Friday, May 20, 2011

Perasaan seorang 'orangtua'



Nabilla menerima diplomanya semalam. Persiapan menyambut hari yang menggembirakan ini bermula sejak dua minggu lalu. Kasut, baju, tudung..... Saya sendiri jadi teruja bersama-samanya menyiapkan keperluan.

Saya mengambil cuti dan bersiap seawal pukul 630 pagi. Nabilla kalut, saya lagi kalut. Mujur pakaian kami telah saya siapkan malam sebelumnya. Pukul 7 pagi, Jimie hantar kami semua ke Padang Kawad UiTM dan dia kemudiannya hantar Abo ke sekolah.

Kami menaiki bas ke Dewan Agong Tuanku Canselor yang begitu indah dan tersergam. Ramai graduan dan keluarga mereka telah pun berada di sana. Saya dan Boss mengambil tempat. Terasa debaran yang tidak pernah saya rasakan sebelum ini. Saya lihat wajah-wajah di sekeliling saya yang 'bercerita'. Saya tahu kebanyakannya gembira, bangga dan terharu dengan kejayaan anak masing-masing.

Bila lagu-lagu syahdu dimainkan, airmata saya menitis. Pada tahun 1986, arwah mak dan arwah bapak berada dalam dewan menyaksikan saya menerima diploma. Tahun 1989, arwah mak, arwah bapak dan Boss yang baru dua bulan menjadi suami saya serta arwah mak mertua saya menyaksikan saya menerima ijazah. Dan pada tahun 2004, arwahmak mertua saya, lala, arwah Abang Aris dan Abang Nasir menyaksikan saya dan Boss menerima ijazah sarjana kami. Kini, saya dan Boss duduk di dalam dewan sebagai mak dan ayah graduan.

Saya terkenangkan mereka yang telah tiada. Betapa gembira dan bangganya perasaan mereka sewaktu menyaksikan saya berjalan di atas pentas dulu....kerana saya merasainya tatkala mendengar nama Nabilla Naharuddin dipanggil. Berjalan dengan penuh bangga, dalam debar tentunya, mengambil skrol yang disampaikan oleh Datuk Naib Canselor....

Usai penganugerahan, Datuk NC menyampaikan ucapannya yang begitu mengharukan. Dapat dibayangkan betapa Datuk adalah seorang anak yang begitu mengagungkan ibunya. Teresak-esak hadirin dibuatnya. Merah mata para graduan yang mendengar amanat Datuk.... Saya bayangkan pilunya hati graduan yang tidak ditemani sesiapa di dalam dewan itu. Harapnya mereka tabah....

Kami keluar dari dewan dan Lala disambut oleh rakan-rakan karibnya. Pip, Mira, Rabia, Azrul dan Jimie menghadiahkannya dengan bunga-bunga indah dan patung-patung comel. Adik saya, Epah juga datang bersama Mia, Min dan Syamir. Lala asyik ketawa dan tersenyum gembira sepanjang di sana. Riuh rendah suasana menggambarkan kegembiraan. Apatah lagi semalam adalah hanya untuk graduan Kejuruteraan. Bingitnya tidak terkata....

Saya menerima ucapan yang bukan sedikit dari teman-teman jauh dan dekat. Alhamdulillah, anak saya sudah melepasi satu tangga dalam perjuangan hidupnya. Banyak lagi anak tangga yang bakal ditempuhinya. Saya berdoa dia berjaya dalam pengajiannya di peringkat Sarjana Muda kini.

Ada satu perkara yang menarik minat saya....Tatkala graduan naik menerima skrol, di skrin besar akan tertera nama mereka dan tanda *. Jika *** bermakna kelas pertama, jika ** CGPA 3.5 ke atas dan jika * CGPA 3.0 ke atas. Sekiranya tiada * maknanya CGPA graduan itu di bawah 3.0.

Kakak di sebelah saya kata "Satu * pun dah bagus." Saya jawab "Tak ada bintang pun dah cukup bagus Kak....sebab berjuta lagi di luar sana yang tidak menikmati apa yang graduan ini nikmati hari ini...". Saya kagum dengan kejayaan anak-anak ini. Saya berdoa mereka akan menjadi pemimpin yang dibanggakan agama, bangsa dan negara di masa akan datang.

Saya telahpun menikmati perasaan seorang orangtua di hari konvokesyen anaknya..... Alhamdulillah. Ia adalah satu nikmat pemberian Allah....saya begitu mensyukurinya....

4 comments:

billa naha said...

Thank you MA!

lina said...

salam ma'am tahniah kpd nabilla. semoga terus berjaya didunia dan akhirat.

Kassim Selamat said...

Tahniah buat Nabilla dan juga kedua ibu bapa yg berjaya mendidik anak2 hingga berjaya.

Sy pun teringin masuk ke dewan melihat anank2 menerima diploma/ijazah.

Harap dahi Suria yg luka dah kembali sembuh...kuat gam gajah tuu...hehe.

Suria Klang said...

Lina,

Sama2 kita doakan Nabilla berjaya di dunia dan akhirat.

KS,

Insyaallah Tuhan akan perkenankan. Dahi saya kini berbekas...Mujur dah ada orang punya...kalu x mungkin x laku lah saya ni...hehehe....