Wednesday, July 31, 2019

Catatan: Andai ini hari lahirku yang terakhir

Andai ini harilahirku yang terakhir.

Aku amat bersyukur. Pelbagai telah ku tempuh, dari kecil hingga dewasa. Segala yang pahit adalah ubat kepada kesakitan manakala yang manis adalah buah dari kesabaran.

Berjaya dalam pelajaran hingga ke peringkat tinggi sentiasa menjadi harapan dan impianku sejak kecil walaupun aku dibesarkan di kebun getah, kebun nenas, kebun kelapa sawit oleh ibu yang tidak pernah menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Kejayaanku di menara gading adalah hadiah paling besar dapat ku beri buat dua insan hebat dalam hidupku. Senyuman Bapak dan airmata Mak di hari konvokesyenku kekal bersemadi dalam ingatan.

Menjadi isteri kepada jejaka tampan yang budiman adalah satu dari berjuta angananku. Dicintai sepenuh hati biar dalam apa jua keadaan adalah satu kebahagiaan yang tiada tolok bandingnya. Disayangi walau tanpa kata sentiasa membuat aku terasa bagaikan putri raja yang cantik rupawan.

Menjadi ibu kepada 5 cahaya mata membuat hidupku tegap kukuh dan cukup gembira. Tiada apa mahupun siapa dapat menggantikan kegembiraan melihat mereka membesar seperti yang diharapkan.

Aku dikelilingi rakan-rakan yang sentiasa menyayangi. Adikberadik yang tidak lekang mendoakan aku siang dan malam. Saudara mara yang sentiasa mahukan daku mendapat yang terbaik.

Tiada nikmat yang mampu aku dustakan. Aku bersyukur dengan segala kurniaanNya.

Sesekali terkenang peritnya rasa dipijak, dihina, disisih, namun ia seketika cuma. Alangkan para Rasul yang mulia terpaksa melalui segala keperitan dan kesulitan, siapalah daku untuk mengeluh dengan ujian yang begitu kecil.

Aku perlu tabah dan redha. Tiada pergantungan selain kepada Allah. Aku bukan isteri, ibu, kakak, adik, kawan, murid, cikgu, anak sedara, cucu atau jiran yang baik. Tapi aku dikelilingi oleh terlalu ramai insan baik yang menerimaku seadanya.

Maafkan aku wahai semua yang mengenaliku. Aku telah maafkan kalian semua. Tiada sekelumit dendam yang tinggal di hatiku.

Selamat harijadi, Suria.

Wednesday, July 24, 2019

Self Recovery of an Entrepreneur / Pemulihan Kendiri Usahawan #4

Bila usaha yang dirancang dengan teliti gagal di tengah jalan, naturally kita jadi buntu. Tak tau dah nak ikut hala tuju yang mana. Kita mula menyalahkan supplier, customer, bank, transporter dan siapa saja di keliling kita, termasuk diri sendiri. Hati jadi lebih tidak keruan bila bank mula menalipon non-stop minta bayaran. Dari sekecil-kecil hutang sampai ke hutang paling besar. Saat paling berdebar bila posmen bunyikan hon depan rumah. Sah surat berdaftar. Reminder dari bank A, B, sampai S agaknya. Bunyi deringan talipon boleh buat sakit jantung tahap maksima. Kot keluar nama supplier, lagi rasa macam nak masuk balik dalam perut Mak.

Time ni, satu perkara paling common ialah kawan yang dok ajak ngeteh siang malam sebab nak minta job hilang lenyap. Kawan yang keje dia meminjam duit kita dari puluh-puluh sampai ribu-ribu langsung tak nampak bayang. Malah kawan yang selalu Like posting kita kat facebook dan instagram pun dah tak muncul. Bila kita tag nama depa tak keluar... rupanya dia dah unfriend & block kita... Haish! Panas betul hati.

