Rempeyek @ Tempeyek adalah sejenis kuih yang menjadi kegemaran masyarakat Jawa di Malaysia. Namun kini ia menjadi pilihan semua orang. Ianya merupakan sejenis kerepek atau makanan ringan yang selalu dihidangkan pada musim perayaan atau kenduri.
Mak mahir dalam membuat rempeyek. Seperti juga bahulu, Mak akan sediakan rempeyek bertin-tin untuk Hariraya. Jika bukan hariraya, Mak akan mengambil tempahan dari pelanggan.
Oh ya. Sebelum lupa, Mak sentiasa menyiapkan sebanyak-banyak kuih untuk hariraya bukan kerana tamak haloba. Rumah Mak sentiasa menjadi tumpuan sanak saudara sepanjang hariraya. Belum lagi orang-orang kampong.
Siapa Mak dan Bapak ni? Selain dari ibubapa kepada 10 anak, mereka juga punya anak-anak saudara yang betul-betul ramai. Seingat saya, adik-beradik Mak masing-masing beranak ramai. Kebanyakannya ada lebih lapan orang anak! Mak dan Bapak juga ada ramai anak angkat. Rumah kami juga menjadi tempat berteduh kepada saudara mara yang belajar atau bekerja di Kuala Lumpur...
Di kampong pula, Mak selalu membantu anak-anak kecil yang terseliuh, demam, salah urat dan sebagainya dengan kepandaiannya mengurut. Yang istimewanya, Mak tidak mengurut orang dewasa. Hanya anak-anak. Kata Mak, itu janjinya sewaktu menuntut ilmu mengurut dari arwah neneknya – untuk membantu anak-anak. Upah @ pengeras Mak mengurut hanya 2 sen setengah…. Selalunya orang kampong beri Mak 50 sen sekali urut…Dan Mak tersenyum setiap kali anak-anak tadi kembali cergas bermain….
Rempeyek diperbuat dari tepung beras yang diadun dengan santan, dicampur dengan garam, ketumbar dan jintan yang ditumbuk lumat, dan telur yang dipukul ke dalamnya untuk menjadikannya rangup. Selepas itu, Mak akan membahagikan adunan tadi ke dalam bekas yang lebih kecil, barulah dimasukkan kacang tanah dan ikan bilis ke dalam mangkuk kecil tadi.
Akan ada dua kuali di atas dapur. Satu kecil dan satu besar. Sesenduk adunan tepung dan santan tadi yang dikaut kacang tanah dan ikan bilis, dimasukkan ke dalam kuali kecil yang telah panas yang berisi sedikit minyak, dibiarkan seketika sehingga menjadi bulat dan separuh masak dan kemudian dipindahkan ke dalam kuali besar yang penuh berisi minyak dan dibiarkan sehingga garing sebelum diangkat.
Proses membuat rempeyek ini memakan masa yang amat panjang. Sekampit tepung beras boleh jadi beratus-ratus keping rempeyek. Kalau 10 kampit tepung? Ye…Mak akan mengadun 10 kampit tepung setiap kali membuat rempeyek…. !
Menggoreng rempeyek tidak sesukar memasak bahulu. Selain dari membuat kerja sambil duduk, saya juga berada di dalam dapur yang jauh lebih sejuk dari berdiri di depan bara…. Namun, kebosanan melanda setiap kali saya tumpukan perhatian kepada rempeyek… Kadang-kadang, Kak Non dan Kak Wie akan mengajar saya membuat trick…. Kami akan menuang adunan sedikit demi sedikit ke dalam sinki…supaya cepat habis… Malangnya, Mak bukan peduli dengan adunan, beliau amat mementingkan output…. Jika dilihatnya rempeyek yang sudah siap tidak mencukupi (selalunya 5 tin biskut empat segi yang besar tu…), maka Mak akan membancuh lagi adunannya…. Maka, sia-sialah usaha kami yang kreatif tadi!!!
Bila agaknya kuih muih Mak ni habis? Seawal HariRaya kedua!
Tiap kali Raya, rumah kami penuh padat dengan tetamu. Hinggakan nak berjalan dari satu tempat ke satu tempat pun kena berjinjit-jinjit. Selalunya saya dan Kak Wie akan menyambut HariRaya dengan kain batik dan T-Shirt kerana tugasan kami adalah menyiapkan minuman, makanan, dan membasuh pinggan. Non-stop sehinggalah tengah malam…. Kami jarang keluar berjalan di hariraya…. Tetamu Mak yang datang tidak putus-putus amat ‘mengujakan’ kami….
Namun kini, rumah Mak terlalu sepi…. Tiada lagi kunjungan saudara mara dan sahabat handai… Yang tinggal hanya kenangan. ‘Rumah’ kekal Mak dan Bapakdi kaki bukit redup ditutupi daun-daun dan bunga kemboja yang gugur ditiup angin dan pokok-pokok getah yang berada di sekeliling. Hanya dengan dua tiang yang menjadi penanda, berderet-deret dan berjiran dengan ramai saudara mara lain…..
Semoga Mak dan Bapak bahagia di sana…..
2 comments:
Assalamu'alaikum,
Kehadapan Puan Mahasuria yang dihormati. Semoga Puan dan keluarga sentiasa di dalam keadaan yang sihat sejahtera dan sentiasa di dalam rahmat Allah.
Kisah-kisah yang Puan paparkan di dalam blog ini benar-benar menyentuh perasaan. Secara jujur, entah berapa kali jugalah saya terpaksa menahan air mata yang bergenang dari terlimpah keluar. Kisah-kisah Puan penuh dengan pengajaran dan kasih sayang.
Kenangan adalah sesuatu yang tidak dapat dibuang. Sama ada ia pahit mahu pun manis, ia tetap kekal bersama kita. Kenangan itulah yang menjadi pengalaman jika ia dijadikan panduan dalam hidup.
Saya rasa bertuah kerana pernah dibimbing oleh Puan semasa berkursus di AMI Shah Alam di akhir tahun 2006 dahulu. Walaupun masanya hanyalah dua minggu, namun ia memberikan kesan yang mendalam dalam hidup saya. Walaupun saya tidaklah menjadi seorang usahawan, tetapi tunjuk ajar Puan banyak memberi panduan dalam menjalani kehidupan.
Sebelum komen saya menjadi lebih panjang dari entri Puan, lebih baik saya sudahkan ia dahulu. Nanti takut dikatakan lebih sudu dari kuah pula. Cuma ada sedikit yang ingin saya ucapkan.
SELAMAT MENYAMBUT HARI LEBARAN
SALAH DAN SILAP KU MOHON KEMAAFAN
SEMOGA PUAN SEKELUARGA DAN TAULAN
SENANTIASA BERADA DALAM KEBERKATAN
Ayie,
Wah suria guru hang rupanya..
Bukan mahaguru kan
ha ha ha
Post a Comment