Friday, February 29, 2008

Kecilnya dunia

Mas menghubungi saya semalam. Ada seseorang perlukan tutor untuk subjek financial accounting. Memandangkan saya akan meninggalkan tempat ini dalam masa sebulan lagi, saya adalah orang yang paling perlukan kerja...hehehe.

Saya pun kata, okay lah. Bakal pelajar saya seorang CEO di sebuah multinational. Dia sedang mengikuti program MBA di sebuah universiti luar negara. Mas pun cerita pasal Mr CEO ini. Very interesting personality. Kaya, handsome, ternama...

Pagi ni, Mas beri saya business card Mr CEO. Saya amati nama itu...macam pernah ku kenal, tapi di mana ye? Saya beranikan diri menalipon handphone Mr CEO. Saya mulakan dengan..."Er, am I talking to Syed John?". Suara di hujung talian teragak2 menjawab..."yeah...". Saya pun apa lagi..."Hey, its me! Remember Mahasuria? We were together in XYZ Berhad 10 years ago?". Serentak itu juga saya dengar dia jerit..."Hey!!! Definitely aku ingat ko!!! Where have you been all these years? I looked for you high and low...". Dan seterusnya...

Alangkah gembiranya saya dipertemukan semula dengan seseorang yang begitu memahami. Siapapun dia ketika ini, saya tahu dia tetap kawan baik saya...

Thursday, February 28, 2008

Letih

Peperiksaan akhir semester telah bermula di universiti saya Isnin lalu. Seperti biasa kami bertugas mengawas peperiksaan. Seawal 8 pagi Isnin itu, saya ditugaskan menjaga kertas Clinical Biochemistry. Mengantuknya mata, pagi-pagi dah menung...Namun, ada yang menggelikan hati saya sepanjang tiga jam itu. Ada seorang pelajar yang tidak berhenti menguap. Setiap 30 saat dia menguap...saya jadi terpegun. Saya perhatikan jam di tangan dan mula mengira...1...2...3!! dia pun menguap... Hahaha...saya terhibur dengan hiburan sensasi itu....

Sehabis menjaga peperiksaan, saya berkejar ke Kompleks PKNS. Suami saya masih di luar daerah dan pekerjanya, Halimah, masih bercuti. Saya kena asah semula banyak skill...persuasion skill, salesmanship skill, customer service...bla bla bla. Saya jadi kaku bila berdepan dengan customer. Saya hilang fokus dan tumpuan. Badan saya letih sebenarnya. Yang amat sangat...

Sehari sebelum hari Isnin, saya berada di Desa Petaling. Bertemu pelanggan perniagaan kami. Sehari suntuk di sana menerangkan dan mengesyorkan apa yang dia kehendaki.

Hari Isnin, Selasa dan Rabu, jadual saya tetap. Pagi jaga exam, petang jaga kedai. Sampai rumah pukul 9.30 malam. Lepas mandi dan solat, saya terus tergolek tidur.. Abo merengek nak itu ini pun saya tak layan...

Hari ini, Jumaat, saya keletihan. Ada berbungkus-bungkus sampul kertas jawapan yang perlu ditanda. Saya tak mampu nak jeling pun...

Sesekali terfikir...kenapa aku mengeluh letih? Bukan ke ini yang aku mohon setiap waktu dhuha? Rezeki...dimudahkan untukku mendapat rezeki...Syukur ALhamdulillah. ADa saja peluang untuk saya mendapat pendapatan. Dah 2 panggilan temuduga yang saya tolak. Saya akan setia menunggu yang satu...sepertimana yang dijanjikan oleh seseorang sebelum ini. Mudah-mudahan ada bahagian saya di sana...

Tuesday, February 19, 2008

Dalam kerinduan..

Bagaimana kan ku mula
Dan apakah kata-kata
Yang indah untuk diabadikan
Tiap madah berkisah
Tiap wajah bererti
Manakah ilhamku
Cahya di matamu
Senyum di bibirmu
Mengukir seribu tanda pertanyaan
Mungkinkah kau jua
Dalam kerinduan
Di saat begini aku merindukan....

Dengarkanlah rayuanku
Dengarkanlah lagu untukmu
Angin lalu kau sampaikan
Rasa rindu yang membara kepadanya...

Lagu Suatu Masa nyanyian penyanyi pujaan saya dulu kini dan selamanya, M.Nasir, adalah lagu yang paling saya gemari sewaktu saya di kampus. Dok perasan-perasan suka kat orang...lagu jiwang ginilah yang saya syok sangat. Hingga kini senikatanya masih lekat di otak saya...

Di saat ini, saya sememangnya dalam kerinduan. Kekasih hati berada jauh di utara sejak seminggu lalu. Lamanya lagi nak tunggu dia balik... ALahai...sakit dada mengenang dia... Konon anak rindu nak dengar suara Papa, padahal emak yang lebih...

Rindu pada senyumnya, rindu pada matanya, rindu pada suaranya... uh...boleh gila agaknya kalau terpisah jauh lama-lama. Asyik menghitung waktu yang berlalu. Cepatlah cepatlah....

Itulah perasaan rindu seorang isteri kepada suami yang telah hampir 20 tahun menjadi teman paling akrab dan paling setia...nak kata tak pernah berjauhan, dah biasa... tapi, bila dia tiada di sisi, hidup terasa cukup sunyi dan membosankan. Ramai manapun kawan ada kat sebelah, dia juga yang dinanti...

Friday, February 15, 2008

Jangan bersedih..

Pelajar-pelajar saya begitu teruja dengan jamuan makan yang mereka anjurkan malam ini. Antara sebabnya ialah mereka ingin sekali meraikan saya dan sahabat saya, Dr Shan, kerana kami berdua, disertai Wan, akan meninggalkan universiti ini dalam masa terdekat.

Setelah penat berlatih dan ada juga yang berpuasa kerana duit belanja makan minggu ini telah digunakan untuk membayar yuran jamuan yang dikenakan, baru petang tadi mereka dapat tahu yang kami bertiga tidak dapat hadir...bukan sengaja mahu menghampakan pelajar, tetapi kami tidak dibenarkan hadir...Kesemua mereka menangis kerana mereka rasa ditipu dan tertipu...

Saya ingin menangis kerana saya tidak sangka begitu sekali kasih sayang mereka kepada saya...Saya ingin memeluk mereka satu persatu...namun, saya tidak punya kekuatan itu... Saya cuba berlagak gembira, Dr Shan cuba membuat lawak bodoh, namun mereka masih menangis...

Juzi, Awin, Madiha, Umi, Jazrina, Khairieyah, Hema, Zaharah, Nurlida, Rekha, Kalai, Hasliza, Aizuddin dan mungkin beberapa nama yang saya terlupa... Jangan bersedih... bertenanglah...Hidup ini memang tidak seindah yang kita impikan....APa sekalipun, saya ingin kalian tahu yang saya amat sayangkan kalian...

Tuesday, February 5, 2008

Cinta Monyet

Anak saya sedang bersedih kerana akan berpisah dengan 'girlfriend'nya minggu depan. Si dia akan ke SM Sains Muar dan dia masih di Shah Alam. Menung sana menung sini, itu kerja dia. Asyik menjawab 'entah' dan macam segalanya tak boleh dibuat. Nak tergelak pun ada melihat dia. Lap hingus pun belum bersih, sibuk nak bercinta...hahaha.

Malam tadi saya slow talk dengan dia. Sebagai kawan...Berlinangan airmata dia...Sedih tengok. Anak muda yang macho ini hilang machonya kerana cinta...Hebatnya penangan cinta.

Saya sempat memberi sedikit 'ceramah' padanya. Saya gariskan di hadapannya apa dia kesetiaan, apa dia takdir, apa maksud kegembiraan dan pengorbanan. Di waktu itu dia menangis semahu-mahunya...Mungkin baru dia nampak apa yang dia tidak nampak sebelum ini...

Dia anak saya. Saya yang mengandung, melahir, membesar dan mendidik dia. Dia kain putih yang saya lukiskan coraknya dan saya tumpahkan warna ke atasnya. Dia bintang yang sedang saya gilap untuk bersinar menerangi kehidupan semua orang yang disayanginya. Jika nama saya bermaksud matahari, nama dia bermaksud bintang. Kami banyak persamaan...hingga kini, selepas lebih 40 tahun hidup di dunia ini, saya sedar yang takdir kehidupan saya ialah saya perlu bekerja keras demi memberi kebahagiaan kepada semua yang saya sayang.... dan itulah erti kegembiraan buat saya.

Pagi ni, sampai di pejabat, saya buka cerita cinta monyet dengan kawan-kawan. Masing-masing bercerita dan rupanya masing-masing ada kisah sendiri. Kami bergelak ketawa mengenang kisah lama, namun saya dapati tiada seorang pun dari kami yang berkahwin dengan cinta pertama mereka. Bila dikenang kembali, peristiwa semalam adalah memori indah yang masih segar dalam ingatan semua orang. Tidak mungkin dapat ditarik kembali, dan tidak mungkin yang telah berlalu mampu menandingi apa yang ada pada masa ini...

Sunday, February 3, 2008

SELAMAT ULANGTAHUN PERKAHWINAN

Hari ini, 19 tahun lalu, saya diijabkabulkan dalam suasana gilang gemilang dengan jejaka pujaan hati saya. Masih terbayang kenangan indah hari bersejarah itu. Selepas sekian lama membelai cinta dan kasih sayang, kami akhirnya disatukan.

Saya masih ingat peristiwa kelakar yang saya alami sewaktu saya ditanya oleh Pak Imam sebelum dinikahkan…

‘Adakah kamu bersetuju dinikahkan dengan Naharuddin Mohd Zain?’

Spontan saya menjawab “Setuju”.

Serentak itu saya terasa paha saya dicubit oleh kakak saya dan saya nampak arwah Bapak jegilkan mata….Pak Long saya, saksi nikah kami dan Wak Japar, jiran sebelah rumah tersengih…

Saya tertanya….kenapa?

Pak Iman berseloroh berkata pada arwah Bapak…”Tak sabar dia ni…”

Eh....saya jawab soalan...apa salahnya?

”Diam tandanya setuju....” kata Bapak.

Alamak!!! Saya jawab, kuat dan tegas....salah rupanya...Itulah saya...berterus terang dan very open....

Selepas sesi Pak Imam dengan pengantin perempuan, sesi dengan pengantin lelaki pula. Suami saya kata...

”Dahlah nervous gila. Pak Imam asyik tersalah sebut nama kita berdua. Naharuddin jadi Maharuddin dan Mahasuria jadi Nahasuria....Panik dibuatnya...Lepas tu Pak Imam tengok muka Bapak ngan Abah dan kata...”Kenapa namanya sama?”

Hahahaha...

Kini, ia jadi memori indah yang menguatkan lagi cinta kami berdua. Pelbagai dugaan dan cabaran yang kami lalui, berat kadangkala, tapi alhamdulillah, kami berjaya mengharunginya dengan tabah...

Tak sangka....cinta kampus kekal hingga kini...Dia suami yang baik. Tidak pernah sekali saya dikasari, diherdik mahupun dikhianati. Saya berdoa semoga dia terus kekal menjadi suami yang baik dan saya pula kekal menjadi isteri solehah buatnya...Amin.