Sunday, January 17, 2016

Zain Idris

Kesan kemelesatan ekonomi makin membahang di negara kita. Alangkan mereka yang bekerja makan gaji pun merungut, apatah lagi orang berniaga.

Saya sedang merasai tekanannya. Di rumah ini, kami semua berniaga. Sakit memikirkan cara mendapat pendapatan. Belum masuk bab menambah pendapatan. Jauh lagi bab menyimpan. Apa yang diperolehi, digunakan untuk makan waktu itu juga. Tiada istilah "month-end meets". Cukup bulan nanti entah bagaimana mahu diselesaikan bayaran rumah kereta dan segala bil. Allah saja yang tahu.

Saya berdoa ditunjukkan satu cabang bisnes yang boleh memberi pendapatan harian dengan jumlah yang besar. Besar bagi saya ialah jumlah jualan melebihi RM1,000 sehari. Tolak modal dan kos lainnya, inshaAllah dapat lah menyelesaikan segala bayaran yang tertunggak.

Awal Januari kami perlu siapkan keperluan Naufal yang memulakan persekolahan di Maahad tahfiz. Beliau perlu memakai jubah ketika menghadiri kelas dan solat serta kurta ketika aktiviti luar.

Kedai-kedai biasa yang kami kunjungi menawarkan harga yang agak mahal. Saiz pula terhad buat Naufal yang terlebih sado. Ada sahabat mencadangkan sebuah tempat yang menawarkan apa yang kami cari.

Sewaktu mahu membayar jumlah belian di kaunter, kami sempat bersembang dengan tuanpunya perniagaan. MasyaAllah! Segmen ini memberi pulangan amat tinggi kepadanya. Lalu beliau sarankan kami untuk berkongsi peluang niaga ini dengannya.

Kami berbincang dengan anak-anak. Jimie teruja untuk melaksanakannya secepat mungkin. Dia hadam maksud "pendapatan hari-hari" yang kami katakan sejak kebelakangan ini. Nabil sanggup menjadi model bersama Papa. Kakak akan gunakan kepakarannya dalam menata instagram dan facebook page. Sementelah lagi kurta dan jubah yang kami dapat ini kelihatan begitu ekslusif. Kainnya cantik, potongannya hampir sempurna dan mutu jahitannya tinggi.

"Apa kata kita mulakan dengan kurta dulu? Lepas ni baru jubah."

"Beres!"

"Kejap. Apa brand name kita?"

Macam-macam nama keluar. Saya mencelah dan cadangkan kepada mereka, "guna je nama Atok dan Tok Bah. Ambik berkat."

Idris Mohd Zain? Idris Zain? Zain Idris?

Majoriti setuju dengan Zain Idris. 
Zain melambangkan lelaki berhati waja dan bersemangat tinggi juga Extrovert yang loud.
Idris pula super cool dan cukup berhemah. Introvert yang menenangkan.

Bila Jimie mula membidik lensa kameranya, gambar-gambar cantik akan terhasil. Tatkala mahu diupload ke media sosial, dia buntu.

"Ma, apa nama kurta ni? An-Nabil okay tak?"

Akak menjawab,

"Ada ke? Guna lah Al-Imran. Koleksi kanak-kanak namakan Ar-Rahman. Yang Mie suka pakai tu namakan An-Najmu. Nama korang kan?"

Maka, lahirlah koleksi Al-Imran, Ar Rahman dan An Nas setakat hari ini.

InshaaAllah akan dilancarkan tidak lama lagi An Najmu, An Nafis dan An Naufal tidak lama lagi. Kesemuanya di bawah jenama Zain Idris.

Model berusia 52 tahun kami mendapat limelight yang begitu memberangsangkan. Pelanggan mahu dilihat kacak dan muda sepertinya. 

Jimie sudah mula tersenyum.




Sahabat-sahabat boleh mendapatkannya dengan menghubungi kami di talian 017-3209050 melalui WA atau sms.

Tuesday, January 12, 2016

Rindu

Sesekali hati tertanya-tanya, benarkah apa yang kami lakukan? Dia masih terlalu kecil untuk dipisahkan sedang kami berdua sudah berusia, dia tidak akan punya banyak masa dengan kami. Dia suka makan, sah-sah di tempat yang dia tinggal payah nak dapat makanan sebanyak yang dia suka. 

Ya Allah! Ampunkan aku.

Sabarlah wahai hati. Ibu mana yang suka melihat anaknya menangis kesedihan, yang rela melihat anaknya tidak makan dan tidak merindu keletah si anak. Lagi-lagi anak manja yang ditatang.

Saya pujuk hati. Teringat perkongsian sahabat @ abang yang dikasihi, blogger bernama Pak Pin. Beliau kehilangan ayah di usia 10 tahun, kemudian ke sekolah berasrama penuh jauh dari kampungnya sejak usia 13 lalu ke luar negara menyambung pengajian. Membawa harapan ibunda yang sabar menanti di rumah.

Beliau berjaya memiliki hati yang cukup kuat. Ketabahannya menghadapi pelbagai situasi kesulitan menjadikannya manusia yang cukup berjaya. Kesederhanaannya dalam kehidupan membuat beliau istimewa di hati saya biarpun dia mampu hidup diulit kemewahan.

Allah hu Rabbi.

Aku relakan rindu ini bertampuk
Biar airmata panas di kelopak
Asal ku sebut namanya
wajah comel manjanya
Menyerbu dalam kotak ingatan.
Mulut mongelnya petah berbicara, 
mata keciknya senyum bercerita, tangannya meredakan lenguh orang tua.

Naufal Arif sedang berlatih untuk berjuang mempertahankan agamaMu Ya Allah. Lindungi dan sayangi dia. Mudahkan urusannya. 

Mama berdoa setiap ketika agar anak Mama terus berjaya. Di dunia dan akhirat.

Thursday, January 7, 2016

Sekolah dan Naufal

Sewaktu saya mengandungkan Naufal di usia 38 tahun, pihak hospital mengkategorikan kandungan saya sebagai "unplanned & unwanted".

Bagi kami, ia tidak benar kerana kami mahukan anak itu cuma ia tidak dirancang. Pelbagai kerisauan datang dari pihak hospital kerana usia saya dan jarak dengan kandungan terdahulu selama sepuluh tahun!

Allah hu akbar. 

Bagi kami berdua, kandungan itu adalah anugerah yang amat besar. Tempoh sembilan bulan sepuluh hari itu amat mudah dan menggembirakan.

Bayi yang lahir teramat comel. Putih melepak dan gebu kulitnya. Matanya, hidungnya, mulutnya... Tidak puas-puas kami menatap.

Naufal membesar sebagai anak manja yang lembut dan amat sopan tutur kata. Sentiasa menggembirakan sesiapa yang ada di keliling. Amat suka bila didampingi wanita cantik. 

Sejak mengandungkannya saya berhajat Allah izinkan anak ini menjadi seorang penghafaz Quran dan hadith, dapat bermukim di tanah haram dan mendapat penghormatan tinggi dari masyarakat dan tentu sekali di sisi Allah sebagai ilmuan terbilang. Doa yang sama saya ulang-ulang saban ketika hingga kini. Tidak pernah bertukar.

Awalnya, Naufal dididik secara one-to-one oleh Teacher Sharifah yang menerapkan pendidikan awal kanak-kanak menggunakan kaedah dari Britain. Di usia 6 tahun, Naufal diterima masuk ke tahun 1 di Integrated Islamic School Shah Alam. Dan alhamdulillah berjaya tamat tahun 6 di usia 11 tahun dengan keputusan UPSR yang memuaskan hati.

Pada bulan Disember 2013, Allah jemput Naufal menjadi tetamuNya. Subhanallah. Dia seolah menjadi superstar di sana. Jemaah di kedua-dua masjid amat menyukainya dan dihadiahkan dengan begitu banyak duit, makanan dan hadiah lain. 

Naufal juga menampakkan kemahuan untuk menjadi pelajar diMasjidil Haram. Bersungguh-sungguh dia berdoa agar diberi peluang menghabiskan pengajiannya di sana.

Tahun lalu menyaksikan episod sedih dalam hidup kami bilamana kami berdepan dengan hakikat tidak mampu untuk meneruskan persekolahan Naufal di IISSA. Yuran bulanan terlalu tinggi buat pesara tidak berpencen seperti kami. Sekali imbas, kami bercadang masukkan Naufal ke sekolah menengah biasa. Namun seperti ada yang menyesak dalam dada bila memikirkan Naufal di sekolah menengah biasa.

Kami berdua berbincang dari hati ke hati dengan mengimbas kenangan dan harapan terhadap si comel yang satu ini. SMK Seksyen 7 Shah Alam telah membuktikan ia sebuah sekolah yang berjaya melahirkan anak-anak hebat. Nabilla, Najmie dan Nabil adalah contoh terdekat. Lalu, apa lagi yang kami mahukan?

Saya kongsikan doa dan harapan terhadap Naufal sejak dalam kandungan. Boss mengangguk bersetuju kerana tidak mungkin hajat itu tercapai bila Naufal dikeluarkan dari "sistem" yang telah diikutinya sejak kecil.

Lalu kami mula membuat pelbagai kajian tentang sekolah-sekolah tahfiz di seluruh negara. Siapa empunyanya, siapa Ustaznya, siapa pengurusannya. 

Kami hanya mahukan yang terbaik buat Naufal. Dia wajib memperjuangkan agama Islam sebagai teras nombor satu dalam kehidupannya di samping memiliki kerjaya atau perniagaan sebagai pengukuh ekonomi.

Berat hati mahu melepaskan si comel buah hati pengarang jantung saya ini melangkah pergi meninggalkan kami buat seketika. 

Namun inilah pengorbanan yang tiada tandingnya. Naufal Arif, si dermawan yang bijak pandai ini akan memulakan pengajiannya di Maahad Tahfiz di Salak Tinggi mulai minggu depan. Doakan dia berjaya dan bahagia sebagai anak soleh di dunia dan akhirat.



Saturday, January 2, 2016

Azimat

Kala berdepan dengan kesulitan, kita sentiasa kalah dengan emosi. Terasa keseluruhan otak dipenuhi dengan masalah. Tidak tergambar betapa sukarnya mahu menyelesaikan segala yang berlaku.

Biar sekuat mana pun hati, manusia memang dilahirkan dengan penuh perasaan. Bimbang, khuatir, resah, kecewa dan pelbagai lagi. Hamburkanlah seribu satu kata-kata semangat, hati tetap menangis.

"Bethi, whenever you feel down, lonely and sorrow, remember that He is there with you. He listens to whatever you have in your heart. Perhaps you can also call my name. InshaaAllah, I will be there, spiritually, and pray for you."

Kata-kata ini masih terngiang di telinga. Ucapan tulus seorang insan yang dianugerahkan dengan sifat ihsan dan penuh dengan kerendahan hati.

"No doubt! Verily, the Auliya' of Allah, no fear shall come upon  
them nor shall they grieve."  

Quraan:Sura Younus Ch 10 Ayat 62 

"Everytime you feel sad, grieve or fear, remember. Auliya has no fear nor grieve. He puts Allah above everything in his life. Don't worry my daughter. You are always in my prayers."

Saya bersyukur kerana dipertemukan dengannya. Biarpun kami terpisah beribu batu secara fizikal, kata-katanya sentiasa bersama saya. 

Pagi ini, saya terkenangkan beliau bukan kerana saya sedang bersedih atau kecewa. Saya berdoa beliau sihat dan dapat terus berbakti kepada dunia dan Allah izinkan saya bertemunya kembali di satu hari yang indah nanti.

Saya berazam mahu menjadikan pesanannya sebagai azimat dalam meneruskan kehidupan di dunia yang sementara ini, dengan penuh harapan saya mendapat kebahagiaan hakiki di syurga.

Maulana Hazrat Bahaudin
Hyderabad, India

Friday, January 1, 2016

KedaiBatu&Co

Boss mulakan perniagaan batu permata sejak tahun 1995. Syarikat kami membeli lesen francais sebuah brand hebat dalam bidang barangan kemas, HJ di Klang Parade.

Kegawatan ekonomi di tahun 1998 memaksa kami menutup operasi lantaran tidak mampu menanggung kerugian demi kerugian.

Biarpun dihimpit beban kewangan dan pelbagai kesulitan lain, alhamdulillah, kami berjaya mengharungi semua itu berbekalkan keyakinan kepada rancangan dan takdir Allah. Kesedihan dan kesusahan telah lama kami lupakan.

Tahun 2006, Boss memulakan perniagaan kecilnya di Kompleks PKNS Shah Alam. Kecintaannya kepada batu permata mengatasi segala. Pengalaman dan pengetahuan yang dikutip sepanjang mengusahakan outlet HJ tidak disia-siakan. Sedikit demi sedikit beliau mula mengumpul batu-batu permata dalam pelbagai bentuk - loose, cincin, loket, gelang dan pelbagai lagi.

Tahun 2015 menyaksikan satu lagi perubahan dalam episod perniagaan batu permata kami. Nabil Imran yang baru menamatkan pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan menyatakan hasrat untuk membuat rebranding. Menjadikan perniagaan batu permata Papanya lebih hipster.

Lalu muncullah KedaiBatu&Co. Banyak yang berubah. Namun masih mengekalkan ciri aura dan kesihatan sebagai Unique Selling Proposition (USP) kami. Pengetahuan tentang khasiat batu permata dan kemampuan melakar desain serta menjadikan barang kemas secara ekslusif menjadikan KedaiBatu unik dan tersendiri.

Nabil mula bertapak di kalangan usahawan GenY dengan mengambil bahagian secara aktif dalam festival seperti TempatanFest dan StreetMansion juga di media sosial seperti Instagram (IG: kedaibatuco), facebook page (KedaiBatu&Co), Lazada dan inshaAllah di Zalora. Juga online store www.kedaibatuco.com.

2016 menampakkan diri. Banyak yang perlu dilakukan dan diperhalusi demi memantapkan lagi perniagaan keluarga ini. Kami berazam untuk menjadikan KedaiBatu sebagai brand yang lebih dikenali dan membawanya jauh ke persada dunia.

Doa kami KedaiBatu dapat menjana pendapatan lumayan dengan target jualan sebanyak US$100,000 sehingga akhir 2016. Perkenankan Ya Allah. Hanya padaMu kami memohon pertolongan.