Friday, March 14, 2008

Kekasih

Malam semalam saya berasa amat terluka. Saya juga keliru dan fikiran saya kusut. Puas saya cuba pejamkan mata, namun otak saya bercakap, asyik bercakap dan terus bercakap.

Saya hubungi seseorang yang amat rapat dengan saya. Dia berada nun jauh di seberang lautan. Saya katakan padanya betapa saya perlukan dia bersama saya, namun hati saya lebih terluka. Saya tutup talipon bila saya mendengar dia mengunyah sambil tidak memberi sebarang perhatian kepada saya. Ahhh...saya silap memilih tempat mengadu.

Di tengah malam buta saya terjaga. Lalu saya hadapkan wajah saya di hadapanNya. Saya sebak. Berguguranlah airmata membasahi pipi saya. Makin deras ia turun kala hati saya menjadi makin terluka mengenang apa yang berlaku...

Setelah beberapa ketika, saya terasa seperti ada belon meletop dalam diri saya. Airmata saya juga terhenti. Saya lipat telekong dan kembali ke dalam selimut. Masih sukar untuk saya lelapkan mata, namun saya tidak lagi merasa terluka. Ajaibnya.

Pagi ini saya bangkit di celah suara azan. Saya rasa amat lega...kenapa ye? Tanya hati saya. Ohh...saya terlupa bahawasanya di tengah malam tadi saya menangis semahu-mahunya...hingga bengkak kedua-dua mata saya. Saya ketawa melihat wajah saya di depan cermin.

Saya tidak lagi keliru. Saya pasti kekasih saya telah mendengar rintihan hati saya. Dia telah membuat saya tenang dengan membiarkan saya bercerita kepadaNya tentang segala-galanya...Dan saya tahu jawapannya. Segala yang berlaku, ada sebabnya....

1 comment:

adam brown said...

Hello I just entered before I have to leave to the airport, it's been very nice to meet you, if you want here is the site I told you about where I type some stuff and make good money (I work from home): here it is