Tuesday, July 3, 2007

Sihir (4)

Di suatu pagi yang indah, sewaktu saya baru sampai di pejabat, saya hampiri Ros. Suami Ros ialah Ustaz lulusan Universiti Jordan dan mengajar di sebuah sekolah menengah. Rasanya confident level saya pada Ustaz Asfahani lebih tinggi dari “Ustaz” di Taiping….(sorry Sis, you should know me better). Saya minta Ros tanya kepada suaminya apa yang perlu saya buat sekiranya saya ditimpa masalah bla bla bla. Tidak semua yang saya beritahu pada Ros.
Esoknya, Ros datang dengan sebuah buku di tangan. Kata Ros “Kak Su, suami saya kata amalkan baca surah Al-Matsurat. Ada banyak rahsia kat dalamnya.” Terimakasih kepada Ros dan Ustaz Asfahani….Tanpa berlengah, saya terus ke surau dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Saya menangis dan menangis di hadapanNya kerana doa saya termakbul. Saya baca berulangkali surat Al-Matsurat yang mengandungi ayat-ayat yang diamalkan oleh Rasulullah dan sahabat-sahabatnya.
Alhamdulillah, hati saya menjadi tenang dan saya seolah-olah nampak sinar di hujung perjalanan saya. Saya hubungi emak mertua saya setelah hampir berbulan-bulan saya kalut menghadapi kekeliruan ini. Saya jemput beliau datang ke rumah hujung minggu itu. Pada ketika itu barulah saya tahu bahawasanya telah hampir tiga bulan suami saya langsung tidak berhubung dengan emaknya. Suami saya anak bongsu dari empat beradik. Saya maklum dan faham sangat bahawa manusia yang terpenting dalam hidupnya adalah emaknya. Setiapkali dia dengar sesuatu yang tidak kena dengan emaknya, serentak itu dia akan melompat dan balik ke rumah emaknya. Terkejut saya bila emak kata ada beberapa kali emak menaliponnya dan dia matikan handphone! Patutlah bila saya ajak dia balik ke rumah emak, jawapannya adalah “biarlah dulu. Nanti emak sibuk je Tanya macam-macam. Malas nak dengar”. Itu memang agak pelik, tapi saya tak terfikir langsung kenapa agaknya dia menjawab sebegitu.
Saya ceritakan semua yang terjadi kepada emak. Saya tak kisah lagi kemungkinan dia menganggap saya yang bukan-bukan. Berderai-derai airmata emak mendengar kisah yang saya ceritakan. Beberapa kali dia mengucap panjang dan akhirnya dia kata ‘patutlah dah beberapa hari ni aku asyik mimpikan dia….’. Firasat ibu selalunya tepat…
Pagi itu juga saya nampak emak bercakap dengan suami saya di laman luar. Dari jauh saya nampak emak memeluk suami saya sambil mengalirkan airmata. Apa yang agak pelik, wajah suami saya agak ‘blur’. Dia seolah-olah tidak faham dengan apa yang berlaku.
Emak memujuk suami saya untuk mengundurkan diri dari kedai makan yang diusahakannya. Bagi emak, usaha suami saya sia-sia dan tidak akan berhasil kerana rasanya ada yang tidak senang dengan suami saya. Suami saya hanya mengangguk lesu dan duduk termenung. Itulah pertama kali emak lihat suami saya termenung tidak bermaya di sofa. Selang beberapa minit, dia terlelap… Meratap emak mertua saya melihat anaknya begitu. “Kenapalah engko biarkan dia je Su? Dah teruk suami ko ni….” Begitu kata emak. Saya hanya mampu tunduk dan menyabarkan diri saya.
“Agaknya dia ter”sampuk” kot mak….”jawab saya bodoh. Kata emak, kalau tersampuk, dia sakit. Ini bukan sakit, tapi jadi bodoh. Namun satu yang pasti, suami saya tidak pernah lupa sembahyang fardhu. Biar lena macammana pun dia tidur, dia pasti bangun untuk sembahyang. Kekadang saya ketawa sendiri bila dia terus sambung tidur lepas saja memberi salam….Aii….entah kot tidur masa angkat takbir…
Petang itu suami saya ke kedai dalam keadaan ‘blurr’ dan bingung. Emak masih di rumah. Lepas maghrib, beliau terus duduk di atas sejadah sambil menangis tak henti-henti. Masuk waktu Isya’, emak terus solat dan menyambung solatnya dengan solat-solat sunat. Saya hanya mampu memerhatikan kerana saya sendiri sibuk dengan anak kecil dan anak-anak lain. (Oh ya! Lupa nak saya ceritakan yang saya tidak punya pembantu rumah…Anak saya yang kecil saya tinggalkan di nursery waktu saya keluar bekerja dan pada waktu sama suami saya tidur di rumah…!)
