Wednesday, August 29, 2007

Read between the lines

Saya selalu tekankan kepada students tentang istilah ini. Saya mahu mereka menjadi manusia yang boleh membaca situasi. Saya mahu mereka menjadi manusia yang faham apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Saya akui saya bukan A student. Saya bukan pandai macam mereka lain, yang sentiasa dapat straight As. Tapi, saya consider diri saya sebagai seorang yang tahu apa yang berlaku di sekeliling saya. Itu membuatkan diri saya lebih ke depan dibanding dengan orang lain. Biarpun ukuran kejayaan ialah subjektif, namun dikira dari apa yang telah saya lalui, saya mengaku yang saya agak mendahului ramai rakan lain dalam pengalaman.

Saya pernah melalui kepayahan mengharungi krisis kewangan 1997-1998. Saya dan suami hilang hampir RM1 juta dalam perniagaan. Lungkup kata orang. Namun kami tidak muflis. Kami belum mati, masih bernyawa, makanya kami bangkit dengan segala kesukaran. Waktu itu, kami hanya ada diri kami, dan anak-anak. Keluarga lain entah di mana. Akhirnya, kami berjaya membayar hutang-hutang besar, contohnya, hutang bank sejumlah RM736,000! Disebabkan itulah makanya kami tak punya apa2 kini. Namun, jika dihitung secara qualitatif, pengalaman kami amat tinggi nilainya. Tanyalah apa yang menakutkan saya kini....hanya satu. Saya takut jika Allah murka pada saya. Selain dari itu, tiada apa. Setakat tak bayar saman polis, saman MBSA, saman hutang credit card...ala, itu peanuts.....

Kebolehan memahami grey areas amat penting. Bacalah between the lines, kerana setiap sesuatu ada maksud yang tersirat....

Wednesday, August 22, 2007

Mas

Saya ada seorang kawan. Dia kalut. Apa pun yang berlaku akan membuat dia kalut. Dan, kalau dia sedang kalut, alamatnya dia akan membuatkan orang lain kalut.

Semalam dia buat kami kalut. Seharian pening kepala saya kerana pagi-pagi lagi dia dah kalut. Tapi, akhirnya, saya ketawa melihat gelagatnya. Mas oh Mas.... agaknya pejabat ni sunyi tanpa suaranya....

Tuesday, August 21, 2007

Sahabat

Tahun 1986, saya memasuki ITM (kini UiTM) di Shah Alam mengikuti kursus Diploma Perakaunan. Pada ketika itulah saya mengenali dia, sahabat saya. Dia berasal dari Perak dan tinggal di Kajang. Sahabat saya ni pendiam, pandai dan memilih teman. Kami berada dalam kelas yang sama dari semester satu hingga semester enam. Kemudiannya kami menyambung pelajaran ke peringkat sarjana muda di tempat yang sama. Dia masih sekelas dengan saya. Bersama kami adalah Azizan Aziz, Ruziah Ahmad, Noorlida Khalid, Rahim Adam, Azmi 'Jimmy' Manap, Azlan Ramli, Nora Azmah Md Isa dan ramai lagi yang hampir terlupa nama mereka. Kami bertemu dengan pelajar-pelajar yang datang dari kampus cawangan seperti Nuraini Kurdi, Nik Noor Faridah, Mokhtar, Rohani dan (maaf saya lupa). Ramai juga kakak-kakak dan abang-abang senior yang menyertai kami seperti arwah Abang Razali, arwah Abang Amran Othman (AO), Kak Norliza Rosli, Kak Ngah, Kak Sal, Kak Normah UPM, Uncle Badorshah, Usop 'Bulat', dan beberapa lagi nama yang telah saya lupa.... (Adakah Samser dan Salmah????hahaha).

Tamat saja pengajian, saya mulakan hidup baru sebagai isteri orang. Sahabat saya mendapat kerja di Price Waterhouse sementara saya di Coopers & Lybrand. Saya sibuk dengan kerja, suami dan anak sementara sahabat saya sibuk membina kerjaya. Dia berjaya mendapatkan PA dan menjadi akauntan bertauliah. Dalam masa sama, saya bina kerjaya dalam sektor korporat dan menambah bilangan ahli keluarga.

Kami tidak terputus hubungan. Di kala saya sibuk membesarkan dua anak yang nakal, sahabat saya mengakhiri zaman bujangnya dengan gadis idaman. Dia memang inginkan isteri yang mengikut kata. Bukan wanita seperti saya yang suka membuat keputusan sendiri....

Kami dipertemukan semula di Celcom pada sekitar tahun 1995. Dia di mobile, saya di transmission. Malangnya keadaan tidak membenarkan kami rapat seperti biasa. Namun, dia tetap istimewa di hati saya.

Kini, setelah hampir 24 tahun usia persahabatan kami, kami masih bersama mengharungi hidup dengan dunia masing-masing. Dia sentiasa ada masa untuk saya. Dia sentiasa ingat harijadi saya. Dia sentiasa membantu saya apabila saya memerlukan.

Saya pernah meminta dia memberi syarahan kepada pelajar-pelajar saya. Tanpa ragu-ragu dia kata, ok. Pagi tadi saya hubungi dia lagi. Seorang pelajar saya memerlukan tempat untuk menjalani latihan praktikal. Dia tidak menjawab talipon, sebaliknya menghantar sms. Saya balas sms mengatakan saya perlukan tempat buat pelajar saya di pejabatnya. Jawapannya: o.k.

Itulah dia. Cukup istimewa persahabatan kami kerana kami cukup rapat, tanpa ada rasa cinta, atau curiga. Kami saling menyayangi, sebagai sahabat sejati. Moga Allah merahmati kehidupannya sekeluarga dunia dan akhirat.

Buat dia: Nazaruddin Abdul Rahim.

Monday, August 13, 2007

Kanser

Minggu lepas, suami saya beritahu tentang seorang rakan sekelasnya, Brigedier General Datuk Razif. Beliau berkahwin dengan rakan sekelas di universiti, dan baru pulang ke tanahair selepas hampir 5 tahun tinggal di UK. Isteri Datuk Razif, Datin Zalina, seusia suami saya, 43 tahun dan sedang menderita sakit kanser di HUKM.


Suami saya sempat mengunjungi Datin Zalina di HUKM. Keseluruhan organ di dalam perutnya telah dibuang, namun perut Datin Zalina sebesar perempuan mengandung 9 bulan... Sedihnya mendengar cerita suami saya.


Dua hari lalu, suami saya mengajak saya ke rumah Datuk Razif kerana diberitahu yang Datin Zalina berada dalam keadaan kritikal dan telah dibawa pulang atas nasihat Doktor. Bila saya free, suami saya pula sibuk, dan begitulah seterusnya sehingga pagi ini suami saya menerima SMS yang Datin Zalina telah pulang ke pangkuan Illahi

Sunday, August 12, 2007

Panir Selvam @ Patrick

Arwah ayah mertua saya dimasukkan ke IJN pada sekitar tahun 2000 untuk menjalani ‘Indiogram’. Beliau menghadapi masalah jantung dan sebelum itu dirawat di hospital Kelang.

Abah ditempatkan di kelas pertama, menggunakan kemudahan Abang yang merupakan pegawai tinggi PDRM. Abah berkongsi bilik dengan seorang lelaki India, dalam lingkungan usia 40an. Siapa pun dia, kami tidak ambil peduli….

Saya mengunjungi Abah setiap hari, sehingga tiba hari Abah perlu menjalani “indiogram” yang dijadualkan pada pukul 9 pagi. Malangnya, jadual dilewatkan hingga pukul 2 kerana ada hal kecemasan. Pada waktu itu saya kenal teman sebilik Abah, Mr Panir Selvam. Mulanya saya ingat dia Mamak, kerana dia fasih berbahasa melayu dan sering mengucapkan salam dan menyebut-nyebut nama Allah. Saya berbual dengan Mr Panir, dan sempat mengusik beliau bersama-sama Abah. Pukul 145 tengahari itu, saya bergegas pulang ke pejabat dan berjanji pada Abah untuk datang semula selepas waktu pejabat….

Oh ya…Saya ‘terpaksa’ berbual dengan Mr Panir sebenarnya, kerana saya tiada teman berbual. Suami saya mengambil posisi di sebelah Abah yang sedang berbaring di katilnya. Dia tidur di celah ketiak abah…Tidur lena. Saya nampak dengan mata saya sendiri bagaimana Abah memeluk erat bahu suami saya sambil matanya tidak lepas memandang wajah suami saya. Abah asyik tersenyum….saya tidak sanggup untuk mengganggu detik-detik manis itu, makanya, saya beralih memandang Mr Panir yang keseorangan dan bersembang dengannya…..

Saya tiba di pejabat sebelum pukul 2. Suami saya terus kembali ke Shah Alam untuk bertemu dengan pelanggannya. Lebih kurang pukul 220, saya dikejutkan dengan panggilan talipon dari Ngah Uji, kakak ipar saya, yang mengatakan Abah telah pergi selama-lamanya sewaktu ujian “indiogram’ dijalankan ke atasnya…..

Saya cukup terkilan kerana meninggalkan IJN, namun saya agak bangga kerana bersama Abah menghabiskan detik-detik terakhir beliau.....Sewaktu saya kembali ke bilik Abah bersama suami untuk mengambil barang-barang Abah, Mr Panir menghampiri suami saya dan memeluk suami saya seraya berkata,”Brother, we are brothers forever. I love your Dad. He is my Dad too. We shared so many things last night, and I’ve never been so close to someone like him. Your wife has my number, and please, contact me. Jangan sesekali kita putuskan persaudaraan ini….’ Lebih kurang begitulah kata-kata Mr Panir.

Sekali dulu kami pernah mengunjungi rumahnya sewaktu kami bercuti ke Bukit Merah, itupun kerana kami tidak dapat meraikan Krismas bersamanya biarpun beliau telah menyiapkan dua buah bilik hotel buat kami. (kami tahu adalah salah di sisi agama kita meraikan perayaan agama lain). Mr Panir tinggal di sebuah rumah banglo yang amat besar....di tengah bandar Ipoh. Rupanya beliau adalah tuanpunya ladang teh ”BlueValley” di Cameron Highlands.

Dua hari lepas, saya menghubungi Mr Panir selepas hampir enam tahun kami tidak berhubungan. Saya agak terharu dan terkejut juga kerana beliau kenal suara saya....”Sister, I know it is you....”. Dan dia cukup gembira bila saya katakan yang kami berada di Ipoh pada waktu itu.

Tengahari 9/8/07, Mr Panir menalipon dan berjanji untuk datang menjemput kami makan malam pukul 830 malam. Tepat seperti yang dijanjikan, sebuah Mercedes besar datang dan membawa kami keluar. Pada ketika Mr Panir melihat suami saya, dia bergegas keluar dari keretanya dan memeluk erat suami saya…..Beliau memperkenalkan diri kepada Abey, anak saya….”I am your father’s big brother. We share same father…..So, you have to call me Uncle.”. Pening kepala Abey agaknya……takkanlah TokBah ada anak nama Panir Selvam, India, ada lambang “t’ tergantung di kereta…..

Kami dijamu di restoran milik Mr Panir, di dalam Hotel Syuen, Ipoh. Abo amat gembira kerana ada banyak belon…..Ada ramai tetamu di situ, meraikan harijadi anak seorang orang kenamaan Perak…

Kemudiannya, kami dihantar pulang. Dengan janji untuk bertemu kembali…Mr Panir sedang dalam kesepian kerana isteri kesayangannya baru 8 bulan meninggal dunia akibat kanser. Dia kini ditemani anak-anak yang telah dewasa. Kami harap dia bertemu cinta baru….tidak sukar baginya, kerana wang dan kedudukan ada padanya….

Itulah istimewanya rakyat Malaysia. Saya teringat kisah mendiang Loga Alleycats, yang mempunyai adik angkat perempuan Melayu, bertudung, yang amat disayanginya….. Saya juga punya abang ipar, India, beragama Kristian….hahahaha….istimewa betul hidup ini. Apapun, bukankah kita ni semua milik Allah yang satu?

Rafidah, Zaharah, Salina dan Nurlida

4 gadis, seorang kecik cenonet, sorang kurus tinggi dan yang dua lagi comel, betul-betul punya comel. Seiras Manjalara….Mereka berkawan rapat, sejak bersekolah hinggalah kini. Mereka anak-anak murid saya, yang saya marah, saya tengking, dan saya peluk….

Saya ke Ipoh menyelia latihan industri mereka. Rafidah, Salina dan Zaharah menjalani latihan industri di pejabat yang sama, sebuah firma audit kepunyaan bumiputra. Ketiga-tiga mereka ini pendiam orangnya, itu yang saya kenal. Tetapi, rupanya saya kurang mengenali mereka…..

Saya dijemput di hotel penginapan saya, dibawa makan tengahari, kemudian ditemukan dengan Pengurus tempat mereka bekerja. Saya dikejutkan dengan kenyataan bahawa Rafidah dan Zaharah sebenarnya adalah periang, tidak pendiam dan senang berkomunikasi….mereka benar-benar dipuji….Salina, seperti biasa, yang paling menonjol dari segi akademik.

Rafidah kemudian membawa saya ke tempat kerja Nurlida di tengah bandar Ipoh. Nurlida agak tenang, walaupun saya diberitahu yang majikannya tidak begitu menghargai kerja-kerja yang dilakukannya. Dia dipergunakan, bayaran elaun hanya seratus sebulan, tetapi beliau dikehendaki ke sana ke mari, setiap hari, menaiki motosikalnya tanpa dibayar duit minyak. Majikannya, sepasang suami isteri Melayu, yang menggunakan pelajar-pelajar praktikal sebagai kakitangan mereka…… Sebelum pulang, Rafidah sempat menyerahkan sebuah kotak besar kepada saya. Isinya…..labu sayung yang telah diubahsuai menjadi lampu meja….Cukup cantik…Ia membuat saya begitu terharu!

Keesokannya, Rafidah datang dengan keretanya ke hotel saya dan memindahkan keseluruhan isi Kancil kesayangannya ke dalam but kereta saya…..Durian, rambutan, pulasan, manggis dan tempoyak dari Taiping…..Mak oiiii…banyak betul…..!

Khas buat keempat-empat pelajar saya, terimakasih kerana saya tahu kamu semua menyayangi saya….Kamu buat saya terus bersemangat untuk meneruskan apa yang saya sedang lakukan. Jika diikutkan kata hati saya, saya nekad untuk meninggalkan bidang ini, namun, bila saya berdepan dengan segelintir pelajar yang amat dekat dengan hati saya….saya keliru…..

Kali Pertama

Rabu lalu saya dan dua orang anak saya, Abey dan Abo menempuh pengalaman baru. Kami menaiki bas ekspress ke Ipoh. Percaya atau tidak, inilah pengalaman pertama saya menaiki bas ekspress. Waktu student dulu pernah gak naik bas jauh, tapi bas lompat….

Saya membuat keputusan untuk menaiki bas kerana beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Suami saya sudahpun berada di Ipoh waktu itu. Pulang dari pejabat, saya ke Seksyen 17 mencari tiket. Sebelum itu saya mendapat panggilan dari Salina, anak murid saya supaya saya menaiki Perak Roadways pukul 5.30 petang. Tak sempat....sebab waktu itu dahpun pukul 5. Selain dari bas, saya boleh mencuba keretapi dari KL Sentral pada pukul 8.30 malam, bererti saya kena naik keretapi dari Shah Alam paling lewat pukul 7.30. Pun tak sempat. Makanya, saya pun pergilah ke Seksyen 17 untuk mencari tiket. Alhamdulillah, ada tiket pukul 9.45 malam.

Salina menalipon lagi. Katanya, lebih baik jika saya ke Puduraya. Bila saya balas balik dan beritahu Salina yang saya tak tahu nak ke Pudu naik bas apa....dibantainya ketawa. Saya memang tau macammana nak ke Pudu, tapi, dengan kereta....bukan dengan bas....

Selepas saya berjaya membeli tiket, saya menyusun langkah seterusnya, iaitu, mencari teksi. Saya bawa kereta ke hadapan asrama Jati UiTM di Seksyen 2 di mana terdapat banyak teksi berderet menunggu penumpang. Agak mudah untuk saya mendapat nombor teksi.... Not bad!

Pukul 9 malam, teksi yang saya panggil pun sampai. Abo cukup gembira nak naik BASH. Kami berlepas dengan teksi ke Seksyen 17. Oh....Cuma RM7! Saya dah siapkan RM15.... (Kalau ada pemandu teksi yang membaca, harapnya, janganlah dinaikkan harga ye Bang!) Dah sampai, tak tau pulak nak tunggu di mana....Kami duduk saja mengharap ada yang memberitahu. Dan, betul sangkaan saya, ada pembesar suara memanggil penumpang-penumpang.....Maka, masuklah kami bertiga ke dalam perut bas ’Super Nice’, yang bertaraf ’VIP’, dengan hanya 26 tempat duduk menghala ke utara, tepat pada jam 945 malam, Rabu 8/8/07. Pengalaman pertama saya yang telah berusia 42 tahun, Abey yang berumur 13 tahun dan Abo yang baru berumur 3 tahun......

Perjalanan itu memang mengasyikkan buat kami kerana tidak sampai 15 minit kemudian, saya tidak sedar apa yang berlaku sehingga terdengar suara .....”Ipoh!”, ”Ipoh”....dan suasana di dalam bas serta-merta menjadi terang benderang.....Sampai juga kami di Ipoh pada pukul 1245 malam.....Alhamdulillah.

Tuesday, August 7, 2007

Tempat baru

Semalam kami berpindah pejabat. Ke tempat yang lebih 'condusive'. Jiwa rasa tenang dan keinginan untuk bekerja agak tinggi. Saya masih berjiran dengan As dan Dr Shan - dua jiran yang sering menjadi tempat saya meluahkan perasaan... Ada yang seronok, ada yang tidak menyeronokkan, cuma tempat ini lebih baik dari tempat sebelum ini. Itu yang pasti.

