Wednesday, December 23, 2015

Simpanan di tahun 2016

Menyimpan duit bukan sesuatu yang mudah untuk si pemboros macam saya. Terus terang, saya tidak ada wang simpanan seperti kebanyakan rakan lain.

Banyak sebab mengapa saya tidak mampu menyimpan. Sebab paling ketara ialah kerana sering berbelanja tanpa berfikir - inpromtu - kata orang putih.

Menjelang 2016 yang dikatakan tahun gelap bagi kemewahan kepada negara khususnya dan dunia amnya, orang macam saya pastinya resah gelisah. Tambahan pula tidak lagi punya pendapatan tetap namun masih ada komitmen bulanan yang tetap.

Hasil dari perniagaan semakin berkurangan hari demi hari. Lebih ramai yang "Touch&Go" dari membeli. Kerisauan kadangkala dapat dilupakan dengan tidor dan makan. Tapi hasilnya badan semakin berat dan pipi semakin bulat...

Antara langkah yang telah dan sedang saya ambil ialah ikat perut. Tiada lagi makan di luar, samada "fast food" atau "fine dining". Sambutan harijadi ahli keluarga di restoran mahupun di hotel ditiadakan sama sekali. Sebiji kek dengan lilin penuh di atasnya sambil berdoa beramai-ramai amat memadai. Setiap pagi saya akan ke pasar membeli bahan mentah untuk dimasak dan dimakan oleh semua penghuni rumah. Bajet sehari hanya RM30. Bahagi dengan 6 dewasa, kos makan tengahari dan malam hanya RM5. Minuman hanya air masak. Tiada lagi air oren atau sarsi. Paling mewah air sirap yang dibuat sendiri.

Saya mula simpan semua duit siling dan duit kertas seringgit yang kelihatan banyak di dalam beg duit. Di mana? Bukan di bank. Saya praktikkan cara lama. Tanyalah kepada mak, ayah mahupun datuk nenek cara mana mereka simpan duit. 😘

Main kutu ialah satu lagi cara simpanan yang sedang saya praktikkan. Anak saya bakal melanjutkan pelajaran pertengahan tahun 2016. Banyak wang yang akan digunakan. Saya minta giliran pada bulan tersebut.

Saya berhasrat untuk membeli emas  bila ada wang lebih. Anganannya mahu beli 20 gram setiap kali. Lebih kurang RM3500. Jika dapat beli 10 kali pada tahun 2016, andaikata saya perlukan wang di akhir tahun, dapat bawa 200 gram emas ke Ar Rahnu dan ambil tunai dalam RM22,000. Fuh!!!! Ia pasti melegakan.

Begitulah. 

Kembali ke cara lama. Kurangkan penggunaan ATM kerana kita perlu bayar 6% gst bila kita keluarkan wang darinya. Bawa buku Tabung Haji dan buku ASB. Kurangkan bayaran kepada TNB dengan mengambil langkah drastik pengurangan elektrik. Jika sekarang ini RM300 adalah biasa, rasanya bila tinggal Rm150, kita akan ada lebihan yang lebih besar. Tidak perlu ada wifi di rumah kerana semua penghuni rumah sudah ada kemudahan data dalam talipon bimbit. Jika perlu, gunakan wifi percuma seperti perpustakaan awam.

Oh ya! Saya juga sudah mula rajin mengunjungi klinik kesihatan kerajaan walaupun jumlah pengunjungnya, subhanallah. Melimpah-limpah. Ia okay untuk surirumah seperti saya.... Tiada masalah masa kerana tidak perlu bergegas menghadiri mesyuarat.

Saya juga sudah memohon BRIM! Apa salahnya kan sebab rakyat Malaysia walaupun saya cukup tidak setuju dengan kaedah ini. Saya akan pohon apa saja dana yang boleh dipohon kerana berhak mendapatkannya. Hmmm.... Apa lagi?

Saya berdoa Allah rahmati negara kita dan seluruh rakyatnya. Kembalikan keharmonian dan kekayaan rakyat marhaen yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Kami hanya mampu melihat gambar-gambar orang kaya sana sini bercuti di Eropah atau Amerika. Bagi kami, Pantai Morib pun sudah cukup indah. Main belon sambil berlari-lari, main layang-layang dan berselfie di tepi pantai sudah cukup menggembirakan. 

Apakan daya, kami tidak dilahirkan di atas dulang emas dan mewarisi harta kekayaan menggunung dari datuk nenek kami...

Tuesday, December 22, 2015

Ingin kembali

Saya baca berita tentang Chennai dilanda banjir. Jika ikut Google maps, kawasan ChetPet juga terlibat. 

Saya amat merindui suasana di sana. Bulan Disember adalah masa yang indah di Chennai. Sejuk berangin. Jarang sangat dapat dinikmati cuaca seperti itu.

Walaupun telah lama saya tinggalkan India, hati saya masih terpaut padanya. Kadang meronta untuk kembali ke sana.
Apatah lagi bila kehidupan di tanahair sendiri amat menyesakkan. Namun, di mana bumi dipijak, di situ langit ku junjung. Betapa indahnya negeri orang, indah lagi bumi sendiri. Begitulah sepatutnya.

Saya bayangkan di usia senja ini dengan pelbagai jenis penyakit menguasai diri, tidak murah dan mudah untuk saya dapatkan rawatan di sana. Biarpun klinik kesihatan dan hospital kerajaan di Malaysia begitu padat, namun ia masih boleh menempatkan susuk tubuh nan satu ini. Duduk diapit dua orang berbadan besar tidak membebankan saya. Sekurang-kurangnya tiada bau kari atau masala yang menusuk hidung.

Ekonomi India semakin berkembang pesat. Alangkah bertuahnya saya jika dapat bersama menikmati kepesatan itu. Tiada sesuatu pun milik mutlak seseorang atau sesebuah negara. Semua milik Yang Maha Esa.

Di pagi ini, saya panjatkan doa dan harapan untuk kembali ke India, mahu mendalami ilmu akhirat di samping mengaut kekayaan dunia. Moga Allah perkenankan. 

Monday, December 21, 2015

Selamat Datang 2016

Setahun lagi berlalu meninggalkan kita. Banyak kenangan di setiap ruang kehidupan. Pahit hari ini mungkin manis di hari esok. Siksa hari ini mungkin bahagia di hari esok. Begitulah kitarannya.

2016 akan hadir dengan seribu satu persoalan di minda. Apakah ia lebih membahagiakan dari tahun-tahun sebelum ini? Doanya begitu.

Impian anak kampung ini masih sama seperti impian Cinderella. Mahukan kebahagiaan hingga ke akhir biarpun di usia senja ini pengalaman membuktikan sebaliknya. 

Solat dan doa.

Selain itu, teruskan memberi kepada sesiapa sahaja. Siapa kita untuk tahu siapa yang mendoakan kita dan siapa kita untuk tahu doa siapa yang Allah mahu perkenankan.

Doa kudus di ambang 2016 -

Ampuni dosa-dosaku. Terimalah taubatku. Ampuni dosa kedua orangtuaku, suami dan anak-anakku, kedua mertuaku, kakak-kakak, abang-abang dan adik-adikku, biras-biras dan ipar-iparku, sahabat-sahabatku, guru-guru, pensyarah-pensyarah dan ustaz ustazahku, datuk-datuk dan nenek-nenekku, ibu bapa saudaraku, sepupu-sepupuku, jiran-jiranku, mereka yang memusuhiku dan sekelian umat Muhammad Ya Allah.

Limpahi kami dengan rahmatMu, kasih dan sayangMu, rezekiMu, kesihatan yang baik dan rezeki halal yang melimpah ruah.

Makmurkan kehidupan kami, lepaskan kami dari bebanan hutang dan semua tunggakan bayaran. Mudahkan segala urusan kami dan sinarilah hidup kami dengan cahaya kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Selamat tinggal 2015. Airmata ini ku tinggalkan bersamamu.... 


Thursday, September 17, 2015

Matlamat Hidup

Saya tergamam tika ditanya oleh seorang rakan tadi, "Apa matlamat hidup you, Suria?"

Saya tiada jawapan. 

Sekejap itu saya ketawa berdekah-dekah. Hahahaha.

Apa sebenarnya yang saya mahu capai di akhir kehidupan saya yang bakinya tinggal sedikit ini?

Lalu perlahan-lahan saya jelaskan padanya:

Saya mahu jadi ibu kepada 5 orang jutawan terbilang di dunia dan akhirat. 

Saya jelaskan kepada rakan tadi yang saya mahu anak-anak saya menjadi sehebat sahabat-sahabat Rasulullah seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Abdul Rahman Auf dan Khadijah. Mereka semua hartawan terbilang yang dikenali dunia. Mereka korbankan harta demi memperjuangkan agama Islam. Iman mereka di tahap paling tinggi dan tidak pernah goyah biar apa pun ujian yang perlu mereka hadapi. Mereka ini dijanjikan syurga oleh Allah swt. 

MasyaAllah.

Bagi saya sendiri, saya mahu bersama keluarga saya di syurga firdaus yang kami masuki tanpa dihisab. 

Subhanallah.

Lalu saya ceritakan kepada rakan tadi janji saya di hari Arafah pada tahun 2010, iaitu mahu membantu empat golongan tanpa henti:-
1. Mereka yang berhutang;
2. Mereka yang mahu mengerjakan haji;
3. Mereka yang mahu memulakan perniagaan; dan
4. Mereka yang mahu melanjutkan pelajaran.

Sehingga kini matlamat saya masih jauh untuk dicapai. Saya masih belum punya simpanan yang tidak terusik jika saya gunakan wang untuk keperluan. Saya masih ada komitmen untuk yuran persekolahan, bayaran rumah, bil-bil bulanan dan ansuran kenderaan. Saya masih perlu semak baki selepas setiap pembayaran.

Saya berdoa Allah makbulkan hajat saya untuk tidak perlu menyemak baki wang di akaun bank kerana tahu ada sejumlah wang yang tidak akan tercuit biar berapa pun jumlah yang telah digunakan.

Ia tidak perlu berjuta atau berbillion. Ia memadai dengan gaya hidup sederhana yang saya jalani.

Allah ya Allah. 

Itulah matlamat saya. 

Semoga Allah perkenankan.

Wednesday, September 2, 2015

Penjagaan Asas Wajah bagi Lelaki


Dewasa kini, dengan jerebu dan hawa panas yang menyelubungi kehidupan kita akan memberi kesan yang tidak diingini ke atas kulit muka kita.

Penjagaan wajah buat lelaki tidak perlu se"ekstrim" kaum wanita. Cukup dengan pembersih dan penyegar.

Produk keluaran AXM International ini amat istimewa buat sesiapa yang menggunakannya. Bahan mentahnya ialah tanah liat yang berkualiti tinggi yang mengandungi mineral yang penuh khasiat diadun pula dengan campuran herba terpilih.

Ia bukan saja berfungsi sebagai pembersih, malah ia juga adalah skrub dan masker yang akan memberi kesan positif ke atas kulit wajah selepas 15 minit.

Kulit wajah Tuan akan terasa kesegarannya selepas dicuci, diskrab dan dimasker, kemudian disapu dengan penyegar yang dicampur dengan ekstrak buah epal.

Testimoni yang positif dari pengguna, mereka lebih yakin dengan penampilan mereka dan beban berat yang dipikul seakan hilang bersama kotoran yang telah dibersihkan.

Dengan harga mampu milik, RM59.90 bagi satu produk, Tuan pasti akan terpesona dengan hasilnya.

Hubungi/temui saya di:

idrismahasuria@gmail.com
Atau
Fb page Amani Health and Beauty 
Atau
IG Amani_Lifestyle.



Lena beradu


Sebelum dan selepas. 

Tuesday, September 1, 2015

Smashed

Semalam saya kena smashed. Shuttle badminton melayang laju landing tepat ke pipi kanan saya sampai berbungi "pap!". Padahalnya dari awal saya telah bersedia untuk mengelak dengan penuh gaya. 

Allah! Tidak cukup sekali! Tidak lama selepas itu, pipi kiri pula kena smash. Merah menyala dibuatnya. Terasa asap keluar dari ubun-ubun!!!

Sampai kini, sakit kena smash masih terasa. Bukan di pipi, eh, tapi di hati? 

Astahgfirullah hil azim.
Ku pohon keampunanMu Ya Allah.

Notakaki: Hati orang tua.

Sunday, August 30, 2015

Chennai

Saya akui saya merindu hari-hari yang saya lalui di sana. Saya rindukan suasana hingar bingar kota yang tidak pernah sunyi dari segala macam bunyi terutamanya hon kereta.

Saya juga rindukan makanan di sana. Briyani kambing, rassam, idli, tosey, capati, idiyapom. Saya rindu juga mango lassi dan air markisa.

Saya rindukan kawan-kawan semasa di sana. Dr Shan, Mr Anba, Thiaga, Zuliana, Farkhan, Uma. Belum lagi Iyappan, Burkhan, Musthafa, Harris dan Mansoor. Juga ramai kawan-kawan lain.

Saya rindukan bilik pejabat saya di Ali Tower, Mount Road. Kedai makan arab di depan pejabat, outlet Amway di bangunan sebelah, Spencer Plaza di hujung jalan. Saya rindu mahu habiskan masa membaca buku di Landmark, bershopping di kedai si Muskan.

Berjalan mencari produk Himalaya yang cukup murah di kawasan T.Nagar, sambil mencuci mata dengan sari yang cantik-cantik di gedung-gedung besar di situ, lalu singgah makan nasi lemak ayam telor mata dengan sirap limau di Pelita.

Paling saya rindukan, rumah yang kami diami di Chetpet. Rumah banglo 3 bilik itu penuh kenangan. Ada KaKa, Krishna di dalamnya. Laluan ke rumah itu redup dan nyaman, seolah bukan berada di Chennai.

Saya rindukan Pak Hassan, Madam Zarina dan rumah agam mereka. Juga Sujith sahabat baik saya di Bangalore yang begitu memahami.

Saya keseorangan di sini. Merindu masa yang telah jauh meninggalkan saya. Waktu sendirian di sana, saya merindu Malaysia yang tercinta dan segala yang ada di dalamnya.

Kenapa ia bukan lagi satu nama yang membanggakan? Oh...


Thursday, August 27, 2015

Haji 2010 KT 24

Haji 2010 KT 24

Tiap kali musim Haji tiba, tergambar jelas di ruang mata kisah Haji kami di tahun 2010.

Gambar ini diambil pada pukul 3 pagi. Kami baru sampai di Mekah selepas lebih 8 jam dari Madinah dengan bas. Masih jelas terbayang perjalanan yang kami lalui. Berhenti makan Nasi Arab di R&R dan mendapat pelbagai bekalan berupa makanan, minuman dan kitab dari pihak kerajaan Saudi dan syarikat korporat yang berebut mahu mendapat kebaikan dengan bersedekah kepada jemaah haji. Seingat saya, tarikhnya 24/10/10 dan hawa sejuk terasa menusuk hingga ke tulang.

Sampai di Hotel Abeer yang berdiri megah di belakang jam besar yang sedang dibina, (kini sudah tiada), kami letakkan bag dan terus menuju ke MasjidilHaram untuk menunaikan umrah. Agak sukar mulanya maklum pertama kali menolak Abang Nasir di atas kerusi roda. 

Kami diarahkan tawaf di tingkat atas. (Mataf belum dibina waktu tu). Dalam sendu, esak dan tangis, kami cukupkan 7 pusingan tawaf. Elok pula Kak We terlupa samada dah cukup 7 pusingan atau baru 6. Maka berpusing lah lagi sekali. Satu kali pusingan lebih kurang 800 meter x 7 = 5.6 kilometer. Pergh!!! 

Kami sambung dengan saie sebaik selesai mengerjakan solat sunat 2 rakaat selepas tawaf. Biarpun tumit terasa bagai mahu tanggal, semangat untuk menyiapkan secepat mungkin amat tinggi. Usai kami bertahallul, azan suboh berkumandang.

Haji adalah perjalanan paling bermakna dalam hidup seorang insan yang mengakui Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. 

Masih jelas terbayang di kelopak mata setiap langkah yang diambil dan tempat-tempat yang dijejaki di sepanjang kembara menyucikan jiwa selama 46 hari itu.

Tidak banyak yang dapat dirakam dalam bentuk visual. Saya pasti Allah mahu saya kenang momen itu sendiri tanpa perlu dikongsi dengan orang lain.

Semoga ada kesempatan dan jemputan untuk kami ke sana lagi, dan lagi. 
Amin.


Saturday, August 22, 2015

Kucing jadi saksi

Kami sekeluarga sayang kucing. Bukan la gila sangat dengan kucing. Sayang saja kerana ia binatang kesayangan Rasulullah (selawat ke atasnya), matanya redup minta dikasihani, manja dan keletah.

Lebih 5 tahun lalu, Lala dihadiahkan seekor anak kucing kacukan oleh kawannya. Sebelum itu kami banyak bela kucing terbiar. Lepas dah habis satu persatu, saya katakan, "tiada lagi kucing!"

Tetapi si kecik HoHo amat manja dan menarik hati kami. Darinya, berpuluh ekor anak dilahirkan dan ada yang hidup, hilang, mati dan dijadikan "anak angkat". Jumlah yang tinggal di rumah sekarang ada 9 - HoHo, Baby, Neymar, Capok, Tompok, Kuning, Alex, Logan dan Lofa - hanya Baby dan Alex bukan keturunan HoHo. Mereka kami jumpa di jalanan. Kesian punya hal, kami bela hingga kini.

Baru-baru ni kami kehilangan seekor, Milo, yang mati dilanggar kereta. Habis serumah menangis. Begitu lah kami. 

Makanan kucing tidak murah. Begitu juga pasir untuk najisnya. Tugas membersihkan najis setiap pagi amat menyulitkan untuk saya. Namun, saya lakukan juga demi kebersihan dan pesekitaran yang nyaman.

Pagi tadi, sedang saya asyik membersihkan rumah-rumah banglo si bulu-bulu ini, jiran saya, Makcik A, keluar ke laman. Makcik A ni jarang bergaul dengan kami. Atau lebih mudah kalau saya katakan Makcik A ni tidak suka apa pun yang "meriah". Kehidupannya hanya berdua dengan suaminya. Tiada anak, cucu mahupun si bulu-bulu yang mendiami rumah mereka yang indah tersergam. Ia pastinya berlawanan dengan rumah kami yang sentiasa riuh dengan anak-anak, anak saudara, adik beradik dan pastinya si bulu-bulu.

Agaknya Makcik A marah kerana saya bersihkan banglo bulu-bulu, sebelum dia tutup pintu, sempat dia menjerit dengan ayat menyumpah ke arah saya tetapi tidak berapa jelas bunyinya. Saya tergamam. Saya toleh ke kiri dan ke kanan, tiada siapa berada di laman rumah atau jalan, hanya saya. Maknanya memang benar jeritan itu khas buat saya. 

Di saat itu saya berdoa semoga Allah terima kebaikan yang saya lakukan terhadap kucing-kucing itu sebagai satu asbab untuk saya masuk ke syurga firdaus, dan kucing-kucing itu menjadi saksi kepada ayat-ayat kasar yang dilemparkan kepada saya oleh Makcik A. Saya tetap hormat dia sebagai orang yang lebih tua biarpun ada saja jalan yang dia ambil untuk memusuhi kami. Allah saja yang tahu kenapa ia berlaku.

Kepada Allah tempat saya mengadu dan meminta pertolongan.

Thursday, August 20, 2015

Hanya Jauhari Mengenal Manikam

Boss besar saya, Haji Naharuddin Mohd Zain amat meminati keindahan batu permata. Pada tahun 1995, beliau memulakan perniagaan barangan kemas di Klang. Melalui perniagaan itu, beliau tekun mendalami ilmu gemologi sehingga ke HongKong dan melalui pembacaannya dari buku-buku yang tidak terhitung bilangannya.

Apabila perniagaan yang dijalankan berkecai di tengah jalan akibat kemelesetan ekonomi pada tahun 1997, Boss kehilangan punca. Stok yang banyak terpaksa digadai/dilebur bagi mendapatkan tunai untuk meneruskan kehidupan kami sekeluarga.

Sejak itu, Boss menjalankan pelbagai jenis perniagaan lain. Jual mainan, kraftangan, bunga, baju, tudung, kosmetik dan macam-macam lagi. Namun, minat dan kesungguhan dalam batu permata tidak pernah diketepikan, bertepatan dengan minatnya mengembara ke serata pelusuk dunia.
Andai berjalan ke mana pun, lampu suluh kecil, teropong dan tweezer sentiasa berada dalam poket beliau. Pantang nampak batu, beliau akan berhenti dan meneliti batu yang menarik perhatiannya hingga berjam-jam lamanya. Selalunya, beliau pasti membeli untuk dibawa balik. Matanya yang sensitif dengan warna, kualiti dan corak batu juga membolehkan beliau mengumpul baru bercorak unik yang jarang didapati.

Sejak tahun 2006, Boss membuka kedai yang diberi nama KrafDuniaDesign di Kompleks PKNS Shah Alam. Batu-batu permata adalah sebahagian dari produk yang dijualnya. Selain mengambil tempahan barangan kemas seperti cincin, gelang dan rantai mengikut desain kesukaan pelanggan, Boss juga menjadikan batu permata sebagai satu hasil seni. Ukiran di setiap barang kemas yang terhasil sentiasa berasaskan senihalus Melayu yang cukup halus dan berseni. Boss rajin (sekali sekala) menulis di blog nya yang sudah bersawang, www.towkeyemas.blogspot.com tentang batu-batu permata ini yang menjadi rujukan penggemar batu.

Alhamdulillah. Minat Boss sekian lama mendapat perhatian media massa bilamana beliau diintai oleh wartawan Harian Metro dan disiarkan hari ini 21/8/15 edisi nasional.

Semoga usaha Boss yang berterusan tanpa jemu mendapat keredhaan Allah.

---------
Permata untuk semua.

www.kedaibatuco.com


Monday, August 17, 2015

New Venture

Selain dari menulis dan mengusahakan KedaiBatu&Co, saya telah mulakan satu lagi usaha iaitu bidang kecantikan dan kesihatan. Bersama 4 wanita hebat yang telah berjaya dalam bidang masing-masing, kami beranikan diri menceburi bidang yang kami gemari ini.

Produk yang kami tawarkan amat bernilai. Diformulasikan di India, ia diperbuat dari mineral asli dan campuran herba terpilih. Aspirasi pemilik syarikat adalah untuk melahirkan ramai jutawan wanita dalam masa terdekat melalui Multi Level Marketing.

Kami berempat berada di kumpulan pertama. Ia perlukan usaha keras dan kesabaran yang tinggi serta kekuatan hati yang tiada bandingan untuk kami berjaya.

Doakan kejayaan kami.

Andai ada yang mahu tahu lebih lanjut, sila hubungi saya.


Sunday, August 16, 2015

7 Rahsia Kekal Bercinta

Ramai rakan bertanya bagaimana kami kekalkan percintaan kami hingga ke usia emas. 

Kami bercinta sejak di kampus. Namun kami bukan pasangan sejoli yang asyik ke hulu ke hilir bersama. Selalunya kami akan keluar beramai-ramai "seplatun", walaupun selepas kami diikat dengan tali pertunangan.

Berbalik kepada tajuk artikel ini, kenapa hanya 7 sahaja?

Kata Guru saya, ikut suka lah kan?

Okaylah. Mari kita senaraikan. Jika ada yang mahu tahu selebihnya, kita bincang di lain waktu. 😊😊

1. Hormati privasi si dia
- Kita dan dia adalah dua makhluk berbeza. Kita bukan satu. Ada yang dia tidak mahu kongsi dengan kita, begitu juga sebaliknya. Biarkan dia dengan handphonenya. Kita pun tak suka chatting gila kita dengan kawan sekolah dibaca oleh orang lain kan?

2. Hargai dirinya dan mereka yang dia sayang
- Pasangan kita adalah anugerah terindah dalam kehidupan kita. Hargai dia setiap masa. Sebaris kata simbolik cinta di status facebook juga sebuah penghargaan, apatah lagi bila menerima sejambak bunga atau "surprise birthday bash" di hotel ternama. Sayangi dan hormati mereka yang menjadi kesayangannya.

3. Hide-out berdua
- Kami berdua punya sebuah tempat yang kami jadikan annual hide-out. Just the two of us. Selalunya kami nikmati "candle light dinner", mendaki gunung, menjelajah gua, merenung wajah masing-masing sambil throwback insiden-insiden indah yang pernah berlaku dalam hidup. Hmmm.... Terasa seperti mahu bergondola di Venice dan berbasikal di Pulau Nami.

4. Terus bercinta
- Pasangan bercinta sentiasa mahu bersama. Tidak mampu berpisah biar sesaat. Saling merindu, dapat dengar suara pun jadi lah. Pasangan kita bukan mak ayah, anak, Bos mahupun kakitangan kita. Siapapun tidak mahu diarah dan dipersoal.  

5. Letakkan dia di kedudukan pertama
- Kita di kedudukan kedua. Beri laluan kepadanya dalam apa jua keadaan. Dia lah hero dalam filem kehidupan arahan dan lakonan kita berdua. Tidak mengapa, kerana kita adalah heroinnya.

6. Makan bersama
- Sukar? Cari jalan untuk menjadikan ianya satu rutin. Mungkin bukan makan tengahari kerana pejabat tidak sama. Juga bukan makan malam kerana masing-masing diet. Kenapa tidak sarapan pagi. Kita akan terasa amat kehilangan jika kita sarapan sendiri. Percayalah!

7. Yakinlah pada kesetiaannya
- Ini yang paling sukar. Ramai dari kita suka bermain dengan emosi. Apatah lagi jika ada kisah silam. Payah sebenarnya mahu menyintainya sepenuh hati andai ada sangsi.

Cukup dulu. Andai mahu tahu lebih lanjut, saya tulis lagi naaa.. 

Life is too short. Make it nice and simple. Don't complicate things.

------
Permata untuk semua.

www.kedaibatuco.com

Fb pages: 
- KedaiBatu&Co
- Amani Health & Beauty
- HANA Food Products
- KrafDunia Design


Saturday, August 15, 2015

Melompat lebih tinggi

Pengalaman berniaga di gerai promosi Ramadhan yang baru berlalu memberi kekuatan hati yang tidak ternilai. Pelbagai ragam manusia saya temui. Subhanallah. Dalam pada orang lain rasa tertekan dengan suasana ekonomi yang suram dan malap, saya cukup yakin dengan kemampuan kami untuk berkembang.

Kita hanya perlu jaga gelanggang sendiri. Usah pedulikan gelanggang orang lain, kerana rentak tari dan tinggi rendah tanah kita berbeza. Malah lenggok tangan dan lebar senyuman kita juga tidak sama. Hati tenang, fikiran tenteram. 

Fokus. 

Fokus. 

Fokus.

Apabila hati sudah tetap, kejarlah impian yang telah dilukis.  

Terus berlari dan melompat lebih tinggi.

------

Permata untuk semua.





Tuesday, June 23, 2015

Ramadhan 1436 #5 Kepenatan

Saya kepenatan hari ini. Mungkin kerana sejak semalam tidak berhenti berkejar ke sana ke mari. Seawal pagi ke pasar membeli lauk untuk juadah berbuka, kemudian ke Kuala Lumpur membeli stok barangan untuk dijual di gerai kami di PKNS... Sampai di rumah, singsing lengan baju dan mula memasak.

Jika boleh saya hanya mahu tidor hari ini.

Pukul 5 petang, Boss hantar WA,

"Yang, abang teringin nak makan cream caramel. Tapi tak nak yang berlubang-lubang tu ye?"

Allah! Ada ke bahan nak membuatnya?

Maka, bersilat lah saya di dapur.

Cream caramel kena siapkan dulu. Kalau tidak nanti tak sejuk, payah nak makan. Bagaimana cara untuk dapatkan yang tidak berlubang-lubang? Jangan dikukus. Sebaliknya dibakar dalam oven. Tetapi letak air dalam dulang pembakar, baru letak acuan tabg berisi cream. Masak dalam anggaran 45 minit. Api kecil ye?

Dalam masa sama, kita kukus siakap yang saya beli di pasar besar semalam. Mak ai! Besar sungguh siakap ini. Letak cili api dan asam boi. Letak halia banyak-banyak... 

Sayur? Saya goreng terung lalu saya sambalkan...

Taraaa... Licin licau anakanda semua makan... Kekanda paling gembira kerana cream caramel yang dipintanya siap terhidang cantik...

Alhamdulillah.




Saturday, June 20, 2015

Ramadhan 1436 #4 Sesi Menjamu

Petang ini, inshaaAllah, akan kami adakan majlis berbuka puasa di rumah bersama kaum keluarga.

Ramai yang akan hadir, inshaaAllah. 

Setiap tahun, permintaan terhadap nasi ayam dan lasagna sentiasa berkumandang. Semua tidak mahu mengubah menu. Teringin juga mahu menunjukkan skil memasak lauk lain, tetapi nampak gaya belum masanya untuk diketengahkan. Ehem!

Maka, di pagi yang mulia ini, saya akan ke pasar untuk mencari bahan-bahan yang wajib diadakan.

Nantikan gambar-gambar bila sudah ke udara nanti. 

********
Subhanallah. Alhamdulillah. Allah hu akbar.

Penuh di meja lauk-pauk yang datang entah dari mana. Kuih muih pelbagai jenis dan satay ayam yang enak sekali sampai 200 cucuk! Allah hu akbar! Rezeki kepada semua yang hadir.

Saya tidak ada gambar makanan. Tidak mahu memberi harapan kepada yang melihat tetapi tidak dapat menikmati.

Kita kongsi gambar lain yang lebih indah.





Friday, June 19, 2015

Ramadhan 1436 #3 Sahur

Saya bangun seawal pukul 4 pagi untuk siapkan hidangan. Menu mengikut kemahuan Abo. Nasi goreng, atau nasi putih dan telur dadar atau ikan masin dan panaskan lauk berbuka jika ada.

Jimie, Abey, Lala, Abo, Bibik dan Aman akan makan. Ada ketikanya bertambah.

Boss memang amat cerewet. Selalunya dia hanya minum air masak dan makan kurma sebiji. Berat sungguh dia mahu tinggalkan katil setiap pagi. Ada ketikanya saya terpaksa memanjat tangga dua tiga kali untuk mengajaknya makan.

Sedari dulu saya memang sukar untuk menelan makanan di waktu sahur. Jika makan pun, saya akan merasa mual sepanjang hari. 

Ahamdulillah, jika sebelum ini saya ambil produk A**** iaitu protein dan possitrim yang mengenyangkan, kali ini saya tukar ke produk lain yang jauh lebih murah, dan saya yakin dengan halalan toyyibannya.

Satu sachet detox ini makan dengan sebiji kurma membuat perut saya kenyang hingga ke petang. Bohong jika langsung tidak lapar, tetapi tidak gastrik dan kurang penatnya.

Diperbuat dari susu kambing dan ditambah dengan serat serta mineral lain, Detox dari HiGoat amat membantu. 


Hubungi wakil penjual HiGoat atau boleh saja hubungi saya yang sentiasa bersedia membantu sahabat semua. InshaAllah.

Thursday, June 18, 2015

Ramadhan 1436 #2 - 1st timer

Aman akan berusia 5 tahun September ini. Manja, amat bergantung dengan botol susu dan makan bersuap.

Hari ini Aman berpuasa buat pertama kalinya. Sahur pagi tadi dia makan banyak. Nasi goreng ayam kegemarannya. Kemudian dia ke sekolah. Saya khabarkan kepada gurunya dia berpuasa dan mohon diberi semangat kepadanya.

Pukul 530 tadi saya jemput dia pulang. Guru kata Aman masih puasa. MasyaaAllah! Besar hati saya mendengar kata Puan Guru.

Sampai di rumah, dahi Aman mula berkerut-kerut. Aroma nasi tomato memenuhi segenap ruang rumah, ditambah dengan bau kurma ayam dan sambal tumis udang.

Tangisan Aman makin kuat. Lapar..lapar.. Pujuklah macammana pun, dia tetap kata dia lapar. Sesekali terdiam bila asyik menatap Upin & Ipin di ipad.

Simpati saya makin menebal, lalu roti saya hulurkan. 

Sambil menggeleng, dia berkata, "Aman poca". Ohhhh... Sejuk hati ibunda. 

Kuatnya semangat dia.

Alhamdulillah. Aman berjaya menghabiskan puasanya di hari pertama. Antara usaha yang diambil untuk mententeramkannya ialah bawa dia pusing-pusing taman perumahan dalam kereta dengan harapan dia tertidur atau dia leka... 

Semoga membesar menjadi anak soleh, Abdul Rahman Nafis Naharuddin.

Amin.


Aman makan buah tamar... Lepas tu terus sedut air sebanyak-banyaknya. 

Wednesday, June 17, 2015

Ramadhan 1436H #1

Alhamdulillah. Allah izinkan kita menyambut Ramadhan yang mulia sekali lagi. Syukur kepadaNya, diberi kesempatan untuk terus beribadah dan memohon keampunan dariNya. 

Jika sebelum ini saya beri alasan "bekerja" demi untuk menghilangkan rasa bersalah kerana tidak dapat melakukan apa yang sepatutnya dilakukan di bulan Ramadhan, kali ini, saya tidak ada alasan lain. Semoga saya tabah! :-(

Ada 7 amalan mudah (?) yang sukar sekali untuk dilaksanakan dalam bulan ini. Ia pastinya akan menjadikan kita hambaNya yang disayangi dan diredhai. 

1. Membaca Quran
Biasanya, saya cukup bersemangat di awal Ramadhan. Nampak seperti pasti boleh! Ia bukan lagi rahsia bila semangat berkobar-kobar itu terhenti bila ada "cuti wajib". Semangat entah ke mana, sambungannya entah bila.

Saya berdoa saya sentiasa bersemangat untuk khatam Quran di Ramadhan ini.       

2. Membanyakkan sedekah
Menjadi surirumah bukan sesuatu yang glamour dari segi kewangan. Jika ada wang di tangan, ia bukan hasil usaha sendiri. Ia pemberian suami. Makanya, dompet memang selalunya kosong. 

Apa agaknya sedekah yang boleh saya banyakkan? Rajin-rajinlah memasak wahai Suria..lepas masak sedap-sedap tu, hantarlah ke rumah-rumah jiran untuk mereka nikmati kala berbuka. Allah hu akbar! Banyak pahala dapat. Menggembirakan jiran, memberi makan orang berpuasa, suami pun dapat pahala. Ish! Banyak lah!

3. Menuntut Ilmu
Untungnya jika rajin. Belajar pun dapat pahala. Dengar kuliah, tazkirah, ceramah...pun dapat pahala. Allah ya Allah! Bulan puasa ni lah mata selalu sangat jadi kecik. Patutnya bila kenyang mengantuk, ini lapar pun sentiasa mengantuk. Syaitan dah kena ikat... Nafsu pula yang tidak mampu melawan.. Mengantuk manjang. Silalah berlawan dengan mengantuk!

Berpesan Imam Syafie:
Jika kamu tidak merasa keperitan menuntut ilmu, maka rasalah keperitan dalam kebodohan.

4. Berzikir
Berzikir ertinya mengingati Allah. Sebut lah apa pun. Di setiap hela nafas, hanya nama Allah yang kita ingat. Saya, ye, saya... Selalunya, belum habis lima jari, sudah lena beradu. Kadangkala siap berdengkur lagi. Amat nyenyak! Allah Yang Maha Besar. Dia Mengetahui apapun yang terlintas di hati hambaNya. Dia yang cipta kita kan? 

5. Solat Terawih
Bab ni, semua orang bersemangat. Di Masjid Negeri Shah Alam, penuh sesak bagaikan diMasjidil Haram. Imam-imam pula suara dan bacaan, pergh!!! Hebat-hebat belaka. Kena Sheikh Karim, Imam Hatta, Imam Besar Farhan, Ustaz Firdaus, Ustaz Abu Zar... Suara mereka memang meruntun kalbu! 

Selalunya saya akan menemani Aman di rumah bila semua penghuni rumah memilih untuk bertarawih di surau atau masjid. Makanya, jika rajin, banyaklah rakaat saya. Jika malas? Usah ditanya. Semoga saya terus tabah.

6. Qiamullail
Di Masjid Negeri pun memang diadakan qiamullail di setiap hujung minggu dan 10 malam terakhir. Saya berdoa saya istiqomah bangun siapkan juadah sahur untuk semua, kerana Aman juga perlu mula berpuasa (sudah 5 tahun). Dapat bertahajjud sambil bertaubat nasuha dan menangis dan berkeluh kesah dengan Sang Pencipta.. Kuatkan hati, wahai Suria!

7. Amar makruf nahi mungkar
Saya manusia yang sentiasa melakukan kesilapan. Apa yang berlaku baru-baru ini sebahagiannya disebabkan kesilapan saya yang alpa dengan keindahan dunia. Saya memohon keampunan hanya dari Allah dan dari mereka yang saya sakiti dan saya bertaubat nasuha tidak akan mengulangi kesilapan itu lagi. Saya mahu kembali kepadaNya dalam keadaan bersih. Dijauhkan dari api neraka. Dimasukkan terus ke dalam syurga tanpa dihisab. 

Semoga Ramadhan ini menjadi titik mula kepada kebaikan dan noktah kepada kemungkaran buat diri ini dan semua yang disayangi. Hanya Allah tempat kita meminta pertolongan.

Jauhkan aku dari segala yang mungkar Ya Allah. Dan terimalah amal kebaikanku, agar nanti dapat daku bersama Rasulullah saw dan mereka yang aku sayangi di syurga firdaus.

Amin


Jejaka tampan sudah bersedia untuk terawih pertama Ramadhan 1436 di Masjid Negeri


Mama dan Aman di rumah. Kakak dapat ke masjid. Bibik ke surau. Alhamdulillah.




Tuesday, June 16, 2015

Mangga India

Pertama kali merasai keenakan mangga India ini ialah sewaktu menghadiri hi-tea di rumah Mr Khalid Buhari di Chennai. Masih terasa-rasa mango puree yang paling sedap pernah masuk dalam mulut saya. Bak kata seorang kawan, "Heaven!"

Pak Anba pasti carikan yang paling sedap, katanya, tiap kali bila saya suarakan hasrat mahu makan mangga. Memang selalunya sedap. Pernah saya ikut Iyappan ke kebun mangga Pak Hassan di Guduvancherry. Begitu rapi pokok-pokok mangga yang beratus batang itu dipelihara demi untuk memastikan hasil yang baik. Mangga dari kebun itu adalah untuk diekspot.

Sebiji mangga boleh cecah sekilogram beratnya. Baunya harum, isinya lemak, empuk, gebu dan "juicy". 

Tiap kali pulang dari sana sewaktu musim mangga, berkotak-kotak saya angkut. Selalu juga digeledah oleh pihak berkuasa di KLIA. Bila dah pandai, saya balut setiap biji dengan baju dan masukkan ke dalam bagasi. Atau, minta tolong Mat Saleh bawakan tatkala melintasi pihak kastam. 😁

Terimakasih Tuan Azrul Shah tolong belikan di Pasar Borong Selayang semalam. Jasa baik Tuan akan saya kenang hingga ke akhir.

Saya biarkan gambar-gambar ini berbicara.


Cantik warnanya


Kawan yang sedang bertugas di New Delhi menayang mango puree kepada saya... Kejam!

 
Lihat titisan jus nya...

Friday, June 12, 2015

Sarapan

Alhamdulillah. Tiada yang lebih membahagiakan selain bersama mereka yang tersayang.

Meehoon goreng dan martabak daging menjadi hidangan di pagi hari. Sambil makan sambil bersembang dengan kesemua 5 anak-anak kami. 

Aman mencuri perhatian bila dia berjaya menggunakan chopstik... Bila makanan di pinggan Aman tidak dihabiskan, Abo sedia membantu melicinkannya.

"Cukup dah tu... Papa tak boleh makan banyak sangat." Jimie memberi arahan kepada Akak.

Maka tersenyum lah Papa. Ada yang sudah mengatur diet Papa.... 

"Mana kopi Mama Bik?" Suara yang kedengaran merdu di telinga. 

Sebenarnya Mama boleh je minum air teh O yang Bibik dah siapkan. Mama pandang Papa dan masing-masing tersenyum.

"Abey terima WA ni... Ada insta famous ni minta Abey swap review." 

"Mama pun ada terima pm tanya KedaiBatu&Co ni kat mana."

"Pa, kawan Abey nak tumpang letak telekung kat kedai. Boleh ke?"

"Boleh je. Semalam pun ada kawan Papa bagi ikan pekasam minta Papa tolong jualkan. Asal barang jadi duit." 

:-)

"Maka nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan?"

Alhamdulillah...


Thursday, June 11, 2015

Martabak Mengkasar di Pekan

Putri membawa saya makan martabak sedap di Pekan, sewaktu saya singgah ke pejabatnya di iCam - International College of Automotive, Malaysia.

Kebetulan perut kami berdua belum berisi sejak pagi. 2jam setengah dalam perjalanan, Boss bawa kereta mengalahkan pelumba f1. Banyak le saman Boss kutip semalam hanya untuk memenuhi masa yang ditetapkan; iaitu lecture bermula pada pukul 330 petang.

Martabak daging special dan martabak ayam special.. Oh! Memang enak rasanya. Bagi saya, jauh lebih enak dari martabak mahal di JB. Tebal, garing, gebu dan keenakannya begitu terasa.

Saya amat menghargainya! Makan dengan kuah kari dan bawang... Yummy! 

Monday, June 8, 2015

Nasi Lemak Kampung dan Kawan Lama

Pagi tadi, Boss tanya, "Nak breakfast apa?"

"Teringin nak makan Nasi lemak kampung".

"Tang mana la nak cari kampungnya?"

Kami sama-sama gelak.

Ada ke kampung di Shah Alam? Ada satu... Satu-satunya Kg Padang Jawa yang dikelilingi bangunan tinggi dan sibuknya mengalahkan bandaraya Melaka.

Kami berhenti di sebuah gerai yang sederhana besar. Ramai pelanggan di dalamnya. Saya terus ke tempat lauk. Subhanallah! Banyaknya pilihan.

Sedang asyik memilih lauk, terdengar suara Boss gelak. Rupanya tuan punya kedai adalah kawan sekolah rendahnya, Tuan Ahmani yang sudah 34 tahun tidak pernah bertemu. Dapat dirasakan betapa gembiranya mereka berdua.

Nasi lemak sotong yang saya makan memang lazat... Telor mata kerbaunya tidak keras... Telor kuningnya bergegar, sekali dipecahkan, mengalir pekat di atas nasi... Gaulkan dengan sambal ikan bilis... Oh! Lazatnya.... Sotong yang dipotong sederhana besar juga amat menyelerakan.... Cukup-cukup saja rasanya. Saya tambah sedikit kerak-kerak ayam goreng yang garing dan rangup....

Boss pula makan roti telor. Alhamdulillah.


Hanya di Restoran Siti Alliya, Kg Padang Jawa, berhadapan dengan JPJ/Puspakom. 


Boss dan Tuan Ahmani.

Saturday, June 6, 2015

KedaiBatu&Co

Boss berniaga batu permata sejak tahun 1995 di sebuah kedai emas yang besar dan gah milik kami berdua. Perniagaan itu bagaimanapun hancur berkecai akibat dilanda badai ketika kegawatan ekonomi pada tahun 1998 (semua kata Soros punya kerja... Entah ia entah tidak).

Boss tidak pernah putus asa untuk meneruskan minatnya. Dari perniagaan berskala besar, beliau memulakan kembali usahanya dalam skala lebih kecil. Selepas hampir 20 tahun, saya andaikan  beliau adalah jauhari yang bijak menilai permata melalui kepekatan warna, berat, pecahan cahaya, cara potongan dan entah apa lagi.

Boss sering berharap akan ada pelapis bagi perniagaannya untuk diwarisi kerana beliau sudah semakin keletihan. Malangnya anak-anak begitu asyik dengan bidang yang mereka minati. Yang pertama dan kedua memilih kejuruteraan. Yang ketiga, walaupun kami lorongkan untuk mengambil ilmu perniagaan di universiti namun minatnya lebih kepada Naruto, Dragon Ball dan EPL.

Saya? Jangan harap. Saya buta seni. Apapun kelihatan cantik di mata saya. Apatah lagi emas berlian!

Menjelang bulan-bulan terakhir Imran hensem di Unisel, beliau mengajukan soalan cepumas kepada saya. 

"Patutkah Abey sambung ke peringkat ijazah atau bekerja?"
Saya tanya beliau, "Untuk apa bekerja?" 
"Untuk cari duit," katanya.
Jawapan saya, "jika mahu cari duit, habiskan belajar hingga dapat ijazah."

Beliau akur.

Satu hari, si hensem mencuba nasib,

"Ma, Abey nak berniaga."

Saya terkedu. Ia keputusan yang amat baik. Saya sokong 100%. Saya syorkan beliau berkuli dengan Boss. Nanti boleh sambung belajar secara pjj ataupun part-time. Open U banyak dah sekarang ni. Mahu atau tidak sahaja. Atau kalau memang dah ada duit, terbang saja ke mana dunia untuk merasa belajar di negara orang.

"Walaupun ini kedai Papa, dan Abey tau Abey akan mewarisinya, Abey tetap kena mula dari bawah. Jom ikut Papa." 

Senyum Boss meleret hingga ke telinga tatkala melihat si hensem bersiap di awal pagi untuk mengikutnya mengenal pembekal dan mencari bahan.

Itu kisah sebulan lalu.

Kini si hensem sudah punya brandnya sendiri. KedaiBatu&Co adalah miliknya. Bermodalkan barangan yang ada di kedai Papanya, beliau memulakan sesuatu yang digemari. Beliau mula mengkaji ilmu batu permata. Mula berjinak dengan desain terbaru dan mula rajin membuat kajian tentang minat pelanggan di laman web.

Subhanallah! Melihat kesungguhannya yang amat luar biasa menyedarkan kakak dan abang yang lebih meminati fizik, kimia dan matematik bahawa sebenarnya mereka juga meminati apa yang si hensem lakukan. 

Lalu, mereka kini berganding bahu mencari rentak dalam usaha meningkatkan hasil. Online dan offline. Setiap hari mereka berbincang cara untuk maju ke hadapan.

Saya panjatkan doa kesyukuran atas nikmat yang tidak terhingga. Saya hargai usaha kecil mereka dan gembira dengan kesungguhan mereka yang mahu berjaya dengan cemerlang.

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum hingga mereka mengubah diri mereka sendiri.

       Terjemahan Surah Ar-Ra'd ayat 11


Di hadapan gerai promosi Raya PKNS Shah Alam. Kami memperagakan t-shirt crew KedaiBatu&Co yang dicetak oleh SneakPeek Production, milik si Abang yang hensem juga. 


Si comel Naufal juga bersungguh-sungguh mahu berniaga... Allah hu akbar!

Katanya, Rasulullah (selawat ke atasnya) juga usahawan berjaya. Dari mengambil upah, bekerja sendiri, menjadi trader kepada pemodal dan akhirnya kaya raya sebagai pedagang di usia muda. Dengan kekayaan itu, baginda memperjuangkan agama Allah bersama sahabat-sahabat yang rata-ratanya saudagar kaya seperti Abu Bakar, Omar, Othman dan Abdul Rahman Auf hingga mampu berkembang ke segenap penjuru dunia. 

Naufal mahu mengikut jejak langkah mereka yang berjaya sebagai ulama dan pedagang. 

Mama doakan anak-anak Mama berjaya mencapai cita-cita murni tersebut dan berjiran dengan Rasulullah dan para sahabatnya di syurga firdaus. Amin.

Thursday, June 4, 2015

Pin Tudung

"Ma, bukan yang tu Ma... Budak-budak sekarang ni depa nak yang lain dari orang lain."

"La...amenda ni Kak? Ada ke orang nak cucuk Eiffel Tower kat tudung?"

"Mama percayalah cakap Akak. Hipsters memang sukakan benda rare."

"Hipsters tu amenda?"

"Ma...hipsters tu young urban, Ma. Anak-anak Mama pun hispters. Asalkan bukan skema, hispters la tu.."

Yo lah Kak. Mama ikut je lah.

Maka, kami pun beli pelbagai rupa perhiasan yang kemudiannya dijadikan pin tudung oleh Cik Lela di kedai.

Hari ni, Mama jaga kedai.

"Ya Allah! Comelnya pin-pin ni! Berapa ni Kak?"

"3 RM10 Dik..."

"Eee!!! Murahnya!!! Nak beli lah... Eiffel Tower ni comel giler! Ni telor goreng ni... Kalau saya pakai mesti happening! Laaa...misai Wak Doyok pun ada! Hahaha... Comel!!!! Nah Kak... Saya beli ye?"

"Saya jual."

Alhamdulillah. Terimakasih Kak. Mama jadi bengong kejap...ada ke telor goreng cucuk kat tudung? Aishhhh!!!!


Hipster:
  1. a person who follows the latest trends and fashions, especially those regarded as being outside the cultural mainstream.

Tuesday, June 2, 2015

Lazatnya rojak di petang nan suram

Petang nan suram dan dingin. Hujan yang tidak berhenti sejak pagi membasahi bumi Shah Alam sehingga membuat suasana menjadi kelam dan kelabu. Moga hati ini tidak kelabu.

Kami kelaparan walaupun tengahari tadi banyak dah makanan masuk ke dalam perut. 

Boss sarankan kami pekena rojak mamak dan cendol. Mak aii... Sedapnya. Ia membuat petang kami amat bererti... Lebih-lebih lagi bila kami disertai oleh anak-anak yang nakal dan manja..


Lokasi: Ground Floor, Kompleks PKNS Shah Alam. Ia terletak Di bawah kedai kami - KrafDunia Design, 01-147C-09, Tingkat 1, Kompleks PKNS Shah Alam.

Saturday, May 30, 2015

Abo & Aman

Beza usia mereka 6 tahun. Sorang tembam putih melepak. Lembut tutur kata. Suka makan dan mudah mengalirkan airmata.

Sorang lagi kurus hitam manis. Tutur katanya kasar dan lasak. Suka mengusik semua benda dan kuat menangis.

Asyik lah bergaduh. Cakap sikit bergaduh. Lepas tu berpeluk. Lepas tu bergaduh. Saya jenuh dengan drama mereka.

Cuti sekolah ini dipenuhi dengan segala macam telenovela yang bakal mereka paparkan. Si Abang akan menduduki peperiksaan. Satu habuk pun tak bersedia lagi.

Tugasan rasmi Adik ialah ganggu perhatian Abang yang sedang "mengulangkaji pelajaran". 

Biar apa pun yang mereka lakukan, mereka buat saya ketawa. Mereka menguatkan semangat saya untuk terus berusaha keras bagi merasa kehidupan selesa.

Semoga mereka membesar sebagai anak yang soleh. Dan semoga saya terus tabah dalam menghadapi cabaran ini. Amin.

Thursday, May 28, 2015

ChiangRai - ChiangMai Hari Terakhir

Hari terakhir di bumi Thailand yang kaya dengan hasil bumi. Kami sama-sama setuju bahawa tanah Thailand memang subur dan teknologi pertanian mereka memang jauh di hadapan.

Selepas bersarapan, kami singgah sebentar di Silver Temple. Sebuah kuil yang dibina berwarna putih disalut dengan kristal. Bila matahari memancar terkena di atas kristal, pantulan cahayanya amat menarik perhatian.

(nota: Saya tidak mahu ulas pandangan saya tentang apa yang saya lihat dan alami ketika berada di sini. Saya hormati kepercayaan mereka yang percaya dengannya)



Kami berlepas kembali ke ChiangMai melalui kawasan kampung yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan. Paling menarik perhatian kami ialah buah laici. Bergayut-gayut berwarna merah dan pink... Sempat kami berhenti di satu kawasan dan memborong buah laici. Seikat RM2.00. Mana nak jumpa harga tu di tanahair yang tercinta!

Kami kemudiannya dibawa oleh Mr Whab ke kilang madu. Lebah-lebah yang menghasilkan madu yang dijual di sini (mengikut kata salesman kedai madu ini yang berasal dari Johor...), makan bunga pokok popi yang terdapat di kawasan Golden Triangle. Buah pokok popi diambil dan diproses menjadi adah jenis heroine. Hehehe.

Selepas itu kami dibawa ke kilang membuat payung pula. Macam-macam jenis payung kecik besar semua ada. Payung kertas ... Sekali ditimpa hujan, lencun!


Akhirnya, kami singgah untuk makan tengahari di sebuah kedai milik muslim ChiangRai. Kami makan laksa... Rasanya? Boleh lah. Kami juga merasai satay... Bila di Thailand, makan saja lah makanan Thailand... Ouch!


Dari situ, kami terus ke lapanganterbang ChiangMai untuk menaiki pesawat AK 587 pada jam 455 petang waktu Thailand. Selepas daftar masuk, kami mencari tempat solat. Alhamdulillah. Ada tempat untuk Muslim solat dan ada tempat untuk Buddhist sembahyang di situ.

Sementara menunggu ketibaan pesawat, kami diberitahu oleh Pengelola rombongan, saudara Hafiz bahawa kos makanan kami untuk 3hari dan 2 malam hanyalah RM90 seorang! MasyaaAllah! Macam tu punya sedap siang dan malam... Nikmat makanan yang hebat Allah beri kepada kami!

Perjalanan ChiangMai - KLIA mengambil masa 2jam setengah. Kami tiba di KLIA2 jam 840 malam dan tiba di rumah pada jam 1030 malam.

Kami bawa bersama kenangan indah bersama teman-teman di sana.

Buat Ceo Samad Kinto, terimakasih yang tidak terhingga.

Juga MohdNorHafiz, Ruffey, Shaifulizan. Anda AJK pelaksana yang hebat! Oh ya! Saya juga salah seorang AJK - Bahagian Makan....

Kepada semua ahli rombongan - Tuan Alim & isteri, Tuan Zubayri aka John & isteri, Tuan Azrul & isteri, Tuan Nazif & isteri, Dean, Ayie Oh Yeay, Irwan, Mem Besar Nur Impian dan semestinya terimakasih Boss Hj Naha yang sudi membawa saya bersama. Team ni memang ohsem dan hebat bergaya!

Jumpa lagi di lain masa, inshaaAllah.

www.bestmenserum.com


ChiangRai pula... Episod 2

Hari kedua di ChiangMai, kami beredar meninggalkan resort yang begitu mengasyikkan seawal jam 730 pagi. Kami mencari restoran halal untuk bersarapan. Alhamdulillah, dapat merasa makanan melayu...nasi goreng, mee hoon goreng dan nasi kerabu dihidangkan. Di tepi-tepi jalan ada dijual cakoi, satay dan beberapa jenis kuih. Jenuh mengunyah makanan demi makanan... Sempat juga Boss ajak solat sunat di masjid berhampiran.


Ada satu perasaan yang akan timbul tiap kali saya berkesempatan luangkan masa bersolat di dalam masjid tempat orang. Rasa syukur yang hadir dalam hati bersama deraian airmata. Pastinya doa dipanjatkan kepada Emak & Bapak kerana tanpa didikan dan asuhan mereka, saya tidak akan mampu mengembara ke negara orang...

Perjalanan dijangkakan memakan masa 4 jam. Belum sampai setengah jam, kesemua penumpang van kami lena diulit mimpi. Puas pulak saya tangkap gambar mereka. Perjalanan berliku-liku, kata orang, ada 1000 corners. Tajam-tajam pula selekohnya.


Saya terpegun melihat landscape yang menjadi latar belakang perjalanan kami. Ada gunung, lembah dan warna hijau menyelimuti keseluruhan muka bumi. Sawah padi terbentang luas, bagaikan emas kelihatannya. Padi sedang menguning, meliuk lintuk ditiup angin segar di pagi hari.

Kami berhenti berehat di HotSpring. Ada kolam-kolam air panas dan tempat shopping juga. Teruja melihat nenas kecil-kecil dan mangga yang berwarna indah. Allah! Murah sungguh mangga yang dijual. Sekilo RM3.50. Masalahnya kami membeli hanya berpandukan bau dan warna. Gadis Siam yang menjual berkeras tidak mahu memotongkan untuk kami. Suka hati lah labu...


Dari HotSpring, kami meredah lagi bumi ChiangRai menuju ke kawasan sanctuari gajah. Tu diaaaa... Besar-besarnya gajah! Bau tak payah cerita. Maklumlah, kan gajah. Mana lah mereka tahu untuk ke tandas!

Rupanya pakej kami termasuk menaiki gajah. Kami berdua adalah pasangan paling otai. Lalu diberi penghormatan memulakan perjalanan. Kami memanjat tangga untuk ke tingkat atas bangunan dan menunggu lah si gajah di pintu yang disediakan. Boss naik dulu. Saya memang seram. Tinggi sungguh gajah ni! Mau patah riuk andai jatuh dari atas gajah!


Saya duduk atas gajah dan si gajah mula membetulkan kedudukan badannya. Oh! Senget sebelah.. Hehehe. Belah saya senget sebab berat la... Apa lagi!

Lembut je bunyi tapak kaki gajah berjalan. Bergoyang goyang terhangguk hangguk kita yang duduk di atasnya. Eh! Dia menuju ke sungai... Alamak! Seram. Terasa mau jatuh ketika dia menuruni tebing sungai. Takut eh!

Kata si pemandu, gajah kami berusia 25 tahun. Saya minta dia ubah haluan...kerana saya mahu tahu cara arahannya kepada si gajah. Oh la la! Kaki pemandu gosok-gosok belakang telinga kanan gajah, maka gajah berpaling ke kanan... Hehehe


Gajah berjalan di dalam sungai... Hampir terendam keseluruhan badan gajah... Makin teruja bila melihat gajah menyemburkan air melalui belalainya yang umpama serombong... Hujung belalai saja yang kelihatan di atas air... Aduhai! Dia tinggalkan jejak pulak! Besar gedabak! Hahaha...


Jauh juga perjalanan meranduk sungai...kemudiannya kami naik ke atas tanah. Pandai gajah ni. Berjalan beriringan di tepi-tepi saja. Langsung tiada adegan potong memotong dan tidak sabar. Ada seekor gajah yang merajuk kerana mahukan pisang tetapi tidak dilayan oleh pemandunya! Comel melihat gelagatnya..

Selesai dengan gajah, kami ke tempat makan. Allah hu akbar! Laparnya rasa! Tomyam lagi... Bersekali dengan telor dadar, ayam goreng dan ulam sayur yang segar. Batang kailan pun manis di sini! Bawang besar terasa macam buah epal la pulak!


Kami singgah di kawasan penempatan kaum Karen Long Neck, dan cuba memahami mengapa mereka sanggup memakai perhiasan yang dikatakan cantik itu... Mmmm... Kesian melihat mereka yang kelihatan tersiksa sebenarnya!


Kami teruskan perjalanan ke kawasan Golden Triangle, sempadan 3 negara - Laos, Thailand dan Myanmar. Kami menaiki bot yang membawa kami menyusuri Sungai Mekong. Subhanallah... Di bawah sinaran mentari senja, kami nikmati angin yang menghembus lembut wajah kami... Kami mula mengimbau pelajaran sejarah dan guru-guru kami....Di kawasan ini lah, opium diedarkan ke negara-negara Asia dan menjatuhkan moral rakyat negara China di zaman Foong Sa Yuk... Kami juga terkenang guru geografi yang mengajar mukabumi negara Laos, Thailand, Cambodia, Vietnam dan Myanmar...  Berjalan laju menuju ke bot yang membawa kami mengingatkan kami kepada guru pendidikan jasmani!


Kami tidak dapat menjejakkan kaki ke tanah Myanmar atau Laos kerana pintu sempada ditutup seawal jam 6 petang. Bagaimanapun hati terasa puas kerana dapat merasai nikmat perjalanan itu.

Mr Whab kemudian membawa kami ke tempat makan. Restoran yang sama kerana hanya itu restoran halal yang okay di ChiangRai. Tomyam lagi, ikan 3 rasa, udang salut tepung, telor dadar dan sayur goreng. Sah! Lepas ni sebulan saya puasa makan tomyam!

Dari situ kami ke pasar malam. Berjalan membeli cenderahati buat mereka yang ditinggalkan di rumah....

Dan kami daftar masuk Hotel De Hug yang comel tepat pukul 12 malam waktu Thai... Bersamaan dengan pukul 1 pagi waktu Malaysia... Masa tu berdesup-desup mesej masuk... Kerana baru dapat wifi... 😁😁😁



Ikuti sambungannya....

www.bestmenserum.com

Wednesday, May 27, 2015

Percutian Indah di ChiangMai dan ChiangRai

Ahad hingga Selasa lepas Allah izinkan saya dan Boss untuk bersama 16 sahabat lain menikmati percutian indah di ChiangMai dan ChiangRai, Thailand. Percutian ini menjadi begitu indah kerana ia ditaja sepenuhnya oleh TrueTech Cosmetics, pengeluar produk yang sedang Boss pasarkan. Alhamdulillah. Boss berjaya mencapai jualan ke 5 tertinggi di bulan April. Rezeki hanya dari Allah.

Seawal pukul 3 pagi mata sudah tidak mahu pejam. Saya bangun dan bersiap. Begitu juga Boss, Abey dan Lala yang akan menghantar kami ke KLiA2. Kami tiba jam 445 pagi dan terus mengalas perut dengan secawan kopi.

Selepas kesemua 18 ahli rombongan tiba, kami ke kaunter check-in dan berbondong-bondong berjalan ke balai berlepas. Elok pula waktu subuh baru masuk. Kami singgah solat di surau yang disediakan dan menanti pelepasan pesawat dengan penuh keterujaan. Puas bergambar pelbagai aksi, dari selfie, wefie, gaya Pak Maon, gaya korporat.. Semua ada.


Penerbangan selama 2jam setengah melenakan kami semua. Hanyut tenggelam dalam mimpi indah. Setibanya kami di lapangan terbang ChiangMai, kami mendapat kalungan bunga melor dari gadis Thai yang comel. Kemudian kami diiringi ke kenderaan di luar bangunan. Eh! Tersilap kumpulan sebenarnya! Kami bukan dari kumpulan agensi pelancungan yang ditunggu! Hahaha. Rezeki di pagi hari...mendapat sambutan meriah tanpa dipinta.


Kami dibawa oleh airport shuttle ke hotel yang telah ditempah. Prat RajaPruek Resorts & Spa namanya. Sebuah boutique resort yang comel dan amat romantik hiasannya. Disebabkan masih awal, kami tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik. Lalu kami ke tengah bandar mahu mencari motosikal. Lama berbincang, kami putuskan untuk tidak menaiki motosikal... Alasan? Tiada siapa tahu jalan di bandar ChiangMai! Andaikata sesat, pengsanlah keseluruhan 18 orang nanti!

Akhirnya kami tahan dua buah tut-tut dan saya minta dibawa ke kawasan Night Bazaar atau Anusarn Market untuk mencari makanan. Tidak mudah mencari makanan halal terutama sekali bagi first timer seperti kami.

Allah hu akbar. Kawasan itu rupanya hidup di sebelah malam. Walaupun jam sudah masuk waktu tengahari (Thailand lewat sejam. Pukul 1 tenghari ialah pukul 2 di Malaysia), kedai masih belum dibuka. Kami ke AlHussin Restoran, satu-satunya kedai halal yang sudah dibuka. Itupun pekerja-pekerjanya nampak masih mamai.

Saya ditugaskan untuk memilih menu. Semua mata tertumpu kepada kami. Azrul, pemilik Restoran Sambal Hijau membantu dengan bijak. Tomyam campur, sayur goreng, daging goreng dan telur dadar. Cukup sudah.

Kami yang kelaparan menanti dengan sabar. Mula-mula si pelayan kacak umpama wajah Amir Khan membawa pinggan dan sudu garpu. Yang istimewa tentang cara dia membawa ialah dia bawa satu demi satu. Kemudian dia keluar membawa cawan dan mangkuk sup pula. Lemah gemalai lenggoknya. Semua mata mengekori pergerakannya. Selang beberapa ketika, dia keluar membawa mangkuk berisi nasi pula.

Hmmm.... Selang masa yang agak beberapa ketika menambah kesabaran kami. Tomyam pula dibawa. Masing-masing menerkam nasi dan tomyam. Dengan lafaz Bismillah... Ngap! Macam piranha. Subhanallah! Sedapnya tomyam poktek yang dihidangkan! Sejurus kemudian telur dadar pula keluar... Hampir siap kami makan, baru lah sayur goreng sampai. Siap dah makan, daging goreng baru tiba... Berderai kami ketawa.

Ada juga yang order minuman. Terbahak-bahak kami gelak kerana si Amir Khan membawa cawan satu persatu. Saiko betol budak ni!


Kami beredar dari restoran itu dengan hari girang. Sambil berjalan beriringan ke tepi jalanraya, puas kami berposing dengan pelbagai gaya sementara menanti tut-tut tiba. Ada apek penarik beca yang dijadikan model kepada produk kumpulan ini.


Kami kemudiannya ke tempat membuat kain sutera. Allah hu akbar. Cantiknya kain-kain yang dijual di sini. Secantik harganya. Melihat ulat sutera yang sedang memakan daun-daun, kami teringat subjek sejarah di mana ulat sutera diseludup dari negeri China dan dibawa ke Thailand untuk dibiakkan.


Abam-abam sado ramai yang mengambil kesempatan melelapkan mata, termasuk Boss. Punah harapan untuk saya membeli sepasang kain sutera. Lena sungguh tidurnya... Jenuh saya gerak. Buat bodo saja... Pandai!!!


Dari situ kami ke kilang kulit. Mahal! Kemudian kami ke Gems showroom. Mata saya terus menangkap sebentuk cincin nilam sebesar 3 carat. Harganya, Thai Bhat 510,000. Waduh! Sakan kawan-kawan lain mengerumuni saya...subhanallah! Ia memang cukup cantik!

Berjalan lagi dan saya terpandang sebentuk cincin delima potongan princess, diikat dengan berlian potongan bugget. Harganya Thai Bhat 2,300,000. Oh! Terasa-rasa lagi "kehilangan" di jari manis.

"Kak, Ain pun rasa macam missing something la kat jari ni. Cincin tu ada aura", kata Ain isteri Azrul.

Habis pakat gelak para suami yang mendengar. Bukan aura, kata mereka. Tapi auta!

Terbayang wajah Azrul dengan mulut muncung dan jelingan tajamnya sewaktu Ain memujuk untuk membelikannya cincin...."Bukan kita tak de duit! Kita tak nak beli!" Comel je...

Kami pulang ke hotel untuk berehat. Bilik cantik yang nyaman itu membuat tidur kami terlalu lena... Sedar-sedar sudah jam 7 malam. Rasanya baru saja lelapkan mata pada jam 5 tadi!


Pukul 8, kami keluar semula ke bandar untuk makan malam. Seperti yang saya tulis di atas, makanan halal tidak senang diperolehi....

Kami berjalan di Night Bazaar sambi menikmati Roti Pisang, pulut mangga dan air buah... Selepas sekali lagi makan tomyam, ikan siakap kukus, kangkung goreng, ayam goreng kunyit dan telor
dadar..seterusnya berjalan-jalan menikmati keindahan Night Bazaar di situ...


Pukul 12 malam, kami rebahkan badan di katil empuk dan hanyut dibuai mimpi... Alhamdulillah. Perjalanan panjang di hari pertama. Tiada yang membuat hati gundah. Hanya kesyukuran atas kegembiraan dan kasih sayang yang terjalin....

Bersambung....

www.bestmenserum.com