Monday, May 7, 2012
Kisah benar
Sudah lama berdiam membuat saya hilang idea untuk menulis. Kesibukan di pejabat dengan mesyuarat demi mensyuarat mengambil sebahagian besar dari masa yang Allah beri kepada saya selama 24 jam sehari. Saya juga menghabiskan banyak masa memandu ke sana ke mari untuk bertemu dengan pelbagai golongan manusia atas nama kerja. Sampai di rumah di setiap penghujung hari, saya umpama pohon yang layu...terkulai tidak bermaya di sofa. Baru ingin melelapkan mata kadangkala, jari-jari halus milik si kecil Abdul Rahman dan Abo menggamit rasa ingin bermain dengan mereka. Siapkan homework, main games, bawa berjalan, makan burger, minta dimandikan, minta disuap..... Ditambah pula dengan cerita Abey yang baru memulakan kehidupan sebagai pelajar universiti, kisahnya di kolam renang sebagai jurulatih baru, pengalamannya di kedai burger.... Sesekali Lala akan sama naik dengan adik-adiknya berkisah tentang renangnya, tentang kelasnya, tentang kawan-kawannya.... Jika Jimie ada, saya persembahkan pula telinga saya mendengar cerita tentang motor dan fotografinya.... Lima anak, berbeza hobi dan kesukaan. Berbeza tingkah laku, berbeza pendekatan.... Alhamdulillah, Tuhan masih mengurniakan kudrat untuk saya bersama mereka meniti kematangan usia.... Semoga ia terus begini...
Dua hari lepas, sedang asyik mengaminkan doa Imam selepas Maghrib, saya didatangi seorang wanita muda yang masih terserlah kejelitaannya. Saya amati wajah yang pernah saya kenali.... Oh rupanya si polan tu..... Bersamanya dua gadis kecil yang seiras wajah ayah mereka.
Saya tahu apa yang berlaku dalam kehidupan wanita tadi. Namun cerita yang saya dengar hanya melalui 'bekas'nya sahaja. Saya tidak berapa mengenalinya, namun saya seolah tidak percaya biar sezarahpun apa yang diwar-warkan tentang wanita ini. Sewaktu kami bersalaman, hati saya berkata "Ada sebab kenapa Allah temukan aku dengan dia di rumahNya hari ini." Masakan tidak, dia tidak tinggal di Shah ALam, namun dia bersolat Maghrib di Masjid Negeri bersama dua anak kecil....
Kami bertanya khabar, dan tidak sampai sepuluh minit kemudian, saya berkongsi dukanya. Astaghfirullah.... dua tahum lamanya kami hidup dengan cerita bahawa dia seorang isteri curang, ibu kejam dan macam-macam. Rupanya, ia dusta dan fitnah semata-mata. Saya halusi sms-sms yang saya baca di dalam taliponnya; antara dia dan 'bekas'nya.... Mudahnya manusia membuat dosa....
Dia wanita teraniaya. Namun kini dia berhati waja. Wajahnya cekal menunjukkan dia hanya berserah kepada Yang Maha Kuasa. Hatinya hancur dan kepercayaannya kepada seorang yang bernama suami lebur ditelan tingkah suami yang nampaknya beragama, berpendidikan tinggi dan berkerjaya hebat... Saban hari si isteri disogok dengan kata-kata yang dia bodoh, kepalanya di lutut, keturunan si isteri yakni jawa, amat hina dan buruk di pandangan keluarganya....bahkan kepala si isteri sentiasa ditunjal-tunjal setiap kali sang suami naik darah.... Allah hu Akbar... sabarnya dia sebagai manusia.
Katanya lagi, dia sendiri hairan dari mana datangnya kekuatan dirinya untuk keluar dari rumahtangga yang dibina berbelas tahun. Selama ini dia sendiri menganggap dirinya bodoh dan hina. Baginya apa yang dikatakan oleh suaminya tentang dirinya benar belaka... Namun saya sendiri menangis tatkala diberitahu setahun lamanya dia dipisahkan langsung dari anak-anaknya.... Saban malam dia bangun bermunajat memohon Allah bukakan hati 'bekas'nya untuk membenarkan dia bersama anak-anaknya lagi... Syukurlah katanya, sejak beberapa bulan lalu, dia dapat bersama anak-anaknya di hujung minggu dan cuti sekolah. Terngiang-ngiang di telinga saya bila anaknya yang kecil merengek dan merayu sambil menangis supaya dibenarkan bermalam lagi di rumah Ibu....katanya "nak tidur dengan Ibu lagi...". Luluh hati saya.... Kenapalah?
Jika dihalusi kisah benar ini, saya pasti ia adalah sesuatu yang biasa berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Habis manis sepah dibuang.... Wajah ayu yang dulu dipuja kini umpama pontianak yang dihina-hina. Bayangkan berapa ramai yang percaya fitnah yang dibawanya? Hingga hampir kesemua yang mendengar menuduh seorang perempuan suci itu dan ini....
Saya percaya, tulisan ini akan memberi serba sedikit gambaran kepada pembaca....jika ada yang terkena di sana sini, harapnya kita melihat kembali ke dalam diri dan buangkan kenyataan yang diperkatakan jika kita tidak mendengar dari kedua belah pihak... sebuah drama tidak dilakunkan hanya oleh satu watak... ada hero, tenti ada heroinnya. Dan tentu ada orang jahatnya....
Semoga kehidupan kita sentiasa dalam peliharaan Allah selalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment