Selina, gadis Iban yang jelita mengucapkan syahadah beberapa minggu lalu. Selina bertugas sebagai eksekitif di tempat saya bekerja.
Semalam saya berpeluang duduk santai bersama Selina. Ini kali pertama kami melakukannya selepas beliau menjadi seorang Umat Muhammad. Rupanya Selina menanti peluang untuk duduk bersama saya sejak sekian lama.
Saya terharu dengan penghargaan dari Selina. Lalu saya katakan padanya bahawa Islam itu indah. It is a way of life. Selina bertuah kerana mendapat hidayah dariNya dari jutaan manusia ciptaanNya.
Selepas beberapa ketika bersembang, Selina nyata keliru dengan kenyataan 'ibadat kerana cinta'. Apa maksudnya?
Saya kongsikan apa yang saya pelajari dari Ustaz Hayrudin, guru Tasawuf saya dalam kelas Usuludin. Jika kita lakukan ibadat kerana kita takutkan hukuman Allah, maka kita adalah hamba yang melakukan sesuatu kerana disuruh melakukannya. Tetapi jika kita lakukan ibadat kerana cinta kepadaNya, maka nyata sekali kita adalah kekasihNya. Lihat saja Rasulullah, baginda maksum, tiada dosa dan telah dijamin syurga... Apa perlu lagi Baginda beribadat hingga bengkak kaki? Merayu dan meratap memohon keampunan dan keredhaan? Ia adalah untuk menzahirkan rasa cinta. Mengucapkan kesyukuran atas nikmat dan rahmat yang tidak terperi yang dikurniakan olehNya.
Saya terangkan secara detail dengan memberi contoh - jika kita cintakan seseorang, apa perasaan kita? Saya pasti kita mahu sentiasa bersamanya. Kita mahu mendengar suaranya yang merdu sekali di telinga kita, mahu melihat matanya yang meredupkan hati, mahu menatap senyumannya yang umpama air sejuk menyirami tubuh di hari yang panas.... Tidak kiralah jika seseorang itu adalah kekasih, anak, ibubapa, suami, isteri atau sesiapa sahaja. Jika bukan yang berada secara fizikal di dalam hidup kita, kita juga punya 'Secret Admirer', yang kita puja dari jauh, di dalam diam....Berpisah atau kehilangannya biar sesaat jua akan membuat kita seolah kehilangan diri....Tidak akan kita lakukan sesuatu yang akan membuat sidia tidak suka. apapun yang kita usahakan adalah untuk menyenangkan hatinya.
Makanya, terjemahkanlah dan zahirkanlah rasa cinta kita kepada Pencipta kita sebegitu rupa. Kita perlu sentiasa mahu dekat denganNya. Sentiasa merinduinya. Sentiasa mengharapkan kasih dan sayangnya agar ia memenuhi setiap rongga kehidupan kita.... jangan sesekali disanggah perintahNya. Jangan diabaikan rasa kasihNya yang melimpah ruah kepada kita.....
Dan saya pesan pada Selina, jangan sesekali dikotorkan dirinya yang uama kain putih bersih dengan tompok-tompok noda. Kekalkan warna putih itu. Belajarlah dengan guru yang arif dalam bidangnya, dan berdoalah sentiasa agar dia diberi petunjukNya dalam apa jua yang dia usahakan.
Merah mata Selina mendengar pesanan saya. Katanya, 'Puan, benarkan saya belajar dengan Puan...'
Jawapan saya, 'Saya akan sentiasa bersama Selina. Saya akan isikan tempat-tempat yang kosong, tetapi saya bukan seorang guru yang arif. Namun, jangan sangsi dengan janji Allah. Yakinlah bahawa apa yang Selina sedang hadapi adalah satu anugerah yang tiada tolok bandingnya.'
Selina, saya berdoa semoga Allah memudahkan kehidupan Selina hingga akhir nanti, ditetapkan iman Selina agar kekal sebagai orang yang beriman. Saya akan membantu dengan segala kudrat dan kekuatan yang saya ada. Saya hambaNya yang lemah. Saya sendiri sedang berusaha membersihkan hati dan hidup saya dari noda dan dosa.... Hanya KepadaNya saya memohon pertolongan dan keampunan.....
No comments:
Post a Comment