Gelagatnya melucukan. Ada saja aksinya yang membuat kami ketawa. Selalu juga kami naik darah. Apatah lagi jika dia asyik menangis.
Dia sudah pandai melakukan pelbagai perkara. Faham dengan arahan dan tahu apa yang dimaksudkan. Namun biji butir yang keluar dari mulutnya hanya 'oing oing oing' ataupun 'mama, nyio nyio nyio...hehehe'. Entah apa yang cuba disuarakannya....
Dia menghiburkan kami semua. Wajahnya comel. Gelagatnya comel. Senyuman manisnya cukup comel.
Saya mahu selalu bersamanya. Mendidik dan menjaganya sepenuh masa. Mampukah?
Entahlah. Kalaulah boleh saya bersara dari menerima tekanan, itu lebih baik. Tubuh dan jiwa saya tidak mampu menerima tekanan lebih dari ini. Mengenang kesakitan yang arwah Mak, arwah Bapak, arwah Abang Aris, arwah Abang, serta kesulitan Abang Nasir mengharungi hari-harinya sebagai seorang yang lumpuh sejak 4 tahun lalu, serta kakak-kakak dan abang yang berdepan dengan segala macam masalah penglihatan, pendengaran, acute migrane, serta pelbagai lagi membuat saya takut. Berdayakah saya mengharungi kesulitan sepertimana ahli keluarga saya yang lain? Darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung....hampir kesemua mereka yang saya sebut di atas memilikinya. Dan,mereka adalah ibubapa saya, kakak-kakak dan abang-abang saya.... Namun, pandangan sang doktor menggusarkan saya. Mencuit ketenangan saya. Mengganggu emosi saya.
Si Comel membuat hidup saya riang sentiasa. Namun beban berat yang bertambah setiap hari di kepala saya membuat saya terdedah kepada risiko mengidapi penyakit merbahaya yang telah sebati dengan keluarga saya.
Saya mahu terus bersamanya dan tentu sekali Abo dalam keadaan sihat dan gembira, bukan sakit dan bersedih. Saya mahu membawa mereka terbang ke awan, menikmati udara segar di pergunungan, memerhati burung terbang mencari ikan di perairan, menghayati keindahan sawahladang yang melatari perkampungan. Saya mahu menemaninya ke sekolah, ke perpustakaan, bersama membuat carian di google tentang ayat-ayat yang mengisahkan haiwan. Saya mahu bersorak di tepi padang tatkala dia berlari laju untuk membuat 'touch down' di padang ragbi, membuat terjunan dari papan anjal di kolam renang, menemaninya ke sekolah memandu untuk mendapatkan lesen B dan D, melihat reaksi wajahnya tatkala menerima kejutan dengan menyerahkan kunci kereta comelnya dan motor kapcai idamannya....
Ya Allah...berikan kesihatan yang baik buatku. Si Comel memerlukan aku untuk menghadapi hari-harinya. Andainya aku perlu merehatkan diriku dari segala kegilaan ini, Engkau berikan yang terbaik buatku. Jauhi diriku dari segala kesakitan dan kesengsaraan.
Abo, Rahman. Mama janji Mama akan terus sihat dan gembira. Mama dan Papa akan sentiasa meluangkan masa untuk bersama makan aiskrim, makan pizza, kejar burung di padang, tonton Spongebob, Upin Ipin, To & Jerry, dan tentu sekali bawa Abo dan Rahman solat jemaah di Masjid Negeri setiap hari... Semoga Allah mudahkan urusan Mama dan Papa, dan semoga Allah perkenankan janji manis Mama pada si Comel Mama....
No comments:
Post a Comment