Tuesday, February 28, 2012

Aduh....Emo lagi..

Si dia emo lagi.... Aduh. Camana nak bagi dia stabil?

Abo kata dia gaduh dengan Abey. Sebab gaduh? Dia tengking Abo. Abey naik angin sebab adik dia kena tengking.

Akak kata dia bebel-bebel lepas lawan-lawan cakap dengan Abey. Pagi tadi mata dia bengkak. Saya balik dari pejabat hampir sakit jntung tengok bilik saya dan bilik Abo langsung tak berkemas....

Oh Tuhan. Lembutkanlah hatinya.
Akak tambah minyak atas bara...'Dia tak bagi adik makan pun Ma....Akak yang suap adik...'.

Nak ku hantar pulang, nak ku berhentikan....sudah tentu tiada kemasukan pembantu rumah Indonesia. Kata Ana yang banyak mengambil pembantu rumah Indon, 'fee dah dekat RM8000 dah la ni.' Mak aii....mana le kawan nak cekau duit?

Dia memang selalu emo. Kekadang terjerit-jerit menangis mcam orang gila. Kami yang mnghadapinya pun boleh naik gila....

Baru nak masuk 4 tahun dah macam ni. Itu pun setiap tahun kami hantar balik kampung. Free of charge lagi. Siap bawak balik baby.... Dah beranak kat sini, dah dibela ditatang macam minyak yang penuh pun masih nak buat peel macam ni. Kalau emo dia datang, segala sayur dalam peti sejuk dimasaknya. Udang, ayam, daging....serentak dimasak. Botak kepala den....mahal wo lauk-lauk tu.... Bukan ramai pun tukang makan kat rumah ni.... Selalunya masuk tong sampah.....

Kata akak lagi...'Rasanya dia gaduh dengan mambang dia la ma....sebab hari ni phone dia tak bunyi langsung....'

Oooooo...patut pun emo....!

Lepas solat Maghrib tadi saya berdoa sungguh-sungguh mudah-mudahan Allah lembutkan hatinya... Bibik oh bibik! Ditelan pahit dibuang sayang!

Saturday, February 25, 2012

Doa makbul

Ada seseorang dalam hidup saya yang cukup bangga dengan doanya. Makin lama saya makin lemas dengan manusia tersebut. Apatah lagi kebelakangan ini dia semakin berani berkata yang 'doa wali Allah memang dimakbulkan Tuhan'. Saya tahu kenyataan itu tetapi saya jadi kasihan kepadanya kerana saya faham apa maksud kata-katanya...

Saya sentiasa teringat satu peristiwa sewaktu kami mengerjakan haji. 8 Zulhijjah adalah hari kami berangkat ke Arafah. Pihak pengurusan telah menetapkan kumpulan yang akan pergi... Kami di Hotel Abeer dijadualkan bertolak selepas zuhur. Malam sebelum bertolak kami semua menunaikan solat hajat dipimpin oleh ustaz dan berdoa semoga Allah mudahkan perjalanan kami. Menjadi kumpulan ke 2 agak tidak menggembirakan, maklum saja pada ketika itu semua jemaah sudah mula berpusu-pusu meninggalkan Mekah menuju Arafah. Kami diberitahu tentang kemungkinan jalan jem, cuaca panas, masa menunggu bas yang lama dan pelbagai lagi.... Ada antara kami yang memohon supaya perjalanan kami dipercepatkan.

Keesokan paginya, selepas subuh, sewaktu bersarapan, diumumkan bahawa kumpulan kami akan menjadi kumpulan pertama yang akan meninggalkan Mekah. Ini disebabkan oleh ketiadaan air di Hotel Hijaz (hotel itu kini telahpun dirobohkan). Saya dan Boss berulangkali mengucapkan syukur kerana doa kami diperkenankan. Kami tidak perlu berdepan dengan pelbagai masalah yang mungkin timbul kerana jalan yang masih lapang dan tidak perlu menunggu lama. Kami juga boleh book khemah yang kami suka nanti (kononnya).

Jemaah yang duduk di hadapan kami berkata begini, 'bukan doa kita sahaja yang makbul. Doa mereka di hotel Hijaz juga makbul'.

Saya dan Boss terpinga-pinga. Mengapa begitu?

Jemaah tadi memberi penjelasan, 'mungkin ada antara jemaah di Hijaz yang tidak sempat bersiap untuk berangkat pagi ini. Makanya mereka berdoa semoga masa untuk mereka bertolak ditangguhkan. Lagi satu, memang kita sudah bersedia, tetapi mungkin ada antara jemaah dalam kumpulan kita yang masih berada di dalam masjid atau sedang menikmati sarapan di d'Saji. Mereka tidak tahu tentang pertukaran rancangan ini dan tentu mereka akan jadi kalut nanti kerana persediaan mereka adalah bertolak selepas makan tengahari.'

Subhanallah.... Kami terkedu mendengar penjelasan jemaah tadi. Apa yang kita pinta tidak semestinya baik untuk semua orang.... Dan bukan hanya doa kita yang makbul. Allah mendengar kata hati dan doa sekelian manusia....

Sejak itu kami berpesan pada diri kami sendiri, tiada gunanya kita fikirkan hanya diri kita. Allah mendengar kesemua permohonan hambaNya. Apa yang terjadi mengikut rancangnNya adalah yang terbaik.

Ingin saya katakan kepada manusia yang asyik berkata, 'semua ni I yang buat. I yang fikir. I doa sepanjang malam. Allah beri pada kita sebab I minta....' bertaubatlah. Jangan sampai Allah tarik semuanya hingga akhirnya yang tinggal hanya kesesatan yang nyata.... Nauzubillah.

Tuesday, February 21, 2012

Saudara baru

Selina, gadis Iban yang jelita mengucapkan syahadah beberapa minggu lalu. Selina bertugas sebagai eksekitif di tempat saya bekerja.

Semalam saya berpeluang duduk santai bersama Selina. Ini kali pertama kami melakukannya selepas beliau menjadi seorang Umat Muhammad. Rupanya Selina menanti peluang untuk duduk bersama saya sejak sekian lama.

Saya terharu dengan penghargaan dari Selina. Lalu saya katakan padanya bahawa Islam itu indah. It is a way of life. Selina bertuah kerana mendapat hidayah dariNya dari jutaan manusia ciptaanNya.

Selepas beberapa ketika bersembang, Selina nyata keliru dengan kenyataan 'ibadat kerana cinta'. Apa maksudnya?

Saya kongsikan apa yang saya pelajari dari Ustaz Hayrudin, guru Tasawuf saya dalam kelas Usuludin. Jika kita lakukan ibadat kerana kita takutkan hukuman Allah, maka kita adalah hamba yang melakukan sesuatu kerana disuruh melakukannya. Tetapi jika kita lakukan ibadat kerana cinta kepadaNya, maka nyata sekali kita adalah kekasihNya. Lihat saja Rasulullah, baginda maksum, tiada dosa dan telah dijamin syurga... Apa perlu lagi Baginda beribadat hingga bengkak kaki? Merayu dan meratap memohon keampunan dan keredhaan? Ia adalah untuk menzahirkan rasa cinta. Mengucapkan kesyukuran atas nikmat dan rahmat yang tidak terperi yang dikurniakan olehNya.

Saya terangkan secara detail dengan memberi contoh - jika kita cintakan seseorang, apa perasaan kita? Saya pasti kita mahu sentiasa bersamanya. Kita mahu mendengar suaranya yang merdu sekali di telinga kita, mahu melihat matanya yang meredupkan hati, mahu menatap senyumannya yang umpama air sejuk menyirami tubuh di hari yang panas.... Tidak kiralah jika seseorang itu adalah kekasih, anak, ibubapa, suami, isteri atau sesiapa sahaja. Jika bukan yang berada secara fizikal di dalam hidup kita, kita juga punya 'Secret Admirer', yang kita puja dari jauh, di dalam diam....Berpisah atau kehilangannya biar sesaat jua akan membuat kita seolah kehilangan diri....Tidak akan kita lakukan sesuatu yang akan membuat sidia tidak suka. apapun yang kita usahakan adalah untuk menyenangkan hatinya.

Makanya, terjemahkanlah dan zahirkanlah rasa cinta kita kepada Pencipta kita sebegitu rupa. Kita perlu sentiasa mahu dekat denganNya. Sentiasa merinduinya. Sentiasa mengharapkan kasih dan sayangnya agar ia memenuhi setiap rongga kehidupan kita.... jangan sesekali disanggah perintahNya. Jangan diabaikan rasa kasihNya yang melimpah ruah kepada kita.....

Dan saya pesan pada Selina, jangan sesekali dikotorkan dirinya yang uama kain putih bersih dengan tompok-tompok noda. Kekalkan warna putih itu. Belajarlah dengan guru yang arif dalam bidangnya, dan berdoalah sentiasa agar dia diberi petunjukNya dalam apa jua yang dia usahakan.

Merah mata Selina mendengar pesanan saya. Katanya, 'Puan, benarkan saya belajar dengan Puan...'

Jawapan saya, 'Saya akan sentiasa bersama Selina. Saya akan isikan tempat-tempat yang kosong, tetapi saya bukan seorang guru yang arif. Namun, jangan sangsi dengan janji Allah. Yakinlah bahawa apa yang Selina sedang hadapi adalah satu anugerah yang tiada tolok bandingnya.'

Selina, saya berdoa semoga Allah memudahkan kehidupan Selina hingga akhir nanti, ditetapkan iman Selina agar kekal sebagai orang yang beriman. Saya akan membantu dengan segala kudrat dan kekuatan yang saya ada. Saya hambaNya yang lemah. Saya sendiri sedang berusaha membersihkan hati dan hidup saya dari noda dan dosa.... Hanya KepadaNya saya memohon pertolongan dan keampunan.....

Sunday, February 12, 2012

Bahasa Arab

Sejak November lalu, saya dan Boss menjadi rakan sekelas. Kami menjadi pelajar 'kelas dewasa' sijil usuluddin yang dikendalikan oleh UM dengan kerjasama JAIS. Hampir setiap pagi Ahad kami akan mengasah otak yang sudah tumpul dengan 5 matapelajaran - Tasawuf, Falsafah Islam, Aliran Pemikiran Islam, Perbandingan Agama dan Bahasa Arab.

Ustaz-ustaz yang mengajar kami kebanyakannya dari UM sendiri. Matapelajaran lain tidaklah sesukar mana buat saya, kerana kita boleh membaca, berbincang dan mengeluarkan pendapat. Tetapi bila masuk Bahasa Arab....hancurrr..

Ustaz bahasa Arab masuk saja dalam kelas terus bertanya dalam bahasa Arab. Bila dia tengok kami ternganga, dia tanya 'laju sangat ke?'. Ada sekali saya dengar Boss jawab di depan...'Ustaz cakap lambat ke laju ke langsung saya tak faham'... Hahaha...berderai semua orang gelak.

Pagi tadi kami diuji. Mula-mula setiap kami dikehendaki mengira. Mak aii...tunggang terbalik. Saya perhati semua mata bertumpu kepada jari masing-masing...menghafal. Digit 1-10 okay lagi, bila masuk belas dan puluh...kantoi!

Kemudian Ustaz kata, 'fe'e'. Sebutkan satu....apa tuh? Ohhh...perbuatan. Tiba saja ke giliran Boss, dia kata 'hutang Ustaz'. Berdekah-dekah pelajar lain mendengar... Langsung tak register satu perkataan pun, kata Boss... Saya hafal satu perkataan 'qum'....alih-alih pelajar yang duduk di depan saya sebut perkataan tu. habis blank dibuatnya! Mujur Siti Hajar di sebelah saya bisik satu perkataan...saya ikut saja tanpa tahu apa maksudnya....sekarang ni saya langsung tak ingat apa perkataan yang saya sebut tadi....!

Berada dalam kelas bahasa Arab membuat kami tension. Dalam hati bertanya, 'apasallah lembab sangat nak tangkap bahasa Arab ni? Yang mudah pun tak sangkut-sangkut lagi....aduhai....

Di akhir kelas tadi, Ustaz kami Dr Shafie berpesan, jika mahu berjaya dalam menuntut ilmu, kena ada 6 sifat/perkara ini " bijak, sabar, tamakkan ilmu, harta, ustaz yang murshid dan panjang meja". Jangan segan bertanya, berlatih, membeli bahan rujukan, mengulangkaji dan bersabar.... Tersenyum sinis saya mendengar nasihat Ustaz... Mana taknya, sampai di rumah, beg2 kami akan berada di atas kabinet, dan lepas seminggu nanti, beg yang sama akan kami usung semula ke kelas....tanpa tercuit sedikitpun isi beg tersebut....!

Sejak tadi Saya bersemangat mengira...malangnya Abo asyik gelakkan saya kerana terbalik-terbalik.... Saya tahulah dia lebih pandai dari saya....huhuhu...

Mudah-mudahan Tuhan beri kami berdua kepandaian untuk berbahasa Arab....dan tentu sekali kamilah antara manusia yang bertuah andai kami dapat memahami makna Al-Quran.... PadaMu kami berserah YaAllah...

Wednesday, February 8, 2012

Fokus

Saya teringat sewaktu saya mengajar di universiti dulu, saya sering berpesan kepada pelajar-pelajar saya - you are what you want to be.

Saya akui kebenaran ungkapan ini. Namun kadangkalanya kita akan terperangkap dengan situasi yang tidak menggembirakan. Ia pasti bukan disebabkan oleh kemahuan kita, tetapi begitulah suratannya.

Saya sedang menimbang beberapa perkara yang melibatkan masa depan. Mungkin bukan masa depan saya yang saya tahu hanya tinggal sisa, tetapi masa depan anak-anak.

Telah lama saya bekerja keras untuk 'memaksimakan kekayaan pemegang saham' - frasa paling membosankan tetapi amat dipegang oleh seorang akauntan -, kini saya bercita-cita untuk menjadi seorang pemegang saham yang mampu menggaji akauntan yang memegang frasa sama seperti saya.

Dalam kekalutan tugasan di pejabat yang tiada akhirnya, di samping melayan kerenah pelbagai manusia yang menambahkan segala penyakit di dalam badan, saya sedang memfokuskan perhatian untuk memulakan satu lagi perjalanan.

Ia bukan sesuatu yang baru. Di tahun 90an, saya dan Boss pernah menjadi usahawan muda yang boleh dianggap berjaya. Kemewahan mengelilingi kehidupan kami, dengan gemerlap emas dan permata bernilai jutaan ringgit berada di dalam peti besi ruang niaga kami. Namun segalanya ranap ditelan kerakusan krisis kewangan negara yang akhirnya mencampakkan kami ke satu tahap yang amat menyiksakan. Diburu pihak Bank, pemiutang, bahkan kehilangan banyak harta dunia. Kami juga tersisih dari keluarga akibat ketiadaan punca pendapatan. Namun kami mula mengumpul kekuatan rohani sejak dilanda tsunami ganas itu.

Kini, saya sudah bersedia untuk melupakan sejarah pahit itu. Dengan sokongan beberapa rakan yang memahami, kami fokus dengan usaha kami ini. Saya pohon kepada Allah supaya Dia memberkati usaha kami. Dan mudah-mudahan kami redha dengan apa jua yang telah ditakdirkan ke atas kami.....

Saturday, February 4, 2012

Februari muncul kembali....

Di tahun 80an, lagu "Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi" amat digemari ramai. Ia jadi siulan anak muda. Lagu yang amat indah melodinya itu dinyanyikan di apa jua acara, samada sewaktu saya di sekolah mahupun sewaktu di universiti, apatah lagi bila datang bulan Februari....

Di Februari 1989, tercatat satu peristiwa paling indah yang berlaku dalam hidup kami



Alhamdulillah, selepas 23 tahun, di bulan Februari kami menyambutnya lagi...



Tiada yang lebih menggembirakan selain dari rasa dikasihi, dihargai, disayangi dan dilimpahi dengan cinta yang tidak pernah surut. Apatah lagi kala bersama si comel-comel kami yang kini membesar sebagai gadis ayu dan pemuda-pemuda yang tampan dan bergaya...

Sesungguhnya nikmat Tuhan tidak pernah mampu kita dustakan..

Syukurku padaMu Ya Allah atas kurniaan yang terlalu berharga ini. Alhamdulillah.