Dalam pukul 9.30 suami saya pulang. Apa dah jadi? Tanya saya padanya. Emak masih dalam telekungnya. Melangkah saja ke dalam rumah, suami saya sujud di hadapan emaknya dan memohon kemaafan dari emaknya. Menangis dan meratap dia….Kami anak beranak terlopong melihat insiden itu. Apa dah jadi?
Emak memeluk erat anaknya. Saya biarkan mereka berdua berpelukan dan bertangisan. Hati saya masih tertanya-tanya, kenapa? Selepas beberapa ketika, suami saya mula tenang dan menyusun cerita….
Waktu beliau sampai di kedainya, beliau terkejut kerana peti sejuknya kosong. Maknanya, semua bahan telah dimasak dan dijual agaknya….Bagus ni, kata hatinya. Bila dia melangkah ke dapur, dia ternampak kotak polystirin berada di bawah dapurnya. Bila dia buka penutup kotak itu, menyembur ulat keluar….Rupanya, daging, udang, ikan dan ayam yang menjadi stok suami saya berada di dalam kotak tersebut. Seseorang telah terlupa menyimpan kembali bahan-bahan mentah itu di dalam peti sejuk. Suami saya memang bercuti pada hari sebelumnya. Maknanya, kawan dia yang terlupa.
Kata suami saya, dia hanya mampu menangis melihat semua itu. Dibersihkan dapurnya dan selepas dia buang segala yang patut, dia tutup kedai dan terus ke masjid berkenaan. Di atas sejadah dia menangis dan terus menangis. Waktu itu, hanya wajah emaknya yang terbayang di matanya. Selepas maghrib, dia terus duduk di situ. Di kala itu, suami saya seolah-olah tersedar dari satu mimpi yang amat panjang….Dia terpandang wajah saya, anak-anak dan airmata kami. Satu demi satu peristiwa tergambar di matanya. Apa yang mampu suami saya lakukan hanya beristighfar.
Selepas saja Isya’, dia pulang. Dia sujud di hadapan emaknya kerana dia amat bersyukur emaknya tidak putus berdoa mohon dia sembuh. Dia memeluk saya dan anak-anaknya memohon kemaafan kerana dia gagal menjalankan tugasnya sebagai ayah berbulan-bulan lamanya. Saya maafkan dia saat itu juga kerana saya kenal suami saya. Dialah lelaki terbaik dalam hidup saya selepas arwah Bapak…Saya anak yatim piatu, hanya suami dan anak-anak yang bersama saya. Adik beradik memang ramai, tapi di kala kami dalam kesusahan, kami hanya ada diri kami….
Malam itu saya ceritakan kembali kepada suami saya apa yang terjadi kepada dirinya selama dia dalam “dunia asingnya”. Emak tercengang waktu suami saya kata yang dia langsung tak ingat satu apa pun yang dilakukannya selama beberapa bulan ini….
Emak mengajarkan suami saya beberapa ayat untuk diamalkan. Suami saya hanya mengangguk dan mengangguk. Alhamdulillah, the spell has been broken….finally.
Malam esoknya, sewaktu saya naik ke bilik, saya terdengar esakan. Dalam gelap saya terpandang susuk tubuh suami saya yang sedang duduk di kerusi mengadap komputer. Bila saya dekatinya, suami saya tangkap tangan saya dengan pantas dan berkali-kali dia memohon maaf. Dia tidak pernah berniat menyusahkan hidup saya, dan dia amat berterimakasih kepada saya kerana tidak pernah mengenepikannya biarpun saya punya segala yang saya perlukan untuk memutuskan ikatan kami. Terus-terang saya katakan, saya pasti berjaya di Mahkamah Syariah jika saya tuntut hak saya. Namun, kasih sayang dan cinta saya pada suami tidak pernah berkurang walaupun seinci….
Sejak dari hari itu, suami saya tidak lagi berniaga di kedai makan tersebut. Segala modal yang dikeluarkan diserahkan kepada rakankongsinya. Dalam masa sama, kami berusaha memulihkan semangat suami saya. Tidak senang, kerana pendirian suami saya cukup goyah dan langsung tidak punya keyakinan. Satu contoh, disebabkan dia tidak punya sebarang pekerjaan dan perniagaan, saya sarankan dia memohon pekerjaan di suratkhabar. Dia dipanggil temuduga di Melaka. Saya galakkan dia pergi kerana bukan jauh sangat Melaka tu. Kami semua menemankan suami saya ke sana. Encik Madolah, seorang sahabat sejati, menanti saya di Melaka dan mengajak kami makan tengahari. Lepas makan, kami ke Equitorial Melaka untuk bertemu dengan CEO syarikat tersebut. Alangkah geramnya saya bila suami saya dengan tiba-tiba berkata yang dia rasa dia malas nak ke temuduga itu. Dan hati saya bertambah geram bila selepas dipaksa pergi, dia balik kemudiannya hanya untuk memberitahu saya yang dia memang tidak layak untuk jawatan tersebut…..Saya sedar dirinya masih dibelenggu kuasa jahat tersebut.
Julai 2006, suami saya menerima surat tawaran dari PKNS untuk menyewa sebuah kedai di Kompleks PKNS Shah Alam. Pelbagai alas an suami saya beri untuk tidak menerima tawaran tersebut. Dengan rasa marah dan geram yang sarat, saya tengking suami saya….satu-satunya perkara yang tidak pernah saya buat dan tidak pernah saya terfikir untuk buat. Dan, buat pertama kalinya, saya diherdik dengan kerasnya oleh suami saya. Lama saya berfikir, dalam tangisan, sendirian, di dalam kereta….agaknya ini yang si polan tu nak. Dia nak kami berpecah. Dia nak saya tinggalkan suami yang tidak ‘berguna’ lagi ini…Saya balik ke rumah, saya keluarkan segala duit yang tinggal dan saya serahkan kepada suami saya untuk dijadikan deposit kedai. Sambil itu, saya hubungi emak mertua saya dan ceritakan apa yang berlaku.
Keesokannya, emak datang dan memberi suami saya sejumlah wang. Ambik kedai tu, lupakan apa yang dah jadi dan mulakan hidup baru. Suami saya hanya diam dan menunduk. Kami hanya nak dia berjaya. Itu sahaja harapan kami.
Suami saya mula membuka kedainya pada September 2006. Dalam masa yang sama, dia mula menyewa kembali tapak di Pasar Besar Klang. Sedikit demi sedikit, semangatnya kembali. Sepanjang bulan puasa 2006, jualannya agak baik. Cukup untuk kami sekeluarga menyambut hariraya dengan penuh bergaya….
Selepas saja Raya, jualan suami saya merudum kembali. Penatnya…..kenapalah susah sangat kami nak senang? Satu hari, Eita mengadu yang tiga kali dia round di PKNS mencari kedai suami saya, namun apa yang dia nampak hanya dinding….Saya hanya diamkan diri. Kak Jah, isteri Hj Haron datang ke rumah memberitahu yang anaknya nak kawin dan dia perlukan barang-barang hantaran. Saya berikan alamat kedai dan apa yang saya diberitahu kemudiannya….”dua tiga kali round, akak asyik masuk satu kedai tu. Tak jumpa pun kedai Naha…” La….apa dah jadi?
Pendapatan suami saya di kedai macam yo-yo. Kalau dalam seminggu tu dia berjaya dapat jual RM300 selama tiga hari berturut-turut, makanya, untuk tiga hari seterusnya, jualannya akan jadi 0. Kadang-kadang orang yang dah memang nak beli barang, akan memasukkan balik duit yang dah dikeluarkan ke dalam dompet….Ya Allah…sakit jiwa kami dengan keadaan ini. Mujur saya bekerja, sambil tu saya usahakan kerja-kerja lain untuk menambah pendapatan. Kalau harapkan duit dari perniagaan, memang menangis….

No comments: