Sesekali berkesempatan, Abo akan bersama kami ke masjid untuk berjemaah. Lebih menggembirakannya jika kawan-kawannya juga ada di masjid. Berapa lama pun tidak menjadi masalah buatnya kerana dia dapat bersama kawan-kawannya.
Minggu lepas, Abo menanti saya dan Boss pulang dari kerja, lengkap dengan jubah dan kopiah. Malangnya, kami terlewat tiba di rumah. Perjalanan saya dari KL di saat-saat orang ramai pulang ke kampung memang menyesakkan perasaan. Abo sambut kami dengan muncung tajam dan mata merah. Ohhh....awan dah mendung. Lebatlah 'hujan nanti'. Selepas dipujuk, Abo berubah menjadi ceria. Jubah dan kopiah dibuka dan dia mula beraksi seperti biasa. Tatkala kami mahu memulakan solat Maghrib, Abo masih sibuk di atas biarpun penat kami memanggilnya untuk turun. Dia kemudiannya masbob di rakaat kedua.
Selesai solat, saya dan Boss sama2 tergelak. Abo memakai kain pelekat Boss yang panjangnya meleret2. Hampir pula tertanggal gulungan kain di pinggangnya. Ketika dia bersalaman dengan saya, saya tanya Abo,
'Kenapa Abo tak pakai jubah tadi?'
'Sebab kita tak jadi solat kat masjid'.
'Abo pakai jubah sebab nak solat ke sebab nak tunjuk kat orang?'
'Nak solat'
'Habis tu, tadi solat kenapa Abo tak pakai jubah?'
'Bukan ada orang pun...'
Saya peluk Abo dan terangkan dalam bahasa yang paling mudah untuk dia fahami. Tetapi, saya sebenarnya mengingatkan diri saya sendiri.
Tiada siapa nampak. Kecil saja bunyinya, tetapi itulah kenyataannya. Kita mahu dilihat oleh manusia kebaikan kita. Kita mahu tunjukkan kecantikan dan kekemasan kita dengan memakai pakaian cantik dan kemas, untuk ke masjid bersolat, mengadap Allah yang satu. Tetapi ketika di rumah, kita pakai compang camping, walhal untuk tujuan yang sama - mengadap Allah yang satu.
Abo terlalu kecil untuk memahami, tetapi dia mengikut apa yang ada di persekitarannya. Kamilah yang mengajarnya menjadi begitu. Ampunkan kami YaAllah kerana kami lalai dalam menjalankan tugasan kami..... Mudah-mudahan kami ikhlas dalam melakukan kebaikan. Amin.
No comments:
Post a Comment