Thursday, June 2, 2011

Di tepi pantai yang indah...Batu Feringgi

Jimie perlu mendaftar kolej pada Sabtu 28 Mei 2011. Kami semua teruja untuk sama-sama menghantarnya. Kebetulan cuti sekolah baru bermula.

Seawal pukul 8 pagi kami bertolak dari Shah ALam. Singgah sebentar mengisi perut dan mengisi tangki minyak, dan meluncur laju kenderaan kami menghala ke utara.

Sesak di sepanjang perjalanan. Banyak sungguh kenderaan di pagi hari yang mulia ini.
Kami sampai di Permatang Pauh hampir pukul 2 petang. Selepas mendaftarkan dirinya, Jimie mengajak kami ke pulau. Jalan teruk sesak di sana sini. Anak-anak di belakang o-zom untuk mencapai keputusan di mana kami harus bermalam hari itu - pantai atau bandar.

AKhirnya pantai menjadi pilihan. Boss memandu terus ke Batu Feringgi. Deretan hotel di sepanjang jalan. Saya talipon mana-mana hotel yang memaparkan no talipon mereka. AKhirnya kami tiba ke sebuah hotel besar di Batu Feringgi. Saya masuk bertanya, "RM480 for tonight, Maam." Terkedu saya. Masuk satu hotel lain, pun terkedu. Kami berdua tersenyum tawar; anak-anak menanti dengan penuh keterujaan.

Boss kata "Apa-apa hal kita solat dulu." Kami masuk ke masjid dan dapat juga melepaskan lelah. Tok Siak masjid tersenyum ramah kepada saya. Saya tanya, "Kat mana tempat buleh kami tidoq malam ni, Ji? Kot la ada chalet ka, rumah tumpangan ka...yang murah-murah?". Tok Siak dengan ramahnya menjawab, "Adik pi lalu ikut belakang ni, Adik nampak mai banyak chalet kecik-kecik tepi pantai. Murah saja Dik.."

Selepas mengucapkan terimakasih, kami tuju ke tempat yang diarahkan. Sungguh....banyak chalet-chalet persendirian yang kecil-kecil di sepanjang pantai di belakang masjid tersebut. Kami turun dan bertanya satu persatu...akhirnya kami berkenan dengan chalet Ismail, yang mengenakan kadar RM160 semalam untuk sebuah 'family room' yang mampu memuatkan kami berenam! Tiada rungutan kedengaran kerana bilik tersebut betul-betul di gigi air. Abo melompat-lompat keriangan.

Kami terpaksa melakukan sedikit shopping kerana tiada antara kami yang membawa baju atau seluar yang boleh dibawa ke dalam laut. Kami nikmati keseronokan berada di dalam air laut, sambil menikmati pemandangan petang nan indah.

Selepas puas menikmati pemandangan indah di pantai, kami ke Gurney Drive lepas Maghrib. Konon nak cari pasembor dan laksa, namun kesesakan jalanraya memaksa kami singgah di Nasi Kandar Subaidah... Puas hati saya dapat makan telur sotong!Terkenang sewaktu saya ditugaskan di kilang syarikat di Perai selama sebulan pada 1999 dulu, berat badan saya naik 5 kg! Mana tidaknya, setiap kali habis waktu kerja, saya akan bungkus nasi kandar dan char kuey tiow dan makan sambil mengadap TV di bilik hotel...keseorangan. Saya suka semua makanan di Pulau Pinang....

Kami habiskan masa malam itu di dalam kereta untuk mencari jalan pulang. Jalan cukup sesak. Abo pun tertidur. Sampai di depan Rasa Sayang hotel, anak-anak minta kebenaran untuk menyusur 'pasar malam' yang menjual pelbagai barangan.

Kami terus pulang...alamak! Blackout pulak. Boss keluar menanti anak-anak di simpang jalan. Saya cuba melelapkan mata...tapi nyamuk mengganggu keharmonian malam. Bunyi ombak menghempas pantai begitu dominan. Saya sukakannya.

Hampir pukul 2 pagi baru bekalan elektrik kembali seperti biasa. Kami terus hanyut dibuai mimpi. Saya tersedar di awal pagi...dan saya mengucap kesyukuran yang amat sangat kerana diberi kesempatan untuk mendengar alunan ombak sewaktu tersedar dari tidur yang lena....

Kami bersarapan roti canai di pantai, bermain bola, menanam badan dan bergolek-golek di pantai sebelum bersiap untuk kembali ke Permatang Pauh tepat pada pukul 12. Kami singgah di Padang Kota, dan makan lagi...Kali ini kami nikmati sotong bakar, sotong kangkung, laksa penang, ABC, lai chee kang, nasi ayam dan char kuey tiow yang dipenuhi dengan udang besar....Saya teringat beberapa kawan yang amat menyintai jeruk buah-buahan....Mak aiii...sedapnya.

Jimie tinggalkan kami di Pusat Islam UiTM sementara dia menyelesaikan tugas-tugasnya. Kami sempat lelapkan mata selepas solat, dan pukul 4 petang itu, kami tinggalkan Pulau Pinang bersama kenangan indah. Ini kali ketiga saya datang sejak Jimie berada di situ. Ingin rasanya untuk datang lagi dan lagi....dan makan enak-enak lagi!

4 comments:

RaRa_KiKi said...

ada num tel ismail chalet tu x???ingt nk pegi la...

Unknown said...

Sis..area chalet tu kat mana yer...

Unknown said...

salam, sy nk becuti bsma keluarga bln 6 ni di pulau pinang. sis ad num chalet tu x? terima kasih..

acik anis said...

asalamualaikum saya nk brcuti di p.pinang ..saya nk nmbr sis bolh ??