Sejak beberapa hari yang lepas, saya sering diserang sakit kepala. Sakit yang agak melampau. Doktor nasihatkan saya supaya menjauhi tekanan. Teringat arwah emak yang pergi kerana tidak mampu melawan tekanan selepas ditinggal arwah Bapak. Emak membiarkan dirinya diselubungi stress dan akhirnya dia tewas. Darah membeku di tengah kepalanya dan akhirnya emak koma selama 3 minggu sebelum dia menyusul bapak yang pergi enam bulan sebelumnya. Saya takut sungguh dengan kemungkinan yang mungkin terjadi....

Harapnya Allah terus beri kekuatan kepada saya untuk tabah menghadapi semua dugaan ini...

Monday, August 6, 2007

Harijadi

Tiga hari lepas, saya menyambut harijadi yang ke 42. Alhamdulillah, saya masih sihat segar di dunia indah ini biarpun telah 42 tahun saya berada di sini. Sewaktu saya bangun di Subuh nan indah itu, tidak putus-putus saya ucapkan syukur ke hadrat Illahi kerana saya dikurniakan segala yang saya inginkan. Suami yang penyayang dan amat memahami, anak-anak yang taat dan cerdik. Anak sulung saya, Nabilla di UiTM. Dia penuh dengan keceriaan. Agak konservatif dalam banyak hal, namun moden dalam pemikiran. Nabilla seorang yang menunjukkan kematangan dalam kehidupannya. Seorang anak yang sering membuatkan saya mengalirkan airmata gembira kerana dia cukup strong. Dalam usia 18 tahun, Nabilla masih naive tentang pergaulan. Harapnya dia kekal begitu. Najmie, anak muda yang dadanya sarat dengan semangat. Dia memiliki kekuatan dalaman yang mengagumkan. Seorang yang punya wajah tampan, badan yang sasa dan ahli sukan dikagumi oleh ramai gadis. Siapa yang tidak kenal Najmie, seorang pemimpin pelajar dan pemain ragbi negeri...Ketul-ketul di tubuhnya membuktikan kekuatan fizikalnya. Nabil, Shah Rukh Khan melayu yang begitu kuat auranya. Biarpun tubuhnya kecil, dia umpama cili padi. Kelajuannya berlari sukar ditandingi, walaupun seringkali menjadi bahan usikan kerana sudah dua kali tangannya patah dalam tempoh enam bulan ini! Nabil seorang yang selalunya murah rezeki. Susah macammana pun hidupnya, selalunya dia akan dapat menghadapi masalah duit tanpa kita sendiri menduga...Dan, si kecil Naufal yang sentiasa ceria. Petahnya mulut berbicara, emosinya cukup stabil. Fikirannya dewasa biarpun gelagatnya manja dan keletah. Mereka berempat permata hati yang menerangi hidup saya selama ini. Di usia yang semakin meningkat ini, saya amat bersyukur kerana mereka dikurniakan kesihatan tubuh dan tiada kekurangan sedikitpun pada akal dan hati mereka.

Saya juga punya dua orang adik yang saya tahu amat sayangkan saya. Epah, seorang peguam yang mengorbankan cita-cita dan kerjaya demi anak-anak dan keluarga, sebaliknya menjadikan pensyarah sebagai kerjayanya. Dia tidak pernah melupakan saya....dan Anis, adik bongsu saya yang hanya kami faham perangainya. Anis bekerja di Kuala Lumpur, tidak sering menghubungi kami, namun tidak pernah lupa menhulurkan salam harijadi...

Juga tiga orang kakak yang amat saya sayangi. Tanpa mereka, saya pasti saya tidak sekuat ini. Kak Ani, guru besar sekolah rendah di Johor Baru, SMSnya pasti saya terima pada setiap harijadi saya. Kak Non, seorang kakitangan kerajaan yang selalu kena sakit kepala kerana darahnya sentiasa tinggi. Kak Non seorang manusia berjiwa mulia, yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila. Sewaktu saya belajar di universiti, dialah bank saya....Baju-baju raya saya kalau bukan dia yang beli, pastinya saya tidak punya baju raya.... Kak Wi pula kakak yang paling rapat dengan saya. Kami membesar bersama. Sewaktu kecil, Kak Wi paling kuat menangis, mungkin kerana Abang yang nakal dan Kak Non yang lagi nakal. Kak Wi menghantar sepotong kain chiffon yang cukup cantik sebagai hadiah harijadi saya....Alhamdulillah...

Saya terima sejambak bunga ros dari ”All Guys” di rumah. Nabilla hanya dapat menyanyi di talian talipon. Di pejabat, bertalu-talu talipon berdering, panggilan dari pelajar-pelajar saya yang tahu tarikh lahir saya. Semalamnya, saya menerima sekotak coklat dari Lye Ming, bekas pelajar yang kini menjawat jawatan tinggi di Genting group.

Tengahari tu, suami membawa saya makan di My Mom’s Chicken Rice. Kemudiannya, saya berebut kembali ke kampus kerana Anna Theresa, pelajat semester akhir Sarjana Muda Perakaunan menalipon saya ingin bertemu. Sampai di pejabat, saya bergegas ke tingkat tiga mencari Anna. Alangkah terkejutnya saya bila kesemua pelajar semester akhir ada di sana bersama sebiji kek Secret Recipe yang besar dan ramai-ramai menyanyikan lagu ”Happy Birthday” buat saya. Saya sebak. Terharu. Tidak pernah saya sangka mereka menyayangi saya.... Saya umpama ibu yang amat garang kepada mereka. Namun saya tahu, mereka hargai apa yang saya lakukan kerana saya mendidik mereka untuk menjadikan mereka manusia berguna....

Sebelum saya meniup lilin (mereka letak 4 besar dan 4 kecil...alamak...saya terlebih umur la!), mereka menjerit minta saya buat birthday wish. Spontan itu, saya mengangkat tangan dan saya ucapkan, ”Ya Allah! Berilah kejayaan kepada anak-anakku ini....!”. Saya betul-betul ikhlas ketika menuturkan doa itu. Saya memang mahu mereka berjaya. Sekilas saya terpandang beberapa pelajar mengesat mata....Oh Tuhan....

Kami bergambar dan bergembira bersama. Ia pasti menjadi satu kenangan terindah buat saya....

Sampai jauh malam saya masih menerima sms dan panggilan talipon mengucapkan selamat buat saya. Hadiah yang saya terima tidak kurang banyaknya....

Ya Allah. Terimakasih kerana kurniaanMu. Biarpun aku tidak kaya dengan wang ringgit, tapi Kau jadikan aku manusia yang kaya dengan kasih sayang....Aku gembira dan amat bersyukur kerana tidak ramai yang memperolehi apa yang aku perolehi.....

Sihir (7)

Ustaz mengubat suami saya dengan memotong sedikit kepala limau nipis dan meminta suami saya menghembuskan nafasnya ke dalam limau tersebut. Sebaik sahaja suami saya habis berbuat demikian, Ustaz ‘memasakkan’ paku ke dalam limau tersebut. Kemudian, Ustaz mencampurkan tujuh kepal tanah dan beberapa biji limau yang telah dipasak. Dalam masa yang sama, isteri Ustaz mencampurkan bahan-bahan untuk mengubat kedai pula. Garam kasar, kunyit hidup, lada hitam, kacang hijau dan bawang merah dicampur sekali. Ustaz kemudiannya menjawab beberapa soalan suami saya. Antaranya, suami saya pelik kenapa dia sahaja yang terkena sihir itu sedangkan saya tidak terganggu.

Ustaz bertanya asal-usul saya dan nama penuh saya. Sejenak itu, dia berdiam dan menutup matanya. Kemudiannya Ustaz berkata...”Hatinya keras ye? Semangatnya kuat”. Saya hanya tersenyum. Manalah saya tahu saya ni keras hati ke. Ustaz berkata lagi,” kamu orangnya straight forward. Dan, penuh dengan kasih sayang. Lagi satu, kamu pernah nampak ayah kamu simpan gambar-gambar kiyai dulu-dulu?”

”Tak pernah Ustaz. Arwah ayah saya tak pernah tunjuk ke simpan atau cerita pasal ilmu-ilmu ke apa ke. Cuma, dari kecik saya diajar untuk amalkan beberapa surah dan ayat-ayat yang saya sering baca. Sampai sekarang saya masih amalkan.”

”Kalau macam tu, kamu memang keturunan Wali Songo. Keturunan asal kamu dari pesantren. Mereka ni kiyai-kiyai yang telah memohon dari Allah supaya melindungi keturunan mereka. Kamu bertuah kerana kamu dan adik beradik kamu selalunya selamat dari gangguan. Lagi satu, orang yang lurus seperti kamu agak sukar dibolosi.”

