Thursday, May 10, 2012
Anak membawa rezeki...
Pagi tadi, Abo sempat baca suratkhabar dalam kereta. Nak tergelak pun ada, nak memuji pun ada, rasa nak mencubit pun ada.... Katanya, "Ma, Pa.... paper ni tulis "Anak membawa rezeki".
Saya dan Boss tergelak. Teringat lepas Maghrib semalam Abo kena marah cukup-cukup sebab dia habiskan color water, satu kotak, dengan mewarna lantai dan almari dalam bilik saya.
"Memang anak membawa rezeki. Tapi janganlah dah dapat rezeki tu pegi buang-buang pulak. Dengan izin Allah kita dapat rezeki, pegi kedai Maria beli water colour RM5, baru sekali guna, Abo dah habiskan warna-warna lantai bilik Mama. Kalau Allah tak nak bagi rezeki lagi, pada siapa lagi kita nak mintak? Nak buang-buang lagi tak rezeki yang Allah bagi?"
Senyap. Langsung tiada jawapan. Abo kehilangan suara.
Di saat ini saya terkenang keadaan sewaktu saya mengandungkan Abo. Di usia 39 tahun, bila Doktor mengesahkan saya mengandung, terasa dunia berputar. Pelbagai rasa menyelubungi saya. Gembira, takut, segan, bangga, sedih.... semua ada.
Allah takdirkan saya melalui tempoh 9 bulan yang cukup mudah. Tiada alah, tiada sakit, tiada mengidam. Saya jadi orang yang sangat gembira tatkala mengandung. Ada juga ketikanya kami ketawa tatkala ditanya oleh jururawat, "Ini anak dari suami yang sama ke?" Bak kata Boss, rasa macam nak cepuk je.... Maklum saja, tahun terakhir bersalin adalah sepuluh tahun sebelum itu....
Ditakdirkan saya juga melahirkan Abo dengan cukup mudah. Cuma saya ada masalah ketika itu... Saya lupa rasa kontraksi! Sedikit kekejangan di perut pun saya ingatkan sudah tiba waktu bersalin.... Akhirnya doktor menahan saya semalaman hanya untuk memastikan yang waktu bersalin sebenar sudah tiba...
Rasa sakit mahu bersalin tidak sampai sejam.... Pukul 600 petang saya dimasukkan ke bilik bersalin, setengah jam kemudian Abo lahir dengan wajahnya yang cukup comel. Putih bersih.... hingga kini.
Abo tidak selasak abang-abangnya. Juga tidak senakal mereka berdua. Tidak seceloteh kakaknya. Namun perkataan yang keluar dari mulutnya banyak meniru orang dewasa. Mungkin kerana persekitaran di rumah dan di sekolah. Berani, manja, tutur katanya bersopan dan degilnya tidak seberapa.
Lahirnya Abo membawa rezeki yang tidak terkira buat kami. Bukan dari materi semata-mata. Saya lebih merasakan dari segi kembali ke jalan Allah. Naufal Arif namanya yang bermaksud dermawan yang bijak. Abo jarang pentingkan diri. Penampilannya sering membuat abang-abangnya naik angin.... baju yang dipilihnya asal boleh dipakai. Dia tidak pernah kisah tentang baju cantik atau warna kesukaan. Asal muat.... Kadang tu baju biru dipadankan dengan seluar merah. Selagi seliparnya tidak putus, itulah yang dilanyak....tidak dia peduli selipar angry bird ke, tom and jerry ke....asalkan boleh pakai...
Jiwanya sensitif, cepat tersentuh bila melihat peminta sedekah atau sesiapa jua yang meminta... Sanggup dia berlapar sampai menangis, hanya kerana kawannya mahukan makanan yang dibawanya....
Kami sama-sama menumpang rezekinya.......Syukur Ya Allah.... Semoga dia membesar sebagai insan yang bertaqwa dan ditempatkan bersama hamba2Nya yang soleh......
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment