Wednesday, January 25, 2012

Aduhai....

Kenapalah ada orang sebegini dalam dunia ini? Kenapa Allah temukan saya dengan dia? Bukankah bagus jika saya dijauhkan dari bertemu dengan orang-orang sebegini?

Itulah soalan hati. Menangis dan merintih di dalam hati.

Hakikatnya, Dia lebih mengetahui apa yang terbaik buat saya. Berdepan dengan kedaan yang sukar ini bererti Allah tahu saya boleh menghadapinya. Berdepan dengan manusia bongkak ini memberi keinsafan kepada saya. Hidup ini sekejap sahaja. Tak lama lagi kita semua akan mati. Pangkat, harta, wang, keseronokan....tidak akan membantu.

Ishhh... Sabarlah hati. Ujian ini kecil sangat. Banyak lagi yang telah ditempuh. Jauh lebih sukar. Sabarlah... Pohonlah padaNya dengan solat dan sabar. Jangan hanya kerana perkara sekecil ini kita biarkan jiwa menjadi kacau...... Allah hu akbar!

Saturday, January 21, 2012

Belajar dari ?

Sesekali berkesempatan, Abo akan bersama kami ke masjid untuk berjemaah. Lebih menggembirakannya jika kawan-kawannya juga ada di masjid. Berapa lama pun tidak menjadi masalah buatnya kerana dia dapat bersama kawan-kawannya.

Minggu lepas, Abo menanti saya dan Boss pulang dari kerja, lengkap dengan jubah dan kopiah. Malangnya, kami terlewat tiba di rumah. Perjalanan saya dari KL di saat-saat orang ramai pulang ke kampung memang menyesakkan perasaan. Abo sambut kami dengan muncung tajam dan mata merah. Ohhh....awan dah mendung. Lebatlah 'hujan nanti'. Selepas dipujuk, Abo berubah menjadi ceria. Jubah dan kopiah dibuka dan dia mula beraksi seperti biasa. Tatkala kami mahu memulakan solat Maghrib, Abo masih sibuk di atas biarpun penat kami memanggilnya untuk turun. Dia kemudiannya masbob di rakaat kedua.

Selesai solat, saya dan Boss sama2 tergelak. Abo memakai kain pelekat Boss yang panjangnya meleret2. Hampir pula tertanggal gulungan kain di pinggangnya. Ketika dia bersalaman dengan saya, saya tanya Abo,

'Kenapa Abo tak pakai jubah tadi?'

'Sebab kita tak jadi solat kat masjid'.

'Abo pakai jubah sebab nak solat ke sebab nak tunjuk kat orang?'

'Nak solat'

'Habis tu, tadi solat kenapa Abo tak pakai jubah?'

'Bukan ada orang pun...'

Saya peluk Abo dan terangkan dalam bahasa yang paling mudah untuk dia fahami. Tetapi, saya sebenarnya mengingatkan diri saya sendiri.

Tiada siapa nampak. Kecil saja bunyinya, tetapi itulah kenyataannya. Kita mahu dilihat oleh manusia kebaikan kita. Kita mahu tunjukkan kecantikan dan kekemasan kita dengan memakai pakaian cantik dan kemas, untuk ke masjid bersolat, mengadap Allah yang satu. Tetapi ketika di rumah, kita pakai compang camping, walhal untuk tujuan yang sama - mengadap Allah yang satu.

Abo terlalu kecil untuk memahami, tetapi dia mengikut apa yang ada di persekitarannya. Kamilah yang mengajarnya menjadi begitu. Ampunkan kami YaAllah kerana kami lalai dalam menjalankan tugasan kami..... Mudah-mudahan kami ikhlas dalam melakukan kebaikan. Amin.

Sunday, January 15, 2012

Pasti

Sepupu saya meninggal dunia Sabtu lalu. Ketika mendapat khabar tentang pemergiannya, saya terkedu. Arwah seorang wanita yang menjadi idaman seluruh wanita. Cantik, bijak, terpelajar, lemah lembut, berkerjaya hebat, Muslimah sejati, punya suami yang tidak kurang hebatnya, kemewahan hidup dan punya anak-anak yang cantik dan bijak-bijak belaka. Arwah juga diuji dengan penyakit yang amat hebat - kanser.

Saya terkedu mengenang saat yang pasti akan saya lalui jua nanti. Hanya Allah yang tahu bila. Saya berdoa di ketika itu juga semoga rohnya ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman; sementara keluarga yang ditinggalkan(termasuk saya sendiri) sentiasa mendapat rahmat dan perlindunganNya.

Sewaktu kami saudara mara berkumpul selepas solat Isya' di surau berhampiran rumah Arwah, saya sempat bersembang dengan Kak Zah, seorang sepupu yang juga mnerupakan pensyarah agama Islam saya di universiti dulu. Soalan cepumas Kak Zah kepada saya ialah, "Choyah mandikan dan kapankan jenazah tadi?"

Saya tergamam. Tidak tahu samada beliau bertanya sebagai seorang guru yang mahu anak muridnya mengambil bahagian dalam rutin yang amat signifikan itu, atau menguji samada saya akan mendabik dada membesar-besarkan sumbangan saya - jika ada.

Saya belajar banyak dari peristiwa sedih ini. Ia bukan sekadar menangisi satu kehilangan, ia merangkumi terlalu banyak sudut kehidupan.

Bak kata Ustaz Ghazali Ibrahim dalam tazkirah beliau di pejabat saya sewaktu kami menyambut tibanya 2012; "Segala yang ada di dunia ini tiada kepastiannya. Yang pasti hanya satu; iaitu mati."

Monday, January 9, 2012

Minat dan kerjaya

Sejak kebelakangan ini saya dipertemukan dengan mereka yang mempunyai minat yang bukan kerjaya mereka.

Seorang akademia yang berminat dengan seni;

Seorang jurutera yang berminat dengan sastera;

Seorang pengurus pemasaran yang gilakan musik.

Kami bersembang tentang minat. Tentu sekali rakan-rakan saya terkejut tika mendapat tahu saya suka menulis. Apatah lagi saya gemarkan tulisan yang bercirikan autobiografi dan kreatif. Kami sama-sama ketawa bila saya kata "manalah tahu saya boleh menulis sebuah karya seperti Ombak Rindu yang sedang hangat di pasaran!".

Minat yang ada di dalam diri selalunya terpadam dek kesibukan mengejar cita-cita. Menjadi akauntan tidak pernah berada dalam anganan saya. Saya sendiri tidak pernah tahu apa dia debit dan kredit sewaktu saya memulakan pengajian dalam bidang ini. Jangan ditanya mengapa saya memlih menjadi seorang akauntan, kerana saya tidak punya jawapannya....

Kerjaya saya membawa saya ke pelbagai situasi dan mengenalkan saya kepada dunia. Ia memenuhi sebahagian besar dari hidup saya. Terlalu sibuk hingga saya lupa minat saya yang begitu mendalam dalam bidang penulisan.

Kata Dr Wong, jangan jadikan minat kita sebagai kerjaya. Ia akan membuat kita tertekan dan akhirnya kita rasakan ia bebanan. Jadikan minat itu sebagai pelepas. Ia akan memberikan kita keseimbangan.

Saya kagum dengan mereka yang berani mencungkil potensi diri. Sesungguhnya Allah jadikan kita dengan pelbagai anugerah. Terpulang kepada kita sebenarnya untuk mencari apa yang ada dalam diri....