukan saya lupakan kampung...namun apa yang tinggal kini hanyalah jejak-jejak kenangan....Senyum manis manusia-manusia yang saya kenali semakin tiada....sebak dada....

Saturday, August 21, 2010

'Pline Cake' Nenek Yah...

Arwah Mak suka mencuba masakan. Beliau ikut kelas memasak W.I di serata daerah Klang. Saya selalu menjadi peneman beliau.

Mak buta huruf. Beliau tidak pernah ke sekolah, dan saya masih ingat Mak hadiri 'kelas dewasa', macam dalam cerita Pendekar Bujang Lapok....'alif ya mim...buaya!'. Setiap kali Mak hadir kelas memasak, saya akan ditugaskan menulis resipi untuk beliau di dalam buku kulit tebal kepunyaan Ulong waktu tingkatan 5.

Resipi di buku Mak membantu Mak mencuba pelbagai jenis masakan. Antara yang paling digemarinya ialah Kek Buah, Apam Moden, Kueh Roda Dunia, Karipap Kobis, Kek Pisang dan "Pline Cake'. Saya tidak pasti samada ia sepatutnya berbunyi 'Plain Cake' atau apa...tetapi, saya pasti, di buku itu, ia tulisan saya sewaktu darjah dua. (Siap ada tarikh masa menulis...).

Buku resipi Mak saya temui dalam keadaan tidak berharga di bawah almari yang hampir runtuh di rumah Mak. Adik bongsu saya, (tuanpunya rumah tersebut kini) tidak pernah punya kenangan kepada buku itu. Saya kutip, saya tampal balik helaian kertas yang bercerai berai dan tiap kali membelek buku tersebut, saya akan terkenang kisah saya dan Mak.... Sayu dan pilu terasa, kerana saya amat merinduinya...

Minggu lalu, sewaktu saya mengambil Quran yang berada dalam kabinet yang sama dengan buku resipi Mak, tergerak di hati saya untuk mencuba kek yang menjadi kegemaran Mak, Pline Cake. Kebetulan keluarga besar saya akan datang berbuka puasa di rumah kami.

Abo cukup gembira tiap kali saya bakar kek. Dia sibuk mengayak tepung, memukul telur dan mengacau saya. Lemas dibuatnya...tetapi itulah saya 40 tahun lalu! Kacau Mak masak...

Selepas berbuka, saya pinta Kakak-kakak saya makan 'Pline Cake' saya. Kak Non terdiam sejenak selepas kunyahan pertama....Ini macam kuih Mak....Itu komen beliau. Kak Wie, Epah dan yang lain terus mengambil sepotong dan merasa...Ha'ah lah...Mak punya Pline Cake....

Kami bernostalgia sambil menikmati Pline Cake Mak. Anak-anak dan anak-anak sedara gelar Kek Nenek Yah.... Sebelum pulang, masing2 minta dibekalkan dengan kek tersebut...

Semalam, Pak Uteh, adik ipar saya. minta saya buatkan lagi kek Nenek Yah...saya gembira kerana saya mewarisi tinggalan Mak yang amat tinggi nilainya.... Saya suka memasak, dan mencuba berjenis-jenis masakan...saya juga mewarisi nama Mak. Cucu saudara kami yang pertama, Zafaran, panggil saya "Nenek Yah".... Mak, anak Mak ni rindu sangat kat Mak....

Thursday, August 19, 2010

Rezeki secupak takkan jadi segantang?

Semalam, rumah kami bergelap. Sejak pukul 1 pagi, hingga ke petang semalam. Walaupun TNB telah datang, namun ada yang perlu dilakukan dengan 'wiring'.

Dalam panas, kami menyiapkan juadah berbuka secara ala kadar. Dalam masa sama, saya sibuk keluar masuk rumah meninjau kerja-kerja pemasangan kabel yang sedang dilakukan oleh kontraktor.

Hari semakin gelap, dan makin banyak 'kecederaan' pada kabel yang sedia ada yang ditemui oleh kontraktor tersebut. Ini bermakna mereka tidak boleh pulang untuk berbuka. Saya mula memarahi diri...kenapalah masak sikit sangat? Kesian budak-budak ni, kat mana mereka nak berbuka? Kemudiannya saya kata dalam hati..."Tak pe, pukul 7 nanti siaplah. Boleh bawak diaorang gi Mamak".

Pukul 715 malam, mereka akhirnya membuat keputusan untuk memasang kabel sementara kerana kabel kami masih bermasalah. Saya jadi gundah. Alamak...tak sempat nak ajak adik-adik ni ke kedai mamak untuk berbuka....

Abey dan Abo sibuk memasang lilin. Saya sedih melihat juadah di atas meja - hanya ada daging masak kicap, kacang panjang masak lemak dan udang goreng, disertai oleh puding kastad yang hanya sejemput-sejemput sahaja kuantitinya. Tini pulak hanya masak 2 pot beras, cukup-cukup untuk kami berlima. Selalunya lauk penuh semeja, hari ni, sikitnya....

Namun, sudah rezeki adik berdua tu, mereka pun duduk dan kami berbuka bersama. Hati saya terasa kecut tika melihat Abey menyenduk nasi....aduhai...habis nasi ni nanti....Adik2 tadi makan dengan penuh selera.

Saya toleh ke arah Tini, tanpa ditanya dia menjawab, "Ada sikit lagi dalam periuk."

Saya langsung tak ambil nasi, saya lihat Boss dan Tini pun begitu.

Tini kemudian kembali ke meja dengan mangkuk nasi penuh berisi. Dahi saya berkerut, dan Boss mula menjeling saya.

Selepas solat Maghrib dan selepas adik2 tadi beredar, saya tanya pada Tini sekali lagi:

"Berapa pot Tini masak?"

"Dua saja Bu. Seperti selalu. Tini heran kenapa jadi banyak waktu Tini ngambil kali kedua. Padahal waktu kali pertama memang kayaknya cuma tinggal 3,4 sudu dalam periuk. Tau-tau dapat satu mangkuk penuh! Tini lihat Ibu sama Encik heran...Tini juga heran...Itu adik2 yang kerja juga sampai tambah nasi...pun masih ada dalam mangkuknya lagi...."

Kami heran, tetapi kami yakin. Rezeki itu kurniaan Allah. Menjamu orang berbuka puasa amat besar ganjarannya....dan saya menikmati kurniaan itu....Syukur padaMu Ya Allah...

Tuesday, August 17, 2010

Dugaan dan Rezeki...

Tini, pembantu rumah saya sejak hampir 2 tahun lalu mengandung. Beliau pulang bercuti di kampong Disember lalu dan ditakdirkan mengandung…Saya hanya mengetahui tentang perkara ini bulan lepas. Aduhai….pelbagai perasaan bersarang di dada…

Saya ambil masa untuk membawa Tini bertemu pakar sakit puan. Pagi tadi, saya kuatkan semangat dan ini fakta yang kami perolehi:
Kandungannya sudah 36 minggu. Dia dijangka melahirkan pada 11 September….Hariraya kedua. Melalui imbasan, anaknya lelaki….Dan sihat.

Saya ucapkan kesyukuran ke hadrat Illahi. Namun, di mana harus dia bersalin? Saya bingung. Hospital bersalin swasta? Tentu mahal. Hospital kerajaan? Aduh….mesti kena marah. Sanggup ke?

Saya bawa dia kemudiannya ke hospital bersalin swasta berhampiran rumah kami. Doktor kata, “pakej dalam RM1200-RM1400”. Uhhhh….di mana nak cari duit sebanyak itu?

Selepas berbincang dengan Doktor, saya rasa kami mungkin akan menghantarnya ke hospital tersebut. Hospital kerajaan mengenakan bayaran paling kurang RM500 kerana dia warganegara Indonesia. Dan, kelas tiga…mungkin bersalin atas pangkin!

Untuk meredakan gundah gulana, saya bawa Tini ke Tesco. Kami beli baju2 comel, sarung tangan dan sarung kaki…Subhanallah…comel sungguh….

Dalam perjalanan pulang, Tini beritahu:
Tini nggak pernah ke Doktor sepanjang mengandung duluan. Itu digambar jugak nggak pernah. Lucu melihat anak Tini kelihatan bergerak-gerak dalam perut…. Itu pempers kalau di Indon, hanya kain, dipanggil popok. Baju2 baby juga nggak pernah beli. Dibagi sama orang. Semua anak Tini lahirnya di ladang, sama bidan….

Ya Allah…Di bulan yang mulia ini Kau beri kepada kami dugaan dan rezeki sekaligus. Dugaan kerana aku perlu bersabar menghadapi orang gaji yang akan melahirkan anak, dan aku pula yang perlu menjaganya. Rezeki kerana Kau pilih aku dan keluargaku untuk memberi satu kehidupan yang lebih baik buat Tini dan bayi yang akan dilahirkan… Kuatkan hatiku menempuh dugaan ini, Ya Allah…

Saturday, August 14, 2010

Nikmat selepas kehilangan

Semalam rumah kami menjadi rumah pertama berbuka puasa keluarga besar saya. Alhamdulillah, biarpun tidak kesemuanya hadir, meriah masih tetap terasa. Saya masak nasi ayam, kerabu mangga dan bakar kek. Alih-alih atas meja ada satay, kuih lopes, pengat keladi dan pelbagai jenis kuih lain... Syukur padaMu Ya Allah.

Kali ini, solat kami diimamkan oleh Paman. Pak Uteh kena ghout. Pak Long datang bersama Iwan dan Iju. Makin berkurangan bilangan muslimin di depan... Terasa kehilangan Yam, Jimie dan Akmal. Jemaah muslimah masih penuh.

Selesai solat Isya' dan terawih, kami bermoreh pula. Subhanallah...riangnya hati tidak terkira dengan nikmat yang Tuhan bagi. Abo paling gembira. Mak Enon bagi RM10 kerana puasa penuh... Kayalah Abo nanti Mama...katanya.

Semua tetamu pulang dalam sekitar pukul 1030 malam. Saya, Abey dan Bibik mengemas apa yang patut. Dee sampai dari kedai dan mula menyakat Abo. Tiba-tiba terdengar bunyi "tap". Seketika itu juga, rumah kami gelap. Abey terus ke main switch dan cuba 'on'kan. Alamak...tak hidup la Mama...

Abo yang sudah mengantuk teramat tertidur di atas sofa. Nyamuk mula menggila. Abo berpeluh-peluh lalu menangis sekuat-kuatnya.

"Ala...Papa ni bila nak balik?" Abey sudah mula kerisauan.

Abey mula jadi inspektor. Keluar masuk dia ke dalam rumah dengan lampu suluhnya.

'Ma...kat luar ni ada bau terbakar la...'

Apa yang mampu saya lakukan selain dari berdoa? Akhirnya, Boss pulang menjelang pukul 1130 malam.

Boss mula menelek main switch. Kemudian dia keluar dan memeriksa meter. Kala disentuhnya kotak fius di bawah meter, ada percikan api. Lampu terpasang seketika. Ditekan lagi, percikan api keluar lagi. Kali ini lebih besar percikannya.

Boss kemudian menalipon Iwan, anak saudara saya yang tinggal berhampiran. Dia lulusan kejuruteraan elektrik. Iwan tiba sejurus kemudian dan memeriksa. "Alamak Pak Cik....saya tak de tools la... Ini live wire...Pak We atau Meme boleh buat kot..." kata Iwan.

Kemudiannya Boss menalipon Meme. Bila diterangkan, Meme kata "Itu territory TNB. Cik Naha talipon TNB, aduan kerosakan. Nanti diaorang betulkan."

Dengan bantuan cahaya handphone, saya cari bil letrik. Masa ni lah semua benda nak menyorok.... Lama baru saya temui...

Saya talipon TNB Careline. Ada orang jawab! Waktu itu sudah pukul 1230 malam. "Sebentar nanti akan ada pegawai yang akan menghubungi Puan..."

Kami kepenatan. Seharian menyiapkan juadah, berkemas, melayan tetamu dan mengemas lagi....panasnya malam ini.... Abo menangis berterusan. Berpeluh-peluh. Dee landing atas karpet, saya atas sofa panjang dan Boss atas recliner. Abey tergolek atas simen... Nyamuk punyalah banyak...Habis sebotol Ridsect pun tak mampu nak hilangkan nyamuk.

Talipon saya berdering pukul 145 pagi. Boss menjawab dan saya dengar katanya, "Ya...saya tunggu."

Saya terus berdoa, dalam mengantuk. Tuhanku...tolonglah kami, Ya Allah... Kesian anak kecilku ini. Dia kepenatan setelah seharian berpuasa Ya Allah...berilah dia tidur yang nyenyak...

Ketika mata saya sudah mula mahu pejam, saya terdengar bunyi kereta di hadapan. Boss dan Abey terus keluar. Kemudian masuk...dan petik main switch...taraaa..... kipas berputar laju dan terasa dinginnya malam....

Saya terasa sungguh kenikmatan ini... Selepas berpeluh, berlawan dengan nyamuk dan kepanasan...tiba-tiba terasa angin yang menyejukkan....Tidak mampu untuk saya katakan selain...Alhamdulillah....

Seketika itu juga saya katakan pada diri...Maka nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan, Suria? Subhanallah.

P/S: terimakasih TNB atas khidmat yang terbaik...

Thursday, August 12, 2010

Rindu seorang Mama...


Saya Mama kepada 3 orang putra dan seorang putri. Lala dan Jimie berada jauh di perantauan, tinggal Abey dan Abo yang mengharap perhatian.

Hari pertama berpuasa, Abo begitu teruja. Namun dugaan pertama, bangun sahur. Saya suap Abo di atas katilnya. Menangis dan menendang-nendang. Maklum saja sedang enak diulit mimpi, dipaksa makan dan minum. Saya tidak marah atau merungut, kerana itulah yang saya lakukan kepada Lala, Jimie dan Abey sejak berbelas tahun lalu.

Sambil menyuap Abo, saya tidak sedar airmata menitis. Saya terbayang Jimie yang sedang saya suap. Kini, si kecil yang nakal dulunya sudahpun menjadi anak muda, hidup bersendirian jauh dari kami. Apa yang dimakannya pagi ni? Siapa yang gerakkan dia bangun sahur..dan macam-macam persoalan lainnya.

Waktu berbuka, hati saya bertambah sayu. Teringat pada yang telah pergi buat selamanya. Merindu suasana meriah bersama Mak, Bapak, Abah dan Mak... jerit pekik dan hilai tawa, berserta gurauan adik beradik... Dan, dua anak-anak jua tiada bersama...Namun, itu realiti...

Saya teringat kisah 12 tahun lalu...saya dan Boss berniaga di Bazar Ramadhan Jalan Tunku Abdul Rahman. Itu kali pertama kami berniaga di situ. Sangkaan saya, saya sempat pulang berbuka dengan anak-anak. Sebelum waktu berbuka, saya hubungi Bibik di rumah dan meminta dia menyiapkan juadah buat anak-anak. Itu adalah puasa Jimie yang pertama. Lala tidak pernah bermasalah untuk berpuasa, malah dia cukup independent.

Saya tiba di rumah selepas pukul 10. Jimie telah tidur di sofa. Bibik kata, "Abang nggak makan tadi Bu...Asyik nangis manggil-manggil Ibu. Sudah Seri suruh makan ulang kali, tapi dia nggak mahu. Duduknya di muka pintu nungguin Ibu...sampai tertidur.."

Hancur luluh hati saya mendengar cerita Bibik. Saya dukung si comel yang baru berusia 6 tahun itu ke atas, lalu saya tidur di sebelahnya. Waktu sahur keesokan harinya, Jimie makan sebanyak-banyaknya...kerana dia telah berpuasa lebih dari 24 jam....

Sejak itu saya seboleh mungkin tidak akan membiarkan dia berbuka sendirian. Jika keadaan memaksa, saya akan menaliponnya pada waktu berbuka dan kami akan makan bersama melalui talipon. Dah besar anak Mama kini. Sudah mampu menghadapi hidup sendiri. Mama amat bangga dengan kalian semua...Ini kali keempat Lala berjauhan dengan kami di bulan puasa, dan saya jangkakan ia akan berterusan....habis pengajian, bekerja dan berumahtangga...

Biar bagaimana besarnya anak-anak Mama, kalian tetap my sweet little baby....

Wednesday, August 11, 2010

Masih boleh gelak?

Semalam adalah kali kedua saya dan Boss mendapat komen di atas: "You all mampu nak gelak, ye?"

Ayat terakhir surah Al-Baqarah mengatakan bahawa Allah tidak akan membebani manusia dengan bebanan yang tidak mampu dipikul. Begitu keyakinan kami berdua. Apa pun yang Allah turunkan, Dia tahu kami mampu menangani segala kesulitan hidup kerana Dia yang menjadikan kami. Keupayaan dan ketidakupayaan kami adalah dalam pengetahuanNya.

Boss dan saya dijemput ke rumah Sifu saya, Prof MKI di bandar Segamat. Banyak yang kami bualkan sepanjang hari, diselangselikan dengan kelas dan masa rehat. Pertama kali kami bercerita dengan terbuka apa yang pernah kami berdua lalui sepanjang kehidupan kami...umpama yo-yo.

Bila Prof mengeluarkan komen di atas, kami berdua berpandangangan. Satu ketika beberapa tahun dahulu, sahabat saya yang amat saya hormati, Pak Payne, jua pernah berkata demikian.

Bagi kami berdua, apa yang terjadi adalah suratan. Biar sukar bagaimana sekalipun, kami yakin kami mampu menghadapinya. Bohong jika kami tidak risau, tidak sakit dan tidak kecewa - kami manusia. Namun keyakinan kami mengatasi segala rasa. Kami sentiasa cekal dan tabah menghadapi kesukaran yang datang. Tuhan sentiasa memudahkan urusan kami - kerana itu yang kami sentiasa pinta dariNya.

Hasil dari pertemuan singkat kami berempat - saya, Boss, Prof dan Roza - saya umpama mendapat suntikan vitamin. Saya semakin bersedia untuk kembali menulis. Satu perkara yang amat saya minati, namun kekangan waktu dan kekeringan idea sering menjadi faktor pendorong saya untuk 'tidak menulis'. Keyakinan Prof MKI terhadap anak muridnya adalah sumber inspirasi saya. Semangat Prof untuk berdakwah menggunakan tulisan beliau menjadi pemangkin kepada azam saya ini. 1 Ramadhan ini, saya berazam untuk menjadi Suria yang sentiasa menerangi kehidupan orang lain....Amin.

Saturday, August 7, 2010

Kembali Berlabuh...

Saya berpeluang ke Colombo dua hari lepas. Mengintai peluang perniagaan yang ada di sini. Sebuah bandar yg cantik, mungkin 20 tahun terkebelakang dari Malaysia, dan baru keluar dari peperangan.

Saya dipertemukan dengan ramai kenalan baru. Saya juga bertemu kembali dengan rakan lama di sini. Indah suasana yang menyelubungi.

Saya di Chennai kini. Mengintai peluang juga.

Mudah2an perjalanan ini dipermudahkan.

Hati yang gundah gulana...janganlah terus merana hendaknya...

Sunday, August 1, 2010

Padahnya bernama pelik...

Saya suka nama saya yang unik, walaupun adakalanya ia menyukarkan. Saya hargai pemberian arwah Bapak yang menjadikan saya manusia yang dikenali. Hanya dia yang tahu kenapa saya diberi nama yang besar ini....

Dua hari lepas, kami dikumpulkan di sekolah lama...menjalin kembali tali persahabatan yang telah lama terputus. 28 tahun kami terpisah, kini silaturrahim bermula kembali.

Saya bertugas di bahagian reception di majlis itu. Makanya saya antara orang pertama yang ditemui oleh sekelian yang hadir. Seorang demi seorang yang saya sudah lupa wajah dan namanya datang menghulur salam. Rasanya kesemua mereka masih ingat nama saya dan wajah saya...alahai...gembira pun ada, berdebar lebih rasanya...

Saya rasa gembira, rasa teruja, rasa malu, rasa dihargai, rasa diperhatikan...macam2 rasa ada....Kadangkala saya tidak pernah suka dikenali, tapi disebabkan nama saya yang pelik, saya cukup mudah menjadi terkenal...Ish ish ish....