Friday, June 22, 2007
Sihir (3)
Perkembangan suami saya semakin hari semakin teruk. Saya tidak boleh mengharap beliau menyara kami lagi. Setiap hari saya hanya mampu berdoa supaya suami saya kembali seperti sediakala. Saya menangis di rumah, bukan di hadapan anak-anak, tapi di dalam bilik, di dalam bilik air dan selalunya di dalam kereta.... Disebabkan kebuntuan sumber, pelbagai usaha saya lakukan untuk menambah pendapatan. Nak buat macamana lagi, saya kena kuat menghadapi kesukaran ini. Kalau memang dia dah tak mahu bekerja, biarlah saya yang kerja kuat. Saya pujuk hati saya hari demi hari. Saya nekad untuk meneruskan kehidupan ini biarpun sukarnya hanya Tuhan yang tahu.
Suatu hari, saya dikunjungi seorang sahabat lama, Nani namanya. Nani mendapat didikan di luar Negara. Rugged dan teramat moden. Nani terkejut melihat wajah saya yang sugul dan tidak bermaya. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang mengganggu fikiran saya. Nani cuba mengorek dalam-dalam, dan bila saya ceritakan apa yang terjadi, Nani mengucap panjang. Saya nampak air jernih yang mengalir dari kelopak matanya…saya sendiri tidak merasa apa-apa. Bagi saya, suami saya dah jadi orang malas yang berputus asa. Namun kata Nani…..”Awat la hang ni tak pikiaq habih…Hang dah kawin lama dengan dia. Takkan lah baru ni dia malas. Kalau dia memang malas, dari awal lagi dia tak mau gi kerja. Hang pi lah tengok….. Aku kenal hang berdua….”.
Pi tengok? Tengok apa? Saya asak Nani dengan soalan-soalan bodoh… Nani kata “Pi lah tengok kot-kot laki hang kena buat orang…” Terkedu saya mendengar kata-kata Nani. Tak pernah terlintas walau sejenak di benak fikiran saya yang saya akan menghadapi situasi yang begitu asing bagi saya. Saya tanya Nani…”Ada ke lagi benda-benda camni sekarang ni?” jawapan Nani mengejutkan saya….”Aku sendiri kalau rasa tak sedap je…aku pi tengok….” Nani? Yang begini moden buat benda-benda macam ni?
Saya mula berfikir dan terus berfikir. Akhirnya, saya akur dengan pendapat Nani. Alangkan dia yang begitu moden dan berpelajaran tinggi masih percaya dengan perkara-perkara begini, apatah lagi mereka-mereka yang bukan seperti Nani.
Saya bercerita pada Kak Connie, kakak angkat saya tentang situasi yang saya alami. Kak Connie memang seorang yang taksub dengan perkara-perkara yang melibatkan benda-benda mistik ini. Apa lagi, terus dia ajak kami berdua ke Taiping….tapi saya agak berat hati untuk menerima ajakannya. Apatah lagi bila Kak Connie kata kena bagi hadiah itu dan ini. Tambang ke Taiping saja dah berapa banyak. Mana saya nak cari duit? Apa yang saya ada hanya cukup untuk susu dan pampers Abo…..
Saya biarkan Kak Connie dengan ideanya. Dalam diam, saya berdoa tanpa putus mohon supaya Allah memberi saya petunjuk……
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment