Saya sentiasa teringat satu peristiwa sewaktu kami mengerjakan haji. 8 Zulhijjah adalah hari kami berangkat ke Arafah. Pihak pengurusan telah menetapkan kumpulan yang akan pergi... Kami di Hotel Abeer dijadualkan bertolak selepas zuhur. Malam sebelum bertolak kami semua menunaikan solat hajat dipimpin oleh ustaz dan berdoa semoga Allah mudahkan perjalanan kami. Menjadi kumpulan ke 2 agak tidak menggembirakan, maklum saja pada ketika itu semua jemaah sudah mula berpusu-pusu meninggalkan Mekah menuju Arafah. Kami diberitahu tentang kemungkinan jalan jem, cuaca panas, masa menunggu bas yang lama dan pelbagai lagi.... Ada antara kami yang memohon supaya perjalanan kami dipercepatkan.
Keesokan paginya, selepas subuh, sewaktu bersarapan, diumumkan bahawa kumpulan kami akan menjadi kumpulan pertama yang akan meninggalkan Mekah. Ini disebabkan oleh ketiadaan air di Hotel Hijaz (hotel itu kini telahpun dirobohkan). Saya dan Boss berulangkali mengucapkan syukur kerana doa kami diperkenankan. Kami tidak perlu berdepan dengan pelbagai masalah yang mungkin timbul kerana jalan yang masih lapang dan tidak perlu menunggu lama. Kami juga boleh book khemah yang kami suka nanti (kononnya).
Jemaah yang duduk di hadapan kami berkata begini, 'bukan doa kita sahaja yang makbul. Doa mereka di hotel Hijaz juga makbul'.
Saya dan Boss terpinga-pinga. Mengapa begitu?
Jemaah tadi memberi penjelasan, 'mungkin ada antara jemaah di Hijaz yang tidak sempat bersiap untuk berangkat pagi ini. Makanya mereka berdoa semoga masa untuk mereka bertolak ditangguhkan. Lagi satu, memang kita sudah bersedia, tetapi mungkin ada antara jemaah dalam kumpulan kita yang masih berada di dalam masjid atau sedang menikmati sarapan di d'Saji. Mereka tidak tahu tentang pertukaran rancangan ini dan tentu mereka akan jadi kalut nanti kerana persediaan mereka adalah bertolak selepas makan tengahari.'
Subhanallah.... Kami terkedu mendengar penjelasan jemaah tadi. Apa yang kita pinta tidak semestinya baik untuk semua orang.... Dan bukan hanya doa kita yang makbul. Allah mendengar kata hati dan doa sekelian manusia....
Sejak itu kami berpesan pada diri kami sendiri, tiada gunanya kita fikirkan hanya diri kita. Allah mendengar kesemua permohonan hambaNya. Apa yang terjadi mengikut rancangnNya adalah yang terbaik.
Ingin saya katakan kepada manusia yang asyik berkata, 'semua ni I yang buat. I yang fikir. I doa sepanjang malam. Allah beri pada kita sebab I minta....' bertaubatlah. Jangan sampai Allah tarik semuanya hingga akhirnya yang tinggal hanya kesesatan yang nyata.... Nauzubillah.
No comments:
Post a Comment