Tuesday, January 28, 2014

Uniform baru

Perjalanan kami ke tanah suci bulan lalu agak berbeza dengan perjalanan haji mahupun umrah yang terdahulu. Di Mekah, kami dapat bertemu ramai rakan2, samada yang menetap di Jeddah/Riyadh mahupun yang datang dari Malaysia. Saya juga berasa dihargai bilamana saya dilayan bak puteri oleh kakitangan Mr Jeelani di Giordano Mekah. Tambahan pula, jemaah kami kebanyakannya adalah pengurusan syarikat tempat saya bekerja dan keluarga masing-masing. Dengan suhu yang rendah(18-24C), Mekah begitu cantik di pandangan mata saya. Terlalu cantik.

Lima hari di Mekah, kami ke Madinah yang cukup indah. Suhu di sekitar 8-15C. Madinah yang bersih, kemas, tenang dan damai mendamaikan jiwa yang resah. Prof MKI sudi membawa kami berjalan. Ia satu penghargaan dari seorang sahabat lama yang saya hormati.

Saya juga bertuah dipertemukan dengan Aniza, bekas anak murid saya. Subhanallah... Bertuah beliau dapat menetap di sini. Pertemuan yang paling bermakna ialah bila Mr Jeelani sudi mencari saya di hotel untuk bertemu... Bukan sekali, tetapi tiga kali. Beliau membawa hasrat besar. Mudah-mudahan Allah perkenankan.

Di rumah Prof Kamil, Jimie diasak dengan soalan demi soalan. Adoi... Malu saya. Jimie hanya tersengih memandang saya tatkala Prof mengingatkan beliau untuk sentiasa memastikan:

1. Saya menutup aurat sepenuhnya.
2. Saya berstokin walaupun di rumah tika ada tetamu
3. Pakaian saya perlu lah "ready solat"
4. Umrah kami umrah yang mabrur...

Bukan kerana segan atau malu dengan Prof MKI, malu sebenarnya dengan diri sendiri yang terlalu leka dengan keindahan dunia yang nyata hanya sementara.

Pulang ke rumah, saya belek pakaian-pakaian yang begitu banyak bersusun di dalam almari. Kain sutera, kain chiffon, korean silk, italian silk, english cotton... Subhanallah! Mahal-mahal kainnya, upahnya, designnya....

Saya tarik satu persatu, saya masukkan ke dalam beg.... Dan yang tinggal di dalam almari adalah pakaian "ready solat" saya yang cuma ada kurang dari enam pasang.

Kasut bertumit tinggi berpasang-pasang juga saya masukkan ke dalam kotak. Ish ish... Sayangnya...

Tudung? Bawal.... Ada yang mencecah harga rm400 sehelai. Segala warna ada. Tudung Ariani liplap dengan swaroski di kepala.... Aaah.....lupakan itu semua.

Kini, hampir setiap hari, saya pakai uniform. Ulang ulang uniform yang sama.

Tanya Tini, bibik saya... nggak sayang Bu.?

Jawab saya... Tak pe lah Tini... Boleh saya beli baju baru nanti...

Kasut ada dua pasang sahaja kini. Sepasang kulit hitam untuk ke pejabat dan sepasang coklat leper untuk hari Sabtu Ahad....

Saya siapkan stokin di banyak tempat... Dalam kereta, dalam beg komputer, di laci pejabat, di atas almari... Supaya tidak lupa.

Oh Tuhan... Kuatkan hati saya untuk istiqamah dalam uniform ini.






Sunday, January 26, 2014

Menangani Stress

Kehidupan sebagai wanita amat stressful. Begitu kata mereka yang arif. Saya kira begitu juga.

Di mana-mana kita boleh baca betapa besarnya pahala yang boleh dikumpul oleh seorang wanita - sebagai isteri, ibu, ketua organisasi, pelajar, kakitangan, adik, kakak, ipar dan pelbagai lagi. Saya akur.

Baru-baru ini saya merasa tekanan yang melampau. Entah bagaimana ia boleh jadi begitu. Tiap hari jururawat akan berkata ; "tinggi tekanan darah Puan ni." Aaah... saya sudah ada darah tinggi. Kata hati saya. Walhalnya tiada apa-apa.

Lalu, setiap ketika saya akan terbayang arwah emak yang menderita darah tinggi di sepanjang kehidupan saya. Asyik pening kepala. Asyik naik darah. Asyik berdebar-debar. Lalu akhirnya emak tewas bila darah tingginya mengamuk dan menyebabkan darah beku di tengah-tengah otak beliau.

Saya juga terbayang arwah Abang Aris.... sama seperti emak. Terbujur di atas katil di wad ICU kerana koma disebabkan darah yang membeku di kepala....akhirnya beliau juga tewas.

Terbayang abang Nasir yang kini jalannya berdengkut-dengkut. Separuh badannya lumpuh sejak 6 tahun lalu. Juga tewas disebabkan darah tinggi.

Kak Non juga seringkali kesakitan disebabkan darah tinggi. Begitu juga Kak Wie... adoii...

Saya tidak mahu mengalami apa yang mereka alami. Saya mahu sihat. Saya mahu bekerja dengan gembira. Menghabiskan masa bersama suami dan anak-anak. Bergelak ketawa bersama mereka. Bukan asyik kata "Mama sakit kepala. Mama tak dapat join you all...".

Lalu, saya selami diri. Apa yang boleh saya lakukan untuk menangani tekanan yang tidak perlu ini?

Membaca? Kadangkala ia menambah sakit yang ada. Bersosial? Di saat ini ia memualkan. Bersendirian? Aaahhh... saya sepi. Kesepian membuat saya ketakutan...

Lalu....Nabilla sarankan saya kembali menulis. Tulisan saya bukan sekadar luahan hati saya; tulisan saya juga memberi inspirasi kepada pembaca. Begitu andaian Nabilla.

Namun, adakalanya saya takut dengan bayangan. Ada manusia yang mengambil peluang mengasak kita dengan pelbagai isu selepas mereka membaca tulisan kita. Mungkin ia akan menjadi sebab kepada tekanan yang tidak perlu....?

Hanya Allah yang tahu. Mudah-mudahan semua menjadi mudah buat saya. Darah tinggi... jangan dekati saya. Saya tidak mahu hidup dalam bayangan kesengsaraan ahli keluarga saya yang telah didekati. Bukan saya harapkan harta menggunung dalam hidup ini - saya cuma mengharap kesihatan yang baik dan kebahagiaan menghadapi baki usia di dunia yang fana ini... Bahagia bersama keluarga; bahagia menjadi umat Muhammad dan bahagia menjadi hambaNya yang beriman... semoga segalanya diperkenankan. Aamiin.