Monday, December 29, 2008

Akan berakhir 2008......




Sehari lagi kita akan melangkah ke tahun 2009. Dua hari tahun baru hijrah telah berlalu. Syukur alhamdulillah, tahun 2008 telah saya lalui dengan jayanya. Banyak halangan yang dilalui, banyak ranjau yang telah dihadapi. Kejayaan, kesedihan, kegembiraan dan macam2 ujian telah dilalui...Tuhan membantu sepanjang perjalanan dan kasih sayang dariNya membuat saya terus tabah mengharungi kahidupan.

Menyorot kembali pencapaian sepanjang tahun...banyak yang telah dicapai, dan ada juga yang hilang dari genggaman, namun kasih sayang anak2, suami dan ahli keluarga yang lain sentiasa bersama saya.

Sepanjang cuti Krismas dan Maal Hijrah, kami sekeluarga (termasuk abang, kakak dan adik saya bersama keluarga masing2) menghabiskan masa di banglo kepunyaan teman di A Famosa Resort, Melaka. Pertama kali dalam hidup dapat berendam dalam kolam renang dengan hanya berkain batik dan baju tidur! Anak2 gembira dapat bersama sepupu yang lain, abang Nasir yang masih tidak boleh menggerakkan anggota badan bahagian kanannya turut gembira kerana dapat membuat anaknya Arina ketawa. Yazid yang sibuk menanda kertas jawapan SPM datang juga biarpun dateline menghantar kertas dah hampir, Kak Non puas melayan Ayi dan Ala menjadi dugong dalam kolam. (Ayi-tahniah kerana berjaya dengan cemerlang dalam PMR. 7A 1B. Dahsyat tuhhh....)

Kami sempat ke bandar Melaka, merasa pengalaman menaiki Eye on Malaysia, juga ke Zoo Melaka, menikmati keindahan night safari. Berjalan2 di Jonker Street, sempat belikan Nabilla kebaya nyonya yang menjadi idamannya sejak sekian lama. Mahal giler, tapi... birthday present. Bolehlah...

Saya sukakan bandar Tampin, yang membawa nostalgia kepada kami. Macam pekan Kapar 20 tahun lalu!!! Infrastruktur, termasuk basnya... teramat jauh ke belakang tertinggal.

Abey dan Jimie sukakan kedai RM2. Murah2 belaka... mana tak murah, belum keluar dari kotak dah berderai! Kami suka makan di Warung Wak Jono. Sedap lontong Jawanya...

Kami bersedih kerana Bibik Seri mengambil keputusan (agaknya) untuk tidak pulang lagi ke Malaysia. Kami kehilangannya. Abo terpaksa ke Taska. Agak sukar, tapi Insyaallah, ini dugaan di akhir tahun yang pastinya akan kami tempuh dengan jayanya nanti. Lala telah kembali ke kampus, Jimie akan bertarung dengan SPM hujung 2009 nanti dan Abey akan berjuang dalam PMR. Boss akan sibuk dengan perniagaannya, mudah2an bertambah maju, dan mungkin banyak trainings classes akan diperolehi. Saya? Setiap masa doa saya adalah...berikan kemudahan kepada saya dalam apa jua yang saya lakukan.

Monday, December 22, 2008

Rezeki dari langit

Pagi tadi sedang saya bersiap untuk ke pejabat, saya tersenyum sendirian di depan cermin. Tidak saya sedari rupanya Abey memerhatikan gelagat saya. Seolah polis pencen dia bertanya, "Mama kenapa?"

Saya toleh dan saya katakan padanya dan juga Lala yang berada di sebelahnya, "Mama baru tersedar yang Tuhan kabulkan doa dhuha mama semalam - sekiranya rezekiku masih di langit, Kau turunkanlah."

Berkerut dahi anak2 saya. Mesti hati mereka kata, "Apa-apa je mak aku ni..."

Saya sambung, "Semalam Mama dapat bungkusan dari jauh. Baru turun dari kapalterbang. Dari seorang hamba Allah yang tak kenal Mama pun. Dia hantar hadiah untuk anak2 Mama. Bukan ke itu rezeki dari langit? Mama minta dari Tuhan rezeki untuk Mama, untuk Papa, untuk anak2 Mama...hari-hari. Semalam rezeki korang yang ada kat atas langit turun melayang-layang....Siapa kita untuk kita dustakan nikmat Allah? Mama nak korang tau betapa besarnya kesan solat dhuha dan doa dalam kehidupan kita. Jadikan dhuha rutin harian. Sentiasa doa pada Allah untuk apa sekalipun"

Lagilah berkerut dahi anak2 saya....Tetiba mak mereka ni jadi Ustazah lah pulak!

Ye...semalam anak2 saya menerima rezeki dari langit. Saya tidak boleh untuk tidak mengucapkan Syukran yang teramat sangat. Semoga Allah memudahkan segala urusan 'si dia' sekeluarga dunia dan akhirat. Siapa dia? Hanya saya, dia dan Allah yang tahu. Subhanallah....

Re-united


Tiga sekawan

Para isteri

Para suami

The bujangs

Saya mengenali Wan Mohd Ghazali @ We Li sejak tahun 1986. Kami sekelas di UiTM (dulu ITM) mengambil kursus Advanced Diploma in Accountancy (kini Bachelor (Hons) in Accounting). We Li yang saya kenal dulu teramat pemalu. Rasanya kami tidak pernah bersembang mahupun bercakap di antara satu sama lain.

Kami dipertemukan semula beberapa tahun lalu. We Li rapat dengan beberapa individu yang rapat dengan saya seperti Allahyarham Amran Othman, immediate Boss saya di Celcom yang juga rakan sekelas kami. We Li juga teman baik Prof Kamil, senior kami dan pensyarah saya (Masters). Kini We Li seorang ahli perniagaan kaya yang berjaya tetapi masih pemalu dan amat merendah diri!

Jamil Jamaluddin saya kenali sewaktu di semester akhir ADIA. Beliau senior satu semester tetapi 'termasuk' ke dalam kelas kami...hehehe. Perhubungan saya dan Jamil jarang sekali terputus kerana Jamil yang menetap di Kuching tidak pernah bertukar tempat kerja! Sejak beberapa tahun lalu, Jamil meninggalkan sektor kerajaan dan menjadi pengarah sebuah syarikat awam yang amat besar. Seperti We Li, Jamil amat kaya, berjaya tetapi masih merendah diri! Anak saya yang belajar di Sarawak sentiasa mendapat jagaan Jamil dan isterinya yang baik budi - Ros.

Dua minggu lepas Jamil berada di KL dan saya sekeluarga berserta We Li sekeluarga berkumpul di Hainan Chicken Rice Jalan Bukit Bintang menikmati makan malam bersama2. Kami bersembang dan bergelak ketawa, membongkar cerita lama sehingga anak2 senyum kambing dan tersipu2...Agaknya tak sangka mak/ayah mereka bukan 'baik' seperti yang mereka sangka...

Pertemuan semula ini merapatkan silaturrahim antara keluarga. Boss saya yang memang dikenali oleh rakan2 sekelas dulu cepat mesra dengan Jamil dan We Li. Ros dan isteri We Li juga begitu senang menerima saya....

Harapnya persahabatan dan persaudaraan ini berkekalan. Anak2 saya cukup impressed dengan mereka berdua ni. Langsung tak gaya orang kaya...humble, penuh dengan humor dan sentiasa menghargai. Guys...you are great!

Tuesday, December 9, 2008

It doesn't matter...

Sewaktu memandu ke pejabat pagi tadi, saya diperdengarkan dengan lagu lama nyanyian Ibnor Riza. Tajuknya entah apa....tetapi senikatanya lebih kurang begini...

Kau bayang-bayang
Mimpi nan silam...


Itu saja yang saya ingat. Perjalanan dari Shah Alam ke Kelana Jaya tidak mengambil masa lama. Namun, saya sempat mengimbas kenangan silam. Ada yang ngeri, ada yang menyakitkan, ada yang menyedihkan dan sudah pasti banyak yang menggembirakan.

Saya sering berkongsi rasa dengan anak2. Mereka masa depan saya. Mereka ada masa yang panjang untuk mencapai impian mereka. Mungkin juga mereka akan capai apa yang tidak mampu saya capai dalam kehidupan ini.

Saya pesan pada anak2 saya...

It doesn't matter who you were before. What matter is who you are now.

Bayang2 mimpi yang silam tidak perlu diingat selalu. Memori kita selalunya mengimbau satu2 momen, bukan peristiwa. Jika asyik diingat kenangan lalu, kita hanya akan 'berlari setempat'...

Sunday, November 30, 2008

Abey...


Sembilan bulan saya mengandung tanpa rasa mengandung...Sejak awal lagi saya tidak muntah2 atau morning sickness. Saya cukup steady. Makanan apa pun boleh masuk, cuma saya agak tidak gemarkan ayam dan daging. Hari-hari saya makan berlaukkan ikan bakar dan ikan pindang. Kak Min yang berniaga nasi kat bawah ofis siap kata, "Hitam anak ko nanti Su, hari2 makan ikan bakar!".

Saya boleh berlari walaupun kandungan saya dah masuk 6 bulan. Uncle Saadon siap jerit sekuat2nya bila dia lihat saya berlari turun tangga. Direntapnya tangan saya sebab dia takut saya jatuh... Aktifnya saya ketika mengandungkan Nabil...

Yang akan saya ceritakan adalah apa yang Boss saya alami. Empat bulan pertama; FLAT. Dia muntah setiap pagi. Dia pening dan mual sepanjang masa. Dia tak tahan bau busuk atau bau wangi. Dia penat dan penat.

Masuk bulan ke 5 hingga ke 9, dia makan tanpa henti. Mencungap2 pulak tu. Asal malam je dia kepanasan dan resah. 1 Disember 1994, dia keluar masuk toilet sejak dari pagi berpuluh kali. Rasa cam nak buang air...katanya.

Ye! Boss saya yang merasa mengandung! Saya free dari semua alahan dan kepenatan kerana dia telah mengambil semuanya dari saya! Sampaikan pada ketika saya mengalami contraction, perut dia yang menegang!!!!

Sesampainya di SJMC, saya masih boleh berjalan. Tak rasa apa pun. Boss asyik tekan perut. Nurse kata, "You can't walk, maam. Its already 8cm!". Hebatnya perasaan saya masa tu. Saya sakit perut gelakkan Boss. Dia betul2 tertekan...nak beranak tapi tak de apa dalam perut!

Dalam labor room, sedang saya 'disiapkan', Boss masih ulang alik masuk toilet. Dr Siti Zaleha yang datang untuk menyambut bayi saya ketawa bila dapat tahu apa yang Boss dah alami. Sekali push saja, seorang bayi lelaki comel keluar dengan tangisan. Kesemua ini memakan masa kurang dari setengah jam! Mancung sungguh hidung baby ni... Saya berpaling memandang Boss sedang Doktor dan Nurse membersihkan mana yang perlu. Boss kata,"Ya Allah... leganya!". Kehkehkeh...Bayangkan perasaan itu!

Selepas diazankan, bayi comel itu saya peluk. Wajahnya cukup cantik. Sharp. Sebiji wajah Papanya... Kami namakan dia Nabil Imran. Kini dia membesar menjadi remaja tampan. Kulitnya 'tanned'...tapi itu yang buat dia nampak macho!!! Sepanjang kehidupannya hingga kini, dia dah patah tangan 3 kali! Masuk hospital hampir setiap tahun. Manja dengan Mama dan Papa kadang2 mengalahkan adiknya. Membesar di tangan Acik Kiah dan Mok Su di Gombak, dikelilingi abang2 di sana - Along, Angah dan Ayon.

Mama doakan Abey berjaya dunia akhirat. Jadi manusia berguna dan beriman. Kalau Abey nak tau, Abey ni cukup special! Jarang sekali seorang ayah merasa pengalaman 'mengandung'!

Happy Birthday! I love you....

Thursday, November 27, 2008

Cuti-cuti Malaysia dan anak denggi(?)....

Selasa lepas, sedang kami excited dengan persiapan untuk bercuti ke Pantai Timur bersama keluarga besar saya, kami dikejutkan dengan keadaan Abo. Dia tidak boleh berjalan!!! Oh tidakkkkk!!!!

Seawal pukul 8 pagi kami sudah berada di DEMC. Doktor ambil darah dan keputusannya: pletlet 178. Ini bahaya. Doktor tanya, 'tinggal di mana?'. Kami jawab 'Seksyen 7'. Kata Doktor,'Oh, ini denggi. Kawasan Seksyen 7 kawasan hitam'.

Saya pandang Boss,'How?". Boss kata,'Kami nak ke Kuantan'. Doktor kata,'Don't. He has to be admitted.'

Kelu lidah... adik beradik saya, Abang Nasir, Kak G, Kak Non, Kak Wi dan Anis bersama keluarga mereka telah pun sampai dan berkumpul di rumah saya. Anak2 saya dah siap susun barang dalam kereta. Saya buat panggilan,'Non, Abo denggi la. Kena dok spital. Kami tak dapat join.' Kak Non jawab,'Aiseyman....tak pe lah. Kami tunggu kat sini sampai ko balik.'

Nurse minta kami tunggu sekejap untuk berurusan dengan pihak insuran. Abo dah merengek dan menangis. Betis dia tegang. Badan dia panas. 30 minit masa berlalu... nurse datang minta Boss sign borang. 'Eh, silap borang Encik'... Datang balik dengan borang sama, 'tak pe. Sama je borangnya'. Selepas 20 minit, saya naik angin satu badan. Dipendekkan cerita, saya ambil balik kad insuran Abo dan minta surat dari Doktor untuk saya bawa ke Kuantan.

Yes!!! Saya dan Boss putuskan untuk proceed dengan plan asal. Makanya, bertolaklah kami dalam 5 buah kereta, berkonvoi ke Duta Village, Jalan Beserah, Kuantan.

Seronoknya anak2 dan anak2 saudara saya. Mak ayah pun seronok juga. Sembang tak habis-habis. Deruan ombak yang menghempas pantai dengan angin yang nyaman... Sesekali hujan membasahi bumi Kuantan, namun ia tidak menghalang anak2 dari berlari ke sana ke mari dan naik turun ke setiap chalets yang kami diami. Bujang2 kami memasang khemah dan tidur di dalamnya...

Kami masak2 di sana... Emak2 mengambil peluang bershopping ikan dan sayur di pasar tani. Kerja kami - makan, makan dan makan... Lepas tu tidur, dan makan dan main dan sembang...

Pukul 8 malam, kami semua terkejut melihat Epah sekeluarga tiba sambil tersenyum simpul. Adik saya ini kononnya ada kursus... entah apa yang dia dah temberang kat Boss dia, makanya dia juga bersama kami memeriahkan suasana yang cukup indah ini. Kesemua kami berjumlah 33 orang, tidak termasuk 2 ekor kucing kesayangan yang dibawa bersama oleh Alia dan Arina!!!

Lupa...anak saya masih belum pulih. Keajaiban terjadi bila dia yang mulanya berjalan terjengket2 akhirnya boleh jalan seperti biasa biarpun badannya masih hangat. Alhamdulillah.

Malam pertama di sana, Akib yang asyik sangat berlari ke sana ke mari, demam panas dan muntah2. Kesian dia dok panggil Abahnya yang jauh. Esoknya, saya dan Boss berserta Kak Wi bawa Abo dan Akib ke Kuantan Medical Centre. Syukur kerana pletlet darah Abo dah meningkat ke 226. Sah! Dia bukannya mengidap denggi. Akib pula demam panas kerana main hujan dan tidak makan pada malam sebelumnya... Excited sangat...

Dan seterusnya kami sambung aktiviti makan, tidur, lepak dan sembang... Ada saja. Dari kisah anak, kisah artis, kisah ofis, kisah politik, kisah ekonomi, kisah buku, kisah agama. Semuanya! Kalah wartawan...

Kami pulang semalam, dengan hati yang cukup puas. Tiada kata secantik bahasa untuk dilafazkan. Keindahan bersama keluarga tersimpul erat di sanubari. Saya bangga punya keluarga besar yang saling sayang menyayangi dan amat mengambil berat antara satu sama lain...Semoga tradisi ini berterusan hingga ke anak cucu...

Thursday, November 20, 2008

Jiwang

Hari ni saya jiwang sikit... Sebabnya, terjumpa satu frame yang dihadiahkan oleh Boss kepada saya beberapa tahun lalu. Jumpa kat mana? Hehe...dalam timbunan harta karun bawah katil... Sorry Boss! Terlebih simpan... Namun, frame itu kini duduknya di atas meja saya di pejabat baru yang comel ni....

*********************************************************

I Will Love You

As long as I can dream
as long as I can think
as long as I have a memory...
I will love you.

As long as I have eyes to see
and ears to hear
and lips to speak....
I will love you

As long as I have a heart to feel
a soul stirring within me
an imagination to hold you....
I will love you

As long as there is time
as long as there is love,
as long as there is you,
and as long as I have a breath
to speak your name...
I will love you,
because I love you
more than anything
in all the world.


******************************************
Tak sangka... rupa2nya Boss saya ni amat romantis orangnya!!!! hehehe

I love you so much...

Pengalaman di konti, teman lama dan teman baru

Petang tadi saya berpeluang menjadi tukang komen buku Travelog Dakwah tulisan Prof Kamil di Radio Ikim. Prof Kamil diundang menjadi tetamu slot Ulasan Buku dan saya bersama Boss amat berbesar hati menjadi tukang komen jemputan Prof...hehehe.

Ramainya peminat Prof... Penuh studio. Sempat juga berkenalan dengan Haji Ridzwan Bakar, penulis buku Haji Muda....alamak...muda2 dah pegang jawatan besar, ada doctorate, penulis buku, dah naik haji....jealous saya.

Prof Kamil bila dah mula bercerita...puh!!! dengan penuh semangat berkobar2. Terpaku dibuatnya.. (cetakan pertama buku ini telah habis dijual). Saya mendengar penceritaan penulis fofular ini dengan penuh khusyuk. Tak sedar airmata mengalir bila beliau bercerita tentang kematian... Uhhh... di manakah saya??? Paling saya suka bila Prof huraikan 'hanya segelintir hamba Allah yang akan ke syurga firdaus'. Prof kata, 'senang nak jadi yang segelintir tu... kuota masih banyak lagi...' kenapa? 'kerana di masjid2 saf tak pernah penuh..' hehehe

Mudah2an saya diberi kekuatan untuk menjadi manusia sehebat Prof. Apa yang saya komen? Dengar siarannya pada 29 Disember ini, jam 9 malam, radio Ikim, sempena Awal Muharram.

Teman sekuliah saya, Jimmy Manap menalipon dan bersembang panjang. Bercerita tentang pelbagai cerita... Kisah kehidupan yang bagaikan pentas bangsawan. Apa yang dicari dalam hidup? Suka duka, kisah cinta, kerjaya, rumahtangga yang gagal, anak-anak... Ketawa besar Jimmy bila saya sarankan padanya, 'u belajar je dari my husband camana nak dapat isteri yang pandai, baik, kaya, rajin....' kahkahkah....masuk bakul angkat sendiri....

Saya suka benar makan biskut lemak cecah air milo. Sejak dua menjak ni itulah makanan saya di waktu tengahari. Kesian...dah ada duit, masa pulak tak de.... Ari2 makan biskut dan minum air milo free... Sambil makan dan membaca reports dan proposals yang melambak atas meja, saya layan Mak Lang @ Ir Halina di talian... Yeah... teman blogger yang baru saya kenali. Kami macam dah kenal 10 tahun...! Akhirnya, termeterai janji nak dinner di rumahnya di Kerteh minggu depan... Jauh giler! Kami nak cuti-cuti Malaysia.... 3 hari di Cherating sebelum saya membawa diri ke Mumbai hujung minggu depan....

Aaahh... seronok betul saya hari ini... Hari saya padat dan terisi... Tak sempat nak pikir benda2 ngarut mahupun nak mengumpat....Alhamdulillah.

Monday, November 17, 2008

Kenangan Mengusik Jiwa...

Anak dara saya baru balik bercuti. Hari ni dia ikut Papanya ke Muar. Seronok betul dia 'explore' tanah tumpah darah Papanya. Saya pasti balik dari sana nanti dia akan bercerita tak habis-habis...

Sejak kami ambil dia di airport, mulutnya tak henti-henti bercerita. Yang menggelikan hati bila dia beritahu ada pulak 'lamaran' yang diterimanya...bukan satu, tapi banyak!!! Hahaha...tergelak kami dibuatnya. Usia 19 tahun ni sememangnya usia yang cukup manis. Masa ni lah banyak mata memerhati dan mungkin berangan-angan untuk memiliki.

Terkenang sewaktu saya seusia dengan anak dara saya 24 tahun yang lalu... Anak gadis kampung yang cukup 'innocent', berada di menara gading, dikelilingi sahabat2 yang datang dari pelbagai kalangan...Bilik saya no 2315, Delima 2. Roommate saya Shida, minah ROTU dari Mersing, senior 1 tahun dari saya. Shida berkawan baik dengan Onie dan Lynn, uptown girl dari Ampang dan Keramat. Kami riuh setiap masa. Hari-hari kami hanya ketawa dan ketawa. Selain dari Shida dan Onie (Lynn dan saya bukan ROTU), saya juga rapat dengan 'sedara-mara' Shida dalam ROTU seperti Mek, Che' Nah, Ogy, Nani, Rohaizah dan ramai lagi yang saya dah lupa nama mereka.

Antara aktiviti masa lapang kami ialah memerhati 'mamat-mamat' yang menaiki motor lalu di hadapan bilik kami. Masih teringat lagi plet2 nombor motor-motor tertentu...Mana-mana Mamat yang agak 'mengancam' akan sentiasa mendengar siulan kuat dari bilik kami. Kami paling suka tiup kertas gula2 yang berbunyi 'Phewwitt'. Masih jelas terbayang camana Man Ali hampir terbabas masuk longkang kerana terkejut mendengar siulan kami!!!! Itu belum lagi masuk kisah kami lawan main mercun atas bumbung asrama dengan pelajar2 lelaki dari blok lain..! Seronoknya mengenang kisah lama...

Di usia yang muda remaja itu saya juga merasa apa yang anak dara saya rasa...ada peminat, ada yang saya minat... Entah mengapa kita selalu minat pada orang yang tidak menaruh minat kat kita... Sesekali terkenang, panjang sungguh list yang saya ada untuk buat pilihan...ehem.

Namun saya tidak mampu melupakan seseorang yang telah saya lukakan hatinya tanpa saya sedari. Dia seorang lelaki kacak, Tall Dark and Handsome kata omputih. Dia teman rapat Shida dan Onie, Mr S namanya. Disebabkan kami rapat, saya minta dia berlakun menjadi 'boyfriend' saya demi untuk melepaskan diri dari Mr N. Lakunan saya hanya lakunan semata-mata, tapi rupanya dia serius! Lama juga kami melakunkan babak 'boyfriend/girlfriend' tipu-tipu ni...akhirnya bila saya kenalkan dia kepada boyfriend saya yang sebenar, (kini suami saya), barulah saya tahu betapa selama ini dia benar2 jatuh hati pada saya! Saya kesal dengan apa yang telah saya lakukan dan sehingga kini rasa bersalah padanya masih ada..

Baru2 ini saya dipertemukan dengan Mr. S di Genting Highland; dan ingatan saya berlari ke situasi 24 tahun lalu. Saya doakan Mr S berbahagia bersama isteri dan anak2nya. Dan saya amat berharap agar anak dara saya tidak akan melakukan kesilapan yang telah saya lakukan. Tak yah berlakun2 tau...nanti kecewakan orang lain...tak baik...

Wednesday, November 12, 2008

Managing Expectation (1)

Expectation dalam bahasa Melayu bermaksud 'jangkaan'. Secara saintifik, ia berdasarkan teori dan sejarah. Dalam hidup sehari-hari, setiap dari kita menjangka akan sesuatu yang bakal berlaku. Ramai yang lupa bahawa ada 'thick line' yang memisahkan jangkaan (expectation) dan harapan (hope).

Kita mengharap kejayaan cemerlang dalam SPM(straight As). Kita menjangka keputusan yang bakal diperolehi berdasarkan prestasi sewaktu menjawab soalan.Ia adalah dua perkara nyata yang cukup berbeza. Selesai peperiksaan kita berdoa siang malam untuk dapat 10A1 biarpun kita tahu jawapan yang kita tulis paling hampir pun mungkin hanya 5A 5B. Apabila keputusan diumumkan, kita akan kata "Seperti yang dijangka - 5A". Kita telah memusnahkan harapan kedua ibubapa. Patutkah kita rasa kecewa? Tidak patut, kerana kita telah pun menjangka dan kita mengharapkan keajaiban untuk membantu kita mencapai harapan..

Managing expectation adalah satu perkara paling penting dalam kehidupan kerana ia akan mengakibatkan krisis diri sekiranya tidak ditangani dengan betul. Ramai yang depress dan kecewa dengan kehidupan mereka kerana tidak berupaya menguruskan jangkaan mereka. Bagi kebanyakan dari kita, jangkaan adalah harapan dan harapan adalah jangkaan. Sedangkan jika dilihat dari contoh SPM tadi, ia bukan sekadar 'thin line' di antara keduanya.

Kehidupan sehari-hari kita penuh dengan harapan dan jangkaan. Sebagai ibu, saya harap anak2 saya dapat jadi pelajar cemerlang, gemilang dan terbilang. Pelajar terbaik dalam SPM, olahragawan, presiden persatuan itu dan ini, wakil negara, jaguh dunia, paling baik, paling cantik, paling kacak dan semua yang nombor satu. Itu harapan.

Berdasarkan prestasi anak2 saya, dan teori bahawa mereka 'datang' dari kami berdua yang bukan straight A students, bukan ratu cantik, bukan jaguh dunia, kaki bangku, tidak sukakan banyak benda dan yang sewaktu dengannya - saya patut tahu untuk menjangka sejauh mana anak2 saya boleh pergi. Makanya, saya perlu manage expectation saya right. Anak2 saya boleh jadi semua yang terbaik JIKA saya siapkan mereka dengan segala yang perlu - home tuition oleh cikgu hebat untuk kesemua subjek, personal trainer dalam bidang sukan, sentiasa berhubung dengan guru ko-kurikulum, hantar mereka ke grooming classes...dan macam2 lagi.

Bila saya tidak mampu untuk mengadakan 'world class' preparation untuk anak2 saya, adalah tidak adil untuk saya menjangka anak saya menjadi world class champion. Gelaran Jaguh kampung pun tidak mungkin tercapai....

Lihat ke dalam diri kita sendiri. Jangan asyik salahkan diri kerana gagal mencapai harapan. Pisahkan harapan dari jangkaan. Sekiranya kita gagal, kekecewaan tidak ujud. Tiada penyakit darah tinggi, hypertension, stress, depression, frustration dan apa saja yang berkait dengannya kerana kekecewaan yang kita alami is managable.

Tunggu sambungannya....saya sedang mencari beberapa fakta lagi....

Sunday, November 9, 2008

A Nite with the World Champions



Jumaat lalu kami ke Stadium Juara Bukit Kiara bersama2 ribuan pendengar Sinarfm untuk memeriahkan acara perlawanan badminton antara pendengar radio Sinar dengan jaguh2 badminton negara.

Jaguh dunia seperti Datuk Misbun Sidek, Datuk Lee Chong Wei, Jalani dan Rashid Sidek serta Roslin dan Hafiz Hashim bergabung tenaga menjayakan program bersejarah buat mengumpul dana membantu isteri Datuk Misbun yang sakit buah pinggang.

Abey beria2 mengajak kami dari mula. Beliau peminat setia LCW. Bagi Abey, kejayaan LCW menjadi jaguh dunia amat mengujakannya. Saya harap Abey berjaya menjadi juara dunia dalam apa jua bidang yang diceburinya seperti LCW...

Pada malam bersejarah itu saya juga dipertemukan semula dengan 2 kawan lama yang telah lama tidak saya temui - bahkan langsung tak ingat mereka... Mohd Azmi 'Jimmy' Manap dan 'Badok'. Masing2 dah berubah saiz dan rupa... Kedua2 mereka teman sewaktu di Diploma Perakaunan ITM Shah Alam 1983-1986. Saiz saya sendiri pun dah jauh berubah... hehehe. Jimmy kini sendirian selepas perkahwinanya yang dikurniai 7 anak musnah 2 tahun lalu. Saya diperkenalkan kepada teman intimnya. Selamat berbahagia... Badok pula datang bersama isteri dan 4 anak mereka. Anak bongsu Badok anak istimewa. Cekal sungguh mereka menjaga si comel yang berada dalam dunia tersendirinya..

Semalam kami sempat juga menghadiri kenduri sepupu yang akan menunaikan Haji. Seronok sungguh mereka. Akak Paridah ialah seorang cancer survivor yang pernah beberapa kali berada dalam keadaan 'nazak'. Alhamdulillah, semangat juang kental yang dimilikinya membolehkan beliau sihat segar bugar kini dan diberi peluang untuk menunaikan Rukun Islam ke 5 bersama suami tercinta. Semoga mereka sihat di sana dan mendapat haji mabrur.

Hari ini, kami sekeluarga ke Semenyih, menziarah Kassim Selamat. Kak Ain seperti biasa masak sedap2 walaupun 'Boss' saya dah pesan awal2 tak payah siapkan apa2... Semoga Allah memberkati kehidupan KS dan Kak Ain dunia akhirat...Tabah sungguh mereka menghadapi hidup yang sukar dimengerti ini...Bagi saya, KS dan Kak Ain adalah contoh juara dunia. Biar apa pun pandangan orang pada mereka, mereka tetap insan2 hebat yang cukup menghargai setiap saat bersama yang Tuhan beri kepada mereka. Cinta dan kasih sayang antara mereka terlihat di wajah Kak Ain yang sabar menyuap makanan ke mulut suami tercinta... Subhanallah.

Saya juga berdoa agar Kak S sihat kembali selepas 2 hari dirawat di rumah sakit kerana darah tinggi. Tidak dapat dibayangkan keadaan beliau yang mengharap 'miracle' berlaku dalam kehidupannya yang diulit kemewahan... Wang ringgit dan harta benda hanya mainan semata... Kebahagiaan yang dicari tiada di tempat itu. Belaian dan perhatian adalah pengubat luka dan lara; namun ia seringnya dilupakan...

Saya ingin menjadi juara dunia, seperti pemain2 badminton negara. Mereka berada di satu tahap yang cukup tinggi... mereka pastinya punya self-esteem dan self-confidence yang tidak mampu digugat oleh sesiapa jua. Mereka tahu apa yang mereka mahu, dan mereka mampu lakukan sesuatu yang di luar jangkauan mereka.. Alangkah baiknya jika kita semua diberi kekuatan sehebat mereka...

Wednesday, November 5, 2008

Rainbow in my life...

"Daddy! Daddy! I saw rainbow...Look there Daddy! There's rainbow"

"Mommy! Mommy! I saw rainbow! It is so beautiful..."

Suara nyaring halus mengejutkan kami berdua dari tidur yang lena....Si kenit dah bangun, dah turun ke bawah dan ikut Bibiknya keluar buang sampah, nampak rainbow, berlari semula ke atas untuk beritahu kami apa yang dia lihat.. Sorry Darling, Mommy and Daddy tertidur lepas Subuh....

Rainbow @ pelangi... Hanya sesekali ia terjadi. Selepas hujan. Berapa warnanya? Tujuh. Apa warna2nya? Merah, Jingga, Kuning, Hijau, Biru, Indigo dan Ungu... Eh!!! Saya masih boleh mengingatinya...Terimakasih kepada Mr Ang, guru Fizik kami sewaktu di Tingkatan 4 & 5, SM Teknik Kuala Lumpur...

Pelangi mewarnai langit yang biru. Cantik sungguh warna2nya. Lengkap. Langit biru dan awan putih mejadi latar belakang jalur pelangi. Itulah kehidupan....

Hari ini, 19 tahun genap usia 'my princess' - Nabilla Naharuddin, yang kini sedang berdepan dengan peperiksaan akhir di UiTM Kota Samarahan, Sarawak. Saya terbayang dia ketawa. Hilang mata dia.... Masa kecik cukup kuat menangis. Orang Jawa kata "ciwek". Sekarang membesar sebagai gadis jelita.... biarpun masih kalut dan tak tentu arah kadangkalanya...

Kehadiran Nabilla benar2 membawa makna kepada kami berdua. Keletahnya, sering membuat kami ketawa. Membesar dalam keadaan kami yang cukup kekurangan, Nabilla jadi seorang yang ada 'strong character'. Beri dia apa saja. She will make it happen. Happy Birthday, my dear... Dah besar anak Mama... Tak lama lagi Mama boleh dapat menantu pulak!!!! hehehehe...

Tiga jejaka yang lahir selepas Nabilla melengkapkan warna-warna pelangi kami. Jimie yang sentiasa mahu jadi juara dan big brother, Abey yang reserved, observant dan cukup suka tersenyum serta Abo yang sentiasa riang gembira... Mereka saling melengkapi antara satu sama lain.

Nikmat Tuhan manakah yang Engkau dustakan???

ALhamdulillah. Saya bersyukur diberi kehidupan yang dipenuhi pelangi indah untuk membuat hidup saya penuh makna; riang gembira dan tiada duka...

Untuk Jimie, Mama dan Papa 'speechless' bila Mie bawa balik satu lagi Anugerah dari sekolah... Bukan waktu sukan atau pelajaran saja, semalam Mie bawa pulang Anugerah Emas Ko-Kurikulum... We are very proud of you, son!!! Wow!! That's amazing, really amazing! You always know what you want and you always get what you want! Congratulations....

Monday, November 3, 2008

You Complete Me

Saya menerima kunjungan dua bekas pelajar Ahad lalu. Rodzaidi dan Rosnisham, yang telah tamat pengajian pada penghujung tahun 2007 dengan besar hatinya menjemput saya dan keluarga ke majlis perkahwinan masing-masing. Yang menariknya, Rodzaidi memilih Irma Izura, rakan sekelasnya, sebagai pasangan.

Aiii....dah besar anak2 saya ini. Nak kawin dah... Mereka baru berusia 25 tahun. Umur Nabi, kata mereka. Saya dan suami berpandangan. Teringat sesuatu...Sewaktu suami saya 25, rumahtangga kami terbina. Indahnya hidup sewaktu melalui saat2 bersejarah itu.... Dalam diam, telah hampir 20 tahun kami bersama. Suka, duka, gembira, sedih... kami laluinya berdua. 9 bulan selepas pernikahan kami, Nabilla lahir menambah warna hidup pada 6 November... (Dua hari lagi beliau genap 19 tahun...).

Saya harap Zaidi, Irma dan Sham bahagia dalam melayari hidup berumahtangga. Perkahwinan itu indah, namun penuh dengan ketidakpastian. Suami dan isteri adalah dua individu berbeza, yang ditakdirkan untuk bertemu, jatuh cinta dan bersama... KEbanyakan rumahtangga gagal kerana tiada persefahaman...namun jika dianalisa, ramai suami isteri bergaduh kerana ANDAIAN. Perkataan SEPATUTNYA seringkali digunakan. Akhirnya hati jadi sakit dan hubungan jadi tegang. Bohong jika saya tidak pernah menyakiti hati si dia, bohong juga jika hati saya tidak pernah disakiti. Kami manusia...Saya keras hati, dia lembut. Saya outspoken, dia reserved. Saya selalu berkerut, dia selalu senyum... (Yang buruk tu memang saya!!! My true confession)

Namun, kami sentiasa bersama. Sepanjang hampir 20 tahun ini, kami cuba untuk sarapan bersama. MAsalah anak2 akan saya selesaikan sebelum saya 'report' padanya. Dia membuat keputusan akhir. Kata2 sesiapapun, samada adik beradik, mertua, ipar duai dan kawan2 selalunya tidak akan mempengaruhi behaviour kami. Anak2 kami membesar dengan penuh kegembiraan. Biar tidak kaya, tidak ternama; kami saling melengkapi antara satu sama lain.

Teringat kata2 Jerry Maguire (Tom Cruise) kepada isterinya... "You...Complete Me". Alhamdulillah....

Friday, October 31, 2008

I am proud of you...and of me too!!!

Malam tadi saya dapat panggilan sekitar pukul 10. "Suria, saya kat Shah Alam ni. Buku Travelog Dakwah ada pada saya. Bila nak ambil?" Eee...bestnya... saya bersorak dalam hati. "Malam ni?" jawab saya. "Saya tunggu Dr kat kedai mamak sebelah Shah Alam Mall." "Saya tak dok seluar la...tak bule keluar." Hahahaha...saya ketawa besar.

Pagi tadi saya singgah Concorde Hotel untuk mengambil buku Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok tulisan penulis terkenal, Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim, guru, sahabat dan mentor saya. Saya gembira kami dapat bertemu, selepas sekian lama sejak beliau berhijrah ke Segamat. Dua kali beliau bersalaman dengan 'Boss' saya kerana katanya wajah 'Boss' saya bercahaya-cahaya...Cewah!!! Senyum lebar kawan!!!

Buku baru tulisan Dr Kamil baru saja lepas keluar dari stor penerbit. Saya amat bertuah kerana saya adalah antara orang pertama menerima tempahan saya. Dr Kamil juga bermurah hati memberi sebuah buku percuma kepada saya kerana saya telah 'terpilih' menjadi pembaca manuskrip buku ini beberapa bulan lalu. Apa yang saya boleh katakan tentang buku ini? Hebat.... Bacalah; dengan ikhlas; pasti akan meleleh-leleh airmata...

(Nota: Dr Kamil turun pakai jubah. Penemannya pakai kain pelekat lagi..Sah tak dok seluar!!)

'Boss' saya cilok buku yang Dr Kamil beri kepada saya. Katanya, 'Su dah baca kan? Bagi Abang baca dulu...' Saya beli 5 buah yang saya khaskan buat 5 sahabat istimewa saya. Tengahari tadi saya makan tengahari dengan Datin Hasanah Abdullah, seorang wanita hebat, dan beliau menerima buku tersebut dari saya untuk dibawa pulang ke Kuching. Ada empat lagi....

Dr Kamil, saya tabik spring sepuluh kali kat Dr. I am very proud of you; and of me too coz I know you are also proud of me... Yang buat saya syok sendiri... nama saya keluar lagi dalam buku Dr Kamil!!! Yahooo!!!

Thursday, October 23, 2008

We are what we want to be...

Kawan baik saya sedang dilanda kesedihan dan kekecewaan yang melampau... Setelah empat tahun berkhidmat, dia diberitahu bahawa pencapaiannya amat teruk sekali. Semuanya berpunca dari penilaian yang tidak wajar dari sang ketua yang merasakan dirinya besar dan berkuasa. Tambah menyakitkan hati A, kawan saya ini, bilamana dia diberitahu bahawa markah penilaiannya rendah kerana 3 gosip yang menyelubungi kehidupannya di tempat bertuah itu.

Saya bersama A sepanjang pagi tadi. Saya tahu dia bersedih dan tidak percaya dengan apa yang dihadapinya. Makanya, saya nasihatkan beliau untuk 'enjoy the frustation'. Saya mengajak beliau untuk melihat sedalam-dalamnya hakikat di sebalik apa yang berlaku.

Saya gambarkan kepada A bahawa "We are what we want to be". Saya berani katakan kerana saya telah menjadi seperti apa yang saya nak jadi. Semuanya berkaitan dengan impian dan pilihan.

A hidup dalam keselesaan. Suami yang berpangkat tinggi. Keluarga yang dilimpahi dengan kesenangan. Tiada apa yang mendesak A untuk mencari peluang lain atau padang lain untuk bermain. Semuanya di depan mata.

Saya tanya beliau berapa banyak yang telah di 'pick-up' sepanjang persahabatan kami. Saya tahu dia pendengar setia. Malang sekali kerana dia hanya 'mendengar' cerita. Beliau hanya 'membaca' kisah2 yang disampaikan di blog2 mki, bakpo, D, raden galoh, kassim selamat dan yang lain tanpa mahu melihat apa yang disampaikan oleh mereka2 yang hebat ini. Apa yang telah dipelajarinya? A tiada jawapan untuk itu. A sedar dia hanya membaca kisah masyarakat dan disimpan di dalam hati. Tiada analisa. Noktah.

Saya kisahkan kepadanya apa yang saya baca dalam buku 'Jutawan Senyap' tulisan Dr Rusly. Tentang 'burning desire'. Kemampuan untuk kita berfikir selalunya didorong oleh keadaan yang ekstrim. Bila kita terdesak, apa yang kita fikirkan hanyalah 'survival'. Kami sama-sama akui, A tidak pernah terdesak. Kerana itu dia selesa.

Akhirnya, A mengambil satu pengajaran besar dari peristiwa ini. Ini adalah titik permulaan untuk beliau berubah. Ini adalah saat di mana beliau perlu menganalisa di tahap manakah kekuatan dan kelemahan dirinya. Apa yang tersirat di sebalik keadaan ini ialah, Allah sedang menguji A supaya dia melihat ke dalam dirinya.

Saya gembira A tidak marah dengan apa yang saya katakan. Saya nasihatkan dia supaya membiarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya. Kehidupan A masih jauh ke hadapan. Banyak yang boleh dilakukan dan banyak lagi yang perlu ditempuhinya sebagai manusia yang diberi akal yang cerdik, rupa yang cantik dan hati yang bersih. Saya harap A akan belajar untuk menyimpan sedikit ruang buat dirinya sendiri. Saya doakan A tabah menghadapi situasi sukar ini. Saya pasti A akan menghargai apa yang saya telah katakan padanya, satu hari nanti, kerana saya lakukan ini semua atas dasar kasih dan sayang saya kepadanya. Saya juga pasti A akan menjadi seperti apa yang dia nak jadi kerana A adalah antara manusia paling baik yang pernah saya temui.....

Saturday, October 18, 2008

I'm sorry...

Saya tak berapa ingat keseluruhan lagu nyanyian Jay Jay ini. Namun apa yang saya tulis ini cukup untuk saya katakan ini adalah luahan perasaan...

---------------------------------------------------------

di saat ku lahirkan kekesalan
sengaja kau mengambil kesempatan
mengungkit perbuatan dan keterlanjuran
kau ulang bercerita tentang hati luka
membuat ku rasa berdosa

demi masa depan
yang kita mimpikan
hapuskanlah kenangan
yang mengusik perasaan
tiap kali memandangmu
tak terhingga kesalku
maafkan aku sayang
menodai kepercayaanmu

andainya ku dapat
menarik kembali
detik-detik hitam yang berlalu
kesilapan serupa
tak akan ku ulangi
cukuplah sekali menyakitimu
cukuplah sekali kau membenciku....


--------------------------------------------------------

biasanya cukup sukar untuk kita mohon kemaafan... kerana apa yang berlaku ada kalanya bukan kehendak kita.

saya jadi emosi selepas mendengar lagu syahdu yang pernah menjadi kesukaan saya dulu. malangnya saya tidak dapat mengingat keseluruhan lagu ini. saya tulis kerana saya seolah2 merasai apa yang penyanyi ini ingin sampaikan.... I'm sorry...I may have hurt you without realizing....sometimes, good intentions come with bad consequences...

Saturday, October 11, 2008

Dah besar anak Mak...






Jimie, anak saya yang kedua berada dalam tingkatan 4. Seorang yang sukakan perfection baik dari segi penampilan, pelajaran mahupun pergaulan, dia sentiasa bersemangat untuk maju ke depan. Sebagai ibu, saya agak impress dengan dia yang tahu apa yang mahu dalam hidupnya...

Seminggu lalu dia bercerita tentang rancangannya untuk mengadakan rumah terbuka ala 'pot luck' dengan rakan2 setingkatan. Katanya nak buat di rumah Anas. Khamis lalu, dia bertanya samada dia boleh jadi host. Ini disebabkan ayah Anas tidak mahu girls datang berkunjung ke rumah mereka. Bila Umairah propose untuk jadi hos, ayahnya juga membantah kerana tidak setuju boys datang ke rumah mereka. Saya ni agak liberal dan 'rock', makanya saya setuju untuk jadi hos dengan syarat Jimie kemas kawasan porch dan halaman rumah kami yang besarnya seperti kangkang anak kera...

Pagi semalam, rumah saya didatangi oleh hampir 40 anak2 muda dari tingkatan 4 SMK Seksyen 7 Shah Alam. Anas datang seawal 730 pagi membantu menyediakan peralatan untuk barbecue dan menyusun kerusi meja. Malam sebelumnya Anas dan Jimie dah siap mengumpulkan kerusi dan kemaskan area. Saya sediakan nasi lemak, mee goreng, air ribena, teh o dan keropok goreng. Daging ayam di marinate oleh emak Anas dan emak Umairah marinate daging. Tepat pukul 830, menderu2 tetamu datang. Ada yang bawa spagheti, lemang, potato salad dan ayam golek! Para AJK sibuk memanggang ayam dan daging...

Saya teruja melihat anak2 yang berwawasan ini. Mereka independent dan dalam masa sama tahu menghormati. Yang jejaka makan di luar rumah, yang dara, (cantik2 berbaju kurung...) ambil makanan dan terus bersila dan bersimpuh di ruang tamu. Mereka diasuh dengan baik oleh ibubapa mereka untuk menjadi insan yang ada good values. Biarpun mereka bersembang dan bergurau sesama sendiri, mereka amat menjaga tingkah laku dan batas pergaulan. Saya dan suami hanya memantau tanpa mengganggu, namun sesekali kami duduk bersama mereka. Yang lebih membuat kami berbesar hati bila ada ibubapa yang datang sekali beraya di rumah kami sewaktu menghantar anak mereka!

Hampir pukul 12 tengahari barulah mereka beredar dan sekali lagi saya bangga bila hampir kesemua mereka, lelaki dan perempuan, masuk ke dalam dan bersalam dengan saya sambil mengucapkan terimakasih. Rupanya, baru saya tahu kemudiannya, ramai juga antara mereka anak orang orang berada....

Jimie, Anas, Aizat, Sofi dan Zainal kemudiannya membersihkan laman rumah saya, siap menyapu dan mengemop... Dahlah mereka ni kebanyakannya pelajar2 cemerlang di sekolah, ditambah pula dengan akhlak yang terpuji... Sekalung tahniah buat guru2 mereka di sekolah dan ibubapa mereka... Terbukti bahawa asuhan dan didikan yang menjadikan anak2 manusia berguna.

Perasaan saya? Tentunya saya bangga kerana anak saya telahpun menunjukkan bakat kepimpinannya, berjaya menjadi 'Project Manager' yang efektif, dan dikelilingi oleh circle of friends yang menyayangi dan menghormati diri dan pendiriannya....

Wednesday, October 8, 2008

Circle of Friends

Di sepanjang perjalanan hidup ini, kita dikelilingi dengan kawan2 yang kita hargai, kita sayangi dan tak kurang yang kita benci. Saya agak bertuah kerana saya ada ramai kawan yang menghargai saya seadanya....

Semalam, dalam kesibukan di pejabat, dengan segala macam discussions, meetings dan presentations, saya menerima panggilan dari Nani, sahabat lama yang sentiasa bersama dalam suka dan duka, untuk makan tengahari bersama.

Nani seorang jurutera yang mencipta kejayaan dalam kerjayanya di Telekom Malaysia. Kami bersembang dan bergelak ketawa, disertai kemudiannya oleh sahabat lama Nani, Lat, yang bekerja dengan IBM.

Sedang saya asyik membelek dokumen di pejabat, saya menerima panggilan dari Wan Li pula. Hehe...dia nak belanja minum teh tarik. Dalam hujan lebat, saya ajak Nasir, teman sepejabat untuk menyertai saya dan Wan Li. Kebetulannya Nasir pun ajak saya minum, so, extend aje lah...Besar hati saya bila Wan Li menjemput kami berdua menaiki keretanya yang besar... Merasa Suria naik BMW baru...

Kami bersembang di Hyatt Saujana - ala-ala orang kaya gitu, sambil menikmati teh tarik dan saya menghabiskan sepinggan hentak kuey tiow goreng...Banyak yang kami bualkan, kebetulannya Nasir, saya dan Wan Li datang dari industri telekomunikasi, makanya persekitaran kami adalah orang yang sama.

Wan Li seorang ahli perniagaan berjaya. Dia masih dia yang saya kenal dulu, humble, simple dan sentiasa berpegang pada prinsip hidup yang berpandukan good values. Sebagai anak Kelantan, dia religious. Saya impress dengan kelebihan Wan Li... Dengan annual turnover melebihi belasan juta, dia langsung tidak memberi petunjuk bahawa wang adalah raja dalam hidupnya... Mu hebat We Li...

Malam tadi, saya bersembang di talian dengan D yang sedang berhadapan dengan masalah kehilangan kepercayaan kepada her other half... D seorang wanita yang cekal. Prinsip hidupnya cukup sukar digoyah. Dia juga sentiasa mempunyai persepsi yang sama kepada orang lain. Sekali kepercayaannya dikhianati, D amat terluka...

Hasil dari pembacaan dan perbualan dengan sahabat2 di sebelah siang, saya berikan pandangan saya kepada D. Win some, lose some. Itu realiti. Kita tidak akan sentiasa menang. Life is about choices, and most of the time, our choice is not meant for others. Saya berdoa semoga D dan Y kembali menjadi pasangan romantis seperti yang saya kenali sejak berbelas tahun dahulu.

Hari ini, saya terfikir tentang pilihan yang saya buat. Saya memilih untuk kembali ke dunia korporat yang menggila biarpun kehidupan sebagai pensyarah sentiasa mengujakan saya kerana ini pilihan saya. Warna kehidupan di korporat adalah kesepian. Masa yang sedikit dibalas dengan wang yang banyak. Sebagai pensyarah, saya menjalani kehidupan berbeza. Sentiasa didampingi oleh banyak kerektor, malangnya, ia tidak datang dengan wang...(my humble confession...). Namun, circle of friends yang saya punyai sentiasa mendorong saya untuk mencipta kegembiraan dan kejayaan dalam kehidupan yang indah ini...Thanks to all my dear friends....

Saturday, October 4, 2008

Aidil Fitri 2008

Selamat Hariraya Aidilfitri dari kami sekeluarga...

Aidilfitri pertama kami tanpa Mak Tok yang amat dirindui... Kami menyambut kedatangan Aidilfitri bersama kami sahaja: Papa, Mama, Akak, Mimie, Abey, Abo dan Bibik. Kali pertama juga saya sediakan makanan sendiri... semua ada, nasi impit, rendang, ayam masak merah, kuah lodeh dan sambal kacang. Kami ke Masjid Negeri bersembahyang Raya dengan ribuan jemaah yang datang dari pelbagai negara... Saudara kami adalah orang2 asing yang tidak kami kenali....

Selesai solat, kami pulang ke rumah menjamu selera, kemudiannya kami ke rumah arwah Mak di Kg Kuantan... Aduh...pilunya hati mengenang kemeriahan tahun lalu... Kini hanya memori. Namun, kehidupan pasti diteruskan... Kami ke Meru kemudiannya, menyertai Epah dan Abang Nasir.. hanya empat kereta??? Ramainya yang tiada... Senyum Abang Nasir juga pahit...menahan sakit dan ketidakselesaan kerana tongkat yang terpaksa diusungnya...

Mujur anak2 gumbira... Sebelum Maghrib, kami pulang ke rumah dan menerima kunjungan Aslam, Aysha dan Azmir yang pulang bercuti dari Dubai. Sempat saya sediakan soto ayam.

Raya kedua lebih meriah. Tema kami - keluarga besar saya - gold. Kami beramai2 menziarahi makcik dan pakcik di sekeliling bandar Kelang dan Shah Alam. Sebanyak sepuluh kereta berkonvoi... Cukup menyeronokkan.

Malamnya, rumah kami menerima kunjungan meriah. Keluarga suami saya datang - kesemua mereka, melainkan Dilla dan Angah. Riuhnya... Habis licin nasi ayam yang kami hidangkan. Selain itu, saya goreng jemput2 ikan bilis... sebanyak2nya... juga licin! Dessert kami malam itu - ais krim potong. Berjejes2 masing2 makan ais krim... macam budak kecik!! hehehe.... Terimakasih buat Abang Sahar sekeluarga, Ngah Uji sekeluarga dan Rozi sekeluarga.... Besar hati kami menerima yang lebih tua datang berkunjung!

Raya ketiga, kami ke Pantai Timur. Kami memilih Cherating untuk menghabiskan masa bersama... Tiada gangguan, hanya kami enam beranak. Sempat singgah ke Kuala Kemaman, makan satar dan otak2. Sedap, memang sedap....

Hari ini, kami akan berkunjung ke rumah Kak Non dan Kak Wi... makan dan makan lagi... Esok, Abang Sahar akan berangkat ke Timor Leste, menyertai misi PBB selama setahun... Ye.. kehidupan harus diteruskan... Selamat berjuang dan semoga beroleh kejayaan...

Sunday, September 28, 2008

Demam Raya...

Saya demam lagi sejak Jumaat lepas. Panas betul badan saya. Suhu badan cecah sampai 40. Doktor terpaksa masukkan drip, kena cucuk kat punggung dan buat ujian darah dan urine. Apa yang Doktor jumpa? Bakteria dalam darah...darah dalam urine. Emmm...agak mendebarkan.

Pontenglah puasa dua hari sebab kena ambik antibiotik. Malangnya sampai kini demam saya masih ada. Diburukkan dengan batuk yang melampau hingga langsung tak boleh tidur... Saya gagahkan diri berpuasa hari ini, dan saya juga masuk ke pejabat kerana ada yang perlukan saya di sini...

Semalam saya bawa anak2 ke KLCC membeli belah pakaian dan kasut mereka. Terpaksa. Lagi dua hari nak Raya. Saya lebih banyak duduk dan menghulur duit kepada mereka. Kepala saya berpusing2, nak jalan banyak tak larat... Melayan kerenah 3 remaja dan seorang anak kecil agak mencabar kesabaran saya. Seawal pukul 2 kami telah berada di sana. Sampai pukul 6 masih belum habis memilih apa yang mereka suka.

Akhirnya... saya tersenyum juga melihat pilihan mereka. Kasut2 yang mereka pilih? Serupa macam kasut arwah Bapak saya nak ke kebun dulu!!! Tanya kat orang tua cam saya ni memang tak cantik langsung kasut anak2. Tapi, bagi mereka, itulah trend... Entahlah... cam kasut Fung Keong zaman saya kecik2 dulu je....!

Seluar jeans lagi satu yang buat saya ketawa. Macam kendong t**k... Dah le labuh meleret2, warna buruk cam dah 5 tahun tak cuci, pinggangnya kat punggung... Kelakar betul fesyen masa kini... Ikutkan aje lah...

Sampai kat rumah saya ketawa lagi besar melihat gelagat anak2 yang cukup excited dengan baju2 dan kasut2 mereka. Jimie, Abey, Abo bahkan Lala pun dok memperagakan baju2 mereka di hadapan saya. Dari baju Melayu, t-shirt, seluar, kasut, stokin, songkok.... ALangkah gembiranya hati anak2 kerana dapat merasa baju baru...! Suami saya yang cukup sibuk di kedai agak kerugian kerana tidak dapat menyaksikan situasi yang 'comel' ini...

Syukur ke hadrat Illahi kerana saya dan suami masih diberi kesihatan yang baik untuk terus bekerja keras mencari rezeki buat anak2. Syukur kerana Tuhan tidak pernah menolak permohonan kami supaya diberi rezeki yang banyak. Syukur kerana kami sekeluarga dilimpahi dengan kasih sayang yang tidak pernah surut sejak mula dan mudah2an hingga ke akhirnya... Alhamdulillah, walaupun demam, saya masih boleh luangkan masa untuk bersama anak2... (bukan badan je sakit, dompet pun sakit gak!!!!)

Thursday, September 25, 2008

Dara Pujaan Mak balik raya...

Alhamdulillah, anak2 saya semua telah berada di rumah menanti tibanya Syawal. Sebagai ibu, tentunya saya gembira melihat anak2 saya bergurau sesama sendiri biarpun badan masing2 dah mengalahkan mak dan ayah...

Semalam saya bersembang kosong dengan rakan2 sepejabat tentang kisah lalu. Kisah saya: Dek kerana teringin sangat merasa nikmatnya pulang ke kampung, (Nota: Saya belajar di UiTM SHAH ALAM selama 5 tahun. Kampung halaman saya di KELANG)saya ikut kawan2 yang nak balik kampung naik bas dari Shah Alam. Mereka bawa beg besar, saya pun bawa juga. Tapi beg saya KOSONG! Seronoknya merasa pengalaman naik bas ramai2, pas tu jalan dari Bus Stand Klang ke Puduraya. Saya ikut Shida yang nak balik Mersing. Tunggu kat platform bas ke sana. Riuh, bising, bau asap, bingit, busuk dan macam2 yang saya rasa... Bila bas Shida sampai, dia naik atas bas dan saya lambai dia.... Apa saya buat lepas tu? Jalan kaki ke Bus Stand Klang dengan beg besar kosong dan ambik bas ke Kelang...untuk menyambut hari raya di Meru. Tambang bas waktu tu - Shah Alam Kelang RM0.50, Kelang Meru RM0.55...Jumlah RM1.05.

Nasir pulak bercerita kisahnya sewaktu bergelar pelajar di UTM KL. Ada satu tahun tu, dia ke Pudu Raya untuk pulang ke Kuala Pilah. Terkejut dia melihat manusia beratur sampai berbelit2 hingga ke luar Pudu Raya. Apa yang dia buat? Dia cari pondok talipon dan beritahu emaknya yang dia tak dapat balik kerana tiada tiket! Sebenarnya, dia malas nak beratur panjang... Kami pakat takutkan Nasir... Kami kata "nanti anak bujang you akan buat exactly apa yang you pernah buat...x balik raya! Masa tu baru you kata "Padan muka aku!""

Anak dara saya balik dari Sarawak semalam dengan penuh riang gembira. Macam2 yang dibelinya di Bazar Ramadan. Hampir semua kuih nak dibelinya... Bila berbuka dah tak tau apa yang nak dimakan.... Lepas tu, terdiam je lah kuih tu atas meja.... Papa dia kata, 'kemaruk makanan budak ni...maklum je lah, baru keluar dari hutan!'

Hari Raya...semangat untuk berkumpul dan bersama yang tersayang, tidak akan pudar dari kehidupan kita hingga bila2...

Sunday, September 21, 2008

Kasih Berubah?

Saya menerima sms dari teman rapat, D. Soalan yang cukup sadis darinya..."C, kalo laki ko yang tak pernah2 suka layan pompuan tetiba suka chatting pas tu main2 sms... pe'el pun da sepesen... apa action ko?"

Terkedu saya. Saya amat mengenali D. Kami bersama sejak tingkatan satu di MGS Klang. Hubungan kami tidak pernah terputus. Kami sering menangis bersama... dan tentunya terbahak2 ketawa bersama.

Apabila menerima sms sebegini, saya jadi risau. Tuhan, janganlah Kau uji kawanku ini dengan bebanan yang dia tidak mampu pikul... Ye, D bekerja berhempas pulas, dengan gaji yang amat kecil, untuk membiayai keluarga kerana 'kekasih' hatinya seringnya bekerja secara 'sukarela' - yakni tidak bergaji atau mungkinkah tidak bekerja?

Saya ambil masa untuk membalas sms dengan balasan ini...

"Alamak... itu agak bahaya! Laki aku x pernah, tapi ada satu pompuan dok angau kat dia ari tu dan dah dihamputnya pompuan tu. Aku steady je... Tapi, kalu laki ko layan, ko taruk la sekali! Sikit-sikit ko kasi dia sedar makan pakai dia pun kao yang suap, apatah lagi anak-anak! Jangan kasar tapi lembut nan berbisa! Kalu nak sangat kat pompuan lain, ko tunjuk kat dia jalan keluar dari rumah yang ko bina dengan hasil titik peluh ko! Itu yang aku pasti akan ku buat...walaupun aku sedih dan menangis...huhuhu..."

Dia balas: Tq.

Sekarang ni saya tertanya2...kejamkah aku kerana terlalu emotional???

Wednesday, September 17, 2008

Majlis berbuka puasa di rumah Cik Kiah..


All guys at home bersama Along sedang bersembang2.


Abey dengan Mok Su kesayangannya


Jimie, Kak Kiah, Ayon dan Abey


Anak2 Kiah, anak2 saya, Kak Kiah dan saya serta cucu2 saudara Kak Kiah


Jimie, Abey dan Abo bersama abang2 mereka - Along, Angah dan Ayon

Semalam, sempena cuti Nuzul Quran di Selangor, kami sekeluarga meluangkan masa menghadiri majlis berbuka puasa di rumah Puan Rokiah Ibrahim @ Acik @ Kak Kiah di Gombak. Kak Kiah sekeluarga amat berjasa kepada kami kerana beliau dan adiknya, Mok Su Imah lah yang menjaga anak2 saya sejak kesemua mereka bayi hingga mereka bersekolah rendah sebelum kami pindah ke Shah Alam.

Bagi saya, Kak Kiah adalah kakak yang amat saya hargai dan sayangi. Bagi anak2, Acik adalah emak mereka. Saya kenal Kak Kiah sewaktu beliau tidak punya apa2, hanya 3 orang anak, tanpa suami, emak (Mek) dan adik (Mok Su) yang punya masalah pendengaran dan rumah kecil mereka. Kak Kiah bekerja keras mencari nafkah, di samping punya hati yang tulus dan semangat juang yang cukup tinggi.

Anak2 saya amat manja dengan arwah Mek. Saya sering kagum dengan kecekalan Mek dalam menghadapi hidup. Mek pergi beberapa tahun lalu, dan Abey amat menangisi pemergiannya.

Setiap kali cuti sekolah, anak2 saya akan 'balik kampung' ke rumah Acik. Di sana, mereka punya 3 abang - Along, Angah dan Abang Ayon. Anak2 saya dan abang2 mereka punya ikatan yang rapat hingga kini biarpun semuanya sudah besar2 belaka. Along sudah punya keluarga, ANgah baru menamatkan pengajian di Scotland dan Ayon masih di UIA.

Kak Kiah mencapai kejayaan pertama dalam hidupnya bila 'proposal' beliau diterima oleh Kerajaan Selangor pada tahun 2003. Sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang, satu demi satu projek pembangunan diusahakannya hingga beliau menjadi seorang jutawan kini. Jika dulu rumah beliau sempit dengan anak2, adik, emak dan anak2 saya, kini banglo beliau mampu menempatkan lima enam keluarga.

Kak Kiah amat pemurah. Saya kenal Kak Kiah sejak tahun 1992. Seingat saya, jika ada sesiapa pun jua yang berasal dari kampungnya di Kota Bharu datang ke KL dan tidak punya tempat tinggal, rumah beliau pasti menjadi sasaran. Anak2 saudara beliau juga menjadikan rumah Kak Kiah rumah pertama mereka sewaktu mula2 mendapat kerja di KL.

Saya percaya, apa yang beliau nikmati kini adalah balasan dari kemurahan hati dan keikhlasan beliau membantu sesiapa juga. Kak Kiah kini bukan saja mampu mengadakan majlis berbuka puasa yang 'grand' di rumahnya, beliau juga mampu menggembirakan anak2 yatim dan jemaah surau dengan jamuan dan hadiah yang banyak setiap tahun.

Moga Tuhan terus memberi rezeki yang banyak buat beliau sekeluarga. Apa yang saya pasti, sepanjang enambelas tahun menjadi adiknya, saya tidak pernah merasa beliau berubah sikap... Amat mengagumkan..

Thursday, September 11, 2008

Kenangan Ramadhan

Lebih kurang dua minggu lagi Raya....kejapnya lah masa berlalu. Tak terasa cam nak Raya lah pulak...persiapan langsung tak de. Pakaian anak2, pakaian mak bapak...semua tak beli lagi. Selalu memang gitu...last minute shopper! Mujur cuma mak je yang oversized, anak2 dan bapak boleh ambik je baju yang digantung di railing kedai2...

Kuih muih? Selalunya tak buat dan tak beli. Pasalnya? Siapa pun tak datang rumah saya pada hari2 awal Raya ni. Jiran, adik beradik, kawan2 semuanya balik kampung... Di sepanjang deretan rumah kami, hanya rumah kami yang berpenghuni pada setiap Raya. Mana je lah orang Kelang ni nak pegi kan? Dahlah yatim piatu!!! Sebab tu kuih Raya selalunya saya beli lepas Raya...

Pagi tadi sewaktu memandu ke pejabat, saya teringat zaman dolu2...waktu kami kecik2. ALahai...senyum sendiri dibuatnya. Waktu2 macam ni, mak dah bebel2 setiap hari suruh kami tolong...seronok memang seronok, bila dikenang...tapi waktu melakukannya??? Muncung sedepa..

Rumah kami rumah papan yang tinggi tu...Dalam panas (dolu2 mana ada kipas angin??), kami kena 'berus lantai'. Ye...berus lantai guna 'berus dawai'. Lepas dibilas, lantai akan kelihatan putih berseri!!!! Air terus jatuh ke tanah...

Aktiviti lain yang buat muncung kami (4 adik beradik pompuan - Kak Ani, Kak Non, Kak Wi dan saya...) lagi panjang ialah bila kena pukul telor untuk buat bahulu. Ya Allah!!! Setiap kali Raya mak akan kumpul sekurang2nya 100 biji telor ayam kampung, dipukul menggunakan spring yang macam spiral tu, dalam pasu besar....kerja pukul memukul ni bermula sebaik sahur dan hanya akan berakhir bila pasu yang besar itu penuh!!! Maknanya, telor dah betul2 naik dan kembang...(Telor dipukul dengan gula pasir...gula kena larut sepenuhnya).

Lepas satu 'azab', bab bakar bahulu lagilah amat menyiksakan kami...huhu... Bakar guna kayu api dan sabut kelapa... Dengan asap, dengan bahang....ingat lagi pondok kecik mak...angin pun tak de!!! Bahulu yang menjadi kesukaan mak ialah bahulu gulung (yes...kena sapu jem nenas yang mak buat sendiri, then gulung semasa ia masih panas!!!) Awww....panasnya!!! Mak juga suka buat bahulu lapis, bahulu pecah lapan, bahulu kecik2 bentuk ikan, bahulu pelangi- saya ingat lagi camne nak buat semua2 ni...cuma adunannya saja yang saya dah lupa...dan saya rasa, kalau bakar bahulu guna dapur gas, entah apa lah pulak rasanya...

Emak juga tak pernah lupa nak buat kuih bangkit...Sampai melecur2 tangan kami dok masuk dan keluarkan dulang2 adunan ke dalam oven...yang warnanya hitam, ada kaca kat depan dia. La ni tak ujud dah kot oven rupa tu. Emak kena buat sebanyak2nya kerana kami je dah sepuluh beradik, adik beradik emak lapan, adik beradik bapak pun lapan. Belum masuk jiran2 dan sedara mara...Saya pun tak tau ngapa mak dan bapak cukup fofular di kampung dulu. Tetamu yang datang masa Raya punyanya ramai...

OK...tak nak cite pasal raya lagi..cite pasal Ramadhan. Mak pakar buat jeruk. Jeruk cermai, jeruk betik, jeruk kedondong, jeruk jambu air...isy...banyak lah lagi. Berbalang2 jeruk mak buat. "Esen" dia mak beli dari sorang ni, saya ingat lagi namanya, Wak Jamil Cencem...hehehe...

Halwa mak lagi sedap. Segala buah yang ada kat keliling rumah mak jadikan halwa atau jeruk. Mangga, nenas, jambu, tembikai, betik...Kegemaran saya buah kabung, yang melekat kat gigi jika digigit. Saya panggil "kolang-kaling". Tak tau kenapa.

Lagi satu yang mak tak pernah miss walaupun sekali...tempeyek! Sekali buat, 5 atau 6 tin biskut yang empat segi besar tu. Paling saya tak boleh lupa bila kami saja2 je tuang adunan tepung dalam sinki...mak tengok tak cukup banyak tempeyek yang dah jadi, dia akan buka peket tepung beras dan tambah ke dalam adunan yang ada!!! Aduiii...

Setiap malam di malam2 Ramadhan, saya akan tersenyum sendiri menatap baju baru yang akan kami pakai di hariraya nanti. Selalunya mak beli kain satu kayu...semua pakai baju sama...Mak jahit sendiri. Kadang2 tak de kasut, kami pakai kasut sekolah...!

Saya juga jarang tinggal sembahyang terawikh...ikut mak. Tapi saya selalunya dok barisan paling belakang. Orang sembahyang, saya tidor...Mak tak nampak...sebab Mak suka dok depan sekali!!! Masuk witir je, saya pun bangun...Lepas habis je, berebut2 orang nak pukul kayu yang tergantung kat kepala tangga surau. Meriahnya....lepas moreh (yang paling saya suka!), kami pun balik ramai2...

Kini...malam2 Ramadhan seolah2 tiada makna. Tiada pesta, tiada kemeriahan. Anak2 saya tahu, seminggu sebelum Raya saya pasti akan membawa mereka ke KLCC atau Mid Valley untuk membeli baju, kasut dan yang sewaktu dengannya. Baju Melayu dan baju kurung melambak2 ada kat PKNS...Pakaian selalunya sedondon warnanya, bukan sekayu! Kalau dulu mak sibuk bersih dan hias rumah, kini Mama hanya sibuk di pejabat dengan segala macam projek lah, bajet lah, meeting lah...Papa sibuk berniaga di PKNS kumpul duit Raya sebanyak2nya..itu pun kalau ada!

Saya rindukan kemeriahan dulu. Saya rindukan kuih2 mak, jeruk dan halwa mak, bebel mak, gaduh adik beradik...Yang paling saya rindukan ialah... mak....

Tuesday, September 9, 2008

Demam..

Puasa puasa ni demam lah pulak... Sakit tekak, batuk, selsema, seram sejuk dan seluruh badan sakit... Asal malam menggigil2. Doktor bagi mc dua hari...so, ada kat umah la ni melayan ngantuk sebab makan ubat selsema masa sahur tadi...

Sambil menonton katun bersama Abo, dan memandang wajahnya yang comel dan manja, saya teringat apa yang Dr Suzet nasihatkan saya semalam... Saya kena berjanji yang saya akan sentiasa sihat untuk memelihara Abo hingga dewasa. Di waktu dia berusia 16 tahun nanti, saya sendiri sudah berusia 55 tahun. Sebagai remaja, Abo perlukan bimbingan dari parents, dan remaja selalunya memberontak bila melihat ibubapa mereka sakit. Dr Suzet kata, mereka akan ingat yang ibubapa hanya buat2 sakit kerana tidak mahu menjaga mereka... Saya kena berjanji yang saya tidak akan menghabiskan masa saya di hospital atau saya 'bed-ridden' di waktu Abo menginjak usia remaja...

Hari ini, saya melihat wajah comel yang sentiasa segar ini. Dia kata, "Mommy, don't lie down...come and jump with me!" Sambil dia dok melompat2. Saya jawab,"Mama demam la Bo...I can't jump like u.." Jawab dia? "You can! You don't want to!"

Budak kecik yang belum faham erti sakit dan sihat...

Saya harap, saya doa dan saya pinta, diberi kesihatan yang baik di sepanjang kehidupan ini biarpun emak, bapak, abang2 dan kakak2 saya kaya dengan segala penyakit... Janganlah disinggahkan penyakit itu kepada saya, Ya Allah... Teringat kat Ayang yang kehilangan ayahnya sewaktu dia darjah 5, Arina yang masih kecil asyik merajuk sejak Abahnya kena strok dan lumpuh dan Ala yang jarang tersenyum sejak Mamanya sakit... Belum lagi tengok mata Mia, Amal dan Afiq yang tidak pernah tersenyum kerana kehilangan ayah sejak Afiq dalam perut lagi...Mereka semua adalah anak2 saudara saya yang masih kecil dan menghadapi emak atau ayah yang sakit...

Ahhh....demam demam ni mula lah merapu....

Sunday, September 7, 2008

So which of the miracles from your Lord will you renounce?...ar-Rahman


Si comel Ismail Naquib(7 tahun) yang berpuasa penuh sejak dua tahun lalu


Anak bujang saya sedang qamat - sejuk perut Mama...


Makanan yang bersusun di atas meja...


Makan di luar rumah dalam remang2 cahaya...


Jemaah wanita sedang menunggu Imam...ayu-ayu gitu...


Anak-anak saudaraku yang comel2 sedang beratur menunggu giliran mengambil juadah


Cepat-cepat! Nanti habis!


Abang Nasir sudah berupaya menyuap sendiri makanan. Badan sebelah kiri masih lumpuh.

Bulan puasa ini, selain dari menikmati pengertian puasa, ia juga membawa kita ke satu lagi cabang kehidupan...berkumpul dan makan bersama. Indah sungguh situasi bersama mereka yang tersayang, yang sentiasa berada di sekeliling kita dalam suka dan duka, dalam senang dan susah...

Sabtu lalu, bertempat di rumah kami yang serba daif ini, keluarga saya berkumpul - jumlah keseluruhan termasuk anak kecil - 30 orang. Alhamdulillah, kami diberi kemudahan olehNya untuk menyediakan juadah yang tidak sepertinya. Nasi Ayam kegemaran ramai, ditambah dengan kuih muih pelbagai jenis, buah-buahan, bubur kacang dan minuman pelbagai perisa bersusun di atas meja. Makanan ini ada kaki yang membawanya ke rumah kami. Murahnya rezeki yang dikurniakan kepada kami. Tuhan...kami memohon kepadaMu supaya kami tidak termasuk dalam golongan mereka yang mendustakan nikmatMu...

Seperti biasa, kami bersolat jemaah Maghrib selepas berbuka dan kemudiannya kami menghabiskan segala makanan yang ada! Abang Nasir yang lumpuh separuh badannya akibat strok pada April lalu juga bersama. Nampak airmata bergenang di kelopak matanya... Apa agaknya perasaan yang bersarang di hatinya, Tuhan saja yang tahu... Bagaimanapun, saya tahu beliau juga seperti saya, merasa amat bertuah kerana hidup dikelilingi adik beradik yang saling menyayangi dan melindungi...

Selepas kenyang makan, kami solat Isya' diimami oleh Abang Husin (Pak Man) yang mendayu2 suaranya...Kemudiannya Yazid (Pak Uteh) mengambil alih solat tarawikh kerana.... Pak Man baca lambat! Pak Uteh baca laju...cepat siap!!!

Sepulangnya kesemua mereka dari rumah kami, saya dan keluarga merasa lega yang amat sangat. Tertunai sudah apa yang setiap tahun kami lakukan...dengan jayanya. Syukur alhamdulillah, Tuhan memberi kami kemudahan dan rezeki untuk sama2 menghargai mereka yang berpuasa dengan makanan yang lazat2... Doa kami mudah2an kami akan berpeluang melakukannya lagi di tahun2 mendatang....Amin.

Thursday, September 4, 2008

Ikhlas

Setiap hari kita dengar orang berkata, "Ikhlas ni...". Bagaimana agaknya keikhlasan itu dihitung oleh Yang Maha Esa? Saya amat ingin untuk mengetahuinya...

Bila diperhatikan di sekeliling kita, apa yang dikatakan ikhlas biasanya tidak ikhlas atau mungkin tidak terlalu ikhlas. Tidak percaya?

Ambil contoh yang simple ini. Kawan sepejabat kita, Mr A, dimasukkan ke hospital. Kita pun ajak beberapa orang untuk melawat A, naik kereta kita. A amat gembira melihat kita datang berbondong2...dan mungkin dia akan tanya, "Siapa bawak ni?". Ramai2 akan jawab, "Mamat ni la...." Sambil senyum kita kata, "That's the most that I can do...".

Balik dari hospital, kita hantar claim untuk Boss kita sign dengan description, "Visit Mr A in hospital, 30km@RM0.60 per km = RM18.00". Biasa buat? Bagi saya, langsung tak ikhlas!!!

Atau, mungkin senario ini...Kita diarahkan melaksanakan satu projek. Malasnya nak buat sebab banyak kerja... Makanya kita kata kat kawan2, "I am not good in doing this. I am not the expert. Maybe we need someone with MBA or PhD to do lah...coz they know statistics, bla bla bla". Pulunlah orang lain yang bukan pun the expert untuk siapkan. Dah siap, sampai kat Roll-out Plan, kita masukkan nama kita and kata "I am doing this for company's sake". Jawapan saya: Bull Shit!

Saya benci betul dengan manusia hipokrit. Saya berdoa mudah2an saya bukan seorang daripada manusia itu. Ikhlas tidak perlu disebut. Ia antara kita, diri kita dengan Pencipta kita.

Mulakan setiap hari dengan doa ini. Ia ada dalam Al-Ma'thurat dan ia pastinya akan mengangkat kita menjadi manusia yang penuh dengan keikhlasan, sentiasa redha dengan ketentuan Tuhan dan amat yakin bahawasanya hanya Dia yang mampu memberi kita apa yang kita kehendaki....

Ya Allah kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut (nama)Mu, hati yang penuh segar mensyukuri (nikmat)Mu, serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada (perintah)Mu. Ya Allah, kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap. (Ya ALlah) kurniakanlah kami (din) cara hidup yang jitu dan unggul, selamat dari segala mara bahaya dan petaka. Kami mohon (Ya Allah) kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain, Berikanlah kami (Ya Allah) iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain dari Engkau sendiri. Kembangkanlah lembayung rahmatMu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami. Jangan (Ya Allah) Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri; walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih mudah dan cepat memperkenankan pinta (perkenankanlah).

Selawat dan restu Allah untuk junjungan kami Muhammad, Nabi yang mulia, kepada keluarga Baginda dan para sahabat Baginda amnya.

Monday, September 1, 2008

Alhamdulillah...Ramadhan memangnya membawa berkat




Semalam adalah hari pertama semua umat Islam berpuasa di Malaysia dan kawasan yang sewaktu dengannya. Saya berazam untuk....ceh! tak habis2 berazam....

Sepanjang hayat saya, hari pertama berpuasa, (selain dari sewaktu tinggal di asrama), saya akan berbuka dengan emak atau mak mertua. Sejak emak saya pergi 11 tahun lalu, rumah emak mertua adalah tumpuan saya, Boss dan anak2. Rasa bangga dapat membuat emak senyum melihat kedatangan kami menyemak dan menyibuk...

Ramadhan ini kali pertama berbuka tanpa beliau. Lalu, saya sarankan pada Boss, apa kata kita jemput Abang, Ngah dan Rozi serta budak2 untuk buka kat umah kita first day puasa? Abang pun belum sibuk sangat kat kedai, kebetulan public holiday...

Boss agak skeptical. Nak ke ABang dengan Ngah bertemu? (Ada insiden yang kurang enak berlaku di antara mereka berdua bulan lalu). Jawab saya, inilah masanya kita tautkan balik perhubungan mereka. Bulan mulia ni kan...

Makanya, semalam, sejarah indah terukir. Seawal pukul 6 rumah kami telah dipenuhi. Berbagai makanan terhidang. Mulanya kecut perut saya takut makanan tak mencukupi, tapi masing2 datang menjenjet sesuatu... Dari sikit sampai melambak2 atas meja.

Pukul 7 malam, Ngah tiba dengan anak2 dan cucu2nya. Kami berdebar.... Sebaik dia melangkah masuk, Abang yang sedari mula asyik menatap tv, mula mengangkat kepala.... Dan, saya lihat kedua mereka bersalaman dan berpelukan....ALhamdulillah!!!

Selepas menjamah tamar dan minuman, kami berjemaah Maghrib, lepas tu....zuppp... licin apa yang ada atas meja.... Selepas berlengkar2 dan bersembang, kami kemudiannya solat Isya dan tarawikh bersama....

Saya gembira melihat semua orang gembira. Ujian hari pertama berlalu dengan kejayaan. Anak2 sedara yang sedang menginjak usia remaja dan dewasa amat gembira kerana kini mereka punya sebuah tempat untuk menyambut first day buka puasa...

Sampai pukul 1130 mereka menghabiskan masa di rumah saya. Dilla dan keluarga yang berbuka di Bentong juga singgah dalam perjalanan pulang ke Klang. Abo gembira sungguh. Berlari dan melompat bersama 'anak-anak saudaranya'.... Ye, Abo sebaya dengan 'cucu2 saudara' saya... Dek kerana penat, asyik melalak dia dalam tidur...

Alhamdulillah. Ramadhan sememangnya bulan yang membawa berkat....

Wednesday, August 27, 2008

Facts of Life (2)

Saya makan tengahari dengan Siti Fauziah (G), bekas pelajar saya yang kini telah menjadi seorang usahawan gigih, tadi. G sememangnya seorang yang rajin dan cukup dedikasi. Saya bangga menjadi salah seorang dari mereka yang telah memainkan peranan dalam mendidik beliau menjadi orang berguna...

Kami bersembang dan bersembang. Perhubungan bukan lagi antara murid dan guru, tetapi lebih kepada kawan. Banyak yang kami ceritakan dan antara yang menarik perhatian saya ialah kisah menumpang kasih...

Sebagai gadis berusia 24 tahun, G agak agresif. Namun gadis ini berpendirian. Dia tahu apa yang dia mahukan. Kemudiannya dia bercerita tentang seorang temannya. Muda sepertinya, tetapi memilih untuk 'menumpang kasih'... Saya tergelak mendengar perkataan itu, namun bagi G, itu pilihan ramai gadis seusianya kini...

Saya agak tersentuh dengan kisah ini. Saya bayangkan diri saya yang menghadapinya. Sewaktu saya memulakan kehidupan bersama lelaki yang saya puja, saya baru berusia 23 tahun. Dia 25. Kami muda, miskin harta tapi kaya dengan cinta. Hujan dan panas kami tempuhi. Bersama gelak tangis anak2, kami merangkak, berjalan, berlari...jatuh terhempas... berkecai...namun kami bangkit dan mampu tegak berdiri dan terus berlari kini...

Saya harungi segala onak dan duri...saya tangkis segala umpat dan hinaan, demi membela maruah cinta. Begitu agungnya cinta kami berdua... Saya humban segalanya ke belakang, untuk cinta kami. Dia yang pada satu ketika tidak mampu 'berjalan mahupun 'menyuap makanan', saya papah dan saya tunjukkan arah untuk dia capai apa yang dicita-citakannya. Tiada mesin kira yang mampu mengira betapa banyak peluh, airmata dan wang ringgit yang tercurah...betapa banyak umpatan orang yang telah saya terjah...atas nama cinta...

Tidak dapat saya bayangkan perasaan saya jika, selepas segala yang saya harungi untuk terus menjalin cinta bersamanya berpuluh-puluh tahun, di kala dia sedang membina kejayaan hasil ketabahan saya menahan tangis yang membuku di dada dan kesabaran saya memohon doa ikhlas setiap pagi malam dan siang dari sang Pencipta, tiba-tiba datang bidadari yang masih muda dan lebih menarik dari saya, (yang pastinya lebih tua dari usia kerana menanggung kepayahan selama bersamanya), menagih kasih dan perhatiannya...atas alasan ingin 'menumpang kasih'...

G ketawa melihat dan mendengar keluhan berat saya... Katanya..Puan ni emo la pulak... Saya cuma cerita pasal kawan saya...tak de kena mengena pun dengan Puan.... Jawab saya....Ia pastinya mengganggu perasaan seorang isteri, biar siapa pun dia... Janganlah buat apa yang kawan you buat... Biarpun ia tidak berlaku pada saya, saya amat terasa keperitannya....

Saya tahu ramai anak gadis masa kini yang melihat jalan singkat ke arah kesenangan. Itu kenyataan. Namun, melukakan hati seorang wanita lain, atas apa nama sekali pun, juga kenyataan... Saya tidak akan merelakan perkara ini terjadi ke atas mana-mana wanita sekalipun... coz, it hurts...

Monday, August 25, 2008

Pertemuan Semula

Saya dan 'all guys at home' menziarahi seorang teman maya semalam. Kami ke Bandar Rinching, Semenyih, untuk bertamu di rumah saudara Kassim Selamat. Ketibaan kami disambut dengan senyum manis dan pertemuan semula dua sahabat lama (KS dan 'Boss' saya bekas teman sepejabat) amat mengusik perasaan. Isteri KS yang comel dan manis, Kak Ain, siap masakkan kami mee goreng yang amat sedap...dipenuhi dengan udang besar2yang menjadi kesukaan Abo....Dalam sembang2, barulah saya tau Kak Ain adalah kakak kepada senior saya di sekolah dulu, Kak Halijah dan sepupu kepada teman baikku... Elfee...



Hati tersentuh dengan ketabahan Kak Ain menghadapi suami yang lumpuh sejak hampir 7 tahun lalu. Betapa besarnya pengorbanan yang telah beliau lakukan. Saya sendiri amat mengagumi semangat KS yang tidak pernah patah dalam menghadapi kehidupan yang terlalu payah untuk diharungi dan pahit untuk ditelan...Berat mata saya memandang, berat lagi bahu mereka memikul...



Saya bertuah kerana anak2 saya mahu bersama kami berkenalan dengan mereka2 yang amat bermakna dalam hidup kami berdua. Perkenalan antara saya dan KS tidak disengajakan; melalui aktiviti blog-hopping. Rupanya KS amat mengenali 'Boss' saya...dan pertemuan kembali dua sahabat lama dalam situasi dan keadaan yang cukup berbeza sudah semestinya amat memilukan...



Selepas kenyang mengisi perut dengan mee goreng dan kek, kami pulang bersama seplastik besar buah mangga telor yang bergayut2 di halaman rumah KS. Jimie dengan bangganya memanjat bumbung kereta untuk memetik buah2 yang ranum itu... Hari ini, saya jadikan buah mangga muda itu kerabu mangga untuk hidangan makan tengahari.... Sedap beb!!!

<

Dari Semenyih, dalam hujan yang cukup lebat, kami kemudiannya ke Bangi Golf Resort. Menziarahi seorang lagi teman lama saya, NS @ Puan Norani Sulaiman. NS adalah Boss no 2 sewaktu saya di Alcatel dulu. Kini masing2 membawa diri, namun persahabatan ikhlas antara dua 'gadis manis' ini tidak pernah goyah kerana kami 'tidak berkepentingan' dalam bersahabat...



NS amat berjaya dalam kehidupannya sebagai tokoh korporat. Biarpun bersendirian membesarkan dua anak, beliau amat mengagumkan. Mahligai indah beliau bernilai jutaan ringgit di atas bukit di belakang Hotel Equitorial Bangi begitu sempurna. NS mengadakan kenduri doa selamat. Hanya keluarga dan rakan terdekat yang diundang. Saya gembira kerana saya berkesempatan bertemu teman lama - Shikin, Eina dan Noriah. Bila dah berjumpa, Mak-mak Dara ni mula lah mengalahkan gadis remaja!!! Riuhnya.

"All guys at home" amat teruja dengan keindahan hiasan dalaman dan lanskap rumah NS. Jimie yang baru pertama kali ikut ke rumah ini tidak putus2 berangan yang satu hari nanti kami juga akan mendiami rumah seindah itu....Abey yang pernah ke sini hanya tersenyum kerana dia dah puas menceritakan kehebatan rumah mewah ini kepada Jimie beberapa bulan dahulu...Bak kata 'Boss' - akuarium dia punyalah cantik!!! hehehe... Doalah...Insyaallah kita akan dapat. Dia mendengar...

