Thursday, June 19, 2014

Apa maknanya?

Setelah hampir sebulan bercuti rehat di rumah kerana pembedahan appendix pada 25/5/14 yang lalu, hari ini saya kembali ke pejabat. Pelbagai perasaan datang menerjah. Gembira, teruja, sedih dan malas...ye, malas yang paling banyak.

Saya mulakan hari dengan mendengar pelbagai ringkasan dari kakitangan yang berkaitan. Projek demi projek dibincangkan.

Selepas habis bermesyuarat, Sha, seorang Eksekutif yang agak senior, memohon jasabaik saya untuk mendapatkan pandangan. Sha yang sudah berumahtangga dan mempunyai seorang bayi comel berusia 8 bulan tinggal berjauhan dengan suami yang bekerja di pantai timur. Sewaktu beliau mahu mendirikan rumahtangga, saya pernah berpesan kepadanya untuk sentiasa membelai dan menyiram kasih sayang dan cinta kepada suami beliau dan sebaliknya. Secara peribadi, perkahwinan jarak jauh atau weekend husband/wife jika boleh dielakkan adalah lebih baik.... Hari ini, Sha datang untuk memberitahu saya bahawa sudah sampai masanya untuk dia menjalani hidup berkeluarga yang lengkap.... Bererti... Dia akan meletakkan jawatannya tidak lama lagi.

Sebagai kawan dan kakak, saya sokong keputusan Sha. Namun sebagai Boss, saya akan kehilangan seorang pekerja yang rajin, berdedikasi dan hormat orang. Sha seorang kakitangan yang sentiasa berada dalam 'radar' saya. Jarang sekali mengecewakan saya samada dari segi disiplin mahupun kualiti kerja.

Sha menyambut baik keputusan saya dengan airmata berjuraian di pipi... Saya buka sedikit cerita saya kepada Sha.... Bagaimana saya ambil keputusan serupa... Meninggalkan gaji yang banyak, jawatan yang besar dan kemewahan hidup sewaktu saya bekerja di India... Soalan yang asyik menerpa fikiran saya ketika itu adalah "Apa maknanya?". Duit yang banyak, pangkat yang besar dan kedudukan yang tinggi tidak bermakna buat saya tanpa keluarga. Kerinduan yang membuak mampu menghilangkan senyuman di bibir... Hati menjadi gundah gulana, sepi adalah peneman setia, sedih bertamu di dada tanpa mahu beredar langsung....dan akhirnya... Diri menua sebelum usianya....

Biarpun kini saya tidak punya semua yang saya punyai sewaktu di sana, tapi saya pasti bahawa senyuman saya bukan pura-pura, ketawa saya penuh ceria....dan kebahagiaan adalah sewaktu saya mendengar gelak tawa anak-anak dan suami tercinta. Menatap wajah mereka memberi kepuasan tiada tara nya, merenung ke dalam mata mereka dapat kita tangkap kebahagiaan hati mereka, mendengar celoteh mereka bagaikan alunan lagu yang mesra di telinga...

Semoga Sha mencapai kebahagiaan dan ketenangan hidup bersama suami dan anak tercinta.

Surah Al Fajr 27-30:

Wahai jiwa yang tenang
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya
Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu
Dan masuklah ke dalam syurgaKu.



Monday, June 16, 2014

Kehilangan....pedihnya.

Ku mengerti
Perpisahan ini
Bukan kerana kau membenci




Liza... Kau satu antara beribu sahabat yang aku miliki. Kini kau pergi...tinggalkan aku bersama kenangan yang tak mungkin akan terpadam dari ingatanku. Beratnya jemariku untuk menulis tajuk ini.... Airmata deras mengalir tanpa henti... Asyik ku terbayang wajahmu....

9 Mei 2014, tarikh yang memisahkan kita. Selepas berjuang sekian lama menghadapi kesakitan yang bertambah dari hari ke hari, akhirnya kau pergi jua....

Akan ku genggam erat kasih sayang antara kita. Akan ku abadikan dalam doaku namamu setiap hari, wahai sahabat. Ketulusan hatimu, keikhlasanmu, kejujuranmu... Tiada satu pun yang akan membuat aku membencimu... Tidak mungkin sama sekali.

Aku amat menyayangimu. Dengan sepenuh jiwa dan ragaku. Kita bersama di kala suka, duka, gundah dan gulana. Kita harungi hidup ini bersama. Zaman kanak-kanak, zaman remaja, zaman dewasa... Engkau dan aku....bersama Dading, Adim dan Janie....

Kau pergi...kerana Allah menyayangimu. Kau tinggalkan keluarga yang masih perlukan perhatianmu. Kau tinggalkan aku yang masih mengharap dapat meluahkan keluh kesahku di kala hatiku berduka... Tiada lagi kan ku tatap senyuman manismu, usikan sinismu, sindiran tajammu...

Liza.

Tenanglah kau di sana... Aku sayangkan kau. Dan kau tahu itu.

Wednesday, June 4, 2014

Cuti Rehat kerana Apendiks

Sabtu 24 Mei 2014 adalah hari yang amat menyenangkan. Selepas penat bekerja tanpa cuti dua minggu sebelumnya, saya pastikan hari Sabtu itu saya manafaatkan sepenuhnya dengan berlingkar di atas sofa di ruang tamu. Anak-anak seolah mengerti Mama perlukan rehat. Tiada gangguan dari mereka.

Malangnya, rasa selesa itu hilang bila saya rasa perut saya sakit. Yang teramat. Menjelang malam, perut saya sudah seumpama bola. Besar dan keras. Jika ditepuk, akan berbunyi seperti gendang. Saya rasa seperti angin penuh dalam perut. Sebu, kata orang kampung. Terasa juga seperti mahu ke tandas. Saya turutkan. Hampir sejam di tandas, tiada apa-apa yang berlaku.

Malamnya saya tidur meniarap. Perut saya di atas bantal. Tidur pun cuma tidur-tidur ayam. Selepas Subuh, Boss mencadangkan saya ke klinik. Saya katakan...lapar. Nak siapkan sarapan dulu.

Sempat saya sediakan bubur untuk kami sekeluarga bersarapan. Dapat 3 sudu pun memadai untuk saya. Rasa loya dan mual pun ada. Kami ke klinik panel. Alah...doktor masuk lepas pukul satu. Saya sarankan ke klinik yang doktornya wanita...kerana saya tidak mahu perut saya dilihat oleh doktor lelaki. Pun tutup juga. Lalu, kami ke hospital berhampiran.

Nurse kata "Puan demam dan tekanan darah Puan amat tinggi". Jawab saya, "Saya sakit perut".

Bila Doktor buka mulut bertanya "sakit apa?" saya jawab "Sakit perut"...macam nak menangis pun ada. Dalam pada tu, saya terbatuk. "Itu bronchitis, Puan". Saya jawab..."Ye, saya masuk hospital ni bulan Januari lalu kerana bronchitis. Tapi hari ni saya datang sebab saya sakit perut".

Saya diminta baring. Ditekan sana sini perut saya. Keseluruhannya sakit....

Lalu, Doktor mencadangkan saya menunggu kedatangan doktor pakar, Disebabkan hari Ahad, saya perlu berurusan dengan doctor-on-call. Lalu saya ditempatkan di wad kecemasan. Pelbagai ujian dibuat - xray, ECG dan ujian darah. Akhirnya, selepas lebih 5 jam menunggu, doktor pakar tiba.

Ditekan sana ditekan sini....menjerit saya bila ditekan untuk kali yang entah ke berapa....di sebelah kanan, bawah pusat. "Sah apendiks", kata Doktor.

Lalu...saya pun diiringi anak-anak masuk ke dalam wad. Kena tunggu doktor bedah pula. Entah bila beliau akan datang... Sakit oh sakit, pergi jauh-jauh...

Pukul 10 malam doktor bedah sampai. Perut saya ditekan lagi....sakitnya bertambah. Mujur doktor pandai mengelak,,,,kalau tidak memang dah pengsan kena tendangan saya....

"Kita perlu bedah segera. Tetapi kami lupa nak minta Puan berpuasa. So, pagi esok lah ye?"

Apa-apa lah Doktor... perut saya sakit....!

Keesokannya, tepat pukul 9 pagi, saya disorong ke dewan bedah. Barulah timbul rasa seram. Segala zikir yang keluar dalam ingatan saya baca.... Saya berdoa semoga segalanya dipermudahkan. Anak-anak saya masih kecil...mereka perlukan saya...huhu.

Pukul 1130, saya terasa ada suara memanggil saya...."Alhamdulillah". Saya tahu saya menyebutnya...

Lalu, saya kembali ke wad. Tidak boleh bergerak. Mengantuknya..... sampai MD saya datang pun saya masih mamai...Saya suka bunga yang dibawanya.... Cantik....lalu saya tertidur semula.

Nurse kejap-kejap masuk dan bertanya "Puan, dah kentut?" Nak tergelak saya. Kentut pun nak tanya..

Saya terasa lapar. Maklumlah...puasa sejak pukul 12 malam tanpa setitik air pun.... Tapi nurse kata... "Puan kena kentut dulu baru boleh minum". Eh... istimewa sungguh kentut ni ye?

Ramai yang menjengah. Mereka menceriakan. Ingin sekali saya ketawa; namun sakit di perut masih terasa. Bila nurse datang, saya sendawa. Saya katakan pada Nurse..."Dik, akak dah sendawa. Sama je dengan kentut kan?" Jawab nurse..."Sendawa dari perut, Kak. Kentut dari usus". Ohhhh....

Akhirnya, pada pukul 645 petang, saya dapat kentut. Ia umpama kemenangan! Anak-anak bersorak bila saya beritahu..."Mama dah kentut!". Berlari Abo nak beritahu Nurse. Sampaikan Lala kata "Selalunya orang kentut sembunyi-sembunyi tak beritahu orang. Kali ni kentut kena beritahu orang...."

Doktor buang apendiks saya secara laparscopy.

Ditebuk di 3 tempat: pusat, sebelah kanan perut dan bawah pusat. Di bahagian pusat, kamera dimasukkan. Gas dimasukkan di bawah lapisan kulit untuk memudahkan kerja-kerja dilakukan. Tebukan di bawah pusat untuk memasukkan lampu, dan di sebelah kanan untuk memotong bahagian yang tidak diperlukan dan dijahit.

Seram bila saya kenangkan.

Makanya, saya kini bercuti rehat yang lama, 4 hari di dalam wad dan 15 hari di rumah. Kebetulan cuti sekolah. Jerit pekik si kenit-kenit betul-betul membuat minda saya "rehat". Pergerakan saya yang slow motion membuat mereka ketawa. 

Allah yang menentukan segalanya. Rehat yang saya dambakan saya perolehi melalui cara sebegini. Bukan di tepi pantai nan indah mengadap Lautan Pasifik sambil memerhati matahari terbenam....tetapi di rumah sambil meneliti apa yang berlaku sehari-hari....Banyak rupanya. Ada ketikanya saya sendiri terkedu!