Monday, April 9, 2012

Maaf

Memberi kemaafan adalah satu perkara yang amat tinggi tingkatannya. Seorang hamba Allah yang mampu memaafkan kesalahan orang lain akan mendapat ganjaran yang amat tinggi dari Allah.

Meminta maaf adalah satu perkara yang amat tinggi juga tingkatannya. Menyesali akan apa yang telah dilakukan, seorang manusia akan memohon agar dirinya dimaafkan oleh manusia lain.

Selepas menyakiti, kita akan insaf dengan apa yang kita lakukan, lalu kita mengambil keputusan memohon kemaafan. Manusia yang kita sakiti akan memberi kemaafan itu kepada kita dengan mengatakan "sudah lama saya maafkan". Lalu kita berlalu pergi dengan dada yang lapang. Alhamdulillah, kata hati kita. Kini kita tiada lagi kesalahan kepada si polan.

Apa yang tersirat di hati si polan tidak pernah kita peduli atau selami. Mungkin sakit di hatinya tiada lagi lantaran keikhlasannya memaafkan kita. Tetapi pernahkah terfikir kemungkinan bahawa kesalahan kita telah membuat si polan tadi hilang maruah dan harga diri? Orang lain memandang serong kepadanya, keyakinannya hilang dibawa bersama tohmahan yang kita lemparkan sebelum ini. Bukan itu saja, banyak lagi tentunya kesan buruk yang terpaksa si polan hadapi untuk membersihkan dirinya.

Astagfirullah. Ampunkan diri ini Ya Allah. Memohon maaf memang mudah. Namun implikasi dari perbuatan kita sebelum ini meninggalkan kesan besar dalam hidup orang lain. Si polan pula yang terpaksa mengekalkan keikhlasannya memberi kemaafan kepada kita dalam pada dia perlu berdepan dengan masyarakat untuk membersihkan namanya.

Semoga kita berfikir berkali kali sebelum menyakiti hati insan lain....Kesan dan akibatnya terlalu besar. Meminta kemaafan saja tidak memadai.... selagi ada yang berprasangka buruk terhadap si polan selepas percaya dengan cerita yang kita sampaikan, selagi itulah kita akan menanggung bebannya....

No comments: