Monday, June 18, 2007

Sihir (2)

Tahun 2006 adalah tahun yang mencabar keimanan dan kesabaran saya sebagai wanita, ibu dan isteri. Biar saya cerita apa yang sebenarnya terjadi...

Suami saya mengusahakan perniagaan barangan kraftangan, termasuk tudung dan aksesori. Disebabkan tidak mempunyai kedai tetap, beliau menyewa tapak-tapak promosi di Giant, Tesco dan mana-mana kompleks perniagaan. Hasil yang diperolehi amat memuaskan, cukup untuk menyara kami sekeluarga dan membayar gaji pekerja.

Entah macamana, seorang rakan suami saya mengajak beliau membuka kedai makan, sesuatu yang terkeluar langsung dari minat dan keupayaannya. Kedai atau sebenarnya gerai diusahakan dengan penuh dedikasi, pendek kata ia satu venture yang amat mengujakan suami saya. Beliau memberi tumpuan kepada western food. Hasilnya juga agak mengujakan. Dapatlah dia kumpul sikit duit buat belanja anak-anak.

Hari berganti minggu ke bulan...Satu demi satu tapak-tapak promosi suami saya berkubur. Hilang langsung minat beliau terhadap segala apa yang diusahakannya selama ini. Beliau hanya menumpukan perhatian kepada gerai makannya yang makin lama makin merosot.

Saya amat tersiksa dengan keadaan ini. Gaji saya yang hanya secubit tidak memungkinkan saya mampu membiayai keluarga kami yang membesar. Sedihnya bila anak-anak minta duit.... Jimie berjaya menjadi pemain ragbi yang hebat, mewakili sekolah dan daerah, malah negara untuk pasukan bawah 13 tahun, tapi dia hanya mampu memakai boot yang diikat dengan tali kerana dah terkopak... "Ma, Mimi beli boot ni dari Cikgu. Mie baru bayar RM50, pakai duit sekolah yang Mie kumpul. Baki lagi RM130 Mie kata kat Cikgu Mie nak bayar bulan-bulan". Saya hanya mampu mengangguk di hadapannya. Di belakang Jimie saya menangis sepuas hati. Bila saya mengadu pada suami yang merupakan teman rapat saya sejak sekian lama, "Camana ni Bang? Kita tak cukup duit nak bayar rumah dan kereta. Gaji Su dah habis...."beliau hanya menjawab,"abang mana tau...nak buat camana? Dah tu sale kat kedai teruk....". Sakitnya hati saya. Setiap hari suami saya tidak ke mana-mana pada waktu siang selain dari menghantar saya ke tempat kerja dan mengambil anak-anak dari sekolah. Waktu lain, dia tidur. Dia asyik mengeluh sakit bahu, sakit tengkuk, mengantuk.....

Keadaan makin sukar dari hari ke hari. Saya hilang punca. Hilang kegembiraan dan wajah ceria saya. Saya jadi sasau dan menangis siang dan malam. Suami yang saya cintai telah lenyap. Wajahnya mendung sentiasa. Dia umpama Pak Belalang yang Angau, makan tak sudi, tidur tak lena. Silap sikit melenting marah. Cemburunya pada saya, Nauzubillah....

1 comment:

mki said...

Su,

Ni suspens!

Mesti happy ending!