Friday, June 22, 2007

Sihir (3)



Perkembangan suami saya semakin hari semakin teruk. Saya tidak boleh mengharap beliau menyara kami lagi. Setiap hari saya hanya mampu berdoa supaya suami saya kembali seperti sediakala. Saya menangis di rumah, bukan di hadapan anak-anak, tapi di dalam bilik, di dalam bilik air dan selalunya di dalam kereta.... Disebabkan kebuntuan sumber, pelbagai usaha saya lakukan untuk menambah pendapatan. Nak buat macamana lagi, saya kena kuat menghadapi kesukaran ini. Kalau memang dia dah tak mahu bekerja, biarlah saya yang kerja kuat. Saya pujuk hati saya hari demi hari. Saya nekad untuk meneruskan kehidupan ini biarpun sukarnya hanya Tuhan yang tahu.

Suatu hari, saya dikunjungi seorang sahabat lama, Nani namanya. Nani mendapat didikan di luar Negara. Rugged dan teramat moden. Nani terkejut melihat wajah saya yang sugul dan tidak bermaya. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang mengganggu fikiran saya. Nani cuba mengorek dalam-dalam, dan bila saya ceritakan apa yang terjadi, Nani mengucap panjang. Saya nampak air jernih yang mengalir dari kelopak matanya…saya sendiri tidak merasa apa-apa. Bagi saya, suami saya dah jadi orang malas yang berputus asa. Namun kata Nani…..”Awat la hang ni tak pikiaq habih…Hang dah kawin lama dengan dia. Takkan lah baru ni dia malas. Kalau dia memang malas, dari awal lagi dia tak mau gi kerja. Hang pi lah tengok….. Aku kenal hang berdua….”.

Pi tengok? Tengok apa? Saya asak Nani dengan soalan-soalan bodoh… Nani kata “Pi lah tengok kot-kot laki hang kena buat orang…” Terkedu saya mendengar kata-kata Nani. Tak pernah terlintas walau sejenak di benak fikiran saya yang saya akan menghadapi situasi yang begitu asing bagi saya. Saya tanya Nani…”Ada ke lagi benda-benda camni sekarang ni?” jawapan Nani mengejutkan saya….”Aku sendiri kalau rasa tak sedap je…aku pi tengok….” Nani? Yang begini moden buat benda-benda macam ni?

Saya mula berfikir dan terus berfikir. Akhirnya, saya akur dengan pendapat Nani. Alangkan dia yang begitu moden dan berpelajaran tinggi masih percaya dengan perkara-perkara begini, apatah lagi mereka-mereka yang bukan seperti Nani.

Saya bercerita pada Kak Connie, kakak angkat saya tentang situasi yang saya alami. Kak Connie memang seorang yang taksub dengan perkara-perkara yang melibatkan benda-benda mistik ini. Apa lagi, terus dia ajak kami berdua ke Taiping….tapi saya agak berat hati untuk menerima ajakannya. Apatah lagi bila Kak Connie kata kena bagi hadiah itu dan ini. Tambang ke Taiping saja dah berapa banyak. Mana saya nak cari duit? Apa yang saya ada hanya cukup untuk susu dan pampers Abo…..

Saya biarkan Kak Connie dengan ideanya. Dalam diam, saya berdoa tanpa putus mohon supaya Allah memberi saya petunjuk……

Monday, June 18, 2007

Sihir (2)

Tahun 2006 adalah tahun yang mencabar keimanan dan kesabaran saya sebagai wanita, ibu dan isteri. Biar saya cerita apa yang sebenarnya terjadi...

Suami saya mengusahakan perniagaan barangan kraftangan, termasuk tudung dan aksesori. Disebabkan tidak mempunyai kedai tetap, beliau menyewa tapak-tapak promosi di Giant, Tesco dan mana-mana kompleks perniagaan. Hasil yang diperolehi amat memuaskan, cukup untuk menyara kami sekeluarga dan membayar gaji pekerja.

Entah macamana, seorang rakan suami saya mengajak beliau membuka kedai makan, sesuatu yang terkeluar langsung dari minat dan keupayaannya. Kedai atau sebenarnya gerai diusahakan dengan penuh dedikasi, pendek kata ia satu venture yang amat mengujakan suami saya. Beliau memberi tumpuan kepada western food. Hasilnya juga agak mengujakan. Dapatlah dia kumpul sikit duit buat belanja anak-anak.

Hari berganti minggu ke bulan...Satu demi satu tapak-tapak promosi suami saya berkubur. Hilang langsung minat beliau terhadap segala apa yang diusahakannya selama ini. Beliau hanya menumpukan perhatian kepada gerai makannya yang makin lama makin merosot.

Saya amat tersiksa dengan keadaan ini. Gaji saya yang hanya secubit tidak memungkinkan saya mampu membiayai keluarga kami yang membesar. Sedihnya bila anak-anak minta duit.... Jimie berjaya menjadi pemain ragbi yang hebat, mewakili sekolah dan daerah, malah negara untuk pasukan bawah 13 tahun, tapi dia hanya mampu memakai boot yang diikat dengan tali kerana dah terkopak... "Ma, Mimi beli boot ni dari Cikgu. Mie baru bayar RM50, pakai duit sekolah yang Mie kumpul. Baki lagi RM130 Mie kata kat Cikgu Mie nak bayar bulan-bulan". Saya hanya mampu mengangguk di hadapannya. Di belakang Jimie saya menangis sepuas hati. Bila saya mengadu pada suami yang merupakan teman rapat saya sejak sekian lama, "Camana ni Bang? Kita tak cukup duit nak bayar rumah dan kereta. Gaji Su dah habis...."beliau hanya menjawab,"abang mana tau...nak buat camana? Dah tu sale kat kedai teruk....". Sakitnya hati saya. Setiap hari suami saya tidak ke mana-mana pada waktu siang selain dari menghantar saya ke tempat kerja dan mengambil anak-anak dari sekolah. Waktu lain, dia tidur. Dia asyik mengeluh sakit bahu, sakit tengkuk, mengantuk.....

Keadaan makin sukar dari hari ke hari. Saya hilang punca. Hilang kegembiraan dan wajah ceria saya. Saya jadi sasau dan menangis siang dan malam. Suami yang saya cintai telah lenyap. Wajahnya mendung sentiasa. Dia umpama Pak Belalang yang Angau, makan tak sudi, tidur tak lena. Silap sikit melenting marah. Cemburunya pada saya, Nauzubillah....

Sunday, June 17, 2007

Sihir (1)

Sewaktu kecil, saya sering bertanya kepada arwah emak kenapa bila ada budak yang pakai gelang, tali warna hitam, kenapa bila budak demam ada ayah/emak yang berkata "kena tegur" or "kena sampuk". Jawapan emak, "Manalah mak tau. Anak mak tak pernah kena sampuk....Kalau demam pegi jumpa doktor". Itu jawapan emak sejak saya kecil dan itu juga yang saya praktikkan dengan anak-anak.

Tamat saja pengajian, saya memulakan hidup berumahtangga dan berkeluarga. Anak-anak membesar di bawah jagaan saya dan suami yang tak punya apa-apa pengetahuan lain selain dari sains dan teknologi. Sesekali balik Meru, arwah emaklah yang akan rajin mengurut cucu-cucunya. Semua orang demam kalau jumpa Nenek Yah. Entah apa petua yang emak pakai, demam camanapun budak-budak ni akan sembuh lepas kena urut. Sayangnya mereka kepada Nenek tidak terhingga, mungkin kerana urutan itu adalah belaian sebenarnya buat mereka.

Arwah bapak lagi best. Kalau budak-budak jatuh dan luka menangis, Atuk akan kata "Mari Atuk tiup." Bukan baca apa pun, dia baca Bismillah dan tiup. Saiko budak-budak ni, terus baik....Kadang-kadang Atuk ludah...Hahaha...menangis budak-budak ni kena ludah....

Masa berlalu. Suami saya berhenti kerja dan memulakan perniagaan. Dari kecil kepada besar, kepada tiada, ada balik....Macam-macam yang diusahakannya. Asalkan halal dan dia mampu nak buat, dia sanggup pikul. Dan, buat pertama kalinya dalam hidup saya, saya kena akur adanya kuasa sihir.......