Sunday, February 24, 2013

Rindu

Aku berdiri kaku
Bersama rintihan pilu
Kehilangan kasih
Yang pergi cuma sementara

Aku dicekik duka
Dihimpit luka
Yang nyata
Aku rindu....

Sajak di atas saya tulis pada tahun 1982. Tersiar di majalah Mastika dan majalah sekolah 'The Technician'. Saya tulis kerana saya amat rindukan mak dan keluarga saya di kampung. Berada di bandar dan tinggal di asrama menyiksa perasaan saya.  Rasanya itulah kali pertama saya tau apa ertinya rindu....

Saya sentiasa ingat sajak itu walaupun banyak lagi tulisan saya yang keluar di majalah. Ia mengenalkan saya kepada seorang peminat. Entah siapa namanya saya sudah lupa.....kami kemudian menjadi pen-pal...dia belajar di luar negara dan sering mengutus berita kepada saya menggunakan aerogram....

Persahabatan kami terputus kerana saya tidak tahu menghargai rasa tanpa melihat wajah....hahaha. saya perlukan sesuatu yang dapat dilihat, bukan hanya 'rasa'. Bagi saya ia tidak pasti...

Hari ini, saya tulis kembali sajak ini kerana saya amat terasa pedih dan sakitnya merindu. Kekasih saya terbang jauh setelah menerima jemputan untuk bertamu di rumah kekasihNya dan di rumahNya... saya tidak dapat bersamanya kerana tuntutan keluarga dan tugasan di sini.

Saya rindukan kehadirannya, senyum manisnya, renungan matanya yang sentiasa cantik, gurauannya, usikannya dan segalanya tentang dia....

Perpisahan sementara ini menyakitkan....namun saya pasti dia amat bahagia di sana....bersama tuan puteri kami satu-satunya....semoga mereka berdua dikurniakan umrah yang mabrur....

Sunday, February 17, 2013

Kembali ke sekolah

Sejak September lalu, saya kembali ke sekolah. Saya ingin belajar tentang sesuatu yang saya tidak tahu.

Perjalanan tidak mudah. Ada yang berkata:

"Dah tua-tua buat apa nak susahkan diri belajar lagi?"

Ada juga yang kata:

"Nak kejar apa lagi di usia ni? Pangkat? Harta? Dah tua-tua ni duduk je pencen kat masjid......"

Saya tiada jawapan kepada kata-kata tersebut. Sungguh. Ia memang soalan yang tiada jawapan.

Kenapa saya kembali ke sekolah sekarang? Bukan sepuluh tahun dulu? Atau lima tahum dulu? Atau kenapa perlu saya ke sekolah?

Pangkat sekarang: Bolehlah

Harta sekarang: Sifar

Gaji sekarang: Cukup makan.

Masa: Sibuk dengan kerja dan anak-anak.

Namun, sesungguhnya, ada yang indah di dunia persekolahan. Pencarian ilmu. Di peringkat pengajian tinggi, saya belajar mengikut sistem sekular. Pengetahuan agama Islam hanya satu dari subjek yang saya ikuti di peringkat sarjana muda. Habis. Di peringkat sarjana, tiada lagi. Saya jumpa di masjid dalam majlis ilmu.

Persekolahan saya sekarang memerlukan saya mengkaji lebih mendalam tentang sistem kewangan Islam. Ia sesuatu yang amat dekat dengan hati saya. Saya suka subjek yang berkisar tentang pegangan korporat, tentang penggabungan dan pengambil-alihan, tentang pasaran modal, tentang macam-macam lagi. Dalam dunia masa kini, kewangan Islam adalah yang paling berkesan untuk mengelakkan dari tertindas oleh sistem kapitalis yang kejam.

Lalu, masa saya amat singkat jadinya. Di masa terluang, minda saya akan menyuruh saya mencari article untuk saya baca. Minda saya akan mengarahkan tangan saya untuk membuka laptop dan mula mengetuk keyboard.

Apakah jika saya miliki satu lagi ijazah saya akan diberi pangkat, gaji mahupun harta menimbun? Sudah tentu tidak.

Adakah jika saya mengkaji tentang bidang yang saya minati saya akan abaikan Abo dan Rahman yang perlukan perhatian saya atau melupakan tugas dan tanggungjawab saya di pejabat? Tidak pernah walau sekelumit pun saya berfikir ke arah itu.

Adakah bila saya sibuk membaca dan menulis maka saya lupa untuk menguruskan Boss saya? Tidak pernah pula saya dengar rungutan beliau terhadap saya.....

Bila masanya saya mentelaah sebenarnya?

Di waktu rehat. Selepas waktu kerja. Sewaktu menunggu untuk bermesyuarat.

Cukupkah? Mudah-mudahan Allah mudahkan. Dia Maha Mengetahui apa yang saya usahakan. Insyaallah cukup.

Kalau gagal?

Sudah ketentuanNya. Saya mencuba dengan cara terbaik. Sesungguh hati. Hanya kerana Allah. Dia yang membuka hati saya untuk melakukan apa yang saya lakukan ini. Dengan izinNya semua ini berlaku.

Semoga saya tidak patah hati dan semangat dengan kata-kata manusia yang tidak ada apa-apa......