<

Sepertimana KS, NS juga sering memberi saya kekuatan dan semangat. Beliau tidak pernah penat berusaha untuk berjaya. Keperitan hidup di masa lalu membawa beliau terus ke depan...Di usia melepasi setengah abad kini, NS lebih banyak menghabiskan masa di padang golf di dalam dan luar negara. Beliau juga tidak pernah lupa untuk 'memberi' kepada yang memerlukan...Saya amat envy NS dan saya harap saya juga akan berjaya dalam hidup sepertinya...

Terimakasih buat KS dan NS atas persahabatan yang tidak ternilai....



Wednesday, August 20, 2008

Sedihnya...

Saya ditugaskan menemuduga seorang calon bagi satu jawatan yang senior di pejabat ini. Selesai proses tersebut, saya dan CEO kemudiannya ke Pavilion yang terletak bersebelahan dengan Bangunan Standarad Chartered, tempat di mana temuduga diadakan.

Kami makan tengahari bersama dua orang pegawai kanan CMSB di Island Bistro. Sambil makan, sambil sembang dan saya seperti biasa, melihat sekeliling sambil membuat analisa saya sendiri. Perbualan kami lebih ke arah kerja, namun mata saya tertumpu ke meja yang berselang beberapa buah dari meja saya. Tiga gadis Melayu dan seorang lelaki Melayu, remaja kesemuanya, sedang menikmati hidangan mereka.

Apa yang menarik perhatian saya adalah minuman yang berada di atas meja mereka. Hati saya tertanya2, kenapa ada kotak ais? Bila saya amati betul2....ohh...rupanya kotak ais tu berisi sebotol arak dan keempat2 remaja tadi sedang asyik menikmati minuman 'hebat' itu di tengah2 manusia yang ramai lalu lalang di situ...

Mata saya tidak mampu melepaskan pandangan. Jantung saya tidak berhenti berdegup kencang. Otak saya terus menerus berfikir...di mana letaknya prinsip hidup anak2 yang masih hingusan ini? Ke mana perginya ajaran mak ayah cikgu ustaz dan ustazah di sekolah? Kenapa mudah sangat kehidupan mereka dipesongkan oleh arus 'kemodenan'? Saya hampir mencubit diri sendiri, kerana ada persoalan di kepala saya...adakah saya kini di Malaysia atau di Paris atau di Hong Kong atau di New York???

Malu dan sedih benar saya melihat keadaan ini. Patutlah macam2 musibah melanda umat Islam. Gejala ini hanya sebahagian dari kerosakan yang terus-terusan dilakukan oleh umat Islam sendiri. Remaja yang 'berwajah' kampung dengan mudah dan tanpa segan silu minum arak di khalayak ramai, di waktu tengahari buta, di Malaysia, yang agama rasminya Islam, yang dipimpin oleh pemimpin Islam dunia....Ampunkan hambaMu Ya Allah kerana aku tidak mampu berbuat apa2 untuk mencegah perkara ini dari berlaku....

Monday, August 18, 2008

Pertemuan


Boss, Pak Payne, Kak Lil dan saya

Saya amat berbesar hati kerana ada yang sudi bertemu dengan saya. Seorang anak Melayu yang berjaya mencipta kejayaan dan kekayaan di luar negara. Pak Payne atau Encik Ariffin dan isteri, Puan Aishah, sudi meluangkan masa untuk makan tengahari bersama saya, Boss dan anak2 di Lemon Grass, Alamanda, Putrajaya semalam. Kebetulan cuti sekolah dan saya pun sememangnya bercuti sehari.

Biarpun saya hanya mengenali beliau melalui tulisan, namun kami seolah2 telah lama berkenalan. Seorang yang sarat dengan pengalaman dan penuh dengan semangat membara, PAk Payne amat Melayu biarpun hampir sedekad meninggalkan tanahair dan merantau sebagai elit di negara orang.

Saya senang berbual, bergelak ketawa dan bertukar fikiran dengan insan hebat ini. Kebetulan Kak Lil adalah orang telecommunication, lingkungan kenalan kami orang yang sama. Bak kata orang, kami berbual dalam bahasa yang sama...

Biarpun hanya seketika, kenangan indah ini akan terpahat dalam hati buat selamanya. Moga kita bertemu lagi dan saya berdoa moga persahabatan kita kekal selamanya....
_____________________________________________

Saya juga kehilangan seorang teman semalam. Kamal Bahrin, suami kepada Akilah dan ayah kepada seorang anak yang masih kecil, meninggal dunia sejurus selepas mengambil wudhu' untuk menunaikan solat Zohor di pejabatnya. Kamal meninggal akibat serangan jantung.

Usia Kamal mungkin akhir 30-an. Beliau seorang Jurutera di sebuah syarikat telekomunikasi. Dulu kami bersama di Celcom.

Perasaan saya agak terganggu sejak mendengar berita sedih ini. Saya berdoa semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh lelaki yang baik ini...

Sunday, August 17, 2008

'Rewang'... di kampung

Semalam saya balik kampung...Kampung saya terletak di Jalan Nenas, Meru, Kelang atau dikenali juga dengan nama Kg Meru Barat. Penduduk di kampung saya (dulu), 100% keturunan Jawa. (Kini), kawasan perumahan tumbuh macam cendawan di sana dan kampung saya hanya tinggal kenangan...

Perjalanan dari Shah Alam ke kampung saya hanya 20 minit. Namun, sejak ketiadaan emak dan bapak, saya amat jarang balik ke kampung melainkan kenduri kahwin, Raya atau kematian. Semalam saya melakukan sesuatu yang amat jarang saya lakukan, 'rewang', kata orang Jawa. Abang Atong yang tinggal di sebelah rumah arwah mak kahwinkan anak. Abang Atong anak sulung Wak Japar yang berjiran dengan rumah kami sejak emak kahwin dengan bapak pada tahun 1952. Kesemua anak Wak Japar lelaki, selain Abang Atong, mereka adalah Abang Amet, Abang Nin, arwah Bagong, Wan, A'ang dan Ayon. Mereka kehilangan emak sejak Ayon yang muda 3 tahun dari saya dilahirkan. Sejak itu arwah emak menjaga kesemua anak2 Wak Japar ini seperti anaknya sendiri biarpun emak punya 10 anak!

Saya 'harus' ke rumah Abang Atong dan 'rewang'. Saya pergi bersama Kak Wi. Mak oii...ramainya orang kampong yang datang! Segan betol saya bila ramai yang agak tidak berapa kenal saya... sebabnya? Saya dah gemok!!! Ada juga yang kata saya dah tak macam 'orang kampung' lagi... ehem! Pujian @ perli???

Selain dari 'rewang', ada juga yang menyebut 'kendarat'. Di kampung saya, budaya gotong royong masih diikuti. Tanpa mengharap sebarang ganjaran, orang kampung lelaki dan perempuan turun membantu di dapur, jadi penanggah dan tukang basuh pinggan. Seminggu sebelum kenduri selalunya diadakan majlis 'meletak kerja' dan selepas kenduri, ada 'bancaan' yang disertakan dengan bubur 'som-som'. Sedap bubur ni, dibuat dari tepung beras dan dimakan dengan air gula melaka.

Dulu2 kalau ada kenduri di kampung, saya akan sentiasa bersedia untuk membuat 'persembahan'. Silat pengantin kegemaran saya! Cewah...siap bunga2 lagi silat pengantin ni. Saya juga pemain kompang. Merata kampung saya pergi. Pening kepala emak dengan anak dara sorang ni...

Di kampung selalunya ada permainan rebana atau orang Jawa kata 'kentrongan'. Waktunya? Malam sebelum hari persandingan. Waktu saya dulu, tak boleh tidur malam tu sebab 'Wak-Wak' yang main tu tak henti2 menyanyi sambil memukul 'kentrong' mereka sampai waktu Subuh. Lagu yang dinyanyikan semestinya lagu Jawa...entah apa2... (Saya ni nama je anak Jawa, sebaris ayat Jawa pun tak reti cakap. Tapi, jangan ingat saya tak faham???) Esoknya, waktu bersanding, macam nak terlelap!!

Apa yang saya buat sewaktu rewang? Hahaha... saya hanya bersembang. Orang lain bawa pisau, saya bawa handphone, wallet dan kunci kereta. Pakai pulak jeans dan t-shirt. Hampeh betol anak Jawa yang lupa daratan ni...Bagi saya, yang penting ialah kehadiran saya...

Saya bertemu dengan ramai orang yang telah saya lupa nama dan wajah mereka. Ramai yang masih ingatkan saya kerana nama glamour saya, 'choyah'. Kata mereka, saya dulu selalu ikut ke mana pun arwah mak pergi. Dan, kata mereka juga, saya ni betul2 iras wajah emak..."Eh! Kalau macam tu saya ni cantiklah ye? Sebab...emak saya cantik!!!" Hahaha!!! Ketawa besar mereka dengar apa yang saya kata...

Saya terharu dipeluk oleh Cik Surmi, yang meminta saya memanggilmya emak. Ini kerana dulu saya pernah peluk dia dari belakang...tersalah emak!!! Mana saya nak ingat... waktu tu saya baru 4 atau 5 tahun. Insyaallah Cik... Choyah takkan hampakan harapan Cik... beliau muda 3 tahun dari mak...Kini usianya 69 tahun! Wak Wok pula meminta sungguh2 saya singgah ke rumahnya jika saya lalu depan rumah beliau..Iya Wak...nanti saya datang. Wan masih seperti dulu, asyik nak lawan siapa terror dengan saya...Saya kalah di tangan dia, hanya kerana anak saya 4 dan anak dia 6!!!

Saya gembira dapat melaksanakan sesuatu yang 'kecil tapi signifikan', bak kata prof mki. Saya dapat lihat dari senyum di wajah Abang Atong dan Kak Sal... Di mana bumi dipijak, di situ langit saya junjung....

Wednesday, August 13, 2008

Syukur Alhamdulillah

Saya merasa amat bersyukur. Tiada apa yang mampu menggambarkan apa yang saya rasakan saat ini...

Empat bulan 12 hari di syarikat ini, saya menerima sepucuk surat yang menaikkan bulu roma... Surat yang ditandatangani oleh CEO. Surat yang mengatakan saya telah disahkan ke jawatan saya berserta pelarasan gaji yang jumlahnya... Subhanallah... tidak pernah terfikirkan...

Rasanya sujud syukur tidak memadai. Ucapan terimakasih belum cukup lagi. Makanya saya berniat untuk berkongsi kejayaan ini dengan beberapa orang yang amat bermakna dalam hidup saya... Suami, anak2, adik kakak dan abang pastinya, juga teman2 seperjuangan di tempat bertuah saya dahulu... As, Ros dan Elfee telah pun saya hubungi. Kita gi makan Sabtu ni ye???

Dua tahun saya 'menderita' kerana tidak dihargai di 'sana'. Apa yang saya kumpulkan adalah rasa rendah diri yang melampau. Namun saya belajar menjadi diri saya sendiri. Pada waktu itu, hanya keikhlasan yang mampu saya himpunkan demi cinta dan kasih sayang saya kepada anak2 murid yang beratus2 di hadapan saya, yang mendamba dan menanti ilmu dan didikan dari saya supaya mereka juga berjaya menjadi insan berguna.

Rupanya saya telah melepasi ujian kesabaran di sana.... Tuhan memberi rezeiki dalam pelbagai bentuk. Selepas hilang dari dunia korporat selama hampir 4 tahun, saya kembali dengan rasa kekok, rendah diri, takut dan serba salah. Namun, keikhlasan yang saya kumpul dahulu membuat saya berjaya hari ini. Ianya disedari dan hari ini, saya dihargai....

Ya Allah... terimakasih atas kurniaan yang besar ini. Terimakasih buat kedua ibubapa yang telah berjaya mendidik aku menjadi manusia berguna biarpun kehidupan terlalu sukar buat mereka waktu itu... Aku yakin Kau akan tempatkan kedua mereka di tempat yang paling indah Ya Allah...

Terimakasih kepada suami yang amat menyayangi dan menghargai diriku seadanya. Berikan kepadanya segala kemudahan Ya Allah. Berikan kepadanya kemuliaan di dunia dan akhirat. Dia insan mulia yang Kau hadirkan dalam hidupku dan berjaya membawaku ke jalan yang benar Ya Allah.

Hanya Engkau yang mampu membalas kebaikan CEO CMS I-Systems Berhad. Jadikan dia Muslim yang baik Ya Allah. Berikan hidayahMu kepadanya.

Terimakasih kepada semua yang sudi berkongsi perasaan ini...