Mula lah kita menjauh dari aktiviti keluarga. Kenduri dah tak muncul. Komen di WA group nan hado... Akhirnya, duduklah kita meratapi nasib. Jadi Lebai Malang. Hutang keliling pinggang sebab sale tak cukup nak tampung operation cost. Sewa kedai/opis mula bertampuk. Surat sita pun dah diterima. Ada duit sikit, macam-macam nak dibuat tapi takut sebab kot tak de sale, sia-sia je bayar sewa tapak. Dahlah duit ada banyak tu je.

Dalam kelas, Kiyai ajar kami untuk ambil langkah-langkah berikut immediately.

1. Adanya kasih dan sayang - power of love. Listkan senarai orang yang kita sayang & sayangkan kita. Look out for them. Siapa mereka? Pasangan, anak-anak, ibubapa, adik beradik dan kawan baik yang berkawan dengan kita dari zaman kita berhingus hitam legam kurus kering sampai kaya raya bergaya berkedudukan tapi tak pernah minta kita belanja dia. Kawan yang sentiasa kata, "Ko boleh buat. Ko terror, semua ni peanut je la untuk ko. InsyaaAllah aku yakin semuanya akan kembali normal. Ni ujian kecik je ni. Aku doakan". Haaa... itulah kawan yang sebenar. Kiranya macam Saidina Abu Bakar r.a. yang sentiasa membenarkan apa jua yang Nabi s.a.w. katakan walaupun semua orang lain berkata sebaliknya. Doa dari mereka ini sampai, insyaaAllah. Cepat lambat je.

2. Masuk dalam kelompok orang yang berada dalam kedudukan yg sama dgn kita. Motivasi akan diperolehi hingga ke lapangan. Cari geng yang sekapal tapi masih positif dan yakin dengan pertolongan Allah. Geng yang negatif, asyik dok salahkan orang, dan tidak yakin dengan Allah, letak tepi.

3. Perlu ada idola/coach.
Cari yang real, bukan tifoo. Ramai yang ada di market ni auta je. Cakap degar-degar, motivasi tahap gaban, bayaran nak dengar dia cakap boleh bayar kos operasi sebulan, tapi bila kita tengah buntu, dia kata, "Tumpang lalu....!"

4. Perlu ada sistem/SOP yg jelas. Ada ilmunya yang boleh ditekuni. Haaa... ilmu ini ada dalam buku ke? Journal apa? Nehi! Nehi! Nehi! Ilmu yang Kiyai akan kongsikan, jika kami istiqomah, ada dalam dada dia. Dia dah praktikkan cara pemulihan kendiri ini 22 tahun lalu. Dia bangkit dari seorang usahawan yang terpuruk kepada multi-millionaire zuhud yang mengabdikan hidupnya demi kekuatan ekonomi ummah.

MashaaAllah. Nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan, Suria?

Monday, July 22, 2019

Self Recovery of an Entrepreneur / Pemulihan Kendiri Usahawan #3

Kelas pertama bermula dengan excitement yang membuak. Mahu pulih secepat mungkin. Mahu jadi kaya raya. Tidak mahu lagi hidup dalam kepayahan.

Macam-macam ada dalam kepala. Rebranding? Restructuring? Tukar business model? Tukar product? Pindah? Stop what you are doing and start fresh?

Sekurang-kurangnya itu yang ada dalam fikiran. Berlegar-legar. Non-stop sampai letih.

Sekali tu, Kiyai tanya kami, "Apa elemen anda? Apa warna diri anda?"

Whattt????

Mana la nak tau warna apa. Orang apa? Tanah, air, kayu, logam atau api? Warna merah, hitam, hijau, putih atau kuning?

Camana? Camana? Pakai nombor tarikh lahir ke?

Salah, kata Kiyai.

Tanya diri kita.

Oh!!! 

Kenali diri kita. Perhati. Suluh.

Kita sahaja yang tahu kita ini bagaimana dan warna apa.

Mak ai! Pening kepala dibuatnya. Apo bondo eh?

Tenang Su, tenang. You have said it, many times. Learn, unlearn & re-learn. Take one thing at a time, slowly look into yourself. Find the answers within you. Be calm and husnuzon.

Teringat pesanan Hj Asmawi, Ketua Hakim Syarie Negara Brunei Darussalam. 'Hanya kita yang mampu mengubat sakit kita. Amalkan zikir-zikir syifa."

Allah hu Akbar. 

Jika mula-mula tadi saya rasakan masalah saya lah yang paling besar, selepas zohor, saya angkat tangan bersyukur. Masih bertahan biarpun diri dikhianati dan character asassinated.

Alhamdulillah. 


Sunday, July 21, 2019

Self Recovery of an Entrepreneur / Pemulihan Kendiri Usahawan #2

Sebelum saya teruskan, saya kenalkan Kiyai yang memimpin kami. Beliau hanya mahu dikenali sebagai Kiyai, bukan Sifu, Guru atau Mentor. Sifatnya amat humble. Zuhud.

Beliau adalah self-made multi-millionaire, yang mana kekayaannya datang bukan dari kontrak kerajaan yang diperolehi hasil dari melobi, tender terendah mahupun kerana bersahabat dengan ahli politik.

Beliau juga seorang yang bergelar, anugerah dari Sultan di sebuah negeri kaya. Kereta-kereta mewah menjalar di halaman rumahnya yang cukup sederhana di hujung kampung. Allah hu Akbar. Begitu sekali beliau berazam berusaha membantu sekumpulan usahawan yang sedang cedera parah, tercalar emosi dan terhempas harapan.

Apa yang buat beliau begitu bersungguh-sungguh mahu membantu? Apa yang beliau dapat?

Lillahitaala.

Bagi beliau, Allah beri ilham untuk beliau bantu. Kerana satu ketika dulu beliau dibantu kala jatuh terpuruk. Dibantu oleh seorang yang cukup kaya. Bukan duit yang dititipkan oleh Kiyai beliau, tetapi ilmu. Kekuatan dalaman. Ada namanya.

Saya bertuah. Amat bertuah. Berada dalam satu kumpulan insan hebat yang sedang diuji Allah.

Hipotesis saya ialah "usahawan bangkit dengan kekuatan sendiri." Theoretical framework mungkin jadi begini

Usahawan bangkit = hasil dari suntikan modal, rebranding, perubahan strategi pemasaran, motivasi diri, geran dan "pemulihan kendiri". Saya belum jumpa kajian berkaitan pemulihan kendiri di peringkat ilmiah. Saya sedang menjadikannya nyata.

Doakan.

Ladang Pahala yang dibiarkan

Wahai anak.
Betapa ruginya kalian
Punya banyak kesempatan
Yang disiakan.

Ibumu masih muda
Kuat tegap tubuhnya
Belum lupa-lupa
Tiada penyakit singgah di badan.
Pemikirannya kritis
Kreativitinya tip top
Kedut di wajahnya belum nyata.
Rambutnya hitam.
Pakaiannya ranggi
Senyumannya manis.

Dia bekerja keras sejak kau dalam perutnya
Kemudian membesarkanmu
Dalam susah, dalam senang
Susunya? Sakitnya melahirkan? Waktu tidornya terganggu?
Takkan terbalas biar segunung emas kau longgok di hadapannya.

Apa yang Ibu mahu sebenarnya? Senyumanmu
Pelukan manjamu
Kata-katamu yang lemah lembut.

Ya, dia masih memandu dengan laju
Tapi bukankah bahagia jika kau tanya
"Mahu ke mana Bu? Ku hantar. Ku tunggu. Ku iring.'

Ya, beg tangannya harga beribu
Tapi kan bahagia jika kau belikan beg kain mahupun rotan atau plastik
Untuk dia isi telekungnya kala ke masjid.

Masakannya tiada tandingan
Tapi kan bahagia jika kau pulang
Bersama lauk kegemarannya
Ah! Apakah kau tahu apa lauk kegemaran ibumu?

Kakinya masih tegap berdiri menggosok pakaian menggunung
Tapi kan bahagia jika kau gosokkan tudungnya?
Atau telekongnya?
Mungkin bajunya?
Biar cantik bergantungan
Mudah untuk dipakainya?

Sayang seribu kali sayang
Ladang luas itu kau biarkan penuh lalang dan semak
Kau lebih rela melayan hati muda
Tidak peduli langsung pada ibumu
Malah kau perlekehkannya
Seumpama dia tak punya makna.

Anak.
Ibumu tidak pernah lupa mengirim doa buatmu
Di sepertiga malam
Menangis dia meminta Tuhan menjagamu
Takut dia kau kelaparan
kesedihan
kedukaan.

Kau masih leka
Menatap wajah jelita kekasihmu
Yang boleh berganti
Esok satu lusa mungkin dua
Atau tiga malah empat
Tapi ibumu
Itulah satu.
Tak mungkin ada dua.

Anak
Andai kau tahu
Betapa ruginya kau nanti
Saat sedar tiba bila ladang pahalamu sudah hilang dari mata.
Saat sorot mata yang setiap hari menangis memohon doa buatmu tidak akan ada lagi

Jangan terpedaya dengan mainan dunia, anakku.

Walau kecewa sedalam mana pun hati ku sebagai ibu
Kasih sayangku padu
Doaku sentiasa bersamamu.


Saturday, July 20, 2019

Self Recovery of an Entrepreneur / Pemulihan Kendiri Usahawan: #1

Sekitar bulan June lalu, masa tu masih dalam mood puasa sunat Syawal, kami berdua memulakan langkah. Mencari diri. Membawa perasaan jauh bermusafir. Kalau bahasa orang sekarang, hibernate.

Banyak sangat yang bersarang di hati. Fikiran penuh tandatanya. Rasa nak nangis membuak-buak, tak tahu apa sebabnya dan bagaimana akhirnya.

Kami antara yang awal tiba. Apa nak expect pun tak tau. Redah je lah.

Sesi dimulakan dengan takruf. Kenapa datang?

Alamak dik.. masalah hangpa celah kuku je la. Hati berkata. Cer ko tanya akak ko ni, berapa banyak kali dah terpeleot dalam hidup.

Sekali tu, berdiri seorang yang saya amat kenal. Bukan saya saja. Rasanya seantero Malaysia kenal dia. Orang hebat dalam dunia maya.

Ishhh! Takkan kut! Tak caya! Tak caya!

Berlalu hari pertama dengan banyak lagi persoalan dari penyelesaian. Apapun, kami berdua belajar satu benda baru secara terperinci hari ini. Yin & Yang. Tepu rasa otak.

Sepanjang perjalanan balik yang jauh itu, kami mengelamun. Agaknya? Agaknya? Agaknya?

Husnuzon.

Lapangkan dada. Banyakkan sabar. Selawat dan istighfar setiap masa.

InsyaaAllah, ada jalannya.

Back to Work

Lama benar senyap. Berkurung dalam gua. Keluar dari radar.

Hari ini harinya. Yes! Wake up call sudah datang. Berkali-kali. Sangkakala je belum.

Saya masih jalankan pekerjaan yang sama. Menjual batu permata. Mengambil tempahan barangan kemas seperti cincin, gelang, loket, anting-anting. Masih beroperasi di tempat yang sama iaitu di Kompleks PKNS Shah Alam.

Wajah masih sama. Handsome. 🤗🤗🤗

Ikuti terus tulisan-tulisan saya di sini.

Chow dulu!

Membuak idea ni. One by one, step by step. Life isn't easy.