Monday, February 21, 2011

Stress sangat kot Ma...

Saya dapat sms yang berbunyi begini:

"Ma, lidah Mie rasa kebas. Mata belah kiri susah nak kelip". Aduh...seakan gugur jantung saya.

Saya panggil dia selepas solat maghrib.

"Mie okay? Dah pergi jumpa doktor?"

"Belum."

"Esok awal pagi tolong pegi jumpa doktor ye? Tengok apa doktor kata."

"Okay."

Keesokannya dia sms lagi.

"Unit Kesihatan UiTM refer Mie ke Hospital Seberang Jaya. Doktor pakar kat sana kata ada nerves yang tersepit. Jadi isyarat ke pasangan-pasangan di belah kiri muka Mie tak sampai, sebab tu kebas. Doktor bagi steroid je. Puncanya samada terhantuk atau stress."

"Mie ada jatuh ke?"

"Tak de pun. Rasanya Mie stress sangat kot Ma..."

"Mie nak Mama datang?"

'Aaaaaaa...........tak payahlah. Menyusahkan Mama je."

"Akak, Abey, Papa ngan Abo kirim salam. Bibik pun. Mie take care ye?"

Keesokan paginya, seawal pukul 8 pagi saya dan Boss sudah berada di perkarangan Kolej Nilam, UiTM Pulau Pinang. Seketika kemudian dia muncul dengan wajah yang sayu. Dalam hati, saya dan Boss setuju bahawa dia sebenarnya mengalami 'mild stroke'.

Selepas bersembang, kami ke masjid UiTM. Boss kemudian mengurut belakangnya yang tegang. Saya sambung tidur di sebelahnya. Dapat saya rasakan kesedihan di hatinya.

"Mie nak balik rumah? Kalau Mie nak balik, Mama admitkan Mie kat mana-mana hospital kat sana."

"Tak naklah. Mie ada banyak tests. Assignments lagi. Nanti lagi stress kalau Mie tak attend class."

"Kalau Mie rasa nak balik, Mie call Mama. Mama datang immediately."

"Okay".

Selepas seharian menghabiskan masa dengannya, kami pulang meninggalkan dia dengan hati yang berat. Semoga Allah memberikan kekuatan untuknya dalam mengharungi keadaan yang sukar ini.

Semalam saya terima panggilan dari emak kepada sahabat karib Mie.

"Su nak biar je ke dia kat sana? Bawak balik sini, boleh kita bawa dia berubat kat sini. Kesian dia."

"Kak, dia terlalu stress sekarang ni. Kalau kita desak dia, lagi stress jadinya. Lagipun dia di bawah pengawasan doktor di Hospital Seberang Jaya. Insyaallah dia akan sembuh. Beri dia masa dan kita doakan dari sini."

Airmata saya jatuh jua akhirnya.

Mie, ujian ini Allah beri pada Mie sebab Dia tahu Mie boleh menghadapinya. Ujian ini juga Allah beri pada Mama dan Papa kerana Dia tahu kami boleh menghadapinya, dengan tenang dan sabar. Hanya Dia tempat kita mengadu. Terima ianya dengan redha. Dia sayangkan kita, sebab tu dia uji kita. Semakin kita diuji, semakin dekat kita denganNya....

Wednesday, February 16, 2011

Pasca Haji : Reunion

Hari Ahad yang lalu kami menghadiri majlis reunion yang dianjurkan oleh pengelola perjalanan haji kami: Andalusia Travels. Seronoknya bertemu rakan-rakan yang sama-sama menikmati keindahan perjalanan yang amat bersejarah ini.

Saya dan Kak We duduk bersama-sama jemaah yang sama KT dan sama hotel dengan kami sewaktu kami di sana. Gembira rasanya dapat bertemu kembali sambil mengenang kisah-kisah di sana.

Sempat juga bertukar-tukar cerita tentang perubahan diri. Jika sebelum haji, masjid 'terlalu jauh' dari rumah, 'sibuk sangat', 'kerja banyak' dan pelbagai lagi alasan diberi kepada diri sendiri, kini kebanyakannya tidak lagi berkata begitu. Solat fardhu di masjid, khatam Quran sebulan sekali, overseas trip tidak lagi menarik minat, ketawa tidak lagi berdekah-dekah, dan macam-macam lagi....

Alhamdulillah. Ustaz ada menyatakan 'andai kita merasa kita ini lebih baik selepas pulang dari haji jika dibandingkan dengan sebelum pergi haji, itu tandanya kita mendapat haji yang mabrur".

Mudah-mudahan ia kekal begitu.

Saya? Masih berusaha untuk menjadi lebih baik lagi....kadang-kadang terlena dan terlupa juga.....Astaghfirullah....Keampunan dariNya saya harapkan...

Friday, February 11, 2011

Keep faith, Suria...


Keep on moving
Keep climbing
Keep faith, baby
It's all about the climb...


Itu adalah perenggan akhir lagu The Climb nyanyian Miley Cyrus yang menjadi sumber inspirasi ramai anak muda...dan kita yang tua juga...

"Wahai orang yang beriman. Mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan mengerjakan solat. Sungguh, Allah bersama orang yang sabar". Al Baqarah: 153.

Kita yakin Allah akan membalas kesabaran kita dan memberi hasil yang baik dari segala usaha kita. Kita menangis dan meratap dengan airmata yang berjuraian tanpa dipaksa tatkala menyampaikan kesedihan dan kedukaan hati kepada Yang Tercinta, di dalam sunyi malam yang teramat, sambil memohon keampunan atas kesalahan yang telah kita lakukan, dan kita redha bahawa segala yang berlaku adalah aturanNya, namun kita masih adalah hambaNya yang lemah. Ujian itu menggetarkan, sesekali amat menyakitkan. Namun, ia merupakan satu cara luahan perasaan yang cukup istimewa buat mereka yang yakin bahawa janji Allah itu benar dan pasti. Subhanallah.

Alhamdulillah. Saya mampu mengatasinya dengan meminta pertolonganNya dan bersabar. Sukar sekali, tetapi rasa itu cukup indah. Jika saya gagal sekalipun, saya redha. Saya asyik ingatkan diri saya, hatta jarum sebatang yang jatuh pun dengan kehendakNya, inikan pula tentang ketentuan rezekiNya....

Terimakasih kepada mereka yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui organisasi ini. Ianya cukup besar dan amat baru buat saya yang serba kekurangan dan tiada pengetahuan. Saya akan terus-terusan memohon kepadaNya agar segala usaha saya dipermudahkan. Semua ini adalah kehendakNya. Pasti.

Al Imran:26. "Say (O Muhammad saw). O Allah! Possessor of the kingdom. You give the kingdom to whom You will, and You take the kingdom from whom You will, and You endue with honour whom You will, and You humiliate whom You will. In Your Hand is the good. Verily, You are Able to do all things."

Wednesday, February 2, 2011

Udang oh Udang....


Boss dan Pp sedang enjoy makan udang yang paling sedap dalam dunia....

Tiap kali saya berada di sekitar Masjid India, selalunya saya akan singgah makan di Semua House. Ada Char Kuey Tiow sedap di sana...dan selalunya saya dan Boss akan minta "extra prawn'.

Tengahari tadi kami menjamu selera dengan char keuy tiow extra prawn...malangnya udang-udang di atas pinggan kecil-kecil belaka. Dalam hati saya berkata....nelayan tak jumpa udang besar kut...sebab banjir...

Di hari akhir kami di bumi Saudi, kami semua ditempatkan di Madinatul Hujjaj, bangunan kepunyaan Tabung Haji di Jeddah. Segala persiapan penerbangan pulang dilakukan di sini. Kawasan sekitar yang tenang dan damai sambil kami mengisi masa terluang bermesra sesama jemaah membuat suasana bertambah indah. Saya dan Boss mendapat jemputan dari seorang rakan yang menetap bersama keluarga di Mura Bustan, Jeddah.

Kami dijemput oleh seorang rakan Pak Payne dari Madinatul Hujjaj, dan dibawa ke rumah beliau, sambil disambut oleh keluarga Pp yang peramah dan amat mesra. Pelbagai juadah berada di atas meja menanti ketibaan kami, dan selepas 45 hari tidak menikmati 'home made food', kami makan bagai nak rak....

Selepas makan malam, Kak Aisyah, isteri Pp merebuskan udang yang didatangkan dari ladang syarikat tempat Pp bekerja dan sebaik kami berdua merasa udang-udang tersebut....kami kata, "Mak aii....benchmark udang dah bertambah tinggi...Payah macam ni...". Udang-udangnya bersaiz besar (lebih kurang 40gm seekor), MANIS walaupun hanya direbus dengan air tanpa garam atau perisa, tanpa kolesterol, gebu dan amat sedap...

Saya yang kekenyangan hanya mampu makan beberapa ekor. Boss pula bersungguh-sungguh menikmati udang enak tersebut hingga licin...Agaknya ada sekilo dimakannya....

Sejak itu, kami amat berkira dengan udang....Kalau saiz mahupun rasanya jauh dari yang kami makan di sana....emmmmm.....tidak mencapai standard lah tu....