”Tapi saya marah dengan si polan yang telah mengambil hak kami anak beranak, Ustaz. Sepatutnya anak-anak saya dapat rezeki banyak, tapi orang jahat ni buat anak saya kehilangan rezeki mereka.”

Ustaz tersenyum sambil menjawab,”Rezeki tu telah ditetapkan. Kalau bukan hari ini, esok lusa ia tetap milik kita. Kalau orang jahat ni dah ambik rezeki anak kamu, Allah akan mengambil kembali darinya dan anak-anak kamu tetap akan menikmati rezeki mereka. Kiranya, dapat arrears lah nanti...” Ustaz ni, bergurau pulak.

Kemudiannya Ustaz bertanya pada isterinya,”tadi garam ni camana rupanya ye?” Kami tak faham kenapa Ustaz bertanya begitu. Dengan bersahaja isterinya menjawab, ”rupa garam le....” Ustaz memilih beberapa biji garam dan menunjukkannya kepada kami. Subhanallah! Besar-besarnya garam! Sesiapa pun tidak akan percaya jika tidak melihat sendiri. Garam kasar selalunya hanya sebesar kuku jari, tetapi garam-garam yang telah digaul tadi membesar sehingga hampir 2 inci! Percaya tak percaya, memang kena percaya. Terbeliak mata Jimi melihat apa yang berlaku di depan matanya.

”Macam mana boleh jadi macam ni Ustaz” tanya saya.

”Garam ni menarik bisa-bisa racun di dalam kedai kamu. Balik nanti, taburkan garam ni di sekeliling kedai. Kalau bisanya masih banyak, ia akan jadi bertambah besar.”
Ustaz kemudiannya membaca doa di hadapan kami dan kesemua bahan-bahan yang telah disusun. Sambil mengaminkan doa Ustaz, kami sendiri berdoa dengan penuh kerendahan hati, memohon supaya Allah meredhai usaha kami. Kami memohon supaya kami dijauhkan dari sebarang sihir di masa akan datang.

Ustaz memberi pesanan supaya kami menaliponnya jika terdapat sebarang masalah. Dia juga memberitahu bahawa dalam masa terdekat, kami akan mendengar atau diberitahu tentang seseorang yang lumpuh atau terbakar wajahnya atau mungkin juga mati, kerana Ustaz telah berdoa supaya sihir itu berbalik kepada orang yang menghantarnya kepada suami saya.
Jam telah hampir ke pukul 12 tengah malam. Jauhnya lagi kami nak sampai ke rumah. Berdebar kencang kami kerana kami perlu menghabiskan apa yang belum selesai. Jin tadi telah dikeluarkan dari tubuh suami saya dan telah dipasakkan dengan paku di dalam limau tadi, dan telah dikembalikan ke asalnya, iaitu ke dalam tanah. Perjalanan yang sepatutnya sekejap kami rasakan terlalu lambat. Akhirnya, kami sampai ke rumah hampir pukul 12.30 tengahmalam. Plastik yang berisi tanah dan limau tidak boleh dibawa masuk ke dalam rumah kerana jin tadi telah terkurung di dalamnya. Suami saya perlu mandi dengan air buah kundur dan daun kelor tadi untuk membuang sisa-sisa sihir yang tinggal. Saya dikehendaki memandikan beliau. Menggigil-gigil suami saya mandi air tadi. Habis saja air kundur itu, saya dikehendaki mengutip sepasang pakaian yang suami saya pakai ketika mandi tadi tanpa terkena kulit saya. Dengan hati-hati, saya masukkan pakaian tadi ke dalam plastik dengan memakai sarung tangan dan kemudian saya bawa keluar rumah untuk saya campurkan ke dalam bungkusan tanah dan limau tadi. Suami saya meneruskan mandian beliau dengan membilas badannya dan akhirnya menabur garam ke seluruh bilik air tersebut.

Sehabis sahaja beliau memakai pakaian, kami keluar dari rumah menuju ke destinasi seterusnya....Sungai Damansara....Jam menunjukkan pukul 1.25 pagi. Jantung saya berdebar kencang. Jimi di belakang tak habis-habis membaca ayat-ayat yang sedang dihafalnya, di samping ayat kursi dan entah apa lagi ayat-ayat yang dibacanya....

Sesampainya kami di jambatan berdekatan Batu Tiga yang mengalir deras Sungai Damansara di bawahnya, saya dan Jimi memberanikan diri turun dari kereta sambil tak putus-putus membaca selawat dan ayat Kursi. Kami berjalan di tepi jambatan dan meninjau air yang mengalir. Setelah pasti yang sungai itu ’clear’, dengan bacaan Bismillah, kami berdua jatuhkan bungkusan yang berisi tanah, limau dan sepasang pakaian yang suami saya pakai ke dalam Sungai Damansara tersebut. Serentak itu juga kami berjalan menuju ke kereta dengan selaju-lajunya. Kami laungkan salam sekuat hati sebelum masuk ke dalam kereta. Sepantas itu juga suami saya memecut meninggalkan tempat bersejarah itu.Kami telah dipesan untuk tidak menoleh ke belakang selepas membuang plastik tadi biar apa pun terjadi. Mujur saya dan Jimi pengecut, kami memang langsung tidak punya keinginan untuk memandang ke belakang.....
Akhirnya, pada 13 Jun 2007, pukul 2.00 pagi, kami telah melakukan sesuatu yang tidak pernah kami fikir akan kami lakukan. Jimi mendapat satu pengalaman istimewa, yang tidak mungkin akan diperolehi oleh kakak atau adik-adiknya. Kami meraikan ’kejayaan’ kami mengharungi malam yang panjang itu dengan makan di dinihari, di Mc Donalds, Seksyen 3 Shah Alam.....selepas tidak langsung menjamah makanan sejak tengahari semalam.....

Kami terus tidur dengan nyenyaknya tanpa bermimpi apa-apa dan bangun subuh itu dengan satu sinar baru....walaupun terlalu mengantuk! Jimi ke sekolah sambil berjalan seperti Zombi....dan yang pasti, dia berjaya menghafal kesemua surah-surah yang perlu dihafalnya!!!!
Keesokannya, suami saya ke kedai di pagi hari dan menabur garam yang dibekalkan. Sambil itu, dia spray kedai tersebut dengan air zam-zam yang telah dibacakan doa oleh Ustaz.

Alhamdulillah.....Allah Maha Mengasihi. Suami saya tidak lagi sakit-sakit, kedainya mula mendapat kunjungan dan anak kecil saya tidak pernah lagi menangis malam. Dua minggu kemudian, suami saya menghantar anak sulung kami, Nabilla ke Sarawak untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang Kejuruteraan Kimia di UiTM. Sekembalinya dari Sarawak dua hari kemudian, kami dikejutkan dengan berita gembira. Suami saya dilamar sebagai ”Trainer” oleh sebuah firma dan dikehendaki memberi ceramah di seluruh pelusuk tanahair, dengan yuran professional harian yang amat lumayan. Tiada berita yang lebih baik selain dari ini buat kami sekeluarga ketika ini.....Alhamdulillah. Mudah-mudahan hidup kami sentiasa diberkati Allah.
P/S: Setelah sebulan setengah, dua hari lepas, kami mendapat tahu, seorang hamba Allah yang memang rapat dengan suami saya kini berada di hospital kerana diserang penyakit ganjil. Dia tidak boleh bekerja, tidak boleh bergerak dan terlantar di katil hospital....pendek kata, dia hampir lumpuh.....kami tertanya-tanya....”Adakah dia orangnya? Wallahualam.” Biarlah Allah yang membalas, kerana setiap apa yang berlaku ada balasannya.

Iktibar dari peristiwa ini yang dapat saya simpulkan:

Sabar dan syukur adalah landasan keimanan

Kasih sayang yang padu dapat menghalang segala kejahatan dan fitnah

Berhati-hati ketika mengeluarkan kata-kata, kerana kita tidak tahu siapa yang berhadapan dengan kita. Bagi kita, mungkin semuanya biasa saja, tapi bagi setengah orang, sihir menjawab bagi pihaknya.

Ketika susah, tiada siapa bersama kita. Allah sahaja yang kekal bersama kita.

Rezeki yang telah Tuhan tetapkan, akan tetap kita kecapi biar lambat atau cepat. Yang penting, kita tabah menghadapi ujian Tuhan tanpa mengeluh kerana Allah telah berjanji Dia tidak akan membebani kita dengan bebanan yang tidak mampu kita tanggung.

Penuhkan dada dengan ilmu dan amal. Buang segala dendam dan kebencian sesama manusia. Tingkatkan makam Redha di dalam hati. Ikhlaslah apabila kita melakukan sesuatu, biarpun ia hanya sebesar kuman. Nikmat Allah terlalu besar.

Amalkan ilmu yang dibekalkan oleh mereka yang menyayangi kita....InsyaAllah, tiada apa yang dapat membolosi benteng pertahanan diri kita.....

Yang benar datangnya dari Allah, yang salah adalah atas kekurangan saya. Ampunkan segala kesilapan saya, samada terkata, terbuat atau terpandang. Allah melihat segala-galanya.