Wednesday, May 25, 2011

Berehat tubuh dan minda

Tuhan beri saya peluang berehat di dalam wad hospital. Saya bersyukur.

Kisah yang kelakar berlaku di malam Ahad. Saya dan Boss pulang dari menghadiri kenduri doa selamat ibu seorang rakan yang hendak pergi menunaikan umrah. Sampai di rumah, Boss dan anak-anak kusyuk menonton kisah tsunami di Jepun di Discovery channel. Saya yang mengantuk teramat naik ke atas dan bersedia untuk merebahkan badan.

Di ketika saya hendak menyalakan lampu di atas kabinet kecil di tepi katil, saya terkucil dan kepala saya terhantuk ke bucu kabinet. Pandangan saya jadi berpinar dan gelap seketika. Saya ingat saya sebut "Allahu akbar!". Tangan kiri saya terus saya tekapkan ke dahi saya yang terasa sakit. "Terbelah?" detik hati saya. Saya buka pintu dan mula menjerit memanggil Boss yang agaknya tidak mendengar panggilan saya.

Jimie yang kebetulan berada di dalam biliknya berlari keluar mendapatkan saya. Dia baringkan saya dan saya terus tutup mata saya. Terasa ada yang mengalir hangat di keseluruhan muka saya. Saya pasti ianya darah.

Boss, Lala, Jimie dan Tini kemudiannya membantu mengelap darah, menekap luka dan kepala saya terus berpusing. Selepas wajah saya dibersihkan, Boss pakaikan saya jubah dan tudung dan memimpin saya ke bawah. Rupanya Lala telah bersiap sedia di dalam kereta menunggu saya masuk.

Kami terus ke wad kecemasan DEMC. Doktor Maznor datang bersama nurse yang cantik molek, tersenyum simpul memandang saya yang kesakitan. "Macam budak kecik je boleh jatuh...", gurau Doktor.

Selepas luka dibersihkan, ianya kemudian 'digam'. Terdengar anak-anak saya bergurau..."Ma...doktor pakai gam gajah Ma..". Saya terasa mual dan pening bertambah-tambah. Akhirnya, selepas hampir sejam, saya dipindahkan ke wad.

Tiga malam saya tinggal di wad yang cantik. Saya mendapat kunjungan adik, kakak2 dan abang saya. Ipar saya juga datang. Kawan2 pejabat singgah dan memberi perangsang untuk saya tinggal di wad dan berehat. Seorang dua kawan rapat yang kebetulan tahu saya ditahan di wad juga datang bersama senyum simpul mereka....

Boss kata, "Sah Su dah tua. Tidak boleh ditinggalkan bersendirian. Boleh mencederakan diri sendiri." Betullah tu.

Saya berasa bersyukur yang teramat. Di dalam laci di tepi katil hospital ada Quran terjemahan. Saya sempat menelaah satu surah panjang. Banyak yang saya belajar. Saya juga menonton drama2 melayu, telenovela Filipina dan Berita di TV1, TV2, TV3, TV7 dan TV9 setelah beberapa lama saya tidak memberi perhatian langsung kepada rancangan2 tersebut. (Tiada ASTRO di hospital...)

Di selang waktu, saya ambil masa untuk mengenali diri saya. Melihat kembali apa yang telah berlaku dan menginsafi segala kesalahan yang telah saya lakukan. Saya kumpul sisa-sisa kekuatan yang tertinggal untuk membina impian dan harapan di saat-saat akhir kehidupan di dunia yang indah ini. Merancang apa yang perlu saya lakukan demi kebaikan semua orang.

Tiada apa yang saya kesalkan. Setiap yang berlaku adalah dengan kehendakNya. Saya jatuh, sakit, dimasukkan ke hospital...tetapi saya dapat kembali apa yang saya hilang sejak berbulan lalu. Saya berpeluang merehatkan badan dan minda saya, jauh dari deringan talipon, mesyuarat yang tidak habis-habis, laporan dan pembentangan yang tiada akhirnya dan saya mampu merawat luka di dahi dan di hati saya....

Alhamdulillah.

3 comments:

lina said...

salam ma'am - alhamdulilah dah baik...

dilla said...

Salam Puan..syukur Puan tiada apa2 yang serius..semuga cepat sembuh..Dilla

Suria Klang said...

Salam Lina,

ALhamdulillah dah sihat.

Salam Dilla,

Tiada apa yg serious. Memang saya perlukan rehat...yang banyak....